Thursday, August 1, 2013

[ULASAN FILEM] REVIEW : THE CONJURING - Mencabar & Menalar Kepercayaan

Sahaya bukan peminat filem supernatural - asalnya.

MUQADDIMAH

Meskipun sahaya amat beriman dengan kewujudan benda-benda ghaib seperti jin dan syaitan apatah lagi malaikat dan Tuhan, namun setakat penghasilan bangsa manusia bagi filem-filem dan drama-drama supernatural - belum ada yang benar-benar memahat minat sahaya untuk terus menggilainya sebagaimana kegilaan sahaya akan filem-filem realism yang "gory" lagi "berfalsafah" semisal siri SAW, siri Final Destination, Battle Royale, Incite Mill dan seangkatan.

Namun, setelah dicadang dan dipancing-pancing oleh slogan "Begini Kalau Nak Buat Filem Hantu" oleh Kekanda Sifu; maka kita pun memicu tunggang kuda baharu bernama Lagenda 115 itu seberapa segera hingga berbuka puasa pun dengan sekeping roti sosej dan seteguk dua air ala-ala Mirinda di dalam gua tayangan yang sentiasa kelam sama ada siang mahupun malam.

Setelah sembunyi muncul sembunyi muncul dengan kain rida' hijau saat menonton tayangan itu, ternyata kita akui benar - ini filem yang unik dan menarik sekalipun tidaklah begitu luar biasa pemikiran mahupun plot penceritaannya.

Sahaya simpulkan filem ini dengan tema :
Tsiqah. 

Kepercayaan. 

Filem ini mencabar dan menalar kepercayaan!
SUDUT DAN FALSAFAH AKAR KALIMAH

Tsiqah, sebagaimana menurut guru lughah kami, al-Fadhil al-Ustaz Nushi Mahfodz hafizahullahuta’ala boleh difahami dengan satu perkataan yang begitu sinonim dengan istiadat berdaulat di istana oleh raja-raja dan para kerabat yakni – watikah. 

Watikah dalam bahasa asalnya yakni Arab ialah "waseeqah" (الوَثِيقةُ) yang bermaksud suatu dokumen yang mustahak yang hanya diberikan kepada yang berhak dan benar-benar layak untuk dijaga dan menggunakannya saat ia dihajatkan. Lisanul Arab menakrifkan perkataan waseeqah ini sebagaimana berikut (sama saja definisi konsep sebagaimana yang telah diberi tadi) :

والوَثِيقةُ في الأَمر إحْكامه والأَخذ بالثِّقَةِ، والجمع الوَثِائقُ 

Kita percaya pada yang berhak kita percaya. Kepada yang benar-benar layak sahaja. Kerana kredibiliti, kerana autoriti yang sentiasa disandingkan dengan keluasan ilmu dan pengalaman. Ia boleh jadi relatif kerana saat kita tiada atau kurang autoriti, saat kita tiada atau kurang kredibiliti, saat kita tiada atau kurang ilmu dan pengalaman berbanding dengan seseorang yang punya autoriti, kredibiliti, punya ilmu yang luas dan pengalaman yang bukan calang-calang nak dicantas - kita akan berikan kepercayaan.

Imejan Yang Begitu Mengasyikkan - Antara Damai Santai dan Misteri Sunyi Sepi
KEPERCAYAAN : ANTARA CABAR DAN NALAR

Soalnya kepercayaan itu dicabar atau dinalar. 

Cabar - kalimah biasa. 
Tetapi Nalar - jarang guna?

Sahaya perincikan maksudnya. Nalar ialah kekuatan fikiran. Kekuatan fikiran yang membuahkan kesanggupan kita berpegang paut pada kepercayaan. Maka, saat seseorang menalarkan kepercayaan bermakna dia bergantung harap pada kepercayaan itu untuk membantu dan menolongnya dalam situasi tertentu. 

Misalnya, kita menalarkan kepercayaan kepada Tuhan dengan maksud kita menjadikan kepercayaan kita kepada Tuhan sebagai suatu kekuatan fikiran untuk membolehkan kita bergantung padanya dalam menyusun atur dunia yang kita tahu tetapi tidak sepenuhnya arif; apatah lagi dunia yang tidak kita tahu dan kita amat naif. 

