Wednesday, September 19, 2012

Pantun Berkeluh Kesah Mengambil Kisah


Aduhai...

Main langgar sampan terkolek,
Terjongkang-jongket membolak-balik,
Kalau benar ikhlas mendidik,
Tiada diungkit walau sedetik!

Lelunyai...

Tiang serombong sukar dibentur,
Habis bercucur peluh terhoyong,
Menuduh sombong tiada menegur,
Tiada menegur itulah sombong!

Alahai....

Alahai gila lorongnya sulit,
Meski waima laut membujur,
Sejaknya muda otaknya sempit,
Sampai ke tua matanya kabur!

Aduhai...

Wahai sang muda itulah ragam,
Perlu perhati sang tua ini,
Agar tibanya waktu nan agam,
Tak kau lazimi gaya begini!

Amin!

Ingatlah gurindam pasal yang kesembilan;
Tua manakah mulia,
Muda manakah bahgia :-

“Adapun orang tua yang hemat,
syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi berseteru.”

Ingatlah juga gurindam pasal pertama;
Khulasah segala isinya hidup,
Selagi mata berkedip redup :-

“Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah Ia dunia mudarat.”

Bukankah bahgian dunia akan manusia nan culas,
Perlukah jasamu diharap mereka membalas?

“Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.”

“Ingatkan dirinya mati,
itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
kepada hati yang tidak buta.”

---
Lubuk hati muda bergelora,
Mencari makna drama Sang Tua;
12.28 tengah malam,
Jumaat, 20 Syawal 1433 H


سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Tuesday, September 18, 2012

Madah Membaca Dan Berguru



Ramailah orang membaca buku,
Namun tiada tahu-menahu,
Lantaran tiada mendamping guru,
Meraba-raba di dalam tahu.

Adapun terpuji buku dibaca,
Ibarat sudah minum secamca,
Namun jikalau guru dia jumpa,
Ibarat hirup air sebelanga.

Andai berguru tiada membaca,
Menjadilah dia insan biasa,
Andai membaca tiada berguru,
Menjadilah dia mudah keliru.

Sedang berguru juga membaca,
Menjadilah dia ahlinya ma'na,
Mengenal Tuhan dari pangkalnya,
Bahagia tenteram jaya sentiasa!

7.10pm
September 18, 2012
Medan Selera Rohani,
Kampung Pusat,
Ibu Kota.


سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Thursday, September 13, 2012

Maksud Hafizahullah etc?

Secara ringkas, maksud

حَفِظَهُ اللهُ تعالى 

atau sering dieja orang dengan Hafizahullahu ta'ala ialah : 

[Semoga] Allah SWT senantiasa menjaganya 

Ia sama seperti 

رَضِيَ اللهُ عَنْهُ  

Rodhiya Allahu 'anhu yang bermaksud : 

[Semoga] Allah SWT senantiasa meredhai akannya

Atau boleh juga dibaca dengan maksud Allah SWT telah meredhainya sebagaimana para sahabat ajma'in yang telah diredhai Allah SWT atau para 'alim ulama' yang sudah maklum martabat dan sumbangan mereka yang zaman-berzaman senantiasa bermanfaat buat ummat.

Manakala, maksud

 رَحِمَهُ اللهُ  

 atau sering dieja orang dengan Rahimahullah bermaksud : 

[Semoga] Allah SWT senantiasa merahmatinya 

Telah berkata al-Fadhil al-Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Hafizahullahu ta'ala dalam sebuah statusnya :


Begitulah ulama' mengajar kita akan adab untuk senantiasa berdoa kepada mereka yang telah mendidik kita. Dari doa yang terkandung dalam selawat buat al-Habib ar-Rasul صلى الله عليه وآله وسلام sehinggalah para sahabat ajma'in dengan doa 'Rodhiya Allahu ajma'in' kemudian para imam dan ulama' muktabar dengan doa 'Rahimahullah' sehinggalah ulama yang masih hidup dengan doa 'Hafizahullah' :)

Sungguh - darjat doa ini jauh mengatasi anugerah Datuk, Tun mahupun Tan Sri - sebaliknya anugerah doa adalah gelaran berbentuk amalan yang membawanya terus ke hadrat Illahi :)


سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم :)

اللهم إن نسألك حب من يحبك! :)

Sporting Gangnam Style?

Apa maksud 'sporting'?

