Artikel Wacana

Showing posts with label Tubir Kalam. Show all posts
Showing posts with label Tubir Kalam. Show all posts

Monday, September 2, 2013

SYARAH PANTUN BERBURU DI PADANG DATAR


Sahabat sahaya, Saudara Lee Jul pernah bertanyakan sahaya maksud pantun mahsyur ini :

Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi!

Pertamanya, pantun ini amatlah indah kerana kesempurnaan rimanya begitu terserlah.

Ber-bu-ru (3) di pa-dang da-tar, (5)
Da-pat ru-sa (4) ber-be-lang ka-ki; (5)
Ber-gu-ru (3) ke-pa-lang a-jar, (5)
Ba-gai bu-nga (4) kem-bang tak ja-di! (5)

3,5
4,5
3,5
4,5

Yang paling menakjubkan ia hanya memerlukan satu perkataan untuk mencukupkan rima awal bagi baris pertama dan ketiga! Subhanallah!

Baiklah. Syarahnya begini setakat apa yang sahaya maklumi dan ketahui. 

Perlambangan latar pembayang "padang datar" dan "rusa berbelang kaki" haruslah kita terlebih dahulu kuasai. Jika tidak, kita akan merapu-rapu dengan segala ramu-ramu dan zalim pada maksud yang hendak diletak. 

Padang Datar ialah imejan padang yang luas terbentang tetapi hampir kering dan kontang dari tumbuh-tumbuhan melainkan rumput rampai dari jenis bukan kayu kayan. 

Bukan seperti rimba belantara yang penuh dengan pohon-pohon yang tinggi melampai, hijau menawan dengan udara yang segar dan nyaman, punya segala jenis buah-buahan, kayu kayan, belit-belit rotan dari Tongkat Ali hingga Kacip Fatimah.

Rusa Berbelang Kaki pula bukan jenis haiwan yang kita sangka daripada keluarga Cervidae sebaliknya ia sebenarnya sejenis belalang! Belalang yang berbelang kakinya! Cuma dipanggil orang belalang jenis ini Rusa Berbelang Kaki! Kemungkinan besar kerana tidak kedapatan haiwan yang banyak selain daripada belalang jenis ini agaknya dalam alam Nusantara.

Maka, maksud -

Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;

itu boleh ditamsilkan sebagai kalau kita hanya berburu di padang datar yang sebegini kurang hasil mahsulnya, kita tidak boleh jangka apa-apa melainkan sekadar belalang sahaja. Ini boleh difahami dengan rangkap seterusnya yang mengisyaratkan sumber ilmu. Kalau kita hanya duduk berteleku menghadap ilmu dari gua sahaja, kemampuan dan penghasilan kita hanyalah apa yang ada di dalam gua itu sahaja. 

Sedangkan tabiat ilmu itu melaut kerana perjalanan sang murid mencari permata-permata ilmu yang banyak dengan kembara. Kembara ini disebut sebagai rehlah. Rehlah inilah yang ditamsilkan dengan masa yang panjang sebagaimana kalam mahsyur Imamuna as-Shafie rahimahullahuta'ala yang berbunyi :

Akhi lan tanal al ilm illa bi sittatin: 
Zakain wa hirshin wa ijtihadin wa dirhamin, 
wa suhbati ustazin, wa tuli zamanin

Saudaraku tidak dikau mendapatkan ilmu kecuali dengan enam perkara :
Kecerdasan, kesungguhan, kesabaran, biaya, 
bimbingan guru, dan waktu yang lama

Oleh hal sedemikian, mendapatkan tempat yang bagus untuk belajar adalah mustahak agar kita bisa peroleh manfaat yang berkualiti dan sebesar mungkin daripada gedung ilmu dari sepakar-pakar pakar yang ada untuk kita menuntut darinya. 



Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi -

pula bermaksud orang yang berguru tetapi leka-leka, main-main, suka-suka dan tidak prihatin akan apa yang diajari gurunya itu, menjadilah ia seperti biasa.

