Artikel Wacana

Wednesday, September 25, 2013

[ULASAN FILEM] REVIEW : PRISONERS - Sabar Menanti Rasa-Rasa Terpenjara Bebas!

Sebenarnya, saya agak memilih dan cerewet menonton sesuatu filem. Kerana masa yang dilabur tidak boleh sia-sia terlebur. 

Justeru, ada dua cara memancing saya menonton filem. Pertama, rating yang bagus di IMDB dan Rotten Tomatoes paling tidak atau/dan melalui trailernya yang memukau. 

Kedua, review yang rasional dan logik, jujur dan menarik terutama daripada para pengulas filem tegar. Sebab itu saya ada kata dekat Abang Fadz; 


"pengulas filem jahat, selalu peras duit rakyat, 
dengan ulasan yang menarik minat."

Menonton filem umpama makan di restoran – wajib baca ulasan. 

Dan saya kira, agak berbaloi untuk saya menulis sedikit tentang filem yang saya tonton bersama Abg Fadz semalam, Prisoners meski saya segan nak tulis panjang-panjang terutama aspek teknikal dan perbandingan filem; itu kalian boleh dengar jala syarah Abg Fadh yang bakal dia tebar di SINI – insyaAllah. 

Saya akan ulas dari sudut penonton marhaen melalui deria rasa jiwa dan pancaindera.

Antara ulasan menarik -



KISAHNYA

Keller Dover (lakonan Hugh Jackman) dan isterinya, Grace Dover bersama anak sulung lelaki, Ralph dan anak bongsu perempuan mereka, Anna berkunjung ke rumah Franklin Birch dan isterinya, Nancy Birch yang mempunyai dua orang anak perempuan, Eliza dan Joy sempena Hari Thanksgiving. Anna dan Joy bermain berhampiran sebuah van yang diparkir berhampiran rumah keluarga Birch sebelum dihalang oleh Ralph dan Eliza lantaran kecurigaan mereka terhadap van berkenaan. Dengan tidak semena-mena, Eliza dan Joy hilang. Isu van ini ditimbulkan oleh Ralph dan van ini dicari sehingga berjumpa dengan Alex Jones yang memandu van ini. 

Muncul Detective Loki (lakonan Jake Gyllenhaal) mengetuai misi mencari Eliza dan Joy yang hilang. Mulanya mereka suspek Alex, tetapi mereka gagal mendapatkan bukti daripada Alex. Lantas Alex terpaksa dilepaskan daripada tahanan reman. 

Keller bengang dengan tindakan polis kerana baginya ia terlampau singkat untuk membebaskan Alex kerana dia yakin Alex ada kaitan dengan kehilangan anaknya, Anna dan Joy, anak Birch itu. 

Semasa Alex dibebaskan, Keller menyerang Alex dan Alex memberitahu sesuatu yang penting tetapi hanya kepada Keller -


"Masa saya tinggal mereka di situ mereka tak menangis pun"

Tetapi hanya Keller mendengar kata-kata Alex itu, tidak orang lain. Apakah yang akan dilakukan terhadap Alex? Berjayakah Keller menemukan Anna dan Joy? Adakah Anna dan Joy masih hidup? Benarkah Alex menculik mereka? 

Yang pasti, cerita ini amat menekan para penonton apabila kelihatan semuanya menemui jalan buntu; malah mereka yang terbabit membunuh diri sebelum menceritakan apa-apa!


Menyembah Bumi - 9/10 - Tengok la para aktor dan aktres masuk Academy dan Globe kot!

NASIHAT KEPADA YANG BAKAL MENONTON

1. Anda wajib datang ke sinema dalam keadaan bersedia untuk sabar menonton kerana filem ini berdurasi selama 153 minit atau 2 jam 33 minit. 

2. Meskipun modal filem ini tidak begitu besar yakni sekadar 46 Juta dolar Amerika sahaja tetapi pastikan anda menyoalkan setiap syot dan plot yang dilepaskan oleh Pengarah - adakah berbaloi atau tidak. Atau dalam erti kata lain efektif tak kos sekitar 300,000 dolar Amerika setiap minit itu? 

Jujur, saya menemukan kepuasan dengan mengambil perspektif ini apabila saya menyoalkan syot sekitar 3-4 saat pada kulit pokok di depan rumah itu yang bernilai sekitar 15,000 dolar Amerika untuk 3 saat!

Di akhir cerita, baru saya faham terutama setelah bertanyakan Abg Fadz, apa rasional syot itu kepadanya! Ia adalah perlambangan isyarat kepada tiap-tiap perkara yang cuba dirungkai dalam filem ini!

3. Perhatikan pergerakan kameranya. Bila kamera statik. Bila kamera mula bergerak. Semua ini mustahak untuk mencapai takat kepuasan yang menggelegak!

4. Perhatikan perbezaan setiap karekter yang berhadapan dengan situasi yang sama tetapi mengambil pendekatan baik dari sudut berperasaan mahupun tindakan yang maha berbeda. 

Contoh - apakah yang membezakan karekter Keller, Grace dan Ralph (keluarga Dover) yang kehilangan Anna; juga Franklin, Nancy dan Eliza (keluarga Birch) yang turut kehilangan Joy? 

Apakah yang membezakan Alex Jones dan Bob Taylor - yang menghadapi kisah silam yang sama?

Di sini, insyaAllah - anda bisa dapat lebih dan lebih lagi kepuasan!

5. Sentiasa kaitkan apa yang anda saksikan dengan tajuk filem. Di mana elemen Prisoners-nya! Siapakah yang dipenjara! Ingat - dia guna bentuk plural - PRISONERS - Banduan-Banduan! Maknanya lebih dari seorang (Anna dan Joy tu kira satu pihak saja! Hehe)

Kalau anda bertuah, paling tidak semasa Detektif Loki hentak-hentak komputer itu kerana tensi tidak menemukan jawapan bagi gambar rajah berbelit-belit si Bob Taylor (saya suka karekter mamat ni) yang telah mati bunuh diri; anda sudah dapat agak apa yang bakal berlaku. 

6. Perhatikan elemen muziknya. Ya - ia minimal. Tetapi perhatikan bila ia muncul walaupun dalam kebanyakan masa ia penuh dengan natural dan bersahaja.

Pendek kata, sila SABAR dan perhatikan SYOT & PLOT, KAMERA, KAREKTER, TAJUK DAN MUZIK untuk kepuasan maksima!


Hang sabaq boleh tak? Aku pun tensi tak dapat jumpa depa lagi! Bukan setakat depa, bukti pun belum jumpa!

KEPADA YANG DAH TONTON, JOM BEDAH

1. Saya mohon sabar bukan kerana filem ini terlalu lambat kerana ketidak matangan pengarah tetapi rona-rona itu sengaja diwujudkan begitu bagi menekan buak-buak keinginan para penonton mendapatkan jawapan bagi tiap persoalan. 

Buktinya, saat kita sedang melihat secara tiba-tiba Bob Taylor muncul di muka pintu (saya dah rasa pelik, mustahil cepat begini berakhir - dan ya! jangkaan saya benar! yeay!) saya jangka ramai pasti rasa - akhirnya, kita dah jumpa orangnya!

Lagi kita yakin bila nampak kotak-kotak penyimpan makanan beku di dalam ruang bilik yang dikunci itu. Ah - mesti ada mayat budak-budak tu! Walhal - haha! Sebenarnya plot itu sekadar nak menguji kesabaran kita dan bermain-main dengan tekanan jawapan yang masih belum tiba! Ah - sukalah!

