“Know
your place.
I am the hat. And you are the shoe.
Hat is at the head. And shoe is
at the toe.
My place is in the front. And you are at the tail.”
(Minister Mason by Tilda Swinton)*
*tiru gaya penulisan Abg Fadz jap. Hihi.
Aku
benar-benar rindu untuk kembali ke zaman hari-hari naik keretapi jenis LRT dari
pejabat ke rumah. Pertemuan dengan banyak watak, dari yang hidup (wujud) dari yang
tidak hidup (niskala) benar-benar berlari antara mengujakan dan menginsafkan.
Bosan menjadi niskala, makna pula bergentayangan nyata.
Kewujudan
dan keniskalaan itu pula berputar antara bergerak dan pegun. Ketika LRT
berhenti, aku bergerak. Ketika aku pegun sambil bergayut pada ampaian yang
seringkali cuma jari tersangkut, LRT pula bergerak.
Sampai
satu saat, LRT berhenti lantas memuntahkan isi-isi insan yang bergerak -
mengalir keluar, kejar-mengejar ke sanggar kemodenan masing-masing. Usai remang
petang, semua kembali ke sarang bersangkar batu bata. Itupun belum tentu dapat
menjamah juadah yang hanya disuap sebulan sekali oleh garuda yang menyeringai.
LRT
yang pegun, insan yang bergerak; insan yang pegun dan LRT yang bergerak adalah
sebuah plot dan syot normal dalam penggambaran hidup tamadun urban baik di
Perancis (dengan TGV-nya), di Korea (dengan KTX-nya) mahupun di Amerika (dengan
MTA Subway-nya).
Namun,
Jacques Lob, pengarang asal cerita komik Le Transperceneige melihat lebih jauh daripada itu.
Baginya,
kewujudan dan keniskalaan dalam bentuk pegun dan bergerak di dalam lokomotif
urban ini telah merembeskan seribu satu renungan ilham yang mengalir dalam
salur pembuluh darah kritisnya yang kemudian tertumpah ke tangan pengarahan anak-anak
moden Perancis, Korea dan Amerika Syarikat hingga lahir filem Snowpiercer
(2014) bagi menyentak bentak hakikat kemanusiaan, mengherdik ejek naik turun
kemajuan insan, menyentap senyap atas bawah strata sosial manusia yang alpa - bergerak
dari niskala ke wujud ke niskala dan kemudian ke wujud semula.
CERITANYA
Dunia
dalam Snowpiercer terbahagi kepada dua.
Dalam lokomotif milik Mr Wilford yang hidup dengan strata rancu.
Luar lokomotif yang beku mati dilitupi salju.
“All
dead”, ujar Gilliam dimainkan John Hurt.
Lokomotif Mr Wilford itu sebagaimana lokomotif biasa, memanjang
seperti ular menjalar. Bermula
dengan gerabak paling belakang (the tail) yang dihuni golongan murba lagi
marhaen yang dicanangkan begitu bertuah kerna diselamatkan daripada petaka di
luar sana tanpa perlu membayar sebarang harga.
Di gerabak yang terkehadapan yang
tidak diketahui jumlahnya pula dihuni mereka yang membayar harga yang mahal,
penumpang kelas pertama.
Golongan
paling belakang itu dilayan semacam pelarian perang – ada askar yang memeriksa
dengan “senapang tidak berguna”, ada menteri (Minister Mason) yang
mengindoktrinisasi bahawa tanpa “Tuhan” Wilson, kita semua sudah jadi mayat
beku sejak 17 tahun yang lalu.
Namun,
kata-kata tonik ini tidak berjaya meracuni majoriti golongan murba dikepalai Curtis
Everett dimainkan Chris Evans, dinasihati Gilliam, ditopangi Edgar (Jamie Bell,
oh aku sukanya!) untuk meneruskan revolusi bagi mendapatkan gerabak
terkehadapan bersama Tanya, Egg-head, Grey dan angkatan soldadu kaum
gelandangan itu.
