Tuesday, September 10, 2013

MENGAPA ALLAH TA'ALA SEBUT MALAM DAHULU SEBELUM SIANG, MATAHARI SEBELUM BULAN


SOALAN :

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Di dalam surah al-Anbiya, Allah Ta'ala berfirman :

"Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas)." (21:33)

Mengapakah Allah Ta'ala menyebutkan malam terlebih dahulu berbanding siang, dan kemudiannya disebut pula matahari dahulu sebelum bulan. Mengapa tidak disebutkan bulan terlebih dahulu sebelum matahari memandangkan telah disebut malam dahulu sebelum siang pada bahagian di dalam ayat itu sebelumnya?

JAWAPAN :

Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,

Sebenarnya terdapat banyak ayat lain di dalam al-Qur'an di mana Allah Ta'ala menyebutkan dalam turutan ini yakni "malam dan siang, matahari dan bulan". 

Antara kupasan mengapa malam disebut dahulu sebelum siang adalah kerana malam itu selalu dikaitkan dengan kegelapan dan kekosongan tanpa kewujudan, maka ketidak wujudan ini disebut dahulu bagi mengikut logik penciptaan bagi memudahkan insan memahaminya (di mana ketidak wujudan berlaku sebelum kewujudan, kegelapan sebelum cahaya, malam sebelum siang).

Tambahan pula, manusia lebih mempersoalkan sesuatu yang berkaitan dengan kegelapan berbanding sesuatu yang sudah jelas terang. Misalnya, kita lebih mempersoalkan mengapa seseorang boleh menjadi buta dan pekak berbanding mengapa seseorang boleh melihat dan mendengar? 

Maka, menerusi kupasan ini kita dapat melihat bagaimana Allah Ta'ala menyebutkan malam terlebih dahulu kerana manusia lebih mempersoalkan dan tertanya-tanya tentang kewujudan malam berbanding siang.

--

Mengapa matahari sebelum bulan?

Terdapat banyak kupasan tentang persoalan ini. Sebagaimana manusia lebih mempersoalkan malam berbanding siang, begitu juga manusia lebih menyebut dan mempersoalkan tentang penciptaan matahari berbanding bulan kerana saiz agamnya dan sinar cahayanya yang benderang - lantaran itu kita lebih banyak mendengar ada manusia menyembah matahari berbanding bulan.

Tambahan pula, adalah lebih sesuai disebut matahari terlebih dahulu kerana matahari menandakan bermulanya hari - kerana hidupnya hari kerana matahari, malah kerana mataharilah kita bisa melihat bulan! 

Kerana bulan hanyalah memantulkan cahaya matahari! Dan bulan juga mengelilinginya!

Maka, matahari lebih besar dan lebih penting penciptaannya maka ia disebut terlebih dahulu berbanding bulan.

---

Dan sungguh Allah Ta'ala lebih mengetahui akan hakikat sesuatu perkara.

*Terjemahan dan olahan daripada artikel Ola Shoubaki, seorang ahli Ishtiqaaq (Etimologi) khususnya dalam al-Qur'an dan al-Hadis di sini - 

http://www.arabicgems.co.uk/2013/07/ask-arabicgems-the-night-and-the-day-the-sun-and-the-moon/

Moga bermanfaat!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)