Artikel Wacana

Showing posts with label Madah. Show all posts
Showing posts with label Madah. Show all posts

Friday, August 16, 2013

Contronyms Melayu Dalam Nazam Ilmu Dua Belas - Ilham Dari Redza Minhat


NAZAM ILMU DUA BELAS

Adalah ilmu untuk mengenal,
Bukannya untuk jadi terkenal;
Juganya ilmu untuk petunjuk,
Bukannya asbab engkau menunjuk.

Dengannya ilmu darjat meninggi,
Namun bukan 'tuk diri meninggi;
Memangnya ilmu tidak merendah,
Tapi membuat hati merendah.

Adapun ilmu ia penawar,
Bukan untuk ditawar-menawar;
Orang berilmu yang menguasai,
Tapi bukan 'tuk raja kuasai.

Dengannya ilmu kita menokok,
Bukan alasan 'tuk tambah tokok;
Mengejar ilmu bagai pendaki,
Berdikit-dikit membuang daki.

Belajar ilmu nak jadi mekar,
Bukan diguna merancang makar;
Belajar ilmu untuk mengajar,
Bukan menjadi kurangnya ajar!

Semak yang kusut cepat kau cantas,
Bukannya ilmu - orang kau cantas;
Inilah nazam dua-nya belas,
Dengannya ilmu jadi kau belas!

Berkat Jumaat,
26 Sha'ban 1434 H


CONTRONYMS


Saudara Redza Minhat menulis sesuatu tentang "contronyms". Sebagaimana kekicau di bawah :


Adalah agak jelas maksud "contronyms" yakni satu kalimah yang punya dua makna yang bertentangan. Contoh yang jelas dalam Bahasa Ratu Elizabeth Alexandra Mary Windsor boleh didapati di sini [KLIK]. 

Contoh yang paling saya gemar ialah perkataan "sanction" yang bermaksud "to bless" dan dalam masa yang sama "to punish". Andai boleh disatukan kedua-dua maksud yang bertentangan ini dalam satu ayat, kemungkinan ini boleh dijadikan contoh :

"Whilst Americans allow all priests from all sects to sanction any marriage legally, they sanction the trade with Cuba."

JINAS BUKAN TAWRIYAH

Hal ini pada mulanya mengingatkan saya kepada satu kaedah terkenal dalam ilmu sastera Arab atau lebih khusus ilmu Badi', yang dikenali sebagai at-Tawriyah. Namun, setelah meneliti semula, sebenarnya bukanlah kaedah at-Tawriyah tetapi yang lebih hampir kepada "contronyms" ialah kaedah Jinas. Bagi yang inginkan penjelasan ringkas tentang at-Tawriyah boleh ke bahagian terakhir post ini.*

Baiklah. Ringkas-ringkas sahaja. Jinas bermaksud lafaz perkataan yang sama, tetapi maksudnya berbeza. Contoh di dalam surah ar-Rum ayat 55 :

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يُقْسِمُ الْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا غَيْرَ سَاعَةٍ ۚ كَذَٰلِكَ كَانُوا يُؤْفَكُونَ
Maksudnya : 

Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar).

Kedua-dua perkataan adalah sama Sa'ah. Namun maksud kedua-duanya adalah berbeza meskipun disatukan dalam ayat yang sama, Sa'ah yang pertama ialah Hari Kiamat. Sebaliknya, Sa'ah kedua bermaksud saat (seconds, detik). Perbezaan bentuk as-Sa'ah dan Saa'atin hanyalah pada bentuk perkataan seperti beza The dan A [istilah lughah : Alif Lam Ma'rifah & Tanwin Nakirah].

Namun, ini tidak memenuhi maksud "contronyms" kerana "contronyms" bermaksud perkataan yang sama tetapi bertentangan maksud. 

Saya katakan, ya - benar. Berbeza tidak semestinya bertentangan. Tetapi sesuatu yang bertentangan sudah semestinya berbeza. Namun, apa yang ingin saya beritahu - kaedah "contronyms" ini sekadar mengingatkan saya sahaja tentang kaedah Jinas ini. Hampir-hampir sama.

