Wednesday, May 31, 2017

Si Kandil Kecil Buat Penyair Muda

Bagi mengulas "Warkah Buat Seorang Penyair Muda"
terjemahan SN Baha Zain bagi tulisan asal “Letters to a Young Poet”
oleh Rainer Maria Rilke, terbitan ITBM (2017)


Saat itu Parvati Paro Chakraborty (Devdas, 2002) memuja kandil kecilnya di tengah kehujanan, sambil menjejak harapan agar Cintanya, menerusi lambang kandil di telapaknya tidak terpadam :

O piya yeh diya
chaahe jitna sataaye
tujhe yeh saawan

Piya, yeh diya
na bujha hai,
na bujhega!

Oh cinta oh kandil
betapa hujan mahu
menikam dirimu

Cinta (dan) kandil ini
tidak pun terpadam, oh
tidak akan terpadam!

Bagaimana Paro memastikan kandilnya tidak terpadam di tengah kehujanan yang melibas? Dirinya jalan terus mencari perlindungan; bibirnya tidak putus-putus berdoa penuh harapan. Akhirnya, dia menemukan apa dirinya inginkan. Kandilnya terus menyala, Cintanya tiba di muka pintu. Bertahun lamanya dia memuja kecintaannya itu sehinggakan maut pun malu untuk memisahkan Parvati Paro Chakraborty dan Devdas Dev Mukherjee.

Begitulah ibarat perasaan saya saat melewati halaman demi halaman hasil terjemahan begitu halus, berseni dan membekas oleh Sasterawan Negara ke-12, SN Baha Zain ke atas Warkah Buat Seorang Penyair Muda, tulisan Rainer Maria Rilke. Saya seperti Paro mencari kandil yang mampu menerangi jalan kepenyairan diri, dan sebagai penulis muda, tidak syak lagi hasil terjemahan yang diterbitkan oleh ITBM dalam tahun 2017 ini menjadi penemuan khazanah tak ternilai buat saya dan sahabat handai. Si kandil kecil, saiznya seperti buku ini kecil tetapi makna menerusi wacananya begitu besar.

Sebetulnya, SN Baha Zain telah meneruskan warisan perkumpulan tulisan tentang apa dan bagaimana menulis puisi yang baik dan dengan baik seperti yang dimulakan sejak karya Ars Poetica oleh Horace, 19 tahun sebelum masihi sehinggalah karya Sasterawan Negara ke-6, SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh menerusi penerbitan buku Pengalaman Puisi (DBP, 1984) kemudian diteruskan juga oleh ITBM dengan terbitnya, Cakap-Cakap Puisi (2014) oleh Abdul Ghafar Ibrahim (popular dikenali sebagai Pak Agi), penerima Anugerah Penulisan S.E.A 2005 bersama anak muridnya, Shahanz Akbar (SA).

Kini, seperti kepekaan Yamaha RX-V681, sistem bunyi paling canggih dan sensitif di dunia dengan format Dolby Atmos dan DTS:Xnya, ITBM mewara-warakan karya ini sebagai jawapan kepada keghairahan para penyair muda yang muncul bagai cendawan selepas hujan lewat penerbitan sastera perdana mahupun indie; atau yang punya bakat dan minat terhadap puisi seputar tulisan di laman-laman sosial tetapi hasil puisinya masih berada di takuk yang lama atau di tingkat yang rendah.

Andaikata ada karya yang kuat pula, kebanyakannya tidak pula istiqamah dalam menghasilkan puisi-puisi bermutu secara berterusan. Darihal itu, terjemahan inilah si kandil kecil yang menerangi jalan-jalan pengetahuan, penerangan dan pemahaman tentang hakikat puisi dan bagaimana menyantuninya dalam kehidupan sehari-hari agar di akhir kita menghasilkan penyair berseni bukan sahaja untuk tempoh yang singkat tetapi untuk mengesani zaman sepanjang abad.

Untuk ITBM, hal ini amat terpuji kerana sudahlah penterjemahan itu suatu pekerjaan yang mulia, memilih karya terjemahan yang sesuai sebagai gerak cakna terhadap hal-ehwal sosial masyarakat marcapada adalah suatu kepujian yang lain yang layak diberikan penghargaan.


