Artikel Wacana

Showing posts with label Siasah. Show all posts
Showing posts with label Siasah. Show all posts

Thursday, October 31, 2013

DAPATAN RINGKAS FORUM BAJET 2014 UNIVERSITI MALAYA

Panelis :


Tan Sri Datuk Dr Kamal Salih (bekas MP Wangsa Maju 1995, PHD Penn Uni)

Prof Dr Rajah Rasiah (Faculty Dean, PHD Cambridge Uni)

Dr. Nungsari Ahmad Radhi (Khazanah, PHD Purdue Uni)

Dr. Dzulkifli Ahmad (Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, PHD Imperial College)

10 DAPATAN MENARIK :
*Segala statistik diambil terus daripada dapatan forum, tidak melalui pemeriksaan semula kepada data asal/rasmi. Kebanyakan mungkin hanyalah anggaran kasar semata-mata. 

1. Bajet 2014 merupakan bajet yang ada pro dan kontra. Yang paling jelas bajet ini tidak dapat menyembunyikan lagi beban hutang negara yang begitu membimbangkan di mana hutang negara sudah menghampiri siling 55% daripada GDP (KDNK). Jumlah KDNK negara kita menghampiri RM 1 trillion. 

Kalau dicampur dengan hutang isi rumah yang berjumlah 86% daripada KDNK, maka negara berhutang sudah melebihi kadar 120% daripada KDNK. Bermaksud, negara mempunyai beban hutang melebihi daripada RM 1 trillion jika dicampur kedua peratusan itu. 

Dalam erti kata lain, seorang rakyat menanggung hampir RM 60 ribu beban hutang. Tambah membimbangkan, kadar pendapatan tidak begitu meningkat dan rakyat tidak begitu merasakannya kerana selama ini ia ditampung oleh subsidi yang tinggi. 

2. Bajet kali ini dikhabarkan dirangka dalam menuju ke arah bajet berimbang menjelang 2020. Ini boleh dicapai andai kata isu yang paling fundamental yakni komitmen kerajaan sendiri dalam menutup secara serius ruang-ruang ketirisan dilaksanakan dengan bersungguh. 

Dasar jimat-cermat Amerika Syarikat misalnya dalam menampung ruang-ruang ketirisan telah berjaya mengatasi hutang negara mereka sebanyak 20% dengan kadar penjimatan.

Pakatan Rakyat menjangkakan andai kata kerajaan BN serius dalam hal penjimatan dan sesifar mungkin ketirisan, kita mampu mencapai peratusan 24% dalam membiayai hutang negara hanya melalui usaha penjimatan. 

3. Kadar produktiviti negara berada di tahap yang rendah. 

Dari satu segi, saiz kakitangan kerajaan juga amat besar merangkumi 1.4 juta pekerja berbanding sekitar 1 juta pekerja pada tahun 2009. Ini menambahkan beban operasi dalam sektor kerajaan. Maka, adalah amat mustahak produktiviti dalam kalangan kakitangan kerajaan diperkasakan. 

Tambah memilukan, nilai keuntungan yang diperoleh dalam sesuatu ekonomi di Malaysia hanya dimiliki oleh para pekerja sekitar 28% di mana baki 72% dimiliki oleh para kapitalis. Berbeza dengan negara-negara maju di mana para pekerja memiliki peratusan keuntungan sekitar 50-54% daripada sesebuah perolehan ekonomi.

Misalnya, keuntungan syarikat katakan 1 juta ringgit. Dalam konteks Malaysia, hanya 280 ribu ringgit yang diperoleh oleh para pekerja sedangkan para kapitalis memperoleh 720 ribu ringgit; sedangkan di negara maju, para pekerja memperoleh sekitar 500 ribu ke 540 ribu ringgit dari sudut gaji/bonus dan sebagainya. 

Ini menunjukkan agihan ekonomi dalam kalangan kapitalis-pekerja di Malaysia masih di tahap tidak seimbang dan terzahir dalam Gini Coefficient negara yang tidak mengalami begitu banyak perubahan.


4. Kita juga tidak memasukkan "contingency liability" dalam pengiraan kadar hutang kepada KDNK.

Jumlah hutang kerajaan yang bersifat "contingent liability" ialah seperti hutang kerajaan dan swasta yang dijamin kerajaan termasuklah projek MRT di mana hutang diperolehi melalui bon yg dijamin oleh kerajaan. Sedangkan kos operasi sudah mula berlangsung walaupun projek itu belum lengkap, namun angkanya tidak kita masukkan dalam pengiraan hutang yang menjadi asas kepada bajet itu sendiri. 