Sebaliknya mencabar kepercayaan ialah percubaan untuk menyah posisikan apa yang dipercayai seseorang. Dalam The Conjuring (baru sedar belum masuk lagi tentang cerita ni haha), filem ini mencabar orang yang tidak ada kepercayaan. Eh?

Bukankah ketidak percayaan itu satu kepercayaan? 

Percaya untuk tidak percaya? 

Seperti "apolitical stance is indeed a political stance". 

Sahaya tidak kata keluarga Perron itu menganut atheisme - tidak percaya kewujudan Tuhan apatah lagi benda-benda ghaib. Tidak. Tetapi, dialog berulang kali yang menegaskan mereka tidak berapa beragama seperti kenyataan tidak membaptiskan anak-anak perempuan mereka yang diulang-ulang - satu, pengakuan pasangan Perron semasa pasangan Warren datang temuramah dan satu lagi, kenyataan paderi kata susah nak halau hantu kalau depa belum baptis - (baptis ni macam budak lelaki Muslim yang tak bersunat dalam Islam - asas sangat!) adalah cukup menyimpulkan bahawa filem ini sedang mencabar kepercayaan mereka yang kurang atau tidak percaya kepada "the unseen" atau "perkara-perkara ghaib" dengan pengalaman yang mengerikan yang memaksa mereka mencari penjelasan dan rawatan bagi memastikan mereka mampu berlari kembali di persisir pantai semua tujuh beranak seperti yang mereka lakukan sebelum masuk ke rumah luar bandar yang cantik, menarik, tenang dan nyaman itu!

Akhirnya, setelah nampak dengan kepala belanak mata terbeliak, akhirnya mereka tunduk akur dan menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pasangan Warren. 

Ini bagi sahaya sememangnya mengherdik pasangan Perron yang hanya bergantung kepada 'ainul yaqeen yakni keyakinan hanya semata-mata melalui panca indera yang mana akhirnya mereka terpaksa bergantung kepada 'ilmu yaqeen (keyakinan bersandarkan ilmu - autoriti dan kredibiliti) pasangan Warren. 

Sedangkan kita tahu, kalau kalian selak surah at-Takathur, jelas di situ - tanpa 'ainul yaqeen pun, cukup dengan 'ilmu yaqeen (yang dialami oleh Lorraine Warren dan suaminya, Ed Warren) yang berpotensi dibukakan hijab kepada 'ainul yaqeen (seperti yang dialami oleh Lorraine Warren); kita masih boleh menalarkan kepercayaan tentang hakikat kewujudan dan sistem alam ghaib tersebut. 

Ed tak nampak, tapi Ed percaya (ilmu yaqeen) akan Lorrain yang nampak
dengan kepala banak mata terbeliaknya ('ainul yaqeen)
Lihat sahaja keyakinan Ed Warren kepada apa yang Lorrain Warren sebut dan alami dan diberitahu olehnya kepada suaminya walaupun Ed tidak nampak - ahli sihir yang pucat kecut tergantung terlunjur di dahan pokok depan rumah keluarga Perron.

Dan mereka yang tidak percaya kepada ghaib sekali lagi terpukul - di hujung filem sebelum sesiri kredit keluar - katakan mereka kata - ah, ini karut tapi James Wan Malaysia memang pandai berkarya - akan ditempelak sepak diterajang tendang dengan foto-foto asal yang menunjukkan kisah ini adalah kisah yang benar - yang hanya sekadar dicerita filemkan semula!

5 anak perempuan pasangan Perron adalah benar.
1 anak perempuan pasangan Warren adalah benar.
Pasangan Warren beri syarahan di universiti tentang kejadian misteri mereka kendali itu adalah benar.
Ia benar-benar berlaku di alam realiti yang sedang kalian dan kita semua diami!

Maka, bagaimanakah mereka yang sangsi mampu selesaikan hal-hal yang benar ini dengan sebuah penjelasan yang benar-benar jelas selain daripada menerima bahawa autoriti dan kredibiliti semisal pasangan Warren itu untuk membenarkan kewujudan alam ghaib berkenaan?

Tambahan sepakan terzahir pada kalam-kalam akhir di hujung - Satan exists. God exists!

Kerana itu sahaya katakan The Conjuring sememangnya "interesting" dalam mengetengahkan subjek kepercayaan - mencabar dan menalar di saat kepercayaan kepada agama mulai longgar dan sekadar diputar-putar sebagai bahan jenaka dan lawak bersahaja manusia-manusia yang buta mata hati, pekak telinga jiwa.