Mereka protes kerana kisah silam yang kejam (dinaratif dengan
indah tanpa imejan di selekoh ¾ cerita, sekuat monolog watak Ryan Stone dalam
Gravity (2013)), di samping blok protein yang dijamah saban hari, keadaan yang
sempit sekohong longkang yang mereka hadap, hirup dan hidup.
Mereka nekad mahu berjuang untuk bergerak ke gerabak hadapan berdepan dengan Mr Wilford. Dengan mengawal enjin suci dan gerabak air, mereka yakin kuasa tawar-menawar bisa menawarkan kehidupan yang lebih baik di dalam lokomotif itu.
Mereka nekad mahu berjuang untuk bergerak ke gerabak hadapan berdepan dengan Mr Wilford. Dengan mengawal enjin suci dan gerabak air, mereka yakin kuasa tawar-menawar bisa menawarkan kehidupan yang lebih baik di dalam lokomotif itu.
Rancangan
yang indah. Namun langit tidak selalu cerah. Kejutan demi kejutan berlaku dalam penggembaraan mereka ini hingga membuatkan kita teringat pada teori Alfred Hitchcock.
Alfred
Hitchcock, seorang direktor termahsyur dengan karya suspen dan
thriller-nya pernah mengemukakan teori perbezaan “suspen” dan “surprise”.
Dalam
filem Non-Stop (2014), teknik suspen digunakan begitu konsisten di mana kita tahu
bahawa ada orang yang akan mati dalam masa 20 minit, tetapi tidak tahu siapa
dan bagaimana. Kita juga tahu bom itu akan meletup dalam 30 minit, tetapi tidak
tahu bagaimana nasib para penumpang kapal terbang berkenaan. Kita turut tahu bahawa suspek penjenayah ada dalam kalangan 150 orang penumpang itu tetapi kita tidak pasti siapakah gerangannya.
Sebaliknya surprise ialah teknik di mana kita tidak diberikan petanda langsung, tiba-tiba ia berlaku.
Terjadi tanpa diduga.
Berlaku tanpa disangka.
Sebaliknya surprise ialah teknik di mana kita tidak diberikan petanda langsung, tiba-tiba ia berlaku.
Terjadi tanpa diduga.
Berlaku tanpa disangka.
Inilah teknik
yang dimanfaatkan oleh Snowpiercer (2014) dalam melatari gerabak demi gerabak
yang dilalui oleh Curtis Everett dan rakan-rakannya hingga sampai ke gerabak terkehadapan
yang menelanjangkan hakikat segala-galanya.
Apakah
yang diketemukan oleh Curtis?
Indah.
Tempelakan yang indah. Kemarahan yang dicairkan oleh penjelasan yang membuatkan
Curtis sendiri “flabbergasted”.
Inilah yang membuatkan para penonton seronok dan
segar membaca subteksnya sehingga dapat mencapai maqam zauq “mind-blowing”, di akhir penceritaan.
INTREPRETASINYA
Filem
ini filem lambang. Setiap watak ialah lambang. Setiap prop ialah petanda.
Setiap ayat dalam skrip ketika pegun mahupun bergerak, mahupun bahasa tubuh watak-watak berbicara
dengan lancar dan segar. Tulisan ini sudah semestinya tidak mampu menghuraikan
segala apa yang dinikmati, cukup beberapa tafsiran yang bisa dikongsi di sini.
Bagi
aku, cerita ini jelas, sebagaimana dipersetujui Dudek, teman sinemaku – filem
ini mengangkat kritikan terhadap kewujudan dan keniskalaan. Sebagaimana wujud dan
niskala antara pegun dan bergerak dalam lokomotif urban yang dibicarakan di
awal tulisan tadi.
Kewujudan ini menatijahkan bagaimana manusia bergerak
bersendiri kemudian berkumpul, berkomuniti membentuk perjuangan dalam kerangka
sistem antara tahu dan jahil.
