Friday, August 30, 2013

[ULASAN FILEM] REVIEW : TANDA PUTERA - Nuansa Rasa-Rasa Bernegara

Artikel ini telah diringkaskan dan diterbitkan oleh Malaysian Insider di pautan ini. [KLIK]


Artikel di bawah ialah artikel asal yang versinya lebih panjang.



Moga bermanfaat!
Terus memartabat,
Malaysia Berdaulat!

Salam Merdeka! 

---
Saya bukan seorang pakar sejarah. Saya bukan juga pakar siasah. Saya hanya salah seorang daripada jutaan penggemar filem di luar sana yang cuba mencungkil apa sahaja di dalam filem daripada sudut pemikiran, pengajaran mahupun falsafah. Tujuannya mudah – bagi memastikan penonton filem terdidik dengan bentuk pemikiran dan sudut pandang yang bermanfaat memandangkan filem dalam dunia moden ini begitu mengesani masyarakat.

Dari P. Ramlee, Karan Johar hingga superhero dari Marvel, semuanya amat mempengaruhi kehidupan manusia sejak berpuluh dekad. Cuma – pembina filemlah yang menjadikan ia buah yang bisa disantap enak dan menyihatkan umat atau sebagai peluru yang membunuh roh, akal dan jasad. Pembikin filem pula memanglah mahu untung walau sedikit dan ia bergantung kepada penonton apa yang mereka mahu.

Justeru, mendidik penonton dengan ilmu atas apa yang ditonton ialah suatu yang perlu kerana akhirnya ia akan menjadi tenaga spontan yang mendesak para karyawan untuk memastikan mutu filem bukan sekadar pada wajah tetapi juga pada hati inti filem itu sendiri khususnya diambil kira.

Makanya, saya menulis ini atas apa yang saya rasa dan mengelakkan diri daripada mengkritik fakta.

Tanda Putera – akhirnya bernafas di pawagam.

Dengan pelbagai kritikan yang penuh rencam, setelah banyak kali ditangguhkan tayangan, ia hadir di ambang ulangtahun kemerdekaan. Bukan sedikit dalam kalangan rakyat, telah saya dengar dan lihat mengadu betapa tidak ada apanya pada kemerdekaan kali ini. Mungkin kerana bahang kekecewaan PRU 13 yang lalu di mana dengan sistem demokrasi sebegini, minoriti bisa menapak kuasa – ya ia daripada salah satu sudut pandang semestinya. 

Tidak kurang juga, ketidak puashatian tema tahun lepas masih kuat berbekas dengan segala perkara yang kelakar lagi menyedihkan hingga tema tahun ini yang sepatutnya lebih meniup bangkit semangat bernegara tidak mampu menimbus padamkan amarah terpendam rakyat itu.

Namun, saya kira Tanda Putera yang ditayangkan bermula hari ini, Khamis 29 Ogos setidak-tidaknya menghadiahkan kita satu peluang untuk kita memberikan ruang kepada rasa-rasa kita untuk terawang-awang menyantuni sisi-sisi pengorbanan generasi yang terdahulu walau dari mana suku pemikiran kenegaraan kita. 

Ya – saya kata kenegaraan berbanding politik kerana terma politik hari ini begitu ditempel buruk dengan terus dikaitkan dengan partisan – sedangkan rakyat sesebuah negara masih dikira bernegara saat mereka melakukan kerja-kerja seharian dalam apa juga bidang asalkan ikhlas membangunkan negara tercinta yang asasnya berkhidmat kepada hamba-hamba Yang Esa.


DAP & TUN MAHATHIR

Saya ke pawagam dengan hati yang kosong tidak pandang tinggi melambung. Mungkin kerana trailernya yang aduhai – tidaklah begitu menangkap jiwa. Jujur, kritikan Kekanda Fadhli al-Akiti tahun 2012 itu telah menggagahkan kudrat untuk saya sendiri menonton lihat. Tidak kurang juga, tamparan daripada tindakan pengharaman kerajaan Pakatan Rakyat di bawah YB Lim Guan Eng pada awalnya, membuatkan saya seorang pendokong Pakatan Rakyat menjadi agak melenting.

Falsafah filem itu amatlah mudah. Ia interpretasi pengarah. Filem hanyalah tanggapan beliau dan anak-anak buah dari jalan cerita hinggalah mekap artis yang anda boleh kata buruk dan saya boleh kata indah. Filem berbeza dengan dokumentari. Nah – kerana itupun wujudnya dua perkataan ini kerana makna yang dibawanya berbeza sekalipun zahirnya macam nampak nak dekat sama.

Dokumentari wajib berdasarkan fakta semisal penceritaan biografi di History Channel yang wajib tengok itu dari Siti Nurhaliza, Sudirman, P. Ramlee malah Tun Mahathir sendiri. Berbeza dengan filem berdasarkan sejarah. Malah, sejarah itu sendiri satu interpretasi. Maka filem sejarah ialah interpretasi dalam interpretasi. Justeru, bagaimana bisa kita hukumi interpretasi selagi mana ia memang wujud dalam masyarakat kita hari ini?

Oleh hal sedemikian, interpretasi harus ditemukan buku dengan ruasnya dengan interpretasi yang bertentangan. Saat salah satu didedahkan, yang lawannya kalau hendak menang, wajar juga didedah terang. Barulah, masyarakat boleh menilai dan mengikuti yang mana yang “lebih benar”. Malah, bukankah DAP selama ini mengkritik had-had ruang terhad suara-suara dan idea-idea yang disekat? Kerana itu saya melenting.  

Tetapi, tenang-tenang saja – saya hanya mengecam tindakan pengharaman dan setelah menonton filem ini, saya boleh faham kenapa orang-orang DAP bersikap demikian. Oleh hal yang demikian, saya hormat tindakan mereka yang akhirnya menasihati untuk pawagam tidak menayangkan berbanding mengharamkan. Itu jauh lebih baik pada hemat saya.