DARI SEGI BAHASA [LUGHATAN] :

Carian "define : sporting" menunjukkan maksudnya ialah :

Fair and generous in one's behavior or treatment of others

Adil dan bertimbang rasa dalam perlakuan seseorang atau layanan terhadap orang lain

DARI SEGI ISTILAH [ISTILAHAN] :

Inilah yang perlu ditakrifkan. Adakah ia 'sporting' apabila seseorang itu bertolak-ansur dalam maksiat yang dizahirkan, misalnya menari bagai nak rak sekalipun bertudung kemudian YouTube-kan beri satu dunia nampak?

Atau 'sporting' itu - memanfaatkan ruang syariat yang luas tepat pada masa, tempat dan keadaan tetapi masih dipagari oleh batasan-batasan syariat yang jelas?

Bagi saya, ber-gangyam hatta satu famili besar kemudian disebarkan untuk tontotan trillion manusia di seluruh pelusuk dunia bukanlah 'sporting'. Contoh 'sporting' adalah antara jawapan
al-Fadhil al-Ustaz Azhar Idrus Hafizahullah :

"Apa hukumnya bawa awek naik motor?"

"Hukumnya harus. Dengan syarat bapak dia duduk di tengah-tengah!"

Soalan yang sama menyangkut perihal hukum memakai seluar pendek oleh al-Fadhil al-Ustaz Azhar Idrus Hafizahullah.

"Apakah hukumnya pakai seluar pendek"


"Hukumnya harus. Syaratnya menutup aurat"

:D
 
PERGHHH!!! Sporting gilerrr beb! :D

Sporting bukan hukum; sebagaimana bid'ah bukan hukum. Haram, Halal, Wajib, Harus dan Sunat - itulah 5 hukum taklifi yang dihurai panjang oleh para fuqaha' radhiya Allahu 'anhum zaman-berzaman - dan untuk kita mengadili dan menimbang rasa sejauh mana kedudukan gangnam style satu famili dibolehkan untuk di-Youtube-kan~ (^^)

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Friday, September 7, 2012

BERKAYAK – Kayuh Terus Beranjak, Kayuh Tiada Berlagak

[Berasal dari Penambang Sungai Gua Tempurung, Usai aktiviti kayak hampir empat jam, 
Hari Ahad, September Tanggal Dua 2012, Kem Hanifa, Gopeng]


MUQADDIMAH DAN PENGEMBARAAN 
Berkayak. Harus punya dua pendayung. Tak kira seorang pendayung dengan dua kepak pendayung. Atau dua orang pendayung masing-masing satu kepak pendayung. Pokoknya ada dua kepak - meski didayung seorang atau sepasang. Matlamat - mudahnya amat. Berkayak mengayak kayak menderas ke hadapan. Membelah arus mendayung kayak hingga sampai ke destinasi tujuan. 

Halangan Pengembaraan

Halangan-halangannya antara pasti atau tidak. Antara maujud atau tak wujud. 

Halangan-halangannya boleh jadi besar pada mata, kecil pada sangka. Boleh jadi besar pada sangka, tetapi kecil pada mata. Boleh jadi daripada jenis leluhur manusia yang bermandi-manda yang kenampakan. Boleh jadi daripada jenis makhluk yang hanya dengan firasat dan wahyu Tuhan baru tahu kewujudan. 

Boleh jadi pepohon bebuluh, sepeluk dedalu yang hidup segan mati tak mahu. Boleh jadi daripada spesies duku, langsat, dokong dan rambai yang sepanjang penggembaraan kami berdebat tentang apakah perbezaan antara mereka. 

Boleh jadi apa jua daripada bahagian makhluk yang hakikatnya maujud – diwujudkan oleh Yang Wajib Wujud iaitu Tuhan.   

Halangan-halangan – sekali apapun hakikatnya untuk harus ada, harus tiada; tetapi hampir wajib pada akal yang berakal untuk kita bersedia. Walau detiknya bila. Walau halnya bagaimana. Wajib bersedia hingga hampir mustahil pada akal untuk menunda-nunda sebarang persiapan menghadapinya.

Halangan-halangan - boleh datang dengan pelbagai tantangan, pelbagai jihah arah, bermacam aneka dan cara. Tetapi kesannya, sudah boleh diduga. 

"Capsize!"

Jatuh terguling tergolek kayak terpusing buat diri pening berpusar-pusar di dalam air sungai nan kuning, tercungap-cungap mendengus nafas, mencari sinar biar cuma sekilas - lantaran tiada biasalah diri pendayung kayak menjalani akannya hidup di dalam air. 

Terguling tergolek kayak terpusing itu menurut orang-orang Ratu Alexandra Elizabeth Mary tiadalah lain tiada bukan diberi istilah "capsize" jualah. 

