Thursday, February 22, 2018

Aliff Syukri Memang Patut Buat Filem... (Ulasan PADMAN, 2018)

Ya, Datuk Seri Aliff Syukri memang patut buat filem….. yang macam R. Balki buat terhadap "Badang" India yang diangkatnya dengan cemerlang menerusi PADMAN (2018). Mengapa? Baca sampai habis.



Tanpa perlu naratif pengenalan, cukup dengan lagu Aaj Se Teri menjadi ganti tukang pencanang cerita, kita tahu sebab-musabab Lakshmikant Chauhan (sekaligus Padman wujud) kerana kasihnya yang terlalu kepada surinya, Gayatri Chauhan. Lakshmi kasihan akan Gayatri yang terpaksa menyendiri dikaurantin di luar rumah sepanjang lima hari ketika "bulannya datang". Tambahan pula, kaum wanita di tempatnya menggunakan tikar buruk dan sari kotor untuk mencuci diri sekaligus mengancam kesihatan mereka.

Ironinya, hal itu tidak pun menganggu emosi Gayatri, lakonan naif yang cemerlang oleh Radhika Apte kerana keluhurannya pada tradisi sepelik manapun tidak akan dipertikai lantaran makna maruahnya dibingkai oleh sejauh mana seorang isteri, seorang menantu perempuan sepertinya berpegang teguh kepada tradisi.

Di sinilah, Lakshmi lakonan natural yang bagus oleh Akshay Kumar, seorang suami yang berubah menjadi begitu antagonis terhadap tradisinya sendiri lantaran baginya, kebersihan yang menjadi kelangsungan hayat itulah lebih utama sekaligus tradisi yang gila itu perlu diubah segera. Bermula dari premis pendirian inilah "sanitary pad" menjadi simbol utama menggerakkan seluruh naratif.

KAUM BEBALIS DAN PERJUANGAN FEMINIS

Perjuangan Lakshmi punya sisi unik tersendiri saat golongan sasarannya tidak pun peduli tentang diri mereka sekaligus tugasnya bukan sekadar Sang Pencerah bahkan Sang Pemusnah Bebalisme.

Jahil bagi bebalis bukan sekadar jahil basit (tahu bahawa diri tidak tahu) tetapi jahil murakkab (tidak tahu bahawa diri tidak tahu). Malah, golongan bebalis ini sangat bersifat babil bahkan sadis terhadap penentang mereka.

Namun Lakshmi sebagai penentang bebalisme dan pendekar kebenaran berjaya menonjolkan hakikat keperibadian sosok seorang pejuang. Yakni, setelah seorang lelaki nekad, dia tidak akan berehat apatah lagi berhenti sehingga dia mendapat apa yang ingin dia lihat dan cari.

Sehingga terpacul dari mulut Lakshmi - "Kita jadi obses terhadap hal yang kita kasih sehingga kita lupa untuk merasa kasihan pada diri kita sendiri".

Demikianlah keseluruhan cerita secara jelas tanpa berselindung membawa suatu semangat feminis yang menebal diperankan sosok begitu maskulin seumpama cinta seorang suami kepada isterinya itu melimpah ruah kepada perjuangan membela kemaslahatan kaum perempuan di ranah Hindustan.

Kita tahu sedari awal sebagaimana Secret Superstar, 2017 bahawa watak utamanya akan berjaya di hujung cerita apatah lagi Padman adalah cerita tentang Padma Shri Arunachalam Muruganantham yang tersenarai sebagai 100 tokoh paling berpengaruh di dunia tahun 2014.

Namun yang membuatkan kita tertanya-tanya bagaimana sosok lelaki yang ditinggalkan secara rela-paksa oleh isterinya, dipulaukan ibu kandung dan adik-beradik perempuannya bahkan seluruh pelusuk kampung yang hampir-hampir mahu menjungkirbalikkan tubuhnya di dahan pokok lantaran dikatakan ada syaitan telah merasuknya itu – sampai ke destinasi matlamat akhir. Itu yang mengujakan. Ditambah dengan gaya yang begitu bersahaja. Dengan jenaka dan sindiran yang sinis pula.

Sekalipun Gayatri berada dalam golongan bebalis, namun Gayatri memberi kita faham yang lebih daripada hanya sekadar menjadi mangsa kejahilan. Gayatri menjelaskan dengan begitu indah setelah puas memarahi Lakshmi, “Aku tidak tahan melihat satu dunia mengejimu, wahai suamiku.”

Hal ini amat menarik kerana ia menunjukkan sisi perempuan yang "selalu dilihat ditipu lelaki" (atau dia berprasangka dirinya ditipu lelaki walhal kita semua tahu Lakshmi diperihalkan seorang lelaki berstatus “pati” paling setia pernah dunia ini ada), namun diri mereka tetap setia menerima semula insan yang mereka sayangi (atau telah muktamad menjadi kekasih sepanjang hayat – sang suami). Ini mengingatkan saya kepada puisi SN Zurinah Hassan dalam Satu Percakapan Singkat :

Seorang lelaki
membebaskan diri untuk membataskan pilihan

Seorang perempuan
membataskan pilihan untuk membebaskan diri

Dan suatu keanehan bagi saya, apabila ternyata saya lebih memahami gelodak psikologi perempuan India khususnya melalui watak Gayatri ini berbanding ketika pertama kali menonton Rudaalis Of Rajasthan, kumpulan ratapan wanita sewaktu kematian. Gayatri acapkali mengulang-ulang pendiriannya, “Lebih baik saya mati disebabkan penyakit daripada maruah saya dimalukan di hadapan masyarakat!”

