Artikel Wacana

Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Tuesday, November 5, 2019

Rumah Pusaka (2019) Separuh Siap

Pemberitahuan : Ulasan filem ini mungkin mengandungi spoiler bagi sesetengah orang.


Artikel ini disiarkan dengan versi lebih padat di Malaysiakini dengan tajuk "Pusaka yang kurang lemak dan masak" [KLIK]

Dijaja filem ini dari penerbit Dukun (2018), sebuah adikarya seram Malaysia yang hanya masuk pawagam usai 12 tahun terperap. Lalu, kusangkakan berbanding Dukun, Pusaka (2019) lebih cemerlang. Rupa-rupanya cuma lebih baik daripada Munafik 2 (2018).  Tidak lebih, tidak kurang.

Menariknya, takdir seperti sudah siap siaga menyambut Pusaka lantaran subteks kritik sosio-politik filem ini. Berlakunya ketentuan PRK Tanjung Piai hampir-hampir mampu mengentalkan lagi makna tayangan Pusaka dalam sela masa ini. Malangnya, takdir seperti bertepuk sebelah tangan apabila rumah sinema bikinan Pusaka separuh siap rohnya.

Subteks Hampir-Hampir Menjadi

Subteks Pusaka itu diperoleh jika diselarikan naratif dua pasangan kembar. Kembar seiras Balqis – Qistina (tanda kembar balQistina). Kembar tidak seiras Nuar-Nur (tanda kembar Nur tanpa A). Kedua-dua generasi kembar muda ini ditimpakan beban sejarah keluarga masing-masing.

Bagi kembar Balqistina, beban sejarah bermula dengan ambilan saka oleh ayahnya untuk tujuan kekayaan. Tambah syirik, neneknya juga mengambil jin bagi membentengi keluarga. Lalu, kembar Balqistina dimangsakan.

Balqis yang masih hidup memilih jalan sesat sama seperti ayah dan neneknya bagi membalas dendam. Dari sisi ini, seperti generasi sebelumnya yang sudah tercemar, generasi muda digambarkan turut memilih corrupted way bagi menghadapi onar hidup.


Bagi kembar Nu(a)r pula, dikhabarkan ibu mereka bermasalah lalu ‘pusaka tercemar’ itu turun pada Nur penagih ganja. Nuar yang juga detektif polis sebaliknya berbeza. Dia berusaha menjadi insan berguna lalu bergelut dengan kembarnya, Nur yang ketagihan. Nuar menyiasat kes kembar Balqistina lalu Nur terpalit sama dimangsakan.

Di titik alih plot, Opah memaculkan “Semuanya atas kau” pada Nuar. Lalu, naratif bergerak dengan Nuar sebagai pemutus naratif. Sampai di saat klimaks Nur dirasuk, Nuar memutuskan untuk menggerakkan bawah sedar Nur agar kuat bangkit melawan kejahatan.

Kesedaran itu membolehkan Nur melawan ketagihan seraya bersama Nuar di pengakhiran. Dari sisi ini, tidak seperti generasi sebelumnya yang sudah tercemar, generasi muda digambarkan memilih untuk menolak corrupted way lalu membina sebuah hidup baru.

Dengan itu, kita sebagai penonton rata-rata generasi muda mungkin juga peminat Syafiq Kyle, penggondol Aktor TV Paling Popular ABPBH ke-32 seperti diseru dengan laungan “Semuanya atas kau” dari Opah. Kita diajak merenung sama ada mahu memilih jalan jahat seperti pilihan segelintir nenek moyang atau jalan taubat yang lebih terang dan tenang. Semuanya atas generasi kita, generasi muda.


Hal ini jika benar-benar diimani secara istiqamah dalam Pusaka pasti cocok dengan perjalanan politik semasa. Jika naratif Pusaka benar-benar menjadi, dengan bangganya diisytiharkan Pusaka sebagai suara politik generasi muda yang menolak saka pusaka politik perkauman yang berpuaka daripada leluhur kita sejak zaman-berzaman.

Apatah lagi saat ini dalam musim PRK Tanjung Piai, kekotoran siasah begitu bersepah-sepai. Paling ketara, penolakan  terhadap bukan satu tapi dua calon Melayu-Islam oleh ketumbukan politik yang ironinya digemakan sebagai pejuang Melayu-Islam masani.

