Monday, December 12, 2016

Apa Aku Dapat Dari Desolasi (2016)

Aku tidak peduli, kalau ada orang menganggap tulisan ini bukan ulasan apatah lagi kritikan filem. Kalau Skop Production boleh menelanjangkan semua hal di hujung cerita, apa aku peduli kalau ada spoiler di sini juga. Kalau takut spoiler, pergi tonton dahulu – baru baca. Haha.

Selain itu, ini suatu pengakuan - bahawa dalam tulisan ini, aku menuntuni lorong Allahyarham Rahimidin Zahari, sosok penyair besar yang di hujung hayatnya tetap segar (dan sabar) menulis ulasan-ulasan kepada puisi-puisi polos hasil bakal-bakal penyair yang kalau aku di tempatnya, mungkin aku akan tonyohkan puisi itu ke muka mereka kembali.

Ya, sombong tetapi berbaloi demi sebuah kualiti.

Namun, Allahyarham Rahimidin tidak begitu.

Dia melihat potensi dalam diri setiap mereka hingga apa yang ditulisnya ialah apa yang baik dari apa yang telah mereka tintakan, di mana Allahyarham memandu mereka bagaimana untuk keluar dari daerah permulaan itu agar bakal-bakal penyair ini akan terus berkembang dan membesar menjadi pohon kepenyairan yang tegar bukan pusar-pusar ombak bertaraf busa berbuih semata. Hilang, lenyap ditelan pantai yang kejam; sebaliknya perlu untuk membiarkan diri mereka ditelan angin, naik ke langit menjadi awan, sebelum jadi hujan yang guyur demi menjadi penghuni luhur bagi sebuah lautan nan luas dan dalam.

Lautan dalam dan luas. Dalam pada ketidaktohoran. Luas pada saiz.


PENAMPAKAN DESOLASI

Dalam sinema, bagi aku, kedalamannya diukur pada intipatinya yang melebur pada falsafah, pemikiran, intipati, pesan (namakan apa sahaja) yang membawa kepada makna yang ditonjolkan dalam karya sinema.

Keluasannya pula adalah pada sisi teknik lahiriah yang digunakan, seluas mungkin teknologi seterkini mampu dimanfaatkan dalam karya sinema – dalam Desolasi, kesungguhan efek CGInya misalan, runut bunyi, warna dan apa-apa yang terpampang ditanggap pancaindera yang lima.

Aku bukan ahli dalam hal teknikal ini, tetapi hampir semua pengulas sekalipun betapa mengherdik, tetap memberi kredit pada kemampuan pasukan produksi membersihkan Kuala Lumpur yang penuh dengan lumpur kesibukan menjadi begitu cerah kesunyian (walaupun ada satu babak, ada sebuah kereta di Bukit Bintang kelihatan sedang mendaki jalan berbukit hehe). Dan aku tidak faham kenapa orang marah ada T-Rex, ikan-ikan Nippon Paint, kereta kebal segala bagai sedangkan dalam dunia Desolasi, hal itu logik memandangkan :

“Aiman, apa yang awak mahu lihat, itulah yang akan muncul”, doktor itu memberitahu.

Hal ini mengingatkan aku pada sebuah filem pendek, Drink (2015) [pautan : https://www.youtube.com/watch?v=KkPgGhYvoi8&feature=share] juga sebahagian dapatan dari Bruce Almighty (2003); bahawa manusia semahu apapun mahu menjadi Tuhan, sekalipun sudah diberi kemampuan untuk melakukan hal itu, tidak akan berupaya membawa kesempurnaan lantaran manusia tetap kekal dengan sifat kemanusiannya yang terhad dan terdedah pada cacat.

Aiman mahukan kesempurnaan dalam kehidupan yang nir-masalah tetapi terlupa keterbatasannya sebagai insan yang tidak mampu melihat keluar daripada apa yang ingin dilihatnya hingga hal itu membawa kerancuan imej-imej yang mengacaui kehidupannya sekalipun sudah berada dalam dunia Desolasi yang begitu dia inginkan.