Mungkin dia akan menjadi sekuntum bunga, dan mungkin juga kembang tetapi sayang, kembangnya tidak begitu menjadi. Baru mengembang di pagi hari, diterjah mentari - kecut semula!

Begitulah perihal mereka yang tidak serius berguru dan menuntut ilmu.

Kesimpulannya, dalam soal pendidikan - tempat belajar dan cara berguru amatlah mustahak dalam menentu tinggi dalam mana ilmu yang dipelajari. Kerana itu tidak menjadi suatu kehairanan, para pensyarah mengomel-ngomel andai universiti tidak menyediakan prasarana dan kemudahan terbaik kerana ia bisa mencacatkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran. 

Dan akhlak berguru, rasa itu suatu perkara yang tidak perlu lagi diberitahu kepada para penuntut ilmu.

Pantun ini sebenarnya berasal daripada tulisan Allahyarham Usman Awang rahimahuallahuta'ala dalam puisi terkenal beliau bertajuk, Guru oh Guru (1979) :

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979

Moga bermanfaat!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Wallahu ta'ala 'alam

Sunday, August 25, 2013

Balas Puisi Mat Luthfi Perihal Ummah Berdarah



Ya - setuju dengan komen seorang pengomen. Penghasilan puisi ini menarik bukan sekadar rima tetapi juga kerana kalau kita membacanya dari bawah ke atas, masih bisa menghasilkan puisi yang sama maksudnya. Satu lagi konsep cerminan dalam puisi.


Justeru, kita cuba membalas :


Tiadalah puisi kami ini bermanfaat, 
Melainkan ia bisa membangkitkan semangat,
Untuk kalian terus bermunajat,
Berdoa kepada mereka ke sisi Hadrat!


سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Thursday, August 15, 2013

ENGKAU APA?


ENGKAU APA?

Agama apakah yang engkau anuti pegang -
sehingga masjid dan tiang pun engkau memanggang?

Al-Qur'an manakah yang engkau baca tadabbur -
sehingga mayat bersepah gelimpang terabur?

As-Sunnah manakah yang engkau pegang ikuti -
sehingga al-Haq itu si pencabul as-Sisi?

Tuhan manakah engkau sujud rukuk menyembah -
sehingga medan Raba'ah pun disimbah darah?

NabiNya manakah yang engkau tegar mengikut -
sehingga tiadanya rahmah selain takut?

Dirimu itu apa sebenarnya yang mengakar -
hingga tak bersenjata jatuh nilai dari askar?

Dan dirimu itu aku nak gelar panggil apa?
Kerna syaitan pun menobat engkau sebagai raja!

8 Syawal 1434H
15 Ogos 2013


--

Solidariti bersama Lembah Syuhada' Mesir

Ekstensi daripada nukilan asal Adinda Syamil Khalis yang tinggal 10 minit daripada Medan Raba'ah yang barakah itu.

Baris puisi ada 14 menunjukkan tarikh peristiwa sembelih yang sedih itu berlaku pada 14 Ogos 2013.

5 rangkap pertama tiap barisnya ada 14 suku kata menggambarkan cuplikan rakaman terus daripada tempat kejadian.

2 rangkap terakhir tiap barisnya ada 15 suku kata menggambarkan gelodak komentar hujaman tegar sebagai refleksi hari ini tentang kesimpulan kejadian yang dirakam dalam 5 rangkap sebelumnya.

ENGKAU APA?