Jika ada yang cuba berhujah mengia-iakan tindak siasah seperti ini dengan - “fatwa berubah kerana dalam agama ada hal thabat (tetap), ada hal murunah (anjal)”, sambutlah tangannya sembari ucapkan “ma’a as-salamah!” (al-Qur’an, 25:63).

Bagaimana hal ini boleh dihujahkan begitu jika kewujudan harakah mereka sendiri hanyalah ijtihad siasah. Maka sebagai ijtihad, adakah sewenang-wenangnya mereka yang tidak bersetuju dengan bolak-balik siasah itu boleh diperkirakan salah? Ini hal yang begitu paradoksikal.

Hal-Hal Paradoksikal Pusaka

Paradoksikal ini jugalah sifat kegelinciran Pusaka untuk mewajarkan keputusan peleraian naratifnya melalui ‘deus ex machina’. Nuar menyerah diri kepada Maha Kuasa seraya rak jatuh gedebuk menghenyak saka.

Sebagai salah satu peranti plot, deus ex machina tidak bersalah. Yang bersalah adalah apabila pencerita tidak menjalinkan sebab-akibat yang kuat bagi deus ex machina hadir lalu impaknya sekadar angin lalu. Ada tapi tak terkesan.

Adakah Nuar seorang detektif tidak beriman? Lalu, wuduk yang diambilnya dalam babak terdahulu itu apa. Adakah hanya dengan mengentengkan saran bingit Luqman si peratib “ini syirik, itu syirik” cukup membingkaikan ketidakpercayaan Nuar pada hal spiritual?


Ini belum lagi soal pembinaan watak Nuar yang lemah intuisi kedetektifannya, sehinggakan kalau pistol dighaibkan, kita pasti tidak sedar yang Nuar adalah detektif. Inilah hal-hal yang begitu paradoksikal.

Memandangkan penerbit Pusaka adalah mantan penerbit Dukun, kita menjangkakan identiti detektifnya lebih kemas  daripada apa yang dibina dalam filem itu. Jika tidak lebih kemas, maka apa perlu watak detektif wujud dalam Pusaka jika hanya lebih serabut?

Dalam Dukun, watak detektif lakonan Namron dilihat jelas intuisi kedetektifannya lagi-lagi serasi dengan watak pembantunya lakonan Bront Palarae. Tidak seperti gandingan Nur-Nuar yang lebih mirip kekasih daripada adik-beradik. Masih segar ingatan bagaimana kes Diana diselesaikan dengan metafora jaringan gol Zizou. Hal-hal halus (baca : subtle) semacam inilah yang ghaib dalam Pusaka.

‘Jump Scare’ Tanpa Makna

Hampir dua dekad lalu, Monsters, Inc. (2001) sudah menitahkan bahawa cara bikin penonton takut dengan terkejut-kejut sudah ketinggalan zaman. Memang tidak adil untuk kita mengharapkan Pusaka menjadi naskhah seram revolusioner seperti Midsommar (2019), penafi klaustrofobia dan kegelapan yang diacuramu semacam The Wicker Man (1972) juga The Virgin Spring (1960), lantaran tona alam Pusaka itu sudah dibikin suram-suram kelam.

Namun setidak-tidaknya seperti Jaws (1975); Spielberg mengkehendaki makna untuk mencipta 'jump scare'. Pembikin naskhah seram yang baik menakutkan penonton bukan dengan bunyi tiba-tiba tetapi dengan subjek yang sedang bercerita - baik diam imejnya, baik gerak ceritanya sembari suasananya sekali gus menyatu.


Sayangnya naratif Pusaka lebih mahu tunduk pada ‘corrupted way of making horror’, dengan mencampakkan segalanya ke muka, ke telinga malah ke minda penonton yang sepatutnya diaktifkan fikirannya. Semuanya dimuntahkan termasuklah simbol nasi ganja juga diterang-benderangkan meski itu sudah terang lagi bersuluh satu kelewahan ketara.

Sekalipun Pusaka tidak begitu buruk saat bahagian teknikal produksinya yang layak diberikan kredit, namun masih wajar jika ada yang kecewa. Seperti kekecewaan kanak-kanak yang tular dek kekalahan pasukan Kedah dalam Piala Malaysia. Ujar bocah itu, “Main macam main dalam kampung. Main dalam kampung tak pa la. Ni Piala Malaysia.”

