Artikel Wacana

Showing posts with label Rasa Hati. Show all posts
Showing posts with label Rasa Hati. Show all posts

Monday, November 24, 2014

Seketika Aku & Kopi


Dua biji mata jatuh atas relungan kawah kopi. 

Wap asapnya kubaca seraya kukaut jadikan aksara yang ini. 

Ya, yang ini. 

Lebih rinci, sebuah kisah tentang cinta yang sederhana.
(Oh, terlalu Aan Mansyur rasanya)

Aku cintakan kopi sejak bertandang ke bumi kangaroo. Latte yang aku cicip seolengan sama burung-burung manyar Australia, melayarkan kepaknya mencuri croissant yang lembut rangup daripada keruncingan jariku. Kesibukan manyar Australia yang tegar dan ketegar itu magisnya, tidak pernah menyibukkan lidah hatiku daripada merasai hangat-suam kopi latte itu.

Sumpah.

Inilah cinta paling dalam.

Ketika duniamu masih mampu berhenti sedangkan alam berpusing sedemikian laju. Yang berhenti antara kau dan yang dicintai. Dalam kes ini, antara aku dan kopi. 

Rasa yang mengecurkan hati. 

Tidak tersisa walau sekelumit.

Namun, cinta yang dalam di dalam alam ini hanya setakat aku dan kopi. Atau lebih tepat sebenarnya, tidak ada cinta lain setakat ini yang mampu alam ini beri kepada aku, melainkan cinta aku dan kopi. 

Selain itu, ia adalah palsu. Jujur, palsu. 

Setidak-tidaknya, setakat ini aku telah mencubai itu. Engkau pasti tahu ketika kau dikatakan mabuk cinta, segalanya kau beri tanpa paksa.

Keterpaksaan itu tidak pernah wujud dalam kamus cinta. 

Aku dan kopi itu - misalnya.

Thursday, October 30, 2014

ULASAN PUISI TULANG KATA TAUFIQ AZHAR & JAULAH SAMPAI SYURGA MUZ AHMAD

REBIU SEMBILAN PULUH SEMBILAN PUISI TULANG KATA

Aku sengaja membiarkan kata-kata menghiris aku nipis-nipis saat rinaian gerimis menerabas Subang Jaya. Seketika aku jadi anjing yang mengonggong tulang belulang kata-kata tulang kata, terkadang dipaksa, terkadang bersahaja - apapun, berbisa. 

[TEMPAH SINI]
Lelaki puisi ini melazimi carutan Kau, Perempuan; Kiri dan Kanan, pada jujuhan Geming tak tersurut yang memasangkan Jalang yang melaut. Antologi ini bergerak perlahan dengan rayu cumbu Cinta sebelum menderak seberapa laju dengan tukulan demi tukulan pada sebuah keAkuan yang Bangun dari pembaringan yang asing. 

Aku dikelar juga dipenggal dengan parang karang "Satu", "Keluarga", "Duli Yang Maha Tudung", "Seks", "Babi", "Maju Lagi", "Si Tua", "Perihal Bakal Ayah Ibu" sebelum aku mati terkalang pada palang tulang kata "Untuk Semua Jenis Guru". 

Sepeninggalan aku dalam pustaka pembacaan indie, ini antara antologi puisi indie terbaik tahun ini. Untuk buku sulung, aku bisa beri 8/10. 

Tahniah @ruangpuisi moga terus berani menelanjangkan kami!

JAULAH SAMPAI SYURGA, RAMA-RAMA PERTAMA MUZ AHMAD

Berjerihan memacu sepeda untuk mengusap naskhah awal Tanah Tanpa Peta di tangan pereka bentuk yang semakin menempa nama, Rasydan Fitri; membawa aku kepada naskhah awal Jaulah Sampai Syurga untuk aku selak baca.

Jujur, pemuisi muda ini punya suara puisi yang kuat antara kemunculan makna yang tinggi menegak berlantaikan teteknik puisi yang lebar melintang.