Ya – sahaya sampai sempat bertalaqqi mengeja dengan Kekanda Haidar sewaktu mengesot bertinggung di atas punggung di atas lori yang tiada sabar memuntahkan segala isi, sewaktu panas membahang di tengah hari. Masih sahaya ingat, sahaya berpesan kepada akal sahaya – ingatlah formula ejaannya itu ialah “topi bersaiz” – “cap size”. 

Atas segala hal, hidup perlu terus hidup - meski kaki menginjak mendarat cuma di buritan, tiada berpijak di hamparan daratan - tetapi perjuangan tetapi diteruskan. Perlu pengayuh kayak mengayak kayak menderas ke hadapan - hingga sampai ke destinasi tujuan, wajib bersedia menghadapi halangan-halangan seharus manapun mereka mendatang.


PASCA 

Mungkin majelis bagi sesetengah orang - berbangga berlagak menggila - aku atau dengan pasanganku yakni kami - tak pernah - jatuh terguling tergolek kayak terpusing - walaupun hanya sekali.

Mungkin sadis bagi sesetengah orang - kecewa mencuka - aku atau dengan pasanganku yakni kami - berkali-kali seakan infiniti -jatuh terguling tergolek kayak terpusing - pasti lebih daripada sekali.

Lantas, ditanyalah sekalian orang, Tuan atau anda berdua yang hebat tiada pernah - jatuh terguling tergolek kayak terpusing - itu sebabnya apa? 

“Oh, pastinya sebab koordinasi aku atau kami berdua - mantop meletop!”

Lantas, ditanyalah sekalian orang, Tuan atau anda berdua yang teruk merenyuk - jatuh terguling tergolek kayak terpusing - itu sebabnya apa? 

“Uhuk! Uhuk! Koordinasi aku atau kami berdua - hancus platipus!”

Maka, menyimpullah sekalian orang,

"Now guys, now you learn how important it is to have good cooperation, teamwork, coordination, motivation, motion, lotion, potion, portion, ration - till the end of Thesaurus - menghaus!"

Aduh! Aduh! Aduh! Itu amat tipikal. Cliché. Persis orang mengaitkan kereta mewah itu hanyalah pada jenama Porsche. Mungkin itu cara menempel pengajaran pada generasi A.R. Tompel, tetapi zaman generasi yang suka "rebel-rebel" - petikan pengajaran berkenaan hanyalah menambahkan lagi koleksi contoh terbaik sepanjang zaman bagi peribahasa mahsyur - masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. 

Sudahlah tiada menyegar di otak, apakah akan tersemat kuat di hati? 

Ah, percuma! Mimpi cuma!

Kita cuba beri perspektif berbeza. Dengan Izin Tuhan. 

A :

Hebat sangatkah mereka yang tak pernah jatuh? Malang sangatkah mereka yang selalu jatuh? There is no road without puddles. Tiada jalan berlengkok yang tiada lekuk-lekuk berkeluk. Hidup adalah roda. Maka, adakah kita pasti kita akan senantiasa di atas? 

Sedangkan keberhasilan mereka di atas adalah hasil pengajaran yang mereka curi kutip intai ambil daripada deretan kegagalan mereka di bawah. Huh – berkayak kalau nak berlagak, sangatlah bagak! 

B :

Tetapi adakah jatuh terguling tergolek kayak terpusing hampir infiniti itu bagus? Oh, tidaklah pula sahaya berpendirian begitu. Malah, ingin sahaya nyatakan – yang sebaiknya,

"....wajar bagi pendayung kayak meski seorang atau berpasang mengalaminya; secara tabii atau buat-buat sendiri, meski sekali; kerana pengalaman - terguling tergolek kayak terpusing - itu adalah guru yang terbaik – ia hanya mula mengajar setelah ujian dihadapi pelajar."

Teori dan praktikal – ya, dan rasa zauqi – sekaligus tanpa bias, terangkum kemas!

Atau lebih mudah begini, disimpulkan :

Kegagalan itu perlu, agar kita mampu merasai sepuasnya nikmat tatkala kita berjaya. Supaya kita mencapai makna hakikat kejayaan yang sebenar di sisi ahli-ahli ma’rifat. Tetapi kegagalan itu tidak boleh selalu – kelak, sampai bilakah kita nak berjaya?

C : 

Adapun penggembaraan kayak itu kalau kalian berhentikan sebentar [pause], kalian akan melihat keajaiban perlambangan yang maha dahsyat. Subhanallah!


