Tuesday, June 25, 2013

Madah-Madah Bertemu di Debu-Debu Jerebu






Hujan dari langit,
Bersihkan langit jerebu -
Qur'an dari langit,
Bersihkan hangit sang qalbu!











Kuat-kuat guruh,
Hujan sedang datang,
Ikat-ikat sungguh,
Cinta kita, sayang!

Kuat-kuat guruh,
Jerebu dah nak pergi,
Rapat-rapat sungguh,
Qalbu 'tu cincin hati!
















Apa sebab langit jerebu?
Kerana dosa pokok dibakar
Apa sebab jerebu qalbu?
Kerana dosa pelaku tegar










Matahari dalam kabut,
Asap kelabu sesak nafas,
Hati kalaunya ribut,
Lelap bisu, pekak dan malas!


Masjid dalam kabut,
Asap kelabu abu,
Apa dikau sebut,
Di dalam hati kamu?

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

24/25-062013

Thursday, June 20, 2013

Puisi Cermin Tiga Makhluk - Matluthfi90


Tengah malam semalam, Saudara Mud Luthfi menulis sebagaimana berikut :

Bulan separuh
Terangnya penuh

Hewan berteduh
Menumpang suluh

Insan berkeruh
Lenanya sungguh

Hamba bersimpuh
Tafakur patuh.

Sahaya merenung. Sahaya menenung. Dan sahaya merasakan rona-rona tulisannya ini berbentuk refleksi pengharapan berbentuk basyira [berita kegembiraan]. Dan sahaya teringat pendekatan sebegini adalah pendekatan para anbiya' 'alaihimussalamtu wassalam.

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا ڪَآفَّةً۬ لِّلنَّاسِ بَشِيرً۬ا وَنَذِيرً۬ا وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ 

Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); 
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).

Dan dengan menggunakan pendekatan yang digandingkan dengan basyira yakni nazira - sahaya cuba membalas puisi ini dengan lafaz berikut sebagai kritikan dan peringatan kepada makhluk Tuhan bagi tiap-tiap bait yang dikait.


Bulan bersimpuh
Malam pun labuh

Hewan bersungguh
Mengharap jenuh

Insan selingkuh
Mimpikan musuh?

Hamba berpeluh
Ego 'kan runtuh?

Dan memandangkan Saudara Mud Luthfi menukil puisi beliau dengan meter puisi* yang sempurna, maka sahaya pun tiru beliau juga. :)

5
5

5
5

5
5

5
5

Dan saya namakan puisi ini -

"Puisi Cermin Tiga Makhluk"

Cermin kerana bait-bait ini kalau disusun sebelah-menyebelah, ia membalas antara satu sama lain.

Tiga Makhluk - kerana kami bermain dengan perlambangan bulan, hewan dan insan/hamba!

Moga bermanfaat!

:)

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

*Apakah meter puisi? Boleh rujuk buat sementara waktu di sini dalam Bab Meter Puisi

MADAH POLITIK ITU HAI KAWAN


Politik itu hai kawan adalah seni,
Karyanya seni banyak tafsiran,
Ada mengeji ada memuji,
Ada menolak 'tau meraikan.

Politik itu hai kawan adalah senjata,
Ada yang tumpul - yang tajamnya juga,
Setiap senjata ada masanya,
Tak kena masa - tuan dimakannya.

Politik itu hai kawan adalah makanan,
Ada yang pahit, manis dan masam,
Pedas dan tawar kena hadamkan,
Banyak perencah rempah dan ulam.

Politik itu hai kawan adalah kenderaan,
Ada yang laju ada perlahan,
Ada yang maju ada yang lembap,
Ada di zaman putung berasap.

Politik itu hai kawan adalah fenomena,
Terlepas peluang habis merana,
Sabar menunggu gilir seterusnya,
Tegar membaik pulih semula.

Politik itu hai kawan adalah bangunan,
Asas binaan wajibnya kukuh,
Kalau tak teguh akhirnya runtuh,
Cumanya masa akan tentukan.

Politik itu hai kawan adalah hati,
Hati yang bersih - kotor ataunya,
Wajar ditanya kepada diri,
Politik kamu untuknya apa?

-Pasca Khutbah di Masjid as-Syakirin, siap 2:15pm kena belanja di Häagen-Dazs

سبحان الله وبحمده
سبحان الله العظيم

Wednesday, June 19, 2013

.

Bayu menderu
Esot-mengesot
Rencah bertamu
Hawanya kusut
Entah mengapa
Nafsunya herot
Tarik senyumku
Ialah merajuk!

