Monday, March 3, 2014

Ulasan Filem: Tika ‘Non-Stop’ Membunuh Paranoid Kita

*Sebagaimana yang tersiar di Malaysian Insider, Sabtu pagi. [KLIK]

Tidak ada yang dapat saya simpulkan sepanjang mata ini terlekat hampir 106 minit di layar perak filem Non-Stop, hasil tunggangan aktor filem suspens terkenal Taken (2008), Liam Nesson bagi watak Bill Marks - melainkan pembunuhan paranoid.
Paranoid. Curiga. Dua perkataan yang berbeza filologi namun sama maksud ini ternyata bukan sahaja menjajah lantas menjarah lurah emosi manusia namun berjaya ditamsilkan oleh sutradara Antoine Fuqua di mana sudah lama sebenarnya paranoid ataupun kecurigaan ini dieksploitasikan oleh agen-agen pengkhianat dalam apa jua bentuk untuk menjayakan kebangsatan jenayah mereka, di mana jua dalam tatanan masyarakat.
Saat lewati trailer filem ini di Youtube, anda mungkin menganggap ia sekadar cerita rampasan kapal terbang semata-mata atau mungkin satu lagi rancangan "Air Crash Investigation", namun bagi saya, ia menjangkaui lebih daripada sekadar pentas kapal terbang itu. Antoine Fuqua sedang mendedahkan apa yang sekian lama membarah lagi menyesakkan dalam masyarakat selama berabad iaitu tidak lain tidak bukan, paranoid.
Hal ini mengingatkan saya kepada cerpen Delusisma 2.0 (Denggi) karya Fahd Razy di Sastera Utusan 16 Februari 2014 yang turut sama menatijahkan perihal yang sama bagaimana buruk dan bobroknya kesan paranoid seorang lelaki yang obses pada teori konspirasi "vaksin itu racun", diagendakan tangan-tangan ghaib hinggakan dia aktif menggerakkan kempen anti-vaksin bagi bayi yang tidak berdosa hinggakan seruan itu membaham dirinya sendiri.Dalam filem ini, satu lagi jenayah dilahirkan di tataran pentas rampasan kapal terbang lantaran  paranoidnya penjenayah tersebut dengan teori konspirasi di mana manusia sebenarnya tidak selamat malah dikawal oleh tangan-tangan ghaib atas nama "sekuriti”.
Sedih. Malangnya, inilah yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Masyarakat Malaysia yang kita sayangi.
Menariknya, hal ini disimbolkan lagi melalui tajuk filem ini "Non-Stop" – tidak berhenti. Seakan menyebutkan hal paranoid ini ialah sebuah kalimah tanpa noktah.
PARANOID INTER AGAMA
Sebelum saya menonton filem ini malam tadi, seorang rakan saya menunjukkan gambar seorang YB daripada PAS sedang mengadakan acara ramah mesra dengan warga India yang rata-rata bukan beragama Islam.
Saya tertanya-tanya, tidakkah warga bukan Islam ini takut dan kecut perut andai YB PAS berkenaan berjaya mempengaruhi pegangan agama mereka? Bukankah semua sudah maklum, PAS ialah sebuah parti Islam yang membawa agenda bernegara mengikut acuan Islam yang menjadikan penyebaran dakwah selain tarbiyyah sebagai darah daging perjuangannya?
Katakan, YB itu seorang yang terkenal dengan ketaatannya kepada agama Kristian, beramah mesra dengan warga Melayu beragama Islam – tidakkah rasa kecurigaan atas dakwaan penyebaran agenda kristianisasi membenihkan paranoid kalau-kalau YB Kristian berkenaan mahu menyebarkan dakyah Kristiannya? Tidakkah provokasi melempar daging khinzir atau itik yang hampir kepatahan leher memalitkan seribu satu kecurigaan terhadap niat halus YB berkenaan?
Jika tidak, apakah yang membolehkan mereka yang berbangsa Melayu beragama Islam boleh mendengar ceramah YB bukan Islam berkenaan?
Dalam kes acara ramah mesra YB PAS tadi pula, apakah yang membunuh paranoid warga bukan Islam berkenaan?
Hal ini dijawab dalam filem suspen ini.
YANG MEMBUNUH CURIGA
Non-Stop menempelak khalayak penumpang yang paranoid dengan imej teroris bagi watak Dr Fahim Nasir (Omar Metwally), seorang doktor pakar Muslim berketayap putih di saat mulutnya terkumat-kamit berzikir seakan bersedia untuk mengebomkan dirinya. 
"Anda sudah periksa beg doktor itu?", seorang penumpang kulit putih merembeskan paranoid islamofobianya seakan tiada bersurutan.
Hinggalah Dr Fahim, yang memeriksa kedua mayat yang terkorban itu, jujur menceritakan apa yang berlaku – barulah terlerai imejan hitam Dr Fahim, digantikan dengan imejan putih bersih. Bertumbuhlah keyakinan dalam hati penumpang-penumpang lain.
Hal sama terjadi bagi watak Julianne Moore, Ratu "watak wanita bermasalah" sejak 90-an, aksi terbarunya dalam Carrie (2013), yang pada awalnya memercikkan emosi separa psikotik beraura antagonis seakan dialah suspek utama yang memberikan mesej tak terkesankan.
Hinggalah saat beliau benar-benar membuka mulut, memberitahu falsafah kematiannya untuk menghuraikan sebab mengapa dirinya duduk berhampiran tingkap di dalam kapal terbang, berdekatan agen Marks itu, barulah beliau terbebas dari sangkar paranoid agen Marks itu sendiri.
Nah – di sinilah formula membunuh paranoid. Resipi yang membunuh curiga.
Melalui sapaan.
Sapaan yang jujur. Dialog.