Secara dasar, dicadangkan agar kerajaan menggunakan kaedah akrual dalam dasar perakaunan negara bagi mengelakkan tuntutan bajet tambahan yang saban dibentangkan ke Parlimen tahun sejak 2009 berlaku. 

Ini juga antara komitmen yang kerajaan BN wajib komited. Hentikan tuntutan bajet tambahan yang berjumlah sekitar 20 billion setiap tahun yang seakan sudah menjadi tradisi kebelakangan tahun ini.

Paling menyedihkan, apabila yang diusulkan itu ialah wang yang sudah dibelanjakan! Amalan ini harus diberhentikan andai kerajaan BN benar-benar serius untuk mencapai target bajet berimbang menjelang tahun 2020.

5. Kesemua panelis pada dasarnya bersetuju dengan GST yang ternyata lebih baik sistemnya berbanding SST dari sudut kutipan, agihan dan sebagainya (broaden the tax base). 

Namun, yang menjadi titik pertikaian ialah cara bagaimana GST itu dilaksanakan. 

Misalnya, dengan keadaan pendapatan rakyat tidak meningkat dan tiada komitmen yang jelas daripada kerajaan untuk mengatasi ketirisan, kita bimbang sistem cukai terbaik sekali pun diguna pakai tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara. 

Diskusi peribadi selepas forum bersama Dr Dzul misalnya mendedahkan Pakatan Rakyat tidak menentang GST bukan kerana ]sistem GST itu tetapi kerana kadar GST 6% pada awal-awal perlaksanaannya lagi ternyata amat menekan rakyat.

Singapura misalnya mengenakan GST pada takat 3% selama hampir sedekad sebelum menaikkan kadar GST berkenaan. Ini juga praktis di negara-negara lain. 

6. Malaysia juga menghadapi masalah tekanan gaji (wage depression). Ini terhasil dengan kebanjiran pekerja asing berkemahiran rendah. Ini mengakibatkan kurangnya insentif kepada industri untuk menaikkan gaji. Ini kemudiannya mengakibatkan kenaikan gaji di Malaysia berada di tahap yang minimum. 

Di samping itu, kebanjiran pekerja asing berkemahiran rendah tidak membantu pemindahan teknologi dan kepakaran sebagaimana yang diharapkan. Selagi Malaysia masih tersekat sebagai pemain industri tambah nilai (value-added industry) semata-mata, selagi itu Malaysia akan berada di takuk yang sama pada hari ini.

Malaysia memerlukan janaan ekonomi pulangan terus secara lebih serius (increasing return economy).

7. Pada sekitar 70-an, KDNK Korea hanyalah suku daripada Malaysia. Pada hari ini, KDNK Korea bernilai empat kali ganda daripada Malaysia. Bagaimana ini boleh terjadi? 

Antaranya ialah fokus kedua-dua kerajaan ini berbeza. 

Korea menumpukan kepada kualiti pertumbuhan ekonomi yakni bagaimana pertumbuhan ekonomi itu dijana dan mampu bertahan dalam jangka masa yang lebih lama. Berbeza dengan Malaysia yang memfokuskan dan begitu obses dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang hanyalah merupakan praktis perakaunan semata-mata yakni tidak menunjukkan perbezaan ekonomi sebenar dan ekonomi potensi yang nyata. 

Generasi anak muda wajar sedar hal ini. Fokuskan kepada kualiti pertumbuhan negara bukan kadar pertumbuhan yang hanya sekadar permainan silap mata semata-mata. 

8. Praktis kewangan negara amat pelik. 

Antaranya bagaimana seorang Perdana Menteri dalam masa yang sama boleh menjadi Menteri Kewangan. Dalam mana-mana syarikat, tidak pernah terjadi CEO dan CFO-nya itu orang yang sama. Ini penting bagi menjamin ketelusan pengurusan kewangan di samping pengurusan sesebuah kendaliaan organisasi itu berjalan dengan penuh berhati-hati melalui elemen "check and balance". 

Praktis cukai kereta yang tinggi juga masih belum dapat diselesaikan. Rakyat terpaksa meminjam untuk membeli sesuatu yang susut nilainya sehingga sifar sebelum pinjaman itu sendiri habis. Malah kita meminjam untuk membayar cukai yang ternyata menyalahi prinsip asas kewangan! 