Perhatikan – kayak itu, bukan satu – tetapi banyak. Buritan-buritan kayak-kayak itu kalau dicampur tambah, hamparannya boleh menjadi sebesar jong seagam kapal perang! 

Tetapi, kalian hanya berpijak pada buritan kayak yang kecil mungil – bukankah itu menunjukkan seluas berapa pun hamparan tanah daratan di bumi ini, kalian hanya akan cemerlang gemilang terbilang tran tang tang kalau bermain di pentas kalian sendiri, tanpa perlu susah-susah sibuk-sibukkan diri hendak mengawal perintah buritan orang lain sedangkan buritan sendiri tak terjenguk! Telah berperi orang-orang Ratu Alexandra Elizabeth Mary, 

“Don’t be jack of all trades, master of none!”

Nah – masing-masing akui, buritan-buritan kayak-kayak itu kalau dicampur tambah memang menghampar luas, tetapi meski kecil bagaimanapun buritan kita itu pada mata kasar kita – jagalah buritan kita dengan baik semampu kita, barulah kayak-kayak apabila dicampur tambah, dapat dikelek dengan molek hingga semuanya terkayak sampai ke destinasi akhir.


Perhatikan – kayak itu perlu kepak-kepak pendayung. Bukan satu, tetapi dua. Kerana itu, anggota-anggota kita kebanyakannya Tuhan yang Wajibul Wujud itu mewujudkan secara berpasangan sehingga terkenal maklum dalam kalangan ahli bahasa bahawa sifat feminin atau dikenali sebagai “muannath” bagi anggota-anggota badan kerana sifat mereka yang seimbang berpasangan. Itulah keseimbangan antara dualisme yang saling boleh dibezakan tetapi perlu-memerlukan. 

Justeru, kedua kepak pendayung itu apa? Ia bergantung kepada pengertian penggembaraan kayak itu terlebih dahulu. 

Kalau kita melihat perjalanan kayak itu adalah lambang perjalanan kehidupan hati yang menuju kepada Tuhan, maka kita pasti mengangguk setuju pada kalam indah Ibnu Qayyim al-Jauzi, moga Tuhan meredhainya, yang mahsyur itu :
“Perjalanan hati menuju Tuhan umpama seekor burung yang sedang terbang di mana cinta mendalam adalah kepalanya.  
Takut dan berharap pula adalah kepak-kepaknya! 
Tatkala, kepala dan kepak-kepak berkombinasi baik, maka stabil dan mantaplah kedudukan burung itu. Jika terputus kepala, matilah ia. Jika hilang kepaknya, terdedahlah burung pada bahaya pemburu”
Meski kalam ini indah, hakikat dua kepak pendayung akan terus tiada henti dibedah! Bergantung kepada apa makna perlayaran kayak Tuan, apa erti penggembaraannya.


Perhatikan – arus yang terus tegar deras mendengus. Kayak dikayak ataupun  tidak, arus tetap terus-menerus bertali arus. 

Itulah hakikat masa. 

Hidup mahu diterus ataupun tidak, masa tetap bergerak berbentak-bentak. Dan hakikat masa itu sebenarnya boleh ia mendahului, bisa dengan kita saing-menyaingi dan bisa ia sendiri didahului. 

Ia bergantung kepada sekuat mana kita berusaha mendepani arus dalam pengembaraan kayak. 

Makin kuat, strategis dan kreatif kita memanfaatkan peluang dan ruang, makin cepat kita sampai ke destinasi akhir. Pandai pilih arus antara deras dan perlahan, antara tinggi dan rendah, antara luas dan sempit sesuai dengan keupayaan dan kemahuan sang pendayung.

Justeru, perkembangan dan tingkat capai dalam hidup, ia bergantung sekuat mana kita berusaha menghadapi hakikat masa dalam kehidupan. 

Makin kuat, strategis dan kreatif kita memanfaatkan peluang dan ruang, makin cepat kita mendahului hakikat masa itu sendiri hinggakan seseorang menjadi jauh lebih matang sebelum usianya!

Perhatikan - kadang kayuhan berpusing hingga menyebabkan kita sedang memandang ke belakang, bukan ke hadapan! 

Melihatkan arus yang terus meluncur laju seakan memaksa itu berlaku hingga akhirnya sahaya sendiri melihatnya sebagai normal. 

Sekali sekala, kita perlu memandang ke belakang, apa yang ditinggal nenek moyang. Jatuh bangun maju mundur betul salah yang mereka lalui dan tempuhi adalah umpama rangkaian nasihat dan amaran yang terlalu bernilai untuk kita perhati dan ambil peduli, dibuat bekal hingga kita meneruskan kembali penggembaraan kayak menuju ke destinasi yang menunggu untuk ditamatkan di hadapan. 