(R1 B1) Agama apakah yang engkau anuti pegang - (14)
(R1 B2) sehingga masjid dan tiang pun engkau memanggang? (14)

(R2 B3) Al-Qur'an manakah yang engkau baca tadabbur - (14)
(R2 B4) sehingga mayat bersepah gelimpang terabur? (14)

(R3 B5) As-Sunnah manakah yang engkau pegang ikuti - (14)
(R3 B6) sehingga al-Haq itu si pencabul as-Sisi? (14)

(R4 B7) Tuhan manakah engkau sujud rukuk menyembah - (14)
(R4 B8) sehingga medan Raba'ah pun disimbah darah? (14)

(R5 B9) NabiNya manakah yang engkau tegar mengikut - (14)
 (R5 B10) sehingga tiadanya rahmah selain takut? (14)

(R6 B11) Dirimu itu apa sebenarnya yang mengakar - (15)
(R6 B12) hingga tak bersenjata jatuh nilai dari askar? (15)

 (R7 B13) Dan dirimu itu aku nak gelar panggil apa? (15)
 (R7 B14) Kerna syaitan pun menobat engkau sebagai raja! (15)

8 Syawal 1434H
15 Ogos 2013

*Puisi ini mengalami 3 kali evolusi. InsyaAllah ini yang terakhir dengan makna-makna yang cuba disisipkan dalam tiap-tiap fasa penghasilannya.

Moga hasil puisi ini bisa merakam dan memastikan kita terus berdoa untuk mereka sehingga kembali keamanan kepada warga dunia!

Allahul musta'an!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Thursday, June 6, 2013

Madah Cuci Tingkap


Saya bekerja di Tingkat 23. Telah lama juga memerhati, cuma saat membaca kekicau seorang rakan di bawah membuahkan rasa-rasa di hati hingga terlayah balasan madah sebagaimana di bawah :


Mad props to the guys that risk their lives so we can have clean windows. 2 flers dangling from 30th floor doing that now at office.

Sahaya bermadah :

Engkau di tingkap aku di meja,
Adakah benar kita berbeza?
Kalau mu ikhlas kau lebih mulia,
Kalau ku malas ku lebih hina!

Sungguh Tuhan tidak melihat harta 'tau rupa, kerana harta dan rupa adalah kurniaanNya. Tetapi Tuhan memandang kerja usaha kita - sebagaimana apa? Kerana kerja usaha itu asal puncanya dengan apa yang ada di hati. 

Bukankah Tuhan telah berfirman - di akhir nanti ia adalah tentang soalnya hati?

يوم لا ينفع مال ولا بنون

إلا من أتى الله بقلب سليم 

Di hari yang tiada guna harta dan anak-pinak,
Melainkan siapa yang mendatangi Allah dengan hati yang sejahtera diletak?

[Para penyair : 88-89]

Dan Marwan segera membalas :

Aku di sini engkau di sana,
Dekat di hati jauh di mata,
Mungkin warna kulit sedikit berbeda,
Tapi taqwalah yang membezakan kita.

Kepada abang-abang pencuci tingkap, terima kasih yang tak terungkap!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Friday, May 31, 2013

Mengapa Jawab Jadi Jawapan?

Ada soalan daripada seorang kawan berkenaan, mengapa hal di bawah bisa terjadi?

Jawab jadi jawapan
Wajib jadi kewajipan

Tetapi

Ajaib jadi keajaiban
Adab jadi peradaban
Tertib jadi ketertiban

Jawapannya : 

Hal ini termasuk di bawah persoalan pembentukan kata (ilmu morfologi) yang mana rujukannya boleh didapati secara jelas di dalam Tatabahasa Dewan. Meskipun daripada sudut pembentukan kata perkataan "jawab" boleh menerima akhiran -an sehingga seharusnya ia menjadi jawaban [jawab + an], namun di sana ada beberapa kekecualian yang diistilahkan sebagai Bentuk Mantap. 

Bentuk Mantap ialah sesuatu kata yang telah diserap dan telah menjadi kebiasaan sehingga diangkat oleh pihak autoriti bahasa untuk menerima bentuknya sedemikian rupa. Hal ini terpakai dalam isu - jawab menjadi jawapan dan wajib menjadi kewajipan. Malah jika diteliti dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, jawapan telah diterima sebagai subentri kepada jawab. 


