Friday, May 19, 2017

Secuplik Lagi Dan Lagi Tentang Malam Persembunyian

Pilihan. Setiap saat kita memilih. Untuk diri, sama ada mahu tidur atau jaga. Untuk keluarga, sediakan sarapan atau beli di luar sahaja. Kita memilih dengan berkeputusan. Dari keputusan, kita menjemput kesan. Kesan daripada pilihan inilah menentukan maju mundur, tinggi rendah, naik turun diri kita.


Dalam kalangan ahli sufi, pertimbangan ini disimpulkan dalam kefahaman martabat. Martabat sama ada darajat atau darakat. Darajat menaik. Darakat menurun. Mudah difahami dengan iman menaik, iman menurun. 

Darajat itu sukar, darakat lebih longgar, seperti huruf jim (daraJAt) yang lebih kuat bunyinya (syiddah) berbanding huruf kaf (daraKAt) yang lebih lemah. Darihal itu, memilih untuk meniti jalan darajat menaik jauh lebih sukar berbanding memilih untuk menurun dengan jalan darakat.

Destinasi perjalanan ini ialah pengetahuan, kefahaman seraya pengalaman sempurna dalam kerohanian. Yang dipanggil sebagai ma'rifah. Mengenali seraya menyaksikan punca segalanya dengan sepenuhnya. Itulah Tuhan. Itulah Allah. Jalla wa 'Alaa.

Darihal itu, pilihan yang kita pilih berkadar antara menjulangkan atau menjatuhkan martabat kita dalam perjalanan mencapai kesempurnaan rohani itu tadi. 

Hal ini sulit tetapi tidak mustahil. Misalnya, nilai pilihan antara seorang yang sihat dengan seorang sakit untuk menjamah makanan berkhasiat, nilaiannya berbeda. Lebih besar kesannya kepada yang sakit berbanding yang sihat. 

Begitu juga keputusan untuk seorang budak berkelahi dengan rakan budaknya boleh dipandang remeh akan kesan pilihannya berbanding apabila seorang selebriti berkeputusan untuk menumbuklempangkan selebriti yang lain, boleh dianggap lekeh pula.

Apatah lagi, apabila seorang calon kuasawan yang berkeriskan tarbiyyah berdestarkan dakwah bercapalkan siasah memilih untuk bersandar pada tiang undang-undang berbanding menggunakan logik hujah, seni seruan, akhlak mahmudah dan kedalaman fahaman dalam menyanggah apa yang dilihatnya sebagai dakyah daripada seorang kuasawan berpengaruh yang lain.

Nilai pilihan menunjukkan pencapaian martabat - antara darajat menaik atau darakat menurun seseorang dalam perjalanan kerohaniannya. 

Di sini, puisi Sajak Kepada Pengebom Berani Mati dalam #MalamPersembunyian tulisan Faisal Mat Zawi (Kata-Pilar Books, 2017) menggetarkan kesedaran kita lagi.


Sajak ini terus dan telus pada maknanya, kekuatannya bermula dengan nada sederhana mengikut arus naratif perspektif suara kata ganti diri kedua mempersoalkan gerak-geri persona sang pengebom mati secara emosi dan intelektual. 

Emosi dipersoalkan dengan bahasa bernada berpadanan dengan tujahan makna bagi menggelodarkan logik rasional pilihan-pilihan yang dipersembahkan oleh persona sang pengebom mati terhadap mangsa-mangsa pilihannya yang terkorban dek corak pegangan persona atas pengetahuan, kefahaman dan pengamalan agamanya. 

Hal ini tidak perlu saya panjangkan, sesiapa pun dalam kalangan penikmat puisi hatta yang baru bermula bisa mencicip manis pedasnya jeruk masam juadah enak anak didik alam Bangalore ini.

Bagaimana saudara
naik ke sidratul muntaha
dengan menggenggam
picu bahan letupan
berdiri di depan tuhan
dalam genangan darah
orang-orang tidak bersalah.

"Naik ke sidratul muntaha", "berdiri di depan tuhan" adalah sangkaan persona bahawa telah dibuatnya pilihan darajat namun digelitarkan dengan persoalan pilihan darakat pada diksi "dalam genangan darah / orang-orang tidak bersalah". Menimbulkan bidasan yang tuntas dan jelas.

Tradisi pengetahuan beragama seberapa magis dan aneh sekalipun, bukanlah pokok ajaran agama yang benar kerana mana bisa Tuhan Maha Menciptakan itu menyusun sesebuah ajaran dengan hal-hal di luar keupayaan para hambanya yang berteraskan tunjang akal fikiran dan akar nurani hati yang mampu menaakul bukan sahaja secara emosi malah intelektual sekalipun. 

