Friday, May 31, 2013

Mengapa Jawab Jadi Jawapan?

Ada soalan daripada seorang kawan berkenaan, mengapa hal di bawah bisa terjadi?

Jawab jadi jawapan
Wajib jadi kewajipan

Tetapi

Ajaib jadi keajaiban
Adab jadi peradaban
Tertib jadi ketertiban

Jawapannya : 

Hal ini termasuk di bawah persoalan pembentukan kata (ilmu morfologi) yang mana rujukannya boleh didapati secara jelas di dalam Tatabahasa Dewan. Meskipun daripada sudut pembentukan kata perkataan "jawab" boleh menerima akhiran -an sehingga seharusnya ia menjadi jawaban [jawab + an], namun di sana ada beberapa kekecualian yang diistilahkan sebagai Bentuk Mantap. 

Bentuk Mantap ialah sesuatu kata yang telah diserap dan telah menjadi kebiasaan sehingga diangkat oleh pihak autoriti bahasa untuk menerima bentuknya sedemikian rupa. Hal ini terpakai dalam isu - jawab menjadi jawapan dan wajib menjadi kewajipan. Malah jika diteliti dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, jawapan telah diterima sebagai subentri kepada jawab. 


Menurut DBP, jawaban adalah benar dari sudut morfologi manakala jawapan diterima sebagai kelaziman penggunaannya. Maka, jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian yang dibenarkan untuk dipilih oleh para pengguna bahasa. 

Kekecualian adalah perkara biasa dalam bahasa. Antara kekecualian yang lain ialah mentertawakan tidak dieja sebagai menertawakan sekalipun imbuhan awalnya termasuk dalam abjad PSTK yang menerima serapan seperti tangkap menjadi menangkap, saring menjadi menyaring, tunggu menjadi menunggu dan kata menjadi mengata. 

Kekecualian juga terdapat dalam bahasa lain. Saya masih teringat kata-kata Abang Faizurin Jamaluddin yang mahir sekitar 8 bahasa itu sewaktu mengadu ngomel padanya tentang kekecualian dalam Bahasa Perancis, beliau pantas merespon :

"Tell me, which language in this world that doesn't have any exception!"

Pokoknya - kerana terus belajar dan rela ditunjuk ajar!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)