Menurut DBP, jawaban adalah benar dari sudut morfologi manakala jawapan diterima sebagai kelaziman penggunaannya. Maka, jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian yang dibenarkan untuk dipilih oleh para pengguna bahasa. 

Kekecualian adalah perkara biasa dalam bahasa. Antara kekecualian yang lain ialah mentertawakan tidak dieja sebagai menertawakan sekalipun imbuhan awalnya termasuk dalam abjad PSTK yang menerima serapan seperti tangkap menjadi menangkap, saring menjadi menyaring, tunggu menjadi menunggu dan kata menjadi mengata. 

Kekecualian juga terdapat dalam bahasa lain. Saya masih teringat kata-kata Abang Faizurin Jamaluddin yang mahir sekitar 8 bahasa itu sewaktu mengadu ngomel padanya tentang kekecualian dalam Bahasa Perancis, beliau pantas merespon :

"Tell me, which language in this world that doesn't have any exception!"

Pokoknya - kerana terus belajar dan rela ditunjuk ajar!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

[ULASAN FILEM] REVIEW : KIL 2013 - Falsafah Bahasa Akil dalam KIL

Aku tidak ingin bahas panjang tentang filem hebat KIL ini. Tidak perlu aku zahirkan tiap-tiap rinci dan inci oren, pistol, pangkir dan baju Back To The Future serta tie hitam - untuk sejauh itu aku selam dalam. Cukuplah - aku mengungkapkan kehebatan filem ini pada judulnya sahaja - kerana ia sungguh-sungguh memberi makna kepada mereka yang menghargai ciptaan Tuhan, makhluk Allah Ta'ala bernama "Bahasa".

Sebelum itu, siapa yang maha malas - silalah ke bahagian terakhir "Khaatimah".

MUQADDIMAH

Bahasa Arab adalah bahasa yang amat berlapis. Lapisannya itu bertingkat-tingkat seperti langit-langit, as-samawaat yang jumlahnya tujuh tingkat. Asal sesebuah perkataan itu seumpama daripada Adam dan Hawa sehingga beranak pinak menjadi trillion manusia - begitulah diibaratkan penghasilan lapisan makna sesuatu kalimah di dalam Bahasa Arab. Kerana itu Tuhan memilih Bahasa Arab sebagai bahasa wahyu - duduk tenang bersemayam gah di dalam al-Qur'an itu. 

SYARAH

Aqil. Di dalam KIL, watak Redza Minhat dieja sebagai Akil. Panggilannya Kil. Singkatan mendamaikan. Mendekatkan. Manja. Seperti Syakir dipanggil Kir, semisal Rozana digelar Na. Nama teringkas yang hanya memerlukan senafas menyebutnya adalah tanda cinta berbekas kerana kita masih upaya untuk menyebutnya walau kita masih hanya punya senafas. Begitulah falsafah nama timangan yang ringkas - tanda cinta berbekas.

Aqil. 'Ain-Alif-Qaf-Lam. عَاقِلٌMaksudnya orang yang mempunyai akal. Lebih tepat - orang yang benar-benar mempunyai akal dan melazimi dalam tiap-tiap sifat dirinya itu dengan akal yang berakal - diamnya berakal, geraknya juga berakal. 