Sungguh cantik hal ini diungkapkan oleh bahasa sinema Syafiq ketika lukisan-lukisan yang dicatankan Aiman persis Picasso pada babak-babak awal dan konflik naratif hingga mengingatkan kita pada kata-kata Picasso :

“My whole life as an artist
has been nothing more than
a continuous struggle
against reaction, and
the death of art”.

Bukankah Aiman meneruskan “struggle” juangnya sendiri dalam menentang reaksi guru, ayah dan sekeliling yang begitu melenting saat persoalan demi persoalan terpelanting dari dalam gelodak pemikirannya yang begitu bergelojak, melalui lukisan-lukisannya?

Lukisan-lukisan itu pula menjadi “surat tanda pemergian” Aiman ke dunia Desolasi saat Ayahnya baru teringat untuk mencari sebarang nota dan surat kalau-kalau ditinggalkannya sebelum pergi ke dunia yang dia inginkan.

Ini bagi aku, cukup cantik. Hanya bila Ayahnya “bermuhasabah” melihat kesan-kesan reaksinya terhadap “struggle” Aiman sedari kecil melalui lukisan-lukisan tersebut, barulah sempurna kesedarannya untuk memeluk Aiman semula (lihat perubahan watak Ayahnya terhadap Aiman setelah babak itu).

Lihat juga, bagaimana prop lukisan Picasso Aiman berubah kepada lukisan seni khat yang kita tahu membawa makna perubahan juang seni dari konflik emosi bergantung pada ragam insani kepada kebebasan menikmati kesedaran berTuhan sebagai manisfestasi tertinggi.

Dalam Desolasi, kita dijentik dengan permainan soalan dan jawapan. Apa yang aku dapat ialah –

Apakah soalan dari Tuhan? Ujian.

Apakah jawapan dari Tuhan? Kesedaran.

Dan mengakui hidup itu ujian untuk mendapat kesedaran adalah paling mencabar. Aiman hanya bergerak kepada solusi setelah melihat langit buat kali ketiga, dengan menyerah diri melalui pengakuannya terhadap kesukarannya memahami ujian dari langit.

Begitulah juga kita sebagai manusia, hanya setelah kita merendah diri, barulah kita mampu meredah belantara ujian yang menghasilkan jawapan di akhir.

Penyerahan diri ini ialah kepercayaan kepada kuasa tertinggi itu. Hanyasanya dengan penyerahan diri, kepercayaan itu datang. Bila kepercayaan tiba, barulah kesedaran mampu muncul. Tanpa kesedaran, hakikat apapun selamanya terhijab. Solusi itu ada, malah mungkin di hadapan mata (kunci penyakit Aiman yang baru diketahui olehnya ketika dewasa) tetapi kita buta melihatnya.

Penyerahan (dengan membuang kepentingan diri, sepenuhnya pada Illahi) yang membawa kepada kesedaran ini dalam bahasa puisi yang tinggi seperti ungkapan Maulana Rumi ialah :

Dalam kehidupan ini,
hanya dengan menjadi sebekas kosong
barulah diri bisa terapung
atas lautan yang terbentang
melorong sampai ke pulau hakiki.

Dalam Desolasi, kesedaran Aiman lebih jelas terungkap apabila dia tahu dia upaya menjadi kembali hitam namun dia menahan kemahuan dan kemampuan jahatnya itu lantaran sedar kesannya hanya membawa kemusnahan kepada dirinya semula. Cantik cuplikan bayang hitam digari ketika Aiman yang buta sedang mencatan lukisan khat.

Kesimpulan lain yang biasa tetapi tidak kurang menggugahnya ialah - Tuhan kacau hidup kau sehari sebab nak buka jalan utk kau tenang lagi 10, 20, 30 tahun, malah lebih daripada itu - seperti paparan video kecil yang menginsafkan ini : https://www.facebook.com/syedmohd.norhisyam/videos/1525675680795462/

Musibah ternyata rahmat yang ditangguhkan sebentar cuma.

PENGUCAPAN & PENGUNGKAPAN DESOLASI

Ada yang mengelar pengucapan Desolasi sebagai khutbah dalam nada tarbiyyah sentap. Jujurnya, aku tidak ada masalah dengan khutbah kalau pengucapan khutbah itu seperti pengungkapan & pengolahan Syeikh Hamza Yusuf; malah rasanya mahu terus terpaku mendengarnya dari Subuh hari ini sampai Isyak esok hari.