Bayu menderu
Emosi mendengus
Rasional bertamu
Hawa berhembus
Aku mulai mengerti
Rawan-rawan di hati terhapus
Adalah dengan terus berbakti
Pada-nya tanpa harap bergambus



سبحان الله وبحمده
سبحان الله العظيم

Merajuk lalu,
Dipujuk bayu,
3.24pm
10 Shaban 1434
19 Jun 2013

Monday, June 17, 2013

NOSTALGIA : BELASUNGKAWA MASSA


Aku rindu pada ulasan-ulasan menjentik naluriku,
Saat aku masih remang-remang remaja,
Namun - aku dipaksa merelakan pemergianmu,
Ke manakah pergimu - wahai majalah-majalah Massa?

Mereka kata mereka tidak peroleh untung,
Sedangkan kami para pembahas menjadi khadam,
Kulit-kulit majalahmu kami tegar gonggong,
Naik turun pentas pertandingan sehari semalam.

Ke manakah pergimu - wahai majalah-majalah Massa?
Hingga rindu dan cintaku padamu kembali semula,
Dan perlukah aku menjadi semisal Baltus Hafez, 
Yang memuja reinkarnasi Lock-Nah dan Meela Nais?*

*Sila ziarah Mummy Returns (2001)

Belasungkawa Massa ]

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Denyar-Denyar Cahaya



Dan,
Aku benar-benar
meminta
akan denyar-denyar
cahaya!

Agar,
Jiwa segar-bugar
semula
dari hingar-bingar
dunia!

Semoga,
Lekas-lekas sedar
'kan jiwa
dari makar-makar
durjana!

Yang,
Goda cemar-cemar
jiwaku
dengan cakar-cakar
nafsu!

Tabir Malam
Sya'ban 1434H

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

INDAHNYA BERCINTA DENGAN TUHAN

Khat indah menukilkan keseluruhan surah ar-Rahman 

---

Bercinta dengannya Tuhan itu mudahnya ranum,
Cinta denganNya tidak berhajatkan temu janji,
Kerana Tuhan itu hakikatnya inna ma'akum aina ma kuntum,
Pada setiap masa setiap tempat siang malam petang dan pagi

Bercinta dengannya Tuhan itu indahnya nian, 
Cinta itu diikat ketat dengan permintaan, 
Sedangkan manusia meluat kalau kita selalu meminta, 
Sedangkan Tuhan itu makin kita meminta makin Dia cinta!

Bercinta dengannya Tuhan itu tiap-tiap perbuatan dilayani, 
Setiap pujian padaNya itu diganjari rayuan didengari, 
Setiap ucapan padaNya dibalasi kalau ingatNya diingati, 
Sehingga terasa malu mengenangkan bagaimana sang pencinta ini?

Bercinta dengannya Tuhan itu bila-bila kau boleh merajuk,
Nanti Dia akan mendatangkan takdir untuk kitanya dipujuk,
Maka - bagaimanakah bisa manusia-manusia tidak berTuhankan,
Sedangkan perasaan manusia naik turun dalam ribut dalam hujan?

Bercinta dengannya Tuhan itu tiada istilah Mencintai,
Kerana cinta denganNya sentiasa tetapnya Bercinta, 
Kerana Mencintai itu lazim selalunya seorang diri, 
Tetapi Bercinta itu adalah saling antara kedua-dua.

Bercinta dengannya Tuhan itu syaratnya ketat,
Korban jiwa, masa, harta, pangkat dan juga jasad,
Kerana bukannya senang mencapai hakikat ma'rifat, 
Perlu sabar ikhlas benar jalan ini tidaklah singkat!

Maka barangsiapa yang mencintai yang kekal -
maka kekallah nikmat kecintaan bersama Yang Kekal di syurga,
Barangsiapa yang mencintai yang musnah - tegal* -
itulah - musnahlah dia bersama yang fana' di negeri sana!

---

*tegal = kerana, oleh sebab; ~ itulah oleh sebab itulah, kerana itulah

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم 

Tuan Guru Nik Abdul Aziz : Antara Alif Lam Ma'rifah dan Tanwin Nakirah


Al-Fadhil al-Ustaz Ahmad Fadhli Bin Shaari memposkan gambar di atas pada 7 Jun 2013 dengan deskripsi berikut yang akhirnya saya komen untuk berkongsi ilmu lughah sedikit sebanyak.

