Friday, May 31, 2013

Syagatang 8 : SAYANG



Seringkali
Angan-angan
Yang bergentayangan di
Awan-awan
Nukilkan
Gambar-mu!

=)

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Mengapa Jawab Jadi Jawapan?

Ada soalan daripada seorang kawan berkenaan, mengapa hal di bawah bisa terjadi?

Jawab jadi jawapan
Wajib jadi kewajipan

Tetapi

Ajaib jadi keajaiban
Adab jadi peradaban
Tertib jadi ketertiban

Jawapannya : 

Hal ini termasuk di bawah persoalan pembentukan kata (ilmu morfologi) yang mana rujukannya boleh didapati secara jelas di dalam Tatabahasa Dewan. Meskipun daripada sudut pembentukan kata perkataan "jawab" boleh menerima akhiran -an sehingga seharusnya ia menjadi jawaban [jawab + an], namun di sana ada beberapa kekecualian yang diistilahkan sebagai Bentuk Mantap. 

Bentuk Mantap ialah sesuatu kata yang telah diserap dan telah menjadi kebiasaan sehingga diangkat oleh pihak autoriti bahasa untuk menerima bentuknya sedemikian rupa. Hal ini terpakai dalam isu - jawab menjadi jawapan dan wajib menjadi kewajipan. Malah jika diteliti dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, jawapan telah diterima sebagai subentri kepada jawab. 


Menurut DBP, jawaban adalah benar dari sudut morfologi manakala jawapan diterima sebagai kelaziman penggunaannya. Maka, jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian yang dibenarkan untuk dipilih oleh para pengguna bahasa. 

Kekecualian adalah perkara biasa dalam bahasa. Antara kekecualian yang lain ialah mentertawakan tidak dieja sebagai menertawakan sekalipun imbuhan awalnya termasuk dalam abjad PSTK yang menerima serapan seperti tangkap menjadi menangkap, saring menjadi menyaring, tunggu menjadi menunggu dan kata menjadi mengata. 

Kekecualian juga terdapat dalam bahasa lain. Saya masih teringat kata-kata Abang Faizurin Jamaluddin yang mahir sekitar 8 bahasa itu sewaktu mengadu ngomel padanya tentang kekecualian dalam Bahasa Perancis, beliau pantas merespon :

"Tell me, which language in this world that doesn't have any exception!"

Pokoknya - kerana terus belajar dan rela ditunjuk ajar!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

[ULASAN FILEM] REVIEW : KIL 2013 - Falsafah Bahasa Akil dalam KIL

Aku tidak ingin bahas panjang tentang filem hebat KIL ini. Tidak perlu aku zahirkan tiap-tiap rinci dan inci oren, pistol, pangkir dan baju Back To The Future serta tie hitam - untuk sejauh itu aku selam dalam. Cukuplah - aku mengungkapkan kehebatan filem ini pada judulnya sahaja - kerana ia sungguh-sungguh memberi makna kepada mereka yang menghargai ciptaan Tuhan, makhluk Allah Ta'ala bernama "Bahasa".

Sebelum itu, siapa yang maha malas - silalah ke bahagian terakhir "Khaatimah".

MUQADDIMAH

Bahasa Arab adalah bahasa yang amat berlapis. Lapisannya itu bertingkat-tingkat seperti langit-langit, as-samawaat yang jumlahnya tujuh tingkat. Asal sesebuah perkataan itu seumpama daripada Adam dan Hawa sehingga beranak pinak menjadi trillion manusia - begitulah diibaratkan penghasilan lapisan makna sesuatu kalimah di dalam Bahasa Arab. Kerana itu Tuhan memilih Bahasa Arab sebagai bahasa wahyu - duduk tenang bersemayam gah di dalam al-Qur'an itu. 

SYARAH

Aqil. Di dalam KIL, watak Redza Minhat dieja sebagai Akil. Panggilannya Kil. Singkatan mendamaikan. Mendekatkan. Manja. Seperti Syakir dipanggil Kir, semisal Rozana digelar Na. Nama teringkas yang hanya memerlukan senafas menyebutnya adalah tanda cinta berbekas kerana kita masih upaya untuk menyebutnya walau kita masih hanya punya senafas. Begitulah falsafah nama timangan yang ringkas - tanda cinta berbekas.

Aqil. 'Ain-Alif-Qaf-Lam. عَاقِلٌMaksudnya orang yang mempunyai akal. Lebih tepat - orang yang benar-benar mempunyai akal dan melazimi dalam tiap-tiap sifat dirinya itu dengan akal yang berakal - diamnya berakal, geraknya juga berakal. 

Di dalam doa ayat sepuluh atau lebih dikenali sebagai Ayat Qaaf di mana dalam tiap-tiap ayat al-Qur'an yang sepuluh itu jumlah bilangan huruf Qaafnya ialah sepuluh yang merupakan amalan wali-wali Allah semisal Imam Bukhari radhiyaAllahu'anhu, Syeikh al-Syazuli radhiyaAllahu'anhu dan Syeikh Abu Yazid al-Bastami radhiyaAllahu'anhu - ada disebutkan dalam bentuk 'badal' :


إلهي أسألك ... عقلا عاقلا

Ilaahi as-aluka 'aqlan 'aaqilan 

Ya Tuhanku - aku memohon pada-Mu akal yang berakal

*Terjemahan alternatif : Ya Tuhanku - aku memohon pada-Mu akal orang yang berakal^
^Ini menunjukkan keluasan penafsiran Bahasa Arab :)

Doa ini pelik. Sepelik watak Aqil @ Akil dalam KIL. Bukankah akal itu sememangnya berakal? Kalau tidak, ia bukannya akal? Lantas, mengapa masih dipinta akal yang berakal?

Kerana akal itu hanya berakal bila dia menurut Tuhan Pencipta akal. Kerana akal dicipta untuk membina bukan untuk meruntuh musnah. Siapa yang lebih tahu yang meruntuh musnah kalau bukan Allah? Saat tiada menurut Allah, akalnya itu untuk meruntuh musnah.

Allah mengilhamkan sukma [termasuk akal] kefasikan dan ketaqwaan -
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya -
Merugi bagi yang mengotori-Nya -

[Perenggan seterusnya khusus untuk yang mendalami ilmu bahasa khususnya Bahasa Arab. Bagi yang berani mencuba, dipersilakan. Bagi yang tidak, boleh ke perenggan selepas tanda "---"]

Aqil. 'Ain-Alif-Qaf-Lam [عَاقِلٌ]. Kalau yang pelajari Bahasa Arab, ia daripada wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ] - wazan "the Doer" - "pembuat". Semisal Haa-ki-mun [حَاكِمٌ] - seorang Hakim. Too-li-bun [طَالِبٌ] - seorang Pelajar. Kaa-ti-bun [كَاتِبٌ] - seorang Penulis. Maka, 'Aa-qi-lun - seorang yang berakal. 

Namun, kita yang belajar Bahasa Arab juga tahu, bahawa wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ] - tidak sekadar berhenti di situ. Ia juga bermaksud "kata sifat" bukan sekadar "kata pembuat". Malah, kata sifat dalam wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ] dikategorikan sebagai wazan yang amat kuat sifatnya dalam menonjolkan sesuatu sifat yang dilazimi oleh yang disifatkannya itu. 

Contoh - Saya Belajar dibandingkan dengan Saya Pelajar. Orang yang belajar tidak semestinya pelajar - mungkin dia hanya belajar saat dia sedang ditanya dia sedang berbuat apa. Tetapi seorang Pelajar - dia sememangnya belajar. Kerja seorang Pelajar memang belajar sahaja kerjanya. Malah boleh dikatakan, tidak ada kerja lain yang dilakukan oleh seorang Pelajar melainkan belajar jualah. Maka, di sini, Pelajar ialah "kata pembuat" - "the Doer" - wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ].  Kerana itulah dikatakan kata sifat itu kuat sifatnya andai digunakan bentuk wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ] - "the Doer" - "kata pembuat". 

Sama juga ketika Allah Ta'ala menggunakan kalimah "zaa-i-qatu" al-maut ( ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ), saat berbicara tentang tiap yang bernyawa - kullu nafsin (كُلُّ نَفۡسٍ۬) wajib merasai mati. Digunakan wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ] bagi kalimah "zaa-i-qatu" dalam bentuk "muannas" kerana kehadiran "isim 'alm" iaitu "an-nafs". Maka, kesimpulannya, andai hendak ditonjolkan sungguh-sungguh sifat sesuatu, gunakanlah "kata pembuat" - "the Doer"- wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ].