Di dalam doa ayat sepuluh atau lebih dikenali sebagai Ayat Qaaf di mana dalam tiap-tiap ayat al-Qur'an yang sepuluh itu jumlah bilangan huruf Qaafnya ialah sepuluh yang merupakan amalan wali-wali Allah semisal Imam Bukhari radhiyaAllahu'anhu, Syeikh al-Syazuli radhiyaAllahu'anhu dan Syeikh Abu Yazid al-Bastami radhiyaAllahu'anhu - ada disebutkan dalam bentuk 'badal' :


إلهي أسألك ... عقلا عاقلا

Ilaahi as-aluka 'aqlan 'aaqilan 

Ya Tuhanku - aku memohon pada-Mu akal yang berakal

*Terjemahan alternatif : Ya Tuhanku - aku memohon pada-Mu akal orang yang berakal^
^Ini menunjukkan keluasan penafsiran Bahasa Arab :)

Doa ini pelik. Sepelik watak Aqil @ Akil dalam KIL. Bukankah akal itu sememangnya berakal? Kalau tidak, ia bukannya akal? Lantas, mengapa masih dipinta akal yang berakal?

Kerana akal itu hanya berakal bila dia menurut Tuhan Pencipta akal. Kerana akal dicipta untuk membina bukan untuk meruntuh musnah. Siapa yang lebih tahu yang meruntuh musnah kalau bukan Allah? Saat tiada menurut Allah, akalnya itu untuk meruntuh musnah.

Allah mengilhamkan sukma [termasuk akal] kefasikan dan ketaqwaan -
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya -
Merugi bagi yang mengotori-Nya -

[Perenggan seterusnya khusus untuk yang mendalami ilmu bahasa khususnya Bahasa Arab. Bagi yang berani mencuba, dipersilakan. Bagi yang tidak, boleh ke perenggan selepas tanda "---"]

Aqil. 'Ain-Alif-Qaf-Lam [عَاقِلٌ]. Kalau yang pelajari Bahasa Arab, ia daripada wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ] - wazan "the Doer" - "pembuat". Semisal Haa-ki-mun [حَاكِمٌ] - seorang Hakim. Too-li-bun [طَالِبٌ] - seorang Pelajar. Kaa-ti-bun [كَاتِبٌ] - seorang Penulis. Maka, 'Aa-qi-lun - seorang yang berakal. 

Namun, kita yang belajar Bahasa Arab juga tahu, bahawa wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ] - tidak sekadar berhenti di situ. Ia juga bermaksud "kata sifat" bukan sekadar "kata pembuat". Malah, kata sifat dalam wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ] dikategorikan sebagai wazan yang amat kuat sifatnya dalam menonjolkan sesuatu sifat yang dilazimi oleh yang disifatkannya itu. 

Contoh - Saya Belajar dibandingkan dengan Saya Pelajar. Orang yang belajar tidak semestinya pelajar - mungkin dia hanya belajar saat dia sedang ditanya dia sedang berbuat apa. Tetapi seorang Pelajar - dia sememangnya belajar. Kerja seorang Pelajar memang belajar sahaja kerjanya. Malah boleh dikatakan, tidak ada kerja lain yang dilakukan oleh seorang Pelajar melainkan belajar jualah. Maka, di sini, Pelajar ialah "kata pembuat" - "the Doer" - wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ].  Kerana itulah dikatakan kata sifat itu kuat sifatnya andai digunakan bentuk wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ] - "the Doer" - "kata pembuat". 

Sama juga ketika Allah Ta'ala menggunakan kalimah "zaa-i-qatu" al-maut ( ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ), saat berbicara tentang tiap yang bernyawa - kullu nafsin (كُلُّ نَفۡسٍ۬) wajib merasai mati. Digunakan wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ] bagi kalimah "zaa-i-qatu" dalam bentuk "muannas" kerana kehadiran "isim 'alm" iaitu "an-nafs". Maka, kesimpulannya, andai hendak ditonjolkan sungguh-sungguh sifat sesuatu, gunakanlah "kata pembuat" - "the Doer"- wazan faa-'i-lun [فَاعِلٌ].

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati

[ali-Imran : 185; al-Anbiya' : 35]

---

Maka, kerana itulah kita katakan Aqil itu bermaksud orang yang benar-benar mempunyai akal dan melazimi dalam tiap-tiap sifat dirinya itu dengan akal yang berakal - diamnya berakal, geraknya juga berakal. 