Kata beliau :

"Lain kali sebut alif lam makrifah dan nakirah agar masyarakat biasa dgn istilah nahu..", kata TGNA kpd saya semasa berselisih di medan ilmu pagi tadi..

Rupa2nya beliau mendengar point terakhir saya tadi ttg hikmah kesusahan. Saya mengambil hujah dari Surah al-Insyirah, "sesungguhnya bersama kepayahan ada kemudahan.." ayat itu diulang dua kali dalam surah tersebut. Kepayahan disebut 'al-'usr' manakala kemudahan disebut 'yusr'. Saya nyatakan tadi kewujudan alif dan lam di kalimah 'al-'usr' menandakan ia kepayahan yang sama dan kemudahan yang berlainan.... ertinya pada kepayahan yang sedikit ada kemudahan yang banyak...

TGNA menegur agar terus dijelaskan istilah nahu (alif lam makrifah dan nakirah), ia lebih mendekatkan masyarakat kpd ilmu bahasa. Demikianlah TGNA, dalam apa jua kesempatan walau sekejap manapun, jika sempat akan ada pandangan dan 'buah kilas'..benarlah kata2 Dato Ahmad Yakob, tuan guru adalah institusi!

Berikut adalah komen saya :

(al-Insyirah إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرً۬ا (٦

Rugi tak amik peluang ni kongsi sikit apakah itu alif ma'rifah dan isim nakirah.

Ini adalah antara pengajian awal dalam bab isim selepas bab kalam semisal nazam as-Syanqiti li syarh matn al-Jurumiyyah yang menyebut -

فالإسم بحروف الخفض و بالتنوين او
دخول ال يعرف فقف ما قفو

Adapun isim yakni kata nama itu dikenali hanya dengan tiga tanda :

1. Huruf Khafd 
2. Tanwin
3. Alif alim dimasukkan di hadapan

Dalam erti kata lain, kalau nak kenal isim atau kata nama dalam Arab, ada tiga cara yang disebut di atas.

Huruf khafd tu tanya para ustaz lah. Panjang nak hurai.

Adapun tanwin itu seperti fathatain yakni baris dua di atas, kasratain yakni baris dua di bawah dan dhommatain yakni baris dua di depan yang kedudukannya adalah di belakang perkataan. Inilah isim nakirah. Isim nakirah bermaksud sesuatu kata nama itu umum dan tidak diketahui secara spesifik - rawak yakni random. 

Maka dalam hal ni yusran  يُسۡرً۬ا - dieja dengan tanda tanwin fathahtain yakni baris dua di depan yang duduk di belakang perkataan yusran. 

Disebabkan yusran yang bermaksud kemudahan ialah isim nakirah, maka sebab itulah Tuk Guru dan Ustaz sebut ia kata nama yang bermakna rawak dan umum, tidak diketahui - maka tafsiran kemudahan yang punya banyak jalannya tetapi tidak diketahui itu adalah tepat.

Manakala, alif lam ma'rifah adalah alif lam di depan sesebuah kata nama. Kata nama yang menerima alif lam ma'rifah bermaksud sesuatu kata nama itu khusus dan dikenali. 

Memandangkan perkataan al-'usr ٱلۡعُسۡرِ yang bermaksud kesusahan itu menerima alif lam - maka, kesusahan itu adalah dikenali dan kerana ia dalam bentuk tunggal (mufrad) maka ia satu kesusahan yang diketahui.

Sekadar tambahan, satu kata nama itu tidak boleh menerima alif lam di hadapan dan tanwin di belakang sekaligus. Mesti salah satu sahaja. Yang menerima alif lam itulah isim ma'rifah dan yang menerima tanwin itulah isim nakirah.

Dengan memahami konsep nahu (grammar) ini, maka terjemahan semisal dihuraikan oleh TGNA hafizahullahuta'ala dan Ustaz Fadli hafizahullahuta'ala adalah tepat. 

Wallahu'alam

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Friday, June 14, 2013

RASA BERCELARU MAKNA MENGGERUTU


Rasa ini terawang-awang,
Makna itu terapung-apung,
Rindu ini terkenang-kenang,
Cinta itu terkepung-kepung.

Air mata pun bergenang,
Sebak pula tergantung-gantung,
Alam menjadi lambang-lambang,
Dikutip ketip menjadi panggung.

Rasa berombak berlambung-lambung,
Makna melaut tidak terhitung,
Pepohon rindu bergoyang-goyang,
Lelangit cinta sunyi nan lapang.

Hati kini menjadi tempang,
Akal mati berasa bingung,
Berdiri kaki tidaknya senang,
Duduk pula berasa canggung.