Warkah Buat Seorang Penyair Muda ini adalah terjemahan bagi terjemahan buku Letters to a Young Poet di mana judul asalnya Briefe an einen jungen Dichter. Buku ini merupakan kumpulan sepuluh warkah surat di antara Rainer Maria Rilke, penyair besar Jerman (1875–1926) yang pada ketika itu berumur sekitar 27 tahun kepada seorang kadet tentera berumur 19 tahun bernama Franz Xaver Kappus (1883–1966).

Kappus kebetulan menuntut di bekas sekolah tentera yang sama dengan Rilke dan tergerak hati untuk berutusan surat berkenaan dilema antara kerjaya kepenyairan dengan kerjaya ketenteraan dengannya setelah guru mereka, Profesor Horacek bercerita tentang keperibadian Rilke kepada Kappus.

Sebanyak 6 warkah telah diutuskan pada tahun 1903 disusuli 3 warkah pada tahun 1904 dan diakhiri dengan sela masa yang panjang sebelum perutusan warkah terakhir sehari selepas perayaan Krismas tahun 1908.

Antara menarik tentang titimangsa ini ialah warkah-warkah ini ditulis di tempat-tempat yang berlainan. Warkah pertama ditulis Rilke di Paris, kemudian sekitar Pisa dan Rome di Itali, Jerman, Fladie di Sweden dan berakhir di Paris semula. Seakan-akan takdir begitu mesra mahu mengakhirkan segalanya di mana tempat mereka bermula.

Malahan, warkah terakhir ditulis sehari selepas perayaan besar penganut Kristian memperlihatkan betapa pentingnya hubungan seorang guru seni dengan anak murid seninya meskipun di saat-saat beliau sepatutnya bersama rakan taulan menyambut perayaan. Ternyata, sebuah persembahan rapsodi yang punya aura romantisnya tersendiri.

Pengisian warkah Rilke seyogianya dihadam perlahan-lahan memandangkan kebanyakan kata-katanya seumpama matan ilmu, padat dan padu. Ciciplah barang secawan latte di pagi hari sambil menikmati pesan-pesannya sebagai juadah sanubari.

Di sini, saya hanya mampu mendatangkan kesimpulan menerusi sepuluh rangkap madah mewakili sepuluh warkah berbentuk rubaiyat tiga belas suku kata setiap baris untuk memberikan gambaran makna atas apa yang Rilke warkahkan. Selebihnya, tidak dapat tidak kalian harus dapatkan naskah ini dan hadamkan sendiri. Rangkap pertama menyimpulkan isi warkah pertama, rangkap kedua menyimpulkan isi warkah kedua dan begitulah seterusnya.

(Warkah Pertama)
Bermula puisi renungan pada diri
Bukan kebagusan berbanding yang dicari
Bukan lulus penerbitan dikejar-kejar
Namun apa dari dalam diri, keluar.

(Warkah Kedua)
Asas manusia pada keseorangan
Dilihat peribadi zahirlah pentingnya
Didiklah ironi bangunkan kesenian
Carilah seniman jadilah kau muridnya.

(Warkah Ketiga)
Pengalaman sekecil apa tetap penting
Barulah yakin percaya dek harga diri
Atas kata kritik selalulah kau saring
Keinsafan kesabaran itulah kunci.

(Warkah Keempat)
Benda halus didekati besarlah makna
Tiap persoalan jangan gesa menjawab
Jangan terkeliru permukaan atasnya
Jawapan sebenar-benar di dalam mendap.

(Warkah Kelima)
Menulis tidak cukup dengan kertas pena
Kelapangan fikiran itu terutama
Bersendirian melahirkan ketenangan
Sedikit benda miliki keabadian.

(Warkah Keenam)
Renungilah dunia yang engkau kendongi
Pengalaman setimpal pengorbanan cinta
Sesuatu yang hilang pastinya wujudi
Seperti Tuhan punca segala yang ada.

(Warkah Ketujuh)
Terlibatlah dirimu dengan pergelutan
Terbentuk jati diri saat kau pertahan
Perkara yang sukar haruslah dilakukan
Bak cinta difahami saat sendirian.

