Friday, September 23, 2016

Yang Difahami Daripada Makna, Kata Dan Mesej Dalam Seni

Petikan "blurb" pada kulit Dondang Pembukaan (Lutfi Ishak, 2015) amat menarik untuk menjentik kefahaman tentang perihal makna, kata dan mesej dalam seni :
makna dan kata bagai cahaya dan lampu 
kala lampumu kelihatan asing; ayuh cari lampu baru 
keindahan luaran sentiasa berbeza, tiap tukang 
menghasilkan lampu dari pelbagai logam dan kaca 
di tengahnya, pasti dimasukkan sumbu yang serupa; 
sederhana atau luar biasa, mengapa lampu dicipta 
kalau bukan untuk seberkas nyala?

Memahami petikan puisi sebegini memerlukan teknik penggantian perkataan bagi menyerlahkan maksud yang sengaja disembunyikan secara muqaddar (kira-kira kewujudannya disamarkan - ambilan teladan ilmu nahu).

Di awal, penyair meletakkan bandingan makna dan kata adalah seperti cahaya dan lampu. Ini bermaksud bagi tiap perkataan cahaya, yang dimaksudkan ialah makna. Begitu juga, bagi tiap perkataan lampu, yang dimaksudkan ialah kata. Cahaya dan lampu ialah alat untuk memuqaddarkan maksud makna dan kata.

Maka, untuk memahami puisi ini, kita gantikan sahaja perkataan cahaya (juga nyala) dengan makna; dan perkataan lampu dengan kata. Maka, akan terhasil sebegini :
makna dan kata bagai cahaya dan lampu 
kala katamu kelihatan asing; ayuh cari kata baru 
keindahan luaran sentiasa berbeza, tiap tukang (penulis) 
menghasilkan kata dari pelbagai logam dan kaca 
di tengahnya, pasti dimasukkan sumbu (tujuan, kehendak) yang serupa; 
sederhana atau luar biasa, mengapa kata dicipta 
kalau bukan untuk seberkas makna?

Lampu ialah alat sebagaimana kata juga merupakan alat, sekaligus boleh dimaksudkan secara lebih umum sebagai medium seni. Ini bermaksud puisi ini ingin menyatakan keluasan medium seni dalam menyerlahkan makna-makna tinggi dan luas yang ingin dipersembahkan.


Sekiranya medium seni (termasuk pemilihan kosa kata/genre dsbnya) itu kelihatan asing, selaku penggiat seni, kita tidak perlu berasa janggal untuk mencari medium seni lain lantaran keindahan setiap seni itu berlainan memandangkan medium-medium seni itu datang daripada sumber yang bermacam.

Yang pasti, makna yang ingin diterapkan adalah serupa selagi mana hakikat kepada penyerlahan makna itu akhirnya sampai untuk dihayati (mencerahkan & menghangatkan) oleh para penikmat seni.

Di sini, kita memahami bahawa dalam mana-mana seni sekali pun, yang paling mustahak ialah makna – “the reality of the thing”, atau dalam kertas kerja Puisi: Suara Diri Atau Masyarakat oleh Lutfi Ishak (2016) disebutkan bahawa makna ialah suatu jelmaan hakikat dalam akal setelah segala fakta-fakta runcitan itu diletakkan pada tempatnya masing-masing.

Makna ialah hakikat sesuatu. Ia diperlihatkan, dipertontonkan mengikut aliran sang tukang seni berkenaan; hal ini boleh sampai kepada khalayak mahupun tidak – mengikut tingkat kefahaman para khalayak terbabit.

Di sinilah, tugas para pengkritik seni. Mereka menulis berdasarkan apresiasi terhadap hal-hal yang dicanai oleh sang tukang seni - warnanya, momentumnya, syot panjang atau tidaknya, ritma muziknya, selain plot, dialog, perwatakan, monolongnya mengambil contoh seni perfileman. Kita sememangnya boleh tidak bersetuju dengan makna yang didakwa sang tukang seni tetapi kita tetap boleh menzahirkan apresiasi kewujudan hal itu dalam seni.

Makna ialah kesatuan seni memandangkan seni berasal dari perkataan "sani" bermaksud "jiwa yang luhur". Apa-apa yang pencanai seni tahu dan faham dilakar dalam karyanya. Dengan kefahaman ini, dia tidak berapa peduli khalayak faham atau tidak kerana di akhir apa yang penting karyanya mempamerkan apa dia rasa, tahu dan faham kemudian hasil itu kembali kepada dirinya (juga kepada khalayak yang telah mencapai tingkat kefahaman tertentu).

Maka, gagasan Berkarya Kepada Diri dan Untuk Diri muncul. Untuk khalayak, karya seninya ialah sebuah perkongsian. Sifat perkongsian, bisa diterima juga ditolak. Sekali lagi, bersandarkan tingkat kefahaman para khalayak tadi.

Sebaliknya, apa yang dikatakan sebagai mesej ialah pesanan pencanai seni kepada khalayak, yang sememangnya sang tukang seni mahu khalayak terima - bersifat didaktik (punya darjah longgar dan ekstrem yang berbeza-beza). Sang tukang seni yang menjulang hal ini lebih berpegang dengan gagasan Seni Untuk Masyarakat. Hal ini mencakupi nilai dan pengajaran yang disejajarkan dengan ritma norma setempat. Bagi mereka, mesej setepatnya perlu sampai kepada khalayak sasaran. Kalau tidak, karya seni itu dianggap gagal.

Darihal itu, yang wajib ada dalam seni ialah makna. Adapun kata sebagai medium. Manakala mesej terkadang boleh ada, terkadang boleh tiada – bersandarkan tujuan sang tukang seni masing-masing.

Hujjatul Islam Al-Ghazali pernah berkata, tidak ada orang mencari emas untuk makan emas. Jadi, begitu juga dengan aktiviti berseni. Secara keseluruhannya seni (puisi, filem dsbnya) itu ialah "surah" yakni gambar atau bentuk, suatu wadah atau wasilah yang bukan menjadi tujuan akhir.

"Maknanya" atau "cahaya"-lah yang utama, yang menjadi tujuan.

Dan setiap cahaya itu ada perbezaan tahap kecerahannya. Yang penting cahaya itu menghilangkan kegelapan, sesuai dengan tahap kecerahannya masing-masing.

Apakah makna tertinggi atau Apakah cahaya paling terang?

Kebenaran.

Dan sebaik-baik rangkap syair yang engkau dondangkan – (ialah) 
Rangkap syair yang mendendangkan semata-mata kebenaran.*

*Petikan The Diwan of Hassan Thabit



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)