Meski ramai dihurung orang,
Rasa seorang sendiri menanggung,
Hendak khabar nantinya berang,
Biarlah diri seorang kohong.

Adakah cinta benarnya agung?
Hingga aku terhuyung-hayang,
Makan hati berulam jantung,
Terasa kerdil amatlah malang!

Rambut kusut mula mengerbang,
Tadi bersila kini mencangkung,
Rasa ini mananya datang,
Marilah ke mari aku nak pancung!

Risau hirau amatnya bimbang,
Gelegak gelodak hingar dan dengung,
Sungguh hai diri tidak tergalang,
Kepada Tuhan aku bergantung!

_._

Pinggir jiwa,
Tubir bibir;
Asar -
4 Sya'ban 1434 H -
13 Jun 2013 M.

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Thursday, June 13, 2013

Cinta Memanggung, Rindu Menggunung!


Tak tertanggung hati menanggung,
Oh, tersinggung! Duduk pun canggung,
Cinta memanggung, Rindu menggunung,
Di mana hendak aku bertinggung? 

_._

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم


Sunday, June 9, 2013

Rasa "Baris Tegak"


Aku
Kaku
Untuk

Ceritakan
Esakan-esakan
Mengapa
Bertandang
Untaian-untaian
Rawan-rawan
Untuk berasa "baris tegak" itu!

_._


Allahul musta'an!

Friday, June 7, 2013

ERTI SEBUAH KAD HARI JADI


"Asyraf, nah!"

"Ala... kad je?"

Faqih tunduk. Menyirap darah merah di pembuluh-pembuluhnya - panas dan hangat lantas dia merampas kad itu seraya membentak - garang meneriak :

"Ha! Kad saja. Kad yang tak dihiasi emas, tak diperagakan permata. Bermodalkan huruf-huruf yang percuma. Kau ingat Tuhan bodoh sangat turunkan wahyu dalam bentuk kata-kata? 

Kau ingat Dia tak boleh turunkan wahyu untuk memandu semua manusia dengan membuat audio-visual macam video dan filem Mud Lutfi, Erwan Ishak & Steven Spielberg buat? 

Kau ingat Tuhan tak boleh turunkan wahyu dalam bentuk lukisan macam Leonardo, Raphael, Donatello dan Michelangelo? 

Kau ingat Tuhan tak boleh tulis lagu kemudian kau dan aku nyanyi-nyanyi lagu wahyu macam A.R Rahman atau Bach, Mozart dan Beethoven karang? 

Tapi kenapa Tuhan Yang Maha Pandai itu turunkan wahyu dalam bentuk kata-kata kemudian ditulis maktub kemudian kita baca sebagaimana nenek moyang kita baca kemudian anak-anak, cucu-cucu, cicit-cicit, piut-piut kita baca? 

Kenapa kenapa dan kenapa? 

Ya - semua itu tak ada harga terutama bagi kau - kerana kata-kata hanya-lah percuma, kan? 

Sebagaimana percumanya kata-kata aku yang tiada harga di dalam kad ini, kan? Kan? Kan?"

Terpaku Asyraf. Dan nafas-nafas Faqih tercungap-cungap setelah menghamburkan kata-kata yang meluncur deras laju itu.

"Sudahlah!", kad yang dirampas - dikeronyok masuk ke dalam sampul kad jingga itu semula.

"Aku nak balik. Salam!" Faqih berpaling dan mula mengatur langkah.

"Hei, Qih!", Asyraf menyapa tangan kiri Faqih dan menyoal,

"Merajuk ke ni?"

"Tak de la. Aku gembira sangat. Puas!" sambil berpaling, Faqih menjawab.

"Jangan la macam tu. Kalau aku tak buat macam tu, kau mesti tak beritahu tentang makna-makna yang jauh lebih bermakna daripada sebarang benda segala hadiah atas dunia. 

Bukankah engkau pernah beritahu aku - harta hidup kerana makna. Tanpa makna, harta semahal mana pun hanyalah bangkai yang tersadai di pusat pengumpulan sampah-sarap dunia, kan?" Asyraf dalam menyebut dengan suara perlahan tetapi menangkap bujuk hati sukma yang dalam.

Pandangan Faqih masih membelakangkan Asyraf. Namun, tangannya yang tadi keras agah kini mulai mengendur - dan terasa makin lembut. 

"Bagi balik kad itu pada aku. Ia bukan milikmu lagi. Ia milikku. Takkan kau nak jadi buruk siku, kan?" Asyraf menduga teman baiknya itu.