SYARAH "CONTRONYMS" MELAYU DALAM NAZAM ILMU DUA BELAS

Apapun, sebenarnya yang ingin dikongsikan ialah nazam yang sempat disusun beberapa bulan yang sudah yang cuba menggambarkan hakikat "contronyms" khususnya di dalam Bahasa Melayu. Yang paling ketara ialah "contronyms" di dalam Bahasa Melayu makin menyerlah saat perubahan imbuhan. InsyaAllah, saya akan syarahkan sedikit sebanyak pertentangan maksud berkenaan sebagaimana nazam yang sempat ditukul nukil.

Adalah ilmu untuk mengenal,
Bukannya untuk jadi terkenal;

MENGENAL VS TERKENAL 


Mengenal membawa maksud mengetahui hujung pangkal sesuatu hingga menjadi arif akannya. Sedangkan terkenal bermaksud mahsyur. Meskipun kedua-dua berasal daripada perkataan "kenal" tetapi hanya kerana beza imbuhan, terus menerbalikkan maksud antara keduanya. Mengenal lebih bersifat positif merendah diri seperti mengenal diri. Sebaliknya terkenal lebih membawa aura agah dan ponggah yakni mahsyur dengan perasaan bongkak seperti yang ingin digambarkan dalam nazam ini.

Juganya ilmu untuk petunjuk,
Bukannya asbab engkau menunjuk.

PETUNJUK VS MENUNJUK

Asal kedua-dua perkataan daripada tunjuk. Namun petunjuk yang bermaksud rujukan, bimbingan (guidance) membawa makna positif sebaliknya menunjuk bermaksud riya', memperlihatkan dengan tujuan membangga-bangga akan kehebatan diri sememangnya membawa aura negatif.

BENTUK PERTAMA : Kesimpulannya, "contronyms" di dalam Bahasa Melayu boleh terjadi dengan kehadiran imbuhan.

Dengannya ilmu darjat meninggi,
Namun bukan 'tuk diri meninggi;

MENINGGI (1) VS MENINGGI (2)


Perbezaan kedua-dua ini kerana kehadiran kata nama sebelumnya. Darjat meninggi menunjukkan martabat seseorang di sisi Tuhan meningkat. Sebaliknya apabila perkataan yang sama diapit kepit dengan kalimah diri, ia menjadi sesuatu yang bongkak. Membesar-besarkan diri. Mustakbirin. Nauzubillahiminzalik!

BENTUK KEDUA : Kesimpulannya, "contronyms" di dalam Bahasa Melayu boleh terjadi dengan kehadiran kata nama yang disandarkan kepada sesuatu perkataan.

Memangnya ilmu tidak merendah,
Tapi membuat hati merendah.

MERENDAH (1) VS MERENDAH (2)

Perbezaan kedua-dua ini kerana penggunaan bentuk kata yang berlainan membawa maksud berbeza dan boleh jadi bertentangan juga. Merendah yang pertama dalam bentuk kata kerja di mana ilmu tidak merendah-rendahkan seseorang sebaliknya meninggikan seseorang. Merendah kedua dalam bentuk kata sifat di mana ilmu sepatutnya membuatkan pemiliknya memiliki sifat tawaduk pada hati yakni merendah diri. 

Perbahasan kecil : Ada yang menyatakan bahawa hati merendah adalah kata kerja. Pada hemat saya, ia kata sifat kerana secara zahir mustahil kita menyatakan hati melakukan kerja merendah itu. Hati merendah atau kerendahan hati hanyalah sekadar personafikasi. Memberikan sifat kepada benda-benda abstrak yang tak dapat digarap oleh mata belalak. Kita tidak mampu memahami maksud "hati merendah" melainkan kita menafsirkannya sebagai tawaduk, rendah diri dan sebagainya yang memaksudkan bentuk kata sifat. Maka, kerana itu saya katakan, hati merendah ialah kata sifat.

BENTUK KETIGA : Kesimpulannya, "contronyms" di dalam Bahasa Melayu boleh terjadi dengan perbezaan bentuk kata bagi sesuatu perkataan.

Adapun ilmu ia penawar,
Bukan untuk ditawar-menawar;

PENAWAR VS DITAWAR-MENAWAR


Ini dalam bentuk ketiga. Penawar ialah kata nama bermaksud penyembuh. Manakala, tawar-menawar ialah kata kerja saling, bermaksud jual-menjual atau diperdagangkan ilmu itu untuk bahagian dunia.

Orang berilmu yang menguasai,
Tapi bukan 'tuk raja kuasai.