[TEMPAH SINI]
Sajak pertama CATAN I punya citra seni lukis yang mantap sambil menyentap dalam mempamerkan tema "kembali kepada fitrah setelah berliburan digelumangi jahiliyyah menerusi lebuh raya tarbiyyah". Muz Ahmad antara pemuisi muda yang berjaya lahir dari kepompong beluncas madrasah Imam Hassan al-Banna rahimahuallahuta'ala dengan segala mala rukun bai'ah yang sepuluh dan mantra-mantra usul dua puluh yang disusun muluk-muluk dalam puisi-puisi beliau. Puisi-puisi itulah rama-rama Muz Ahmad yang mulai berterbangan di taman penulisan negara.

"Rama-rama" kesukaan aku (dan Rasydan Fitri) ialah WUDUK.Terbahagi kepada tiga rangkap. Rangkap pertama menangkap makna dosa di tiap anggota wuduk secara tertib. Rangkap kedua menolak pendosa ke rumah Tuhan. Rangkap ketiga singgah di pili air untuk mengairi debu-debu dosa di tiap anggota wuduk secara tertib kembali. Inilah penggabungjalinan makna dan teknik sastera yang erat menjadikan puisi ini padat dan ketat.

Hebatnya Muz juga kerana berjaya dan konsisten mengangkat tema ukhwah yang manis hingga jadi begitu puitis. Satu tema yang jarang-jarang pemuisi tanah air bisa bertali-tali menulisnya. Namun di tangan Muz Ahmad, ia menjadi kuras terindah sebagai warkah kepada teman seperjuangan.

Jaulah Sampai Syurga juga punya latar Jepun yang begitu sebati di ceruk-ceruk sakura, di pojok-pojok salju yang begitu indah dalam imaginasi nan rancu tetapi terkawal dengan makna yang membawa kita mengenal kebenaran dan kebaikan dari teropong keindahan seni kesusasteraan Melayu moden dan tradisi Jepun asli.

Cikgu Gaza adalah sesuatu yang menggemparkan dari Muz Ahmad. Ia menampilkan sesuatu isu yang biasa (tepu mungkin?) dengan wajah citra yang seingatan aku terlalu jarang (mungkin juga belum pernah) digunakan untuk mentamsilkan gegak gempita yuda Palestin-Israel. Lebih mengkagumkan, bukan satu dua puisi - malah bertali-tali puisi dengan citra yang sama namun sudut pandang yang berbeda. Ini menarik dan bisa jadi modal untuk menarik kalian ke daerah Gaza dengan kaca mata yang baru.

Akhir kalam, jangan lupa dapatkan tiket ke Taman "Jaulah Sampai Syurga" sambil menikmati rama-rama puisi pertama Muz Ahmad.

Tahniah!

9/10

Monday, March 31, 2014

Pungguk & Semilir - Akhir


Pungguk tersengguk-sengguk angguk
ketika menangguk balasan jawapan Bulan.

"Apa guna kau hadiahkanku selembaran peta.
Sedangkan aku dari langit sudah nampak semua."

Pungguk tersengguk-sengguk angguk.
Hematnya, kenyataan Bulan benar menusuk.
Namun, akhirnya Sang Hyang melayangkan cedok-
maksud yang diertikan tatkala takdir menumbuk-numbuk.

"Wahai Si Pungguk, hambaku yang tersengguk-sengguk.
Daku khabarkan maksud di sebalik apa yang dihamburkan Bulan.
Sungguh, tiap kata datang dari jiwa. Dan jiwa memaksudkan apa sebenarnya."

"Bukankah Bulan melihat APA
dan bukan SIAPA?"

Pungguk terketar mendengar. Seakan tersadung di dahan pendek, 
tempatnya bertenggek. Nafas pungguk turun naik turun naik. 
Terasa hinanya diri saat kebenaran itu mengherdik. Tetapi
pungguk redha dan menerima hal itu dengan seupaya baik.

"Sang Hyang,
benarkan aku 
mengkhatamkan 
kisah Pungguk & Semilir.
Biarlah ini jadi semilir yang
terakhir".

