Monday, September 2, 2013

SYARAH PANTUN BERBURU DI PADANG DATAR


Sahabat sahaya, Saudara Lee Jul pernah bertanyakan sahaya maksud pantun mahsyur ini :

Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi!

Pertamanya, pantun ini amatlah indah kerana kesempurnaan rimanya begitu terserlah.

Ber-bu-ru (3) di pa-dang da-tar, (5)
Da-pat ru-sa (4) ber-be-lang ka-ki; (5)
Ber-gu-ru (3) ke-pa-lang a-jar, (5)
Ba-gai bu-nga (4) kem-bang tak ja-di! (5)

3,5
4,5
3,5
4,5

Yang paling menakjubkan ia hanya memerlukan satu perkataan untuk mencukupkan rima awal bagi baris pertama dan ketiga! Subhanallah!

Baiklah. Syarahnya begini setakat apa yang sahaya maklumi dan ketahui. 

Perlambangan latar pembayang "padang datar" dan "rusa berbelang kaki" haruslah kita terlebih dahulu kuasai. Jika tidak, kita akan merapu-rapu dengan segala ramu-ramu dan zalim pada maksud yang hendak diletak. 

Padang Datar ialah imejan padang yang luas terbentang tetapi hampir kering dan kontang dari tumbuh-tumbuhan melainkan rumput rampai dari jenis bukan kayu kayan. 

Bukan seperti rimba belantara yang penuh dengan pohon-pohon yang tinggi melampai, hijau menawan dengan udara yang segar dan nyaman, punya segala jenis buah-buahan, kayu kayan, belit-belit rotan dari Tongkat Ali hingga Kacip Fatimah.

Rusa Berbelang Kaki pula bukan jenis haiwan yang kita sangka daripada keluarga Cervidae sebaliknya ia sebenarnya sejenis belalang! Belalang yang berbelang kakinya! Cuma dipanggil orang belalang jenis ini Rusa Berbelang Kaki! Kemungkinan besar kerana tidak kedapatan haiwan yang banyak selain daripada belalang jenis ini agaknya dalam alam Nusantara.

Maka, maksud -

Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;

itu boleh ditamsilkan sebagai kalau kita hanya berburu di padang datar yang sebegini kurang hasil mahsulnya, kita tidak boleh jangka apa-apa melainkan sekadar belalang sahaja. Ini boleh difahami dengan rangkap seterusnya yang mengisyaratkan sumber ilmu. Kalau kita hanya duduk berteleku menghadap ilmu dari gua sahaja, kemampuan dan penghasilan kita hanyalah apa yang ada di dalam gua itu sahaja. 

Sedangkan tabiat ilmu itu melaut kerana perjalanan sang murid mencari permata-permata ilmu yang banyak dengan kembara. Kembara ini disebut sebagai rehlah. Rehlah inilah yang ditamsilkan dengan masa yang panjang sebagaimana kalam mahsyur Imamuna as-Shafie rahimahullahuta'ala yang berbunyi :

Akhi lan tanal al ilm illa bi sittatin: 
Zakain wa hirshin wa ijtihadin wa dirhamin, 
wa suhbati ustazin, wa tuli zamanin

Saudaraku tidak dikau mendapatkan ilmu kecuali dengan enam perkara :
Kecerdasan, kesungguhan, kesabaran, biaya, 
bimbingan guru, dan waktu yang lama

Oleh hal sedemikian, mendapatkan tempat yang bagus untuk belajar adalah mustahak agar kita bisa peroleh manfaat yang berkualiti dan sebesar mungkin daripada gedung ilmu dari sepakar-pakar pakar yang ada untuk kita menuntut darinya. 



Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi -

pula bermaksud orang yang berguru tetapi leka-leka, main-main, suka-suka dan tidak prihatin akan apa yang diajari gurunya itu, menjadilah ia seperti biasa.

Mungkin dia akan menjadi sekuntum bunga, dan mungkin juga kembang tetapi sayang, kembangnya tidak begitu menjadi. Baru mengembang di pagi hari, diterjah mentari - kecut semula!

Begitulah perihal mereka yang tidak serius berguru dan menuntut ilmu.

Kesimpulannya, dalam soal pendidikan - tempat belajar dan cara berguru amatlah mustahak dalam menentu tinggi dalam mana ilmu yang dipelajari. Kerana itu tidak menjadi suatu kehairanan, para pensyarah mengomel-ngomel andai universiti tidak menyediakan prasarana dan kemudahan terbaik kerana ia bisa mencacatkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran. 

Dan akhlak berguru, rasa itu suatu perkara yang tidak perlu lagi diberitahu kepada para penuntut ilmu.

Pantun ini sebenarnya berasal daripada tulisan Allahyarham Usman Awang rahimahuallahuta'ala dalam puisi terkenal beliau bertajuk, Guru oh Guru (1979) :

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979

Moga bermanfaat!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Wallahu ta'ala 'alam

5 comments:

  1. Terima kasih. Semalam semasa taklimat rektor UiTM ada disebut pantun berguru ni. Memang indah bunyinya sampai saya search dari internet.

    TQ.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya - pantun ini mahsyur. Namun ramai yang tidak memahami perkaitan pembayang dan maksudnya. Moga bermanfaat insyaAllah :) Terima kasih kerna sudi melayari blog saya. Tuan boleh lihat lagi syarah pantun yang lain bawah label Syarah Pantun. Terima kasih :)

      Moga hari ini bukan hari-hari terakhir pantun Melayu :)

      Delete
  2. terimakasih guru atas perkongsian ilmu ini.
    setelah berumur setengah abad, saya baru tahu rusa berbelang kaki itu adalah belalang!

    ReplyDelete
  3. Setiap kali dalam Sambutan Hari Guru, sajak ini mesti saya dengar. Tp tidak faham maksudnya. Oleh itu sy cuba mencari maksud yg tersurat dan tersirat dalam sajak ini. Terima kasih atas pencerahan.

    ReplyDelete

Sebarkan Manfaatnya! :)