Wednesday, November 30, 2011

Uji Input, Periksa Proses



Datuk Majid Salleh, seorang pakar ekonomi sahaya kagumi telah menghadiahkan satu buah fikiran yang membuatkan sahaya berfikir di dalam program Bicara di TV3. Beliau kesal dengan generasi baru yang tidak mempunyai legasi persis CEO taraf internasional dek tidak mampu membuat keputusan dengan baik. Lantaran itu, beliau katakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita.

"Pendidikan kita terlalu kurang proses! Yang ada adalah hamburan input!" 

Contohnya, pendekatan pendidikan khususnya pendidikan di tahap rendah mahupun menengah, kita banyak dilambakkan dengan input dengan harapan para pelajar akan dapat menghasilkan output sebagaimana yang dikehendaki.

Tetapi, kita kurang sangat bicara isu proses. Sedangkan tiadalah akan terhasilnya output, melainkan selepas dituangkan dengan input itu, wajib datangnya proses. Ya, proses yang mencanai input agar output yang kita ingin hasilkan sejak dari awal kita sasarkan matlamat itu dapat dicapai dan digapai.

Contohnya - subjek sejarah.

Kendatipun sahaya sudah lama tidak menelaah subjek sejarah arus perdana di pendidikan rendah mahupun menengah, melihatkan adik-adik sahaya bergelumang dengan timbunan nota dan ulangkaji yang masih sama sifatnya, masih serupa orientasinya cukup memberikan suatu gambaran bahawa acuan bagaimana subjek sejarah itu diajar hakikatnya masih sama - tidak berubah sejak sahaya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2005.

Gaya soalan masih menekankan soal input, input dan input dengan lambakan fakta yang bertimbun. Itu tidak menjadi masalah sangat. Yang sahaya kesal, di mana ruang kita menguji proses berfikir mereka dengan ilmu sejarah tadi?

Soalnya, output subjek sejarah di mana anak-anak bumi pertiwi ini mampu menjadi generasi yang kental patriotisme dan semangat sayangkan khazanah perjuangan turun-temurun seakan-akan jauh panggang dari api. Mana tidaknya, soalan-soalan dan bentuk-bentuk ujian yang dipaksakan ke atas para penuntut ilmu berkenaan tidak langsung menekankan soalan bagaimana dengan fakta berkenaan kita mampu menghasilkan orang patriotik seperti yang diharapkan.

Orang patriotik itu bukan sekadar sebuah robot yang mampu menghujani secara spontan fakta berjela-jela panjangnya - Portugis datang menjarah Melaka tahun 1511 atau  terdapat 7 faktor pembentukan Malayan Union - sebaliknya patriotik itu adalah cetusan jiwa, nilai pengajaran yang kita mahu para penuntut ilmu itu sendiri luahkan daripada benak sanubari yang mencerminkan penghayatan mereka yang tinggi dengan hamburan input fakta yang diingat kuat! 

Kita mahu mereka berfikir dan mampu menyampaikan buah fikiran melalui penghayatan di atas kertas!

Inilah proses! 

Tidak dinafikan input perlu diuji. Namun, perlu kita sedari, untuk menilai output, kita harus melihat sejauh mana para generasi ibu pertiwi kita ini mampu menzahirkan proses berfikir mereka di atas kertas peperiksaan. Itu jauh lebih mustahak daripada hanya menghafal tiap-tiap bilangan hujah yang telah dirumuskan dengan tips itu resipi ini oleh para penceramah subjek skor-A sejarah.

Sahaya masih teringat akan kaedah yang menarik yang digunakan oleh pensyarah bidang "Finance" sahaya di University of Melbourne. Terang-terang, semasa kami bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran berkaitan, dia berkata :

"Untuk peperiksaan akhir kali ini, soalan-soalan yang saya sediakan secara puratanya semua orang sepatutnya boleh lulus. Cuma, ada beberapa bahagian kecil soalan yang akan menentukan sama ada tahap anda itu sekadar pelajar biasa-biasa atau anda memang seorang pelajar yang cemerlang"

Ternyata soalan yang dikemukan bersifat cadangan yang harus pelajar kemukan daripada permasalahan “Finance” yang diberikan! 

Ini amat menarik kerana para pelajar di samping terikat dengan norma-norma ilmu asas subjek berkenaan, ia mampu menterjemahkan proses berfikirnya di atas kertas apabila diminta membuat keputusan tentang sesuatu permasalahan yang mampu diselesaikan dengan ilmu yang dipelajari di dalam subjek berkenaan!

Ujian membuat keputusan ini adalah antara cara yang sahaya maksudkan dengan menguji para penuntut dengan "ujian proses". Ujian membuat keputusan ini boleh bersifat dua. 

