Friday, November 29, 2013

[ULASAN FILEM] REVIEW : USTAZ MU TUNGGU AKU DATANG



Saya kira Pierre Andre agak tergesa-gesa melangsaikan Ustaz Mu Tunggu Aku Datang.


Mengambil nuansa pengembaraan keinsafan dari daerah kejahilan ke wilayah permulaan ketundukan seorang hamba, Dadu dan Muiz, walau sedikit janggal dan terasa drastik, tiba-tiba berubah setelah diziarah oleh Hamzah yang menjadi Hamzah yang lain secara luaran namun masih mampu berlidahkan zaman jahiliyyah. Dadu dan Muiz mahu berubah dan matlamat pengembaraan (yang juga menjadi destinasi filem) adalah ke kuliah Ustaz Azhar Idrus hafizahullahuta'ala. Pelbagai liang liuk rencam dihadapi oleh mereka daripada dakwah tabligh kepada mangsa jenayah dan pelbagai lagi sebelum sampai ke destinasi akhir.



Untuk mengetahui liang liuk plot ini, tontonilah sendiri di pawagam.


Apapun, secara keseluruhan saya kira Pierre Andre cuba membawa nuansa ala-ala sinetron dakwah umpama Islam KTP di TV Al-Hijrah. Dan kerana inilah, saya katakan Pierre agak tergesa-gesa menyiapkannya kerana elemen-elemen dakwah itu tidak begitu tajam dan belum cukup ramuan kepelbagaian. 

Ada satu tempoh di mana saya merasakan saya dikuliahkan ("being lectured") misalnya plot ta'lim yang aduhai mendatar hingga tangisan Muiz yang sudah sedia lakonan itu nampak betul-betul macam buat-buat. Alangkah indah, kalau terus dibuat ala bayan yang penuh berperasaan atau usrah yang terus menyuntik motivasi. Saya tidak ada masalah dengan "lecturing plot" dalam kes ini ditonjolkan sebagai ta'lim; namun ia harus punya jiwa. Dan saya tidak nampak ini dalam plot-plot filem ini. 

Sang Murabbi amat wajar dijadikan naskhah rujukan Pierre dalam kepelbagaian uslub (pendekatan) dakwah andai Pierre mahu mengulang hasil filem yang dilabelkannya sebagai filem islami di masa mendatang. 

Dalam filem ini, watak Ali yang indah itu amat dipuji dan wajar dikembangkan lagi! Dia seorang pelakon yang ikhlas! 

Malah persoalan isbal (menyingkatkan seluar); amatlah sayang Pierre menggunakan dialog biasa. Kalau saya penulis skripnya, saya akan tulis -

"Kenapa abang singkatkan seluar ya?"

"Oh inilah sunnah. Kalau ikut hadis Nabi, dulu zaman jahiliyyah; mereka yang labuhkan seluar ni orang sombong. Jadi, nak tunjuk kita rendah diri kat Allah, kita singkatkan sikit seluar ni."

"Ooo....."

"Eh...buat apa tu?"

"Potong hujung seluar, kasi singkat"

"La.... lipat je, Dadu hehe. Paling penting, dalam hati - jangan sombong kat Allah"

Begitulah lebih kurang.

Ada dua perkara lagi yang saya rimas. Plot keinsafan atas sejadah.

Saya hitung dan saya jumpa paling kurang tiga plot - Hamzah, Ali dan sudah semestinya Dadu dan Muiz. Saya rasa ini amatlah cliche. Keduanya, paling sesak bila latar muziknya sama! Seruling Mohram! Aduh! Teringat Syurga Cinta dan Aku Masih Dara. Tolonglah - lepas ini cari runut bunyi lain dan khususkan kalau nak letak pun plot cliche ini cuma sekali sahaja dalam keseluruhan filem?

Saya faham filem ini untuk orang awam. Seboleh-boleh orang yang jahil. Namun ini tidak bermakna kerja kita boleh biasa-biasa. Sayang sungguh plot bagus pengalaman Tabligh ziarah amat singkat; dan sewajarnya dilamakan sedikit dan didramatikkan lagi sebagai kritikan masyarakat. 