KIL. Plot pertama filem ini mendedahkan cubaan Akil [yang asal ejaannya sepatutnya Aqil], mengambil nyawanya dengan tiub eksoz yang dipanjangkan hingga masuk ke kereta yang dikunci. Asap itu begitu tebal sehingga menutup perkataan "L" hujung yang satu lagi di sebelah KIL. Ya - asal KIL ialah KILL. Tetapi, sengaja dihijabkan L yang hujung bagi memberikan persoalan yang sebenarnya ialah kesimpulan awal bagi minda separuh sedar tentang akhir penceritaan ini - hakikatnya. Kil sebenarnya tidak mampu "KILL" dirinya sendiri kerana kehilangan -L!

Kerana itu, sejak dari awal filem itu, aku sudah mula merasakan - filem ini sebenarnya bermain dengan jiwa linguistik aku. Bagaimana bisa seorang yang sepatutnya berakal tidak menggunakan akal-nya sehingga dia mahu ambil nyawanya sendiri. Bagaimana Kil tegar mahu Kill dirinya sendiri? Ini suatu imej yang kontras! Berlawan dengan sifat namanya yang berakal itu yang sepatutnya dia pakai dalam tiap-tiap sisi hidupnya!

Berbekalkan persoalan itu - aku berseorangan menelusuri tiap-tiap plot, watak dan prop filem KIL sambil diselimut kain rida' hijau dalam sejuk-sejuk angau. 

Setelah ditipu hidup-hidup dengan watak psiko si Zara lakonan Christine Suzanne dan juga disepak terajang oleh watak ala-ala Devil Advocates oleh Harun Salim Bachik - maka, barulah aku faham filem ini.

Falsafahnya tentang makna kehidupan pada kejadian sebuah kematian amat-amat menonjol dan tertonjol hingga menghadiahkan di kepala hati kita sebuah benjol - sebagai memperingatkan bahawa hidup ini wajib diraikan! Cuma kita perlu mencari benar - makna dan erti. Dari makna dan erti, maka lahir hadir-lah rasa-rasa.

Keseluruhan cerita sebenarnya menceritakan bagaimana hendak memulangkan Akal semula kepada Akil yang sepatutnya berakal itu!

[Jangan baca perenggan ini - kalau tak mahu spoil - highlight untuk baca]

Di mana kita hanya berakal saat kita sedar sampai satu masa kita tidak mampu kawal. Bukankah telah disebut oleh Harun Salim Bachik lebih kurang :

"Kami sebenarnya membantu orang macam Cik Akil keluar dari tindakan membunuh diri. Sebenarnya, Cik Akil tidak mahu membunuh diri - kalau tak, sudah lama Cik Akil senang-senang mengambil nyawa sendiri. Cik Akil berusaha nak bunuh diri sebab semua tindakan  itu di bawah kawalan Cik Akil. 

Mungkin tindakan kami agak radikal, tetapi kami sengaja wujudkan keadaan di mana nyawa Cik Akil diambil oleh orang di luar kawalan Cik Akil. Waktu ini, barulah Cik Akil rasa nak hidup semula! Barulah Cik Akil sembuh daripada mahu membunuh diri!"

Superb!

Aku teringat kata-kata Habib Ali Zainal Abidin hafizahullahuta'ala ketika memetik kalam orang-orang berhikmah di dalam pengajian Darul Murtadza, Masjid Mu'adz Bin Jabal, Setiawangsa sebelah LRT Setiawangsa yang berlangsung tiap Jumaat selepas Isyak - sebagaimana berikut :

"Insan itu sentiasa mengejar dan dikejar. Insan mengejar dunia sedang insan dikejar maut. Soalnya, siapakah yang akan terlebih dahulu mendapatkan apa yang dikejarnya? Bodohlah mereka yang kalah kepada maut di saat begitu ramai insan yang menang walau dicekup maut lantaran telah siap siaga menghadapinya - malah mendapat habuan daripadanya!"

