Thursday, July 13, 2017

Rasa-Rasa Dalam Segala Perasaan Datuk Siti Nurhaliza : Tribut Pada Cinta Baginda Rasul Termulia

[Chorus]
Dan kini
aku di sini
Merasakan segala
keindahan dirimu
Menutup mata
atas semua kelemahanmu
Ku melihatmu sempurna
tak terungkap kata


Seringkali pendengar muzik ditangkap oleh bahagian korus sesebuah lagu (tidak bagi kes Tergantung Sepi (Haqiem Rusli, 2017), saya terjerat ketika mendengar sebelum korus (pre-chorusnya)), begitulah perihal saat Segala Perasaan nyanyian Datuk Siti Nurhaliza yang rata-rata bersetuju melodi korusnya tersangatlah 90-an.

Menjadi sohor kini, melodi alunan 90-an sebegini segera melonjakkan sesebuah lagu ke carta popular semisal Menahan Rindu dari Wany Hasrita misalnya. Namun, setelah berulangkali memutarkan track Segala Perasaan, saya baru perasan betapa mendalamnya bait-bait lirik di dalamnya jika ditenungrenung.

[Pre-chorus Verses]
Ketika cinta
Telah bersarang
Taklukkan dua manusia
Untuk hanyut dalam rasa

Dan rindu datang
Setiap saat
Seolah tak mengizinkan
Sedetik untuk berpisah

Dalam bait-bait pre-chorus ini, pencerita sangat ringkas namun padat menceritakan intensiti impak jatuh cinta.

Bermula dengan cinta yang dibina bagai sebuah sarang.

Sarang tempat kediaman mergastua; tempat berehat, tempat berlindung, tempat makan dan minum, tempat bersenggama seraya membiak hingga generasi alam setia mencambahkan sarang-sarang baru lagi di dinding-dinding cakerawala yang lain.


Pada sarang kita ketemukan kecantikan yang menyimpan seribu kebijaksanaan sang burung penenun, burung tempua, semut, memerang, lebah madu, anai-anai malah si katak pohon. Labah-labah sendiri diceritakan dalam firman memperihal tentang keunikan sarangnya.

Maka, membina cinta sehingga ke tahap sarang, bukan hal sewenang-wenang; malah ia sebuah jihad pengorbanan tegar terentang.

Dari cinta yang dipupuk sedemikian lebar dan dalam, lama dan padat; tidak hairanlah ia menghanyutkan hingga tiap-tiap sisi kehidupan, tidak terlihat lain melainkan cinta yang dimiliki. Saat terasa kejauhan, rindu muncul tidak lain sebagai isyarat betapa cinta yang kuat melekat seakan-akan mustahil tertanggal meski satu tanggal.

[Bridge]
Tak sanggup aku
Melawan rasa
Segala perasaan
Memangku jatuh cinta

Dan ini
hanyalah untuk dirimu
Persembahan untukmu
Dirimu kekasihku

Seterusnya, kata-kata yang dipilih seperti “persembahan untukmu”, kerelaan penuh melimpahkan cinta dalam “tak sanggup aku melawan rasa segala perasaan”, “pengabdian seumur hidupku” dalam bahagian bridge dan chorus pre-outro adalah merupakan untaian ungkapan cinta nan begitu tinggi.

Disebabkan hal inilah, saya tidak menemukan sosok manusia lain yang layak menerima kata-kata cinta tinggi sebegini melainkan sosok manusia tersempurna, al-Habib ar-Rasul solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam sahaja.

Ya, saya mengerti apabila saya menujahkan kenyataan ini semestinya segelintir daripada kita tertanya-tanya bagaimanakah relevannya kenyataan saya saat meniti bait ini :

"Menutup mata atas semua kelemahanmu"

Masakan al-Habib Rasulullah punya kelemahan, punya kekurangan. Bukankah Baginda bukan sekadar sebaik-baik manusia malah juga sebaik-baik makhluk? Kesempurnaan sahaja yang menempati sifat Baginda. Kekurangan tidak layak pada Baginda.

Darihal itu, di sini kita memerlukan bait seterusnya untuk menjelaskan perihal ini yakni pada bait :

"Ku melihatmu sempurna tak terungkap kata"

Faham ini mengingatkan saya pada sebuah kisah yang diceritakan oleh Syeikh Hamzah Yusuf hafizahullahutaala yang menyebakkan dirinya saat bercerita tentangnya (kebiasaan Syeikh ketika melantunkan kisah-kisah tentang Mahabbah). Kisah yang diceritakan oleh seorang wanita kepada beliau ketika beliau menziarahi Madinah al-Munawwarah.