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati

[ali-Imran : 185; al-Anbiya' : 35]

---

Maka, kerana itulah kita katakan Aqil itu bermaksud orang yang benar-benar mempunyai akal dan melazimi dalam tiap-tiap sifat dirinya itu dengan akal yang berakal - diamnya berakal, geraknya juga berakal. 

KIL. Plot pertama filem ini mendedahkan cubaan Akil [yang asal ejaannya sepatutnya Aqil], mengambil nyawanya dengan tiub eksoz yang dipanjangkan hingga masuk ke kereta yang dikunci. Asap itu begitu tebal sehingga menutup perkataan "L" hujung yang satu lagi di sebelah KIL. Ya - asal KIL ialah KILL. Tetapi, sengaja dihijabkan L yang hujung bagi memberikan persoalan yang sebenarnya ialah kesimpulan awal bagi minda separuh sedar tentang akhir penceritaan ini - hakikatnya. Kil sebenarnya tidak mampu "KILL" dirinya sendiri kerana kehilangan -L!

Kerana itu, sejak dari awal filem itu, aku sudah mula merasakan - filem ini sebenarnya bermain dengan jiwa linguistik aku. Bagaimana bisa seorang yang sepatutnya berakal tidak menggunakan akal-nya sehingga dia mahu ambil nyawanya sendiri. Bagaimana Kil tegar mahu Kill dirinya sendiri? Ini suatu imej yang kontras! Berlawan dengan sifat namanya yang berakal itu yang sepatutnya dia pakai dalam tiap-tiap sisi hidupnya!

Berbekalkan persoalan itu - aku berseorangan menelusuri tiap-tiap plot, watak dan prop filem KIL sambil diselimut kain rida' hijau dalam sejuk-sejuk angau. 

Setelah ditipu hidup-hidup dengan watak psiko si Zara lakonan Christine Suzanne dan juga disepak terajang oleh watak ala-ala Devil Advocates oleh Harun Salim Bachik - maka, barulah aku faham filem ini.

Falsafahnya tentang makna kehidupan pada kejadian sebuah kematian amat-amat menonjol dan tertonjol hingga menghadiahkan di kepala hati kita sebuah benjol - sebagai memperingatkan bahawa hidup ini wajib diraikan! Cuma kita perlu mencari benar - makna dan erti. Dari makna dan erti, maka lahir hadir-lah rasa-rasa.

Keseluruhan cerita sebenarnya menceritakan bagaimana hendak memulangkan Akal semula kepada Akil yang sepatutnya berakal itu!

[Jangan baca perenggan ini - kalau tak mahu spoil - highlight untuk baca]

Di mana kita hanya berakal saat kita sedar sampai satu masa kita tidak mampu kawal. Bukankah telah disebut oleh Harun Salim Bachik lebih kurang :

"Kami sebenarnya membantu orang macam Cik Akil keluar dari tindakan membunuh diri. Sebenarnya, Cik Akil tidak mahu membunuh diri - kalau tak, sudah lama Cik Akil senang-senang mengambil nyawa sendiri. Cik Akil berusaha nak bunuh diri sebab semua tindakan  itu di bawah kawalan Cik Akil. 

Mungkin tindakan kami agak radikal, tetapi kami sengaja wujudkan keadaan di mana nyawa Cik Akil diambil oleh orang di luar kawalan Cik Akil. Waktu ini, barulah Cik Akil rasa nak hidup semula! Barulah Cik Akil sembuh daripada mahu membunuh diri!"

Superb!

Aku teringat kata-kata Habib Ali Zainal Abidin hafizahullahuta'ala ketika memetik kalam orang-orang berhikmah di dalam pengajian Darul Murtadza, Masjid Mu'adz Bin Jabal, Setiawangsa sebelah LRT Setiawangsa yang berlangsung tiap Jumaat selepas Isyak - sebagaimana berikut :

"Insan itu sentiasa mengejar dan dikejar. Insan mengejar dunia sedang insan dikejar maut. Soalnya, siapakah yang akan terlebih dahulu mendapatkan apa yang dikejarnya? Bodohlah mereka yang kalah kepada maut di saat begitu ramai insan yang menang walau dicekup maut lantaran telah siap siaga menghadapinya - malah mendapat habuan daripadanya!"

Maka, kalau direnung-renung, filem KIL ini memberitahu kita - makna kehidupan itu hanya dapat dirasai saat kita benar-benar tahu dan sedar mengerti hakikat kematian. Bukan sekadar hakikat kematian, tetapi hakikat kematian DI LUAR KAWALAN!

Allahu Allah!


At the beginning, KIL tells us that you can't appreciate your life if you could control your death but at the end, KIL rephrases her statement and tells us that you can only appreciate your life if you realise that you could not control your death!

KHAATIMAH

Kesimpulannya, filem ini sesuai bagi mereka yang ingin bunuh diri - yang jujurnya, aku pernah merasai - pada satu titik dalam kehidupanku. Cerita ini juga sesuai untuk mereka yang mencari kehidupan itu sebenarnya apa? Cerita ini sesuai untuk yang rasa terasing terpinggir dari bendasing-bendasing dunia. Cerita ini sesuai untuk mereka yang hidup terperuk terperosok dalam hiruk-pikuk riuh-rendah kotaraya. 

Dan paling mustahak - cerita ini sesuai untuk orang yang sedar bahawa dirinya sedang gila dan akan terus gila. Gila itu ialah hilang akal. Dan cerita ini menceritakan bagaimana ianya memberikan semula akal kepada seorang yang sepatutnya benar-benar mempunyai akal dan melazimi dalam tiap-tiap sifat dirinya itu dengan akal yang berakal yang bernama Aqil@Akil yang dipanggil Kil!

Aku kira - kerana aku telah berjaya dengan izin ilham dan hidayahNya mencungkil kebanyakan perlambangan dalam filem ini - maka dengan besar hatinya aku memberi bintang 8.5/10!

Sheikh Ahmed Arif budak Imperial College London yang belajar Bioteknologi tetapi pakar sejarah China juga peminat MasterChef Selebriti mahupun Australia itu pernah berkata -


"Review Za'im bukan boleh percaya sangat!"

:)

Apapun - selamat menyelam dalam dalam KIL!

Dan dedikasi buat semua, salah satu lagu yang terbaik dan kena dengan filem KIL ini yang dicorongkan di plot-plot akhir filem ini. Terbaik dari MCKK [sekolah I lew tew haha], Butterfingers - Mati Hidup Kembali!

Jalan raya terlampau sunyi
Untuk ku terus bermimpi
Mataku belum mengantuk lagi
Bawa ke mana sahaja kupergi

Tunjukkan ku bulan gerhana
Tiada siapa nak kujumpa
Pendirian tiada kusangka
Tak mengapa oh tak mengapa

Malam semalam gundah gulana
Hari ini hari mulia
Tak pernah daku rasa begini
Seperti mati hidup kembali

Bawakan kuhilang dari ingatan
Hari ini sehingga esok
Tak pernah daku rasa begini
Seperti mati hidup kembali

Agar sepenuh dengan pendirian
Kucapai sebelah tangan
Sebalik awan ada cahaya
Bercahayalah selamanya

Daku tertawa seorang diri
Darah yang mengalir terhenti
Fikiranku melayang-layang
Tiada siapa yang perasan


سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Review lain juga menarik untuk baca dari otai pengkritik filem [KLIK] Juga di sini [KLIK] dan ini [KLIK]

Lagi falsafah KIL menarik disusun [KLIK]


Takut dikatakan memberikan harapan palsu, boleh baca pendapat orang lain di FB Rasmi KIL [KLIK]



Alhamdulillah - KIL Movie komen review ni =) 
Moga bermanfaat!

Juga Redza Minhat tweet ^_^



Dan mereka dalam produksi ini adalah manusia yang sungguh-sungguh humble - dan Tuhan selalu menyebelahi mereka yang humble!




*patutnya me-nyah kezaliman bukan membela

Thursday, May 30, 2013

Aku - Sang Tiba-Tiba

Aku - Sang Tiba-Tiba

Saat ini - kalau Tuhan tanyaku apa aku jadinya mahu,
Aku akan beritahu Tuhan aku mahu jadi maut,
Kerana kehadiran maut walau tiba-tiba begitu,
Namun maut terus memiliki yang dicitanya buatnya berpaut!