Pertama - membuat keputusan dengan memberikan kata dua kepada sesuatu perkara. Ya atau tidak. Dan sebarang cadangan susulan. 

Ataupun yang kedua - memberikan pendapat bebas bagi sesuatu perkara.


Contoh - dalam Subjek Sejarah tadi - contoh soalan menguji proses bagi jenis pertama ialah "Jika anda berada di zaman perjuangan kemerdekaan, kelompok perjuangan yang manakan yang akan anda sertai. Mengapa?" 

Contoh bagi jenis soalan menguji proses jenis kedua pula ialah "Pada pendapat anda, wajarkah Malaysia menggabungkan diri dengan Sabah dan Sarawak pada waktu berkenaan? Huraikan skop dengan kesan keputusan sejarah itu pada masa kini"

Berikan sahaja pemarkahan sekitar 5%-10% bagi keseluruhan markah bagi kertas berkenaan. Bukankah bentuk soalan menguji proses ini punya serampang dua mata?

Pertama - soalan ini sendiri akan membezakan pelajar yang biasa-biasa dengan pelajar yang cemerlang yang bukan sahaja bijak menghafal timbunan fakta tetapi juga mampu menghadam dan menghayati input-input fakta yang diterjemahkan melalui jawapan yang berbentuk penghayatan dan perasaan.

Kedua - soalan ini akan menganak pinakkan diskusi sesama pelajar juga dengan para pendidik sekaligus corak pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja tertumpu dengan menelan segala input sejarah sebaliknya turut berfikir berkenaan sejarah. Mengguna sejarah bukan sekadar mengingat sejarah!

Bukan sekadar persoalan APA & BILA tetapi juga BAGAIMANA & MENGAPA - malah WAJARKAH? PERLUKAH?

Kreatif dan kritis!

Sewajarnya dalam membentuk generasi ulul-albab yang mana kata dasar daripada perkataan itu adalah “al-lubb” yang bermaksud "intelligence" sekaligus makna ulul-albab ialah ahli-ahli yang berintelektual - sepatutnya soalan sejarah harus dirombak daripada sekadar "Bilakah Portugis menjajah Melaka?" ataupun "Tok Janggut Pejuang Negeri Manakah?" kepada soalan "Pada pendapat anda, patutkah Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511?” atau “Apakah pengajaran yang anda dapat daripada kisah Tuk Janggut dalam perjuangan kemerdekaan dari perspektif perjuangan agama masa kini".


Sebenarnya kesan kepada sistem ujian yang mengkesampingkan ujian proses ini telah melahirkan bukan sahaja generasi yang tidak langsung terasa semangat cintakan negara dari alur sejarah sebaliknya turut mengenai tempias para agamawan  imam-imam muda, bilal-bilal remaja dan para pendakwah-pendakwah belia kita.

Apabila ditanyakan kepada mereka kenapa kena tutup aurat, kenapa kena solat - jawapan mereka sekadar sebab Allah swt suruh. Atau sebab benda itu wajib. Sebab benda itu haram. 

Jarang yang cuba berhujah - kerana Allah swt tidak memerintahkan sesuatu yang tidak baik dan kerana Allah swt mustahil mengharamkan sesuatu yang tidak buruk. Tidaklah Dia mengharamkan sesuatu perkara melainkan perkara itu hakikatnya buruk untuk kita dan tidaklah Dia menghalalkan sesuatu perkara melainkan perkara itu baik untuk kita. Kerana dia Pencipta, dia jauh lebih tahu daripada kita. Ini menjawab soalan Feqah dengan perspektif Aqidah! Kemas dan cantik!

Inilah beza madrasah yang menekankan ujian input semata-mata berbanding sekolah yang menguji proses ilmu itu sendiri.

Maka - jangan terkejutlah - soalan "Boleh tak jawab Salam 1 Malaysia" atau "Boleh tak solat dalam Komuter" gagal dijawab dengan baik sekalipun bertahun-tahun menadah kitab. Asyik-asyik Al-Fadhil Al-Ustaz Azhar Idrus Hafizahullah jugalah yang jadi galang gantinya untuk menjawab segala persoalan berkenaan.

Kerana itu, input harus diuji, proses perlu diperiksa, barulah output terhasil sebagaimana dikehendaki! Kerana telur, tepung dan gula mungkin sempurna - tetapi sebab adunan yang tempang, kaedah yang cacat, akhirnya kuih yang dibakar hangus tak berlagu. Kemudian salahkan Tesco atau Giant sebab jual telur, tepung dan gula rendah kualiti, sedangkan cacatnya di tangan dan jari kita sendiri.

Kelakar.

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)