Friday, May 19, 2017

Secuplik Lagi Dan Lagi Tentang Malam Persembunyian

Pilihan. Setiap saat kita memilih. Untuk diri, sama ada mahu tidur atau jaga. Untuk keluarga, sediakan sarapan atau beli di luar sahaja. Kita memilih dengan berkeputusan. Dari keputusan, kita menjemput kesan. Kesan daripada pilihan inilah menentukan maju mundur, tinggi rendah, naik turun diri kita.


Dalam kalangan ahli sufi, pertimbangan ini disimpulkan dalam kefahaman martabat. Martabat sama ada darajat atau darakat. Darajat menaik. Darakat menurun. Mudah difahami dengan iman menaik, iman menurun. 

Darajat itu sukar, darakat lebih longgar, seperti huruf jim (daraJAt) yang lebih kuat bunyinya (syiddah) berbanding huruf kaf (daraKAt) yang lebih lemah. Darihal itu, memilih untuk meniti jalan darajat menaik jauh lebih sukar berbanding memilih untuk menurun dengan jalan darakat.

Destinasi perjalanan ini ialah pengetahuan, kefahaman seraya pengalaman sempurna dalam kerohanian. Yang dipanggil sebagai ma'rifah. Mengenali seraya menyaksikan punca segalanya dengan sepenuhnya. Itulah Tuhan. Itulah Allah. Jalla wa 'Alaa.

Darihal itu, pilihan yang kita pilih berkadar antara menjulangkan atau menjatuhkan martabat kita dalam perjalanan mencapai kesempurnaan rohani itu tadi. 

Hal ini sulit tetapi tidak mustahil. Misalnya, nilai pilihan antara seorang yang sihat dengan seorang sakit untuk menjamah makanan berkhasiat, nilaiannya berbeda. Lebih besar kesannya kepada yang sakit berbanding yang sihat. 

Begitu juga keputusan untuk seorang budak berkelahi dengan rakan budaknya boleh dipandang remeh akan kesan pilihannya berbanding apabila seorang selebriti berkeputusan untuk menumbuklempangkan selebriti yang lain, boleh dianggap lekeh pula.

Apatah lagi, apabila seorang calon kuasawan yang berkeriskan tarbiyyah berdestarkan dakwah bercapalkan siasah memilih untuk bersandar pada tiang undang-undang berbanding menggunakan logik hujah, seni seruan, akhlak mahmudah dan kedalaman fahaman dalam menyanggah apa yang dilihatnya sebagai dakyah daripada seorang kuasawan berpengaruh yang lain.

Nilai pilihan menunjukkan pencapaian martabat - antara darajat menaik atau darakat menurun seseorang dalam perjalanan kerohaniannya. 

Di sini, puisi Sajak Kepada Pengebom Berani Mati dalam #MalamPersembunyian tulisan Faisal Mat Zawi (Kata-Pilar Books, 2017) menggetarkan kesedaran kita lagi.


Sajak ini terus dan telus pada maknanya, kekuatannya bermula dengan nada sederhana mengikut arus naratif perspektif suara kata ganti diri kedua mempersoalkan gerak-geri persona sang pengebom mati secara emosi dan intelektual. 

Emosi dipersoalkan dengan bahasa bernada berpadanan dengan tujahan makna bagi menggelodarkan logik rasional pilihan-pilihan yang dipersembahkan oleh persona sang pengebom mati terhadap mangsa-mangsa pilihannya yang terkorban dek corak pegangan persona atas pengetahuan, kefahaman dan pengamalan agamanya. 

Hal ini tidak perlu saya panjangkan, sesiapa pun dalam kalangan penikmat puisi hatta yang baru bermula bisa mencicip manis pedasnya jeruk masam juadah enak anak didik alam Bangalore ini.

Bagaimana saudara
naik ke sidratul muntaha
dengan menggenggam
picu bahan letupan
berdiri di depan tuhan
dalam genangan darah
orang-orang tidak bersalah.

