Saturday, September 28, 2013

KL GENGSTER 2 - WAJIBLAH ADA YANG CEMBURU!

Alhamdulillah - dengan ulasan ringkas seorang rakan bukan kaki filem tetapi telah tonton secara haram yang memuji skrip filem ini, maka saya tontonnya secara halal tadi.

Kekuatan filem ini bagi saya pada keseimbangan komersial dan estetika.






1. Komersial kerana mengambil kaut para aktor khususnya yang punya peminat besar tanpa mengorbankan karekter mereka yang bagi saya semuanya tidak tangkap muat sebaliknya pemilihan watak yang agak tepat; bukan sekadar tempelen yang menjengkelkan. Syabas!

Kalau KL Zombi yang macam cerita baby-baby itu pun, kerana Zizan - orang pakat tengok dan dapat kaut hampir RM 3.0 juta - maka Zizan dalam KL Gengster 2 - sudah pastinya elemen yang turut kuat menarik peminatnya yang banyak itu ke panggung juga. Belum lagi, Aaron Aziz Ombak Rindu, Adi Putra Cerekarama dan fan-fan Abg Rosyam Nor sejak zaman saya sekolah rendah, malah Syamsul sendiri yang begitu cantik rambut yakuzanya - atas kemenangan besar KL Gengster sebelum ini; maka wajarlah Syamsul marah besar atas pengkhianatan tempoh hari.



Maka, kalau anda menjunjung moral anti cetak rompak dan anti tikam belakang - WAJIB TONTON!  


2. Estetika kerana olahan skripnya (bukan teknik penceritaan dan plot ya!) yang aduhai - kemas bahasanya. Apa yang tidak diguna - asonansi? aliterasi? simile? semuanya dikhatam dengan khatimah yang indah oleh pengarang skrip.

Antara yang berbekas -

"Lu mau tengok masa Deepavali, orang lain pecah kelapa, lu pecah kepala!" 

Wah! Ini keterbalikan kata! KELAPA - KEPALA!

"Lu mau tengok kita jadi mayat, sampai dimakan ulat, baru lu nak percaya?"

Dan banyak lagi - tak terhitung! 

Dari sudut filem aksi, saya bukan peminat besar filem aksi. Tetapi, saya kira aksi-aksi yang dipamerkan yang setiap 5-10 minit, ada satu aksi itu - dilakukan dengan baik walau tidak sempurna. 

Kereta polis kena terbalik (teringat Bersih haha), kren bawak kontena nak perangkap Syamsul - oh itu cool! Rosyam Nor tembak dua kereta, seret baik punya. Dan yang agak mengangumkan saya, aksi berlari-lari ATAS deretan kedai tepi jalan - membuatkan saya sedikit terpinga-pinga; eh tak reban pulak, jang! Kuat bona bombong gerai eh! Haha!

Dan saya rasa kurang meriah sikit ialah kurang sangat pembabitan orang-orang awam. Kan best ada syot dengan orang-orang awam yang terpaksa terlibat dalam pergaduhan. Tetapi dalam filem ini, ia tidak begitu kelihatan. Macam lebih gengster lawan gengster - semata-mata. Orang awam sekeliling hidup di dunia asing.


3. Cuma - saya kira kelemahan filem ini yang bukannya longgar sangat, tapi kurang kemas ialah pada teknik dan plot penceritaan. 

Ya, saya puji plot yang tersusun satu-satu, cepat, tepat, pantas dan deras. Tidak meleret membebel. Tapi, saya kira ia sesuai untuk penceritaan konflik yang ganas-ganas itu, tapi kalau masuk bab emosi - sepatutnya Syamsul memberikan lebih ruang dan peluang kepada para penonton untuk tenggelam dalam permainan emosi agar sampai rasa kasihan pada ibunya yang menjadi mangsa, pengorbanan baik Malik mahupun Jai nak bela keluarga - saya kira itu tak sampai sangat. 

Saya tak pasti, sengaja atau tidak Syamsul tidak menggunakan teknik imbas kembali untuk imbau kenangan lampau apa yang terjadi pada famili mereka. Mungkin Syamsul nak cuba lari dari teknik tipikal ini dan sekadar nak guna dialog sahaja. Tapi sayang seribu kali sayang, dialognya tak berapa nak sampai. Agak menyampah jugak kalau maknya dari awal sampai akhir - asyik sebak sebam dok nanges ja. Jadi, tak terasa sangat bila mak dia keluarkan kata-kata tulah - aku tak mengaku korang anak bla bla bla itu, sebab penonton dah tepu melihat maknya sejak dari awal dok nanges dan kecewa saja.