Jujur, bagi mereka yang sukar memahami kancah
sosialisme dan kapitalisme, filem ini dengan genius meringkaskan apa yang cuba
disampaikan oleh tokoh-tokoh falsafah dalam kedua-dua aliran pemikiran ini
berkenaan weltanschauung yang melatari kewujudan kehidupan itu sendiri.
Bagiku, salju beku di luar lokomotif itu seakan memberitahu – baiklah, mari kita bicara
apa yang terjadi kini (alam dunia); bekukan (hentikan) sebentar persoalan alam
sebelum kita wujud (alam roh) dan alam selepas kewujudan (alam akhirat); kita
anggap perbincangan itu nihil lagi niskala. Mari nikmati penggembaraan dalam lokomotif ini (realiti alam dunia).
Namun,
ini tidak dipersetujui watak Namgoong Minsu lakonan Kang-ho Song yang diangkat
Gilliam sebagai “our fate is on this guy”. Aura messiah, prophet, rasul – bukan?
Dia
beriman pada tanda-tanda alam berdasarkan pemerhatian (rujuk timbunan salji
kapal terbangnya) dan pengetahuan (rujuk ajaran kenal beza salji oleh wanita pencuci kelas hadapan yang
menjadi sebahagian daripada the Frozen Seven).
Dia mahu kehadapan bukan untuk
menghapuskan Mr Wilford bagi mengambil alih lokomotif, kerana dia tahu, destinasi itu adalah satu penipuan.
Dia mahu keluar dari
lokomotif itu menuju ke kewujudan yang sebenar – di luar lokomotif; yang
akhirnya berjaya ditemui anaknya, Timmy dan beruang putih yang ditafsirkan
Dudek sebagai “masih ada yang mampu hidup di luar, sebenarnya”.
Namun sayang,
saranan Namgoong diketepikan Curtis sehinggalah Curtis sedar bahawa Namgoong
benar di saat Wilford membuka hijab kebenaran di penghujung cerita - ketika rasa berseorangan dan bersendirian itu menghenyak hubungan vertikal Curtis dengan hakikat kewujudan spiritual yang sebenar.
Metafora
Namgoong yang cuba menyatakan “kita sebenarnya diciptakan untuk wujud di luar
lokomotif bukan di dalam lokomotif ini, Curtis”, mengingatkanku kepada kalam hebat al-‘Allamah
Habib Umar Ben Hafidz hafizahullahuta’ala yang menyebutkan :
“Kalau
kita diciptakan untuk dunia, mengapa kita perlu mati?”
STRATA MASYARAKAT DUNIA
Gerabak
demi gerabak kalau kita perhati seumpama penggembaraan dari satu strata masyarakat
dunia ke satu strata yang lain.
Daripada gerabak terkebelakang yang melambangkan tingkat paling bawah di negara dunia ketiga (slump, setinggan –
rujuk Slumdog Millionaire (2008), Alangkah Lucunya Negeri Ini (2010)); melata
ke gerabak sistem pemakanan dan nutrisi dalam masyarakat berkenaan (ini kritik Genetic
Modified Food dan segala teori konspirasi penjajahan negara maju yang menjadikan
mereka tikus putih dalam makmal), masuk pula ke gerabak wilayah perang, kemudian gerabak stesyen air (kritik krisis
peperangan yang berpunca daripada perebutan sumber; air, minyak, tanah etc) kemudian menerjah ke ruang gerabak
pendidikan yang merupakan indoktrinisasi yang dirancang secara terancang –
tonik (meminjam kata-kata Minister Mason).
Kemudian, mereka meneruskan kembara, menerobos gerabak gedung makmal penyelidikan (ini sudah masuk ke daerah negara
membangun pada teori pemindahan teknologi dan kepakaran), gerabak konservasi khazanah lautan dan secara pantas ke wilayah gerabak kelab hedonisme
(ini sudah masuk ke daerah negara maju); sambil diselangi gerabak sistem
teknologi yang beroperasi sebelum sampai ke kemuncak kepala lokomotif pemerintahan –
gerabak "Tuan Presiden di Rumah Putih", Mr Wilford.