"Naik ke sidratul muntaha", "berdiri di depan tuhan" adalah sangkaan persona bahawa telah dibuatnya pilihan darajat namun digelitarkan dengan persoalan pilihan darakat pada diksi "dalam genangan darah / orang-orang tidak bersalah". Menimbulkan bidasan yang tuntas dan jelas.

Tradisi pengetahuan beragama seberapa magis dan aneh sekalipun, bukanlah pokok ajaran agama yang benar kerana mana bisa Tuhan Maha Menciptakan itu menyusun sesebuah ajaran dengan hal-hal di luar keupayaan para hambanya yang berteraskan tunjang akal fikiran dan akar nurani hati yang mampu menaakul bukan sahaja secara emosi malah intelektual sekalipun. 

Hal-hal magis ada, tidak ternafi tetapi bukan hujah utama dan pokok lantaran subjektifnya hal ini untuk dinalarkan; ada diskusi khusus dalam hal ini. Maka, apa perlu gentar saat penganut agama lain mengetengahkan pengalaman magis menurut acuan kepercayaannya?

Darihal itu, adalah sesuatu yang pelik malah jelek, saat kita yang dikatakan intelek memilih jalan singkat seperti senjata dan undang-undang berbanding ilmu di dada dan akhlak wacana terpampang. Apakah beza seorang intelek ini dengan persona sang pengebom mati?

Tambah memualkan, memilih untuk memancarkan cahaya picu senapang mahupun memilih untuk menyinarkan cahaya paranoid di belakang undang-undang, apakah boleh dikatakan sebagai cahaya Illahi yang ingin ditajallikan?

waktu saudara menjerkah
nama-Nya yang mulia suci
itulah kali pertama barangkali
tukang jaga kaunter di Brussel
atau pelancong yahudi di Taksim 
mendengarnya dengan telinga sendiri
tapi mereka tak sempat bertanya lebih lanjut 
letupan dari tubuh saudara bikin mereka tuli 
silauan cahaya membutakan mata
sebelum mereka mati
tapi saudara, itu bukan cahaya ilahi.

Kemuncak sajak adalah di hujung saat rangkap terakhirnya menyentakkan kita dengan suatu alegori yang sadis, sinis dan punya magis tersendiri dalam menghiris segala pengetahuan, kefahaman seraya pengalaman agama yang songsang lagi ironis yang dipegangtatangkan oleh persona sang pengebom mati yang tragis.

Bagaimanakah saudara
masuk berjumpa tuhan
meninggalkan mereka
menyorokkan kunci dalam saku baju
sedang rumah tuhan tak berpintu.

Persona sang pengebom mati malah sesiapa sahaja yang memilih jalan yang disangkanya darajat tetapi darakat semata-mata ini disimpulkan dengan hakikat apakah tercapainya matlamat "dakwah" yang sebenar. 

Teringat kita kepada dialog hikmah seorang Ahlillah kepada seorang anak muda yang radikal.

"Apakah dibolehkan untuk dibom sebuah kelab malam dalam sebuah negara majoriti penduduknya beragama Islam?"

"Harus, ya Syeikh"

"Ketika mereka bermaksiat lantas mereka dibom, di akhirat nanti di manakah mereka akan ditempatkan?"

"Neraka, ya Syeikh"

"Maka, apa beza kamu dengan syaitan? 
Kedua-kedua kalian menghantar hamba-hambaNya ke neraka?"

Teringat kita, saat seorang jenazah Yahudi ditatang di hadapan Baginda Nabi solla Allahu alaihi wa aalihi wassalam, Baginda Nabi menangis. Ditanyakan perihal tangisan Baginda Nabi. Dijawab Baginda Nabi yang mulia,

"Satu roh telah meninggalkan aku 
dan menuju ke neraka."

Rumah Tuhan tidak pernah berpintu. Syurga Tuhan sememangnya terbuka. Kita yang mengada-adakan cerita, RumahNya ada kunci di mana akulah satu-satunya pemegang kunci. Melalui aku, menerusi aku sambil mulut, tangan dan kaki kalian digari, tanpa perlu sebarang kenyataan lagi.