Dalam Tanda Putera – dalam 20 minit pertama kurang lebih, dipaparkan insiden 13 Mei 1969. Ada banyak babak yang menarik.

Namun, bagi mereka yang belum lihat pastinya akan tanya, betulkah YB Lim Kit Siang kencing atas bendera. Saya kata saya tak tahu pun watak itu adalah beliau. Yang jelas, watak Datuk Harun mengatakan ada orang Cina kencing atas bendera. Itu sahaja. Maka, ia masih dalam ruang lingkup pendapat yang samar-samar dan kabur.

Namun, yang jelas, bendera-bendera DAP yang hingga hari ini masih istiqamah dengan lambang roketnya, tidak syak lagi dipaparkan sebagai kelompok yang memberontak. Mereka digambarkan sebagai golongan yang menghasut dan menimbulkan syak. Cat-cat merah yang bertuliskan “Boycott Election” diconteng di kedai-kedai di Setapak dan kenyataan “pemimpin pembangkang berarak” dan sebagainya memang ditempelkan dengan wajah DAP. Buktinya, lambang-lambang roket itulah. PAS? Oh, ada. Tapi logo lama. Bulan dan bintang. Tetapi masih hijau dan putih yang terang.

Sungguhpun begitu, nama-nama pemimpin DAP tidak ditayangkan. Yang saya rasa amat tidak adil dalam sudut pandang ini ialah kekaburan silang gambar antara DAP dan Komunis. Saya keliru, yang merancang perarakan ini DAP atau Komunis? Atau orang Komunis yang masuk dalam DAP? Kerana di akhir filem, watak Ketua Komunis yang digambarkan sebagai perancang pembunuhan tokoh-tokoh besar negara dari polis, tentera hingga pemimpin negara adalah orang yang sama terlibat dalam sembang-sembang revolusi radikal di kedai kopi yang berlapikkan lambang DAP.

Saya rasa wujud kebisingan pada interpretasi makna di sini. Ia seakan-akan sengaja diwujudkan dengan bertujuan untuk melapikkan minda separuh sedar para penonton bahawa DAP ialah Komunis dan Komunis ialah DAP. Ini boleh difahami sebagai asas kepada sikap agak melenting kerajaan di sebelah utara semenanjung itu. Ketidak adilan gambaran kepada mereka!

Saya kira dalam hal ini, DAP harus melakukan dua perkara.

Pertama, mereka harus jujur memberitahu pendirian rasmi melalui kalam-kalam pemimpin mereka dari yang tua yang terlibat secara langsung dalam insiden itu hinggalah yang muda bagi menonjolkan sikap anak-anak muda DAP hari ini terhadap apa yang DAP harungi pada ketika itu.

Bukan untuk mengungkit tetapi untuk terus maju dan bangkit. Kalau benar-benar salah, mengaku. Kalau benar-benar difitnah, silalah jelaskan satu persatu.

Saya tidak rasa generasi hari ini khususnya anak muda akan terus menghukum DAP kerana kesalahan lampaunya kalaulah kejadian yang seperti digambarkan itu benar kerana semua parti politik dalam negara kita punya sejarahnya sendiri dan mereka sendiri mengalami perubahan daripada satu bentuk ke bentuk yang lain. 

Hari ini, orang Melayu tidak segan silu hendak undi DAP sebagaimana orang bukan Melayu tidak fobia untuk undi PAS – menunjukkan generasi Malaysia hari ini lebih menilai nilai-nilai berbanding jenama-jenama yang dipakai. Maka, DAP atau pendokong-pendokong DAP khususnya yang terlibat secara langsung, dokumenkanlah cerita versi anda secara rasmi. Kami generasi muda sememangnya mahu benar-benar mendengar kisah anda dan 13 Mei dari kaca mata anda.

Kedua, bagi pendokong DAP yang reaktif, mungkin kalian akan melihat Tanda Putera sebagai bala'. Tetapi kalau anda pendokong DAP yang proaktif lagi kreatif, kalian pasti akan melihat Tanda Putera sebagai peluang membuat laba! Perkataan Bala' dan Laba - dekat-dekat sahaja bunyinya, cuma pertukaran suku kata sahaja sebagaimana perubahan pada bentuk tindakan yang kita dambakan!

Filem lawan filem. Jangan kata kalian tak mampu, video Oley dari Pemuda PAS sendiri sudah membuktikan kuasa itu!

Cuma – sila hasilkan dalam bentuk HD kerana saya sedikit kecewa dengan paparan visual lagu negaraku sebagai ritual yang bukan bid’ah di pawagam yang alahai masih kualiti lama ala-ala terbitan Filem Negara-kah sedangkan hari ini bukan lagi zaman putung berasap!

Oh ya – kita juga tak perlu melenting dengan Suhaimi Baba hanya kerana ini. Beliau juga menggambarkan watak Tun Mahathir sebagai anak muda yang degil dengan menghantar surat kepada orang-orang besar UMNO agar Tunku segera diundurkan daripada takhta Perdana Menteri. Malah, watak Tun Mahathir tersebut ditampar oleh bidasan tajam oleh watak Tunku sebagaimana berikut -
“Dasar anak muda. Dia yang kalah Pilihanraya, 
kita pula yang disuruh berundur”

Tidak kurang juga watak Tun Mahathir yang digambarkan sebagai jelas-jelas membodek dan cubaan mengambil hati Tun Abdul Razak di keramaian kemenangan Barisan Nasional itu.


Saya kira penonton Malaysia amat selamba. Semua pakat gelak dan ketawa.

Jadi, kurang tepatlah kalau hanya DAP yang dikritik, Tun Mahathir juga. Cuma ya, benar. Berbeza impak mengkritik satu sosok berbanding sebuah organisasi politik yang kesannya bisa jadi lebih teruk.