Ya - di samping itu, ia sengaja mengambil masa yang sedikit lama bagi memunculkan tema filem ini iaitu KUASA KEPERCAYAAN (bagi menghormati nilai maknawi bahasa, saya kesampingkan perkataan "iman").

Kuasa Kepercayaan ini mula muncul ketika Keller masuk ke dalam jipnya sambil terdengar di corong radio, syarahan paderi tentang manusia memang dimaksudkan untuk disengsarakan di dalam dunia. Ya, dalam filem ini, wasilah kepercayaan berlatarkan Kristian namun saya lihat ia boleh dilihat dalam bentuk universal lantas menjadikan Kristian dalam filem ini sekadar alat penceritaan semata-mata seakan-akan dalam Book of Eli (2010).

Kalau dalam Conjuring (2013) kita dicanangkan dengan kepercayaan berkenaan kewujudan alam ghaib melalui roh, kali ini kita ditatangkan dengan kepercayaan berkenaan bukti-bukti dan suara hati yang diterjemahkan melalui ikhtiar yang tidak pernah terbiarkan. 

Watak Keller lakonan Hugh Jackman (amboi, ramai kata wajib calon Academy Award haish haha) sangat-sangat memukau dalam menterjemahkan elemen ini. Antara ganas dan kehilangan Alex Jones (sangat teringat watak Mary Sandin dalam The Purge, 2013 ketika nak lepas ke tak orang asing dalam rumah); antara bengang lantas berusaha sendiri tapi masih bergantung harap pada Detektif Loki - cukup mengkonflikan tema kepercayaan di sini. 

Malah tema kepercayaan agar penjenayah sebenar ditangkap juga terzahir di sisi Bob Taylor (ah, suka juga pakaian dia masa buka pintu rumahnya!) yang cuba sedaya upaya menzahirkan segala bentuk tanda namun traumanya memakan dirinya sendiri kerana tidak tahan lagi begitu tertekan diinterogasi (ish, hang pa ni boleh sabaq tak aku nak lukih!) akhirnya, pang! Anda tahu apa yang berlaku, kan?

Kepercayaan Bob Taylor walaupun sudah pergi masih berbekas dengan penemuan dua patung di depan rumahnya mengisyaratkan di mana Keller disembunyikan di akhir penceritaan - sebenarnya! 

Pendek kata, latar rumah Bob Taylor secara perlahan-lahan memberikan isyarat bahawa Bob Taylor sedang membina replika rahsia-rahsia rumah Alex Jones dan mak ciknya si ayaq ketum itu - yang mana Bob Taylor percaya bahawa para penjejak penjenayah akan bisa merungkaikannya!

Sebab itu kena sabaq - semua ini mengambil masa!

2. Syot dan Plot juga tidak ada yang disia-siakan dalam filem ini. Saya adalah antara insan yang percaya pada kepentingan kos efektif filem dalam menentu jatuh bangun maju mundurnya sesebuah filem di mana dalam filem ini satu saatnya bernilai sekitar 5,000 dolar setiap saat (total kos/tempoh tayangan filem). Dengan mengira kos filem, kita boleh menyoalkan - berbaloi atau tidak syot ini ditayangkan Tuan Pengarah dalam masa beberapa saat ini yang bernilai sekian ribu dolar per saat? 

Ini saya dapati ketika imej kulit pokok di depan rumah yang mengambil masa hampir 3-4 saat itu diputuskan Tuan Pengarah untuk ditayangkan! Ia amat menganggu hinggalah saat akhir barulah saya tahu - ya, elemen Alam! 

Wisel merah di akhir itu berbunyi dalam alam yang sunyi, ular-ular daripada alam, darah khinzir daripada alam, air ala-ala air ketum juga resipi daripada alam, anjing Alex Jones juga percubaan menipu penonton akan karekter Alex Jones juga daripada alam - daripada alam haiwanat (haiwan) dan alam nabatat dan jamadat seperti tumbuh-tumbuhan dan juga salji-salji yang terbang ketika Detektif Loki bawa Anna ke hospital - semua ini adalah isyarat perlambangan kaitan dengan alam yang begitu indah! 

Teknik plot pula amat menarik - tidak merapu raban dan meleret-leret. Antara yang saya nak puji ialah penggunaan teknik klasik dan tipikal iaitu Imbas Kembali atau Flashback yang begitu mainstream untuk menjelaskan kisah silam atau apa yang berlaku sebagaimana dalam SAM (2012) dan Psiko Pencuri Hati (2013) [paling jelas dalam semua siri Detective Conan yang dah capai 768 siri anime dan 17 filem layar perak itu] terlalu amatlah MINIMAL dalam filem ini! 

Hanya sekali sahaja! Hanya sekitar 10 saat ketika Joy (itupun sedang mamai!) cuba mengingat apa yang terjadi sebelum dia sebutkan pada Keller -


"Pak Cik juga ada di sana!"

Selebihnya penceritaan filem ini dihabiskan dengan kemas dengan kesimpulan ringkas melalui dialog dan imejan lambang [satu dua saat sahaja untuk terangkan kesahihan kisah Paderi, nasib suami Holly Jones yang sebenar, di mana lokasi lambang pagar sesat, dan betapa hipokritnya Holly Jones itu]. 

Yang paling jelas - akhir filem dileraikan dengan wisel merah berbunyi kemudian habis! - pencarian mangsa terakhir akhirnya berakhir!

Ah - kemas!

Ini adalah komunikasi maha tinggi. Cuma sekejap tetapi berbekas juga terang menjelas. 

Ini mengingatkan saya kepada kisah pengajian ilmu Nahu yang dikendalikan oleh al-'Allamah Sang Alim lagi Warak, Habib Umar Ben Hafidz hafizahullahuta'ala yang mana suatu ketika, beliau hafizahullahuta'ala mengajarkan tentang ilmu kata perintah - fi'il amr. Beliau hafizahullahuta'ala hanya menyebutkan -


Ikhsya'! 
[Khusyuklah kamu]

Terus menangis anak-anak muridnya yang terdiri daripada guru-guru kepada anak-anak murid yang lebih rendah, juga anak-anak murid yang lebih rendah itu - kerana komunikasinya begitu jelas!

Antara yang menyebabkan mereka menangis adalah kerana dua sebab -

1. Penggunaan perkataan khusyuk yang melibatkan kepada taqwa yang akhirnya dikaitkan dengan Allah Jalla wa 'Alaa yang membawa mereka kepada suatu daya ma'rifat di hujung akal, di pangkal dasar hati yang melaut maknawi dan zauqi.

2. Penggunaan kata ganti diri kepada kamu - merujuk kepada nafsi yang dirujuk satu demi satu - nafsun bi nafsin - mengisyaratkan mafhum firman ini -

وَكُلُّهُمْ آتِيهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَرْدًا

Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya 
pada hari kiamat dengan seorang diri. 

(Maryam, ayat 95)

AKHIRNYA

Tontonlah - kerana percayalah tanpa projektor besar di rumah, kalau hanya sekadar skrin laptop 15 inci itu - anda kemungkinan besar akan menemui kegagalan untuk menghayatinya sebagaimana di dalam panggung wayang.