Saya mengerti peranan Ustaz Azhar sebagai penarik utama filem ini dan memang saya sudah jangka beliau akan mengambil posisi sebagai Special Appearance yang sedikit sebanyak kelihatan sebagai tempelan. 

Namun, sayang sangat apabila Dadu dan Muiz akhirnya sampai ke Kuliah Ustaz Azhar, yang diperdengarkan ialah runut bunyi (tak salah saya seruling lagi? Aaaaaaaaaaaaaaa) dan elemen ketawa-ketawa ramai orang! Sayang sangat. 

Patutnya adalah satu plot, Ustaz jawab satu soalan penuh - barulah terasa kepuasan, saat penonton sudah tiba akhirnya di destinasi filem. Saya menjangkakan kot-kotlah Dudu dan Muiz tanya soalan pada Ustaz dan Ustaz jawab. 

Sayang sungguh, tema 1 Marhalah telah cantik ditonjolkan. Patutnya itulah dijadikan modal tanya soalan di slot kuliah itu secara penuh! Malah, itulah keistimewaan Ustaz Azhar pun.

Itulah - filem Pierre ini tidaklah menggembirakan saya sangat kerana banyak elemen sayang seribu kali sayang. Namun, ia juga tidaklah mengecewakan saya. 

Pierre harus studi benar-benar filem seberang baik dari filem pop Islami seperti Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih hinggalah filem dakwah sejarah semisal Sang Pencerah, Sang Kyai hatta Wali Songo serta filem dakwah kultus seperti Mengaku Rasul untuk menghasilkan sesuatu yang lebih bagus.

Saya percaya andai Pierre lebih rajin dan lebih cermat serta teliti, semangat filem Islami sebegini boleh dihasilkan dengan lebih berkualiti hingga menimbulkan impak dakwah sebagaimana yang dikehendak.

Saya ratingkan 7/10.



Selamat menonton! 

Tahniah dan Terima Kasih Pierre dan pasukan atas filem ini!

Baarakallahufikum! 



Ulasan ini juga amat bagus - membuka mata bagi yang kurang memahami bacaan orang-orang sinema : 
http://review-filem.blogspot.com/2013/12/anak-muda-kapitalisme-dan-ulasan.html
*Saya hormat Pierre atas percubaannya mahu tonjolkan elemen realiti yang sedang berlangsung dalam masyarakat - Ustaz Azhar Idrus dan Tabligh.  Jadi, rating saya itu sebagai refleksi penghargaan ini yang saya nampak rangkanya itu dalam filem ini walaupun, ya - masih belum cukup untuk membolehkan saya kata - WOW!


Tambahan :

[CADANGAN TONTONAN FILEM PERSIS UMTAD : UMMI AMINAH (2012)]


Saya terlupa untuk memasukkan dalam ulasan filem UMTAD sebelum ini. Ada satu filem yang amat menarik minat saya tentang cabaran seorang pendakwah muslimah dari seberang yang telah saya tonton dalam penerbangan Melbourne-Kuala Lumpur sekitar setahun yang lepas. Filem ini juga wajar menjadi rujukan para penerbit filem dakwah Islami bernuansakan roh Sang Murabbi. 


Amat menarik melihatkan jatuh bangun maju mundur semangat dan kecekalan seorang pendakwah muslimah yang jarang sekali diputar tayang di layar perak yang bertarung dalam menguruskan ummah juga keluarganya.


Filem ini saya ratingkan - 8.5/10 kerana nilaian dakwahnya amat terserlah dan paparan liang liuk rencam dalam perjuangan cantik dipaparkan sekaligus bisa dijadikan sebagai peringatan buat mereka yang istiqamah atas jalan dakwah.


Mudah-mudahan mendapat manfaat yang banyak insyaAllah!


Selamat menonton! :)



http://www.youtube.com/watch?v=7mHMvR81Q5Y

PETIKAN ULASAN AL-FADHIL AL-USTAZ HASRIZAL ABD JAMIL HAFIZAHULLAHUTA'ALA DI FACEBOOK :

Pada pandangan serba sederhana saya, biar pun Ustaz Azhar Idrus menjadi 'highlight' utama di dalam filem USTAZ, MU TUNGGU AKU DATANG tokoh sebenar yang ingin saya sampaikan ucapan tahniah adalah pengarahnya iaitu saudara Pierre Andre. Ustaz Azhar Idrus dalam 'special appearance' beliau hanya berfungsi sebagai cameo, namun cukup berkesan dalam meletakkan hala tuju perjalanan kisah ini. Coretan saya bukanlah sebuah kritikan filem. Sebaliknya sebagai sebuah penghargaan kepada usaha ulung ini, menghasilkan sebuah filem yang bersih namun kekal realistik, jauh meninggalkan filem Syukur 21 sebagai kayu ukur 13 tahun yang lalu.