YANG MENGUASAI VS RAJA KUASAI


Ini dalam bentuk kedua. Orang berilmu menguasai bermaksud hanya orang berilmu mempunyai bidang kuasa kepada apa yang dia pakar. Sebaliknya raja kuasai bermaksud ilmuwan yang dipergunakan untuk kepentingan raja semata-mata. 


Ini mengingatkan kita kepada kisah seorang Imam di zaman seorang Khalifah di mana Khalifah berkenaan menjemputnya ke istana untuk mengajarnya ilmu-ilmu. Namun, ditolak mentah-mentah oleh Imam berkenaan. Katanya, dengan mafhum :



"Kalau Khalifah mahukan ilmu, 

dia harus ke istana ilmu di mana akulah rajanya"


Akhirnya, Khalifah itu akur dan akhirnya baginda melazimi majlis-majlis ilmu di masjid tempat Imam berkenaan mengajar dalam keadaan yang sama dengan orang lain memandangkan khalifah dalam majlis ilmu ialah Imam berkenaan dan bukan dirinya meskipun baginda adalah Khalifah sebuah empayar nan besar.

Dengannya ilmu kita menokok,
Bukan alasan 'tuk tambah tokok;

MENOKOK VS TAMBAH TOKOK


Ini dalam bentuk pertama di mana menokok yang pertama bermaksud meningkat sebaliknya menokok yang kedua bermaksud memandai-mandai untuk menambah sekalipun tidak pernah wujud hal sedemikian di dalam ilmu berkenaan khususnya yang bercanggah canggung daripada disiplin ilmu itu sendiri.

Mengejar ilmu bagai pendaki,
Berdikit-dikit membuang daki.

PENDAKI VS DAKI


Ini dalam bentuk pertama. Pendaki bermaksud orang yang mendaki. Ilmu ibarat gunung. Punya jurang, lurah, peringkat dan takat. Maka, ilmu wajar dikejar bertahap-tahap, andainya digomol semua sekaligus, nafas tak cukup tercungap-cungap - akhirnya ilmu tak dapat diserap. Daki pula bermaksud kotoran. Ilmu diserap untuk diamal, memperbetul apa yang salah dan memperbaik apa yang betul.

Belajar ilmu nak jadi mekar,
Bukan diguna merancang makar;

MEKAR VS MAKAR


Sah-sah ini bukan contronyms. Namun sekadar menunjukkan, hanya satu huruf bisa mengubah makna. Mekar bermaksud segar dan bugar. Makar bermaksud dendam serakah.

Belajar ilmu untuk mengajar,
Bukan menjadi kurangnya ajar!

MENGAJAR VS KURANG AJAR


Ini dalam bentuk ketiga. Mengajar dalam bentuk kata kerja sebaliknya kurang ajar dalam bentuk kata sifat. Mengajar itu mulia sebaliknya kurang ajar itu hina.

Semak yang kusut cepat kau cantas,
Bukannya ilmu - orang kau cantas;

CANTAS VS CANTAS


Ini dalam bentuk kedua. Cantas pertama bermaksud kusut-musut berjaya diuraikan dengan ilmu yang memandu. Cantas kedua bermaksud menghalang atau bermain kotor dalam mengejar pangkat, jawatan dan status dengan menggunakan kelebihan ilmu yang ada untuk kepentingan nafsu yang membelenggu kalbu.

Inilah nazam dua-nya belas,
Dengannya ilmu jadi kau belas!

DUA BELAS VS BELAS


Ini dalam bentuk ketiga. Dua belas ialah kata nama sebaliknya belas kedua ialah kata sifat. Jadi belas bermaksud jadi kasih penuh sayang. 


Ini mengingatkan kita kepada hadis musalsal yang diriwayatkan paling awal sekali dalam mana-mana proses talaqqi ilmu antara guru dan anak-anak murid dalam tradisi keilmuan Islam yang mana guru akan meriwayatkan hadis musalsal bi awaliya ini dengan lafaz sebagaimana berikut :



عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرُو بْنِ الـــْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللهِ (solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam)

 قال: الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ تَبَارَكَ وتَعَالَى, ارْحَمُوا مَنْ فِى الأَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِى السَّمَاءِ


Mafhumnya: "Daripada ^Abdu`Llah ibn ^Amru ibn al-^As bahawa Rasulu`Llah salla`Llahu ^alayhi wa sallam bersabda: 