Dan benarlah kata-kata sebuah ulasan - anda tidak akan berhenti dari berdiskusi tentang filem ini.

Saya perturunkan - untuk tatapan yang juga telah menonton filem hebat ini untuk sama-sama kita ingat kembali babak-babak yang disusun rapi oleh Denis Villeneuve itu melalui 91 petikan dialog.



Hasil twitter Abang Fadli al-Akiti, Saat Omar dan saya - kami berjaya kumpulkan 92 petikan daripada filem Prisoners ini dalam versi Bahasa Melayu [ada juga dialek utara hehe].

Ini sekaligus membuktikan betapa berkesannya dialog dan lakonan mereka hinggakan semuanya begitu membekasi jiwa!


Selamat imbau semula!

---

"Nama saya bukan Alex"

"Zodiak saya monyet. Tapi, bos saya ayam jantan"

"Masa saya tinggal mereka di situ mereka tak menangis pun"

"Awak terpaksa tembak saya kalau mahu saya masuk ke sana" "Pang!"

"Ini resepi suami saya. Untuk lelaki bertubuh besar seperti awak,minum setengah pun dah cukup"

"Jingle bells, Batman smells, Robin laid an egg, 
The Batmobile, Lost a wheel & the Joker got away!
"Mana awak dengar lagu tu?"

"Oh awak lagi?"
"Saya datang nak tolong repair rumah awak sebagai tanda maaf'"

"Ayah, saya dah jumpa wisel merah" 

"Dia mai kot situ, pastu tingkap terbukak pastu saya tak tau. U tulis tak?"

"Kalau otak dia macam budak 10 tahun, camne dia boleh dapat lesen bawak RV?"

"Nampak tak adik perempuan awak?"
"Tak, kami dekat atas sofa. Kali terakhir jumpa selepas kita makan tadi"

"Datuk kau sebelum mati ada memberi pesan pada ayah. Katanya sentiasa bersedia!"

"Jadi, saksi beritahu di mana pagar sesat itu sebelum mati?"
"Saya minta maaf"
"Pepandaila ko jawab kat mak bapak depa"

"Kenapa awak ekori saya?"

"Awak telah membuang masa mengekori saya"

"Saya tahu awak akan beritahu. Lihat ini gambar anak saya. Lebih jelas. Awak tahu kat mana dia?"

"Kenapa awak lari malam tu? 
"Eh taklah" 
"Banyak shopping baju kanak-kanak sejak kebelakangan ni?" 
"Eh mana ada" "Sebelum awak putuskan apa-apa di luar pengetahuan saya, pastikan saya terlebih dahulu tahu pasal itu!"
"Saya minum kat sini sebab tak nak ahli keluarga saya nampak" "Belum sampai seminggu, Mr Drove!" 
"Memang! Hari ni br masuk 6 hari! Anna tanya mana ayahnya utk selamatkannya!" "Betul kamu dah check semuanya?" 
"Saya dah periksa semua tapi tak jumpa apa-apa. Melainkan berlaku pergelutan." "Dulu, kami orang-orang alim. Satu hari kami bertengkar kemudian tiba-tiba suami saya ghaib. Sampai la ni tak balik" "Mak encik, mesin pengesan pembohongan itu hanya berfungsi kalau dia faham soalan tu" "Mesin pengesan itu awak cuba tak dekat Alex? Awak cuba tak?" "Bila mereka jumpa dia, suami saya akan dipenjarakan kan?" 
Loki mengangguk" "Ok - hari ini hari awak, apa lagu awak nak?" 
"Apa saja. Tak terfikir lagi" 
"Franklin ni suka Anthem of America"
"Kau dengar tak? Aku rasa macam ada orang dalam RV tu?" "Jangan risau, wisel merah dia pun saya dah beli baru" "Kau buat apa dalam RV tu?" 
"Tidur" "Awak kenal dua budak perempuan ni" 
"Tidak" 
"Apa awak buat dengan RV" 
"Bersiar-siar" "Kami hanya boleh tahan dia 48 jam." "Saya dah cakap. Tahan dia sehari lagi!" "Ayah biarkan mak berseorangan di rumah sementara ayah di luar mabuk?!" "Awak nampak letih" 
"Ya, sejak akhir-akhir ni saya tak cukup tidur"

"Betul kamu tak cakap apa-apa pada Mr Dover tadi?" "Tak" "Apa yang kalian jumpa?" "Kami tak jumpa apa-apa melainkan dua patung yang ditanam di depan rumahnya" "Pasangan Birch sudah pun mengesahkan 2 pakaian adalah kepunyaan anaknya" "Letak handset tu dalam sinki" "Letak handset tu dalam bakul sampah" "Letak dalam sinki!" "Awak nak beli kereta tu?" "Tak" "Kalau tak apa awak buat di laman saya?" "Pergi ke almari sana" "Bukak laci paling atas" "Ambik dan pakai benda tu" "Saya perlukan awak untuk bertenang Encik Dover. Encik Dover!" "Perkara terbaik yang awak boleh buat sekarang Encik Dover ialah balik dan jaga keluarga awak. Dan diri awak!" "Awak nak kemana tadi?" "Saya memang nak ke sini" "Saya nampak awak berjalan kedepan dan berpatah balik." "Kami dulu warak. Kami edar risalah sebar agama. Tapi lepas anak kami mati, kami melihat hidup ini dengan berbeza" "Tahan Anna, tahan. Kita dah nak sampai ni" "Dia kata dia bunuh 16 kanak-kanak!" "Aish, dia mai dah" Keller berjalan ke arah kereta. "Awak janji jangan lepaskan dia!" "Siapkan teka-teki, boleh balik rumah" "Ini sahaja kenangan yang ada. Selepas sarapan setiap pagi, saya akan menontonnya selama 26 tahun" "Dia selalu mai sini. Dia beli pakaian kanak-kanak" "Ok, kalau dia mai lagi habaq na" "Ok ok!" "Pitanya pun dah lusuh" "Depa kata kes yang awak dapat semuanya berjaya. Awak janji dapatkan balik anak saya, kan?" "Aku tinggalkan lubang sikit untuk dia bercakap. Duduk dalam gelap mungkin membuatkan dia teringat" "Alex hanya membawa mereka ke sini. Saya yang mahu menyimpanya." "Pili ayaq ni ada dua saja. Satu, terlalu sejuk. Satu lagi, terlalu panas. Ini membuatkan dia bercakap" "Biarkan dia buat apa yang dia buat, kita tak yah ganggu, tapi kita jangan pergi tolong." "Hulurkan tangan hang" "..." "Hulurkan kedua-dua tangan hang!" "Kau ingat kau sorang ke cari anak perempuan kau? Aku pun sakit menunggu dia tiap-tiap jam." "Eliza!" "Dumm" "Eliza!" "Dumm dumm!" "Elizaaaaa! Dumm Dumm Dumm" "Krekkk.." "Tak boleh ka saya dapat privasi dalam rumah ni?" "Dush" "Hang ada anak tak?" "Kau ke mana malam-malam buta ni?" " Aku tolong polis cari anak kita" "Saya nampak lai tu separuh diguna" "Oh, saya guna untuk kuburkan anjing saya tahun lepas" Tulisan: "masuk ke dalam rumah" "melalui tingkap" "Kau jaga mak kau, jangan bagi dia tengok TV, surat khabar esok kau terus buang, faham?" "Apa kau (ayah) buat kat luar tu, apa kau buat? Minum! Pemabuk!" "Cukup!" "Ada jumpa apa-apa?" "Tak ada. Salji dah tebal. Kami sambung esok saja" "Sob...sob.. aku hanya mahu tidur.. sob...sob..." "Kalau dia dijumpai, dia akan dilokap kan?" "Mungkin. Terpulang" "Terima kasihlah" "Oh Tuhan yang memiliki langit dan bumi..." "Kalau kau tak jawab, aku paksa kau guna ini!" Tukul pun dikeluarkan. "Jawab! Jawab!" "Tolong, tolong saya" "Semua darah pada pakaian kanak-kanak tu kesan darah khinzir, termasuk pakaian Anna dan Joy. Positif" "Oh Tuhan, berikanlah kami rezeki makanan pada hari ini" "Billy bertemu semula keluarganya setelah 26 tahun terpisah" "Dia eksiden masa umoq 10 tahun. Lepas tu, dia jadi pendiam. Hanya sebut Good Morning dan Good Night saja" "Nanti jangan kebumikan saya dalam kotak!" "Kau tak kasihankan pula pada lembu McDonald" "Hidupkan enjin" "Reng...reng..." "Gostan" "Reng..." "Lagi..." "Ok dah. Matikan enjin" "Selalu Keller balik lewat?" "Ya, dia pergi cari dengan pihak polis" "Apa yang kau dapat dari paderi tu?" "Dia cakap benda yang sama sejak tadi" "Pihak polis dah lepaskan Alex" "Ok. Biar saya selesaikan" "Nak pergi mana?" "Kalian teruskan pencarian" "Dapatkan skuad anjing pengesan. Mereka mungkin ada dalam hutan ni" "Lepas periksa semua tolong hantar RV ni semula ke rumah mak ciknya" "Bagaimana budak biol tu boleh dapat lesen memandu?" "Dia dapat dari Pitsburgh" "Lihat ini anak patung Joy masa umur dia 2 tahun. Awak tahu kan dia ada kat mana? Tolong beritahu saya. Tolong" "Inspektor, kalau awak dapat bukti awak boleh menahan dia lebih dari 48 jam kan?" "Awak tak beritahu sapa-sapa lagi kan?" "Tak. Tolong bawa saya ke sana" "Dover, ini bukan caranya!" "Manusia mampu hidup dengan air selama 6 hari. Sekarang dah masuk hari ke-3! Mereka sedang tunggu kita!" "Kita letak gambar mereka disini jadi bila kita terasa nak kasihan kan dia kita akan teringat anak-anak kita" "Oh saya terlupa masih ada satu lagi tempat. Bilik bawah tanah. Tapi budak-budak ni tahu mereka tak dibenarkan main di sini"

