Wednesday, August 16, 2017

Ulasan/Review Filem : Bad Genius (2017) – Semi Oksimoron Yang Menawan

Bad Genius. Judulnya bernuansakan semi oksimoron. Oksimoron menghasilkan paradoks yang menatijahkan ironi. Seorang genius tidak semestinya baik. Seorang yang baik pula jarang sekali genius.

Namun, kegeniusan yang diterjemahkan dengan kemampuan maksimum akal sewajarnya mampu juga mengenal baik buruk pekerti. Secara tuntas, inilah inti pemikiran Bad Genius sebagai mewakili begitu banyak naratif yang telah dibina manusia sepanjang zaman atas asas ironi yang begitu bersifat paradoks. 

Subjek Bad Genius jika berdiri sendiri tanpa predikat teramatlah tempang. Subjek tentang peniruan peperiksaan mungkin antara hal paling akhir dibicarakan dalam konteks heist-nya, malah mungkin lebih sesuai untuk dijenakakan (bukankah watak Bank menyebut, "Marilah meniru lagi. Kita pasti tidak akan ke penjara pun, Lynn!"). Masih ingatkah akan jenaka tular dari Korea yang diterjemahkan oleh orang-orang kita sebagai toyol? Betapa berapa banyak pun toyol engkau ada di dalam dewan peperiksaan, pengawas botak itu pasti pantas menumpaskan setiap toyol yang berkeliaran.

Darihal itu, berkesannya Bad Genius tidak semata-mata kerana subjeknya. Tetapi - sebagaimana sebuah ayat, predikatlah yang melengkapkan subjeknya hingga menjadikan hal seperti meniru dalam peperiksaan pun kelihatan begitu klasik dengan kelas nan tinggi (seklasik kod-kod “rahsia” irama Beethoven, Mozart dan Chopin di jemari runcing watak Lynn). Predikat Bad Genius tidak lain tidak bukan inti falsafah dalaman remaja yang begitu menggugah.

Sedari awal, kelihatan Bad Genius begitu kental arus teen movie-nya. Begitupun sahabat penulis saya, Shahkang mengutarakan betapa Bad Genius tidak benar-benar mendalami soal korupsi melalui simbolik duit kopi pengetua mahupun salahlaku orang-orang dewasa melalui isu cerai bapanya; kita memahami secara kerangka besarnya bahawa semangat filem ini adalah pada arus teen movie-nya, justeru hal-hal kritik sosial seumpama ini hanyalah dipercikkan seperti renjisan isu atau diselit-selitkan seperti taburan manik di baju.


Arus teen-movie ini tertonjol secara falsafahnya pada babak pertama filem ini, ketika syot kamera pada watak Lynn diambil menerusi cermin hingga menghasilkan biasan imej multi-dimensi. Syot yang sama juga diambil pada babak-babak hujung sewaktu Lynn ditemuduga untuk pekerjaan sebagai seorang guru. Dan ada sekali imej yang serupa diketengahkan pada babak peripeteia dalam naratif.

Syot sebegini secara berkesannya menceritakan bagaimana perjalanan jiwa Lynn dalam cerita ini begitu berlapis-lapis secara vertikal mahupun begitu beronak duri penuh ranjau secara horizontal; sesuai dengan gelojak api remaja yang begitu berkobar-kobar, cocok dengan gelodak semangat remaja penuh energi berdegar-degar.

Sedari awal, sutradara Bad Genius seakan-akan memberitahu melalui teraju utamanya - Ini cerita anak remaja; nilai moral bagi mereka seperti kelaziman sesosok remaja itu tergantung bagai sebuah perjalanan kembara. Di akhir jika mereka benar-benar jujur menempuhi kehidupan, mereka tidak akan menemukan melainkan kematangan dan kesedaran diri mereka sendiri.

Hal ini jika dipanjanglebarkan huraiannya boleh kita selami dalam dunia tak berpenghujung kaum sufi ketika membahaskan perjalanan nafsu manusia daripada tingkat terbawah yakni nafsu ammarah menuju ke lauwamah, mengarah ke mulhamah kemudian ke mutmainnah, setelah itu ke radhiah, meningkat ke mardhiah, menempati ke kamilah dan berteleku di mutamakkin.

Ramai memerikan Bad Genius punya twist yang menarik. Hal ini awalnya disanggah oleh sahabat penulis saya, Shahkang sebagai twist yang dimaksudkan ramai penonton itu bukankah begitu kabur? Benar, kalau mahu menonton filem yang diibaratkan sebagai carnival of twists, Race (2008, Bollywood) antara jawapannya selain produksi Now You See Me 1 & 2 (2013 & 2016, Hollywood) misalan.

Saya berpandangan sebegini, secara peribadi sebarang elemen twist sama ada bersifat peripeteia, anagnorisis, chekhov's gun dan sebagainya, akan menjadi berkesan apabila petanda-petanda awal diletakkan untuk ditangkap minda separuh sedar penonton. Di sini, minda separuh sedar penonton seakan-akan dimain-mainkan, dan permainan ini menjadikan tontonan menjadi begitu mengujakan malah ke tahap mengagumkan.

Contohnya, di dalam Bad Genius, sewaktu Lynn dan Bank bersiar-siar membelangkangkan latar Sydney Opera House (saya meneka mereka berada sama ada di Kirribilli Point, Milsons Point atau Kurraba Point; oh, rindunya zaman belajar kembara ke sana sekitar enam kali!), Bank begitu sukar untuk berswafoto dengan Lynn memandangkan sifat introvertnya yang mendalam.

Setelah segala detik cemas, gusar, pantas yang merembeskan andrelin penonton menjadi begitu deras; kita melihat pula betapa sukarnya Lynn hendak memadam gambar swafoto dengan Bank ketika dia disoal jawab di dalam bilik soal siasat. Bank tersenyum, seperti menandakan semuanya akan baik-baik sahaja. Lynn akur lantas memadamkan gambar swafoto berkenaan. Dan ya, Lynn dan kita semua tertipu. Sebenarnya perbuatan memadam gambar swafoto itu menandakan sifat jujur seseorang turut sama terpadam! Para penonton yang sudah menontonnya sudah tahu apa maksud kata-kata ini.


Debut Chutimon Chuengcharoensukying melalui watak Lynn sangat meyakinkan persis model yang bijaksana berlakon. Chanon Santinatornkul memerankan watak Bank pula jauh meninggalkan dirinya sama ada dalam drama-drama bersiri remajanya mahupun dalam Love's Coming (2014) mahupun Love Love You (2015). Teeradon Supapunpinyo sebagai Pat pula sangat konsisten aura playboy-nya lewat drama-drama bersiri remaja yang pernah dibintanginya. Sinematografi yang cun melecun, pergerakan syot kamera yang konsisten bercerita dan naratifnya yang jelas menjadikan filem ini sebuah lagi karya Siam yang sukar dilupakan.

Secara ringkas, Bad Genius boleh jadi ialah sebuah permulaan kepada kebangkitan angkatan baru perfileman The Land of Smiles (sambil menyeringai jirannya di semenanjung ranah bawah haha).

Rating peribadi : 8.5/10

Za'im Yusoff
Zohor, 16 Ogos 2017

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)