Wednesday, August 28, 2013

Review The Purge - Menyepak Solusi Insan Haiwani

"Incite Mill". "Panic Room". "The Exam" - sahaya cuba berfikir adakah warga survanabhumi ini pernah menghasilkan filem sedemikian rupa - yang setakat ini jawapannya nihil. Terperangkap dalam ruang yang terhad yang pastinya punya had. Lantas, sebegitu pantas ia mengeluarkan gelenyar-gelanyar insan yang selama ini bertopengkan topeng-topeng indah yang dihijab oleh aurat. 

Namun, The Purge berbeda. Kita sering dipaparkan dalam filem-filem thriller seumpama ini dengan kisah manusia daripada elok terzahir akhirnya buruk, daripada baik tercungkil akhirnya jelik dan daripada mulia rupa-rupanya hina. Namun, The Purge berbeda. Ia sebaliknya! 

Daripada hina rupanya mulia, daripada jelik sebenarnya baik dan daripada buruk hakikatnya elok - itulah yang ditayang tunjuk khususnya melalui tindakan keluarga ini terhadap ancaman-ancaman pembunuhan ke atas mereka hatta oleh rakan-rakan akrab. Memberikan harapan dalam sepak-sepak kritik terhadap kegilaan insan melahirkan solusi-solusi pelik. 

Ya - pelik tetapi dicanang sebagai berkesan. Berkesanlah sangat hingga sampai ke satu takat ayah seorang anak yang terkorban di malam Purge itu akhirnya mengaku - 

"My children died last night. A son. A daughter. I was a proud American. But, not anymore. This country has taken away my life from me"

Hakikat. Sudah terhantuk, baru tergadah. Selagi tak kena, kita tak rasa. Bila dah kena, kita menggelupur mengumumkan kepercayaan kita.



THE PURGE

Ia sebuah filem yang mempunyai idea yang unik lagi menarik. Sahaya menjangkakan idea filem ini bermula dengan persoalan "What if?" - "Bagaimana kira-kiranya?".

Maka, kalau kita simpulkan dengan persoalan itu, maka The Purge yang mana tajuknya diterjemah sebagai Hari Pembasmian - membangkitkan persoalan berikut :

"Bagaimana kira-kiranya kerajaan sesebuah negara yang mana ideanya datang daripada Bapa Pengasas Baru (The New Founding Father) membenarkan rakyatnya dalam satu malam tertentu katakan 22 Mac setiap tahun dari pukul 7 petang ke 7 pagi untuk bebas melakukan apa jua jenayah tanpa disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah? Malam itu, semua perkhidmatan kecemasan baik polis, bomba mahupun hospital kita bekukan. Hanya selepas detik 7 pagi 22 Mac, barulah semuanya kembali seperti sediakala?"

KRITIKAN SOLUSI BAPA PENGASAS BARU

Aku meyakini Dajjal. Kerana Nabi kita telah buat akannya kita kenal. Namun, untuk terus menyimpulkan sejauh Bapa Pengasas Baru itu selaku tamsilan era Dajal memberikan solusi pelik-pelik kepada ummat manusia - itu suatu yang aku belum berani ingin menta'wilkannya. Kerana apa? Kerana tanpa Dajjal pun, manusia sudah mengeluarkan malah berani melaksanakan solusi-solusi yang gila amatlah gila. Lagi gila, bila solusi itu Tuhan telah bentangkan dalam kitabNya, manusia tolak mentah-mentah - didatangkan solusi yang baru yang direka cipta yang sampai ke hari ini penuh berantakan lantaran jenayah seakan bertali arus tanpa langsung menzahirkan tanda-tanda ianya akan berkesudahan.

Filem ini mengkritik hal itu. Sekalipun tidak menyatakan pendirian pada solusi Tuhan terhadap permasalahan jenayah insan; tetapi filem ini cukup menggambarkan kegilaan insan menawarkan jalan keluar yang sungguh memualkan.

Tempoh hari, sahaya ke kenduri aqiqah. Seorang sahabat memberitahu kisah sahabatnya yang amat memilukan. Isterinya yang sedang berkereta entah bagaimana terlanggar seorang pembonceng motosikal sehingga dia menemui ajal. Masih punya deria hati yang masih suci tidak pekak dan buta, isterinya itu tidak melarikan diri. Maka, dipertanggungjawabkan ke atas pundak isterinya akan kematian pembonceng motosikal itu hingga masuk ke dalam mahkamah jenayah.