:)

Sebaiknya datang tonton dengan orang yang bisa menghargai filem dan boleh memperkata serta mengulas isi-isi yang tersurat dan tersirat dengan baik, ya! 

Oh ya, saya bagi 9/10! :)

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Tuesday, September 10, 2013

MENGAPA ALLAH TA'ALA SEBUT MALAM DAHULU SEBELUM SIANG, MATAHARI SEBELUM BULAN


SOALAN :

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Di dalam surah al-Anbiya, Allah Ta'ala berfirman :

"Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas)." (21:33)

Mengapakah Allah Ta'ala menyebutkan malam terlebih dahulu berbanding siang, dan kemudiannya disebut pula matahari dahulu sebelum bulan. Mengapa tidak disebutkan bulan terlebih dahulu sebelum matahari memandangkan telah disebut malam dahulu sebelum siang pada bahagian di dalam ayat itu sebelumnya?

JAWAPAN :

Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,

Sebenarnya terdapat banyak ayat lain di dalam al-Qur'an di mana Allah Ta'ala menyebutkan dalam turutan ini yakni "malam dan siang, matahari dan bulan". 

Antara kupasan mengapa malam disebut dahulu sebelum siang adalah kerana malam itu selalu dikaitkan dengan kegelapan dan kekosongan tanpa kewujudan, maka ketidak wujudan ini disebut dahulu bagi mengikut logik penciptaan bagi memudahkan insan memahaminya (di mana ketidak wujudan berlaku sebelum kewujudan, kegelapan sebelum cahaya, malam sebelum siang).

Tambahan pula, manusia lebih mempersoalkan sesuatu yang berkaitan dengan kegelapan berbanding sesuatu yang sudah jelas terang. Misalnya, kita lebih mempersoalkan mengapa seseorang boleh menjadi buta dan pekak berbanding mengapa seseorang boleh melihat dan mendengar? 

Maka, menerusi kupasan ini kita dapat melihat bagaimana Allah Ta'ala menyebutkan malam terlebih dahulu kerana manusia lebih mempersoalkan dan tertanya-tanya tentang kewujudan malam berbanding siang.

--

Mengapa matahari sebelum bulan?

Terdapat banyak kupasan tentang persoalan ini. Sebagaimana manusia lebih mempersoalkan malam berbanding siang, begitu juga manusia lebih menyebut dan mempersoalkan tentang penciptaan matahari berbanding bulan kerana saiz agamnya dan sinar cahayanya yang benderang - lantaran itu kita lebih banyak mendengar ada manusia menyembah matahari berbanding bulan.

Tambahan pula, adalah lebih sesuai disebut matahari terlebih dahulu kerana matahari menandakan bermulanya hari - kerana hidupnya hari kerana matahari, malah kerana mataharilah kita bisa melihat bulan! 

Kerana bulan hanyalah memantulkan cahaya matahari! Dan bulan juga mengelilinginya!

Maka, matahari lebih besar dan lebih penting penciptaannya maka ia disebut terlebih dahulu berbanding bulan.

---

Dan sungguh Allah Ta'ala lebih mengetahui akan hakikat sesuatu perkara.

*Terjemahan dan olahan daripada artikel Ola Shoubaki, seorang ahli Ishtiqaaq (Etimologi) khususnya dalam al-Qur'an dan al-Hadis di sini - 

http://www.arabicgems.co.uk/2013/07/ask-arabicgems-the-night-and-the-day-the-sun-and-the-moon/

Moga bermanfaat!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

CADANGAN EDITAN RINGKAS PANTUN-PANTUN DATO' SERI UTAMA DR RAIS YATIM DALAM BUKUNYA PANTUN & BAHASA INDAH - JENDELA BUDAYA MELAYU


Kita perturunkan tiga dahulu, kalau geram sangat mungkin jadi sampai 50 kerana halaman buku indah ini 316 muka surat di mana hampir tiap-tiap muka surat ada pantun! 

---

Datuk berpantun di halaman VII -

Ke Pulau Ulu kita bersampan,
Jangan tenggelam di lautan* luas,
Kalau nak tahu kebesaran Tuhan,
Lihatlah alam terbentang luas!


Disebabkan polanya tidak sekata -

5,5
5,5
5,6
5,5

Maka cadangan sahaya begini -

Ke Pulau Ulu kita bersampan,
Jangan tenggelam di lautan* luas,
Kalau nak tahu besarnya Tuhan,
Lihatlah alam terbentang luas!


agar polanya menjadi sekata -

5,5
5,5
5,5
5,5

---

Datuk juga berpantun di halaman 1 -

Buah lada buah terung,
Dalam perahu diletak bunga,
Dari jendela nampak gunung,
Baruku tahu indahnya dunia*!