Sedang kehadiranku itu sebagai Sang Tiba-Tiba baginya,
Seakan kosong dan kohong daripada sekalian makna,
Kerana makna pada kenangan kami baru benar dibina,
Mana mungkin Sang Tiba-Tiba sepertiku bisa mengesaninya.

Dan aku kembali semula ke tempat kami berdua pernah berjumpa,
Di hamparan permaidani hijau dan biru warnanya,
Sungguh walau kehadirannya padaku sebagai Sang Tiba-Tiba,
Namun - entah mengapa dia begitu menyentuhi jiwa dan juga rasa.

Sedang siapakah aku baginya sebagai Sang Tiba-Tiba,
Umpama sekadar menumpang di dunia orang,
Terbukti kosong dan kohong darinya makna,
Dan duduk seorang - terbuang mengenang bergenang!

_._

9.14pm
30 Mei 2013

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Pantun Rindu Berangkai : Sinar Fajar Pelangi Terlukis






Sinar fajar pelangi terlukis,
Awan bertinggung di langit biru,
Hati getar mata pun menangis,
Tidak tertanggung hati merindu.

Awan bertinggung di langit biru,
Terbang kekicau beburung riang,
Tidak tertanggung hati merindu,
Hati oh risau bukan kepalang.

Terbang kekicau beburung riang,
Bertenggek manja di dahan panjang,
Hati oh risau bukan kepalang,
Khabar di sana adakah tenang?

Bertenggek manja di dahan panjang,
Nampak pelangi makinnya pudar,
Khabar di sana adakah tenang?,
Sedang di sini menunggu benar.

Nampak pelangi makinnya pudar,
Awan berbalam biru yang gelap,
Sedang di sini menunggu benar,
Di dalam diam di dalam senyap.

Awan berbalam biru yang gelap,
Guruh berdentum kilat menyabung,
Di dalam diam di dalam senyap,
Di dalam senyum cinta menggunung.

Guruh berdentum kilat menyabung,
Hujan menyiram bumi pun subur,
Di dalam senyum cinta menggunung,
Rindu dan dendam sehingga kubur!

Rajuk*,
4.36 petang,
30 Mei 2013


---


*Dalam bercinta, rajuk itu ada masanya perlu. Tanpa rajuk, tiada bujuk. Tanpa bujuk, tiada rayu. Dan tiada siapa yang membujuk dan merayu jika si pemujuk tidak mempunyai rasa dari jiwa. Rasa dari jiwa itu terbit dari sebuah kecaknaan dan kepedulian yang amat. Tahap kecaknaan dan kepedulian yang paling tinggi itulah namanya cinta. 

Maka, sesiapa yang bercinta, ada masanya perlu merajuk. Kerana rajuk itu isyarat dan alamat cinta - bahawa rasa dan makna yang disekat-sekat daripada diluahkan dek keterbatasan masa dan tempat - akhirnya terluah dengan sebuah rajukan.

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Thursday, May 23, 2013

Sempena Pertandingan Ulas Buku ITBM 2013 : Ulasan Buku "Pantun Kisah Rasul Tercinta" nukilan Ismail Restu



ULASAN BUKU YANG AMATNYA MULIA
KERNA MEMERIHAL TENTANG KEKASIH QALBU
BERJUDUL “PANTUN KISAH RASUL TERCINTA”
OLEH AYAHANDA KITA ISMAIL RESTU

(Catatan terkini : Alhamdulillah, ulasan ini memenangi 10 tempat teratas 
dalam pertandingan berkenaan. Alhamdulillah)

oleh hakir Muhammad Za’im Bin Mohamad Yusoff
zaimyusoff@gmail.com 
Edisi PDF boleh dimuat turun di sini [KLIK]



......................................................................................................................................................

*Tuan-Tuan yang dihormati,

Sebelum ulasan ini Tuan-Tuan hadami, elok benar kiranya penulis mengingatkan bahawa tulisan ini dinukil dalam nada berhikayat bertujuan mengembalikan cucu cicit nenda sekaliannya ke zaman di mana meluncur deras di jeram bibir nenda-nenda butiran pantun indah tersusun, untaian syair indah terukir. Arakian, bacalah ulasan ini dengan gaya berhikayat jualah hendaknya. Barulah seru itu tiba!

Bermulanya puja puji pada Sang Hyang,
Selawat dan juga salam pada yang Sang,
Keluarga yang dekat serta mengikut -
Sahabat sebahtera hingga melaut![i]

MUQADDIMAH

Pada mulanya, sahaya ke Pesta Buku Kuala Lumpur 2013 sekadar mengejar beberapa buku bagi memenuhi hajat mereka yang dekat amat di hati walau jauh terpisah di mata. Mungkin kerana benar-benar ingin memenuhi hajat orang, Tuhan membalas dengan penemuan karya yang amat sahaya tunggunya datang - iaitu :

‘Pantun Kisah Rasul Tercinta’ –

karya Ayahanda Ismail Restu[ii] ḥafiẓahu’Llāhu taʿālā - semoga Allāh subḥānahu wa taʿālā senantiasa menjaganya untuk terus berkarya menyebar tebar cinta dan makna menerusi untaian kata-kata.

Maka di dalam makalah ini, meskipun merasa diri tidaknya layak - sebagaimana bunyi sebuah pantun di dalam lagu ‘Pandang-Pandang Jeling-Jeling’ oleh Tan Sri S.M. Salim dan Dato' Siti Nurhaliza yang terngiang-ngiang di telinga sahaya :

Kereta kuda pedati lembu,
Singgah mari di tepi kuala;
Tuan sutera sahaya belacu,
Manakan boleh berganding sama!

Namun, sahaya cuba sedaya upaya memberikan sedikit sebanyak buah fikiran, meluahkan apa yang sahaya rasa tentang penulisan hebat Ayahanda ini selaku mewakili suara generasi anak-anak Ayahanda hari ini yang akan menentukan mundur maju nasib lapangan penulisan pada hari esok.

Moga yang baik dikelek molek. Moga yang salah ditunjuk ajar.


PUJIAN

Ramai orang tidak memahami peranan dan tujuan sastera yang diperjuangkan para karyawan melalui pelbagai wadah puisi, prosa tradisional dan sebagainya. Pada sangkaan mereka, para karyawan hanya bersuka-sukaan, larut dan hanyut dalam dunia percintaan yang direka-reka.

Sahaya menyangkal kenyataan ini dengan memetik kata-kata Ayahanda Pak Samad –

“…kita tulis puisi bukan untuk cinta-cintaan saja!”[iii]

Demikianlah, ciptaan puisi dan apa jua karya seni itu hakikatnya adalah untuk tujuan pendidikan. Pendidikan zahir mahupun batin, pendidikan jiwa mahupun raga!

Dalam banyak-banyak cabang ilmu pengetahuan untuk dididik, ilmu wahyulah yang paling mustahak untuk belajar, diajar dan mengajar. Dalam ilmu wahyu pula, telaga ilmu yang terpenting untuk mula-mula ditadah ialah ilmu ʿAqīdah. Sepakat ʿulamaʾ zaman-berzaman menyatakan bahawa ilmu ʿAqīdah itu terbahagi kepada tiga perkara[iv] -

1. al-Ilahiyāt (Ketuhanan)
2. al-Nubuwwah (Kenabian)
3. al-Samʿiyyāt (Perkara-Perkara Ghaib)

Inilah perkara pertama yang buat sahaya bangga akan Ayahanda kita. Dengan lahirnya buku Pantun Kisah Rasul Tercinta ini, ia tidak syak lagi membincangkan secara khusus antara perkara yang paling mustahak dalam pengajian ilmu
ʿAqīdah iaitu perihal al-Nubuwwah – Kenabian.

Tidak ada nabi lain yang lebih agung dan lebih terutama saat seseorang membicarakan perihal al-Nubuwwah ini melainkan al-Ḥabīb al-Rasūl Sayyidunā Habībunā Muḥammad ibn ʿAbd Allāh ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam!

Keduanya – Ayahanda kita ini juga telah berjaya menonjolkan peranan sastera sebagai wahana pendidikan ummah.

Hal ini mengingatkan sahaya kepada ketidakputusan para -ʿulamaʾ ʿārifīn bi’Llāh  menulis berjilid-jilid kitab menyampaikan ilmu-ilmu wahyu menerusi wadah prosa tradisional dalam rangkap tersusun (manẓūmah) hingga dikenali sebagai naẓām mengikut kaedah syair berdasarkan ilmu sastera Arab yang amat mendalam itu.

