Tuesday, May 8, 2012

Apa itu Ilmu Sarf & Wazan?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

Definisi Ilmu Tasrif / Ilmu As-Sarf

Pertama, kita kena jelas beza ilmu nahu dan ilmu tasrif. Ilmu nahu menumpukan soal tatabahasa misalnya yang berkaitan dengan I'rab yakni pembarisan baris hujung dalam sesuatu perkataan  yang akan mengubah makna kalau tersalah tanda, fungsi-fungsi isim, fi'il dan harf dan sebagainya.

Sebaliknya, ilmu tasrif menekankan soal bagaimana sesebuah kata kerja berubah wajahnya apabila kita nak ubahnya ke bentuk kata kerja yang lain seperti dalam Bahasa Inggeris macam mana nak ubah Past Tense kepada Present Tense kemudian kepada Future Tense, kemudian kepada Verbal Noun dan sebagainya. 

Istilah mudah ilmu at-tasrif ialah conjugation atau dalam Bahasa Perancis disebut sebagai conjugaison (ana belajar French dulu kat MCKK, alhamdulillah. Dan rasanya ramai jugak kawan-kawan khususnya dari SBP yang belajar French). Dalam Bahasa Melayu, mungkin ia boleh disebut sebagai ilmu imbuhan. Tetapi, ilmu at-tasrif tidaklah semudah English, French hatta (juga kalimah Arab) Bahasa Melayu pun :) Ia lebih banyak dan lebih kompleks tetapi terlalu sistematik dan amat best kepada sesiapa yang kuat hafal!


Wazan

Wazan ni maksudnya pemberat, penimbang sama berat, dacing :) 

Dalam surah Al-Qaari'ah, ada sebut perkataan ni :) Cuba cari. Perkataan tu asalnya daripada perkataan wazan inilah.

Jadi, apa kaitan pemberat dengan kata kerja Bahasa Arab yang dibincangkan dalam Ilmu At-Tasrif ini?

Tidak lain tidak bukan, ini kerana para ulama' lughah kebanyakannya bersepakat bahawa pembinaan perkataan dalam Bahasa Arab setelah dikaji dan diselidiki, rupa-rupanya mereka ini ada 'pattern' tertentu, ada bentuk khusus yang berasal daripada perkataan yang paling ringkas iaitu kata kerja past tense (fi'il madhi) untuk kata ganti diri nama هو , dia bagi seorang lelaki. 

(ada perbincangan khusus di sini berkenaan khilaf pandangan ulama' tentang apakah bentuk teringkas sesuatu perkataan dalam Bahasa Arab, tak perlu buat masa ini)

Pattern tertentu inilah dipanggil sebagai wazan. Wazan ni pulak ada berbelas-belas dan kategorinya agak banyak. Sebab itu, ulama' sampai khususkan ia sebagai satu 'ilmu, tidak disatukan dengan ilmu nahu. Meskipun diasingkan, kedua-duanya kena belajar sekali. Kalau tak, sampai bila pun tak habis. Sebab itu, Al-Fadhil Al-Ustaz Azhar Idrus Hafizahullah, tokoh Pemuda PAS ambil masa hampir 8-9 tahun belajar nahu dan sorof :) Ini belum masuk ilmu Al-Qur'an, As-Sunnah, Fiqh, Tasawwuf dan deretan ilmu lagi :) Sudah pasti, Ulama' 4 Mazhab master dan expert semua bidang ni :D 

Kesimpulannya, ilmu at-Tasrif adalah ilmunya tersendiri dan ilmu alat dalam memahami bentuk-bentuk perkataan dalam Bahasa Arab.

Contoh penggunaan wazan :

Wazan paling ringkas dibina oleh tiga perkataan. Selalunya kita mula dengan فَعَلَ bermaksud dia telah buat. Dari situ, perkataan ذَهَبَ dia telah pergi, فَتَحَ dia telah buka, boleh menggunakan wazan ini.

Kenapa wazan ini boleh diguna? Sebab ketiga-tiga perkataan ini pattern dia sama meskipun huruf berbeza. Ketiga-tiga ada tiga huruf yang memang asal perkataan itu - tiada huruf tambahan.