Tahniah saya, pertamanya adalah pada lakonan Dadu, Muiz, Ali, Hamzah dan watak-watak sampingan yang baik. Dialognya tidak kaku, dekat dengan bahasa sebenar hidup di alam nyata, usik mengusik yang secukup rasa, tiada lawak bodoh, malah kelakarnya bijak hingga sebaik sahaja rasa mahu ketawa, penonton diheret ke emosi sayu yang bertentangan. Bukan mudah untuk mencipta suasana sambil ketawa, keluar air mata dan perasaan sebak menyepikan seketika pawagam. Tiada tragedi yang bukan-bukan, hanya menyingkap realiti, terutamanya ketika jemaah dihalau abang 'comel' kerana usaha dakwah disergah sebagai cuba meminta sedekah.

Tahniah saya, yang keduanya pula adalah pada kejayaan elemen-elemen subteks dimasukkan di sepanjang perjalanan filem. Saya yang asalnya membawa anak-anak menonton filem ini sebagai aktiviti cuti sekolah mereka, terus berminat memberi fokus sepenuhnya apabila Dadu menafikan namanya ada kaitan dengan judi, sedangkan beliau memang kaki judi, selepas lari daripada ajakan jemaah Tabligh dengan alasan Nora Danish ambil wudhu', berhenti di simpang dan termenung memikirkan sikapnya, sambil secara spontan mengalihkan kayu di tengah jalan yang berbahaya kepada orang lain. 

Ia tidak disebut. Hanya sepintas lalu. Pierre Andre menyelitkan secara subteks hadith Nabi sallallahu alayhi wa sallam, "iman itu ada 70 lebih cabang atau 60 lebih cabang, yang paling utamanya adalah kalimah La Ilaha Illallah dan serendah-rendahnya adalah membuang perkara yang menyakiti daripada jalan. Dan malu itu adalah salah satu daripada cabang iman" [HR Muslim]

Biar pun Dadu dan Muiz itu 'hancur' agamanya (kali terakhir Muiz solat Jumaat 4 bulan yang lalu), Dadu yang kaki judi itu masih ada iman di hatinya (mungkin tanpa beliau dan kita sedari) iaitu apabila Dadu mengalihkan kayu dari jalan. Sesuatu yang mungkin orang 'baik-baik' macam kita tidak buat. Dan itu cukup untuk memintas sebab-sebab yang panjang, mengapa Dadu dan Muiz dipilih oleh Allah untuk menerima hidayah.

Tahniah saya, yang ketiganya ialah pada kejayaan Pierre Andre mempamerkan imej yang positif kepada usaha jemaah Tabligh, yang sepanjang sejarahnya memang banyak menjadi asbab hidayah untuk anak muda seperti Dadu dan Muiz. Keikhlasan usaha jemaah itu melalui dialog anak orang kaya, Ali, ditonjolkan dengan baik, tanpa 'over do'. Demikian juga mehnah dihalau semasa mengetuk pintu rumah, elemen ukhuwwah, kerjasama, dan istiqamah mereka. Dadu juga tidaklah 'mengejut' Islamiknya apabila meneman Ali ke kedai membeli barang masak, masih membeli akhbar tabloid secara kasual. Scene di dalam tahanan bersama tahanan berjiran yang angkuh enggan solat dan doa juga bagus sekali.

Filem ini filem komedi.

Komedi yang mendidik.

Dan setting filem ini adalah setting filem-filem Metrowealth. Terbitan David Teo.

Maka ia tidak harus dinilai seperti hendak menilai sinematografi Ayat-ayat Cinta. Mungkin filem Kiamat Sudah Dekat, boleh dicerminkan, untuk penambah baikan.