Arakian,
Bulan tetap ada.
Pungguk tetap wujud.
Walaupun mereka hidup
berasingan
dan tiada lagi
kaitan.

P/s : Begitu juga siri "Koleksi Dia" dikhatamkan. Mufaraqah.

Sodaqa Allahul 'Adzim. 
Bismillah. Bab baru. 
Harapnya tiada siapa 
berani ketuk hatiku 
dengan melulu lagi.

Displaying IMG_20140331_023643.jpg

Displaying IMG_20140331_014354.jpg

Friday, March 21, 2014

Nama Pendek


"Kenapa kita panggil orang rapat dengan kita nama pendek-pendek? 
Kadang-kadang dengan satu perkataan cuma?"

"Macam?"

"Im?"

"Haha!" 
Maybe sebab kalau kita sakit, 
atau kalau kita cuma ada senafas sahaja lagi berbaki,
kita masih boleh sebut nama dia?"

"Haha!"

"Tak habis-habis gelak"

"Nanti bising pulak kata kenapa tak senyum"

 " :') "

" :) "

Hu! Hu! Hu!

2012-2014

Tuesday, December 31, 2013

Ketuklah!


"Ku berhenti menyapa
Namun, ku terusan cinta
Pintu ini ku tutup rapat
Ketuklah! Untukmu, 'kan terbuka"

Monday, December 16, 2013

Dikau Kenangan

Gambar Hiasan semata

Cinta,

Dikau kenangan di balik angan-angan
Dikau bukan pengalaman yang menghantui - tapi
kenangan yang meremangkan sanubari!

Ranah ini gersang, kau airkan dengan tenang
Untaian rasa kau hamparkan atasnya 
Menjadilah oasis memajeliskan jiwa.

Cinta,

Aku menjauh kerana mendekatimu itu jenuh
Aku rapuh sebelum punya jawapan nan sungguh -
tak terberikan. Biarlah ia pergi dari dunia ini
Dan abadi di syurga nanti.

Cinta,

Aku tetap mencintai -
selagi Dikau dicipta Illahi!

:')

Mengosek-ngosek kenangan saat Kenangan Terindah - Samson kedengaran.

Tuesday, December 10, 2013

NAMA


Ada satu nama
Terjuntai-juntai di akhbar
Ah - tak peduli!

Ada satu nama
Teroleng-oleng di bendera
Ah - tak kisah!

Ada satu nama
Tersebut-sebut di hujung pena
Ah - tak cakna!

Ada satu nama
Diumum cecorong radio
Ah - tak perlu tahu!

Ada satu nama
Dalam senarai nama
Ah - tak ambil pusing!

Ada satu nama
Nama yang sama
Sejak menembak hati -

Walau tak terjuntai
Walau tak teroleng
Walau tak tersebut
Walau tak terumum
Walau tak tersenarai

Kini dipeduli bagai nak mati!

---

Apakah nama itu?
Tanyalah hati!

.

aQIl zahra
Remang Rindu Petang

Thursday, August 15, 2013

Keputusan (-kah?)



"Mengapa masih menulis tentangnya meski engkau telah ditinggalkannya?"

"Kerana aku pernah memberitahunya macam mana yang kau pernah beritahu aku?"

"Beritahu apa?"

"Bahawa tiada tulisan akan didedahkan kepada yang istimewa melainkan hanya padanya didedahkan."

"Makanya?"

"Saat aku mendedahkan pada yang lain, maka itulah satu pemberitahuan bahawa tiada lagi dia itu istimewa."

"Wah! Kau buat aku teringat tentang plot drastasi Sang Gusti dalam Puteri Gunung Ledang!"

"Yang mana satu?"

"Tidakkah Tuanku tahu bahawa segala permintaan patik (yang pelik-pelik) adalah suatu penolakan!"

"Wow! Jadi, kau cuba beritahu aku bahawa telah aku mengikuti sunnah Sang Gusti?"