(Warkah Kelapan)
Ragu, berbahaya lebih manusiawi
Dan kehidupan tidak biarkanmu rebah
Biarkan berlalu beranilah hadapi
Itulah tanda hidupmu berkembang segah.

(Warkah Kesembilan)
Dalam semua hal kehidupanmu betul
Bersabarlah bertahan jujur untuk yakin
Kemajuan saat sarwa tubuh terangkul
Keraguanmu baik jika didisiplin.

(Warkah Kesepuluh)
Biarkan kesepian jadi darah daging
Sunyi meruangkan pergerakan dan bunyi
Pura-pura dalam seni ternafi sering
Paling penting, berani jujur pada diri.

Apakah kesimpulan besar yang saya peroleh selesai pembacaan naskah mustahak ini?

Tiada lain selain hakikat bahawa di akhir, penyair hanya benar-benar lahir apabila dirinya bersedia untuk menjadi manusia.

Lutfi Ishak dalam Dondang Pembukaan (ITBM, 2015) pernah mengungkapkan :

Muridku sentiasa ingat,
asal sebiji labu, dari lempung yang busuk
di tangan seorang senimanlah
ia menemui bentuk.

Arkian, siapalah yang lebih layak untuk menterjemahkan warkah-warkah perihal kepenyairan jika bukan sosok penyair itu sendiri?

SN Baha Zain bukan orang lain malah dirinya sebati dengan wilayah puisi itu sendiri. 8 buah kumpulan puisi perseorangan, 15 antologi puisi, ratusan puisi eceran, dan puisi-puisinya seperti  “Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian”, “Apabila Menulis Puisi”, “Permainan Mimpi” dan "Dalam Persekitaran Kata-kata”; kesemuanya dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia Kategori Eceran. Semua ini sudah cukup untuk ketokohannya bersemayam di singgahsana istana para penyair.

Oleh itu, secara peribadi terjemahan bagi naskhah ini saya sifatkan sebagai cemerlang. Paling tidak atas dua sebab.

Pertama, kerana beliau seperti tukang emas, hanya mencari emas di lombong emas terbaik. Stephen Miller telah diakui sebagai penterjemah terbaik oleh Los Angeles Times  seangkatan dan seperti dimaklumkan, SN Baha Zain telah merujuk terjemahannya ketika menterjemahkan siri warkah ini. Malah, ketika saya membaca buku ini, saya turut sama membaca terjemahan Stephen Miller menerusi pautan http://www.carrothers.com/rilke_main.htm. Di sini, saya menemukan sebab kedua.

SN Baha Zain bukan sekadar penyair tetapi juga penterjemah yang segar. Kelihatannya beliau sedaya upaya menumpahkan segala pengetahuan dan pengalamannya untuk menterjemahkan warkah penting ini dalam langgam bahasa tempatan dengan menggandingkan dengan gaya puitis. Saya ambil beberapa contoh kecil sambil membiarkan contoh-contoh besar berteleku menunggu anda membacanya pula.

Di akhir warkah pertama, Rainer Maria Rilke menulis dengan makna yang diterjemahkan Stephen Miller sebagai : Yours very truly, Rainer Maria Rilke.

Apakah terjemahan SN Baha Zain? Saya yakin jika naskhah ini terlepas di tangan penterjemah marhaen pastinya mereka menterjemahkan sebagai Yang benar atau Yang benar-benar ikhlas sahaja.

Berbeza dengan SN Baha Zain, beliau menterjemahkan sebagai, “Dengan iringan doa dan ingatan yang tulus ikhlas. Yang benar, Rainer Maria Rilke”. Bagi pandangan saya, terjemahan ini bagi menyempurnakan makna “very truly” itu sendiri memandangkan di warkah-warkah lain hanya diselitkan dengan “Yours” sahaja.

Kita juga menemukan terjemahan “Live for a while in these books” sebagai “Bernafaslah di antara buku tersebut”, terjemahan “This love will be returned to you thousands upon thousands of times, whatever your life may become” sebagai “Kecintaan itu akan dibayar beribu-ribu kali ganda, tidak kira apa-apa jua nasib hidup anda”, terjemahan “Don't be confused by surfaces; in the depths everything becomes law” sebagai “Oleh itu, jangan terkeliru dengan apa-apa yang berlaku di permukaan. Di ruang dalam yang jauh semuanya menjadi undang-undang” dan banyak lagi yang indah-indah bersesuaian dengan makna-maknanya yang menggugah akal dan emosi bakal-bakal penyair.