Saya bayangkan kalau bocah itu sudah jadi penikmat sinema mungkin setelah menonton filem-filem kita tahun ini di masa depan, dia bakal ujar, “Bikin filem macam orang kita saja wujud dalam dunia. Serupa orang luar tak tengok dan nilai kita!”.

Darihal itu, wajarlah pembikin kita bermuhasabah apa perlu sangat promosi filem sebagai filem pertama Malaysia itu, filem pertama Malaysia ini sedangkan pentas sinema kita lebih luas dari batas geografi.


Monday, December 29, 2014

Pengajaran Tegar Daripada Bah Besar

*Artikel ini adalah hasil daripada perbincangan dengan rakan-rakan; seorang penuntut tegar usuluddin & syariah al-Azhar, seorang geologis dan seorang penuntut sains politik. Di samping, artikel ini adalah merupakan permintaan rakan rapat kami, seorang doktor yang juga mangsa banjir yang terperangkap di Kuala Krai. Andai artikel ini bermanfaat, sebarkan ia agar suara-suara ini sampai kepada pihak-pihak berkaitan termasuklah kerajaan, pihak pengurusan bencana, media dan orang ramai yang turut terlibat sebagai pemerhati-pemerhati bencana. Wallahu'alam

Diterbitkan di MalaysianInsider di [KLIK]
--

Makan hati berulamkan jantung setiap kali menerima mesej Whatsapp langsung daripada rakan-rakan rapat yang terperangkap seakan-akan terkurung dalam sangkar bah besar, menagih bantuan meminta tolong.

"Saya di Kok Keli. Pusat pemindahan lebih 3,000 orang. Saya beri rawatan kecemasan hanya dengan cahaya daripada lilin. Teruk keadaan di sini."

"Bilik doktor saya ubahsuai menjadi labour room. Kami terputus bekalan air. Mujur kami mempunyai beberapa tong air mineral. Pesakit muda anak pertama. Kini, saya sedang menunggu ibu muda melahirkan anak sulungnya, seorang bayi yang tenat bersama dua pesakit yang disyaki ICB. Saya perlu berehat kerana saya hanya tidur 3 jam sejak semalam. Badan sudah terasa sengal dan mata sudah layu tetapi otak masih memutarkan pengalaman sedih tadi."

“Dekat pusat pemindahan Tendong, tidak ada makanan langsung. Sepupu mama aku baru sampai ke USM dari pusat pemindahan itu untuk dialisis. Tengah bawa makanan semua. Makan macam kebuluran. Macam dekat Somalia, orang bergaduh-gaduh rebut makanan untuk anak-anak kecil.”

Hanya sebahagian mesej mampu dikongsi di sini.


Pengajaran politikus dan media

Adakah terlalu sukar untuk para pemain politik faham saat hujan lebat merintik, yang kita perlukan ialah sekaki payung dan bukannya herdik-mengherdik dan komen-komen ramal dan tenung?

Kita tidak nafikan setiap musibah adalah amaran daripada Allah tetapi kata-kata “pembersihan dosa” yang kita hamburkan seberapa segera tidak mampu membantu mereka yang hampir-hampir kehilangan nyawa!

Setiap perkataan ada tempatnya, wahai YB-YB sekalian. Di waktu bencana sedang berlaku, kita perlukan bantuan bukannya komen dan pandangan.

Selain politikus, pihak berpengaruh yang lain sudah semestinya pihak media – elektronik mahupun cetak, internet, radio mahupun TV.

Kita berterima kasih atas segala liputan yang diberi dan susah payah para wartawan bergolok-gadai nyawa semata-mata untuk mendapatkan berita-berita daripada kawasan liputan.

Namun, yang kita hairan ada segelintir trend berita yang amat tidak sensitif dengan skala bencana yang begitu destruktif.

Berita berkenaan pasangan mangsa banjir sempat bernikah atas sampan, penduduk harung laut untuk menangkap bondongan kerang yang tiba-tiba datang dan sebagainya amatlah memalukan di saat ramai lagi mangsa banjir jika diteliti, mesej rakan kita yang terperangkap dan tidak menerima bantuan.

Media sewajarnya istiqamah dan sentiasa pastikan berita yang tersiar mempunyai nilai tambah untuk memastikan mangsa-mangsa bah segera dibantu agar semua nyawa dapat diselamatkan tanpa sebarang korban.