Meminjam kata-kata Hazman Baharom dalam statusnya :

Sebenarnya dalam isu Kamarul vs Hannah Yeoh, sepatutnya kedua-dua pihak jangan bawa kepada polis atau pihak berkuasa di bawah autoriti kekuasaan (the state). Sepanjang sejarah, dalam hal sebegini, institusi negara - seperti polis, mahkamah, kerajaan, dsb - pasti (nota : saya lebih gemar menyatakan, lebih besar cenderung untuk) akan zalim kerana ia juga punya herotan (bias) tersendiri.

Memetik Deborah Lipstadt dalam filem Denial (2016) ketika buku beliau tentang peristiwa Holocaust diadili di mahkamah di London, "the court of law is a lousy place to judge historical truth," maka begitulah juga "the court of law is a lousy place to judge theological truth."

Bullet Shah rahimahullahutaala, penyair besar Punjabi Sufi Muslim pernah bermadah :

Runtuhkanlah masjid
runtuhkanlah biara
runtuhkanlah segala
yang ditangkap pandangan.

Namun, jangan runtuhkan
hati-hati insan
kerana di situlah tempat
tinggalnya Tuhan.

Jalan yang kita pilih biarlah senantiasa darajat sifatnya, mudah-mudahan - walau betapa sukar. Mohon perlindunganNya daripada memilih denai darakat yang merosakkan walau betapa longgar.

Wallahu'alam

Za'im Yusoff
19 Mei 2017
5.33 pagi

Wednesday, May 17, 2017

Secuplik Lagi Tentang Malam Persembunyian

Di manakah kehebatan puisi? Alegori. 

Alegori ialah sejenis metafora yang menggunakan watak, tempat mahupun peristiwa untuk menggambarkan hal-ehwal yang ingin diperkatakan dengan jauh lebih mendalam. Semua jenis karya sastera gemar akan alegori. Namun, menggunakan alegori dalam puisi ialah pisau bunuh diri. Membunuh diri yang berjejer dan berjela dengantembakan makna yang tepat tanpa pembaziran walau sesaat, meski ruang pembunuhannya terhad. Kelalaian mati di tangan kesedaran yang hidup. Alegori umpama peluang hidup kedua setelah penikmat puisi sekian lama mati dalam hayat pertama.

Kebanyakan penyair yang baik bijak menggunakan sesuatu alegori bagi mengungkapkan sesuatu makna yang indah. Namun, penyair yang lebih bijak mampu pergi lebih jauh. Mereka yang lebih bijak ini mampu menggabungkan dua alegori bagi mengungkapkan makna yang lebih lebar dan lebih dalam. Seperti merekalah jambatan yang menyambungkan antara dua dataran yang besar menjadi benua yang lebih raksasa.


Inilah yang saya ketemui dalam bait-bait Perigi Yusuf dalam #MalamPersembunyian dalam tulisan Faisal Mat Zawi (Kata-Pilar Books, 2017).

mukmin tak terjatuh dalam lubang dua kali
wahai Kekasih aku mengaduh
berkali-kali telah ku jatuh
jadikan lah aku Yusuf dalam perigi.

Bangalore, Oktober 2015

Faisal menggabungkan dua alegori daripada tradisi nabawi yang mulus suci. "Mukmin tak terjatuh dalam lubang dua kali" ialah sabda Nabi, al-Habib ar-Rasul solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa al-Habib ar-Rasul solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam bersabda,

“Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali.”

(HR. Bukhari no. 6133 dan Muslim no. 2998)

"Jadikanlah aku Yusuf dalam perigi" ialah firman Illahi, Allahu Jalla Wa 'Alaa dirakamkanNya dalam satu surah meliputi 111 ayat.

Gabungan dua alegori dalam tradisi nabawi ini sudah mampu menggetarkan nurani mereka yang bertaqwa yang punya hati yang taat patuh.