Sungguh, terjemahan SN Baha Zain ini umpama mata air mengalir jernih dari hulu ke hilir bagi menyediakan angkatan penyair muda yang bersedia menghadapi lautan kepenyairan luas tak terbatas. Mata air ini begitu membekasi kolam dan tasik air mata para penuntut puisi sama ada sedih sayu mengenangkan perjuangan dalaman Rilke mahupun bersyukur terharu menemukan si kandil kecil yang menerangi jalan kepenyairannya itu.

Setidak-tidaknya buat saya; mahu selurus Kappus, mahu setulus Rilke, mahu sehalus Baha.

Begitulah doa kudus di tengah remang Ramadan, sambil membayangkan diri menari dan mendondangkan nyanyian Parvati Paro Chakraborty :

Jhonka hawa ka aayega
aur yeh diya bujh jaayega
Silsila yeh chaahat ka
na maine bujhne diya

Semilir angin menyergah
kandil bakal terpadam terus
Oh ikatan cinta ini, aku
tidak akan biarkannya putus.

Sekian. Moga bermanfaat.

Ditulis oleh Za’im Yusoff
Selesai pada jam 9.13 malam
Tanggal 31 Mei 2017

Friday, May 19, 2017

Secuplik Lagi Dan Lagi Tentang Malam Persembunyian

Pilihan. Setiap saat kita memilih. Untuk diri, sama ada mahu tidur atau jaga. Untuk keluarga, sediakan sarapan atau beli di luar sahaja. Kita memilih dengan berkeputusan. Dari keputusan, kita menjemput kesan. Kesan daripada pilihan inilah menentukan maju mundur, tinggi rendah, naik turun diri kita.


Dalam kalangan ahli sufi, pertimbangan ini disimpulkan dalam kefahaman martabat. Martabat sama ada darajat atau darakat. Darajat menaik. Darakat menurun. Mudah difahami dengan iman menaik, iman menurun. 

Darajat itu sukar, darakat lebih longgar, seperti huruf jim (daraJAt) yang lebih kuat bunyinya (syiddah) berbanding huruf kaf (daraKAt) yang lebih lemah. Darihal itu, memilih untuk meniti jalan darajat menaik jauh lebih sukar berbanding memilih untuk menurun dengan jalan darakat.

Destinasi perjalanan ini ialah pengetahuan, kefahaman seraya pengalaman sempurna dalam kerohanian. Yang dipanggil sebagai ma'rifah. Mengenali seraya menyaksikan punca segalanya dengan sepenuhnya. Itulah Tuhan. Itulah Allah. Jalla wa 'Alaa.

Darihal itu, pilihan yang kita pilih berkadar antara menjulangkan atau menjatuhkan martabat kita dalam perjalanan mencapai kesempurnaan rohani itu tadi. 

Hal ini sulit tetapi tidak mustahil. Misalnya, nilai pilihan antara seorang yang sihat dengan seorang sakit untuk menjamah makanan berkhasiat, nilaiannya berbeda. Lebih besar kesannya kepada yang sakit berbanding yang sihat. 

Begitu juga keputusan untuk seorang budak berkelahi dengan rakan budaknya boleh dipandang remeh akan kesan pilihannya berbanding apabila seorang selebriti berkeputusan untuk menumbuklempangkan selebriti yang lain, boleh dianggap lekeh pula.

Apatah lagi, apabila seorang calon kuasawan yang berkeriskan tarbiyyah berdestarkan dakwah bercapalkan siasah memilih untuk bersandar pada tiang undang-undang berbanding menggunakan logik hujah, seni seruan, akhlak mahmudah dan kedalaman fahaman dalam menyanggah apa yang dilihatnya sebagai dakyah daripada seorang kuasawan berpengaruh yang lain.

Nilai pilihan menunjukkan pencapaian martabat - antara darajat menaik atau darakat menurun seseorang dalam perjalanan kerohaniannya. 