TUN ABDUL RAZAK & TUN DR ISMAIL

Aduhai. Saya getar menulis bahagian ini. Sebelum memulakannya marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan doa kepada mereka berdua dan sesiapa yang sahaja yang ikhlas berjuang untuk negara kita ini.

Allahumahgfirlahum warhamhum,
wa’afihim wafu’anhum,
waakrim nuzulahum waj’al nuzulahum min riyaadil jannah!

[Ya Allah, ampunkanlah mereka dan rahmatilah mereka]
[Dan afiatkanlah mereka dan ampunkanlah mereka]
[Muliakan kubur mereka dan jadikan ia bahagian daripada syurga]

Aameen bijaahil ameen!

Baiklah. Allahyarham Tun Abdul Razak graduan MCKK. Saya lepasan MCKK dan dalam filem ini hanya sekolah kami yang dirakamkan. Baiklah, buanglah rasa cemburu dan kutukan tak perlu itu. Hehe. Bukan itu tujuan saya. Cuma saya nak cerita, ketika di MCKK, saya seringkali didoktrinkan oleh guru-guru kami khususnya yang sudah lama berkhidmat sejak berdekad-berdekad bahawa tidak ada insan lain keluaran MCKK yang benar-benar boleh dibanggakan melainkan Tun Abdul Razak.

Malah, sepanjang bacaan dan perkenalan saya dengan orang-orang politik, beliau adalah antara satu-satunya tokoh daripada banyak-banyak Perdana Menteri yang tidak menerima sebarang kutukan dan cacian. Paling teruk pun, Tun Abdul Razak meninggal awal, jadi tak sempat menggunakan kuasa untuk kepentingan sendiri macam orang lain. Ini terus menggambarkan keperibadian tulus Tun dalam mentadbir negara yang saya kira amat berjaya diangkat martabat ketulusannya dalam memimpin negara itu di dalam filem ini.

Begitu juga dengan Allahyarham Tun Dr Ismail yang saya kira ramai kalangan anak muda antara tahu atau tidak kewujudan sosok tubuh ini dalam persada politik tanah air. Kalau tahu pun, belum tentu benar-benar kenal kerana namanya jarang sungguh diperkenal oleh sosok-sosok politikus hari ini.

Tahniah Suhaimi Baba, Tanda Putera anda berjaya menengetengahkan watak dan keperibadian dua tokoh besar negara ini. Malah saya kira saya tidak lewah untuk memuji Suhaimi Baba sebagai berjaya mengangkat tema kenegaraan melangkaui partisan. Tambahan pula, Tun Abdul Razak wujud di zaman Parti Perikatan dan selepas itu Barisan Nasional. Zaman “perpecahan” dan zaman “perpaduan”. Sengaja letak kurungan – kalau tak saya akan dilabel dengan label yang sewel dari makna yang ingin ditakwil.

Ini boleh dilihat sebagai tempelakan Suhaimi Baba kepada generasi pemimpin negara saat ini untuk mengutamakan negara berbanding apa sahaja – baik parti mahupun diri sendiri.

Kosa kata mati seringkali kita dengar. Kita hanya tahu maknanya yang sebenar di saat kita berada di jurang kematian. Itulah yang dihadapi oleh tokoh berdua ini. Mereka tahu mereka akan mati. Maka, apakah yang patut mereka lakukan dalam masa yang berbaki?

Merahsiakan penyakit dan terus mentadbir negara ini seberapa pantas selagi hayat dikandung badan, selagi jantung masih berdenyut – lekas-lekas, kita bangunkan negara ini dengan deras-deras!

Yang paling membanggakan, fakta-fakta berkenaan jasa-jasa digambarkan penuh bersahaja tetapi cukup bermakna meski sebentar cuma. Misalnya reaksi watak Tun Abdul Razak ketika mendengar perkembangan syarikat penerbangan nasional pertama :

“MAL (Malaysian Airlines Limited) itu kan maksudnya buruk dalam Bahasa Inggeris. Tukar ke MAS (Malaysia Airlines System); kan cantik bunyi itu macam emas dalam Bahasa Melayu”

“UKM dah guna 100% Bahasa Melayu, Tun”, kata seorang pegawai.

“Petronas baik sahaja, Tun”, jawab watak Tengku Razaleigh Hamzah.

Cukup menyebabkan penonton merasakan – balik ini kena buka dan telek balik buku sejarah saat insiden Banjir Besar Kuala Lumpur, jalinan diplomatik pertama Malaysia-China dan sejarah permulaan Barisan Nasional diziarah.

Juga imej mereka yang begitu baik hati sebagai bos kepada kakitangan mereka amat tertonjol. Orang gaji watak Tun Dr Ismail berterima kasih kepada Tun kerana tolong belikan dia rumah. Watak kakitangan di pejabat Perdana Menteri dengan tali leher dan kain skaf yang dihadiahkan Tun Abdul Razak yang tak sempat menyampaikan hadiah itu kepada mereka kerana telah terlebih dahulu pergi menemuiNya – amat-amat menyampaikan pengajaran yang besar kepada kita.

Setinggi mana pun burung sedang terbang di langit tinggi, jangan dilupa malah hargailah rumput hijau di bumi!

Kerana itu saya katakan di samping Tanda Putera mungkin bisa dilihat sebagai agen propaganda, ia juga sebenarnya filem mengenang jasa dan air mata! Seorang abang di kanan menangis dan seorang kakak di kiri teriak - takkanlah saya bisa menahan air mata yang sedang bertakung menggelegak!

YANG COMEL

Rona-rona warna filem ini tidak ubah seperti filem Suhaimi Baba yang lain. Cantik dan unik dengan sentuhannya yang sama. Cuma yang tak puas hati betul adalah ketidak kemasan teknik CGI yang alahai kami tahu lah memang babak tu guna CGI tapi tak perlulah jelas-jelas nak tonjolkan hal itu. Satu babak singkat ketika watak Tun Abdul Razak salam dengan watak Tun Dr Ismail sebelum berlepas ke Canada untuk persidangan CHOGM. Dan satu lagi, babak ketika watak Tun Dr Ismail, keluarga dan pegawainya bersiar-siar di tasik itik London.