Disebabkan polanya tidak sekata -

4,4
5,5
5,4
5,5

Maka cadangan sahaya begini -

Buahnya lada buahnya terung,
Dalam perahu diletak bunga,
Dari jendela nampaklah gunung,
Baruku tahu indahnya dunia*!


agar polanya menjadi sekata -

5,5
5,5
5,5
5,5

---

Datuk juga berpantun di halaman 7 -

Air, tanah, angin dan api,
Itulah unsur hidup di dunia*,
Kalau peramah dan berbudi,
Alamatlah hidup akan bahagia*!


Disebabkan polanya tidak sekata -

4,5
5,5
5,4
6,6

Maka cadangan sahaya begini -

Air dan tanah, angin dan api,
Itulah unsur hidup di dunia*,
Kalau peramah juga berbudi,
Alamat hidup akan bahagia!


agar polanya menjadi sekata -

5,5
5,5
5,5
5,5

*Perkataan huruf vokal yang berturutan bersebelahan seperti dunIA boleh dibaca dengan du-ni-ya (3) atau du-nia (2), la-wu-tan (3) atau lau-tan (2) juga. Hal ini dapat dikesan dengan pengiraan pola puisi daripada puisi-puisi berpola Pak Samad. Oleh itu, para pembaca pantun dan puisi berpola wajar perhati benar kiraan pola bagi memilih antara kedua-dua bacaan pola puisi itu apabila hendak deklamasi.

Wallahu'alam

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Monday, September 2, 2013

SYARAH PANTUN BERBURU DI PADANG DATAR


Sahabat sahaya, Saudara Lee Jul pernah bertanyakan sahaya maksud pantun mahsyur ini :

Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi!

Pertamanya, pantun ini amatlah indah kerana kesempurnaan rimanya begitu terserlah.

Ber-bu-ru (3) di pa-dang da-tar, (5)
Da-pat ru-sa (4) ber-be-lang ka-ki; (5)
Ber-gu-ru (3) ke-pa-lang a-jar, (5)
Ba-gai bu-nga (4) kem-bang tak ja-di! (5)

3,5
4,5
3,5
4,5

Yang paling menakjubkan ia hanya memerlukan satu perkataan untuk mencukupkan rima awal bagi baris pertama dan ketiga! Subhanallah!

Baiklah. Syarahnya begini setakat apa yang sahaya maklumi dan ketahui. 

Perlambangan latar pembayang "padang datar" dan "rusa berbelang kaki" haruslah kita terlebih dahulu kuasai. Jika tidak, kita akan merapu-rapu dengan segala ramu-ramu dan zalim pada maksud yang hendak diletak. 

Padang Datar ialah imejan padang yang luas terbentang tetapi hampir kering dan kontang dari tumbuh-tumbuhan melainkan rumput rampai dari jenis bukan kayu kayan. 

Bukan seperti rimba belantara yang penuh dengan pohon-pohon yang tinggi melampai, hijau menawan dengan udara yang segar dan nyaman, punya segala jenis buah-buahan, kayu kayan, belit-belit rotan dari Tongkat Ali hingga Kacip Fatimah.

Rusa Berbelang Kaki pula bukan jenis haiwan yang kita sangka daripada keluarga Cervidae sebaliknya ia sebenarnya sejenis belalang! Belalang yang berbelang kakinya! Cuma dipanggil orang belalang jenis ini Rusa Berbelang Kaki! Kemungkinan besar kerana tidak kedapatan haiwan yang banyak selain daripada belalang jenis ini agaknya dalam alam Nusantara.

Maka, maksud -

Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;

itu boleh ditamsilkan sebagai kalau kita hanya berburu di padang datar yang sebegini kurang hasil mahsulnya, kita tidak boleh jangka apa-apa melainkan sekadar belalang sahaja. Ini boleh difahami dengan rangkap seterusnya yang mengisyaratkan sumber ilmu. Kalau kita hanya duduk berteleku menghadap ilmu dari gua sahaja, kemampuan dan penghasilan kita hanyalah apa yang ada di dalam gua itu sahaja. 

Sedangkan tabiat ilmu itu melaut kerana perjalanan sang murid mencari permata-permata ilmu yang banyak dengan kembara. Kembara ini disebut sebagai rehlah. Rehlah inilah yang ditamsilkan dengan masa yang panjang sebagaimana kalam mahsyur Imamuna as-Shafie rahimahullahuta'ala yang berbunyi :

Akhi lan tanal al ilm illa bi sittatin: 
Zakain wa hirshin wa ijtihadin wa dirhamin, 
wa suhbati ustazin, wa tuli zamanin

Saudaraku tidak dikau mendapatkan ilmu kecuali dengan enam perkara :
Kecerdasan, kesungguhan, kesabaran, biaya, 
bimbingan guru, dan waktu yang lama

Oleh hal sedemikian, mendapatkan tempat yang bagus untuk belajar adalah mustahak agar kita bisa peroleh manfaat yang berkualiti dan sebesar mungkin daripada gedung ilmu dari sepakar-pakar pakar yang ada untuk kita menuntut darinya. 



Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi -

pula bermaksud orang yang berguru tetapi leka-leka, main-main, suka-suka dan tidak prihatin akan apa yang diajari gurunya itu, menjadilah ia seperti biasa.

Mungkin dia akan menjadi sekuntum bunga, dan mungkin juga kembang tetapi sayang, kembangnya tidak begitu menjadi. Baru mengembang di pagi hari, diterjah mentari - kecut semula!

Begitulah perihal mereka yang tidak serius berguru dan menuntut ilmu.

Kesimpulannya, dalam soal pendidikan - tempat belajar dan cara berguru amatlah mustahak dalam menentu tinggi dalam mana ilmu yang dipelajari. Kerana itu tidak menjadi suatu kehairanan, para pensyarah mengomel-ngomel andai universiti tidak menyediakan prasarana dan kemudahan terbaik kerana ia bisa mencacatkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran. 

Dan akhlak berguru, rasa itu suatu perkara yang tidak perlu lagi diberitahu kepada para penuntut ilmu.

Pantun ini sebenarnya berasal daripada tulisan Allahyarham Usman Awang rahimahuallahuta'ala dalam puisi terkenal beliau bertajuk, Guru oh Guru (1979) :

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979

Moga bermanfaat!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Wallahu ta'ala 'alam

Friday, August 30, 2013

[ULASAN FILEM] REVIEW : TANDA PUTERA - Nuansa Rasa-Rasa Bernegara

Artikel ini telah diringkaskan dan diterbitkan oleh Malaysian Insider di pautan ini. [KLIK]


Artikel di bawah ialah artikel asal yang versinya lebih panjang.



Moga bermanfaat!
Terus memartabat,
Malaysia Berdaulat!

Salam Merdeka! 

---
Saya bukan seorang pakar sejarah. Saya bukan juga pakar siasah. Saya hanya salah seorang daripada jutaan penggemar filem di luar sana yang cuba mencungkil apa sahaja di dalam filem daripada sudut pemikiran, pengajaran mahupun falsafah. Tujuannya mudah – bagi memastikan penonton filem terdidik dengan bentuk pemikiran dan sudut pandang yang bermanfaat memandangkan filem dalam dunia moden ini begitu mengesani masyarakat.