Diceritakan wanita itu diuji dengan kekusutan memikirkan tentang keraguan yang ditimbulkan oleh pihak tertentu berkaitan keperibadian seperti umur isteri Baginda, Saidatuna Aisyah radhiyaAllahu'anha ketika mengahwini baginda al-Habib Rasulullah. Wanita ini begitu kusut dan serabut memikirkannya namun kecintaannya kepada Baginda dan keluarga Baginda membuatkan beliau menepis keraguan yang muncul di hatinya. Hinggalah wanita ini menziarahi Madinah al-Munawwarah dan “mengadu” kepada Baginda.

Walhasil, wanita ini bermimpikan Baginda al-Habib Rasulullah juga ayahanda Saidatina Aisyah, Saiduna Abu Bakar as-Siddiq radhiyaAllahu'anhu yang menenangkan beliau dan menyakinkan kesempurnaan Baginda dan kebenaran Saidatina Aisyah.

[Ikuti kisahnya di sini : https://youtu.be/HJd7bwEpwMk]

Di sini, kita belajar satu perkara; darihal keyakinan yang bersendikan cinta yang mendalam pada kebenaran, menyebabkan seseorang itu sekalipun belum menemukan jawapan yang sahih lagi, kerana keyakinan pada prinsip kesempurnaan yang terkait pada Sang Kekasih membuatkan dirinya terlebih dahulu "menutup mata" atas semua keraguan yang ditanggap sebagai "kelemahanmu" sebagaimana bait yang bercerita dalam Segala Perasaan ini.

Kerana keyakinan inilah mata hati wanita dalam kisah ini, juga mata hati semua orang-orang beriman akan tetap setia melihat sang Kekasih Baginda al-Habib sebagai "sempurna tak terungkap kata".

Ketidakterungkapan kata inilah yang dibaitkan pula oleh sekalian para pujangga sufi semisal :

kata-kata menjelma jadi air mata
ketika kelu lidah memperkatakannya
hanya senyuman di bibir sahaja mampu
menerbitkan bahagia dan tenang di jiwa.

Beginilah yang difahami apabila pencerita bercerita di dalam lagu ini, sebenarnya dia menceritakan tentang tanggapannya; bukannya hakikat diri persona yang diperikan.

[Chorus]
Hilanglah
kenangan luka
Tergantikan cerita
yang berkisahkan cinta

Di sini, bagi jiwa-jiwa yang begitu berkeluh-kesah dengan kehidupan yang tersangat memualkan, apabila memahami seraya merindui kehadiran Baginda al-Habib Rasulullah, akan merasakan semisal potongan ibarat ini :

Aku menyerumu datang
agar aku bisa meluah
segala rasa resah.

Namun,
Apakah hendak ku beritahu
tatkala kehadiranmu
memadam segala resah?


[Chorus Pre-Outro]
Dan kini
aku di sini
Merasakan segala
perasaan cintaku

Di dalam pengabdian
seumur hidupku
Saling menjaga dan setia
Saling menjaga dan setia
Selamanya

“Saling menjaga” begitu menggetarkan. Kecintaan al-Habib Rasulullah kepada setiap dari kita mustahil dipertikaikan. Lihatlah, sebuah kisah olahan daripada hadis :

"Aku tersangat rindu kepada para Ikhwanku",
kata Baginda al-Habib.

Maka bertanyalah para sahabat,
"Ya Rasulallah, bukankah kami ini Ikhwanmu?"

Baginda al-Habib menjawab,
"Bukan, malah kamu adalah sahabatku.

Sedangkan Ikhwanku
adalah orang yang beriman denganku
walaupun mereka tidak pernah melihatku."

Malah untaian doa apatah lagi syafaat akhirat Baginda nanti begitu “menjaga kita”, bukti kecintaan Baginda kepada kita.

Darihal itu, di saat Baginda Rasulullah begitu menjaga cintanya kepada kita, apakah yang kita lakukan dalam menghidupkan akujanji “saling menjaga” itu pula?

“Sesiapa yang berselawat kepadaku
di sisi kuburku maka aku mendengarnya,
sesiapa berselawat kepadaku dari jauh
maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat
yang menyampaikan kepadaku
dan dia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan
dan aku sebagai saksi
dan pembela baginya.”

(Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)

Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammad
Wa ‘ala aalihi wa sohbihi
Wa baarik wassallim.

Za'im Yusoff
Zohor, 13 Julai 2017

Sunday, July 2, 2017

Ungkapan Biasa Makna Luar Biasa Dalam Puisi Tuhanku, Kalau Bukan Oleh T. Alias Taib

Hari ini (Ahad, 2 Julai 2017) Nordin Saad menulis dalam Mingguan Malaysia fasal ungkapan biasa dengan makna luar biasa. Dipetiknya SN Usman Awang, SN Zurinah Hassan dan T. Alias Taib. Ada sedikit ketidakpuashatian kerana penulis tidak menjelaskan dengan terang keluarbiasaan makna puisi-puisi yang dipetik.

Saja-saja tatal gambar-gambar twitter Muhammad Lutfi Ishak, terjumpa sajak T. Alias Taib.

