Thursday, June 6, 2013

Syarah Pantun Asal-Muassal Solat Fardhu Lima Waktu

Menyusun bata hendaklah cermat,
Membina kolah pagarnya tinggi,
Musa berkata kepada Muhammad,
“Mintalah Allah ringankan lagi”

-Pantun ke-193 Ismail Restu (2012), 
Pantun Kisah Rasul Tercinta, 
Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Kuala Lumpur


*Nota : Illustrasi ALLAH S.W.T. di Sidrat al-Muntaha tidak menggambarkan bahawa Allah Jalla wa 'Alaa itu bertempat. Tidak - sesekali tidak. Kerana Allah Jalla wa 'Alaa itu wujud tanpa bertempat - Allahu Maujuudun Bilaa Makan. Illustrasi itu bukan bermaksud Allah Jalla wa 'Alaa bertempat tapi bermaksud makhluk semisal Nabi Muḥammad ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam yang perlukan tempat! Dan di tempat itu, Baginda ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam menerima perintah solat.

---

Pertama, mengapa “menyusun bata hendaklah cermat?”. Ini boleh difahami dengan baris seterusnya, kerana pelaku sedang “membina kolah pagarnya tinggi”.

Pembinaan kolah ini besar maknanya kerana lazimnya kolah didapati di perkarangan masjid di alam Melayu sebagai tempat pertama kita singgah sebelum ke beranda atau dewan masjid untuk menunaikan solat. Tidak lain tidak bukan untuk berwuduk jualah. Tanpa wuduk, tidak boleh kita bersolat. Tanpa kolah, tidak boleh kita berwuduk. Atas sebab itulah, ʿulamaʾ fiqh pernah menyimpulkan satu kaedah mahsyur :


“Selama suatu kewajiban tidak akan sempurna kecuali dengan adanya sesuatu,
maka sesuatu itu hukumnya menjadi wajib”

ʿUlamaʾ Jawi selalu memberikan ibarat dalam kitab-kitab kuning dengan menyebut, kerana solat itu wajib, maka untuk menyempurnakan solat itu perlunya kepada proses penyucian (al-ṭahārah), maka wuduk itu menjadi wajib. Oleh kerana tanpa telaga atau kolah itu wuduk tidak dapat dilakukan, maka menggali telaga dan membina kolah itu pun menjadi wajib, kerana wuduk itu telah menjadi wajib disebabkan solat fardhu itu sendiri adalah kewajiban.

Oleh hal yang demikian, pembinaan kolah itu amatlah penting hingga menyebabkan penyusunan bata yang membina kolah itu hendaklah dilakukan dengan cermat kerana tanpa ketelitian melaksanakan kerja pembinaan, maka menjadilah kolah tidak sempurna. Dikhuatiri kalau-kalau wuduknya juga akan terkesan sama. Maka, bagaimana mungkin solat itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya andai wuduk itu tidak sesempurnanya?

Pembayang ini amat berkait dengan maksud pantun ini yang secara jelas cuba menyimpulkan kata-kata Nabī Mūsā ʿalayhi al-salām kepada Junjungan Besar Nabi Muḥammad ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidinā Anas bin Mālik radhiyaAllahu’anhu yang berbunyi :

قَالَ:ارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ

“Dan telah berkata dia yakni Nabi Musa ‘alaihissalam : Kembalilah kepada TuhanMu dan mintalah kepadaNya agar diringankan lagi (jumlah rakaat solat itu) ke atas umatmu.”

Kata-kata mulia ini telah diringkaskan dengan jayanya oleh Ayahanda pada baris ketiga dan keempat dalam pantun ini yang berbunyi :

Musa berkata kepada Muhammad,
“Mintalah Allah ringankan lagi”

Demikianlah kesempurnaan pembayang pantun ini yang sebenarnya berhubung kait dengan mensyarahkan secara halus maksud pantun ini dalam menghuraikan sejarah asal usul solat fardhu lima waktu di samping mengingatkan kita tentang bagaimananya cara ʿulamaʾ fiqh zaman-berzaman mengeluarkan hukum tentang kewajiban berwuduk itu sendiri yang asal hukum berwuduk itu sendiri adalah sunat.

---

Dipotong pendek bersempena Rejab 1434H ini bagi memperingati peristiwa al-'Isrā' wal-Mi'rāj daripada artikel : Ulasan Buku "Pantun Kisah Rasul Tercinta" nukilan Ismail Restu

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

1 comment:

Sebarkan Manfaatnya! :)