Namun, apa yang lebih menggemparkan ternyata puisi ini menggerakkan kita ke wilayah makna yang lebih luas lagi.

mukmin tak terjatuh dalam lubang dua kali
wahai Kekasih aku mengaduh
berkali-kali telah ku jatuh

Baris pertama bukan sekadar merakamkan sebuah alegori daripada hadis semata-mata malah diteruskan dengan dua rangkap lagi bagi menggambarkan sisi sayap keimanan seorang mukmin yang bernama Al-Khauf yakni "ketakutan tulus akan murkaNya". Betapa takutnya seorang yang beriman akan dosa-dosa, kesalahan-kesalahan, kegelinciran-kegelinciran yang telah dia lakukan beratus-ratus ulang sehingga menerbitkan penyesalan yang bergiliran hadir dalam bentuk pengaduan yang mustahil sudah. Faisal malah memberikan audio "aduh" pada kalimah mengaduh sedangkan Faisal boleh menggunakan kalimah mengadu. Di sini, kehalusan Faisal dalam menyusun kalimah puisinya.

jadikan lah aku Yusuf dalam perigi.

Dan di rangkap terakhir, sisi sayap keimanan yang lain muncul yang bernama Al-Raja', "pengharapan kudus atas kurniaNya". Mengharapkan setelah segala macam penderitaan atas keterlajakan sendiri mahupun disebabkan ujian julang jatuh dunia, akhirnya akan benar-benar berakhir seperti kisah Nabi Allah Yusuf 'alaihissalam.

Sebuah kisah yang disifatkan Allah Ta'ala sebagai seindah-indah kisah.

نَحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ أَحۡسَنَ ٱلۡقَصَصِ بِمَآ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad)
seindah-indah kisah
dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini,
padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu,
adalah dari orang-orang yang tidak pernah
menyedari akan halnya.

(12:3)

Alegori dua sayap ini bukan hal yang baru. Ia diwarisi oleh para ulama' sufi sejak zaman-berzaman hingga disimpulkan oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyah rahimahullahuta'ala sebagai,

"Perjalanan hati menuju Allah
adalah seperti burung.
Rasa cinta adalah kepalanya.
Rasa takut dan harap adalah kedua-dua sayapnya.
Ketika kepala dan kedua-dua sayapnya baik,
maka burung itu akan terbang dengan baik.
Ketika dipotong kepalanya
maka burung itu akan mati."

Sebelum Ibnu Qayyim, terlebih dahulu Imam al-Ghazali rahimahullahuta'ala membahaskan dengan lebih halus.

Ditanyakan kepada Sang Imam, antara Al-Khauf dan Ar-Raja' yang manakah lebih utama?

Dijawab Sang Imam, umpama keinginan seseorang kepada roti atau air. Jika lapar lebih kuat, maka roti lebih baik. Jika haus lebih kuat, maka air lebih utama. Jika lapar dan haus sama, maka roti dan air sama kedudukannya.

Pendek kata, rasa takut dan pengharapan adalah ibarat ubat hati, maka keutamaannya terpulang kepada penyakit yang ada. Jika penyakit yang ada dalam hati adalah berasa aman daripada azab Allah, maka menanamkan rasa takut, Al-Khauf adalah lebih utama. Jika penyakit yang ada dalam hati adalah rasa putus asa daripada mengharapkan rahmat Allah, maka menanamkan rasa berharap, Ar-Raja' adalah lebih utama.

Maka, maksud yang ingin dicapai daripada ini bergantung kepada konsep aslah (mana yang lebih manfaat) bukan konsep afdal (mana yang lebih utama).

Oleh itu, di sini memandangkan kita semua mengerti kaum akhir zaman seperti kita ini kebanyakannya lebih banyak merasakan diri aman daripada azab dan murkaNya, maka boleh dikatakan bagi kebanyakan daripada kita, penanaman rasa takut, Al-Khauf itu adalah jauh lebih aslah, mendatangkan lebih manfaat berbanding daripada rasa berharap, Al-Raja'.

Dengan izin Allah, inilah antara sebab mengapa Faisal melebihkan persoalan Al-Khauf itu di dalam tiga rangkap berbanding Ar-Raja' dalam hanya satu rangkap. Selain itu, hal ini turut menggambarkan di sebalik besar menggunungnya dosa-dosa kita, umat akhir zaman namun kita tetap mendidik hati nurani kita untuk berharap walau secuplik rahmat pengampunanNya itu akan dilimpahkan kepada kita - meskipun ia datang di penghujung usia.