Apakah pengucapan & pengungkapan Desolasi sebagus itu?


Ralat pada Desolasi adalah pada ucapannya bertele-tele khususnya pada plot-plot awal yang tidak begitu mengesankan (malah boleh jadi memualkan) dan sebenarnya dibidas oleh Aiman sendiri ketika menjawab saranan watak Pekin :

“Kau tak yah bagitau aku lah, orang di luar sana semua dah tahu!”

Menariknya, setelah ucapan itu, pengucapan Desolasi semakin menjadi baik khususnya pada suara-suara Bella yang diadun dengan begitu bagus dan kena meski bersahaja.

“Apa bukti awak ini bukan syurga?”

“Kalau ini syurga, pertelingkahan ini tidak terjadi”

Terputus terus angan-angan aku mungkin ada raksasa muncul entah dari mana.

“Awak kata sudah 10 tahun di sini. 
Kenapa awak tetap solat sedangkan 
harapan awak tidak dikabulkan?”

“Kita solat (baca : berTuhan) untuk dapatkan sesuatu 
atau sebab Tuhan itu berhak disembah?”

Menariknya ungkapan-ungkapan ini tidak muncul dengan buat-buat namun ia muncul sesuai dengan relevansi naratif cerita pada waktu itu.

Ungkapan pertama itu untuk merasionalkan bahawa Aiman & watak Bella memang sedang menghadapi satu masalah (seperti manusia yang terlalu selesa hingga terlupa dunia ini bukan tempat ujian) hingga solusi perlu disegerakan.

Ungkapan kedua pula untuk memberitahu Aiman bahawa di sana ada beza ikhtiar (pada hati manusia yang berhajat keberhasilan usaha) dan tawakal (pada hati manusia yang melepaskan segala-galanya pada Tuhan yang Maha Merdeka). Dan kita tahu, tidak salah untuk bersolat untuk mendapatkan sesuatu seperti solat hajat malah solat fardhu untuk berhajat mendapatkan kelayakan mukmin di sisi Allah Ta’ala.

Namun, di sisi yang lebih dalam, kita sedar bahawa perbezaannya adalah pada tahap kefahaman dan martabat keimanan seseorang. Seperti ungkapan iman seorang pedagang seperti berjual beli dengan Tuhan, iman seorang hamba yang takut dicemeti tuannya dan iman seorang kekasih yang bebas mengasihi Kekasihnya.

Lantaran itu, manusia yang beriman pun terpecah kepada dua golongan (rujuk surah al-Waqiah pada tafsiran tiga golongan manusia di Mahsyar). Golongan beriman yang khusus dan umum.

Berkata guru kami, as-Syeikh Hafez al-Tilmisani hafizahullahuta’ala, mereka yang terdiri daripada golongan tanpa hisab di hari kiamat, yang termasuk golongan beriman yang khusus itu diawali maqam mereka berdasarkan tahap tawakal mereka. Semakin tinggi tawakal mereka pada Allah Ta’ala, semakin tinggi maqam dan keawalan mereka melangkah ke syurga.

Imam Sufi yang besar, al-Imam Abu Yazid al-Bisthami qaddasa Allahu sirrahu pernah bermadah,

“Apakah itu syurga?
Syurga hanyalah mainan
dan kesukaan anak-anak.

Aku hanya mencari
Dzat Allah.

Bagiku syurga bukanlah kenikmatan sejati.
Dzatnya menjadi sumber kebahagiaanku,
ketenteraman yang menjadi tujuanku.”

Hingga kita menyembah Tuhan bukan kerana berhajat; tetapi kerana dia berhak, lantas solat kita memenuhi hakNya dengan melunaskan tanggungjawab seberapa kejap. Kita tahu, maha belas Tuhan dan balasannya adalah sesuai dengan kepemurahanNya serta kebijaksanaanNya. Lantaran itu, Nabi Ibrahim alaihissalam tidak ralat untuk menyembelih anaknya sendiri, selagi baginda tahu itu adalah wahyu dari Maha Segala Tahu.