Di sini, puisi Sajak Kepada Pengebom Berani Mati dalam #MalamPersembunyian tulisan Faisal Mat Zawi (Kata-Pilar Books, 2017) menggetarkan kesedaran kita lagi.


Sajak ini terus dan telus pada maknanya, kekuatannya bermula dengan nada sederhana mengikut arus naratif perspektif suara kata ganti diri kedua mempersoalkan gerak-geri persona sang pengebom mati secara emosi dan intelektual. 

Emosi dipersoalkan dengan bahasa bernada berpadanan dengan tujahan makna bagi menggelodarkan logik rasional pilihan-pilihan yang dipersembahkan oleh persona sang pengebom mati terhadap mangsa-mangsa pilihannya yang terkorban dek corak pegangan persona atas pengetahuan, kefahaman dan pengamalan agamanya. 

Hal ini tidak perlu saya panjangkan, sesiapa pun dalam kalangan penikmat puisi hatta yang baru bermula bisa mencicip manis pedasnya jeruk masam juadah enak anak didik alam Bangalore ini.

Bagaimana saudara
naik ke sidratul muntaha
dengan menggenggam
picu bahan letupan
berdiri di depan tuhan
dalam genangan darah
orang-orang tidak bersalah.

"Naik ke sidratul muntaha", "berdiri di depan tuhan" adalah sangkaan persona bahawa telah dibuatnya pilihan darajat namun digelitarkan dengan persoalan pilihan darakat pada diksi "dalam genangan darah / orang-orang tidak bersalah". Menimbulkan bidasan yang tuntas dan jelas.

Tradisi pengetahuan beragama seberapa magis dan aneh sekalipun, bukanlah pokok ajaran agama yang benar kerana mana bisa Tuhan Maha Menciptakan itu menyusun sesebuah ajaran dengan hal-hal di luar keupayaan para hambanya yang berteraskan tunjang akal fikiran dan akar nurani hati yang mampu menaakul bukan sahaja secara emosi malah intelektual sekalipun. 

Hal-hal magis ada, tidak ternafi tetapi bukan hujah utama dan pokok lantaran subjektifnya hal ini untuk dinalarkan; ada diskusi khusus dalam hal ini. Maka, apa perlu gentar saat penganut agama lain mengetengahkan pengalaman magis menurut acuan kepercayaannya?

Darihal itu, adalah sesuatu yang pelik malah jelek, saat kita yang dikatakan intelek memilih jalan singkat seperti senjata dan undang-undang berbanding ilmu di dada dan akhlak wacana terpampang. Apakah beza seorang intelek ini dengan persona sang pengebom mati?

Tambah memualkan, memilih untuk memancarkan cahaya picu senapang mahupun memilih untuk menyinarkan cahaya paranoid di belakang undang-undang, apakah boleh dikatakan sebagai cahaya Illahi yang ingin ditajallikan?

waktu saudara menjerkah
nama-Nya yang mulia suci
itulah kali pertama barangkali
tukang jaga kaunter di Brussel
atau pelancong yahudi di Taksim 
mendengarnya dengan telinga sendiri
tapi mereka tak sempat bertanya lebih lanjut 
letupan dari tubuh saudara bikin mereka tuli 
silauan cahaya membutakan mata
sebelum mereka mati
tapi saudara, itu bukan cahaya ilahi.

Kemuncak sajak adalah di hujung saat rangkap terakhirnya menyentakkan kita dengan suatu alegori yang sadis, sinis dan punya magis tersendiri dalam menghiris segala pengetahuan, kefahaman seraya pengalaman agama yang songsang lagi ironis yang dipegangtatangkan oleh persona sang pengebom mati yang tragis.

Bagaimanakah saudara
masuk berjumpa tuhan
meninggalkan mereka
menyorokkan kunci dalam saku baju
sedang rumah tuhan tak berpintu.

Persona sang pengebom mati malah sesiapa sahaja yang memilih jalan yang disangkanya darajat tetapi darakat semata-mata ini disimpulkan dengan hakikat apakah tercapainya matlamat "dakwah" yang sebenar. 

Teringat kita kepada dialog hikmah seorang Ahlillah kepada seorang anak muda yang radikal.

