Wednesday, November 27, 2013

Surat Uka kepada Aid


Uka kira Tuhan telah menunjukkan Uka jalannya. Jalan melepaskan puing-puing terperangkap di balik hijab ini. Uka sudah lama berkerudung dari mendedahkan aurat rasa-rasa ini kepada Aid. Sehinggalah hari ini angin sejuk menyapa kalbu terlihatkan sesuatu yang membuatkan Uka berasa - "Oh, Uka tidak sanggup menghancurkan kebahagian yang Aid miliki".

Laduna Suara pernah bertanyakan hal ini kepada Uka. Beritahu atau tidak. Uka jujur katakan - tidak. Kalau Aid tolak, itu malapetaka. Kalau Aid terima, itu bala. Maka, pemberitahuan itu suatu yang sudah lama tenggelam karam dalam lautan pilihan yang mungkin ada. Yang tersisa hanyalah satu jawapan pasti. Untuk meluahkannya, jangan sesekali.

Cuma, mungkin - di sana ada satu jalan pemberitahuan. Andai Aid bertanyakan Uka - "apakah benar Uka mencintai Aid - juga?". Dan Uka tahu itu umpama matahari terbit dari barat ke timur dan bumi berputar dari timur ke barat. Satu kemustahilan yang maha dahsyat.

Malah, kecindannya - Uka telah lama merancang menjawab soalan itu -

"Apakah jawapan yang buat Aid gembira?"

Dengan jawapan sebegitu, tampak jelas selama-lama Uka tidak akan mengaku sampai Aid memberitahunya dahulu. Kerana Uka begitu canggung untuk meluah zahirkan rasa-rasa di hatinya kepada Aid.

Sementelahan, andai Aid tidak berbuat demikian, Uka akan terus diam membisu seperti batu-batu di jalan yang menghiasi taman dan buat tanda garisan juga penahan daripada sebarang kemalangan. Uka mahu Aid bahagia - walaupun Uka masih tertanya-tanya, apakah Aid juga mencintai Uka.

Apapun, Uka berkata pada diri Uka. Uka bisa sayang seribu orang, tetapi cinta hanya pada Aid seorang.

Uka hari ini mengambil keputusan untuk diam. Kerana bintang malam semalam mengkhabarkan Uka -

"Makin kita diam, makin kita dengar"

Uka mahu benar-benar dengar dari lubuk hatinya bahawa cinta kepada Aid ialah cinta yang sebenar walau memiliki Aid ialah suatu perkara yang amat tersasar - tidak akan terjadi di ranah bernama bumi ini.

Uka kira Tuhan telah menunjukkan Uka jalannya. Jalan melepaskan puing-puing hening yang telah berkunjung sejak sekian lama. Sejak Uka ditakdirkan Tuhan bertemu dengan Aid di pojok kenderaan besar itu. Uka tersenyum lalu tertidur kerana rasa keluarbiasaannya begitu subur hinggalah hari semalam - Uka dan Aid masih berhubungan, kelaziman bertanya khabar. Dan hari ini - kelaziman itu Uka rasa Uka mahu - argh!

Aid, Uka mohon diam, senyap dan sunyi dari alam!

Ikhlas,
Uka

--

Uka telah memungkiri janjinya. Uka menghubungi Aid semula. Uka bukan tidak bebas, cuma Uka tidak mampu melepaskan. Haish.. Uka Uka! :)

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)