Dari P. Ramlee, Karan Johar hingga superhero dari Marvel, semuanya amat mempengaruhi kehidupan manusia sejak berpuluh dekad. Cuma – pembina filemlah yang menjadikan ia buah yang bisa disantap enak dan menyihatkan umat atau sebagai peluru yang membunuh roh, akal dan jasad. Pembikin filem pula memanglah mahu untung walau sedikit dan ia bergantung kepada penonton apa yang mereka mahu.

Justeru, mendidik penonton dengan ilmu atas apa yang ditonton ialah suatu yang perlu kerana akhirnya ia akan menjadi tenaga spontan yang mendesak para karyawan untuk memastikan mutu filem bukan sekadar pada wajah tetapi juga pada hati inti filem itu sendiri khususnya diambil kira.

Makanya, saya menulis ini atas apa yang saya rasa dan mengelakkan diri daripada mengkritik fakta.

Tanda Putera – akhirnya bernafas di pawagam.

Dengan pelbagai kritikan yang penuh rencam, setelah banyak kali ditangguhkan tayangan, ia hadir di ambang ulangtahun kemerdekaan. Bukan sedikit dalam kalangan rakyat, telah saya dengar dan lihat mengadu betapa tidak ada apanya pada kemerdekaan kali ini. Mungkin kerana bahang kekecewaan PRU 13 yang lalu di mana dengan sistem demokrasi sebegini, minoriti bisa menapak kuasa – ya ia daripada salah satu sudut pandang semestinya. 

Tidak kurang juga, ketidak puashatian tema tahun lepas masih kuat berbekas dengan segala perkara yang kelakar lagi menyedihkan hingga tema tahun ini yang sepatutnya lebih meniup bangkit semangat bernegara tidak mampu menimbus padamkan amarah terpendam rakyat itu.

Namun, saya kira Tanda Putera yang ditayangkan bermula hari ini, Khamis 29 Ogos setidak-tidaknya menghadiahkan kita satu peluang untuk kita memberikan ruang kepada rasa-rasa kita untuk terawang-awang menyantuni sisi-sisi pengorbanan generasi yang terdahulu walau dari mana suku pemikiran kenegaraan kita. 

Ya – saya kata kenegaraan berbanding politik kerana terma politik hari ini begitu ditempel buruk dengan terus dikaitkan dengan partisan – sedangkan rakyat sesebuah negara masih dikira bernegara saat mereka melakukan kerja-kerja seharian dalam apa juga bidang asalkan ikhlas membangunkan negara tercinta yang asasnya berkhidmat kepada hamba-hamba Yang Esa.


DAP & TUN MAHATHIR

Saya ke pawagam dengan hati yang kosong tidak pandang tinggi melambung. Mungkin kerana trailernya yang aduhai – tidaklah begitu menangkap jiwa. Jujur, kritikan Kekanda Fadhli al-Akiti tahun 2012 itu telah menggagahkan kudrat untuk saya sendiri menonton lihat. Tidak kurang juga, tamparan daripada tindakan pengharaman kerajaan Pakatan Rakyat di bawah YB Lim Guan Eng pada awalnya, membuatkan saya seorang pendokong Pakatan Rakyat menjadi agak melenting.

Falsafah filem itu amatlah mudah. Ia interpretasi pengarah. Filem hanyalah tanggapan beliau dan anak-anak buah dari jalan cerita hinggalah mekap artis yang anda boleh kata buruk dan saya boleh kata indah. Filem berbeza dengan dokumentari. Nah – kerana itupun wujudnya dua perkataan ini kerana makna yang dibawanya berbeza sekalipun zahirnya macam nampak nak dekat sama.

Dokumentari wajib berdasarkan fakta semisal penceritaan biografi di History Channel yang wajib tengok itu dari Siti Nurhaliza, Sudirman, P. Ramlee malah Tun Mahathir sendiri. Berbeza dengan filem berdasarkan sejarah. Malah, sejarah itu sendiri satu interpretasi. Maka filem sejarah ialah interpretasi dalam interpretasi. Justeru, bagaimana bisa kita hukumi interpretasi selagi mana ia memang wujud dalam masyarakat kita hari ini?

Oleh hal sedemikian, interpretasi harus ditemukan buku dengan ruasnya dengan interpretasi yang bertentangan. Saat salah satu didedahkan, yang lawannya kalau hendak menang, wajar juga didedah terang. Barulah, masyarakat boleh menilai dan mengikuti yang mana yang “lebih benar”. Malah, bukankah DAP selama ini mengkritik had-had ruang terhad suara-suara dan idea-idea yang disekat? Kerana itu saya melenting.  

Tetapi, tenang-tenang saja – saya hanya mengecam tindakan pengharaman dan setelah menonton filem ini, saya boleh faham kenapa orang-orang DAP bersikap demikian. Oleh hal yang demikian, saya hormat tindakan mereka yang akhirnya menasihati untuk pawagam tidak menayangkan berbanding mengharamkan. Itu jauh lebih baik pada hemat saya.

Dalam Tanda Putera – dalam 20 minit pertama kurang lebih, dipaparkan insiden 13 Mei 1969. Ada banyak babak yang menarik.

Namun, bagi mereka yang belum lihat pastinya akan tanya, betulkah YB Lim Kit Siang kencing atas bendera. Saya kata saya tak tahu pun watak itu adalah beliau. Yang jelas, watak Datuk Harun mengatakan ada orang Cina kencing atas bendera. Itu sahaja. Maka, ia masih dalam ruang lingkup pendapat yang samar-samar dan kabur.

Namun, yang jelas, bendera-bendera DAP yang hingga hari ini masih istiqamah dengan lambang roketnya, tidak syak lagi dipaparkan sebagai kelompok yang memberontak. Mereka digambarkan sebagai golongan yang menghasut dan menimbulkan syak. Cat-cat merah yang bertuliskan “Boycott Election” diconteng di kedai-kedai di Setapak dan kenyataan “pemimpin pembangkang berarak” dan sebagainya memang ditempelkan dengan wajah DAP. Buktinya, lambang-lambang roket itulah. PAS? Oh, ada. Tapi logo lama. Bulan dan bintang. Tetapi masih hijau dan putih yang terang.

Sungguhpun begitu, nama-nama pemimpin DAP tidak ditayangkan. Yang saya rasa amat tidak adil dalam sudut pandang ini ialah kekaburan silang gambar antara DAP dan Komunis. Saya keliru, yang merancang perarakan ini DAP atau Komunis? Atau orang Komunis yang masuk dalam DAP? Kerana di akhir filem, watak Ketua Komunis yang digambarkan sebagai perancang pembunuhan tokoh-tokoh besar negara dari polis, tentera hingga pemimpin negara adalah orang yang sama terlibat dalam sembang-sembang revolusi radikal di kedai kopi yang berlapikkan lambang DAP.

Saya rasa wujud kebisingan pada interpretasi makna di sini. Ia seakan-akan sengaja diwujudkan dengan bertujuan untuk melapikkan minda separuh sedar para penonton bahawa DAP ialah Komunis dan Komunis ialah DAP. Ini boleh difahami sebagai asas kepada sikap agak melenting kerajaan di sebelah utara semenanjung itu. Ketidak adilan gambaran kepada mereka!

Saya kira dalam hal ini, DAP harus melakukan dua perkara.