Nilai kereta susut selepas 5 tahun dengan kadar purata susut nilai (depreciation) 20% setahun. Tetapi kita biarkan pinjaman sehingga 9 tahun kerana rakyat tidak mampu bayar. 

Cukai kereta yang tinggi ini melambangkan betapa tidak peka kerajaan BN terhadap prinsip fundamental kewangan.

9. Hujah tarik subsidi gula untuk kesihatan suatu hujah yang dangkal - wajar diberhentikan. Walaupun Tan Sri Dr Kamal mengiakan hujah ini atas dasar ia bagi mengurangkan beban subsidi perubatan di masa hadapan tapi ia telah dijawab balik oleh Prof Dr Rajah, permintaan gula bersifat kurang anjal (inelastic demand), oleh itu sebarang kenaikan harga kerana kurangnya subsidi tidak membawa perubahan sangat kepada kuantiti pembelian gula. Kalau benar hendak atasi isu diabetes, ia melalui gaya hidup yang lebih sihat bukan melalui mekanisme harga. 

10. Cuma, kelemahan yang ketara bagi pihak kerajaan BN ialah kita masih memfokuskan kepada kadar pertumbuhan bukannya pengagihan ekonomi yang efisien dan optimum kepada rakyat terbanyak. 

Kesemua panelis bersetuju bahawa Malaysia memerlukan kepada sistem pengurusan ekonomi yang lebih "socially just" berbanding "higher growth" semata-mata. 

Laporan "Social Cost Benefit" perlu segera diwajibkan bagi mana-mana projek kerajaan sebagaimana amalan praktis berhemah di negara luar.

Sekian melaporkan.

Terima kasih kepada Mahasiswa UM atas penganjuran forum yang terbaik ini. Teruskan inisiatif bagus ini! 


Yang benar,
Za'im Yusoff 
Wangsa Maju

Thursday, June 20, 2013

MADAH POLITIK ITU HAI KAWAN


Politik itu hai kawan adalah seni,
Karyanya seni banyak tafsiran,
Ada mengeji ada memuji,
Ada menolak 'tau meraikan.

Politik itu hai kawan adalah senjata,
Ada yang tumpul - yang tajamnya juga,
Setiap senjata ada masanya,
Tak kena masa - tuan dimakannya.

Politik itu hai kawan adalah makanan,
Ada yang pahit, manis dan masam,
Pedas dan tawar kena hadamkan,
Banyak perencah rempah dan ulam.

Politik itu hai kawan adalah kenderaan,
Ada yang laju ada perlahan,
Ada yang maju ada yang lembap,
Ada di zaman putung berasap.

Politik itu hai kawan adalah fenomena,
Terlepas peluang habis merana,
Sabar menunggu gilir seterusnya,
Tegar membaik pulih semula.

Politik itu hai kawan adalah bangunan,
Asas binaan wajibnya kukuh,
Kalau tak teguh akhirnya runtuh,
Cumanya masa akan tentukan.

Politik itu hai kawan adalah hati,
Hati yang bersih - kotor ataunya,
Wajar ditanya kepada diri,
Politik kamu untuknya apa?

-Pasca Khutbah di Masjid as-Syakirin, siap 2:15pm kena belanja di Häagen-Dazs

سبحان الله وبحمده
سبحان الله العظيم

Thursday, May 10, 2012

Isu Adil Dalam Bersih 3.0


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kita adalah pemain bola dalam suatu bentuk perlawanan yang tidak adil tetapi kita kena main bola, sebab semakin banyak gol disumbat, semakin banyak duit kita boleh dapat, untuk menyelamatkan mereka di hospital yang sedang sakit tenat.

Bentuk perlawanan tidak adil itu adalah seperti referee berat sebelah, dataran pihak lawan lebih tinggi daripada kita - jadi mereka lebih senang nak sumbat gol berbanding kita yang kena tendang lebih tinggi sebab dataran kita lebih rendah - dan pelbagai kezaliman lagi yang tidak dapat dihuraikan di ruang terbatas ini.

Dengan perlawanan sebegini, kita tetap mampu sumbat gol walaupun kalah. Katakan kita kalah 4 - 11.

Takkanlah kita nak tunggu kita kalah sampai 0 - 15, baru kita nak desak perubahan bentuk perlawanan?