Misalannya ialah asas-asas ilmu ʿAqīdah telah diringkaskan dalam 144 rangkap syair oleh al-Shaykh Ibrahīm al-Laqqānī al-Mālikī raḥimahu’Llāhu taʿālā (wafat 1041 H) dengan tajuk ‘Jawharah al-Tawhīd’ (Permata Ilmu Tauhid). Sebahagian ʿulamaʾ menyatakan bahawa al-Syeikh menulisnya hanya dalam masa satu malam.[v]

34 rangkap nazam syair telah disusun bagi meringkaskan ilmu Ḥadīth dalam ‘al-Manẓūmah al-Bayqūniyyah’ oleh al-Imām al-Muḥaddith Ṭāhā b. Muḥammad b. Fattūḥ raḥimahu’Llāhu taʿālā sekitar sebelum tahun 1080 H.

1002 rangkap bait syair telah disusun bagi meringkaskan ilmu Nahw dalam penulisan ‘Alfiyyah ibn Mālik’ yang ditulis oleh al-Imām Muḥammad bin ʿAbd Allāh bin Mālik al-Andalusī raḥimahu’Llāhu taʿālā (wafat 672H) atau lebih dikenal dengan sebutan al-Imam Ibn Mālik.

Malah, karya agung Masnawi yang mengandungi 4003 bait dalam Buku 1 (Book 1), ‘The Mathnawi of Jalaluddin Rumi’ oleh Mawlānā Jalāl al-Dīn al-Rūmī raḥimahu’Llāhu taʿālā (wafat sekitar 671H) itu sendiri juga merupakan bukti wadah sastera melalui puisi menjadi alat yang begitu berkesan di mana ilmu Islam dapat disalur dan disebarluaskan dari satu zaman ke satu zaman.

Malah, dikatakan beliau mula tenggelam dalam dunia kesufian setelah Rumi terkesan dengan kitab puisi-puisi kesufian hasil karangan gurunya, Farīd al-Dīn al-ʿAṭṭār raḥimahu’Llāhu taʿālā yang berjudul ‘Asrār Nāmeh’ itu![vi]

Hal yang sama turut dapat dikesan dalam tradisi ʿUlamaʾ Nusantara sebagaimana yang telah dinukil di dalam Sentuhan Pengantar di dalam buku ini oleh Ayahanda Abdul Halim "R".

Andai kalian ingin mengetahui siapakah ʿUlamaʾ Nusantara itu, maka bersegeralah kitab indah ini kalian miliki!

PANDANGAN

Pandangan ini terbahagi kepada lima bahagian :

1.      Memenuhi Asas Pantun
2.      Meter Puisi
3.      Rima Tengah Canggung
4.      Kosa Kata Berulang
5.      Kait Pembayang dan Makna

Memenuhi Asas Pantun

Sebanyak 412 rangkap pantun telah berjaya disusun di dalam buku ini. Pantun-pantun ini dibahagikan dalam lima belas bab. Ia disusun secara kronologi bermula dengan Bab Kelahiran Muhammad Bin Abdullah sehingga Bab Kewafatan Nabi Muhammad pada bab ke-empat belas sebelum diakhiri dengan bab Tambahan di mana Ayahanda kita ini bermelankolik dengan penuh syahdu.

Setelah diteliti, sememangnya benar bahawa kesemua 412 rangkap pantun berkenaan telah berjaya disusun dengan memenuhi dua syarat asas bentuk pantun[vii] iaitu :

a)    Kewujudan pembayang dan maksud. Kesemua 412 rangkap pantun ini adalah daripada jenis pantun empat kerat. Oleh hal demikian, baris pertama dan kedua adalah pembayang manakala baris ketiga dan keempat adalah maksud. Dalam konteks ini, maksud adalah bingkisan sirah yang ingin diceritakan.  

b)      Rima hujung yang mengikut bentuk A-B-A-B

Syabas, sahaya ucapkan kepada Ayahanda!


Adapun sahaya bukanlah ahli dalam bidang periwayatan sirah.

Arakian, dalam ulasan kali ini, sahaya ingin melontarkan beberapa pandangan berkaitan bentuk pantun yang disusun tetapi tidak memfokuskan kesahihan fakta-fakta di dalam rangkaian pantun ini.[viii]

Kendatipun begitu, berbekalkan sedikit ilmu sirah yang sahaya sempat kutip hasil pengajian Fiqh al-Sīrah al-Nabawiyyah tulisan al-Shaykh Muḥammad Saʿīd Ramaḍān al-Būṭī raḥimahu’Llāhu taʿālā, kitab Al-Shamāʾil al-Muḥammadīya wa al-Khaṣāʼil al-Muṣṭafawīya karangan al-Imām Abī ʿĪsā Muḥammad bin ʿĪsā bin Sawrah al-Salmī al-Tirmidhī raḥimahu’Llāhu taʿālā dan kitab al-Raḥīq al-Makhtūm oleh al-Shaykh Ṣafī al-Raḥmān al-Mubārakfūrī raḥimahu’Llāhu taʿālā yang dibimbing oleh para guru kami ḥafiẓahumu’Llāhu taʿālā – sahaya dapat menyimpulkan bahawa kesemua perjalanan sirah yang diabadikan di dalam rangkap-rangkap pantun ini adalah maklum dan diketahui umum.

Harus juga difahami, komentar ini tidak langsung berniat menafikan lubuk seni yang Ayahanda kita miliki sebaliknya ia adalah sekadar pandangan dan buah fikiran untuk memperbaik dan lebih mempercantik apa yang sudah baik menjadi lebih molek sekaligus menjadi teladan kepada para pemantun tegar di luar sana untuk menyempurnakan pantun seberapa tinggi kualitinya mungkin, baik daripada sudut bentuk pantun mahupun makna pantun itu sendiri.

Meter Puisi

Sebelum kita berlayar lebih jauh, ingin sahaya menarik perhatian para pembaca untuk maklum terlebih dahulu akan bentuk pantun yang lebih tinggi kualitinya.

Sebenarnya, selain daripada dua syarat asas bentuk pantun sebagaimana yang dinyatakan di atas – terdapat syarat-syarat khas yang lain yang perlu dikuasai oleh para penyusun pantun bagi meningkatkan kualiti pantun yang dihasilkan.

Penguasaan yang sahaya maksudkan ialah penguasaan meter puisi.[ix] Dalam konteks pantun, ia adalah kiraan suku rima yang mewakili meter puisi bagi sesebuah pantun.

Penguasaan rima bagi sesebuah pantun sebenarnya bukan setakat di hujung, malah rima juga terdapat di tengah. Hal ini turut dinyatakan oleh Ayahanda Abdul Halim "R" di ruangan Sentuhan Pengantar dalam buku ini.[x]

Pada pendapat sahaya, sebenarnya ia bukan setakat rima tengah dan rima hujung yang turut dikenali sebagai sanjak itu sahaja yang perlu dijaga, malah bilangan suku-suku kata bagi setiap rima itu baik yang tengah mahupun yang hujung sebaik-baiknya disusun dengan bilangan yang sama dengan baris pasangan pantun berkenaan.

Contoh terbaik dalam buku ini yang sempat sahaya teliti ialah pada pantun ke-371 yang berbunyi :

(371)    Berkawan baik si anak kembar,
Tiba di pekan senyum terukir;
Muhammad naik ke atas mimbar,
Lalu sampaikan khutbah terakhir.
Rima tengahnya dijaga amat baik sebaik rima yang hujung. Setiap rima, perkataan yang dipilih adalah sama bilangan suku kata yakni lima bagi tiap-tiap rima yang menjadikan meter puisinya amat sempurna dengan kesemua bilangan bagi setiap rima adalah lima.

Lihat perkiraan meter puisi ini :

(371)    Ber-ka-wan ba-ik [5 –rima tengah] si a-nak kem-bar, [5 –rima hujung]
Ti-ba di pe-kan [5] se-nyum ter-u-kir; [5]
Mu-ham-mad na-ik [5] ke a-tas mim-bar, [5]
La-lu sam-pai-kan [5] khut-bah ter-a-khir. [5]
                   
Sebenarnya pengiraan meter puisi sebegini bukanlah benda yang baharu. Malah, ia merupakan perkara yang membezakan antara seorang penyair yang tinggi hasil karyanya dengan seorang penyair yang kurang mahir.