Dialog bertindak sebagai akar yang membenihkan batang ta'aaruf – kenal mengenal. Yang kemudiannya menyuburkan dahan-dahan tafaahum, faham memahami. Dan akhirnya membungakan takaaful, tolong menolong.
Formula inilah yang seringkali dibataskan para Islamis kepada kelompok kecil ahli usrahnya sahaja sehinggakan terlupa bahawa ummah itu bukan sekadar yang telah meyambut seruan (ummah al-ijabah) namun juga ummah yang belum menyambut seruan (ummah ad-dakwah) sebagaimana menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
Al-Qaradhawi kemudiannya menyebutkan kedua-dua ummah ini pula membentuk “Al-Muwatinun”, anak watan, warganegara. Sesuai dengan kepelbagaian agama dan bangsa yang ada di tanah survanabhumi ini.
Sebenarnya, kesimpulan lebih padat, lebih ringkas dapat kita temukan dalam Puisi Pemuda dan Gadis Tionghua, karya Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang, ketika beliau membaitkan:
"Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa?".
Mengapa menyapa? Kerana sapaan melahirkan komunikasi. Komunikasi memunculkan perbincangan. Selain perbincangan kosong, perbincangan selalunya menuntut kepada penggunaan ilmu yang menerbitkan hujah. Hujah inilah yang menenggelamkan kejahilan. Saat kejahilan tenggelam, meskipun hari sudah malam – yang hadir di langit ialah bulan purnama yang mencerahkan perjalanan musafir kehidupan.
Lantaran itu, saya bersetuju dengan kesimpulan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penceramah dan blogger terkenal – bahawa ubat untuk masyarakat ialah ilmu. Jika tidak, masyarakat kita ialah masyarakat isu. Dulu Syiah, sekarang anti hadis. Syiah belum selesai, anti hadis pula muncul di saat Syiah turut terusan berkembang namun keilmuan masyarakat masih di tahap yang membimbangkan.
AGAHAN YANG MEMBUNUH HUJAH
Namun, sayang – di saat sebaik-baik makhluk yang menjadi petunjuk kepada manusia, Nabi Muhammad mengajak Kristian Najran masuk ke Masjid Nabawi untuk berbincang berkenaan isu-isu ketuhanan dan keagamaan, kita yang mengaku umat baginda, menolak untuk menyahut seruan di pentas perbincangan bagi meleraikan kekusutan yang timbul.
Hebat sungguh baginda tidak menolak perbincangan walaupun dengan kumpulan yang terang-terang salah di sisi baginda.
Di sini kita merindukan sosok tubuh semisal Allahyarham Ahmed Deedat mahupun Dr Zakir Naik malah Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri. Bila-bila masa, mereka senntiasa melapangkan diri untuk berbincang, berdiskusi juga berbahas dengan sesiapa pun.
Malah, kita juga turut sama hormat mereka yang kontra dengan tokoh-tokoh ini meskipun berbeza kepercayaan, namun kesudian duduk sepentas adalah suatu yang cukup mahal harganya yang hanya mampu dibeli oleh kerendahan hati dan keinginan yang bersungguh untuk memperjuangan apa yang dipercayai baik untuk manusia yang mendengarnya.
Mereka inilah penjunjung firman:-
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” [Quran - 16:125].
Arakian, saya tidak menemukan alasan lain selain agahan dan keegoan yang tersembunyi bagi mereka yang menolak tangan mereka yang mengajak untuk "mari kita berbincang".
Apabila kita menolak untuk berbincang, sebenarnya kita menutup ruang bagi persoalan. Bilamana ruang itu ditutup, kita membunuh jawapan. Yang hidup ialah persoalan sedang jawapan bungkam dalam keranda penolakan.
Persoalan yang hidup pula memberanakkan lagi soalan-soalan lain. Persoalan demi persoalan itu pula membusutkan kecurigaan yang baru, satu demi satu.
Paranoid yang lama mewujudkan paranoid yang baru. Yang seteru makin seteru. Seakan mustahil menjadi sekutu apatah lagi berpadu untuk bersatu.
Yang buntu pula menjadi dungu. Masalahnya, kedungunan dan kebijaksanaan tidak pernah setuju untuk hidup bersama untuk memajukan manusia – baik dalaman mahupun luaran.
Dari satu segi, tidak salah untuk berasa curiga asalkan ia tidak mematikan langkah proaktif sebagaimana curiganya Agen Marks pada 150 penumpang dalam kapal terbang itu.
Namun, curiga hanya berhenti pada takat berhati-hati yakni bersedia atas segala kemungkinan yang buruk tetapi tidak sampai mezahirkan langkah yang buruk dengan akhlak yang teruk.


BERSAMA BUNUH CURIGA
Di akhir Non-Stop, ternyata di saat paranoid berjaya digugurkan, terhasillah sesuatu yang indah. Malam jadi siang. Hitam jadi putih. Becca, si gadis bocah yang risau akan mengalami trauma dalam penerbangan pertamanya itu akhirnya menjadi gadis yang percaya bahawa perjalanan atas kapal terbang ialah penggembaraan yang menarik.
Ya, menarik. Selagi mana, kita semua boleh diam dari kekecohan sebentar atas "kapal terbang dunia" dengan sama-sama membunuh curiga.
Terutama kecurigaan yang tiada hentinya. Non-Stop.
Oh ya, syarat untuk semua ini berhasil cuma satu.
Saya dan anda sama-sama mahu berlaku jujur dalam mencari damai. – 1 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)