Filem ini bersih sepenuhnya, tiada wanita yang berlakon dan tiada pendedahan aurat, sebagai satu pencapaian filem didik yang sangat wajar diangkat dengan penghargaan.

Terima kasih juga, buat Ustaz Azhar Idrus atas kerjasama beliau yang pasti banyak berperanan mengajak penonton menonton filem ini.

Namun, seperti yang saya sebutkan di awal tadi, tahniah kepada Pierre Andre kerana beliaulah tokoh sebenar yang mencorakkan filem USTAZ, MU TUNGGU AKU DATANG ini.

--------------------------------------------


Agak mendukacitakan, filem ini sudah pun tersebar di Youtube. Saya berpendapat, menonton filem ini di Panggung Wayang adalah lebih Halal, berbanding menonton barang curi, walaupun ditonton di Surau!

Wednesday, November 27, 2013

Surat Uka kepada Aid


Uka kira Tuhan telah menunjukkan Uka jalannya. Jalan melepaskan puing-puing terperangkap di balik hijab ini. Uka sudah lama berkerudung dari mendedahkan aurat rasa-rasa ini kepada Aid. Sehinggalah hari ini angin sejuk menyapa kalbu terlihatkan sesuatu yang membuatkan Uka berasa - "Oh, Uka tidak sanggup menghancurkan kebahagian yang Aid miliki".

Laduna Suara pernah bertanyakan hal ini kepada Uka. Beritahu atau tidak. Uka jujur katakan - tidak. Kalau Aid tolak, itu malapetaka. Kalau Aid terima, itu bala. Maka, pemberitahuan itu suatu yang sudah lama tenggelam karam dalam lautan pilihan yang mungkin ada. Yang tersisa hanyalah satu jawapan pasti. Untuk meluahkannya, jangan sesekali.

Cuma, mungkin - di sana ada satu jalan pemberitahuan. Andai Aid bertanyakan Uka - "apakah benar Uka mencintai Aid - juga?". Dan Uka tahu itu umpama matahari terbit dari barat ke timur dan bumi berputar dari timur ke barat. Satu kemustahilan yang maha dahsyat.

Malah, kecindannya - Uka telah lama merancang menjawab soalan itu -

"Apakah jawapan yang buat Aid gembira?"

Dengan jawapan sebegitu, tampak jelas selama-lama Uka tidak akan mengaku sampai Aid memberitahunya dahulu. Kerana Uka begitu canggung untuk meluah zahirkan rasa-rasa di hatinya kepada Aid.

Sementelahan, andai Aid tidak berbuat demikian, Uka akan terus diam membisu seperti batu-batu di jalan yang menghiasi taman dan buat tanda garisan juga penahan daripada sebarang kemalangan. Uka mahu Aid bahagia - walaupun Uka masih tertanya-tanya, apakah Aid juga mencintai Uka.

Apapun, Uka berkata pada diri Uka. Uka bisa sayang seribu orang, tetapi cinta hanya pada Aid seorang.

Uka hari ini mengambil keputusan untuk diam. Kerana bintang malam semalam mengkhabarkan Uka -

"Makin kita diam, makin kita dengar"

Uka mahu benar-benar dengar dari lubuk hatinya bahawa cinta kepada Aid ialah cinta yang sebenar walau memiliki Aid ialah suatu perkara yang amat tersasar - tidak akan terjadi di ranah bernama bumi ini.

Uka kira Tuhan telah menunjukkan Uka jalannya. Jalan melepaskan puing-puing hening yang telah berkunjung sejak sekian lama. Sejak Uka ditakdirkan Tuhan bertemu dengan Aid di pojok kenderaan besar itu. Uka tersenyum lalu tertidur kerana rasa keluarbiasaannya begitu subur hinggalah hari semalam - Uka dan Aid masih berhubungan, kelaziman bertanya khabar. Dan hari ini - kelaziman itu Uka rasa Uka mahu - argh!

Aid, Uka mohon diam, senyap dan sunyi dari alam!

Ikhlas,
Uka

--

Uka telah memungkiri janjinya. Uka menghubungi Aid semula. Uka bukan tidak bebas, cuma Uka tidak mampu melepaskan. Haish.. Uka Uka! :)

Sebarkan Manfaatnya! :)