Wednesday, December 28, 2011

Pakej Asas Pantun | Syarah Pantun Delima Batu

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal"
[Ali Imran Ayat 190]


Sudah lama benar ingin kutulis berkenaan dengan asas pantun. Asalnya hendak menulis satu per satu biar molek tersusun. Namun, biiznillah [dengan izin Allah swt] malam semalam terlanjur berkongsi balas dengan bonda guru Rozita Lazim yang sedang diam di Pulau Mutiara yang sedang bergelora itu, terus sahaja membicarakan perihal yang sama. Tambahan pula, bukan setakat itu yang kami kongsikan, malah sempat juga membedah dua buah pantun, subhanallah. InsyaAllah saya akan lampirkan yang pertama dahulu yang bahagian Asas Pantun. Adapun bedah dua pantun itu kita lampirkan kemudian insyaAllah. Moga sama-sama kita beroleh manfaat dan berkat! Dan setiap saat, memperoleh pahala berkat.


Rozita Lazim 14 February at 20:22
Salam anakanda,
Apa pandangan Za'im tentang pantun ini (ada pertelagahan pendapat antara dua pensyarah cikgu)

Pucuk pauh delima batu,
Air sembilan di tapak tangan,
Walau jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

atau

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Walau jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Muhammad Za'im Mohamad Yusoff 14 February at 22:14
Salam bonda guru,

Moga Allah swt merahmati bonda dan kita berganda-ganda kali. Adapun anakanda bukanlah tempat rujuk terbaik untuk bonda guru minta ajar tunjuk. Waima, anakanda cuba untuk berkongsi apa yang anakanda tahu buat perkongsian biasa-biasa cuba. Moga bonda sendiri boleh bimbing anakanda andai ada yang bertingkah.

Adapun bonda guru, dalam isu bonda guru bangkitkan, anakanda guna dua pendekatan.

Satu, pendekatan rujukan naskah warisan zaman lama.

Dua, pendekatan tinjau dalam seninya pantun.

Pendekatan satu yakni merujuk naskah lama. Anakanda telah menelaah DBP, pada cantuman kosa kata "air sembilan", anakanda tidak berjumpa pantun seumpama. Tetapi pada cantuman kosa kata "anak sembilang", ada beberapa.

Ini merupakan pantun yang anakanda berjaya jumpa, alhamdulillah :-

Buah pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Saya jauh beribu batu,
Saya di sini dilupa jangan.

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Tuan jauh negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Putik pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Sungguh jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Maka, kesimpulannya, pantun yang lebih tepat antara kedua menggunakan teknik pendekatan pertama ini ialah :-

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Walau jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.



Pendekatan dua yakni merujuk seninya pantun. Mari kita ingat apa yang Abdullah Munsyi bentangkan dalam Pelayaran Abdullah yang menukilkan sebagai,

"Adapun jalan segala pantun itu empat-empat mistar adanya; bermula mistar yang di atas dua itu, tiada ertinya, melainkan iaitu menjadi pasangannya sahaja; maka yang dua mistar di bawah, itulah yang ada bererti, adanya."

Bait ini jelas memperlihatkan seni pantun, tunggaknya tiga - pembayang [secara zahir tidak ada kena mengena dengan maksud], maksud dan rima berjeda.

Adapun mistar itu bonda, asalnya dari negara Arab jualah pada aksara مسطر yang bermaksud baris. Jadi, jangalah rasa gusar akan ketidakketahuan maknanya kerana tiadalah mistar itu melainkan baris jualah maknanya.

Anakanda berhujah dari sudut jeda.

Aduhai runtun hatinya sayu,
Berdega-dega menadah telinga,
Aduhai pantun seperti lagu,
Perlulah jeda mencantikkan irama.

Jeda ini penting bonda kerana jeda menjadikan pantun itu pantun yang maknanya telah disusun. Jeda meletakkan di mana lekuk irama pantun harus diwaqafkan [berhenti lama seperti di hujung baris], yang mana harus disattahkan [berhenti dengan tidak mematikan nafas seperti di tengah baris].


Contoh pantun terkenal, mainan anak-anak kecil :-

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Jedanya bukan sahaja di hujung, juga di tengah.

CempedAK pasangannya BudAK
PagAR pasangannya BelajAR
GalAH pasangannya SalAH
JolokkAN pasangannya jangAN

Ada suatu pantun lagi :

Kain culas di atas peti,
Ditekat jangan diberi jangan;
Sudah ikhlas dalam hati,
Diumpat jangan dipuji jangan!

Jedanya menarik kerana wujud juga di pangkal lantas menghasilkan irama taukid [penegasan] pada bait-bait kata sekaligus menzahirkan ruang deklamasi pantun yang wajar diberikan perhatian.

CulAS pasangannya IkhlAS
PeTI pasangannya HaTI
DitekAT pasangannya DiumpAT
JangAN pasangannya JangAN
DibeRI pasangannya DipuJI

Itu kekuatan pantun marhalah [tingkat] tertinggi. Selain, kesan maksud yang kesampaian penuh pengertian. Tegas pada jangan, bukan sekali tetapi sampai dua kali diulangi dalam mistar kedua dan keempat.

Maka, berdasarkan nilai-nilai seni pantun ini, jelas pantun kedua mengungguli.

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Walau jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Jedanya :-
PaUH pasangannya JaUH
BaTU pasangannya SaTU
SembiLANG pasangannya HiLANG
TangAN pasangannya JangAN

Adapun kita lihat pantun pertama ada tingkah jeda :

Pucuk pauh delima batu,
Air sembilan di tapak tangan,
Walau jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Sembilan? Jedanya? Oh, sunggah cacat jeda menyekat irama warisan pantun hilang serinya.

Adapun, apa maksud air sembilan? Adakah ada peribahasa air sembilan? Lihat logika akal tidak mungkin kerana sesuatu di atas tangan adalah sesuatu yang zahir bukan sesuatu yang batin seperti peribahasa. Peribahasa mesti batin tidak boleh zahir. Kerana andaikata peribahasa itu zahir maka tidaklah menjadinya peribahasa melainkan kata penyata jua.


Maka, anakanda cenderung kepada pantun kedua - bukan pertama berdasarkan kedua-dua pendekatan.

Dilipat dan dilentur molek, besi nan gagah
Tidak terlawan, keluli disagat
Dilihat dan dibuat baik, milikNya Allah
PadaNya pujian, terserah bulat

Alhamdulillah~

Wa Allahu 'Alam
Dan Allah swt lebih mengetahui

Subhanallah,
Al-Faqir Ibnu Yusoff

p/s : BENARKAH PANTUN KEDUA YANG TEPAT BERBANDING PANTUN PERTAMA? HA~ NANTIKAN SIRI SETERUSNYA - BEDAH PANTUN SATU (^^) InsyaAllah~ [KLIK SINI UNTUK SAMBUNGAN]

Sebarkan Manfaatnya! :)