"Haha! Tinggal lagi pergilah engkau menyatu dengan alam, mengasing diri diam-diam di atas puncak Ledang!"

"Ya, aku sedang dan akan terus akan. Bersama kenang-kenang semalam yang penuh cinta dan sayang!"

"Sesekali, jenguklah aku di sini!"

"Entah-entah aku bertapa dekat sini ja, Kir!"

"Kau dah lewat. Merempit kembali ke pejabat, cepat! Selamat Hari Raya!"

"Maaf Zahir Batin, juga!"

":)"

"(:"

#Remang Tengahari 15 Agustus 2013
#Lorong-lorong tempat kami berpencak pesta di Pasar Seni

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

ENGKAU APA?


ENGKAU APA?

Agama apakah yang engkau anuti pegang -
sehingga masjid dan tiang pun engkau memanggang?

Al-Qur'an manakah yang engkau baca tadabbur -
sehingga mayat bersepah gelimpang terabur?

As-Sunnah manakah yang engkau pegang ikuti -
sehingga al-Haq itu si pencabul as-Sisi?

Tuhan manakah engkau sujud rukuk menyembah -
sehingga medan Raba'ah pun disimbah darah?

NabiNya manakah yang engkau tegar mengikut -
sehingga tiadanya rahmah selain takut?

Dirimu itu apa sebenarnya yang mengakar -
hingga tak bersenjata jatuh nilai dari askar?

Dan dirimu itu aku nak gelar panggil apa?
Kerna syaitan pun menobat engkau sebagai raja!

8 Syawal 1434H
15 Ogos 2013


--

Solidariti bersama Lembah Syuhada' Mesir

Ekstensi daripada nukilan asal Adinda Syamil Khalis yang tinggal 10 minit daripada Medan Raba'ah yang barakah itu.

Baris puisi ada 14 menunjukkan tarikh peristiwa sembelih yang sedih itu berlaku pada 14 Ogos 2013.

5 rangkap pertama tiap barisnya ada 14 suku kata menggambarkan cuplikan rakaman terus daripada tempat kejadian.

2 rangkap terakhir tiap barisnya ada 15 suku kata menggambarkan gelodak komentar hujaman tegar sebagai refleksi hari ini tentang kesimpulan kejadian yang dirakam dalam 5 rangkap sebelumnya.

ENGKAU APA?

(R1 B1) Agama apakah yang engkau anuti pegang - (14)
(R1 B2) sehingga masjid dan tiang pun engkau memanggang? (14)

(R2 B3) Al-Qur'an manakah yang engkau baca tadabbur - (14)
(R2 B4) sehingga mayat bersepah gelimpang terabur? (14)

(R3 B5) As-Sunnah manakah yang engkau pegang ikuti - (14)
(R3 B6) sehingga al-Haq itu si pencabul as-Sisi? (14)

(R4 B7) Tuhan manakah engkau sujud rukuk menyembah - (14)
(R4 B8) sehingga medan Raba'ah pun disimbah darah? (14)

(R5 B9) NabiNya manakah yang engkau tegar mengikut - (14)
 (R5 B10) sehingga tiadanya rahmah selain takut? (14)

(R6 B11) Dirimu itu apa sebenarnya yang mengakar - (15)
(R6 B12) hingga tak bersenjata jatuh nilai dari askar? (15)

 (R7 B13) Dan dirimu itu aku nak gelar panggil apa? (15)
 (R7 B14) Kerna syaitan pun menobat engkau sebagai raja! (15)

8 Syawal 1434H
15 Ogos 2013

*Puisi ini mengalami 3 kali evolusi. InsyaAllah ini yang terakhir dengan makna-makna yang cuba disisipkan dalam tiap-tiap fasa penghasilannya.

Moga hasil puisi ini bisa merakam dan memastikan kita terus berdoa untuk mereka sehingga kembali keamanan kepada warga dunia!

