Friday, May 10, 2013

Biar-Biarlah


Sahaya pernah bertanyakan kepada seorang adinda sahaya yang jauh di perantauan. Meski dia seorang gadis genit yang sering berkenyit dengan timbunan buku falsafah dan pemikiran - dia tetap punya masa menjawab persoalan-persoalan kita. Dengan penuh bersahaja tetapi sarat dengan makna dan rasa - beliau membalas persoalan sahaya :

"Bisakah kita mencintai walaupun kita tidak bercinta?"

"Oh, itu bisa kekanda. Kerana mencintai tidak memerlukan balasan. Bercinta itu memerlukan balasan kerana bercinta itu hanya terjadi pada pasangan. Imbuhan Ber- itu mengisyaratkan kebersamaan. Sedangkan imbuhan Men- itu hanyalah reaksi dan tindakan seorang insan"

"Jadi, kita bisa mencintai sesuatu tanpa perlu memberitahu?"

"Oh, itu sudah tentu! Tapi, kalau ditanyakan pada kita macam mana - sudah pasti kanda lebih tahu, kan?"

"Berkhidmat pada insan yang kita cintai sedangkan dia tidak tahu - begitu?"

"Ya - dengannya kanda bisa peroleh ganjaran berbakti sesama insan. Dengan cinta dan kasih sayang lagi!"

Begitulah madah-madah di bawah ini meringkaskan perbualan kami. Ia gabungan sebuah perasaan mencintai yang mendalam tetapi terpendam dengan sebuah peringatan kepada diri untuk tegar berkhidmat berbakti kepada insan yang dicintai. Dek kerana itu, sahaya memulangkan tafsiran akan bait-bait ini kepada kalian. 

Sahaya mengerti di dalam tiap bab-bab perhubungan - adakalanya ia adalah sesuatu yang wajib kita pendamkan. Atas apa jua alasan. Yang hanya kita dan Tuhan sahaja tahu. Sehinggalah kita terpaksa mengakui satu hakikat - Andai Tuhan benar dan izin-kan, sudah pasti aku luahkan. Namun, lantaran kerana kita tidak mampu sekalipun kita mahu - kerana taat kepada perintah Tuhan - menjaga diri dan orang lain; menyebabkan kita tegar mempertahankan - biarlah aku memendam seorang diri perasaan ini. 

Waima begitu, antara nikmat yang terungkap singkap daripada anugerah bahasa ialah kita mampu meluah di saat kita masih mampu menyembunyikan maknanya. Ia adalah untaian berantai-rantai pada sebuah perasaan yang terpendam dalam - hanya mampu dilempias dan dibebas lepas dengan bait-bait kata yang dikait. 

Mudah-mudahan - ia sedikit sebanyak dapat mengendurkan perasaan yang menegang dan mengecurkan hati yang sedang lecur. Biarkanlah kita benar-benar memahami akan hakikat - Cinta tak wajib dimiliki, ia wajib dirasai! 

Maka, terimalah "Biar-Biarlah".


Biarlah diri mengikut rutin,
Menurutinya dengan disiplin,
Tak ikut tepat nantinya kohong -
muka tak malu pipi tersorong!

Biarlah aku mencintai seorang diri,
Dalam diam senyap hati perhati,
Pada sebuah perasaan tak terucapkan,
Pada nikmat sedih tak tergambarkan!

Biarlah takdir membaluti erat,
Pada sebuah ceritera nan hebat,
Kadang datang kadang-nya pergi,
Begitulah naik turun cintanya hati!

Biarlah segala rahsia aku menyimpan,
Dalam tiap bait juga barisan,
Kerana ini soal perasaan,
Hanya diketahui aku dan Tuhan!

Biarlah biar ianya terlantar,
Di perhentian pier di hujung pantai,
Perhati hujung mentari bersinar,
Tenggelam kelam penuhnya santai!

Biarlah gelojak yang membuak-buak,
Tertumpah di atas bait-bait terkait,
Kerana rasa ini amat menggelegak,
Bagaimana menahan tak luah pahit?

Biarlah biar biar biarlah,
Terbuang diri tak sudah-sudah,
Mengharap yang tidak kunjungnya tiba,
Terus mencari yang lain di dalam hiba!

Aku berhenti kini mengejar,
Mungkin menanti aku dikejar
Berbakti padanya aku-nya tegar,
Begitulah kehidupan menunjuk ajar!

9.14pagi
May 5, 2013

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

1 comment:

  1. Hei! Mungkin kau akan suka lagu ini! Sesuai dengan puisimu ini--akan hal cinta mencintai bercinta!

    https://www.youtube.com/watch?v=GRuMZcLQWO8

    -Adilla

    ReplyDelete

Sebarkan Manfaatnya! :)