Berita-berita wajib betul dan tepat menggambarkan suasana yang terancam dan tenat agar ramai lagi warga Malaysia akan berkesedaran untuk menghulurkan bantuan, bukannya lega – tidak mengapa, kerajaan sudah tolong mereka.

Berita yang betul dan tepat ini amat mustahak kerana ia dapat mengekang penularan berita-berita palsu ketika rakyat sudah muak lantaran media perdana lambat melaporkan keadaan sebenar dan mula beralih ke media-media baru.

Wahai pemain politik juga pemain media, kembalikan suara rakyat dalam suara-suara anda. Tolonglah sensitif dan cakna dalam berbicara.

Pengajaran pengurusan bencana

Pertamanya, menutup ruang-ruang bencana sedaya upaya.

Kita sering mengaitkan musibah yang melanda atas sebab maksiat yang dilakukan.

Kaitan itu betul dan tepat namun kita sering lupa dan malas untuk mengkritik dan benar-benar mendesak sebab-sebab langsung sesuatu musibah itu terjadi bertitik-tolak daripada tangan-tangan manusia sendiri.

Siapa boleh padam fakta dan sorokkan hakikat isu penggodolan hutan di negara kita sudah tidak terkawal.

Dapatan Nasa yang mengesan penggondolan hutan (deforestation) secara besar-besaran berlaku di negara kita pada suku awal tahun ini sahaja di mana Pahang dan Negeri Sembilan mencatatkan kawasan baru penggondolan.

Malah, agensi satelit quarterly Indicator of Cover Change (QUICC) itu menyimpulkan peratus kes penggondolan hutan meningkat sebanyak 150% dalam masa lima tahun sahaja.

Budak sekolah rendah pun boleh menghuraikan kaitan kesan banjir besar dengan penggondolan hutan secara besar-besaran.

Soalnya, bilakah kita akan benar-benar insaf dan segera menghentikan kerja gila pembangunan ini?

Keduanya, isu darurat.

Kita tidak pernah kisah naik turun imej mana-mana politikus. Cukuplah yang berkenaan melakukan muhasabah sendiri. Yang jauh kita lebih risaukan ialah dengan segala kuasa dan kudrat yang kita punya, sejauh manakah bantuan dihulurkan segera?

Dari itu, pengisytiharan darurat yang tidak dilakukan mengundang persoalan ketika daerah Muar dan Ledang tidak sampai sehari dua terus diisytiharkan darurat dengan klausa-klausa tertentu akibat jerebu tahun 2013.

Malah pada saat ini, pihak berkuasa Bandung, Indonesia mengisytiharkan darurat sekalipun angka mangsa banjir mereka cuma mencecah 17,000 orang berbanding Kelantan dan negeri-negeri lain yang berkali-kali ganda jumlah mangsa berbanding mereka.

Alasan yang digonggong di corong media mangsa banjir tidak boleh menuntut pampasan insurans ialah satu alasan yang rapuh dan begitu teknikal sifatnya kerana para pelanggan insurans boleh mengisytiharkan kerosakan sebelum tarikh darurat diisytiharkan.

Jangan sampai rakyat bawahan beranggapan – kalau ikut logik insurans tidak boleh tuntut, makna kata kalau satu Malaysia tenggelam pun – di sisi para politikus, ia adalah hujah yang rapuh dan untuk mengisytiharkan darurat adalah suatu yang mustahil akan berlaku sampai kiamat!

Pokok pangkalnya, mengapa aset negara kelihatan begitu lambat sampai ke kawasan-kawasan “ground zero” sehingga banyak berita daripada rakan-rakan yang kita terima menyatakan bantuan belum sampai, helikopter sekadar berlegar-legar sedangkan sepatutnya sudah diketahui kaedah terbaik menghantar bantuan segera serta pusat penempatan tidak cukup bekalan.

Justeru, pihak pengurusan bencana seharusnya lebih bersedia untuk cepat dan tepat menggunakan “kuasa darurat” agar wang cukai rakyat yang membeli pelbagai aset mahal negara tidak berakhir di perarakan sambutan kemerdekaan saban tahun sahaja.

Ketiganya, isu pengurusan bencana.

Banjir berlaku hampir saban tahun. Ironinya, adakah kehadirannya setiap tahun membuatkan kita terasa imun sehinggakan tindakan pihak berkuasa pada awal bencana memperlihatkan seakan-akan kita tidak bersedia dari segi bekalan, aset bantuan malah keselesaan?