Justeru, membuang manfaat sejarah adalah seakan-akan menafikan takdir bahawa sejarah itu pernah berlaku!


Perhatikan – keberadaan tingkat usahamu, bukankah ia tiada lain melainkan naik turun sifatnya lantaran takat tenagamu dan tingkat semangatmu berbeda pada setiap hela nafas sepanjang penggembaraan. 

Dan lihatlah bagaimana Tuan berkelakuan spontan – saat Tuan berada di puncak tenaga dan semangat, Tuan mendayung penuh kuat dan minat. 

Sebaliknya, saat Tuan berada di lurah tenaga dan semangat yang bawah, Tuan tetap juga mendayung meski merasai penat dan lelah, namun santai-santai sahaja, sambil Tuan nikmati tiap-tiap panaroma yang Tuhan saji di sepanjang penggembaraan itu. 

Ya – itulah gambaran cara Tuan mengambil dunia. Kejarlah dunia sekejar-kejarnya saat kejaran itu diperlukan. Bersantai-santailah pada dunia saat Tuan bisa bersantai. 

Itulah maksud – orang beriman mengambil dunia hanya pada kadarnya. 

Bukankah kadar itu adalah jarak dibahagi masa? 

Ada masa, kerja dunia ini lama tempohnya panjang pula jaraknya, maka kadarnya itu rendah-rendah, maka bersikap santailah. Pasti berantakan kalau Tuan kejar-kejarkan saat Tuan boleh bersantai-santaian. 

Ada masa, kerja dunia ini singkat tempohnya pendek pula jaraknya, maka kadarnya itu tinggi-tinggi, maka bersikap lekaslah. Pasti berantakan kalau Tuan bersantai-santaian saat Tuan perlu berkejar. Kerana kita tahu akan sebuah bait dalam gurindam pasal yang pertama:

"Barang siapa mengenal dunia, 
tahulah ia barang yang teperdaya. 
Barang siapa mengenal akhirat, 
tahulah Ia dunia mudarat."

Perhatikan – sekian banyak cara Tuan mendayung. Nah – itulah maksudnya, begitu luas terbentang beribu jalan tak terhitung, buat Tuan harungi segala halangan di dunia ini. 

Lantas, pantaskah Tuan duduk bermuram durja tiada dibuat apa-apa dengan alasan kebuntuan, sedangkan sekalipun sesak bagaimanapun jalan keluar tiada kelihatan, bukankah orang beriman dijanjikan jalan min haisu la yahtasib? – jalan yang tiada disangka-sangka?

Beruntunglah mereka yang mengasah iman, saat kebuntuan – dihamparkan baginya sekian banyak jalan seperti sekian banyak cara dayungan!


Akhirnya, - perhatikan – bagaimana Tuhan zahirkan begitu banyak perlambangan yang sempat kita sama-sama korek, sama-sama gali sepanjang dayungan pengembaraan kayak ini. Dari saat kita memasang niat hingga saat kayak berlabuhan. 

Hakikatnya tiadalah setiap gerak geri kehidupan itu melainkan ia hanyalah umpama pantun. Yang terzahir itu, adalah perlambangan rangkap pertama dan kedua. Yang termakna itu, adalah erti yang mahu kita citra di rangkat ketiga dan keempat jua. 

Kerana itu, kita memerlukan tafakkur yang mendalam pada setiap perlambangan yang disulam oleh Tuhan yang Maha Salam. 

Sedangkan pantun mungil empat kerat perlu dibedah, inikan pula pantun seluas semesta raya?

Adapun daun tiadalah getah, 
Meredah malam burung bersahut, 
Adapun pantun perlu dibedah, 
Digali dalam muncullah maksud.

Dan sebagai mana dibalas oleh sahabat hebat sahaya :

Raja bertitah olehnya kanun, 
Adil dicari budi diangkat, 
Melayu menikam dengannya pantun, 
Makna digali budi diangkat!
:)

Wallahu'alam bissowab

Pengajaran yang diqadha’ untuk ditukul nukil :
11.21 pagi, 
Jumaat, 20 Syawal 1433 H


سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Tuesday, May 29, 2012

Feeling Like Want To Die?

http://www.marcandangel.com/images/how-to-live-life.jpg 

Dear my fellow beloved friends,

I hope you are in the best state in your life. If not, stay patience and there is no success without patience as there is no road without puddles.