Misalnya, dalam ilmu sastera Arab, pengiraan meter puisi ini dikenali sebagai ilmu ʿArūḍ. Di dalam sastera Arab, terdapat 16 bentuk meter puisi yang dikenali ramai sebagaimana menurut riwayat Al-Khalīl ibn Ahmad Al-Farahidi (wafat 173H) yang kemudiannya ditambah satu bentuk lagi oleh Al-Akhfash (wafat 177H) yang merupakan anak muridnya.[xi]

Sahaya dapat mengesan terdapat lima pantun di dalam buku ini yang suku kata rima tengah dan rima hujungnya dijaga dengan kiraan yang sempurna. Selain daripada pantun ke-371; pantun ke-24, pantun ke-49, pantun ke-133 dan pantun ke-344 memenuhi ciri-ciri kesempurnaan meter puisi yang menakjubkan.

Contoh, pantun ke-133 :

(133)    Agak mahal belanja berkelah,
Sewa rumahnya hanya semalam;
Abu Jahal mengaku bersalah,
Hamzah akhirnya memeluk Islam!

Meter puisinya :

(133)    A-gak ma-hal [4] be-lan-ja ber-ke-lah, [6]
Se-wa ru-mah-nya [5] ha-nya se-ma-lam; [5]
A-bu Ja-hal [4] me-nga-ku ber-sa-lah, [6]
Ham-zah a-khir-nya [5] me-me-luk Is-lam! [5]

Contoh, pantun ke-344 :

(344)    Askar berkuda orang Punjab,
Nampak gerun berpakaian merah;
Berlaku pada bulan Rejab,
Pada tahun kesembilan hijrah.

Meter puisinya :

(344)    As-kar ber-ku-da [5] o-rang Pun-jab, [4]
Nam-pak ge-run [4] ber-pa-kai-an me-rah; [6]
Ber-la-ku pa-da [5] bu-lan Re-jab, [4]
Pa-da ta-hun [4] ke-sem-bi-lan hij-rah. [6]

Atas penghujahan berkenaan meter puisi ini, sahaya ingin melanjutkan lagi perbincangan berkenaan kenyataan Ayahanda Abdul Halim "R" yang menyatakan bahawa baris pantun itu seandainya mencukupi 8 hingga 12 suku sebaris sudah dikatakan seseorang penyusun pantun itu telah mematuhi syarat pembinaan pantun.

Kita maklum bahawa pendapat ini kemungkinan telah dikutip daripada Za’ba[xii], namun jika kita perhatikan perbahasan oleh Daillie (1988) dalam Bab VI : Words, Syllables, Rhytm, Music (The ‘Rules’ of Pantun Prosody) dalam ‘Alam Pantun Melayu : Studies on the Malay Pantun’, hakikatnya kenyataan ini perlu diteliti dan diperhalusi lagi.

Oleh hal yang demikian, sahaya berpendapat, selaku penyusun pantun yang mahu meningkatkan lagi kualiti pantunnya, kita perlu peka bahawa pantun itu akannya dialun oleh pembaca pantun mengikut alunan kebiasaan pantun yang memerlukan pembaca pantun itu mengetahui rima tengah untuk “saktah” dan rima hujung untuk “waqaf”.

Saktah dan waqaf ini adalah ambilan teladan daripada ilmu Tajwid. Saktah ialah berhenti tanpa nafas sedangkan waqaf ialah berhenti dengan memutuskan nafas. Kalau diperhatikan, alunan pantun oleh pemantun yang membaca pantun itu memiliki kedua-dua elemen ini. Bilangan suku kata serta bentuk rima tengah menentukan tempat saktah alunan pantun sebagaimana bilangan suku kata serta bentuk rima hujung menentukan tempat waqaf alunan pantun.

Oleh itu, sahaya berpendapat, untuk menjaga kualiti pantun yang tinggi, kita memerlukan para penyusun pantun benar-benar cermat memerhatikan rima tengah dan rima hujung yang cukup pasangan suku-suku kata bagi baris sepunya masing-masing. Bukannya semata-mata mengira bilangan suku kata bagi setiap baris cukup antara 8 sehingga 12 sahaja.

Antara teladan terbaik ialah daripada karya Ayahanda Pak Samad. Perhatikan madah beliau ini yang disusun seakan-akan bentuk pantun meskipun tanpa membezakan pembayang dan maksud.

Gatera gempur budaya kotor,
demi menyubur siasah luhur.[xiii]

Perkiraan meter puisi :

Ga-te-ra gem-pur [5] bu-da-ya ko-tor, [5]
de-mi me-nyu-bur [5] si-a-sah lu-hur. [5]

Meski bilangan suku kata meter puisi bagi majoriti koleksi pantun dalam karya ini tidak sempurna, namun keserupaan bunyi rima tengah dan rima hujungnya tetap dijaga. Ini memudahkan pemantun yang ingin melantunkan pantun-pantun ini dengan tidak perlu bersusah payah mencari di mana tempat untuk saktah dan waqaf yang sesuai untuk mengalunkannya.

Misalnya dalam pantun ke-106 :

(106)    Cantik bulunya si burung merak,
Dengan cermat memagut ubi,
Dengan turunnya ayat Iqrak,
Bermulalah Muhammad sebagai Nabi.

Pasangan untuk saktah dan waqaf alunan pantun dapat dipadankan sebagaimana berikut :

Saktah berlaku di : Cantik bulunya = Dengan turunnya
Waqaf berlaku di : Si burung merak = Ayat Iqrak
Saktah berlaku di : Dengan cermat = Bermulalah Muhammad
Waqaf berlaku di : Memagut ubi = Sebagai Nabi

Ketidak sempurnaan bilangan suku rima meter puisi dapat dikenal pasti sebagaimana kiraan berikut :

(106)    Can-tik bu-lu-nya [5] si bu-rung me-rak, [5]
De-ngan cer-mat [4] me-ma-gut u-bi, [5]
Den-gan tu-run-nya [5] a-yat Iq-rak, [4]
Ber-mu-la-lah Mu-ham-mad [7] se-ba-gai Na-bi. [5]

Untuk mendapatkan suku rima meter puisi yang sempurna, ada beberapa teknik dicadangkan.

1.   Kadangkala imbuhan boleh kita gugurkan. Ini merupakan teknik hazaf yang juga terdapat dalam tradisi sastera Arab yakni memotong atau meninggalkan beberapa suku kata yang berlebihan misalnya dalam imbuhan untuk menyempurnakan kiraan suku rima meter puisi tanpa menghapuskan makna kosa kata itu sendiri.

Contohnya, Ayahanda Pak Samad pernah menggunakan teknik hazaf ini dalam puisinya bertajuk Kapal Terbang Datang[xiv] yang berbunyi :

Datanglah sebanyak kapal terbang,
Curahlah sesebanyak karung wang,
Tapi, usahlah sesekali curang,
Isi neraka ‘kan tetap berang!

Beliau meringkaskan perkataan “akan” kepada ‘kan dengan membuang huruf –a.

2.  Kita juga boleh menambahkan perkataan-perkataan yang bermakna walau hanya satu suku seperti "si", "sang", "di", "yang", "nya" untuk menyempurnakan suku rima meter puisi yang kurang.

3.   Juga dengan kreativiti, bisa diulang kosa kata yang sama andai bersesuaian.

Semua ini untuk mencantikkan dan menyempurnakan suku rima meter puisi di dalam rangkap pantun yang disusun.
Contoh :

Pantun ke-395 :

(395)    Buku dijilid tahan bertahun,
Dijual di kota untung berganda;
Sambutan Maulid setiap tahun,
Tanda kita tak lupakan Baginda.

Ketidak sempurnaan suku rima meter puisi di dalam pantun ini dapat dikenali seperti berikut :

(395)    Bu-ku di-ji-lid [5] ta-han ber-ta-hun, [5]
Di-ju-al di ko-ta [6] un-tung ber-gan-da; [5]
Sam-bu-tan Mau-lid [5] se-ti-ap ta-hun, [5]
Tan-da ki-ta [4] tak lu-pa-kan Ba-gin-da. [7]

Kita boleh aplikasikan teknik-teknik di atas untuk menyempurnakan suku rima meter puisi dalam pantun ini :

Buku dijilid tahan bertahun,
Jual* di kota untungnya' berganda;
Sambutan Maulid setiap tahun,
Tandanya' kita tak lupa^ Baginda.