Benarlah, kita musafir tua yang terlampau dahaga. Setitik air rahmat pun sudah mampu memadamkan kegersangan jiwa nan lama. Kitalah pendosa begitu berusia, yang menjelma sebagai anak-anak seperti Yusuf di dalam perigi yang mahu mengakhiri kehidupan dengan sebaik-baik pengakhiran.
Terima kasih banyak Faisal atas ini. Abang Im (Rahimidin Zahari) pasti berbangga dengan anak didiknya ini. Benarlah, bak kata penyair ulung Bengali, Kazi Nazrul Islam :

"I am a poet; 
I have been sent by God to express the unexpressed, 
to portray the unportrayed.
It is God who is heard through the voice of the poet...
My voice is but a medium for Truth, the message of God...
I am the instrument of that eternal self-evident truth,
an instrument that voices forth the message of the ever-true.
I am an instrument of God. The instrument is not unbreakable,
but who is there to break God?"

Sungguh, Maha Lebar dan Maha Mendalamnya ilmu dan rahmat Allah Ta'ala.

*Perbahasannya ini sebenarnya lebih panjang. Dalam hadis yang Faisal memetik alegorinya :

لاَ يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ
“Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular 
dari lubang yang sama sebanyak dua kali.”

Menurut Imam Nawawi rahimahullahutaala dalam Syarah Shahih Muslim, beliau menyatakan bahwa Al-Qadhi Iyadh rahimahullahutaala berkata, cara baca “yuldaghu” ada dua cara, Yuldaghu dengan ghainnya didhammah membawa satu maksud. Selain itu, boleh juga dibaca dengan Yuldaghi yang membawa maksud yang lain. Namun kedua-dua maksud mampu bergabung menjadi pedoman-pedoman yang terlalu amat menyinarkan hingga tidak mampu diungkapkan di sini buat masa ini (lantaran memerlukan perbahasan nahu, sorof dan ulum hadis yang jauh lebih panjang dan jujur, saya bukan yang benar-benar arif akannya).

Tulisan : Za'im Yusoff
9.49 pm, 20 Shaaban 1438, 16 Mei 2017

Terima kasih Rasydan Fitri atas pinjaman imej

Friday, May 5, 2017

Secuplik Tentang Malam Persembunyian

(Rating Peribadi :10/10)

Dikhabarkan seorang wali Allah, keluar dari rumah sewaktu salju-salju putih mula melayah, ke kiri dan belakangnya. Tiba-tiba, dia pengsan. Sewaktu dirinya sedar, ditanyakan mengapa Tuan sampai boleh pengsan? Balasnya, sungguh aku benar-benar melihat kitab-kitab amalku sedang mengejarku dari kiri dan belakang. 

Begitulah keperihalan mereka yang dianugerahkan pengamatan mata hati yang terang. Hal ini tidak terkecuali dianugerahkan juga kepada para pendendang puisi dengan pengamatan yang begitu menggegarkan hati. Hal inilah antara diketemukan dalam Malam Persembunyian tulisan Faisal Mat Zawi (Kata-Pilar, 2017).

Sajak Kepada Tuhan (20)

Bulan sudah hampir ke purnama
tapi cinta, hai aku di mana

aku seperti dahaga di tengah lautan-Mu
semakin aku minum cinta-Mu
semakin aku dahaga kepada-Mu

ataukah aku seperti ikan di dalamnya
tetaplah hati aku tawar selamanya.

Bangalore, Jun 2015

Benar, rangkap kedua itu rangkap yang acapkali kedengaran misalnya dalam lirik Antara Dua Cinta nukilan Ustaz Pahrol Juoi nyanyian Raihan pada bait - Dunia ibarat air laut / Diminum hanya menambah haus.