BAGAIMANA KARYAWAN INDIA MENJUAL PADMAN

Kita tidak patut menjualkan kepercayaan sekalipun kita patut percaya apabila menjual sesuatu. Ini yang ada pada sosok Akshay Kumar ketika “menjual” Padman :

"Saya tidak mahu menghasilkan dokumentari. Saya mahu membikin filem komersial supaya ramai dapat menontonnya. Ini adalah filem di mana kamu masih dapat membawa kanak-kanak menontonnya sekalipun subjeknya tentang tuala wanita. Ia adalah subjek yang universal. Bahkan, belum ada seorang pembikin filem yang menyentuh tentang subjek ini" (Business Insider, Disember 2017)

Kepercayaan terhadap cerita baik bentuk mahupun isinya adalah hal yang wajar ada pada tenaga hadapan dan belakang tabir sesebuah produksi filem. Hanya dengannya penghormatan kepada filem itu benar-benar hadir dan zahir terserlah.

Ini berbeza apabila kita menjual sesuatu secara berlebih-lebihan. Mungkin jualan barangan kosmetik boleh laku dengan cara itu, tetapi tidak bagi karya seni seumpama filem jika kita memahami apa itu penghormatan.

Misalnya, menjual filem adiwira sendiri dengan mengatakan ia jauh lebih baik daripada karya adiwira Hollywood sedangkan kualiti karyanya jauh panggang daripada api. Masalahnya bukan pada siapa dan dari mana filem itu dihasilkan, tetapi pada kualitinya yang menjadi nyawa sesebuah karya tahan diuji sepanjang zaman.

Sebenarnya, adalah terpuji apabila pembikin filem mahu menjulang semangat adiwira mitos tempatan semisal Badang, Hang Tuah dan sebagainya; namun bikinlah dengan penuh berhemah dari segi bentuk dan inti falsafahnya.

Sinema Bollywood marcapada menyaksikan bagaimana mereka menjulang hero moden mereka dengan begitu baik dan cermat seperti Guru - 2007 (perihal taikun bisnes Dhirubhai Ambani), Gulaab Gang - 2014 (perihal 'gengster wanita' di Bundelkhand Uttar dan Madhya Pradesh), Dangal - 2016 (perihal tokoh sukan Geeta Phogat & Babita Kumari) dan lain-lain.


Saya masih ingat mukadimah syarahan subjek Scientific Management oleh pensyarah kami di University of Melbourne hampir sedekad yang lalu, di mana kami menonton hampir setengah jam cuplikan filem Bee Movie (2007) lantaran begitu banyak rujukan berkaitan teori dan aplikasi Scientific Management di dalam filem berkenaan.

Maka, tidak mustahil Padman akan turut menjadi rujukan bagi warga penuntut jurusan perniagaan memandangkan elemen bisnes yang amat ketara disinemakan dengan baik mencangkupi teori seperti Barriers To Entry, Economies Of Scale & Scope, Precautionary Principle, The AIDA Model, Zero-Sum Game dan seumpama.

Darihal itu, antara banyak-banyak hal yang saya pelajari selesai tontotan Padman adalah medium seni apapun yang kita pilih atas apa jua niat dan intuisi, inti yang ingin kita pamerkan itu haruslah hal yang benar-benar kita minat dan yang kita punya rasa sedar dan tahu yang kuat; subjeknya yang dekat dengan khalayak dan paling mustahak, paling rapat dengan diri pengkarya.

Hanya dengan itu, barulah kita punya kebarangkalian tinggi untuk memanfaatkan medium seni dengan paling berkesan sekiranya inti yang ingin diketengahkan itu benar-benar kita kuasai sekaligus akan menonjolkan diri kita yang benar-benar pandai bukannya nampak benar memandai-mandai.

Kerana itulah saya katakan Datuk Seri Aliff Syukri memang patut buat filem yang macam R. Balki buat terhadap "Badang" India yang diangkatnya dengan cemerlang menerusi Padman (2018) ini lantaran paling tidak Padman berjaya menaratifkan susah-payah usahawan dari zero ke hero sebagaimana pengalaman yang khabarnya turut dilalui oleh Datuk Seri Aliff selaku tokoh perniagaan Bani Melayu sendiri.

Wednesday, February 21, 2018

Cuplikan Akhbar : Polemik Seni Untuk Seni/Masyarakat

Artikel Pertama oleh Abdul Rahman Shah di Berita Harian, Khamis, 8 Februari 2018
Artikel Kedua oleh A Muziru Idham di Berita Harian, Khamis, 15 Februari 2018
Artikel Ketiga oleh Za'im Yusoff di Berita Harian, Selasa, 20 Februari 2018

Artikel Lutfi Ishak yang dimaksudkan boleh diakses melalui pautan ini : 
http://zaimterbang.blogspot.my/2017/06/cuplikan-akhbar-wacana-sastera-sebagai.html

Sebarkan Manfaatnya! :)