"Apakah dibolehkan untuk dibom sebuah kelab malam dalam sebuah negara majoriti penduduknya beragama Islam?"

"Harus, ya Syeikh"

"Ketika mereka bermaksiat lantas mereka dibom, di akhirat nanti di manakah mereka akan ditempatkan?"

"Neraka, ya Syeikh"

"Maka, apa beza kamu dengan syaitan? 
Kedua-kedua kalian menghantar hamba-hambaNya ke neraka?"

Teringat kita, saat seorang jenazah Yahudi ditatang di hadapan Baginda Nabi solla Allahu alaihi wa aalihi wassalam, Baginda Nabi menangis. Ditanyakan perihal tangisan Baginda Nabi. Dijawab Baginda Nabi yang mulia,

"Satu roh telah meninggalkan aku 
dan menuju ke neraka."

Rumah Tuhan tidak pernah berpintu. Syurga Tuhan sememangnya terbuka. Kita yang mengada-adakan cerita, RumahNya ada kunci di mana akulah satu-satunya pemegang kunci. Melalui aku, menerusi aku sambil mulut, tangan dan kaki kalian digari, tanpa perlu sebarang kenyataan lagi.

Meminjam kata-kata Hazman Baharom dalam statusnya :

Sebenarnya dalam isu Kamarul vs Hannah Yeoh, sepatutnya kedua-dua pihak jangan bawa kepada polis atau pihak berkuasa di bawah autoriti kekuasaan (the state). Sepanjang sejarah, dalam hal sebegini, institusi negara - seperti polis, mahkamah, kerajaan, dsb - pasti (nota : saya lebih gemar menyatakan, lebih besar cenderung untuk) akan zalim kerana ia juga punya herotan (bias) tersendiri.

Memetik Deborah Lipstadt dalam filem Denial (2016) ketika buku beliau tentang peristiwa Holocaust diadili di mahkamah di London, "the court of law is a lousy place to judge historical truth," maka begitulah juga "the court of law is a lousy place to judge theological truth."

Bullet Shah rahimahullahutaala, penyair besar Punjabi Sufi Muslim pernah bermadah :

Runtuhkanlah masjid
runtuhkanlah biara
runtuhkanlah segala
yang ditangkap pandangan.

Namun, jangan runtuhkan
hati-hati insan
kerana di situlah tempat
tinggalnya Tuhan.

Jalan yang kita pilih biarlah senantiasa darajat sifatnya, mudah-mudahan - walau betapa sukar. Mohon perlindunganNya daripada memilih denai darakat yang merosakkan walau betapa longgar.

Wallahu'alam

Za'im Yusoff
19 Mei 2017
5.33 pagi

Friday, May 5, 2017

Secuplik Tentang Malam Persembunyian

(Rating Peribadi :10/10)

Dikhabarkan seorang wali Allah, keluar dari rumah sewaktu salju-salju putih mula melayah, ke kiri dan belakangnya. Tiba-tiba, dia pengsan. Sewaktu dirinya sedar, ditanyakan mengapa Tuan sampai boleh pengsan? Balasnya, sungguh aku benar-benar melihat kitab-kitab amalku sedang mengejarku dari kiri dan belakang. 

Begitulah keperihalan mereka yang dianugerahkan pengamatan mata hati yang terang. Hal ini tidak terkecuali dianugerahkan juga kepada para pendendang puisi dengan pengamatan yang begitu menggegarkan hati. Hal inilah antara diketemukan dalam Malam Persembunyian tulisan Faisal Mat Zawi (Kata-Pilar, 2017).

Sajak Kepada Tuhan (20)

Bulan sudah hampir ke purnama
tapi cinta, hai aku di mana

aku seperti dahaga di tengah lautan-Mu
semakin aku minum cinta-Mu
semakin aku dahaga kepada-Mu

ataukah aku seperti ikan di dalamnya
tetaplah hati aku tawar selamanya.

Bangalore, Jun 2015

Benar, rangkap kedua itu rangkap yang acapkali kedengaran misalnya dalam lirik Antara Dua Cinta nukilan Ustaz Pahrol Juoi nyanyian Raihan pada bait - Dunia ibarat air laut / Diminum hanya menambah haus.