Namun, rangkap yang biasa kedengaran ini diapit oleh dua rangkap yang cukup menjerut kekalutan hati, tersentak dengan rentakannya yang ternyata menggenangkan sejumlah keinsafan yang lama membeku. 

Mari bayangkan diri ini di tengah lautan kehidupan. Telah diperkenalkan kepada kita oleh Allah Jalla wa ‘Ala melalui sekalian guru tentang hakikat Muhammadiyyah, yang sinarnya begitu cerlang seperti bulan cemerlang di tengah kegelapan langit yang terentang. 

Bukankah semakin mengenali Baginda al-Habib ar-Rasul solla Allahu ‘alaihi wa aalihi wassalam, semakin mata kita dapat melihat hakikat hebatnya wajah Bulan Baginda itu. 

Sebenarnya Bulan itu sudah sedemikian purnama; namun langit hati kita yang terhijab secara berdikit-dikit terselak dengan tarbiyyah para mursyid hingga pada mata singkat kita terpampang pergerakan bulan dari anak kepada sabitnya, kemudian kepada separa hingga menghampiri purnama. 

Namun, begitulah bolak-balik nafsu, jungkir-mungkir hati insan seringkali membuatkan diri tertanya-tanya – dalam keadaan diri dibentangkan hakikat Muhamadiyyah berkenaan, di manakah diri ini sebenar-benarnya.

Bulan sudah hampir ke purnama
tapi cinta, hai aku di mana


Rangkap kedua perihal harapan, begitu hati mahu menjadi seperti sekalian ahli makrifat di mana semakin mereka mencintaiNya, semakin bertambah kecintaannya; seperti perihal dahaga yang bertambah pada kadar lautan rindu yang menyinggahi kerongkong batini. 

Namun, rangkap ketiga benar-benar sesuatu yang menampar dengan begitu segah dan segar.

ataukah aku seperti ikan di dalamnya
tetaplah hati aku tawar selamanya.

Ya, para ahli hikmah pernah berpesan – jadilah seperti ikan, meski lautan sekelilingnya masin, dirinya tidak masin. Moralnya, berpegang teguhlah pada pendirian agar akar aqidah tidak pernah sesekali berubah. Benar, tiada salah pesanan itu. Namun, Faisal memberikan keterbalikan alegori yang baru. 

Lontar Faisal, bagaimana kalau dikatakan lautan yang diibaratkan sebagai kehidupan itu segala-galanya adalah perantaraan alat kita mengecap rasa enak kecintaan padaNya? 

Bukankah kemasinan itu dalam Ahmad Albab (AR Tompel & P. Ramlee, 1968) menjadi punca amarahnya Mashood pada anaknya, Mastura yang sengaja membiarkan persembahan hidangan hari lahir ayahandanya itu tiada enak lantaran tiada garam diletak. 

Itulah tamsilan nikmatnya cinta Mastura kepada ayahandanya Mashood. Seperti garam dalam makanan. Kemasinan itulah yang menjadikan makanan enak dimakan, sedap dinikmati. 

Begitulah andai difahami kemasinan lautan sebagai keenakan di saat segala-gala dalam kehidupan itu tidak lain tidak bukan semata-mata tanda-tanda kebesaranNya; semata-mata jalan menikmati “masin” cintaNya; lantas mengapa diri kita ini tidak terasa kemasinannya? 

Begitukah tawar diri kita seperti ikan dalam lautan yang tidak terkesan langsung dengan enaknya masin laut? 

Begitukah keras hati kita dalam diri ini sekalipun hidup kita dikelilingi lautan tanda-tanda asbab menuju cintaNya?

ataukah KITA seperti ikan di dalamnya
tetaplah hati KITA tawar selamanya.

Jujur, selepas Dondang Pembukaan tulisan Muhammad Lutfi Ishak, Malam Persembunyian adalah antara kumpulan puisi – sampai kapan pun aku tidak akan pernah letih dan lelah membicarakannya.

Alhamdulillah.

*Dapatkan Malam Persembunyian di reruai Kata-Pilar Books, hanya di Tingkat 4, PWTC bersempena #PBAKL2017

Sebarkan Manfaatnya! :)