Pertama, mereka harus jujur memberitahu pendirian rasmi melalui kalam-kalam pemimpin mereka dari yang tua yang terlibat secara langsung dalam insiden itu hinggalah yang muda bagi menonjolkan sikap anak-anak muda DAP hari ini terhadap apa yang DAP harungi pada ketika itu.

Bukan untuk mengungkit tetapi untuk terus maju dan bangkit. Kalau benar-benar salah, mengaku. Kalau benar-benar difitnah, silalah jelaskan satu persatu.

Saya tidak rasa generasi hari ini khususnya anak muda akan terus menghukum DAP kerana kesalahan lampaunya kalaulah kejadian yang seperti digambarkan itu benar kerana semua parti politik dalam negara kita punya sejarahnya sendiri dan mereka sendiri mengalami perubahan daripada satu bentuk ke bentuk yang lain. 

Hari ini, orang Melayu tidak segan silu hendak undi DAP sebagaimana orang bukan Melayu tidak fobia untuk undi PAS – menunjukkan generasi Malaysia hari ini lebih menilai nilai-nilai berbanding jenama-jenama yang dipakai. Maka, DAP atau pendokong-pendokong DAP khususnya yang terlibat secara langsung, dokumenkanlah cerita versi anda secara rasmi. Kami generasi muda sememangnya mahu benar-benar mendengar kisah anda dan 13 Mei dari kaca mata anda.

Kedua, bagi pendokong DAP yang reaktif, mungkin kalian akan melihat Tanda Putera sebagai bala'. Tetapi kalau anda pendokong DAP yang proaktif lagi kreatif, kalian pasti akan melihat Tanda Putera sebagai peluang membuat laba! Perkataan Bala' dan Laba - dekat-dekat sahaja bunyinya, cuma pertukaran suku kata sahaja sebagaimana perubahan pada bentuk tindakan yang kita dambakan!

Filem lawan filem. Jangan kata kalian tak mampu, video Oley dari Pemuda PAS sendiri sudah membuktikan kuasa itu!

Cuma – sila hasilkan dalam bentuk HD kerana saya sedikit kecewa dengan paparan visual lagu negaraku sebagai ritual yang bukan bid’ah di pawagam yang alahai masih kualiti lama ala-ala terbitan Filem Negara-kah sedangkan hari ini bukan lagi zaman putung berasap!

Oh ya – kita juga tak perlu melenting dengan Suhaimi Baba hanya kerana ini. Beliau juga menggambarkan watak Tun Mahathir sebagai anak muda yang degil dengan menghantar surat kepada orang-orang besar UMNO agar Tunku segera diundurkan daripada takhta Perdana Menteri. Malah, watak Tun Mahathir tersebut ditampar oleh bidasan tajam oleh watak Tunku sebagaimana berikut -
“Dasar anak muda. Dia yang kalah Pilihanraya, 
kita pula yang disuruh berundur”

Tidak kurang juga watak Tun Mahathir yang digambarkan sebagai jelas-jelas membodek dan cubaan mengambil hati Tun Abdul Razak di keramaian kemenangan Barisan Nasional itu.


Saya kira penonton Malaysia amat selamba. Semua pakat gelak dan ketawa.

Jadi, kurang tepatlah kalau hanya DAP yang dikritik, Tun Mahathir juga. Cuma ya, benar. Berbeza impak mengkritik satu sosok berbanding sebuah organisasi politik yang kesannya bisa jadi lebih teruk.


TUN ABDUL RAZAK & TUN DR ISMAIL

Aduhai. Saya getar menulis bahagian ini. Sebelum memulakannya marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan doa kepada mereka berdua dan sesiapa yang sahaja yang ikhlas berjuang untuk negara kita ini.

Allahumahgfirlahum warhamhum,
wa’afihim wafu’anhum,
waakrim nuzulahum waj’al nuzulahum min riyaadil jannah!

[Ya Allah, ampunkanlah mereka dan rahmatilah mereka]
[Dan afiatkanlah mereka dan ampunkanlah mereka]
[Muliakan kubur mereka dan jadikan ia bahagian daripada syurga]

Aameen bijaahil ameen!

Baiklah. Allahyarham Tun Abdul Razak graduan MCKK. Saya lepasan MCKK dan dalam filem ini hanya sekolah kami yang dirakamkan. Baiklah, buanglah rasa cemburu dan kutukan tak perlu itu. Hehe. Bukan itu tujuan saya. Cuma saya nak cerita, ketika di MCKK, saya seringkali didoktrinkan oleh guru-guru kami khususnya yang sudah lama berkhidmat sejak berdekad-berdekad bahawa tidak ada insan lain keluaran MCKK yang benar-benar boleh dibanggakan melainkan Tun Abdul Razak.

Malah, sepanjang bacaan dan perkenalan saya dengan orang-orang politik, beliau adalah antara satu-satunya tokoh daripada banyak-banyak Perdana Menteri yang tidak menerima sebarang kutukan dan cacian. Paling teruk pun, Tun Abdul Razak meninggal awal, jadi tak sempat menggunakan kuasa untuk kepentingan sendiri macam orang lain. Ini terus menggambarkan keperibadian tulus Tun dalam mentadbir negara yang saya kira amat berjaya diangkat martabat ketulusannya dalam memimpin negara itu di dalam filem ini.

Begitu juga dengan Allahyarham Tun Dr Ismail yang saya kira ramai kalangan anak muda antara tahu atau tidak kewujudan sosok tubuh ini dalam persada politik tanah air. Kalau tahu pun, belum tentu benar-benar kenal kerana namanya jarang sungguh diperkenal oleh sosok-sosok politikus hari ini.

Tahniah Suhaimi Baba, Tanda Putera anda berjaya menengetengahkan watak dan keperibadian dua tokoh besar negara ini. Malah saya kira saya tidak lewah untuk memuji Suhaimi Baba sebagai berjaya mengangkat tema kenegaraan melangkaui partisan. Tambahan pula, Tun Abdul Razak wujud di zaman Parti Perikatan dan selepas itu Barisan Nasional. Zaman “perpecahan” dan zaman “perpaduan”. Sengaja letak kurungan – kalau tak saya akan dilabel dengan label yang sewel dari makna yang ingin ditakwil.

Ini boleh dilihat sebagai tempelakan Suhaimi Baba kepada generasi pemimpin negara saat ini untuk mengutamakan negara berbanding apa sahaja – baik parti mahupun diri sendiri.

Kosa kata mati seringkali kita dengar. Kita hanya tahu maknanya yang sebenar di saat kita berada di jurang kematian. Itulah yang dihadapi oleh tokoh berdua ini. Mereka tahu mereka akan mati. Maka, apakah yang patut mereka lakukan dalam masa yang berbaki?

Merahsiakan penyakit dan terus mentadbir negara ini seberapa pantas selagi hayat dikandung badan, selagi jantung masih berdenyut – lekas-lekas, kita bangunkan negara ini dengan deras-deras!

Yang paling membanggakan, fakta-fakta berkenaan jasa-jasa digambarkan penuh bersahaja tetapi cukup bermakna meski sebentar cuma. Misalnya reaksi watak Tun Abdul Razak ketika mendengar perkembangan syarikat penerbangan nasional pertama :

“MAL (Malaysian Airlines Limited) itu kan maksudnya buruk dalam Bahasa Inggeris. Tukar ke MAS (Malaysia Airlines System); kan cantik bunyi itu macam emas dalam Bahasa Melayu”

“UKM dah guna 100% Bahasa Melayu, Tun”, kata seorang pegawai.