Malah, logo RTM ketika pengumuman berita sedih oleh watak Tun Hussein Onn (oh, hidung memang semancung Allahyarham, Abang Hasnul Rahmat!) itu ternyata salah. Tun Abdul Razak meninggal pada tahun 1976, sedangkan logo RTM dalam babak itu hanya ditukar pada tahun 1978!

Pemilihan watak bagi saya kemas. Semuanya cantik-cantik, lawa-lawa, segak-segak dan kacak-kacak. Ya, ini mungkin satu lagi penerajangan minda oleh Suhaimi Baba dalam memotretkan imej para pemimpin negara termasuk DS Najib Tun Razak dengan memberitahu kita – janganlah mengutuk wajah dalam bersiasah kerana tiap insan punya sisi lebih dan kurang dari sudut rupa dan bentuk badan. Kritik sahaja dasar, isu, tindakan dan pendekatan mereka. Jangan heret kaki, perut, tangan dan rambut mereka sekali!

Yang menarik – terdengar-dengar dalam kalangan khalayak – itu watak siapa ya, eh yang ni siapa pula? Oh ya – berderai ketawa kecil-kecil comel-comel semuanya memenuhi ruang pawagam yang agam.

BISAKAH MENGOMEL

Ramai mengomen sebelum menonton. Ramai mengkritik sebelum membelek. Terlalu banyak nas-nas wahyu mengingatkan kita agar berlaku adil dan jangan kerana kecenderungan kita menyebabkan kita berlaku zalim dalam menghukum. Malah, kaedah fiqh dalam mengeluarkan sesuatu hukum mahsyur disebut sebagai :

Al-hukmu 'ala syaain far'un 'an tasawwurihi
Hukum ke atas sesuatu itu adalah berdasarkan 
gambaran penuh akan sesuatu itu

Maknanya, anda kena betul-betul garap dan hadam sesuatu sebelum menjatuhkan hukuman. Kerana itu saya berpendapat bahawa kalau belum tengok Tanda Putera, kalian macam tak ada hak nak bersuara lebih-lebih. Kalau dah tengok, alhamdulillah - kalian punya hak itu memperihal apa yang kalian rasa kerana mana bisa kejahilan menjadi sumber hukuman sebaliknya sumber hukuman itu semestinya ilmu pengetahuan. 

Dalam hal ini, sebagaimana saya menentang pengharaman Tanda Putera, begitu juga saya melawan pengharaman The New Village yang jika diteliti trailernya - aduhai masakan filem cantik hasil tangan anak tempatan ini dimangsakan dengan kecenderungan pemikiran politik suku masak kita! Inilah masalah pihak di atas sana. 

Di saat kita ketandusan karyawan ulung, anak jati Malaysia semisal James Wan menempa nama dengan gah di luar sana. Akhirnya, kita yang mengimport filemnya masuk. Sepatutnya, anak Malaysia sepertinyalah yang buat kita mampu eksport filem keluar! Tetapi dasar yang penuh gelenyar meranapkan segala impian - industri filem tempatan tidak berkembang melainkan perkembangannya pada versi cinta cantun yang merapu, jauh daripada membuat jiwa runtun merindu.

Jujur saya katakan, saat melihat kedua-dua watak tokoh negara ini khususnya watak Tun Abdul Razak khususnya ketika bertarung ajal, saya hanya terbayang-bayang Tan Sri Dato' Seri Azizan Abdul Razak, bekas Menteri Besar Kedah saat kaki melayang sewaktu sedang berkhidmat berjuang. 

Sebenarnya, baik pihak yang kalah mahupun menang, semua mempunyai sumbangan masing-masing yang wajar kita tonjol dedah dan ambil pusing untuk dikenali dan dihargai agar generasi negara yang ingin kita bina membangunkan negara ini dari jiwa yang benar-benar ikhlas dan suci bukan atas dasar benci-membenci yang beralaskan sangka dan fitnah yang keji.

Cuma cabaran saya selalu penonton anak muda kepada Suhaimi Baba – terbitkan satu filem dari perspektif so-called “pembangkang” pula. Bak kata rakan saya dari Tasmania – Wasiat Haji Hadi dari perspektif Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri!

Saya cabar!

Bintang pula : 8 1/4 daripada 10

Saya akhiri ulasan ini dengan sajak indah yang telah dirakam rekod dengan jayanya oleh Ayahanda A. Samad Said berjudul Kita Bersama – 

SALAM KEMERDEKAAN BUAT SELURUH WARGA MALAYSIA!

---


Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar,
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
Sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan tofan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan-
inti tonggak dan menara kebahagiaan.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi –sihat, teguh dan bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik,mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah,
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita,
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
Tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh,khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa-
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu,
dan kita, dalam sejarah bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

Tersimbah mewah hidup baraqah,
akar tulen menyuburi batin bangsa-
Takhta nan luhur dan panji nan subur
Meranumi demokrasi jujur dan masyhur.

Lihatlah, nikmatilah jernihnya air,
dengarlah, hayatilah angin berdesir.
Inilah dendang bumi yang kaya,
Kita warisnya sungguh bertuah.

---

WAJIB TENGOK :

PENJELASAN YB LIM GUAN ENG BERKENAAN ISU TANDA PUTERA :

VIDEO A. SAMAD SAID :

Wednesday, August 28, 2013

Review The Purge - Menyepak Solusi Insan Haiwani

"Incite Mill". "Panic Room". "The Exam" - sahaya cuba berfikir adakah warga survanabhumi ini pernah menghasilkan filem sedemikian rupa - yang setakat ini jawapannya nihil. Terperangkap dalam ruang yang terhad yang pastinya punya had. Lantas, sebegitu pantas ia mengeluarkan gelenyar-gelanyar insan yang selama ini bertopengkan topeng-topeng indah yang dihijab oleh aurat. 