Faqih berpusing. Kad yang terperonyok masuk ke dalam sampul kad warna jingga di sebelah kanannya itu - kini berpindah tangan - semula, ke pemilik kad itu yang asal dituju.

"Dah - lain kali jangan buat macam ni. Hargailah sebelum pensyarahnya mati. Sebelum makna-makna yang tersirat di balik patah-patah ini terkubur tiada bernisan", lemah Faqih merintih - dingin terasa.

"Terima kasih daripada sekeping hati seorang yang jahil seperti aku, ya!" kata Asyraf perlahan.

"Sedangkan kasih kau aku terima. Apatah lagi maaf-mu!" Faqih mulai sejuk tenang, terukir senyuman di tubir mulutnya.

"Dah - jom aku belanja Secret Recipe Chocolate Banana!" ceria Asyraf mengajak.

"Mana boleh! Hari jadi kau, kan! Ok - sebab kau dah buat salah kat aku - kau wajib makan Kek Chocolate Banana tu sebab kek tu paling aku suka - tapi aku bayar! Ok?"

"Apa sahajalah - asalkan aku dapat semula temanku!"

":)"

"(:"

---

Aku ingin berhenti menulis saat aku mengejar dunia,
Kerana dunia itu najis hingga buat mata hati buta!

-Suara Hati saat pulang dari Jumaat 28 Rejab 1434H

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم 

Thursday, June 6, 2013

Madah Cuci Tingkap


Saya bekerja di Tingkat 23. Telah lama juga memerhati, cuma saat membaca kekicau seorang rakan di bawah membuahkan rasa-rasa di hati hingga terlayah balasan madah sebagaimana di bawah :


Mad props to the guys that risk their lives so we can have clean windows. 2 flers dangling from 30th floor doing that now at office.

Sahaya bermadah :

Engkau di tingkap aku di meja,
Adakah benar kita berbeza?
Kalau mu ikhlas kau lebih mulia,
Kalau ku malas ku lebih hina!

Sungguh Tuhan tidak melihat harta 'tau rupa, kerana harta dan rupa adalah kurniaanNya. Tetapi Tuhan memandang kerja usaha kita - sebagaimana apa? Kerana kerja usaha itu asal puncanya dengan apa yang ada di hati. 

Bukankah Tuhan telah berfirman - di akhir nanti ia adalah tentang soalnya hati?

يوم لا ينفع مال ولا بنون

إلا من أتى الله بقلب سليم 

Di hari yang tiada guna harta dan anak-pinak,
Melainkan siapa yang mendatangi Allah dengan hati yang sejahtera diletak?

[Para penyair : 88-89]

Dan Marwan segera membalas :

Aku di sini engkau di sana,
Dekat di hati jauh di mata,
Mungkin warna kulit sedikit berbeda,
Tapi taqwalah yang membezakan kita.

Kepada abang-abang pencuci tingkap, terima kasih yang tak terungkap!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Syarah Pantun Asal-Muassal Solat Fardhu Lima Waktu

Menyusun bata hendaklah cermat,
Membina kolah pagarnya tinggi,
Musa berkata kepada Muhammad,
“Mintalah Allah ringankan lagi”

-Pantun ke-193 Ismail Restu (2012), 
Pantun Kisah Rasul Tercinta, 
Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Kuala Lumpur


*Nota : Illustrasi ALLAH S.W.T. di Sidrat al-Muntaha tidak menggambarkan bahawa Allah Jalla wa 'Alaa itu bertempat. Tidak - sesekali tidak. Kerana Allah Jalla wa 'Alaa itu wujud tanpa bertempat - Allahu Maujuudun Bilaa Makan. Illustrasi itu bukan bermaksud Allah Jalla wa 'Alaa bertempat tapi bermaksud makhluk semisal Nabi Muḥammad ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam yang perlukan tempat! Dan di tempat itu, Baginda ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam menerima perintah solat.

---

Pertama, mengapa “menyusun bata hendaklah cermat?”. Ini boleh difahami dengan baris seterusnya, kerana pelaku sedang “membina kolah pagarnya tinggi”.