Someone was reported died just now. He jumped from 40 feet height. He was Malaysian like us. He was a student like us. As for age, he is my younger brother. It was told that he could not take burdens in his life anymore. And he took his own life. Now, he had experienced what will everyone of us including me will taste - the Death.

Having said this - i really hope, and i really really beg all of us - not to take such decision as long as God gives us the chance to breath in a morning, it means that God has a trust in us to live a life in that day.

If He, our creator, has trust in us - how could we as his creation do not have the same belief even to ourselves?

Thus, let's fulfill this trust - at least for us! :)

Live our life - to the fullest!

And God is not cruel. He does not make us deserted - alone in this world. 


One of my pious Christian teacher used to teach me, 

"Za'im, God is too generous to us. Even though humans commit crime and corruption on His land, but He never gives up to show His mercy by letting those mothers to give birth to her child. For God, is still having hope in us - to change the world!"

He gives us friends around us. Not only for knowing, but also for helping. He gives those friends to accompany us to live this life, to survive to the fullest - how bitter it may taste, how dreadful it may seem.

Hence, please and please and please - do not hesitate to share anything - as long as it could lessen your burdens.

Don't keep the problems to yourself. For the disaster created by the volcanic eruption is none other except due to the lava which were kept inside for such a long period!

To all my friends, regardless what faith you embrace, and regardless how you view this life - live the life to the fullest! :)

We come to the world by crying whilst others are happy for us.

And we hope the opposite happens when we die, by His will - we are happy while others are crying for kindness that we carve - to make the world, a better place to live :)

I love you, my friends! :)

May Allah bless and guide us always!

..and it may be that you dislike a thing while it is good for you, and it may be that you love a thing while it is evil for you, and Allah [our Creator] knows, while you do not know. [2:216]

http://3.bp.blogspot.com/-7lLcU3grXs8/ThmVKfVW9YI/AAAAAAAAAZM/_hTyp0CvK4s/s1600/friendship_quotes_.png

This is an interesting view on life from a great thinker :) Do view, dear :)

http://www.youtube.com/watch?v=6W8ZBS0gXQE&feature=autoshare

And not to forget this beautiful speech from the Late Steve Jobs :)

http://www.youtube.com/watch?v=D1R-jKKp3NA


Allahumma yassirnaa wa yassirkum bi barkatil mustofa! Allahumma ameen!

http://4.bp.blogspot.com/-q1x4Lkj0nI8/T5SxpU5zPcI/AAAAAAAAAAk/gRVmbQthifg/s1600/purpose+of+life.jpg

Thursday, May 17, 2012

Jambatan Dua Batu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Pucuk rebung delima batu,
Diadunnya rencah menjadi sambal,
Jambatan hubung duanya batu,
Bengkok di tengah, kuat dan anjal


:)


Balik ke sarang si burung puyuh
Terpijak ceremai airnya likat
Kerja seorang titi pun runtuh
Kerja beramai jambatan pun kuat


:)


Menaik rakit memakai suasa
Suasa menarik jadi tarikan
Amal membukit jadi raksasa
Titi yang pendek jadi jambatan

Kali kedua melawat jambatan kedua Pulau Pinang mengiringi para kakitangan UEM dari Kuala Lumpur. Pantun dilahirkan pada hujung kalam di tubir bot penampang tika usai meninggalkan tapak pembinaan jambatan. Alhamdulillah!


سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Thursday, May 10, 2012

Isu Adil Dalam Bersih 3.0


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kita adalah pemain bola dalam suatu bentuk perlawanan yang tidak adil tetapi kita kena main bola, sebab semakin banyak gol disumbat, semakin banyak duit kita boleh dapat, untuk menyelamatkan mereka di hospital yang sedang sakit tenat.

Bentuk perlawanan tidak adil itu adalah seperti referee berat sebelah, dataran pihak lawan lebih tinggi daripada kita - jadi mereka lebih senang nak sumbat gol berbanding kita yang kena tendang lebih tinggi sebab dataran kita lebih rendah - dan pelbagai kezaliman lagi yang tidak dapat dihuraikan di ruang terbatas ini.

Dengan perlawanan sebegini, kita tetap mampu sumbat gol walaupun kalah. Katakan kita kalah 4 - 11.

Takkanlah kita nak tunggu kita kalah sampai 0 - 15, baru kita nak desak perubahan bentuk perlawanan?

Tetapi main tetap main - kerana itulah satu-satunya jalan terbaik untuk mendapatkan duit, menyelamatkan mereka di hospital yang sedang sakit, berbanding mengangkat pedang sembelih seorang-seorang pemain pihak lawan dan mencuri duit dari pihak penganjur, untuk selamatkan mereka yang makin kaku terbujur.