Tetapi main tetap main - kerana itulah satu-satunya jalan terbaik untuk mendapatkan duit, menyelamatkan mereka di hospital yang sedang sakit, berbanding mengangkat pedang sembelih seorang-seorang pemain pihak lawan dan mencuri duit dari pihak penganjur, untuk selamatkan mereka yang makin kaku terbujur.



Sekarang kita boleh faham logiknya kenapa pihak ditindas selama ini menyatakan - Kalau perlawanan ini adil sebagaimana selayaknya, kita dah skor lebih banyak dan menang seluruh perlawanan.

Dan sekarang juga kita boleh faham betapa dangkalnya hujah pihak yang selalu disebelahkan selama ini yang menyatakan - kalau sistem kita tak adil, kenapa mereka boleh skor 4 gol? Kenapa mereka terus sertai perlawanan? :)

Alhamdulillah :)

Wallahu'alam

Kawan saya ada berseloroh, 
"Bezanya.. team kita ada 'ronaldo' ,'messi' 'zidane' dan lain-lain yang hebat..itu yg still boleh score..hehe" :)

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Tuesday, May 8, 2012

Undi UMNO Masuk Syurga?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Written by Muhammad Mohamad   

Saya tidak pernah dibayar oleh mana-mana pihak untuk menulis ini. Tidak pula saya disogok dengan pelbagai imbuhan kain batik, tin Milo mahupun biskut Marie sehingga penulisan ini dikeluarkan. Kemungkinan besar "spiritual reward" yang mengasak diri saya untuk menulis penulisan ini. Itupun kalau anda samakan spiritual reward itu dengan pahala. Ya, pahala! Benda yang kita semua cari. Orang bukan Islam sekarang pun sudah faham konsep dosa pahala. Tinggal nak mengucap syahadah sahaja. Insya Allah.

Saya rasa sesak. Jiwa saya rasa kusut. Sejak dari tadika hingga sekolah rendah, menjengah sekolah menengah hingga kini saya di pengajian tinggi di luar negara, dua isu yang asyik-asyik diulang tiada berkesudahan. Saya harapkan penulisan ini bukan hanya didengar oleh orang yang berbuat perkara ini semata-mata sebaliknya pihak-pihak yang belum buat dan kemungkinan bakal buat, sila cakna dan ambil perhatian. Anda semakin menghampiri kuasa, semakin itu kami selaku rakyat biasa perlu ingatkan anda. Lagipun, semakin pemimpin ditegur dan pemimpin berubah lantaran akur, semakin kami sayang anda semua - wahai para pemimpin yang sudi mendengar teguran dan nasihat.


Pertama, isu biasiswa. Ada kawan saya menyuntik provokasi. Kenapa apabila kita bercakap tentang dasar-dasar baik seperti pemberian biasiswa, ia selalunya dinisbahkan kepada 'kerajaan Malaysia', tetapi apabila bila apabila kita bercakap tentang dasar-dasar jahat seperti percambahan kelab-kelab malam atau konsert Adam Lambert, serta merta ia dinisbahkan kepada 'Umno'?

Provokasi yang terbaik pernah saya terima. Saya fikir dan terus fikir. Sekali imbas macam betul kenyataan itu. Tetapi dua kali imbas, baru saya sedar, rakan saya sedang mengajar saya untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Setiap kerajaan ada tanggungjawab asasnya. Tanggungjawab asas kerajaan mudah, untuk memastikan kemudahan asas kepada rakyat dipenuhi. Asas seperti makanan dan tempat tinggal adalah di antara yang pasti. Ini termasuk juga pendidikan. Sejak tahun 1952, Artikel 2 di dalam Protokol Pertama di dalam Konvensyen Eropah berkenaan Hak-Hak Asasi Manusia telah mewajibkan semua pihak autoratif untuk memastikan hak pendidikan dalam kalangan rakyat dipenuhi. Di peringkat global, Perjanjian Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu  bagi Ekonomi, Sosial dan Hak-Hak Budaya tahun 1966 turut menekankan hak yang sama di dalam Artikel 13-nya.

Oleh itu, memandangkan tanggungjawab memberikan pendidikan sebagai contohnya biasiswa adalah tanggungjawab asas kerajaan, maka biasiswa sama ada daripada Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional mahupun daripada Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat hatta Kerajaan Persekutuan Sosialis mahupun Komunis, tidak harus dijadikan modal politik murahan semata-mata untuk menonjolkan perkara yang memang sepatutnya dilaksanakan. Ia perkara biasa, bukan perkara luar biasa yang harus sangat-sangat dibangga sehingga ke tahap menjadikan ia agenda. Menyebutnya kita faham, tetapi menyanjungnya suatu perkara yang bagi saya agak berlebihan.