Pembinaan kolah ini besar maknanya kerana lazimnya kolah didapati di perkarangan masjid di alam Melayu sebagai tempat pertama kita singgah sebelum ke beranda atau dewan masjid untuk menunaikan solat. Tidak lain tidak bukan untuk berwuduk jualah. Tanpa wuduk, tidak boleh kita bersolat. Tanpa kolah, tidak boleh kita berwuduk. Atas sebab itulah, ʿulamaʾ fiqh pernah menyimpulkan satu kaedah mahsyur :


“Selama suatu kewajiban tidak akan sempurna kecuali dengan adanya sesuatu,
maka sesuatu itu hukumnya menjadi wajib”

ʿUlamaʾ Jawi selalu memberikan ibarat dalam kitab-kitab kuning dengan menyebut, kerana solat itu wajib, maka untuk menyempurnakan solat itu perlunya kepada proses penyucian (al-ṭahārah), maka wuduk itu menjadi wajib. Oleh kerana tanpa telaga atau kolah itu wuduk tidak dapat dilakukan, maka menggali telaga dan membina kolah itu pun menjadi wajib, kerana wuduk itu telah menjadi wajib disebabkan solat fardhu itu sendiri adalah kewajiban.

Oleh hal yang demikian, pembinaan kolah itu amatlah penting hingga menyebabkan penyusunan bata yang membina kolah itu hendaklah dilakukan dengan cermat kerana tanpa ketelitian melaksanakan kerja pembinaan, maka menjadilah kolah tidak sempurna. Dikhuatiri kalau-kalau wuduknya juga akan terkesan sama. Maka, bagaimana mungkin solat itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya andai wuduk itu tidak sesempurnanya?

Pembayang ini amat berkait dengan maksud pantun ini yang secara jelas cuba menyimpulkan kata-kata Nabī Mūsā ʿalayhi al-salām kepada Junjungan Besar Nabi Muḥammad ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidinā Anas bin Mālik radhiyaAllahu’anhu yang berbunyi :

قَالَ:ارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ

“Dan telah berkata dia yakni Nabi Musa ‘alaihissalam : Kembalilah kepada TuhanMu dan mintalah kepadaNya agar diringankan lagi (jumlah rakaat solat itu) ke atas umatmu.”

Kata-kata mulia ini telah diringkaskan dengan jayanya oleh Ayahanda pada baris ketiga dan keempat dalam pantun ini yang berbunyi :

Musa berkata kepada Muhammad,
“Mintalah Allah ringankan lagi”

Demikianlah kesempurnaan pembayang pantun ini yang sebenarnya berhubung kait dengan mensyarahkan secara halus maksud pantun ini dalam menghuraikan sejarah asal usul solat fardhu lima waktu di samping mengingatkan kita tentang bagaimananya cara ʿulamaʾ fiqh zaman-berzaman mengeluarkan hukum tentang kewajiban berwuduk itu sendiri yang asal hukum berwuduk itu sendiri adalah sunat.

---

Dipotong pendek bersempena Rejab 1434H ini bagi memperingati peristiwa al-'Isrā' wal-Mi'rāj daripada artikel : Ulasan Buku "Pantun Kisah Rasul Tercinta" nukilan Ismail Restu

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Wednesday, June 5, 2013

Im, belajar SASTERA di mana?


Ada yang bertanya saya,

"Belajar Sastera di mana?"

Saya katakan padanya :

"SASTERA itu asalnya sanskrit daripada perkataan "Su" dan "Sastra". "Su" bermaksud "indah" dan "Sastra" bermakna "cerita/naratif". 

Maka, beritahu pada saya - siapa di dunia ini tidak bercerita?

Justeru, semua orang bisa bersastera!"

"Tapi saya tak reti!"

"Sebab awak belum belajar mengasah alat yang telah awak punya!"

"Oh!"

"Ya, begitulah!"

":)"

"(:"

--

Khabarnya pengarah KIL itu graduan jurutera. Dan Redza Minhat memang seorang Banker. Jadi - ia bukan sesuatu yang ajaib dan luar biasa - kerana kita semua dicipta oleh Pencipta yang SAMA!

:)

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Tuesday, June 4, 2013

Jatuh Hujan Bukan Kejatuhan Tapi Kebangkitan Rasa!



ليس كل سقوط هو النهاية

فسقوط المطر اجمل بداية

Laisa kullu suquutin hua an-nihayah
Fasuquutu al-mathri ajmalu bidayah

---


Tidak semua yang jatuh itu adalah pengakhiran.
Jatuhnya hujan adalah secantik-cantik permulaan!

---

Tidak semua yang jatuh itu adalah pengakhiran, Jatuhnya hujan adalah permulaan sebuah kebangkitan!  
Bangkitnya - KEHIDUPAN!
:)
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Sebarkan Manfaatnya! :)