Namun, The Purge berbeda. Kita sering dipaparkan dalam filem-filem thriller seumpama ini dengan kisah manusia daripada elok terzahir akhirnya buruk, daripada baik tercungkil akhirnya jelik dan daripada mulia rupa-rupanya hina. Namun, The Purge berbeda. Ia sebaliknya! 

Daripada hina rupanya mulia, daripada jelik sebenarnya baik dan daripada buruk hakikatnya elok - itulah yang ditayang tunjuk khususnya melalui tindakan keluarga ini terhadap ancaman-ancaman pembunuhan ke atas mereka hatta oleh rakan-rakan akrab. Memberikan harapan dalam sepak-sepak kritik terhadap kegilaan insan melahirkan solusi-solusi pelik. 

Ya - pelik tetapi dicanang sebagai berkesan. Berkesanlah sangat hingga sampai ke satu takat ayah seorang anak yang terkorban di malam Purge itu akhirnya mengaku - 

"My children died last night. A son. A daughter. I was a proud American. But, not anymore. This country has taken away my life from me"

Hakikat. Sudah terhantuk, baru tergadah. Selagi tak kena, kita tak rasa. Bila dah kena, kita menggelupur mengumumkan kepercayaan kita.



THE PURGE

Ia sebuah filem yang mempunyai idea yang unik lagi menarik. Sahaya menjangkakan idea filem ini bermula dengan persoalan "What if?" - "Bagaimana kira-kiranya?".

Maka, kalau kita simpulkan dengan persoalan itu, maka The Purge yang mana tajuknya diterjemah sebagai Hari Pembasmian - membangkitkan persoalan berikut :

"Bagaimana kira-kiranya kerajaan sesebuah negara yang mana ideanya datang daripada Bapa Pengasas Baru (The New Founding Father) membenarkan rakyatnya dalam satu malam tertentu katakan 22 Mac setiap tahun dari pukul 7 petang ke 7 pagi untuk bebas melakukan apa jua jenayah tanpa disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah? Malam itu, semua perkhidmatan kecemasan baik polis, bomba mahupun hospital kita bekukan. Hanya selepas detik 7 pagi 22 Mac, barulah semuanya kembali seperti sediakala?"

KRITIKAN SOLUSI BAPA PENGASAS BARU

Aku meyakini Dajjal. Kerana Nabi kita telah buat akannya kita kenal. Namun, untuk terus menyimpulkan sejauh Bapa Pengasas Baru itu selaku tamsilan era Dajal memberikan solusi pelik-pelik kepada ummat manusia - itu suatu yang aku belum berani ingin menta'wilkannya. Kerana apa? Kerana tanpa Dajjal pun, manusia sudah mengeluarkan malah berani melaksanakan solusi-solusi yang gila amatlah gila. Lagi gila, bila solusi itu Tuhan telah bentangkan dalam kitabNya, manusia tolak mentah-mentah - didatangkan solusi yang baru yang direka cipta yang sampai ke hari ini penuh berantakan lantaran jenayah seakan bertali arus tanpa langsung menzahirkan tanda-tanda ianya akan berkesudahan.

Filem ini mengkritik hal itu. Sekalipun tidak menyatakan pendirian pada solusi Tuhan terhadap permasalahan jenayah insan; tetapi filem ini cukup menggambarkan kegilaan insan menawarkan jalan keluar yang sungguh memualkan.

Tempoh hari, sahaya ke kenduri aqiqah. Seorang sahabat memberitahu kisah sahabatnya yang amat memilukan. Isterinya yang sedang berkereta entah bagaimana terlanggar seorang pembonceng motosikal sehingga dia menemui ajal. Masih punya deria hati yang masih suci tidak pekak dan buta, isterinya itu tidak melarikan diri. Maka, dipertanggungjawabkan ke atas pundak isterinya akan kematian pembonceng motosikal itu hingga masuk ke dalam mahkamah jenayah.

Persoalannya, di saat keluarga si mati telah menerima maaf atas ketidak sengajaan isterinya dan menerima bayaran atas kerugian berkaitan lantaran pemergian si pembonceng, mahkamah masih degil meneruskan tradisi prosidingnya yang "maha adil!". Aku baru tahu rasional orang langgar lari. Bukan sangat mereka tak mahu dikenal pasti meski sedar ketidak sengajaan diri, namun kerana sistem keadilan negara ini yang maha gila semisal ini - menyebabkan si pelanggar masih lagi dihukumkan kerana "versus"nya ialah PELANGGAR VS KERAJAAN. 

"Maha Adil" - solusi insan! Maha Adil!

Berbeza sungguh dengan "kezaliman" solusi Tuhan, ya lah kalau buat solusi Tuhan, kerajaan tidak bisa menunjukkan taringnya dan berfulus wang tidak boleh diketip kutip atas dosa. Tak kiralah dosa sengaja atau tidak. Yang lagi "maha pintar", orang yang paling besar dalam hierarki sosial, yang entah bila masuk plot cerita - tiba-tiba diberi kuasa pengampunan yang maha agung! Wah! Ini amat terulung!

Solusi Tuhan bagi kes semacam ini diberi gelar sebagai QISAS.

Secara ringkas (panjang-panjang tanya orang 'alim), apabila Qisas dilaksanakan, seseorang yang didapati sabit membunuh seseorang mempunyai tiga pilihan dari sudut cara hukuman yang perlu dirundingkan dengan keluarga si mati. 

Satu - Kemaafan. Tak perlu dibalas apa-apa. Cuma maaf sahaja.

Dua - Bayar diat (denda). Sesuai dengan kerugian yang ditanggung atas kemalangan dan pemergian si mati.

Tiga - Dibalas bunuh.

Apa manfaat hubungan sebegini?

Jelas Dia telah khabarkan dalam firmanNya, surah al-Baqarah ayat 179 :

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ
يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, 
wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa. 