Allahul musta'an!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Monday, July 29, 2013

Aku Berhenti


Aku berhenti
Di waktu ini
Bersama rasa
Suka dan Duka

Aku berhenti
Sedarkan diri
Betapa hina
Diriku durja

Aku berhenti
Nekad di hati
Engkaunya tinggi
Biru lazuardi

Aku berhenti
Tiada fungsi
Membawa diri
Seorang diri

Aku berhenti
Henti di kaki
Juga ku harap
Henti di hati

.

#KekicauPadamDiSubuhHari20Ramadan1434H

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Thursday, July 25, 2013

CINTA DALAM DIAM


Menyintai dalam diam,
Mengasihi dalam senyap,
Sesekali biar terpendam,
Biar kelam biar lelap.

Denyut hati jadi zikir,
Nama-nya tenang berdikir,
Mata siang pun tertutup,
Hanya aku dan -nya hidup!

Cinta ini amat dalam,
Tiada kata tiada kalam,
Air mata pun mengalir,
Senyum bibir pun terukir,

Dalam diam dalam senyap,
Hanya aku dan -nya hidup,
Biar kelam biar lelap,
Mengasihi dalam senyap!

_._

Rasa berombak berlambung-lambung,
Makna melaut tidak terhitung,
Pepohon rindu bergoyang-goyang,
Lelangit cinta sunyi nan lapang.

_._

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم


Monday, July 15, 2013

Cemburu -.-'


Kadang takut, kadang sedan sedu;
Bila-nya disahut, aku cemburu! -.-'

Tapi -

Aku suka kalau aku cemburu, Bermakna dia masih dalam qalbu! Dan aku suka kalau aku dicemburu, Bermakna dalam qalbunya masih ada aku! :)

Maka, kalau cemburu - tolonglah beritahu!


سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

"Im, rasa berbunga tu apa?" ^-^


"Im, rasa berbunga tu apa?"

"Ia perihal keadaan di mana hati -

Harum tanpa pewangi,
Seri tanpa cahaya,
Cantik tanpa berwarna,
Senyum tanpa pencuit,
Manis yang bukan sedikit!"

":)"

"(:"

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Saturday, July 13, 2013

Hati Saat Menanti

Pernah jugalah terasa begini,
Saat penat menantimu di papan kekunci -
Telefonku ini!

-------

Biarkan aku memeluk diri sendiri,
Dalam dingin sejuk bayu pagi,
Kerna siapakah yang lebih mengerti,
Berbanding diri aku sendiri?

Begitu banyak masa telah dihabis,
Kerana berharap harapan hamis,
Sedang kendiri tersedia manis,
Maka tak perlu mengharap sinis.

Betapa akhir engkau seorang,
Tiada teman walau tersayang,
Menghadap sendiri akan Sang Hyang,
Bertuah diri ataunya malang.

Bugar-bugarlah gemburlah nyata,
Segala selain adalah dusta,
Usah difikirinya amatnya lama,
Dari siuman takutnya gila.

Bagi setiap apa kau beri,
Haram bagimu mengemis budi,
Kerna hatimu bukannya lagi -
Milik dirimu wahainya diri!

Berehat-rehat darinya penat,
Mengejar lumbaan yang amat hebat,
Berilah ruang untuk mengingat,
Apa sebenar yang engkau niat.

Bukankah pernah aku berkata,
Kekasih terbaik hanyalah kata,
Peneman setia suka dan duka,
Di sampingmu aduhai sepanjang masa!


Layar Skrin Penantian
Dulu, Kini dan Mungkin Akan Datang


سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم




SEORANG TUA DI TEPI HISAB DI DALAM MALAM KELAM DAN GELAP









Sedang ku selak helai-helai helaian,
Dengan alunan belai-belai belaian,
Tiada ku jumpa selain sisa-sisa bersisa,
Dalam sekam dosa-dosa pendosa.

Lantas ku hitung baki-baki berbaki,
Sempatkah sental daki-daki berdaki,
Tunduk akur aku panjatkan harap-harap harapan,
Moga ku ini masih dikasih-kasih dikasihan.

_._


Usai tirai 3 Ramadan 1434H



سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم



Sebarkan Manfaatnya! :)