Namun, rangkap yang biasa kedengaran ini diapit oleh dua rangkap yang cukup menjerut kekalutan hati, tersentak dengan rentakannya yang ternyata menggenangkan sejumlah keinsafan yang lama membeku. 

Mari bayangkan diri ini di tengah lautan kehidupan. Telah diperkenalkan kepada kita oleh Allah Jalla wa ‘Ala melalui sekalian guru tentang hakikat Muhammadiyyah, yang sinarnya begitu cerlang seperti bulan cemerlang di tengah kegelapan langit yang terentang. 

Bukankah semakin mengenali Baginda al-Habib ar-Rasul solla Allahu ‘alaihi wa aalihi wassalam, semakin mata kita dapat melihat hakikat hebatnya wajah Bulan Baginda itu. 

Sebenarnya Bulan itu sudah sedemikian purnama; namun langit hati kita yang terhijab secara berdikit-dikit terselak dengan tarbiyyah para mursyid hingga pada mata singkat kita terpampang pergerakan bulan dari anak kepada sabitnya, kemudian kepada separa hingga menghampiri purnama. 

Namun, begitulah bolak-balik nafsu, jungkir-mungkir hati insan seringkali membuatkan diri tertanya-tanya – dalam keadaan diri dibentangkan hakikat Muhamadiyyah berkenaan, di manakah diri ini sebenar-benarnya.

Bulan sudah hampir ke purnama
tapi cinta, hai aku di mana


Rangkap kedua perihal harapan, begitu hati mahu menjadi seperti sekalian ahli makrifat di mana semakin mereka mencintaiNya, semakin bertambah kecintaannya; seperti perihal dahaga yang bertambah pada kadar lautan rindu yang menyinggahi kerongkong batini. 

Namun, rangkap ketiga benar-benar sesuatu yang menampar dengan begitu segah dan segar.

ataukah aku seperti ikan di dalamnya
tetaplah hati aku tawar selamanya.

Ya, para ahli hikmah pernah berpesan – jadilah seperti ikan, meski lautan sekelilingnya masin, dirinya tidak masin. Moralnya, berpegang teguhlah pada pendirian agar akar aqidah tidak pernah sesekali berubah. Benar, tiada salah pesanan itu. Namun, Faisal memberikan keterbalikan alegori yang baru. 

Lontar Faisal, bagaimana kalau dikatakan lautan yang diibaratkan sebagai kehidupan itu segala-galanya adalah perantaraan alat kita mengecap rasa enak kecintaan padaNya? 

Bukankah kemasinan itu dalam Ahmad Albab (AR Tompel & P. Ramlee, 1968) menjadi punca amarahnya Mashood pada anaknya, Mastura yang sengaja membiarkan persembahan hidangan hari lahir ayahandanya itu tiada enak lantaran tiada garam diletak. 

Itulah tamsilan nikmatnya cinta Mastura kepada ayahandanya Mashood. Seperti garam dalam makanan. Kemasinan itulah yang menjadikan makanan enak dimakan, sedap dinikmati. 

Begitulah andai difahami kemasinan lautan sebagai keenakan di saat segala-gala dalam kehidupan itu tidak lain tidak bukan semata-mata tanda-tanda kebesaranNya; semata-mata jalan menikmati “masin” cintaNya; lantas mengapa diri kita ini tidak terasa kemasinannya? 

Begitukah tawar diri kita seperti ikan dalam lautan yang tidak terkesan langsung dengan enaknya masin laut? 

Begitukah keras hati kita dalam diri ini sekalipun hidup kita dikelilingi lautan tanda-tanda asbab menuju cintaNya?

ataukah KITA seperti ikan di dalamnya
tetaplah hati KITA tawar selamanya.

Jujur, selepas Dondang Pembukaan tulisan Muhammad Lutfi Ishak, Malam Persembunyian adalah antara kumpulan puisi – sampai kapan pun aku tidak akan pernah letih dan lelah membicarakannya.

Alhamdulillah.

*Dapatkan Malam Persembunyian di reruai Kata-Pilar Books, hanya di Tingkat 4, PWTC bersempena #PBAKL2017

Sebarkan Manfaatnya! :)