Dan kepercayaan dalam Islam itu disyarah lebarkan dalam ilmu Aqidah. Aqidah bermakna ikatan. Seperti ikatan tali yang kuat yang telah menjerut jerat tengkuk si ahli sihir Bathsheba di pokok kelabu asap itu. 

Sepakat ulama' zaman-berzaman ilmu Aqidah terbahagi kepada tiga :

1. Ketuhanan (Uluhiyyat)
2. Kenabian (Nubuwwat)
3. Perkara-perkara ghaib (Sam'iyyat)

Perkara-perkara ghaib pula terbahagi kepada tiga :

1. Yang lepas (Alam roh dsbnya)
2. Yang sekarang (Jin, syaitan, malaikat, qarin dsbnya)
3. Yang nanti (Kubur, Mahsyar, Syurga, Neraka dsbnya)

Sudah selesai belajar, korang? :)

MEMORI JIWA SEPARUH SEDAR

Antara babak yang begitu buat saraf-saraf pemikiran kita menggelegak ialah saat penceritaan Carolyn Perron kepada Lorraine Warren (oh rima pula Carolyn dan Lorraine ya haha) akan gambar mereka bertujuh berlatarkan langit biru lazuardi itu. Pantas Lorraine menta'wilkan gambar yang mengisahkan seribu perasaan dan menceritakan seribu harapan dan kenangan itu. Lantas disebut suatu petikan yang sungguh - wow! - apabila ditanya Carolyn, macam mana hang tau? -

"Insight is like sneaking through the hiding window of other's life"

Persepsi umpama mengintai  melalui tingkap tersembunyi akan kehidupan manusia lain!

Kemudian, Lorraine mengesahkan ia dan menyatakan itulah saat yang terbaik dalam hidupnya.

"They (the family of seven) are my world"

Dan dengan menggunakan kekuatan memori jiwa separuh sedar inilah, roh jahat Bathsheba dihalau keluar dari jasad Lorraine saat dirasuk sekaligus menonjolkan peranan dan kesan kekuatan memori jiwa separuh sedar.

Ini bukan benda pelik dan tidak diketahui.

Malah, amalan repitasi (baik dalam meditasi dalam bentuk solat, yoga dan seumpama) yang disandingkan dengan perasaan yang mencengkam dalam (khusyuk) bisa menghasilkan memori jiwa separuh sedar yang akan membantu kita di saat-saat manusia berada antara berakal ataupun tidak.

Saat berada antara antara berakal ataupun tidak inilah dikenali sebagai saat Sakaaratul Maut - at the brink of death!

Di saat ini, menurut tradisi Islam, talqin kalimah mulia - La ilaha illa Allah yang menjamin seseorang masuk syurga - disyariatkan untuk diulang-ulang oleh mereka yang hidup kepada si hampir mati. Di sini, peranan memori jiwa separuh sedar amat mustahak. Kerana itu zikir yang diulang-ulang sepanjang hayat seseorang akan dikumandang semula oleh jiwa separuh sedarnya saat akal antara berfungsi dan tidak berfungsi. Dan apakah sebaik-baik zikir?

لا إله إلا الله

Cuba bayangkan kalau minda separuh sedar anda tidak dapat mengulang ungkap zikir ini? Cursed to the hell? Minta lindung!

Kerana itu ada dalam kalangan wali-wali Allah Ta'ala menyarankan untuk setiap yang beriman pada Allah Ta'ala, sebelum meninggalkan dunia ini, mengkhatamkan paling kurang 10 ribu kali kalimah mustahak ini!

LELAIN

Dari segi plot penceritaan pula - sahaya simpulkan dalam puisi pendek ini :

Tepuk,
Tarik,
Rasuk,
Tubik!

Dan tabik sungguh pada elemen humor yang begitu "ah! sempat lagi nak bercanda dalam waktu-waktu genting begini!"

Dan suka runut bunyinya yang begitu 70-an! Muzik semasa pasangan Warren dan dua pekerjanya sedang memasang set-set penggambaraan operasi menangkap bahan bukti buat dipersembah kepada paderi.

:)

KHAATIMAH

Bintang? 

7 daripada 10!

Ambil masa tonton, sebab khabarnya lepas raya dah tak da. 

Sekian.

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)