Artikel Wacana

Friday, May 10, 2013

Biar-Biarlah


Sahaya pernah bertanyakan kepada seorang adinda sahaya yang jauh di perantauan. Meski dia seorang gadis genit yang sering berkenyit dengan timbunan buku falsafah dan pemikiran - dia tetap punya masa menjawab persoalan-persoalan kita. Dengan penuh bersahaja tetapi sarat dengan makna dan rasa - beliau membalas persoalan sahaya :

"Bisakah kita mencintai walaupun kita tidak bercinta?"

"Oh, itu bisa kekanda. Kerana mencintai tidak memerlukan balasan. Bercinta itu memerlukan balasan kerana bercinta itu hanya terjadi pada pasangan. Imbuhan Ber- itu mengisyaratkan kebersamaan. Sedangkan imbuhan Men- itu hanyalah reaksi dan tindakan seorang insan"

"Jadi, kita bisa mencintai sesuatu tanpa perlu memberitahu?"

"Oh, itu sudah tentu! Tapi, kalau ditanyakan pada kita macam mana - sudah pasti kanda lebih tahu, kan?"

"Berkhidmat pada insan yang kita cintai sedangkan dia tidak tahu - begitu?"

"Ya - dengannya kanda bisa peroleh ganjaran berbakti sesama insan. Dengan cinta dan kasih sayang lagi!"

Begitulah madah-madah di bawah ini meringkaskan perbualan kami. Ia gabungan sebuah perasaan mencintai yang mendalam tetapi terpendam dengan sebuah peringatan kepada diri untuk tegar berkhidmat berbakti kepada insan yang dicintai. Dek kerana itu, sahaya memulangkan tafsiran akan bait-bait ini kepada kalian. 

Sahaya mengerti di dalam tiap bab-bab perhubungan - adakalanya ia adalah sesuatu yang wajib kita pendamkan. Atas apa jua alasan. Yang hanya kita dan Tuhan sahaja tahu. Sehinggalah kita terpaksa mengakui satu hakikat - Andai Tuhan benar dan izin-kan, sudah pasti aku luahkan. Namun, lantaran kerana kita tidak mampu sekalipun kita mahu - kerana taat kepada perintah Tuhan - menjaga diri dan orang lain; menyebabkan kita tegar mempertahankan - biarlah aku memendam seorang diri perasaan ini. 

Waima begitu, antara nikmat yang terungkap singkap daripada anugerah bahasa ialah kita mampu meluah di saat kita masih mampu menyembunyikan maknanya. Ia adalah untaian berantai-rantai pada sebuah perasaan yang terpendam dalam - hanya mampu dilempias dan dibebas lepas dengan bait-bait kata yang dikait. 

Mudah-mudahan - ia sedikit sebanyak dapat mengendurkan perasaan yang menegang dan mengecurkan hati yang sedang lecur. Biarkanlah kita benar-benar memahami akan hakikat - Cinta tak wajib dimiliki, ia wajib dirasai! 

Maka, terimalah "Biar-Biarlah".


Biarlah diri mengikut rutin,
Menurutinya dengan disiplin,
Tak ikut tepat nantinya kohong -
muka tak malu pipi tersorong!

Biarlah aku mencintai seorang diri,
Dalam diam senyap hati perhati,
Pada sebuah perasaan tak terucapkan,
Pada nikmat sedih tak tergambarkan!

Biarlah takdir membaluti erat,
Pada sebuah ceritera nan hebat,
Kadang datang kadang-nya pergi,
Begitulah naik turun cintanya hati!

Biarlah segala rahsia aku menyimpan,
Dalam tiap bait juga barisan,
Kerana ini soal perasaan,
Hanya diketahui aku dan Tuhan!

Biarlah biar ianya terlantar,
Di perhentian pier di hujung pantai,
Perhati hujung mentari bersinar,
Tenggelam kelam penuhnya santai!

Biarlah gelojak yang membuak-buak,
Tertumpah di atas bait-bait terkait,
Kerana rasa ini amat menggelegak,
Bagaimana menahan tak luah pahit?

Biarlah biar biar biarlah,
Terbuang diri tak sudah-sudah,
Mengharap yang tidak kunjungnya tiba,
Terus mencari yang lain di dalam hiba!

Aku berhenti kini mengejar,
Mungkin menanti aku dikejar
Berbakti padanya aku-nya tegar,
Begitulah kehidupan menunjuk ajar!

9.14pagi
May 5, 2013

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Thursday, May 9, 2013

Lorong-Itu


Lorong-Itu


Di lorong kohong,
Troli itu disorong -
Mengharap gunung,
Rezeki menyongsong!

18 April 2013, 0930.
Muhammad Za'im, Kuala Lumpur.

Monday, April 22, 2013

CARTA MASA BALASAN PANTUN PANGKALNYA "SEHELAI DAUN PERANG"



Alhamdulillah - selesai kompilasi ini :)

Semuanya bermula sekitar Januari yang lalu, saat sahaya terpikat tertambat pada keindahan foto Saudara Abdullah Amin yang berjaya mencerap indah sehelai daun perang yang melayah tenang di sebuah bangku di bumi Maharaja Akihito dan Permaisuri Michiko itu.

Saat bermula dengan bait :

"Sehelai daun perang, 
Berlabuh atas bangku,
Selandai rasa sayang,
Menyentuh dasar qalbu"


Maka bercempera ligatlah rakan-rakan sahaya berkongsi rasa dengan rangkap-rangkap yang mengungkap makna penuh bergaya melalui wadah pantun hingga semuanya berjumlah 50 rangkap - 49 jenis empat kerat dan satu jenis dua kerat.