Saya membayangkan adalah imbauan memori masa Jai dengan Malik masa kecik ka - Malik lindung keluarga daripada bapak dia yang kaki hutang tu. Reka la cerita apa saja, nampakkan dari kecik lagi Jai cuba buat baik tapi asyik jadi "black sheep" dalam famili saja. 

Tapi semua tu tak dak - dan sekadar bergantung harap pada dialog saja yang bagi saya - kurang sampai. Penonton mungkin tahu keadaan mereka, tetapi belum tentu penonton mampu rasa dan faham penderitaan yang cuba diluahkan.

4. Tema falsafah filem ini iaitu PILIHAN juga tak berapa nak sampai. Sebab pilihan ni sekadar berlegar pada kehidupan Malik saja. Sebab ada perkembangan karekter Malik daripada tak mahu terbabit tetiba terpaksa memilih untuk terbabit untuk dapatkan duit. 

Yang lain - tak berapa nak ada elemen pilihan tu. Sebenarnya Syamsul boleh main isu pilihan ni pada tubuh badan Soffi Jikan yang bagi saya, seorang pemuisi gengster yang memang terrrrrr terer; dengan mungkin menyebutkan seperti ini -

"Aku boleh tak bunuh betina tu [Angeline Tan]! Tapi kau tau kenapa aku PILIH untuk bunuh dia? Sebab aku sayang geng, kita ni blood brother. 

Sapa yang cuba main kotor, tikam belakang, aku taroh, bunuh dia, campak longkang! Lagi-lagi orang dalam, aku hapus sampai betina tu diam! 

Aku PILIH untuk geng kita tak kena tikam, dari belakang!"

Dan, kan bagus monolong awal dan akhir si Malik tu, buat lagi puitis boleh? Rujuk monolong pencerita dalam Lasykar Pelangi (2008)! Sayang lah skrip masa emas itu tak betul-betul dibentur molek!

6. Jalan cerita bagus walaupun agak tipikal tapi saya kira masih ada ruang percubaan untuk lari dari kebiasaan. Misalnya, wujud konflik antara Jai dan Malik. Kan bagus kalau Jai digambar macam bermusuh kuat dengan Malik? Kemudian, buat penonton ingat - ish Jai dan dengan Tailong, Malik dengan King - adakah Jai akan lawan dengan Malik? Saya rasa kalau Syamsul main betul-betul elemen ni, sudah boleh menipu penonton. Tapi sayang, potensi elemen penceritaan ini tak dimanfaatkan. 

Cuma, bila si Tailong kena belasah dengan adik-beradik Jai dan Malik, saya teringat filem Trimurti (1995) lakonan Jackie Shroff, Anil Kapoor and Shahrukh Khan yang ketiga-tiga ini bersatu membela nasib maknya dan keluarga dengan sama-sama di akhir bersatu menentang musuh ibu dan keluarganya. Cuma, dalam kes ini, bimurthi la kot haha sebab dua orang adik-beradik saja. Apapun, akhirnya bersatunya dua adik beradik ini di akhir cerita itu adalah bagus.

Apapun, kerja Syamsul bagus - dan saya mahu lihat potensi besar ini terus digilap lebih lagi. Kita mahu standard dia itu standard internasional - bukan sekadar jagoan kampungan semata-mata.

Oh, ya - tiada elemen percintaan serius langsung - ini satu pencapaian, di saat sinema kita bergelimpangan dengan cerita cinta yang kononnya serius tetapi sebenarnya virus yang membosankan.

Bintang saya - 7.5/10 

[Maaf, saya titik beratkan plot, teknik serta emosi penceritaan sesebuah karya; maka sedikit sebanyak mengurangkan sedikit markah penilaian saya].

ADAKAH FILEM KL GENGSTER 2 MAMPU MENGULANGI KEJAYAAN KL GENGSTER?

SAYA YAKIN 80%!

MAKA PATUTLAH ADA YANG CEMBURU - SAMPAI BEGITU SADIS DIPERLAKU!

Wallahu'alam 

1 comment:

Sebarkan Manfaatnya! :)