Maka, kalau direnung-renung, filem KIL ini memberitahu kita - makna kehidupan itu hanya dapat dirasai saat kita benar-benar tahu dan sedar mengerti hakikat kematian. Bukan sekadar hakikat kematian, tetapi hakikat kematian DI LUAR KAWALAN!

Allahu Allah!


At the beginning, KIL tells us that you can't appreciate your life if you could control your death but at the end, KIL rephrases her statement and tells us that you can only appreciate your life if you realise that you could not control your death!

KHAATIMAH

Kesimpulannya, filem ini sesuai bagi mereka yang ingin bunuh diri - yang jujurnya, aku pernah merasai - pada satu titik dalam kehidupanku. Cerita ini juga sesuai untuk mereka yang mencari kehidupan itu sebenarnya apa? Cerita ini sesuai untuk yang rasa terasing terpinggir dari bendasing-bendasing dunia. Cerita ini sesuai untuk mereka yang hidup terperuk terperosok dalam hiruk-pikuk riuh-rendah kotaraya. 

Dan paling mustahak - cerita ini sesuai untuk orang yang sedar bahawa dirinya sedang gila dan akan terus gila. Gila itu ialah hilang akal. Dan cerita ini menceritakan bagaimana ianya memberikan semula akal kepada seorang yang sepatutnya benar-benar mempunyai akal dan melazimi dalam tiap-tiap sifat dirinya itu dengan akal yang berakal yang bernama Aqil@Akil yang dipanggil Kil!

Aku kira - kerana aku telah berjaya dengan izin ilham dan hidayahNya mencungkil kebanyakan perlambangan dalam filem ini - maka dengan besar hatinya aku memberi bintang 8.5/10!

Sheikh Ahmed Arif budak Imperial College London yang belajar Bioteknologi tetapi pakar sejarah China juga peminat MasterChef Selebriti mahupun Australia itu pernah berkata -


"Review Za'im bukan boleh percaya sangat!"

:)

Apapun - selamat menyelam dalam dalam KIL!

Dan dedikasi buat semua, salah satu lagu yang terbaik dan kena dengan filem KIL ini yang dicorongkan di plot-plot akhir filem ini. Terbaik dari MCKK [sekolah I lew tew haha], Butterfingers - Mati Hidup Kembali!

Jalan raya terlampau sunyi
Untuk ku terus bermimpi
Mataku belum mengantuk lagi
Bawa ke mana sahaja kupergi

Tunjukkan ku bulan gerhana
Tiada siapa nak kujumpa
Pendirian tiada kusangka
Tak mengapa oh tak mengapa

Malam semalam gundah gulana
Hari ini hari mulia
Tak pernah daku rasa begini
Seperti mati hidup kembali

Bawakan kuhilang dari ingatan
Hari ini sehingga esok
Tak pernah daku rasa begini
Seperti mati hidup kembali

Agar sepenuh dengan pendirian
Kucapai sebelah tangan
Sebalik awan ada cahaya
Bercahayalah selamanya

Daku tertawa seorang diri
Darah yang mengalir terhenti
Fikiranku melayang-layang
Tiada siapa yang perasan


سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Review lain juga menarik untuk baca dari otai pengkritik filem [KLIK] Juga di sini [KLIK] dan ini [KLIK]

Lagi falsafah KIL menarik disusun [KLIK]


Takut dikatakan memberikan harapan palsu, boleh baca pendapat orang lain di FB Rasmi KIL [KLIK]



Alhamdulillah - KIL Movie komen review ni =) 
Moga bermanfaat!

Juga Redza Minhat tweet ^_^



Dan mereka dalam produksi ini adalah manusia yang sungguh-sungguh humble - dan Tuhan selalu menyebelahi mereka yang humble!




*patutnya me-nyah kezaliman bukan membela

Sebarkan Manfaatnya! :)