Allahu Allah. Terus rasa sebak. Bahasanya terus, rimanya sejambak. Bila baca-baca semula, baru fahami kenapa hati bergetar menelaahnya.


Beberapa makna luar biasa yang sempat saya tangkap setakat ini :

1. T. Alias ternyata mengikut bentuk firman saat Nabi Allah Ibrahim 'alaihissalam menyembahkan pengaduan kepada Allah Jalla wa 'Alaa sepertimana misal :

ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَہۡدِينِ (٧٨

"Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;

(Ayat ini selari dengan bait "siapakah yang memimpinku / ketika aku buta")

وَٱلَّذِى هُوَ يُطۡعِمُنِى وَيَسۡقِينِ (٧٩

"Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum,

(Ayat ini selari dengan bait "siapakah memberiku bubur / ketika aku kebulur")

وَإِذَا مَرِضۡتُ فَهُوَ يَشۡفِينِ (٨٠

"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;

(Ayat ini selari dengan bait "siapakah yang menyembuhkanku / ketika aku luka" dan "siapakah yang memberiku ubat / ketika aku tenat")

وَٱلَّذِى يُمِيتُنِى ثُمَّ يُحۡيِينِ (٨١

وَٱلَّذِىٓ أَطۡمَعُ أَن يَغۡفِرَ لِى خَطِيٓـَٔتِى يَوۡمَ ٱلدِّينِ (٨٢

"Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku;

"Dan (Dia lah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat;"

(Dua ayat ini saya secara peribadi melihatnya sebagai hal khabar sadiq yakni tidak kita ketahui tentang hal hidup selepas mati dan soal dosa-pahala lantas Tuhan mengutuskan pembawa berita besar yakni para Nabi untuk memberitahu seraya mengingatkan lantas ayat ini selari dengan bait "siapakah yang mengingatkanku / ketika aku lupa")

Menariknya, ayat-ayat yang dipetik ini daripada surah as-Syu'ara yakni Para Penyair dari ayat 78 hingga 82.

2. Apabila T. Alias menyebutkan, "siapakah yang memberiku bubur / ketika aku kebulur"; ia memberikan persoalan kenapa bubur? Bukan nasi?

Pertama, bubur lebih dikaitkan dengan perihal orang-orang miskin yang serba daif kekurangan.

Mengapa mereka masak bubur bukan nasi?

Kerana nasi berhajatkan kepada penyediaan lauk lain seperti telur mahupun gulai barulah berasa nasinya. Sebaliknya, bubur ibarat melontar dua burung dengan sebiji batu. Isi nasinya dapat, kuahnya juga dapat dengan air. Lebih cepat kenyang dan ringkas sesuai dengan serba serbi kecompangan hidup seorang yang miskin.

Malah, kalau kita membaca sejarah (contohnya cuba lihat makanan dalam babak awal sewaktu pecatuan makanan semasa perang dalam filem Pan (2015) ialah semata-mata bubur), bubur ialah makanan yang disediakan untuk para mangsa perang.

Maka, imej bubur itu ringkasnya tepat dengan kedaifan, kemiskinan, kesesakan, serba serbi kekurangan yang terzahir.

Darihal itu, imej bubur dalam bait T Alias jika difahami begini amat mendedahkan sisi kedaifan kita sebagai hambaNya!

Allahyarham T. Alias Taib
3. Apabila T Alias membaitkan "siapakah yang memberiku cinta / ketika aku muda", aduh persoalannya, siapakah yang memberikan kita kebolehan mengenal setinggi-tinggi cinta yakni kenalNya pada Allah Taala dan kekasihnya, Rasulullah solla Allahu alaihi wa aalihi wassalam sekalipun kita masih kecil? Masih remaja? Masih awal dewasa? Kita sudah bisa menangis sedar akan keagungan cinta Tuhan dan para kekasihNya - dari sementah-mentah usia hingga sematang-matangnya!

4. Rangkap kedua dalam 6 ungkapan berbeza.

3 ungkapan terawal menzahirkan cara Tuhan menyampaikan hasrat kita secara terus. Mengingatkanku / Menyembuhkanku / Memimpinku.

Sebaliknya, 3 ungkapan terakhir menzahirkan keajaiban Tuhan menyampaikan hasrat kita melalui makhluk sebagai alat. Bubur / Ubat / Cinta.

Demikianlah, kefahaman bagaimana Tuhan "bekerja" dengan penuh misteri, kreatif dan bijaksana. Adakala diberikanNya secara terus, adakala melalui para penciptaanNya. Sesuai dengan tingkat penerimaan kita selaku insan yang punya pelbagai tahap kefahaman dan kesedaran.

Demikian, catatan ringkas tentang beberapa kefahaman tentang puisi ini. Mudahan bermanfaat!

Za'im Yusoff
Isyak, 2 Julai 2017

Sebarkan Manfaatnya! :)