Malah, kebetulan terjumpa watak Doktor itu di persimpangan jalan oleh watak Jalal bersama watak Pekin terlebih dahulu dilapik dengan ingatan kehendak Tuhan jika berkenan membantu, cuma perlu sekelip mata – lantas ia menjadikan Deus Ex Machina dalam babak ini begitu relevan dengan kehendak naratif sekalipun Syafiq Ghazali dalam novel Jahat (FIXI) pernah berkata : Kebetulan ialah bagaimana takdir berjenaka.

Syafiq juga tidak menempel ayat al-Quran seperti pengkarya lain khususnya dalam filem-filem-seram-ustaz-datang-lawan-jin; tetapi dia memaknakan al-Fatihah pada permulaan dengan pengakhiran karya dengan pembukaan soalan dan penutupan jawapan yang terang dan jelas.

Hal-hal sebegini yang terpuji dan alangkah indahnya kalau Syafiq Yusof mengetatkan skrip Desolasi sebegini kental sepanjang penceritaan, malah seni senimanya juga.

Mungkin Syafiq mahu lakukannya tetapi terpaksa tunduk dengan kehendak meningkatkan kebolehpasaran filem ini untuk massa di luar sana; sampai dia tercangkuk pada lenggok SKOP Production seperti selalunya; hingga di akhir apa yang aku dapat – Syafiq seupayanya menyimbangkan kemampuan filem ini antara cenderung menjadi art-movie & pop-corn movie (meski lebih menghampiri pop-corn movie). Pendeknya, dia tetap turut mahu bermain “deep” dengan seni senimanya; tetapi tidak terlalu berat, sampai orang tak faham; atau terlalu bodoh, sampai wajib dikecam.

Syafiq sepertinya mengumpul pengaruh dari kedua-dua wilayah, agar apa yang bakal dihidangkannya nanti di masa hadapan, andai lebih berkualiti dan sinematik akan lebih memancing khalayak yang lebih besar.


Mungkin dia tidak mahu terlalu cepat membesar menjadi another “Hanyut” & “Interchange” lantaran dia sedar khalayak tempatan belum cukup matang menjamah hidangan nuansa internasional seperti kedua-dua karya itu; namun dengan percik-percik sinematik yang diberinya dalam Desolasi (dan jangan lupa dalam SAM dan Abang Long Fadil); dia mahu pastikan bila sampai saat dia menghasilkan another “Bunohan” atau “KIL” itu sepenuhnya, khalayak kita sudah mahu dan mampu menerima seluas-luasnya seraya sinema kita tidak lagi meratap sayu lantaran kedunguan penonton tempatan yang belum benar-benar bersedia. Ini telahan aku.

Apapun, tentang Desolasi ini, kita boleh terus bergaduh berkenaan apa darinya yang pandai dan bodoh. Yang pasti, harapan terhadap kemajuan sinema tempatan di masa hadapan tampak indah menyinsing apatah lagi setelah Rewan Ishak (KIL yang aku sangat minat) & Syafiq Yusof sudah berbincang sesama mereka (rujuk twitter Rewan, tengah malam 12 Disember 2016).

Za’im Yusoff
12-12-16, 3.42 am

p/s : Engkau mungkin bertanya. mengapa aku begitu mahu menulis tentang Desolasi? Shamsul dan Syafiq membawa gagasan hidup yang bukan kecil. Mereka membawa Islam, yang usia juangnya sejak penciptaan manusia hingga kemusnahan alam. Soalnya, sejauh mana mereka mampu semakin bijaksana dalam membawa gagasan besar dan mulia ini dalam karya-karya mereka seterusnya? Apakah mereka mampu menjadi tukang seni yang benar-benar meramu, bukan merapu lalu, menjadi jamu pusaka turun-temurun?

Mudahan Allah Taala terus membimbing mereka. Dan kita semua.

2 comments:

  1. Terpaku saya baca pena penulisan ni..

    Regards:
    CkinSite

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah, moga bermanfaat. :)

      Harapnya terpaku-paku, jangan sampai paku tercabut jadi pontianak hehe :D

      Terima kasih atas komen!

      Delete

Sebarkan Manfaatnya! :)