* Teknik hazaf - dibuang imbuhan -di. Meskipun dibuang, ayatnya tetap sempurna.

' Penambahan kosa kata bermakna satu suku iaitu -nya bagi tujuan mencukupkan suku rima meter puisi.

^ Teknik hazaf - dibuang -kan. Meskipun dibuang, ayatnya tetap sempurna.

Maka, setelah mengaplikasikan kesemua teknik yang dicadangkan, alhamdulillah - pantun tersebut beroleh kesempurnaan bagi suku rima meter puisi.

Bu-ku di-ji-lid [5] ta-han ber-ta-hun, [5]
Ju-al di ko-ta [5] un-tung-nya ber-gan-da; [6]
Sam-bu-tan Mau-lid [5] se-ti-ap ta-hun, [5]
Tan-da-nya ki-ta [5] tak lu-pa- Ba-gin-da. [6]
           
5,5
5,6
5,5
5,6

Begitulah – hujung parang diasah lagikan tajam. Meter puisi andai cermat diteliti dan rapi ditekuni, insyaAllah hasil mahsul karya seninya akan menjadi semakin berkualiti.

Rima Tengah Canggung

Apa yang paling membanggakan ialah Ayahanda kita yang mulia ini telah berjaya menjaga semua rima tengah dan rima hujung pantun dengan sempurna melainkan pada penelitian sahaya, hanya empat pantun sahaja yang mana rima tengahnya canggung yang mana antaranya iaitu :

Pantun ke-142 :

(142)    Burung camar si burung merbah,
Hinggap di dahan pokok nangka;
Iman Ammar tidak berubah,
Abu Jahal menyeksa mereka.

Kecanggunggannya terdapat pada rima tengah baris kedua dan rima tengah baris keempat yang tidak serima. Namun, memandangkan asas pantun yang dua iaitu keberadaan pembayang dan maksud serta kedapatan rima A-B-A-B di hujung - tetap menjadikan rangkap ke-142 ini sebagai sebuah pantun – meski tidak sempurna rima tengahnya.

Pantun lain yang canggung rima tengahnya ialah pantun ke-346 pada rima tengah baris kedua tidak berima dengan rima tengah baris keempat, pantun ke-360 dan ke-380 di mana dalam kedua-dua pantun, rima tengah baris pertamanya tidak berima dengan rima tengah baris ketiga.

Adapun bagi pantun ke-361, sahaya menganggap perkataan “Bandar” itu ada bunyi sepunya dengan perkataan “Widaq” kalau pantun ini dialun dengan loghat utara.

Mengidam nak mendengar rangkap pantun yang dimaksudkan? Makanya, buku ini lekas-lekaslah kalian dapatkan!

Kosa Kata Berulang

Menulis dan mengarang senaskhah karya sastera dalam bentuk yang berima sebenarnya amat mencabar. Selain daripada penulis wajib memastikan makna yang ingin disampaikan itu jelas tersandar, mereka juga perlu mengelakkan daripada mengalami sindrom kekontangan kosa kata sepunya dalam penghasilan karya mereka.

Kebanyakan pantun dalam buku ini mencerminkan kehebatan dan keluasan kosa kata Ayahanda kita. Misalannya yang amat mengangumkan sahaya ialah pada kosa kata sepunya bagi perkataan yang bukan berasal daripada kosa kata Bahasa Melayu.

Misalnya pantun ke-298 :

(298)    Kerusi roda daripada besi,
Pelbagai saiz serta bentuknya,
Dikirim kepada Raja Parsi,
Kisra Barwiz nama rajanya.

Sungguh kagum dengan penggantian kosa kata “saiz” yang diserupakan bunyi rima tengahnya dengan pasangan kosa kata “Barwiz”! Subhanallah!
Namun, sahaya perhatikan ada beberapa pengulangan kosa kata yang agak kerap telah dilakukan. Antaranya ketika meletakkan kosa kata “Muhammad” pada rima tengah atau rima hujung, kosa kata yang diserupakan bunyi rimanya dan sering diulang ialah kosa kata “cermat” dan “Segamat”.

Pengulangan kosa kata “cermat” ini berlaku di 34 rangkap pantun iaitu pada pantun ke-2, 3, 29, 36, 37, 40, 44, 48, 64, 79, 100, 103, 106, 110, 126, 166, 193, 198, 213, 214, 219, 223, 226, 227, 233, 265, 278, 293, 295, 312, 327, 361, 376 dan 401. Manakala pengulangan kosa kata “Segamat” pula berlaku di 12 rangkap pantun iaitu pada pantun ke-8, 20, 21, 61, 75, 76, 99, 122, 125, 136, 396 dan 408.

Sedangkan di sana kita mempunyai kosa kata lain yang rimanya berakhir dengan –mad bagi merimakan ia dengan kosa kata “Muhammad” seperti abad, babad, berhad, hasad, irsyad, jasad, jihad, lahad, muktamad, murtad, nekad, nomad, sanad, adat, alamat, amat, azimat, bakat, bejat, berat, cacat, catat, cermat, debat, dekat, erat, hajat, hemat, hikmat, isyarat, kalimat, kerat, kiamat, kumat, lambat, lebat, likat, lumat, minat, pekat, penat, rahmat, sendat, sengat, sesat, tamat, tepat dan banyak lagi.

Begitu juga dengan kosa kata “Talib” yang banyak diulang rimakan dengan kosa kata “tabib”. Pengulangan ini berlaku sebanyak tiga kali pada pantun ke-49, 50 dan 64.

Sedangkan di sana, kosa kata yang rimanya berakhir dengan –lib boleh dirimakan dengan kosa kata yang lain seperti habib, karib, maghrib, nasib, ratib, salib, tertib dan wajib.

Oleh hal demikian, faedah yang boleh kita ambil daripada ulasan ini ialah kepada mereka yang ingin menukil pantun berangkai-rangkai seperti ini sewajarnya kita menyenaraikan sebanyak mungkin kosa kata berima bagi meluaskan lagi perbendaharaan kata yang dipilih susun bagi menyesuaikan rima tengah dan rima hujung rangkaian pantun.  

Kait Pembayang dan Makna

Pantun berkualiti tinggi bukan sahaja pantun yang secara luarannya sempurna dijaga malah pemilihan pembayangnya yang seboleh-bolehnya membayangkan makna itu juga menjulang falsafah pemikiran yang mampu diungkap dengan cermat oleh penyusun pantun. Sebagaimana yang disebut di dalam novel Warisnya Kalbu pada muka surat ke-99[xv] :

“Pantun adalah lambang kesempurnaan yang terdaya dicapai oleh manusia Melayu dalam seni berbahasa. Dari segi bentuknya, dari segi bunyi dan iramanya, dari segi pengertian, dari segi tujuan dan maksudnya”

Sebagai contoh, Saudara Hazman Baharom - seorang aktivis pelajar di United Kingdom yang mengasaskan gerakan intelektualisme maya bergelar “Universiti Terbuka Anak Malaysia” atau lebih dikenali sebagai “UTAM”; dalam sebuah makalah yang bertajuk “Kesusasteraan Sebagai Wahana Pencerahan” pernah membincangkan berkenaan falsafah pantun mahsyur Buah Cempedak itu sebagaimana berikut[xvi] :

“          Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Sahaya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Dua baris yang pertama merupakan pembayang (yang membayangkan maksud), dan dua baris di bawah merupakan maksud.

Pertama, mengapa ‘buah cempedak di luar pagar’? Buah cempedak yang terletak di luar pagar menunjukkan bahawa kita tidak memiliki buah tersebut. Maka, jika kita ingin akan buah tersebut, perlulah kita mendapatkan kebenaran tuannya dahulu.

Kedua, mengapa ‘ambil galah tolong jolokkan’? Setelah kita mengetahui bahawa buah cempedak tersebut bukan milik kita, maka kita meminta tolong kepada pemilik tersebut untuk mengambilnya untuk kita. Hal ini disebabkan kita tidak ‘mampu’ untuk mendapatkan buah tersebut dengan daya kita.