"Orang-orang yang bersifat penyayang akan disayangi oleh (Allah yang bersifat) al-Rahman (Yang Maha Pemurah) tabaraka wa ta^ala. Sayangilah sesiapa yang ada di bumi semoga kamu disayangi oleh sesiapa yang berada di langit"

Mahu alami dan fahami tradisi ini - yang terbaik hadirilah mana-mana majlis ilmu yang kian subur umpama cendawan tumbuh selepas hujan di negara kita. Sedikit cuplikan buat kalian yang belum pernah merasainya dapat dirasakan di sini di dalam sebuah majlis ilmu oleh as-Syeikh Husni Ginting al-Azhari al-Langkati hafizahullahuta'ala - [KLIK]

Makna hadis musalsal [KLIK] dan huraian hadis musalsal bi awaliya ini [KLIK]

--

Cukup sekadar itu - rasanya sudah banyak, takut-takut kalian tepu :)

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

*Menurut ‘Ali, al-Jarim & Mustafa Amin dalam al-Balaghah al-Wadihah, mereka mengertikan at-Tawriyah sebagai :


"Perkataan yang mempunyai dua makna, makna zahir (yang tidak dikehendaki oleh penulis) dan makna tersembunyi (yang dikehendaki oleh penulis)"

Contoh yang boleh kita ambil ialah sebagaimana ternukil di dalam sebuah kisah di mana al-Habib ar-Rasul solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam keluar untuk ke Badar, baginda disoal oleh orang tidak mengenali baginda ; مِمن أنتم (dari kelompok mana kalian?), lalu baginda menjawab ; مِن ماء ( dari Ma' ) dengan tujuan bagi mengelakkan identiti baginda diketahui.

Kalimah Ma' mempunyai dua makna ;

Dekat : Nama suatu kabilah Arab yang hebat yang ketika itu.
Jauh : Merujuk kepada air asal kejadian manusia.

at-Tawriyah juga dikenali sebagai ambiguity di dalam Bahasa Inggeris.

Thursday, July 25, 2013

CINTA DALAM DIAM


Menyintai dalam diam,
Mengasihi dalam senyap,
Sesekali biar terpendam,
Biar kelam biar lelap.

Denyut hati jadi zikir,
Nama-nya tenang berdikir,
Mata siang pun tertutup,
Hanya aku dan -nya hidup!

Cinta ini amat dalam,
Tiada kata tiada kalam,
Air mata pun mengalir,
Senyum bibir pun terukir,

Dalam diam dalam senyap,
Hanya aku dan -nya hidup,
Biar kelam biar lelap,
Mengasihi dalam senyap!

_._

Rasa berombak berlambung-lambung,
Makna melaut tidak terhitung,
Pepohon rindu bergoyang-goyang,
Lelangit cinta sunyi nan lapang.

_._

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم


Monday, July 15, 2013

Cemburu -.-'


Kadang takut, kadang sedan sedu;
Bila-nya disahut, aku cemburu! -.-'

Tapi -

Aku suka kalau aku cemburu, Bermakna dia masih dalam qalbu! Dan aku suka kalau aku dicemburu, Bermakna dalam qalbunya masih ada aku! :)

Maka, kalau cemburu - tolonglah beritahu!


سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

"Im, rasa berbunga tu apa?" ^-^


"Im, rasa berbunga tu apa?"

"Ia perihal keadaan di mana hati -

Harum tanpa pewangi,
Seri tanpa cahaya,
Cantik tanpa berwarna,
Senyum tanpa pencuit,
Manis yang bukan sedikit!"

":)"

"(:"

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Tuesday, June 25, 2013

Madah-Madah Bertemu di Debu-Debu Jerebu






Hujan dari langit,
Bersihkan langit jerebu -
Qur'an dari langit,
Bersihkan hangit sang qalbu!











Kuat-kuat guruh,
Hujan sedang datang,
Ikat-ikat sungguh,
Cinta kita, sayang!

Kuat-kuat guruh,
Jerebu dah nak pergi,
Rapat-rapat sungguh,
Qalbu 'tu cincin hati!
















Apa sebab langit jerebu?
Kerana dosa pokok dibakar
Apa sebab jerebu qalbu?
Kerana dosa pelaku tegar










Matahari dalam kabut,
Asap kelabu sesak nafas,
Hati kalaunya ribut,
Lelap bisu, pekak dan malas!


Masjid dalam kabut,
Asap kelabu abu,
Apa dikau sebut,
Di dalam hati kamu?

