Tuesday, November 15, 2011

Kekicau Pantun : Cik Puan Thoyba Mengalah? (^^) Bahagian Satu

Klik untuk Naratif Artikel bagi memudahkan kefahaman melalui peti suara (^^)

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! :)


Memakai tanjak bukan sengaja,
Mata mengenyit nikah pun langsung,
Hati melonjak terkinja-kinja,
Ingin menjerit di puncak gunung.

Alhamdulillah, petang ini meski hujan turun menderu, derasnya angin berdesir lalu - namun semangat yang sejuk dipanaskan dengan balasan-balasan hebat rakan-rakan sepermainan di dalam gelanggang kehidupan ini.

Indahnya lagi permainan kami bukanlah kerana kami bermain bola sepak yang asalnya dari tradisi ketenteraan China seperti termuat dalam Kitab Sejarah Zhan Guo Ce itu - atau tiadalah disebabkan kami bersukan Badminton yang asalnya dari tradisi India British di pertengahan abad ke-18, sebaliknya kami berlibur sakan di Laman Kekicau [Twitter] dengan sulaman-sulaman indah pantun yang cantik tersusun, segar ranum - cukup dengan puji-memuji, sindir-menyindir hinggakan ada juga bait-bait yang sesekali cuba menyihir.

Meski kami suka hati, tetapi tiadalah kami suka-suka hati nak mengait pantun, kerana tiap pantun yang tersulam, punya pengertian yang mendalam. Kait-kait pantun itu medendangkan irama dengup di jiwa, fikiran di akal dan apa yang terbuku di dasar hati kami yang kerdil mungil.

Oleh itu, ingin benar, sahaya berkongsi peragaan ilham daripada Tuhan dengan tuan-tuan sekalian. Moga-moga tuan-tuan juga dapat sama masam mencuka, manis menggula dengan bait-bait sempurna cacat yang kami kait. Kalau suka, pujilah dahulu akan Dia, kerana hakikatnya Dia jugalah menggerakkan segala. Tetapi kalau tuan bermuka kelat, hati menjuih-juih mahu mencaci, silalah tahan umpatan, usah dikeji. Sebaliknya, kami mohon diperbaiki dan ditunjuk ajar. Siapalah kami di sisi Tuhan, ilmu dan ilham tuan yang dikurnia Tuhan, mungkin melebihi kami yang dhaif lagi naif.

Baiklah.

Marilah kita buka gelanggang pantun dengan balasan perutusan dan berpeluh-peluh usahanya Novelis muda lagi bergaya, Cik Puan Thoyba Mursyidah - sudahlah terpandu, baik pulak tu [makna Thoybah Mursyidah].


Semuanya bermula apabila sahaya berkongsi satu perkongsian ilmu kosa kata yang baru sahaya perasan, alhamdulillah dengan izin Tuhan, akan satu perkataan. Kicauan sahaya berbunyi :

Sahaya : Nilai dan Erti - 2 aksara yang kata akarnya menyusur mencari erti di bumi, tetapi apabila ditambah imbuhan -BER, ia meninggi ke langit!

Cik Puan : 2 perkataan itu? Oh! Terima Kasih!

Sahaya : 'Nilai' itu asalnya perkataan bersifat neutral. Buktinya, penutur Melayu mengatakan - nilai itu ada dua, ada nilai baik dan ada nilai jahat. Tapi BERnilai maknanya eksklusif! Cuba Cik Puan gantikan perkataan 'Nilai' dengan 'Erti'. Kesimpulan yang sama akan Cik Puan ketemui!

Cik Puan : Subhanallah! Benarlah! Betul betul betul! [mungkin dengan mimik cilokan Upin Ipin]. Bagaimana Tuan bisa ketemu perkataan-perkataan itu? Menelaah Kamus Dewankah?