Sekarang kita boleh faham logiknya kenapa pihak ditindas selama ini menyatakan - Kalau perlawanan ini adil sebagaimana selayaknya, kita dah skor lebih banyak dan menang seluruh perlawanan.

Dan sekarang juga kita boleh faham betapa dangkalnya hujah pihak yang selalu disebelahkan selama ini yang menyatakan - kalau sistem kita tak adil, kenapa mereka boleh skor 4 gol? Kenapa mereka terus sertai perlawanan? :)

Alhamdulillah :)

Wallahu'alam

Kawan saya ada berseloroh, 
"Bezanya.. team kita ada 'ronaldo' ,'messi' 'zidane' dan lain-lain yang hebat..itu yg still boleh score..hehe" :)

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Tuesday, May 8, 2012

Saidina atau Sayyidina?


Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Perkataan ini asalnya daripada perkataan

ساد - يسود- سيادة / سؤدد 

yang memberi maksud, "menjadinya seseorang itu ketua"

Daripada perkataan ini lahirlah perkataan

سَيِّدٌ [SAYYID] 
yang mana jamaknya ialah :

اَسْيَاد / سَادَة / سَادَات


yang memberi makna Ketua, Tuan.

Dalam Kamus Hens-Wehr, terus diletakkan di situ, "Title of al-Habib solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam's descendants :)

Adapun سيدي  ia adalah panggilan kehormat kepada wali Allah [Hens-Wehr : Honorific before the names of Muslim Saints terutamanya di Maghribi] 

Maka - lebih tepat adalah Sayyidina meskipun ada juga manusia mengeja dengan Saidina. Pendapat saya, apa sahaja tulisan, biar kita membacanya dengan betul kerana kita telah mengetahui cara membaca lafaz ini dengan tepat. Alhamdulillah :)

Namun, mengelakkan penggunaan Saidina adalah lebih baik kerana di sana dalam dunia Nusantara kita, Saidina itu merujuk kepada sebuah permainan. :)


Wallahu ta'ala 'alam

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Pantun Berbicara Semula [Sambungan]

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

[224]
Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala.
[225]
Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?
[226]
Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?
[227]
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.

Petikan : Asy-Syu'araa', 26 : 224-227

Pucuk pauh?

Sambungan daripada artikel ini! [KLIK]

Adapun daun tiadalah getah,
Meredah malam burung bersahut,
Adapun pantun perlu dibedah,
Digali dalam muncullah maksud.

Anakanda Za'im,

Terima kasih diucapkan kepada Za'im yang sudi membalas dengan satu balasan yang tepu ilmu, tepu saksama, tepu jua kebijaksanaannya.

Bukan apa, pertelagahan wacana tersebut ialah pada maknanya. Adapun rasanya, penghuraian pantun ini dapatlah dijadikan bahan berdakwah juga satu bukti kukuh betapa bijaksananya nenek moyang kita!

Cikgu di awalnya memilih yang kedua, kemungkinan besar atas alasan yang sama. Kebanyakkan sahifah yang dirujuk mengarah kepada yang itu jua.

Tetapi lihat penghuraian mantap yang dikemukakan terhadap pantun pertama, cikgu menjadi orang yang terus percaya dan mahu meyakini pantun pertama itulah yang harus diselami maknanya.

Kita buat satu analisis:

Pucuk pauh delima batu,
Air sembilan di tapak tangan,
Walau jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Lihat pembayangnya, mulakan dengan baris pertama.

1) Pucuk pauh delima batu :
Pucuk Pauh dan Delima Batu seringkali digunakan orang dahulu untuk memandikan jenazah.

2) Air Sembilan di tapak tangan :
Terdapat sembilan jenis air yang digunakan untuk memandikan jenazah. Cikgu tidak ingat jenis-jenisnya, tetapi seperti air barus dan sebagainya yang ditadah di atas tapak tangan yang akan akhirnya kering dek tiris di celah-celah jemari manusia.

3) Walau jauh di negeri satu :
Apalah lagi negeri yang satu?
Dikatakan Negeri Satu yang cuba dimaksudkan ini ialah alam barzakh.

4) Hilang di mata di hati jangan :
Begitulah kehendak hati.
Manalah mahu kita ini dilupai orang yang masih hidup.
Untuk menitip doa kita yang di sana nanti.