Filem
ini secara ringkas mengkritik empat bahagian asas kehidupan bermasyarakat; PEST –
Politik, Ekonomi, Sosial dan Teknologi.
Namun yang paling menarik ialah cara agama, kepercayaan dan spiritual dinatijahkan. Di saat filem ini mendedahkan realiti struktur strata masyarakat dunia, mengapa seakan elemen spiritual ditinggalkan?
Pasca tontonan, kami berdua tertanya-tanya, di manakah gerabak gereja, biara, kuil, synagogue, masjid dan seumpamanya?
Namun yang paling menarik ialah cara agama, kepercayaan dan spiritual dinatijahkan. Di saat filem ini mendedahkan realiti struktur strata masyarakat dunia, mengapa seakan elemen spiritual ditinggalkan?
Pasca tontonan, kami berdua tertanya-tanya, di manakah gerabak gereja, biara, kuil, synagogue, masjid dan seumpamanya?
Tercipta
dari tanya itu, jawapan terbit muncul.
Ia wujud dalam gerak geri soldadu yang
dipimpin Minister Mason. Ia wujud pada semangat Gilliam selaku guru kepada kaum gelandangan itu.
Sutradara filem ini seakan memberitahu kita bahawa kepercayaan dan
keimanan itu adalah dalam bentuk perbuatan yang digerakkan oleh kenekadan hati, terzahir
melalui kata-kata yang menjadi senjata melemahkan musuh, menguatkan diri –
tidak bergantung kepada jenama agama semata-mata.
Antara lain yang sangat menarik juga, kritik kepada nasib seniman. Lihatlah betapa peri pentingnya sasterawan (dalam persuratan mahupun seni catan) meskipun kewujudannya dalam strata masyarakat seakan sebagai eceran, namun kepentingannya - di saat langit hati gugur selain menjadi perakam sejarah yang bergelodak, bersimpang-siur hancur - amat signifikan dalam bentuk yang begitu sinikal sekali. Rujuk watak Painter lakonan Clark Middleton yang wow dalam filem ini.
Ini
sebahagian daripada apa yang sempat dikongsi perihal karya hebat ini, sehebat
subteks Life of Pi (2012) yang menaratifkan perjalanan sinema dunia.
Malah, tidak lewah jika dikatakan, temanya lebih hebat daripada itu.
Snowpiercer menghuraikan yang wujud dari niskala, yang niskala
menuju yang wujud; perjalanan kehidupan insan yang kompleks dan penuh - surprise!
9.5/10
– semestinya. :)
TGV KLCC - 5.10 pm, Ahad 2 Mac 2014.
Mendalam review ni. Terima kasih atas ulasan ni bro. ;)
ReplyDeleteTeringat pulak satu lagi movie yang bagi saya sangat menarik, artistik & poetic: Castaway On The Moon (2009)
Wah! Terima kasih atas cadangan saudara. Kalau ada rezeki, saya mampir menonton.
DeleteItulah - filem ini memang mind-blowing. Bergerak penuh sedar atas teks dan dalam subteks.
Puas!
Bagi saya lah, korean direktor sangat kreatif dalam usaha menyesuaikan & mengimbangkan antara sesuatu message & 'subtlety' dalam movie.
DeleteCubalah tengok Castaway On The Moon. Walaupun movie itu sangat berbeza genrenya dari Snowpiercer, bagi saya ia juga sebuah movie yg artistik & penuh dengan message. Terima kasih atas ulasan movie tu ;)
Alhamdulillah. LIKED =D
ReplyDeleteRasa terharu and be pleasured when Ibnu Hanaffi hafizahullahuta'ala visited and commendably commented. Thanks jzkyr :)
DeleteFilem yang mantap, review juga sangat membantu dalam memberi kefahaman. Thumb up.
ReplyDeleteMoga bermanfaat buat Abe :) Doakan aku thabat dan ikhlas. Terima kasih.
Delete