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

24/25-062013

Thursday, June 20, 2013

Puisi Cermin Tiga Makhluk - Matluthfi90


Tengah malam semalam, Saudara Mud Luthfi menulis sebagaimana berikut :

Bulan separuh
Terangnya penuh

Hewan berteduh
Menumpang suluh

Insan berkeruh
Lenanya sungguh

Hamba bersimpuh
Tafakur patuh.

Sahaya merenung. Sahaya menenung. Dan sahaya merasakan rona-rona tulisannya ini berbentuk refleksi pengharapan berbentuk basyira [berita kegembiraan]. Dan sahaya teringat pendekatan sebegini adalah pendekatan para anbiya' 'alaihimussalamtu wassalam.

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا ڪَآفَّةً۬ لِّلنَّاسِ بَشِيرً۬ا وَنَذِيرً۬ا وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ 

Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); 
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).

Dan dengan menggunakan pendekatan yang digandingkan dengan basyira yakni nazira - sahaya cuba membalas puisi ini dengan lafaz berikut sebagai kritikan dan peringatan kepada makhluk Tuhan bagi tiap-tiap bait yang dikait.


Bulan bersimpuh
Malam pun labuh

Hewan bersungguh
Mengharap jenuh

Insan selingkuh
Mimpikan musuh?

Hamba berpeluh
Ego 'kan runtuh?

Dan memandangkan Saudara Mud Luthfi menukil puisi beliau dengan meter puisi* yang sempurna, maka sahaya pun tiru beliau juga. :)

5
5

5
5

5
5

5
5

Dan saya namakan puisi ini -

"Puisi Cermin Tiga Makhluk"

Cermin kerana bait-bait ini kalau disusun sebelah-menyebelah, ia membalas antara satu sama lain.

Tiga Makhluk - kerana kami bermain dengan perlambangan bulan, hewan dan insan/hamba!

Moga bermanfaat!

:)

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

*Apakah meter puisi? Boleh rujuk buat sementara waktu di sini dalam Bab Meter Puisi

MADAH POLITIK ITU HAI KAWAN


Politik itu hai kawan adalah seni,
Karyanya seni banyak tafsiran,
Ada mengeji ada memuji,
Ada menolak 'tau meraikan.

Politik itu hai kawan adalah senjata,
Ada yang tumpul - yang tajamnya juga,
Setiap senjata ada masanya,
Tak kena masa - tuan dimakannya.

Politik itu hai kawan adalah makanan,
Ada yang pahit, manis dan masam,
Pedas dan tawar kena hadamkan,
Banyak perencah rempah dan ulam.

Politik itu hai kawan adalah kenderaan,
Ada yang laju ada perlahan,
Ada yang maju ada yang lembap,
Ada di zaman putung berasap.

Politik itu hai kawan adalah fenomena,
Terlepas peluang habis merana,
Sabar menunggu gilir seterusnya,
Tegar membaik pulih semula.

Politik itu hai kawan adalah bangunan,
Asas binaan wajibnya kukuh,
Kalau tak teguh akhirnya runtuh,
Cumanya masa akan tentukan.

Politik itu hai kawan adalah hati,
Hati yang bersih - kotor ataunya,
Wajar ditanya kepada diri,
Politik kamu untuknya apa?

-Pasca Khutbah di Masjid as-Syakirin, siap 2:15pm kena belanja di Häagen-Dazs

سبحان الله وبحمده
سبحان الله العظيم

Monday, June 17, 2013

INDAHNYA BERCINTA DENGAN TUHAN

Khat indah menukilkan keseluruhan surah ar-Rahman 

---

Bercinta dengannya Tuhan itu mudahnya ranum,
Cinta denganNya tidak berhajatkan temu janji,
Kerana Tuhan itu hakikatnya inna ma'akum aina ma kuntum,
Pada setiap masa setiap tempat siang malam petang dan pagi

Bercinta dengannya Tuhan itu indahnya nian, 
Cinta itu diikat ketat dengan permintaan, 
Sedangkan manusia meluat kalau kita selalu meminta, 
Sedangkan Tuhan itu makin kita meminta makin Dia cinta!

Bercinta dengannya Tuhan itu tiap-tiap perbuatan dilayani, 
Setiap pujian padaNya itu diganjari rayuan didengari, 
Setiap ucapan padaNya dibalasi kalau ingatNya diingati, 
Sehingga terasa malu mengenangkan bagaimana sang pencinta ini?