Hal-hal magis ada, tidak ternafi tetapi bukan hujah utama dan pokok lantaran subjektifnya hal ini untuk dinalarkan; ada diskusi khusus dalam hal ini. Maka, apa perlu gentar saat penganut agama lain mengetengahkan pengalaman magis menurut acuan kepercayaannya?

Darihal itu, adalah sesuatu yang pelik malah jelek, saat kita yang dikatakan intelek memilih jalan singkat seperti senjata dan undang-undang berbanding ilmu di dada dan akhlak wacana terpampang. Apakah beza seorang intelek ini dengan persona sang pengebom mati?

Tambah memualkan, memilih untuk memancarkan cahaya picu senapang mahupun memilih untuk menyinarkan cahaya paranoid di belakang undang-undang, apakah boleh dikatakan sebagai cahaya Illahi yang ingin ditajallikan?

waktu saudara menjerkah
nama-Nya yang mulia suci
itulah kali pertama barangkali
tukang jaga kaunter di Brussel
atau pelancong yahudi di Taksim 
mendengarnya dengan telinga sendiri
tapi mereka tak sempat bertanya lebih lanjut 
letupan dari tubuh saudara bikin mereka tuli 
silauan cahaya membutakan mata
sebelum mereka mati
tapi saudara, itu bukan cahaya ilahi.

Kemuncak sajak adalah di hujung saat rangkap terakhirnya menyentakkan kita dengan suatu alegori yang sadis, sinis dan punya magis tersendiri dalam menghiris segala pengetahuan, kefahaman seraya pengalaman agama yang songsang lagi ironis yang dipegangtatangkan oleh persona sang pengebom mati yang tragis.

Bagaimanakah saudara
masuk berjumpa tuhan
meninggalkan mereka
menyorokkan kunci dalam saku baju
sedang rumah tuhan tak berpintu.

Persona sang pengebom mati malah sesiapa sahaja yang memilih jalan yang disangkanya darajat tetapi darakat semata-mata ini disimpulkan dengan hakikat apakah tercapainya matlamat "dakwah" yang sebenar. 

Teringat kita kepada dialog hikmah seorang Ahlillah kepada seorang anak muda yang radikal.

"Apakah dibolehkan untuk dibom sebuah kelab malam dalam sebuah negara majoriti penduduknya beragama Islam?"

"Harus, ya Syeikh"

"Ketika mereka bermaksiat lantas mereka dibom, di akhirat nanti di manakah mereka akan ditempatkan?"

"Neraka, ya Syeikh"

"Maka, apa beza kamu dengan syaitan? 
Kedua-kedua kalian menghantar hamba-hambaNya ke neraka?"

Teringat kita, saat seorang jenazah Yahudi ditatang di hadapan Baginda Nabi solla Allahu alaihi wa aalihi wassalam, Baginda Nabi menangis. Ditanyakan perihal tangisan Baginda Nabi. Dijawab Baginda Nabi yang mulia,

"Satu roh telah meninggalkan aku 
dan menuju ke neraka."

Rumah Tuhan tidak pernah berpintu. Syurga Tuhan sememangnya terbuka. Kita yang mengada-adakan cerita, RumahNya ada kunci di mana akulah satu-satunya pemegang kunci. Melalui aku, menerusi aku sambil mulut, tangan dan kaki kalian digari, tanpa perlu sebarang kenyataan lagi.

Meminjam kata-kata Hazman Baharom dalam statusnya :

Sebenarnya dalam isu Kamarul vs Hannah Yeoh, sepatutnya kedua-dua pihak jangan bawa kepada polis atau pihak berkuasa di bawah autoriti kekuasaan (the state). Sepanjang sejarah, dalam hal sebegini, institusi negara - seperti polis, mahkamah, kerajaan, dsb - pasti (nota : saya lebih gemar menyatakan, lebih besar cenderung untuk) akan zalim kerana ia juga punya herotan (bias) tersendiri.

Memetik Deborah Lipstadt dalam filem Denial (2016) ketika buku beliau tentang peristiwa Holocaust diadili di mahkamah di London, "the court of law is a lousy place to judge historical truth," maka begitulah juga "the court of law is a lousy place to judge theological truth."

Bullet Shah rahimahullahutaala, penyair besar Punjabi Sufi Muslim pernah bermadah :

Runtuhkanlah masjid
runtuhkanlah biara
runtuhkanlah segala
yang ditangkap pandangan.

Namun, jangan runtuhkan
hati-hati insan
kerana di situlah tempat
tinggalnya Tuhan.

Jalan yang kita pilih biarlah senantiasa darajat sifatnya, mudah-mudahan - walau betapa sukar. Mohon perlindunganNya daripada memilih denai darakat yang merosakkan walau betapa longgar.

Wallahu'alam

Za'im Yusoff
19 Mei 2017
5.33 pagi

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)