Sunday, August 4, 2013

SYARAH PANTUN KAJANG MAHSYUR


Adinda Saiful Azmi ada bertanyakan kita akan pantun mahsyur ini :


Kajang Tuan kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang layu;
Dagang Tuan dagang bertempat,
Dagang saya terbuang lalu.

Juga mahsyur dengan gaya begini :

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu,
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang hamba terbuang lalu.

(Sri Mersing, Salleh Ghani dipantunkan oleh Nordin Ahmad)

Pertamanya, apakah itu Kajang?

Jawabnya :

Pertamanya, Kajang ini bukan Kajang, Selangor atau Sate Kajang. Kajang ini ialah anyaman daripada bambu (daun nipah, mengkuang, dsbnya) untuk dibuat atap atau kalau boleh disebut sebagai payung Melayu. 

Kebiasannya, kajang yang dipakai oleh orang-orang kebanyakan dan marhaen tidak berlipat. Adapun kajang yang berlipat yang boleh dilipat dua dimiliki oleh orang-orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan berada dalam masyarakat lantaran pembuatannya lebih sukar dan ia lebih mudah disimpan lantas nilai harganya itu lebih tinggi. 

Maka, saat disebut pemantun Kajang Tuan kajang berlipat atau Kajang Pak Malau kajang berlipat; ia memerihalkan kedudukan yang ditujukan pantun itu, lebih tinggi berbanding si pemantun yang lebih rendah kedudukan sosialnya. Lantas, aura enggang sama enggang, pipit sama pipit - manakan boleh enggang dan pipit terbang bersama itu pun muncul.

Adapun Dagang Tuan dagang bertempat atau Dagang Pak Malau dagang bertempat; ia memerihalkan kedudukan Tuan/Pak Malau yang lebih tetap dan tidak goyah di mata masyarakat berbanding diri si pemantun yang entah dipedulikan entah dihiraukan yakni terbuang oleh manusia seperti melukut di tepi gantang, masuk tak penuh, keluar tak kurang, dibawa ke padang tak dipatuk ayam, dibawa ke kolam tak disudu itik.

Adapun pantun ini terus mengingatkan sahaya pada sebuah pantun di dalam lagu ‘Pandang-Pandang Jeling-Jeling’ oleh Tan Sri S.M. Salim dan Dato' Siti Nurhaliza yang terngiang-ngiang di telinga sahaya :

Kereta kuda pedati lembu,
Singgah mari di tepi kuala;
Tuan sutera sahaya belacu,
Manakan boleh berganding sama!

Wallahu'alam

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

*Terdapat persoalan berikut berkenaan perkongsian ini di Facebook :

"Kira paradigma kasta ini telah tertanam dalam masyarakat melayu sejak dulu secara tak langsung."

"Saudaraku Zaim, bagaimana tuan dekonstruk pantun ini menurut pandang alam Islam yg melawan kasta?"

Jawabnya sahaya :

Saat meneliti kalam-kalam orang yang halus lagi berseni, saat mengungkap sesuatu peri menggunakan perlambangan daripada alam - adalah sesuatu yang selamat dan salam, andai kata kita bersangka baik terlebih dahulu sebelum membenarkan diri menelaah dalam akan kata-kata yang tersingkap yang berkenan untuk dihuraikan jauh lebihnya dalam.

Sebermula akannya pantun, tradisi Melayu molek tersusun secara harfi mahupun maknawi, akan harus diperingat pada tiap-tiap diri bahawa hakikat pantun sebagaimana yang telah diikat ketat dipasak letak oleh Allahyarham Ayahanda Usman Awang rahimahuta'ala dalam karya magnum opusnya; Puisi Melayu.

Berkata Allahyarham Ayahanda Usman rahimahullahuta'ala dalam Puisi Melayu -

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun

Maka, sudah terang lagi bersuluh, nampak intan permata sungguh - bahawa pantun itu adalah senjata buat sang kerdil menikam sang agah lagi ponggah dengan tamsil-tamsil yang datang hadir melanyak keegoaan si pembesar dengan kalam-kalamnya yang halus mulus indah terbentur itu.

Dalilnya?

Ketiadaan jawapan bagi pantun itu telah memberikan satu isyarat yang jelas - bahawa yang ditujukan pantun telah ditikam tajam oleh pantun berkenaan sehingga tidak mampu menjawab pantun tersebut!

Lantas - ini menunjukkan keberanian membunuh dalam senyap oleh orang-orang Melayu zaman dahulu yang harus ditenung renung oleh kita - disambung lagi oleh Allahyarham Ayahanda Usman Awang rahimahullahuta'ala kita :

Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam

Contoh lain?

Pantun yang sahaya nukilkan di bawah sekali yakni :

Kereta kuda pedati lembu,
Singgah mari di tepi kuala;
Tuan sutera sahaya belacu,
Manakan boleh berganding sama!

- punya jawapannya. Apakah jawapannya? Ini dia :

Burung jelatik sarang kedidi, 
Sarang tempua, sarang berjuntai, 
Sungguhpun cantik sutera diuji, 
Belacu juga tahan dipakai. 

Ini menunjukkan bahawa orang-orang Melayu, sebagaimana kata Allahyarham Ayahanda Usman Awang rahimahuallahuta'ala :

Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Kesimpulannya, orang Melayu masih menuntun fitrah insan; kalau dipijak akan melawan - cuma adatnya, kalau melawan, lawannya penuh adab sebagaimana disimpulkan dalam perumpamaan nan indah :

Adat bersendi syarak, 
Syarak bersendi kitabullah!

Intaha. 

Wallahu ta'ala 'alam

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)