Friday, June 7, 2013

ERTI SEBUAH KAD HARI JADI


"Asyraf, nah!"

"Ala... kad je?"

Faqih tunduk. Menyirap darah merah di pembuluh-pembuluhnya - panas dan hangat lantas dia merampas kad itu seraya membentak - garang meneriak :

"Ha! Kad saja. Kad yang tak dihiasi emas, tak diperagakan permata. Bermodalkan huruf-huruf yang percuma. Kau ingat Tuhan bodoh sangat turunkan wahyu dalam bentuk kata-kata? 

Kau ingat Dia tak boleh turunkan wahyu untuk memandu semua manusia dengan membuat audio-visual macam video dan filem Mud Lutfi, Erwan Ishak & Steven Spielberg buat? 

Kau ingat Tuhan tak boleh turunkan wahyu dalam bentuk lukisan macam Leonardo, Raphael, Donatello dan Michelangelo? 

Kau ingat Tuhan tak boleh tulis lagu kemudian kau dan aku nyanyi-nyanyi lagu wahyu macam A.R Rahman atau Bach, Mozart dan Beethoven karang? 

Tapi kenapa Tuhan Yang Maha Pandai itu turunkan wahyu dalam bentuk kata-kata kemudian ditulis maktub kemudian kita baca sebagaimana nenek moyang kita baca kemudian anak-anak, cucu-cucu, cicit-cicit, piut-piut kita baca? 

Kenapa kenapa dan kenapa? 

Ya - semua itu tak ada harga terutama bagi kau - kerana kata-kata hanya-lah percuma, kan? 

Sebagaimana percumanya kata-kata aku yang tiada harga di dalam kad ini, kan? Kan? Kan?"

Terpaku Asyraf. Dan nafas-nafas Faqih tercungap-cungap setelah menghamburkan kata-kata yang meluncur deras laju itu.

"Sudahlah!", kad yang dirampas - dikeronyok masuk ke dalam sampul kad jingga itu semula.

"Aku nak balik. Salam!" Faqih berpaling dan mula mengatur langkah.

"Hei, Qih!", Asyraf menyapa tangan kiri Faqih dan menyoal,

"Merajuk ke ni?"

"Tak de la. Aku gembira sangat. Puas!" sambil berpaling, Faqih menjawab.

"Jangan la macam tu. Kalau aku tak buat macam tu, kau mesti tak beritahu tentang makna-makna yang jauh lebih bermakna daripada sebarang benda segala hadiah atas dunia. 

Bukankah engkau pernah beritahu aku - harta hidup kerana makna. Tanpa makna, harta semahal mana pun hanyalah bangkai yang tersadai di pusat pengumpulan sampah-sarap dunia, kan?" Asyraf dalam menyebut dengan suara perlahan tetapi menangkap bujuk hati sukma yang dalam.

Pandangan Faqih masih membelakangkan Asyraf. Namun, tangannya yang tadi keras agah kini mulai mengendur - dan terasa makin lembut. 

"Bagi balik kad itu pada aku. Ia bukan milikmu lagi. Ia milikku. Takkan kau nak jadi buruk siku, kan?" Asyraf menduga teman baiknya itu.

Faqih berpusing. Kad yang terperonyok masuk ke dalam sampul kad warna jingga di sebelah kanannya itu - kini berpindah tangan - semula, ke pemilik kad itu yang asal dituju.

"Dah - lain kali jangan buat macam ni. Hargailah sebelum pensyarahnya mati. Sebelum makna-makna yang tersirat di balik patah-patah ini terkubur tiada bernisan", lemah Faqih merintih - dingin terasa.

"Terima kasih daripada sekeping hati seorang yang jahil seperti aku, ya!" kata Asyraf perlahan.

"Sedangkan kasih kau aku terima. Apatah lagi maaf-mu!" Faqih mulai sejuk tenang, terukir senyuman di tubir mulutnya.

"Dah - jom aku belanja Secret Recipe Chocolate Banana!" ceria Asyraf mengajak.

"Mana boleh! Hari jadi kau, kan! Ok - sebab kau dah buat salah kat aku - kau wajib makan Kek Chocolate Banana tu sebab kek tu paling aku suka - tapi aku bayar! Ok?"

"Apa sahajalah - asalkan aku dapat semula temanku!"

":)"

"(:"

---

Aku ingin berhenti menulis saat aku mengejar dunia,
Kerana dunia itu najis hingga buat mata hati buta!

-Suara Hati saat pulang dari Jumaat 28 Rejab 1434H

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم 

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)