Apa maksudnya? 

Kalau ambil solusi SATU - si mati yang seperti dalam kes kawan sahaya tadi, seorang isteri boleh segera kembali ke rumah tangganya membesarkan dan mendidik anak-anaknya yang tiga orang, paling sulung umur sekitar 5 tahun itu! Solusi Tuhan memberikan kehidupan bukan sahaja kepada isteri dan anak-anak, malah juga si suami yang semestinya tertekan, tak tahu apa lagi alasan hendak diberikan kepada anak-anaknya saat mereka dapati ketiadaan ibunya. Hukuman penjara 2 tahun itu seakan pasti - nak jawab apa dekat anak-anak nanti? Ibu pergi bercuti 2 tahun? Dicop banduan tak semena-mena, majikan mana yang kepingin nak beri si isteri itu semula kerja?

DUA - Dua-dua dapat hidup. Si keluarga dapat teruskan hidup kerana katakan si mati seorang lelaki, yang membunuh secara tidak sengaja itu boleh menampung mereka atas hukuman "denda". Dan yang membunuh dapat hidup semula seperti huraian SATU.

TIGA - Selalunya jalan keluar ini untuk yang jahat amat. Matinya dia suatu cara merehatkan seluruh ummat daripada kejahatannya.


YANG LONGGAR

Plot risque yang tak perlu pada awalnya. Lewah (dan semestinya dari segi syariat salah, jadi sila tundukkan pandangan). Lebih baik dibuang dan digantikan lebih banyak aksi atau plot-plot tambahan yang lebih segar dan menyumbang makna kepada filem yang mengendong idea yang besar dan segar ini. 

Ya - setuju juga teknik-teknik pembunuhan patutnya lebih kreatif dengan pelbagai perencah yang tolonglah - jangan ulang yang sama! 

Kesimpulannya, idea filem ini besar dan segar tetapi tekniknya masih ada yang longgar.

Bintang? 7/10 kerana ideanya aku beli dengan harga yang lebih tinggi daripada biasa :)

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

*Aku malas nak hurai panjang kekicau aku ini -


Fan of must visit/revisit Night of the Long Knives, the famous Hitler's purge because it justifies the costume of Rhys Wakefield (see pic below) in this film somehow


Sunday, August 25, 2013

Balas Puisi Mat Luthfi Perihal Ummah Berdarah



Ya - setuju dengan komen seorang pengomen. Penghasilan puisi ini menarik bukan sekadar rima tetapi juga kerana kalau kita membacanya dari bawah ke atas, masih bisa menghasilkan puisi yang sama maksudnya. Satu lagi konsep cerminan dalam puisi.


Justeru, kita cuba membalas :


Tiadalah puisi kami ini bermanfaat, 
Melainkan ia bisa membangkitkan semangat,
Untuk kalian terus bermunajat,
Berdoa kepada mereka ke sisi Hadrat!


سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Friday, August 16, 2013

Contronyms Melayu Dalam Nazam Ilmu Dua Belas - Ilham Dari Redza Minhat


NAZAM ILMU DUA BELAS

Adalah ilmu untuk mengenal,
Bukannya untuk jadi terkenal;
Juganya ilmu untuk petunjuk,
Bukannya asbab engkau menunjuk.

Dengannya ilmu darjat meninggi,
Namun bukan 'tuk diri meninggi;
Memangnya ilmu tidak merendah,
Tapi membuat hati merendah.

Adapun ilmu ia penawar,
Bukan untuk ditawar-menawar;
Orang berilmu yang menguasai,
Tapi bukan 'tuk raja kuasai.

Dengannya ilmu kita menokok,
Bukan alasan 'tuk tambah tokok;
Mengejar ilmu bagai pendaki,
Berdikit-dikit membuang daki.

Belajar ilmu nak jadi mekar,
Bukan diguna merancang makar;
Belajar ilmu untuk mengajar,
Bukan menjadi kurangnya ajar!

Semak yang kusut cepat kau cantas,
Bukannya ilmu - orang kau cantas;
Inilah nazam dua-nya belas,
Dengannya ilmu jadi kau belas!

Berkat Jumaat,
26 Sha'ban 1434 H


CONTRONYMS


Saudara Redza Minhat menulis sesuatu tentang "contronyms". Sebagaimana kekicau di bawah :


Adalah agak jelas maksud "contronyms" yakni satu kalimah yang punya dua makna yang bertentangan. Contoh yang jelas dalam Bahasa Ratu Elizabeth Alexandra Mary Windsor boleh didapati di sini [KLIK]. 

Contoh yang paling saya gemar ialah perkataan "sanction" yang bermaksud "to bless" dan dalam masa yang sama "to punish". Andai boleh disatukan kedua-dua maksud yang bertentangan ini dalam satu ayat, kemungkinan ini boleh dijadikan contoh :

"Whilst Americans allow all priests from all sects to sanction any marriage legally, they sanction the trade with Cuba."

JINAS BUKAN TAWRIYAH

Hal ini pada mulanya mengingatkan saya kepada satu kaedah terkenal dalam ilmu sastera Arab atau lebih khusus ilmu Badi', yang dikenali sebagai at-Tawriyah. Namun, setelah meneliti semula, sebenarnya bukanlah kaedah at-Tawriyah tetapi yang lebih hampir kepada "contronyms" ialah kaedah Jinas. Bagi yang inginkan penjelasan ringkas tentang at-Tawriyah boleh ke bahagian terakhir post ini.*

Baiklah. Ringkas-ringkas sahaja. Jinas bermaksud lafaz perkataan yang sama, tetapi maksudnya berbeza. Contoh di dalam surah ar-Rum ayat 55 :

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يُقْسِمُ الْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا غَيْرَ سَاعَةٍ ۚ كَذَٰلِكَ كَانُوا يُؤْفَكُونَ
Maksudnya : 

Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar).