“Petronas baik sahaja, Tun”, jawab watak Tengku Razaleigh Hamzah.

Cukup menyebabkan penonton merasakan – balik ini kena buka dan telek balik buku sejarah saat insiden Banjir Besar Kuala Lumpur, jalinan diplomatik pertama Malaysia-China dan sejarah permulaan Barisan Nasional diziarah.

Juga imej mereka yang begitu baik hati sebagai bos kepada kakitangan mereka amat tertonjol. Orang gaji watak Tun Dr Ismail berterima kasih kepada Tun kerana tolong belikan dia rumah. Watak kakitangan di pejabat Perdana Menteri dengan tali leher dan kain skaf yang dihadiahkan Tun Abdul Razak yang tak sempat menyampaikan hadiah itu kepada mereka kerana telah terlebih dahulu pergi menemuiNya – amat-amat menyampaikan pengajaran yang besar kepada kita.

Setinggi mana pun burung sedang terbang di langit tinggi, jangan dilupa malah hargailah rumput hijau di bumi!

Kerana itu saya katakan di samping Tanda Putera mungkin bisa dilihat sebagai agen propaganda, ia juga sebenarnya filem mengenang jasa dan air mata! Seorang abang di kanan menangis dan seorang kakak di kiri teriak - takkanlah saya bisa menahan air mata yang sedang bertakung menggelegak!

YANG COMEL

Rona-rona warna filem ini tidak ubah seperti filem Suhaimi Baba yang lain. Cantik dan unik dengan sentuhannya yang sama. Cuma yang tak puas hati betul adalah ketidak kemasan teknik CGI yang alahai kami tahu lah memang babak tu guna CGI tapi tak perlulah jelas-jelas nak tonjolkan hal itu. Satu babak singkat ketika watak Tun Abdul Razak salam dengan watak Tun Dr Ismail sebelum berlepas ke Canada untuk persidangan CHOGM. Dan satu lagi, babak ketika watak Tun Dr Ismail, keluarga dan pegawainya bersiar-siar di tasik itik London.

Malah, logo RTM ketika pengumuman berita sedih oleh watak Tun Hussein Onn (oh, hidung memang semancung Allahyarham, Abang Hasnul Rahmat!) itu ternyata salah. Tun Abdul Razak meninggal pada tahun 1976, sedangkan logo RTM dalam babak itu hanya ditukar pada tahun 1978!

Pemilihan watak bagi saya kemas. Semuanya cantik-cantik, lawa-lawa, segak-segak dan kacak-kacak. Ya, ini mungkin satu lagi penerajangan minda oleh Suhaimi Baba dalam memotretkan imej para pemimpin negara termasuk DS Najib Tun Razak dengan memberitahu kita – janganlah mengutuk wajah dalam bersiasah kerana tiap insan punya sisi lebih dan kurang dari sudut rupa dan bentuk badan. Kritik sahaja dasar, isu, tindakan dan pendekatan mereka. Jangan heret kaki, perut, tangan dan rambut mereka sekali!

Yang menarik – terdengar-dengar dalam kalangan khalayak – itu watak siapa ya, eh yang ni siapa pula? Oh ya – berderai ketawa kecil-kecil comel-comel semuanya memenuhi ruang pawagam yang agam.

BISAKAH MENGOMEL

Ramai mengomen sebelum menonton. Ramai mengkritik sebelum membelek. Terlalu banyak nas-nas wahyu mengingatkan kita agar berlaku adil dan jangan kerana kecenderungan kita menyebabkan kita berlaku zalim dalam menghukum. Malah, kaedah fiqh dalam mengeluarkan sesuatu hukum mahsyur disebut sebagai :

Al-hukmu 'ala syaain far'un 'an tasawwurihi
Hukum ke atas sesuatu itu adalah berdasarkan 
gambaran penuh akan sesuatu itu

Maknanya, anda kena betul-betul garap dan hadam sesuatu sebelum menjatuhkan hukuman. Kerana itu saya berpendapat bahawa kalau belum tengok Tanda Putera, kalian macam tak ada hak nak bersuara lebih-lebih. Kalau dah tengok, alhamdulillah - kalian punya hak itu memperihal apa yang kalian rasa kerana mana bisa kejahilan menjadi sumber hukuman sebaliknya sumber hukuman itu semestinya ilmu pengetahuan. 

Dalam hal ini, sebagaimana saya menentang pengharaman Tanda Putera, begitu juga saya melawan pengharaman The New Village yang jika diteliti trailernya - aduhai masakan filem cantik hasil tangan anak tempatan ini dimangsakan dengan kecenderungan pemikiran politik suku masak kita! Inilah masalah pihak di atas sana. 

Di saat kita ketandusan karyawan ulung, anak jati Malaysia semisal James Wan menempa nama dengan gah di luar sana. Akhirnya, kita yang mengimport filemnya masuk. Sepatutnya, anak Malaysia sepertinyalah yang buat kita mampu eksport filem keluar! Tetapi dasar yang penuh gelenyar meranapkan segala impian - industri filem tempatan tidak berkembang melainkan perkembangannya pada versi cinta cantun yang merapu, jauh daripada membuat jiwa runtun merindu.

Jujur saya katakan, saat melihat kedua-dua watak tokoh negara ini khususnya watak Tun Abdul Razak khususnya ketika bertarung ajal, saya hanya terbayang-bayang Tan Sri Dato' Seri Azizan Abdul Razak, bekas Menteri Besar Kedah saat kaki melayang sewaktu sedang berkhidmat berjuang. 

Sebenarnya, baik pihak yang kalah mahupun menang, semua mempunyai sumbangan masing-masing yang wajar kita tonjol dedah dan ambil pusing untuk dikenali dan dihargai agar generasi negara yang ingin kita bina membangunkan negara ini dari jiwa yang benar-benar ikhlas dan suci bukan atas dasar benci-membenci yang beralaskan sangka dan fitnah yang keji.

Cuma cabaran saya selalu penonton anak muda kepada Suhaimi Baba – terbitkan satu filem dari perspektif so-called “pembangkang” pula. Bak kata rakan saya dari Tasmania – Wasiat Haji Hadi dari perspektif Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri!

Saya cabar!

Bintang pula : 8 1/4 daripada 10

Saya akhiri ulasan ini dengan sajak indah yang telah dirakam rekod dengan jayanya oleh Ayahanda A. Samad Said berjudul Kita Bersama – 

SALAM KEMERDEKAAN BUAT SELURUH WARGA MALAYSIA!

---


Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar,
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
Sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan tofan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan-
inti tonggak dan menara kebahagiaan.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi –sihat, teguh dan bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik,mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah,
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita,
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
Tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh,khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa-
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu,
dan kita, dalam sejarah bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

Tersimbah mewah hidup baraqah,
akar tulen menyuburi batin bangsa-
Takhta nan luhur dan panji nan subur
Meranumi demokrasi jujur dan masyhur.

Lihatlah, nikmatilah jernihnya air,
dengarlah, hayatilah angin berdesir.
Inilah dendang bumi yang kaya,
Kita warisnya sungguh bertuah.

---

WAJIB TENGOK :

PENJELASAN YB LIM GUAN ENG BERKENAAN ISU TANDA PUTERA :

VIDEO A. SAMAD SAID :

Sebarkan Manfaatnya! :)