Persoalannya, di saat keluarga si mati telah menerima maaf atas ketidak sengajaan isterinya dan menerima bayaran atas kerugian berkaitan lantaran pemergian si pembonceng, mahkamah masih degil meneruskan tradisi prosidingnya yang "maha adil!". Aku baru tahu rasional orang langgar lari. Bukan sangat mereka tak mahu dikenal pasti meski sedar ketidak sengajaan diri, namun kerana sistem keadilan negara ini yang maha gila semisal ini - menyebabkan si pelanggar masih lagi dihukumkan kerana "versus"nya ialah PELANGGAR VS KERAJAAN. 

"Maha Adil" - solusi insan! Maha Adil!

Berbeza sungguh dengan "kezaliman" solusi Tuhan, ya lah kalau buat solusi Tuhan, kerajaan tidak bisa menunjukkan taringnya dan berfulus wang tidak boleh diketip kutip atas dosa. Tak kiralah dosa sengaja atau tidak. Yang lagi "maha pintar", orang yang paling besar dalam hierarki sosial, yang entah bila masuk plot cerita - tiba-tiba diberi kuasa pengampunan yang maha agung! Wah! Ini amat terulung!

Solusi Tuhan bagi kes semacam ini diberi gelar sebagai QISAS.

Secara ringkas (panjang-panjang tanya orang 'alim), apabila Qisas dilaksanakan, seseorang yang didapati sabit membunuh seseorang mempunyai tiga pilihan dari sudut cara hukuman yang perlu dirundingkan dengan keluarga si mati. 

Satu - Kemaafan. Tak perlu dibalas apa-apa. Cuma maaf sahaja.

Dua - Bayar diat (denda). Sesuai dengan kerugian yang ditanggung atas kemalangan dan pemergian si mati.

Tiga - Dibalas bunuh.

Apa manfaat hubungan sebegini?

Jelas Dia telah khabarkan dalam firmanNya, surah al-Baqarah ayat 179 :

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ
يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, 
wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa. 

Apa maksudnya? 

Kalau ambil solusi SATU - si mati yang seperti dalam kes kawan sahaya tadi, seorang isteri boleh segera kembali ke rumah tangganya membesarkan dan mendidik anak-anaknya yang tiga orang, paling sulung umur sekitar 5 tahun itu! Solusi Tuhan memberikan kehidupan bukan sahaja kepada isteri dan anak-anak, malah juga si suami yang semestinya tertekan, tak tahu apa lagi alasan hendak diberikan kepada anak-anaknya saat mereka dapati ketiadaan ibunya. Hukuman penjara 2 tahun itu seakan pasti - nak jawab apa dekat anak-anak nanti? Ibu pergi bercuti 2 tahun? Dicop banduan tak semena-mena, majikan mana yang kepingin nak beri si isteri itu semula kerja?

DUA - Dua-dua dapat hidup. Si keluarga dapat teruskan hidup kerana katakan si mati seorang lelaki, yang membunuh secara tidak sengaja itu boleh menampung mereka atas hukuman "denda". Dan yang membunuh dapat hidup semula seperti huraian SATU.

TIGA - Selalunya jalan keluar ini untuk yang jahat amat. Matinya dia suatu cara merehatkan seluruh ummat daripada kejahatannya.


YANG LONGGAR

Plot risque yang tak perlu pada awalnya. Lewah (dan semestinya dari segi syariat salah, jadi sila tundukkan pandangan). Lebih baik dibuang dan digantikan lebih banyak aksi atau plot-plot tambahan yang lebih segar dan menyumbang makna kepada filem yang mengendong idea yang besar dan segar ini. 

Ya - setuju juga teknik-teknik pembunuhan patutnya lebih kreatif dengan pelbagai perencah yang tolonglah - jangan ulang yang sama! 

Kesimpulannya, idea filem ini besar dan segar tetapi tekniknya masih ada yang longgar.

Bintang? 7/10 kerana ideanya aku beli dengan harga yang lebih tinggi daripada biasa :)

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

*Aku malas nak hurai panjang kekicau aku ini -


Fan of must visit/revisit Night of the Long Knives, the famous Hitler's purge because it justifies the costume of Rhys Wakefield (see pic below) in this film somehow


No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)