Kedua-dua perkataan adalah sama Sa'ah. Namun maksud kedua-duanya adalah berbeza meskipun disatukan dalam ayat yang sama, Sa'ah yang pertama ialah Hari Kiamat. Sebaliknya, Sa'ah kedua bermaksud saat (seconds, detik). Perbezaan bentuk as-Sa'ah dan Saa'atin hanyalah pada bentuk perkataan seperti beza The dan A [istilah lughah : Alif Lam Ma'rifah & Tanwin Nakirah].

Namun, ini tidak memenuhi maksud "contronyms" kerana "contronyms" bermaksud perkataan yang sama tetapi bertentangan maksud. 

Saya katakan, ya - benar. Berbeza tidak semestinya bertentangan. Tetapi sesuatu yang bertentangan sudah semestinya berbeza. Namun, apa yang ingin saya beritahu - kaedah "contronyms" ini sekadar mengingatkan saya sahaja tentang kaedah Jinas ini. Hampir-hampir sama.

SYARAH "CONTRONYMS" MELAYU DALAM NAZAM ILMU DUA BELAS

Apapun, sebenarnya yang ingin dikongsikan ialah nazam yang sempat disusun beberapa bulan yang sudah yang cuba menggambarkan hakikat "contronyms" khususnya di dalam Bahasa Melayu. Yang paling ketara ialah "contronyms" di dalam Bahasa Melayu makin menyerlah saat perubahan imbuhan. InsyaAllah, saya akan syarahkan sedikit sebanyak pertentangan maksud berkenaan sebagaimana nazam yang sempat ditukul nukil.

Adalah ilmu untuk mengenal,
Bukannya untuk jadi terkenal;

MENGENAL VS TERKENAL 


Mengenal membawa maksud mengetahui hujung pangkal sesuatu hingga menjadi arif akannya. Sedangkan terkenal bermaksud mahsyur. Meskipun kedua-dua berasal daripada perkataan "kenal" tetapi hanya kerana beza imbuhan, terus menerbalikkan maksud antara keduanya. Mengenal lebih bersifat positif merendah diri seperti mengenal diri. Sebaliknya terkenal lebih membawa aura agah dan ponggah yakni mahsyur dengan perasaan bongkak seperti yang ingin digambarkan dalam nazam ini.

Juganya ilmu untuk petunjuk,
Bukannya asbab engkau menunjuk.

PETUNJUK VS MENUNJUK

Asal kedua-dua perkataan daripada tunjuk. Namun petunjuk yang bermaksud rujukan, bimbingan (guidance) membawa makna positif sebaliknya menunjuk bermaksud riya', memperlihatkan dengan tujuan membangga-bangga akan kehebatan diri sememangnya membawa aura negatif.

BENTUK PERTAMA : Kesimpulannya, "contronyms" di dalam Bahasa Melayu boleh terjadi dengan kehadiran imbuhan.

Dengannya ilmu darjat meninggi,
Namun bukan 'tuk diri meninggi;

MENINGGI (1) VS MENINGGI (2)


Perbezaan kedua-dua ini kerana kehadiran kata nama sebelumnya. Darjat meninggi menunjukkan martabat seseorang di sisi Tuhan meningkat. Sebaliknya apabila perkataan yang sama diapit kepit dengan kalimah diri, ia menjadi sesuatu yang bongkak. Membesar-besarkan diri. Mustakbirin. Nauzubillahiminzalik!

BENTUK KEDUA : Kesimpulannya, "contronyms" di dalam Bahasa Melayu boleh terjadi dengan kehadiran kata nama yang disandarkan kepada sesuatu perkataan.

Memangnya ilmu tidak merendah,
Tapi membuat hati merendah.

MERENDAH (1) VS MERENDAH (2)

Perbezaan kedua-dua ini kerana penggunaan bentuk kata yang berlainan membawa maksud berbeza dan boleh jadi bertentangan juga. Merendah yang pertama dalam bentuk kata kerja di mana ilmu tidak merendah-rendahkan seseorang sebaliknya meninggikan seseorang. Merendah kedua dalam bentuk kata sifat di mana ilmu sepatutnya membuatkan pemiliknya memiliki sifat tawaduk pada hati yakni merendah diri. 

Perbahasan kecil : Ada yang menyatakan bahawa hati merendah adalah kata kerja. Pada hemat saya, ia kata sifat kerana secara zahir mustahil kita menyatakan hati melakukan kerja merendah itu. Hati merendah atau kerendahan hati hanyalah sekadar personafikasi. Memberikan sifat kepada benda-benda abstrak yang tak dapat digarap oleh mata belalak. Kita tidak mampu memahami maksud "hati merendah" melainkan kita menafsirkannya sebagai tawaduk, rendah diri dan sebagainya yang memaksudkan bentuk kata sifat. Maka, kerana itu saya katakan, hati merendah ialah kata sifat.

BENTUK KETIGA : Kesimpulannya, "contronyms" di dalam Bahasa Melayu boleh terjadi dengan perbezaan bentuk kata bagi sesuatu perkataan.

Adapun ilmu ia penawar,
Bukan untuk ditawar-menawar;

PENAWAR VS DITAWAR-MENAWAR


Ini dalam bentuk ketiga. Penawar ialah kata nama bermaksud penyembuh. Manakala, tawar-menawar ialah kata kerja saling, bermaksud jual-menjual atau diperdagangkan ilmu itu untuk bahagian dunia.

Orang berilmu yang menguasai,
Tapi bukan 'tuk raja kuasai.

YANG MENGUASAI VS RAJA KUASAI


Ini dalam bentuk kedua. Orang berilmu menguasai bermaksud hanya orang berilmu mempunyai bidang kuasa kepada apa yang dia pakar. Sebaliknya raja kuasai bermaksud ilmuwan yang dipergunakan untuk kepentingan raja semata-mata. 