Sahaya ucapkan tahniah kepada semua pemantun yang telah berjaya meluahkan rasa mengungkap kejap dalam bait-bait pantun yang dikait cantik dan molek yang mana pangkalnya "sehelai daun perang". 

Mereka ialah :

a) Saudari Nur Adilla Abd Rahim dari Amerika Syarikat dengan 18 pantun empat kerat

b) Saudara Muhammad Thaqif dari Australia dengan 6 rangkap pantun empat kerat

c) Saudara Hazman Baharom dari United Kingdom dengan 4 rangkap pantun empat kerat

d) Saudara Muhammad Afiq Md Nasir dari Malaysia dengan 3 rangkap pantun empat kerat

e) Saudara Mohd Shahnom Ismail dan Kekanda Nizamuddin Alias dari Malaysia serta Saudara Abdullah Amin dari Jepun masing-masing dengan 1 rangkap pantun empat kerat

f) Dan alhamdulillah sahaya sendiri dengan 15 rangkap pantun empat kerat dan 1 pantun dua kerat

Mudah-mudahan apa yang tercitra ini bermanfaat bukan sekadar mengekalkan khazanah seni nenek moyang tetapi menggunakan prosa sebagai alat paling ampuh lagi teguh dalam menawan hati-hati manusia dengan gambaran pemikiran, rasa dan makna yang dijulang tinggi lagi berbudi!

Sebagaimana madah berperi :

Namun hakikat adanya pantun,
Bukti Melayu ahlinya santun,
Menceduk dalam telaga alam,
Mengair qalbu indah tersulam!

Teruskan berpantun,
Darinya hati penuh santun!

:)

Link asal pantun : [KLIK padanya]

Kalian boleh muat turun koleksi pantun semisal gambar ini di :  [KLIK padanya]

Moga bermanfaat! :)

*Cara membaca carta masa ini dengan membaca mengikut nombor dari 1, 2 hinggalah 50



سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Monday, April 15, 2013

MADAH HARI WANITA SEDUNIA




Wahai wanita apa kau raya,
Terkinja-kinja bagainya kera,
Timbangmu dunia ataunya syurga,
Kalaunya syurga kenallah Tiga.

Khadijah, Fatimah, Aisyah yang teguh,
Hendaklah engkau kenal bersungguh,
Janganlah engkau acuh tak acuh,
Ubat sedikit manakan sembuh.

Khadijah itu wanita syurgawi,
Keimanannya langkaui bukti,
Ke atasnya Tuhan memberi salam,
Itulah asal Allahumma anta as-Salam.

Fatimah penghulu gadisnya syurga,
Rindunya nabi tidak sebentar,
Menggiling roti tasbih nan tiga,
Pewaris segala waris yang benar.

Aishahnya pula gedungnya ilmu,
Hebat mengira amat bermutu,
Kalau cemburu itunya madu,
Kasihnya Nabi lebih seribu.

Inilah madah memberi ingat,
Mengapa diikut betina jahat,
Sedang wanita, Islam mengangkat,
Syaratnya kamu beriman bulat!

:)

---

Sekian. 

Sempena Hari Wanita Sedunia dan hasil mahsul perasaan adalah akibat tertonton apa yang dipancar di TV.

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

MAKNA RINDU PADA PINTU




أمر على الديار ديار ليلى
أقبل ذا الجدار وذا الجدارا
وما حب الديار شغفن قلبي
ولكن حب من سكن الديارا

Ummuru 'ala diyaar diyara laila,
Uqabbilu zal jidaar wa zal jidaara,
Wa ma hubbu diyar syaghafna qalbi,
Wa laakin hubbu man sakanad diyaara!

Aku melintasi rumah akannya Laila,
Lalu ku cium dinding ini dan dinding itu,
Dan bukanlah cinta akan rumah itu yang telah sarat memenuhi jiwa,
Tetapi cinta kepada Laila yang pernah mendiami di dalamnya itu. 


_._


سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Monday, April 8, 2013

CINTA : Yang wajib - Dirasai!

.

Tidakkah engkaunya tahu,
Bahwa ku mencintaimu,
Meski ku takkan mengaku,
Namun takkah rasa itu,
Telah memberitahumu,
Bahwa ku mencintaimu!

Kau soal mengapa aku,
Tidak mahu ku mengaku,
Kerna takut memberitahu,
Walau juga kau mencintai,
Cinta tak wajib dimiliki,
Ia wajib dirasai!

:)

Hiks!

.

7413, 
Laman Rindu


سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Thursday, April 4, 2013

Rasa Luar Biasa

"Kenapa lambat benar beritahu?"

"Ku tak biasa?"

"Adakah engkau mahu memberitahu bahawa cintamu padaku luar biasa..."

"...lantaran luar biasa itu berlaku pada ketidak biasaan?"

"Wah, benarkah?"

"Ya - begitulah"

":)"

"Pada langit lazuardi, aku melempiaskan segala erti dari benak hati!"

"Sampai bila?"

"Sampai langit bertelangkup padanya bumi!"

"Ah!"

"Kenapa?"

"Buat aku teringat padanya patah-patah :

Angkut-angkut terbang ke langit,
Mati disambar si burung merbah..
"

"..Walau bertangkup bumi dan langit,
Kesetiaanku tidak berubah!

Aku juga hafal!"

"Kita sekapal!"

"Dan seperti selalunya"

":)"

"(:"

^-^

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Sebarkan Manfaatnya! :)