Ketiga, maksud pantun. Setelah kita membaca maksud, barulah kita mengetahui bahawa pantun ini membawa maksud bahawa seorang yang tidak mampu mengesan kesilapannya memohon untuk dibetulkan oleh orang yang lebih mengetahui. Secara keseluruhan, pantun ini menunjukkan bahawa pada awalnya, ilmu baru yang dikehendaki oleh orang tersebut bukanlah dalam wilayah pemilikannya (seperti buah cempedak yang berada di luar pagar), dan dengan sebab itu, dia memerlukan kepada orang lain yang lebih berkemampuan untuk menolongnya.”

Perkara yang sama juga boleh didapati di dalam karya Ayahanda kita ini. Antaranya yang sahaya ambil secara rawak untuk cuba mensyarahkannya ialah pantun ke-193 yang berbunyi :

(193)    Menyusun bata hendaklah cermat,
Membina kolah pagarnya tinggi,
Musa berkata kepada Muhammad,
“Mintalah Allah ringankan lagi”

Pertama, mengapa “menyusun bata hendaklah cermat?”. Ini boleh difahami dengan baris seterusnya, kerana pelaku sedang “membina kolah pagarnya tinggi”.

Pembinaan kolah ini besar maknanya kerana lazimnya kolah didapati di perkarangan masjid di alam Melayu sebagai tempat pertama kita singgah sebelum ke beranda atau dewan masjid untuk menunaikan solat. Tidak lain tidak bukan untuk berwuduk jualah. Tanpa wuduk, tidak boleh kita bersolat. Tanpa kolah, tidak boleh kita berwuduk. Atas sebab itulah, ʿulamaʾ fiqh pernah menyimpulkan satu kaedah mahsyur :



Selama suatu kewajiban tidak akan sempurna kecuali dengan adanya sesuatu,
maka sesuatu itu hukumnya menjadi wajib”

ʿUlamaʾ Jawi selalu memberikan ibarat dalam kitab-kitab kuning dengan menyebut, kerana solat itu wajib, maka untuk menyempurnakan solat itu perlunya kepada proses penyucian (al-ṭahārah), maka wuduk itu menjadi wajib. Oleh kerana tanpa telaga atau kolah itu wuduk tidak dapat dilakukan, maka menggali telaga dan membina kolah itu pun menjadi wajib, kerana wuduk itu telah menjadi wajib disebabkan solat fardhu itu sendiri adalah kewajiban.

Oleh hal yang demikian, pembinaan kolah itu amatlah penting hingga menyebabkan penyusunan bata yang membina kolah itu hendaklah dilakukan dengan cermat kerana tanpa ketelitian melaksanakan kerja pembinaan, maka menjadilah kolah tidak sempurna. Dikhuatiri kalau-kalau wuduknya juga akan terkesan sama. Maka, bagaimana mungkin solat itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya andai wuduk itu tidak sesempurnanya?

Pembayang ini amat berkait dengan maksud pantun ini yang secara jelas cuba menyimpulkan kata-kata Nabī Mūsā ʿalayhi al-salām kepada Junjungan Besar Nabi Muḥammad ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidinā Anas bin Mālik radhiyaAllahu’anhu yang berbunyi :


قَالَ:ارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ


Dan telah berkata dia yakni Nabi Musa ‘alaihissalam : Kembalilah kepada TuhanMu dan mintalah kepadaNya agar diringankan lagi (jumlah rakaat solat itu) ke atas umatmu.”[xvii]

Kata-kata mulia ini telah diringkaskan dengan jayanya oleh Ayahanda pada baris ketiga dan keempat dalam pantun ini yang berbunyi :

Musa berkata kepada Muhammad,
“Mintalah Allah ringankan lagi”

Demikianlah kesempurnaan pembayang pantun ini yang sebenarnya berhubung kait dengan mensyarahkan secara halus maksud pantun ini dalam menghuraikan sejarah asal usul solat fardhu lima waktu di samping mengingatkan kita tentang bagaimananya cara ʿulamaʾ fiqh zaman-berzaman mengeluarkan hukum tentang kewajiban berwuduk itu sendiri yang asal hukum berwuduk itu sendiri adalah sunat.

SARANAN

Memandangkan karya ini julung-julung seumpamanya dikenali dalam alam Melayu, maka sahaya dengan ini mengusul cadangkan tiga “Sin” – Syiar, Silibus dan Syarah.

1.      Disyiarkan –

Adalah amat wajar sebagaimana majlis-majlis pembacaan kitab-kitab Maulid itu semakin semarak di tanah air kita ini, seperti itu jualah wajar kita membaca kitab Ayahanda kita ini sama ada dialun pantunkan ataupun dighazalkan.

Sahaya juga mencadangkan agar pantun-pantun Ayahanda ini disebar luaskan di dalam mana-mana penulisan – baik penulisan skrip drama, penulisan novel Islami, penulisan lirik berkaitan kenabian hinggalah penulisan ucapan-ucapan pemimpin negara ketika berpencak siasah di Dewan Rakyat mahupun di pentas antarabangsa.

Amat menarik juga seandainya pantun-pantun dalam koleksi Ayahanda ini dizahirkan dalam bentuk poster-poster dan iklan-iklan sempena sambutan Maulidurrasul mahupun acara-acara kesusasteraan bagi mengajar khalayak tentang betapa bersatunya pantun dengan ilmu berkenaan Kekasih Tuhan ini.

2.      Disilibuskan –

    Sahaya juga mencadangkan agar karya hebat Ayahanda ini diajar di kelas-kelas pendidikan formal seperti kelas Kesusasteraan Melayu dan KOMSAS Bahasa Melayu malah kelas Pendidikan Islam.


    Turut disarankan agar kitab ini ditelaah dan dihadam dalam kelas-kelas pendidikan tidak formal seperti di dalam kelompok-kelompok usrah, sembang-sembang di kedai kopi hinggalah ke kuliah-kuliah agama.


   Ini penting – bukan sekadar mendidik mereka tentang nabi, tetapi juga mengajar mereka tentang seni mengekspresi ilmu dengan warisan kita sendiri.

3.      Disyarahkan –
    
    Sahaya juga mengesyorkan untuk sesiapa dalam kalangan kita yang menggemari pantun dalam masa yang sama turut mencintai Nabi, mensyarahjelaskan lagi secara terperinci tentang pembayang dan makna-makna yang terpancar di sela-sela rangkaian pantun ini.

Bagi sahaya, sahaya menganggap kitab Ayahanda kita ini sebagai kitab yang berstatus Matn yang memerlukan kepada Sharh. Dan mana tahu, suatu hari nanti, ada pula cucu cicit kita yang berkenan mengeluarkan pula Ḥashīyah kepada kitab ini.[xviii]

Subhanallah! Ini suatu usaha yang amat murni, bertali arus tidaknya putus, dari satu zaman ke satu zaman - daripada satu generasi ke satu generasi.
           
KHATIMAH

Khulasahnya, usaha penerbitan rangkaian pantun sebegini amatlah terpuji. Terhimpun di sana paling kurang - dua sebab pujian.

Pertama, kerana ia memuji insan yang terpuji. Dan orang yang memuji insan yang terpuji itu adalah terpuji.

Sebagaimana kalam guru pondok kami, al-Fadhil al-Ustaz Hanif Haji Ghazali al-Qadahi ḥafiẓahu’Llāhu taʿālā ketika ditanyakan apakah pendapat al-Fadhil tentang mereka yang gemar bermaulid dan berzanji?

Dijawab al-Fadhil – dengan mafhum :

“Pendapat sahaya, selalunya orang-orang yang memuji ini
kebiasaannya adalah orang-orang yang terpuji!”[xix]

Kedua, sebab pujian yang harus diberikan kepada Ayahanda kita ini adalah kerana beliau memartabatkan pusaka alat penyampai ilmu-ilmu besar yang telah diringkas benar di dalam prosa-prosa tradisional seumpama pantun ini.

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam bahagian "Pujian" - seandainya ʿulamaʾ muʿtabar dari bangsa lain itu telah berbondong-bondong menulis bait-bait nazam bagi meringkaskan ilmu-ilmu utama Islam, sebagaimana itulah sahaya melihat Ayahanda kita ini telah cuba dengan sedaya upaya untuk memartabatkan prosa tradisional Pantun ke peringkat dan takat yang sepatutnya! Sebagai alat pendidikan ummat dengan menyampaikan kisah Insan Yang Terpuji dengan menggunakan Prosa Nenek Warisan kita sendiri!

Buku sehebat ini pastinya tidak akan dilepaskan untuk dimiliki oleh para pencinta Rasul dan penggemar seni pantun!