Beberapa hari lalu, rancangan TV Khawater ada menceritakan bagaimana Turki membuat persediaan lebih awal, paling lewat seminggu sebelum jangkaan berlakunya bencana.

Perdana menterinya sendiri turun dan mengarahkan semua agensi kerajaan untuk bersiap sedia dengan bekalan dan persiapan yang rapi supaya rakyatnya terbela.

Disebutkan di sebuah kawasan, Turki berhadapan banjir besar pada tahun 2004. Namun, pada tahun berikutnya, banjir tidak berlaku sedangkan bacaan hujan pada tahun 2005 itu adalah empat kali ganda melebihi tahun 2004. Ini disebabkan pasca banjir 2004, kerajaan Turki mengambil langkah bijak untuk mengatasi masalah berkenaan daripada berulang.

Justeru, adalah menjadi keperluan supaya kedua-dua pihak (negeri dan persekutuan) menyediakan bekalan dan persiapan lebih awal di setiap pusat pemindahan. Pusat pemindahan sementara banjir yang tetap dan lengkap dengan segala peralatan di setiap daerah perlu disediakan bagi kawasan negeri yang berhadapan banjir saban tahun.

Memandangkan aplikasi sosial begitu meluas digunakan khususnya oleh mangsa bencana, adalah amat baik sekiranya pihak berkuasa sebaik sahaja bencana terjadi, segera melancarkan nombor WhatsApp dan ID WeChat bantuan khusus yang boleh dihubungi agar maklumat langsung diperoleh dan bantuan seberapa segera dapat dihulur.

Pengajaran pemerhati bencana

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Selaku rakyat Malaysia, saya teramat bangga dan terharu melihatkan warga kita yang begitu cakna menghulurkan bantuan seberapa segera baik mangsa bencana di luar apatah lagi di dalam negara.

Pusat-pusat pengumpulan bahan bantuan dan saluran-saluran derma tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Berita-berita langsung daripada mangsa-mangsa menerusi media sosial terutamanya WhatsApp and SMS begitu viral.

Hal sebegini wajib diteruskan.

Namun, dalam kemeriahan dan keikhlasan pemberian bantuan, masih wujud dalam kalangan warga kita yang tidak bertanggungjawab.

Mereka-reka nombor bantuan, melaung-laung cerita bohong, mengutuk-ngutuk sukarelawan dan melakukan pelbagai bentuk tafsiran dan tuduhan yang bersifat tidak membantu malah membantutkan perasaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Hal sebegini wajib dihentikan. 

Saya tertarik dengan mesej Usrah Nurani di IKIM.fm Jumaat lepas yang menyimpulkan – ketika kita ditimpa bencana, kita tidak sepatutnya disibukkan menentukan bencana ini bala ataupun ujian.

Yang segera kita perlu lakukan adalah bagi mangsa untuk terus sabar dan redha dan bagi pemerhati untuk segera menghulurkan bantuan berterusan sehingga mangsa bencana kembali seperti sediakala.

Akhirnya, bencana sepatutnya menjadikan kita seseorang yang lebih dekat dengan Tuhan dan semakin berubah ke arah kebaikan.


Penutup

Mulut kita terkadang terlalu lancang dan cepat benar memandang sinis apabila cerita-cerita tragis daripada mangsa bah besar berlegar-legar di media sosial.

Cukuplah petikan catatan FB Dr Afiq Rahim, mangsa bah besar di Klinik Kesihatan Badang, Kelantan mencelikkan kita bagi mangsa bah besar, media sosial adalah satu-satunya talian hayat yang mereka ada.

“Oh ye, ada yang berkata dalam keadaan sibuk masih sempat berkongsi cerita. Saya terpaksa. Jika tidak anda di luar tidak akan tahu situasi kami kerana wartawan pun tidak mampu meredah banjir dan membahayakan nyawa hanya untuk secebis berita biasa.

Juga, jangan lupa untuk kongsikan kisah ini kepada pihak atasan agar keluhan dan rintihan kami mangsa banjir dapat terus didengari. Teruskan menderma.

"Selamat malam dunia bawah air!”

Wahai rakyat Malaysia, bagaimana anda membalas ucapan selamat malam itu? Sekadar memandang atau segera bertindak membantu? – 28 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/pengajaran-tegar-daripada-bah-besar-zaim-yusoff#sthash.V7nqXBrv.dpuf 

Sebarkan Manfaatnya! :)