Dari segi dasar yang bukan asas, atau dalam erti kata lain, dasar alternatif seperti undang-undang atau kelulusan program-program hiburan contohnya, itu sememangnya bergantung kepada pembawaan ideologi dan kefahaman pemerintah berkenaan isu-isu alternatif berkenaan. Dalam kes konsert hiburan oleh artis gay Adam Lambert, bagi kerajaan yang mementingkan hiburan untuk mendidik rakyat dengan mengetepikan sebarang anasir jahat daripada terpahat pasti akan sedaya upaya untuk tidak meluluskan konsert berkenaan.

Bagi kerajaan yang mementingkan hiburan untuk mendidik rakyat dengan mengetengahkan hiburan yang menjulang nilai-nilai positif yang proaktif dan efektif pasti akan sedaya upaya untuk mengetengahkan figur-figur yang layak dijadikan contoh kepada masyarakat. Nama-nama artis teladan seperti Sami Yusuf yang baru menerima anugerah Doktor Kepujian daripada University Roehampton di London kerana sumbangannya terhadap dinamisme dunia muzik global mahupun Cat Steven yang telah menerima anugerah Man for Peace oleh Mikhail Gorbachev itu akan dijulang konsert mereka. Namun, syabas untuk kerajaan Umno atas kelulusan konsert Maher Zain yang begitu menyuntik jiwa untuk menyebarkan kebaikan. Cuma lagi elok, konsert-konsert yang menyebarkan kejahatan turut sama dinyahkan.


Isu kedua adalah isu undi sesebuah parti akan masuk syurga ataupun neraka. Saya menarik nafas panjang. Menghelanya dengan tenang untuk cuba memikirkan dengan rasional berdasarkan ilmu tegukan 'alim ulama'.

Berdasarkan kefahaman saya, kalau kita sokong orang buat baik, kita juga akan dapat pahala. Kalau kita gantikan orang baik dengan pemimpin, pasti kita akan bertemu logik, kalau kita sokong pemimpin buat baik, kita juga akan dapat pahala. Kalau kita dapat pahala, insya Allah, Allah swt menjanjikan kita dengan syurga.

Maka, kalau kita menyokong pemimpin buat baik, sudah pasti insyaAllah, syurga akan menjadi tempat balasan kita. Mudah cerita, katakan sahaja sokongan itu dizahirkan dalam bentuk undi. Perkara ini bukan sahaja untuk PAS malah juga untuk Umno. Kalau Umno urus negara dengan baik, ikut apa yang Allah swt suruh, tinggal dan cegah apa yang Allah swt larang, sudah pasti, dengan menyokong Umno, kita akan masuk syurga juga.

Sebaliknya, kalau kita sokong orang buat jahat, kita juga akan dapat dosa. Kalau kita gantikan orang jahat dengan pemimpin, pasti kita akan bertemu logik, kalau kita sokong pemimpin buat jahat, kita juga akan dapat dosa. Kalau kita dapat dosa, nauzubillah, Allah swt mengazab kita dengan neraka.

Maka, kalau kita menyokong pemimpin buat jahat, sudah pasti nauzubillah, neraka akan menjadi tempat balasan kita. Mudah cerita, katakan sahaja sokongan itu dizahirkan dalam bentuk undi. Perkara ini bukan sahaja untuk Umno malah juga untuk PAS. Kalau PAS urus negara dengan teruk, tinggal apa yang Allah swt suruh, buat apa yang Allah swt larang, sudah pasti, dengan menyokong PAS, kita akan masuk neraka juga.

Maka, isunya bukan sama ada PAS memainkan isu undi masuk syurga atau tidak, isunya sama ada kerajaan PAS atau Umno yang membawa kita kepada syurga atau neraka dek kerana dasar-dasar mereka.

Saya sudah kata dari awal, penulisan ini tidak dibayar. Ia adalah untuk mereka yang sudah buat salah dan bakal buat salah kalau tidak ditegur awal.

Yang buat salah, silalah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Yang belum buat salah, berazamlah untuk tidak berbuat salah. Kelak, kami tidak akan mengundi orang yang menyeru kami ke neraka!

Muhammad Mohamad

Australia

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Sebagaimana telah diterbitkan di SINI

Wallahu'alam

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Sebarkan Manfaatnya! :)