Ini mengingatkan kita kepada kisah seorang Imam di zaman seorang Khalifah di mana Khalifah berkenaan menjemputnya ke istana untuk mengajarnya ilmu-ilmu. Namun, ditolak mentah-mentah oleh Imam berkenaan. Katanya, dengan mafhum :



"Kalau Khalifah mahukan ilmu, 

dia harus ke istana ilmu di mana akulah rajanya"


Akhirnya, Khalifah itu akur dan akhirnya baginda melazimi majlis-majlis ilmu di masjid tempat Imam berkenaan mengajar dalam keadaan yang sama dengan orang lain memandangkan khalifah dalam majlis ilmu ialah Imam berkenaan dan bukan dirinya meskipun baginda adalah Khalifah sebuah empayar nan besar.

Dengannya ilmu kita menokok,
Bukan alasan 'tuk tambah tokok;

MENOKOK VS TAMBAH TOKOK


Ini dalam bentuk pertama di mana menokok yang pertama bermaksud meningkat sebaliknya menokok yang kedua bermaksud memandai-mandai untuk menambah sekalipun tidak pernah wujud hal sedemikian di dalam ilmu berkenaan khususnya yang bercanggah canggung daripada disiplin ilmu itu sendiri.

Mengejar ilmu bagai pendaki,
Berdikit-dikit membuang daki.

PENDAKI VS DAKI


Ini dalam bentuk pertama. Pendaki bermaksud orang yang mendaki. Ilmu ibarat gunung. Punya jurang, lurah, peringkat dan takat. Maka, ilmu wajar dikejar bertahap-tahap, andainya digomol semua sekaligus, nafas tak cukup tercungap-cungap - akhirnya ilmu tak dapat diserap. Daki pula bermaksud kotoran. Ilmu diserap untuk diamal, memperbetul apa yang salah dan memperbaik apa yang betul.

Belajar ilmu nak jadi mekar,
Bukan diguna merancang makar;

MEKAR VS MAKAR


Sah-sah ini bukan contronyms. Namun sekadar menunjukkan, hanya satu huruf bisa mengubah makna. Mekar bermaksud segar dan bugar. Makar bermaksud dendam serakah.

Belajar ilmu untuk mengajar,
Bukan menjadi kurangnya ajar!

MENGAJAR VS KURANG AJAR


Ini dalam bentuk ketiga. Mengajar dalam bentuk kata kerja sebaliknya kurang ajar dalam bentuk kata sifat. Mengajar itu mulia sebaliknya kurang ajar itu hina.

Semak yang kusut cepat kau cantas,
Bukannya ilmu - orang kau cantas;

CANTAS VS CANTAS


Ini dalam bentuk kedua. Cantas pertama bermaksud kusut-musut berjaya diuraikan dengan ilmu yang memandu. Cantas kedua bermaksud menghalang atau bermain kotor dalam mengejar pangkat, jawatan dan status dengan menggunakan kelebihan ilmu yang ada untuk kepentingan nafsu yang membelenggu kalbu.

Inilah nazam dua-nya belas,
Dengannya ilmu jadi kau belas!

DUA BELAS VS BELAS


Ini dalam bentuk ketiga. Dua belas ialah kata nama sebaliknya belas kedua ialah kata sifat. Jadi belas bermaksud jadi kasih penuh sayang. 


Ini mengingatkan kita kepada hadis musalsal yang diriwayatkan paling awal sekali dalam mana-mana proses talaqqi ilmu antara guru dan anak-anak murid dalam tradisi keilmuan Islam yang mana guru akan meriwayatkan hadis musalsal bi awaliya ini dengan lafaz sebagaimana berikut :



عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرُو بْنِ الـــْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللهِ (solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam)

 قال: الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ تَبَارَكَ وتَعَالَى, ارْحَمُوا مَنْ فِى الأَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِى السَّمَاءِ


Mafhumnya: "Daripada ^Abdu`Llah ibn ^Amru ibn al-^As bahawa Rasulu`Llah salla`Llahu ^alayhi wa sallam bersabda: 

"Orang-orang yang bersifat penyayang akan disayangi oleh (Allah yang bersifat) al-Rahman (Yang Maha Pemurah) tabaraka wa ta^ala. Sayangilah sesiapa yang ada di bumi semoga kamu disayangi oleh sesiapa yang berada di langit"

Mahu alami dan fahami tradisi ini - yang terbaik hadirilah mana-mana majlis ilmu yang kian subur umpama cendawan tumbuh selepas hujan di negara kita. Sedikit cuplikan buat kalian yang belum pernah merasainya dapat dirasakan di sini di dalam sebuah majlis ilmu oleh as-Syeikh Husni Ginting al-Azhari al-Langkati hafizahullahuta'ala - [KLIK]

Makna hadis musalsal [KLIK] dan huraian hadis musalsal bi awaliya ini [KLIK]

--

Cukup sekadar itu - rasanya sudah banyak, takut-takut kalian tepu :)

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

*Menurut ‘Ali, al-Jarim & Mustafa Amin dalam al-Balaghah al-Wadihah, mereka mengertikan at-Tawriyah sebagai :


"Perkataan yang mempunyai dua makna, makna zahir (yang tidak dikehendaki oleh penulis) dan makna tersembunyi (yang dikehendaki oleh penulis)"

Contoh yang boleh kita ambil ialah sebagaimana ternukil di dalam sebuah kisah di mana al-Habib ar-Rasul solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam keluar untuk ke Badar, baginda disoal oleh orang tidak mengenali baginda ; مِمن أنتم (dari kelompok mana kalian?), lalu baginda menjawab ; مِن ماء ( dari Ma' ) dengan tujuan bagi mengelakkan identiti baginda diketahui.

Kalimah Ma' mempunyai dua makna ;

Dekat : Nama suatu kabilah Arab yang hebat yang ketika itu.
Jauh : Merujuk kepada air asal kejadian manusia.

at-Tawriyah juga dikenali sebagai ambiguity di dalam Bahasa Inggeris.

Sebarkan Manfaatnya! :)