Sahaya : Adapun sahaya, Cik Puan, tiadalah sahaya menerbit fikiran melainkan Dialah memberi fikiran kepada sahaya dengan mengajar sahaya akan konsep "case" dalam ilmu linguistik. Cuba Cik Puan selak-selak di Wikipedia. Dalam Arab, namanya I'rab

Cik Puan : Saya pernah dengar perihal I'rab. Selalunya dikaitkan dengan golongan Pak Ustaz, Tok Sheikh dan Kiyai-kiyai.

Sahaya : Aduhai, paderi Arab Kristian pun tahu, Cik Puan!

Cik Puan : Oh, benarkah? Mungkin sayalah yang sedikit lambat tahu akannya.#sabojelah

Maka bermulalah pantun diilham tersusun.

Sahaya : #pantun

Banyaknya angsa,
Di pohon jati,
Arab itu bangsa,
Islam itu hati.


Cik Puan : Alamak! Terbakar rumah nampak asapnya, terbakar di hati tak dapat jawab pantun Tuan #pantunkeapani?

Sahaya :

Dari pagi membuat pulut,
Membuat pulut termengah-mengah,
Dari hati terhambur mulut,
Dari mulut di 'twitter' singgah!

Cik Puan : 'Surrender'! 'Surrender'! ^.^'

Sahaya : #pantun

Jahit kain dengan santun,
Jahit kain jarum peniti,
Saya bermain dengannya pantun,
Bukannya main polis sentri! :D

Cik Puan : Alamak, Tuan Ibnu Zaharah! Saya sudah tergamam tahap petala lapan!

Sahaya : #pantun

Pergi Linggi untuk tawajjuh,
Dengan hikmah Dia kurniakan,
Langit tinggi pun ada tujuh,
Jangan berbid'ah langitNya lapan!

Cik Puan : Errr...aaa...uuu...ya ya...

Sahaya : #pantun

Memangkah ada ianya hantu?
Ketawa berdekah tak kering sudah,
Memang ada zikirnya hu hu hu,
Tapi sunnah tetap alhamdulillah :)

Cik Puan : Alhamdulillah! Alhamdulillah! Jangan 'seksa' saya Tuan Ibnu Zaharah. Wawawa. Saya novelis biasa, bukan munsyi bahasa!

Sahaya : #pantun

Gosok belanga duduk bersimpuh,
Pembaringan di atas batu,
Jari manusia ada sepuluh,
Duanya tangan tak mungkin satu!


Cik Puan : [tiba-tiba Cik Puan menjerut tarik jasad kekicau Tuan Syukri Sapuan Al-Munsyi ke dalam gelanggang]

Tolong buat pantun, Tuan Syukri! Saya nak buat cerpen. #sabojela

Sahaya : #pantun

Jangan merayu dengan hampas,
Kepala hangat makan koci,
Amboi Melayu main 'pass-pass',
Sungguh ia amat tak aci!

Cik Puan :

Terbang tinggi burung kedidi,
Tingginya hingga ke hujung pangkal,
Bukan soal aci tak aci,
Tetapi diri tak punya modal!

#bahaha

Cik Puan Thoybah lagaknya membuka gelanggang baru, lantas terpancul dari benak kalbu sesuatu yang baru. Langkah baru beliau buka tetapi apakah langkah beliau itu? Nantikan dalam Kekicau Pantun : Cik Puan Thoyba Mengalah? (^^) Bahagian Dua, insyaAllah =)


Wallahu'alam bi sawwab
Allaha nasta'inu fi kulli 'amal
Ilaihi qasduna wa'alaihi muttakal

(^^)

Nota sisi : #sesuatu ialah 'hashtag' di Twitter yang benar-benar ditulis semasa kekicau pantun ini berlangsung. Kata-kata telah diubahsuai daripada teks asal di laman Twitter berkaitan, namun, insyaAllah, makna dan susunan lebih kurang sama. Masih dalam "tolerance range" (^^!)

Salinan di Muka Buku boleh didapati di sini 

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)