فَ - عَ - لَ
ذَ - هـَ - بَ 
فَ - تَ - حَ

Jadi, formula wazan fa'ala boleh digunakan untuk zahaba dan fataha. Jadi, persoalan macam mana nak jadikan perkataan zahaba dan fataha jadi present tense, ialah dengan menghafal wazan fa'ala. 

fa-'a-la bermaksud dia telah buat (past tense)
yaf-'a-lu bermaksud dia sedang buat (present tense)

فَعَلَ - يَفْعَلُ

maka disebabkan pattern sama, jadi tukar sahaja zahaba dan fataha ikut pattern ni, 

ذَهَبَ - يَذْهَبُ

فَتَحَ - يَفْتَحُ

maka, macam mana nak kata Ali sedang buat?

عليٌ يفعل

Ali sedang buka pintu?

عليٌ يفتح الباب

Za'im sedang pergi ke Mekah

زعيم يذهب إلى مكة

Mudah bukan? inilah salah satu contoh paling asas tentang wazan.

Kesimpulannya, wazan menjadi perkara asas yang diperlu diketahui, difahami dan dihafal; barulah perkataan yang sama wazan dengan wazan berkenaan boleh diubah mengikut formula wazan itu sendiri.

Jadual Wazan

Wazan bukan setakat فَعَلَ, macam ana cakap ada banyak lagi. Dan setiap wazan, ada maknanya tersendiri secara konsep umum.

Contoh macam perkataan 'masyaarakat'. Itu daripada wazan فَاعَلَ yang mana wazan ini konsepnya ada unsur saling antara dua pihak. Bagi perkataan masyarakat ini, perkataan asalnya شَارَكَ yang bermaksud dia turut serta, menyertai - to join, to participate. Kan perkataan شَارَكَ itu sama pattern dengan فَاعَلَ ? Formulanya, kalau nak tukar dari past tense فَاعَلَ kepada verbal noun (dalam istilah, kita panggil masdar), ia akan jadi مُفَاعَلَةً.

فَاعَلَ - مُفَاعَلَةً

maka

شَارَكَ - مُشَارَكَةً

Perkataan musyarakat ini bila masuk alam Melayu, jadi pelet sikit, maka jadilah masyaarakat, kemungkinan :) hehe

Jadi, disebabkan wazan ini bermaksud saling, maka perkataan musyaarakat tadi dapat difahami, kalau kita tak ada semangat kerjasama, saling membantu - maka tak layaklah kita digelar hidup bermasyarakat sebab konsep perkataan itu sendiri mengkehendaki erti saling membantu. Kalau hidup individu, itu kubur! Bukan masyarakat :)

Sebab itulah ulama' kecoh berkenaan isu Islam Hadhari dari sudut bahasa - kerana elemen-elemen bahasa sebeginilah menyebabkan ulama' rasa kacau dan risau apabila istilah yang kononnya dari bahasa Al-Qur'an itu, dimanipulasikan sedemikian rupa sehingga merobek kehebatan bahasa syurga itu sendiri, di samping kefahaman mendalam terhadap Islam dari sudut bahasa mahupun istilah.

Contoh Jadual Wazan

Kesimpulannya, setiap wazan, ada formulanya sendiri dan mengandungi maksud konsep umum tertentu.

Begitulah sekelumit perkongsian yang dapat ana kongsi dengan rakan-rakan. Mudah-mudahan andai kita tidak dapat kuasai buat masa ini pun ilmu ini, insyaAllah di masa akan datang, berazam untuk memahaminya. Paling tidak, di sinilah kita lihat betapa pentingnya menghargai ulama' yang telah mewakafkan kehidupan mereka untuk menguasai ilmu alat sepenting ini dalam memahami Al-Qur'an dan As-Sunnah. Kita mungkin bukan ulama', tapi kita cinta dan mahu senantiasa berdamping dengan mereka yang ikhlas di sisi Allah swt dalam memartabatkan Islam yang tercinta ini. InsyaAllah

Mohon maaf atas segala kekurangan. Segala yang baik milik Allah swt belaka.

Wallahu'alam

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

2 comments:

  1. Assalamualaikum Akh Muhammad Za'im,

    Ana mohon halal dan izin Akh untuk istifadah penulisan ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh wamaghfiratuh waridhwanuh ya al-Akh al-Mahbub Abdullah Munib,

      Tafadhal ya Akh. Moga bermanfaat hendaknya (:

      Baarakallahufikum ajma'in!

      Delete

Sebarkan Manfaatnya! :)