Monday, December 9, 2013

[ULASAN FILEM] REVIEW : CAPTAIN PHILLIPS - Thriller Paling Teruja!


Semalam kepenatan. Hampir seluruh pelusuk kota ceruk Kuala Lumpur telah (terpaksa) aku terokai. Namun, sejak beberapa ketika, Encik Thaaqib tidak menghubungi, melihatkan panggilan terlepas di skrin telefon menjentik hasratku untuk meninjau dengar apakah hasratnya.

"Captain Phillips, jom!"

Aku tahu tetapi belum sedar akan filem ini sehinggalah saat dapati ratingnya 94% di Rotten dan 8.1 di IDMB berserta bahasa ulasan yang mengujakan, terus terpacul persetujuan untuk tonton bersamanya walau tayangan sudah dijangka berakhir lewat 1 pagi. 

Ya, Encik Thaaqhib, Rotten dan IDMB - terima kasih, rating kalian memang bisa terpercayakan. 

Captain Phillips adalah sekuat Prisoners, malah mungkin lebih kuat. Cuma, genrenya berbeza. Ia hiburan thriller saspens yang berbeza dengan filem thriller 'gory' seperti Chainsaw Massacre (2003), siri SAW mahupun 5 siri Final Destination itu. Mungkin Phone Booth (2002) atau Panic Room (2002) dalam daerah yang sama tetapi jujur, Captain Phillips jauh lebih mengesani terutama thrillernya itu menyantuni gerak nilai-nilai manusiawi sebagai seorang kapten yang bertanggungjawab kepada anak-anak kapalnya. Dan tambah mengesankan bukan hanya kepada negara Amerika-nya semata tetapi juga kepada dunia secara satiranya.

CERITA

Kisah filem ini mudah tetapi nilaiannya mahal. 

Lanun Somalia yang dihimpit kemiskinan mencari jalan singkat dek ditekan kapitalis pasaran gelap dengan berbekalan bot cinonet yang sudah lebih separuh hayat bersama 4 juragannya itu berjaya menawan kapal kargo agam yang 'unarmed' dan misi bicara nilai dan falsafah bermula hinggalah lasykar-lasykar Rumah Putih mengambil alih menyelamatkan satu nyawa saja. Nyawa Captain Phillips di tangan empat juragan Somalia yang cemerlang dengan variasi karekter yang wah, indah!

"Kapal ini tiada apa. Kami bawa makanan. Untuk mereka yang lapar di negara kamu."

"Ya, kapal besar datang ke negara kami. Mereka datang bawa makanan. Kemudian mereka pergi dengan segala hasil bumi kami."

Antara yang buat aku terbang sebentar. 

Tom Hanks sangat cemerlang. Wataknya natural dengan konflik dalam masa yang sama pintar. Majestik - khususnya waktu dia traumatik. 

"Lama gila plot dengan doktor ini!"

"Mestilah - kau tak nampak mesej dia. Jelas! Traumatik yang berfalsafah!"

Captain Richard Phillips sebenarnya makin menyelami dan faham akan dunia lanun itu. Mereka bukan orang jahat yang membuta tuli. Mereka hanya mahu lepas, bebas dari jerat-jerat kemiskinan yang mengerat-ngerat anak dan isteri di persisir pantai penindasan.

"Kamu bukan semata-mata nelayan. Kamu bukan semata-mata nelayan"

Inilah yang mengisyaratkan tindakan Captain Richard Phillips ketika dia meloloskan diri dari bot kecemasan itu. 

Biarkan lanun itu pergi, dan dia selamat. Namun, takdir tidak mengizinkan. Lasykar Rumah Putih tidak mampu membaca isyarat ini lantas mengakhirkan episod ini dengan bayangan tragedi yang begitu tragis - dan ya, sadis.

"Hijau, Hijau, Merah" - itulah kod pemusnah. Menghancur luluhkan harapan anak lanun seperti Bilal yang tidak tahu apa-apa, sekadar menurut perintah. Sedang Captain Richard Phillips dijaga cermat, teliti amat; sedangkan nilai nyawa manusia yang sama sahaja sepertinya terpaksa menelan kesan-kesan kebingitan kasta moden.


Captain trauma di akhir cerita bukan sahaja kerana dirinya, keluarganya - tetapi ketidak adilan dunia yang dilakar oleh tangan-tangan fasad dunia.

Ya - Palestin. Salah satu daripada mangsanya.

WATAK DAN TEKNIK

Tom Hanks dalam Captain Phillips ini, aduh - memang kami berdua asyik berbisik sedari awal tayangan.

"Tak macam Tom Hanks pun! He is like another person, doh!"


Sampailah ke syot mencukur jambul (sangatlah Hugh Jackman dalam Prisoners (2013) atau Robin Williams dalam Jumanji (1995) waktu sobek bebulu jantan dengan penyobek Gillette); barulah kami angguk - ya, ini Tom Hanks. Keserupaan watak sebenar Richard Phillips yang mana filem ini dinisbahkan sudah menjadi kekuatan tatarias wajah Hollywood sekuat Ben Kingsley bagi watak Mahatma Gandhi dalam Gandhi (1982).

Watak Muse, juragan somali itu - sangat mengagumkan. Karekternya terserlah wah wah wah! Seorang yang kurus telah berjaya memeras ugut sang gergasi dunia -

"Kau dari mana?"

"Amerika"

"Amerika? Hahaha! Amerika! Amerika! Amerika!"

Tontonlah, tidak ada yang boleh menintakan watak Muse yang begitu meyakinkan! Oh ya, Muse yang menuturkan fasal naratif kapal besar datang ke negara kami di atas itu! :)

Aku yang sudah pasti lebih naif dalam bab sinema berbanding Encik Thaaqhib terpana dengan beberapa syot yang buat aku tertanya -

"Eh, camne dia tangkap syot tu?"

"Itu jelas-jelaslah CGI sayang oi!"

Haha! Berbanding CGI api di akhir plot Penanggal (2014) atau plot London dalam Tanda Putera (2014) yang terserlah ke-CGI-annya, ini antara rujukan CGI terbaik yang wajar dirujuk para pembikin filem yang nampak real dan paling mustahak kena pada waktu dan masanya.

RATING SIMPUL

Banyak boleh ditafakur. Moga-moga ego para kapitalis itu bisa dijentik tegur. 

Watak hampir 95% lelaki. Dan hampir syariah-compliant. Tiada unsur risque langsung!

Sangat puas hati, nah - 9/10

:)

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)