Bercinta dengannya Tuhan itu bila-bila kau boleh merajuk,
Nanti Dia akan mendatangkan takdir untuk kitanya dipujuk,
Maka - bagaimanakah bisa manusia-manusia tidak berTuhankan,
Sedangkan perasaan manusia naik turun dalam ribut dalam hujan?

Bercinta dengannya Tuhan itu tiada istilah Mencintai,
Kerana cinta denganNya sentiasa tetapnya Bercinta, 
Kerana Mencintai itu lazim selalunya seorang diri, 
Tetapi Bercinta itu adalah saling antara kedua-dua.

Bercinta dengannya Tuhan itu syaratnya ketat,
Korban jiwa, masa, harta, pangkat dan juga jasad,
Kerana bukannya senang mencapai hakikat ma'rifat, 
Perlu sabar ikhlas benar jalan ini tidaklah singkat!

Maka barangsiapa yang mencintai yang kekal -
maka kekallah nikmat kecintaan bersama Yang Kekal di syurga,
Barangsiapa yang mencintai yang musnah - tegal* -
itulah - musnahlah dia bersama yang fana' di negeri sana!

---

*tegal = kerana, oleh sebab; ~ itulah oleh sebab itulah, kerana itulah

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم 

Friday, June 14, 2013

RASA BERCELARU MAKNA MENGGERUTU


Rasa ini terawang-awang,
Makna itu terapung-apung,
Rindu ini terkenang-kenang,
Cinta itu terkepung-kepung.

Air mata pun bergenang,
Sebak pula tergantung-gantung,
Alam menjadi lambang-lambang,
Dikutip ketip menjadi panggung.

Rasa berombak berlambung-lambung,
Makna melaut tidak terhitung,
Pepohon rindu bergoyang-goyang,
Lelangit cinta sunyi nan lapang.

Hati kini menjadi tempang,
Akal mati berasa bingung,
Berdiri kaki tidaknya senang,
Duduk pula berasa canggung.

Meski ramai dihurung orang,
Rasa seorang sendiri menanggung,
Hendak khabar nantinya berang,
Biarlah diri seorang kohong.

Adakah cinta benarnya agung?
Hingga aku terhuyung-hayang,
Makan hati berulam jantung,
Terasa kerdil amatlah malang!

Rambut kusut mula mengerbang,
Tadi bersila kini mencangkung,
Rasa ini mananya datang,
Marilah ke mari aku nak pancung!

Risau hirau amatnya bimbang,
Gelegak gelodak hingar dan dengung,
Sungguh hai diri tidak tergalang,
Kepada Tuhan aku bergantung!

_._

Pinggir jiwa,
Tubir bibir;
Asar -
4 Sya'ban 1434 H -
13 Jun 2013 M.

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Thursday, June 6, 2013

Madah Cuci Tingkap


Saya bekerja di Tingkat 23. Telah lama juga memerhati, cuma saat membaca kekicau seorang rakan di bawah membuahkan rasa-rasa di hati hingga terlayah balasan madah sebagaimana di bawah :


Mad props to the guys that risk their lives so we can have clean windows. 2 flers dangling from 30th floor doing that now at office.

Sahaya bermadah :

Engkau di tingkap aku di meja,
Adakah benar kita berbeza?
Kalau mu ikhlas kau lebih mulia,
Kalau ku malas ku lebih hina!

Sungguh Tuhan tidak melihat harta 'tau rupa, kerana harta dan rupa adalah kurniaanNya. Tetapi Tuhan memandang kerja usaha kita - sebagaimana apa? Kerana kerja usaha itu asal puncanya dengan apa yang ada di hati. 

Bukankah Tuhan telah berfirman - di akhir nanti ia adalah tentang soalnya hati?

يوم لا ينفع مال ولا بنون

إلا من أتى الله بقلب سليم 

Di hari yang tiada guna harta dan anak-pinak,
Melainkan siapa yang mendatangi Allah dengan hati yang sejahtera diletak?

[Para penyair : 88-89]

Dan Marwan segera membalas :

Aku di sini engkau di sana,
Dekat di hati jauh di mata,
Mungkin warna kulit sedikit berbeda,
Tapi taqwalah yang membezakan kita.

Kepada abang-abang pencuci tingkap, terima kasih yang tak terungkap!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Sebarkan Manfaatnya! :)