Dengan ini, ayuh kita labuhkan sauh pengembaraan ulasan buku Ayahanda kita dengan serangkap pantun yang sahaya petik daripada koleksi pantun Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat ḥafiẓahu’Llāhu taʿālā, mantan Menteri Besar Kelantan yang berbunyi :

Kalau berladang kurang tekun,
Lesap padi ditelan belukar,
Kalaulah hilang tukang pantun,
Senyap sunyi bandar yang besar![xx]

Sekian.

Tamat dengan pujian kepadaNya!

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Walillahilhamd!

Siap ditulis jam 4.32 petang
Tanggal 13 Rejab 1434H
Bersamaan 23 Mei 2013M





[i] Ini merupakan teladan daripada tradisi ʿulamaʾ zaman berzaman yang memulakan sebarang nazam mereka dengan didahulukan dengan memuji Allāh subḥānahu wa taʿālā (Sang Hyang) dan kemudian selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muḥammad ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam (yang Sang) juga keluarga baginda kemudian para sahabat dan seterusnya generasi yang mengikuti jalan Islam hingga hari Kiamat.

Contohnya, di dalam ‘Naẓam Muqaddimah ʿIlm Nahw Ibn Ājurrūmi’ yang disusun oleh al-Syakh Muḥammad Ābbah al-Qalawī al-Shinqītī raḥimahu’Llāhu taʿālā, nazam awalnya disusun seperti berikut :

قَـالَ عبيد ربه مُحَمَّـدُ
اللهَ فِـي كُـلِّ الأُمُـورِ أَحْـمَـدُ 
مُصَلِّيًا عَلَـى الرَّسُـولِ المُنْتَقَـى
وَآلِـهِ وَصَحْـبِـهِ ذَوِي التُّـقَـى

Telah berkata hamba kepada Tuhan yang kerdil bernama Muhammad,
Kepada Tuhan dalam setiapnya urusan aku memuji-muja,
Dan disampaikannya selawat ke atas Utusan yang terpilih amat,
Juga ke atas keluarganya dan sahabatnya yang amat bertaqwa.

[ii] Ismail Restu (2012), Pantun Kisah Rasul Tercinta, Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Kuala Lumpur

[iii] Minit ke 0.55, Guan Eng di mata mereka..... Chapter 1 of 3 "Cinta & Gelora" di pautan https://www.youtube.com/watch?v=D1Qv0UECMgQ

[iv] al-Syakh Zainul Abidin bin Muhammad Al-Fathani raḥimahu’Llāhu taʿālā dalam Kitab Yang Ini Yang Bernama : Aqidatun Najin di mana pengalihan tulisan jawi ke Rumi disempurnakan oleh Ustazah Noraine Abu (2011), al-Hidayah Publications, Selangor khususnya dalam Bab Wajib Mengenal Allah dan Rasul, halaman 33-35

[v] Muhammad Mujahid Bin Ir Mohammad Fadzil (2012), Hakikat Kenabian Rasulullah ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam dan Kekasih Allāh subḥānahu wa taʿālā Menerusi Kitab Jauharah al-Tauhid, Mawleed Publishing Sdn. Bhd., Selangor, halaman xii

[vi] Darma Mohammad (2013), Jaras Cinta Rumi : Percikan Pemikiran, Apresiasi & Ekpresi Pujangga, Pelima Media Sdn. Bhd., Selangor, halaman 1 dan 20-21

[vii] Sri Rahayu Mohd Yusop (2008), Warisnya Kalbu, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., halaman 100 khusus pada perenggan :

“..Seperti yang tuan ketahui, pantun terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian dikenali sebagai pembayang atau sampiran, dan satu bahagian lagi maksud.

Bahagian pertama iaitu pembayang diumpamakan sebagai kulit yang menyaluti isi pantun. Tujuan ia dicipta adalah untuk mempersiapkan orang mendengar isi yang akan dikatakan.

Bahagian yang kedua mengandungi maksud, iaitu sebenar-benar isi yang hendak disampaikan.

Baris-baris pantun terbentuk secara berpasangan. Dalam hal pantun empat kerat misalnya, baris pertama pantun berpasangan dengan baris ketiga, sementara baris kedua berpasangan dengan baris keempat”

Menerusi buku ini, Saudari Sri Rahayu dinobatkan sebagai Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007.

[viii] Rujukan utama dalam penulisan ini ialah karya François-René Daillie (1988), Alam Pantun Melayu : Studies on the Malay Pantun, Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor

[ix]  Rujuk Bab VI : Words, Syllables, Rhytm, Music (The ‘Rules’ of Pantun Prosody) halaman 116 – 130 dalam karya François-René Daillie (1988), Alam Pantun Melayu : Studies on the Malay Pantun, Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor

[x] Petikan ‘Pantun Kisah Rasul Tercinta’ halaman xiii : “Rima tengah dan rima hujung baris satu dengan baris tiga dan baris dua dengan baris empat begitu sempurna diciptakan”

[xi] Dokumen daripada University of Sorbonne, Perancis tentang ringkasan kaedah George Bohas dalam menjawab kumpulan persoalan al-Tibrizî yang boleh diakses di pautan http://www.concours-arabe.paris4.sorbonne.fr/cours/metrique.pdf

[xii] Petikan dalam Kumpulan Pantun Melayu (1983), di bawah pantauan Zainal Abidin Bakar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, di halaman 21 disebut :

“Sukatan bunyi hendaklah sekurang-kurangnya delapan bunyi dalam tiap-tiap sekerat dan lebih-lebihnya dua belas. Di antara dua sempadan ini sebaik-baiknya sembilan atau sepuluh pada sekerat”

[xiii] 24 April 2013, Facebook rasmi A.Samad Said di pautan https://www.facebook.com/asamadsaid?fref=ts

[xiv] 3 Mei 2013, Facebook rasmi A.Samad Said di pautan https://www.facebook.com/asamadsaid?fref=ts

[xv] Sri Rahayu Mohd Yusop (2008), Warisnya Kalbu, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

[xvi] Saudara Hazman Baharom yang merupakan rakan rapat sahaya merupakan pelajar jurusan Ekonomi di Manchester tahun kedua yang merupakan aktivis sosial dan intelektualisme muda yang mengasaskan Universiti Terbuka Anak Malaysia di alam maya menerusi perkongsian kuliah atas talian oleh anak-anak muda Malaysia seluruh dunia membincangkan hal-hal falsafah, pemikiran dan kritikan sosial.

Dalam syarah pantun ini, sahaya memetik artikel beliau yang bertajuk Kesusasteraan Sebagai Wahana Pencerahan di pautan : http://basilhazmanblog.com/2012/08/26/kesusasteraan-sebagai-wahana-pencerahan/

[xvii] Sahih al-Bukhārī 5.227

[xviii] Ini merupakan jenis-jenis kitab dalam penulisan karya menurut tradisi keilmuan Islam. Matn ialah kitab asas kepada sesuatu ilmu. Manakalah, Sharh merupakan kitab yang menjelaskan lagi kitab M  atn melalui syarahan-syarahan berkaitan. Manakala, Ḥashīyah adalah perbahasan kepada Sharh. Artikel berkaitan hal ini boleh dirujuk di pautan : http://nountilakad.blogspot.com/2011/12/sumbangan-tradisi-matansyarahhasiyah.html

[xix] Seingat sahaya, pertanyaan ini berlangsung selepas selesai kuliah al-Fadhil al-Ustaz Hanif Haji Ghazali al-Qadahi ḥafiẓahu’Llāhu taʿālā di Masjid Batu, Permatang Pauh sekitar 2011 setelah membahaskan kitab Al-Shamāʾil al-Muḥammadīya wa al-Khaṣāʼil al-Muṣṭafawīya karangan al-Imām Abī ʿĪsā Muḥammad bin ʿĪsā bin Sawrah al-Salmī al-Tirmidhī raḥimahu’Llāhu taʿālā.

Beliau merupakan graduan al-Azhar kini berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Zubaidiyah, Merbok, Sungai Petani, Kedah dan banyak menulis buku-buku terjemahan daripada ʿulamaʾ seperti al-Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki ḥafiẓahu’Llāhu taʿālā dan ramai lagi.

[xx] Dipetik daripada bab “Sejenak Menghayati Pantun Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat” halaman 131 karangan Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz (2011), Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, PTS Millennia Sdn. Bhd., Selangor

Sebarkan Manfaatnya! :)