Ah, begitulah sedikit sebanyak yang dapat dikongsikan. Boleh dijadikan bekal dakwah juga sama-sama kita di medan ini. Bukan memandai, tetapi perkongsian fikrah sebegini bisa sahaja jadi miftah keunggulan.

Akan datang : Syarah kepada pantun di bawah, insyaAllah! (=

Jika memilih tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Jika memilih pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai!
Wallahu'alam

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Ikhwanal Muslimin = Ikhwanul Muslimin?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dari sudut bahasa Arab, tidak ada perubahan makna bagi Ikhawanal Muslimin dengan Ikhawanul Muslimin. Dalam erti kata lain :

Ikhwanal muslimin = Ikhwanul Muslimin = Ikhawanil Muslimin = The Brotherhood of Islam

Maksudnya sama. Tetapi kenapa bentuknya berbeza ya? (^^!)

Di sinilah apa yang kami sebutkan sebagai 'irab dalam Bahasa Arab, yakni perubahan baris hujung bagi sesebuah isim [kata nama] yang tidak mengalami perubahan makna dari sudut literal, tapi berubah fungsi dalam sesebuah ayat. 

Konsep ini tidak ada dalam Bahasa Melayu meskipun ia terkenal dalam Bahasa Sepanyol mahupun Bahasa Perancis dan bahasa-bahasa utama yang lain. Anda boleh search perihal genitive, accusative, jussive dan nominative dalam konteks linguistic untuk mempelajarinya. 


Konsep ini terlalu teramat jiddan [sangat-sangat] penting dalam Bahasa Arab sehinggakan disebabkannya seseorang boleh menafsirkan ayat al-Qur'an yang sama, hadis yang sama dengan maksud yang berbeza disebabkan keanjalan 'irab dalam Bahasa Arab.

Contoh termudah : Ayat terakhir Surah as-saff pada kalam "ansarullah" yang sama maksud dengan "ansarallah" yang sama maksud dengan "ansari illa Allah atau ansarillah". Maksudnya sama tetapi fungsinya berbeza. (^^) 

Berterima kasihlah kepada Imam Sibawayhi yang berbangsa Parsi, kerana mengajarkan Melayu seperti kita ini dengan konsep yang sudah dipermudahkan (^^)

Muslim sepakat, Islam berdaulat! (=

Wallahu'alam

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Apa Beza Ikhwan dan Ikhwah?


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1. Penerangan pertama : Ikhwah dan Ikhwan adalah antara variasi dalam jama` taksir bagi perkataan "akhu". 

Bak kata Lisanu l-`Arabi: 

الأَخُ الواحد، والاثنان أَخَوان، والجمع إِخْوان وإِخْوة

2. Penerangan kedua : Asalnya ialah perkataan akhu yang jamaknya benar ada dua yakni ikhwah dan ikhwan. Dalam kamus Hans-Wehr yang menjadi rujukan ana kerana ini magnum opus bagi kamus Arab-Inggeris sedunia, ia menintakan perkataan ikhwan itu bermaksud, specifically means the brethren or members of an order. 

Sebab itu, kita menggunakan al-ikhwanu al-muslimun dalam konteks gerakan Islam antara terawal itu. Kerana maksud ikhwan itu sendiri adalah merujuk kepada suatu keanggotaan yang bersifat organisasi atau dalam bahasa Arabnya - al-harakah [movement] yang berasal daripada perkataan haraka yang bermaksud menggerakkan sesuatu. 

Oleh itu, secara ghalibnya [kebiasaannya] dalam bahasa Arab, ikhwan digunakan untuk menonjolkan ciri-ciri organisasi.

3. Penerangan ketiga : Syarah guru kami, al-Fadhil al-Ustaz Yousef ar-Remawi Hafizahullah berkenaan ikhwan VS ikhwah ini ialah, ikhwan selalunya digunakan khalayak yang lelaki. Manakala ikhwah pula untuk khalayak yang bercampur antara lelaki dan juga perempuan. 

Sebab itu, sekiranya pemidato/pimpinan gerakan Islam dan sebagainya menyeru, Ya Ayyuhal Ikhwah atau Ikhwah sekalian, maka kita fahamlah, ia bermaksud, inti ucapannya itu ditujukan untuk seluruh khalayak tidak kira lelaki mahupun perempuan. 

Begitulah apa yang kami faham daripada guru kami yang 'alim.

4. Syarah perkataan Akhu [Saudara] di atas adalah dari sudut makna literal. Belum lagi etimologi [asal usul perkataan] yang anda boleh peroleh di SINI

Wallahu'alam

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Sebarkan Manfaatnya! :)