Monday, March 31, 2014

Pungguk & Semilir - Akhir


Pungguk tersengguk-sengguk angguk
ketika menangguk balasan jawapan Bulan.

"Apa guna kau hadiahkanku selembaran peta.
Sedangkan aku dari langit sudah nampak semua."

Pungguk tersengguk-sengguk angguk.
Hematnya, kenyataan Bulan benar menusuk.
Namun, akhirnya Sang Hyang melayangkan cedok-
maksud yang diertikan tatkala takdir menumbuk-numbuk.

"Wahai Si Pungguk, hambaku yang tersengguk-sengguk.
Daku khabarkan maksud di sebalik apa yang dihamburkan Bulan.
Sungguh, tiap kata datang dari jiwa. Dan jiwa memaksudkan apa sebenarnya."

"Bukankah Bulan melihat APA
dan bukan SIAPA?"

Pungguk terketar mendengar. Seakan tersadung di dahan pendek, 
tempatnya bertenggek. Nafas pungguk turun naik turun naik. 
Terasa hinanya diri saat kebenaran itu mengherdik. Tetapi
pungguk redha dan menerima hal itu dengan seupaya baik.

"Sang Hyang,
benarkan aku 
mengkhatamkan 
kisah Pungguk & Semilir.
Biarlah ini jadi semilir yang
terakhir".

Arakian,
Bulan tetap ada.
Pungguk tetap wujud.
Walaupun mereka hidup
berasingan
dan tiada lagi
kaitan.

P/s : Begitu juga siri "Koleksi Dia" dikhatamkan. Mufaraqah.

Sodaqa Allahul 'Adzim. 
Bismillah. Bab baru. 
Harapnya tiada siapa 
berani ketuk hatiku 
dengan melulu lagi.

Displaying IMG_20140331_023643.jpg

Displaying IMG_20140331_014354.jpg

Wednesday, March 26, 2014

Mufaraqah Dinda

broken-heart-sad-wallpapers-pics-for-boys.7.jpg (1024×768)

Dinda,
Kufikir kau masih Bunyamin, tak farqun*
kelihatan kini kau sudah pakai jubah Fir'aun
di saat matamu memandang matabenda yang far'un*
Argh... hatiku lemah, jiwaku pecah - menjadilah kita, Dinda

Mufaraqah.*

---

aQIlzahrakechiwadenganbalasanmatabendamu
bukanbalasanmatasiapajam1832tanggal250314

Daftar Kata :

*Farqun - Berbeza
 Far'un    - Bercabang
 Mufaraqah - Berpisah

Tuesday, March 25, 2014

Pungguk & Semilir (III)



Pungguk merayu kepada purnama semalam
utuskan kerinduan pada kekasih jauhku
semilir hadir angkut rayuan ke langit
mengandung menjadi awan, terkendong
sampai ke lembah bumi bawah
bergemburan di ranah langit
jadi kabus, guguskan embun
pada pagi yang dingin
menyapa pipi kekasih
yang masih basah
dengan peluh 
berlarian
ke kuliah.

Namun bisakah
sapaan rindu menyentuh
kulit kekasih, menyentuh
hati kekasih, hingga mengerti
bahawa kerinduan pungguk kepadanya
menggunung dalam diam tanpa pengakuan
bisakah sapaan itu kekasih bisa merasakan
di saat dingin embun pagi, itulah pesan awan.

---
aQIl zahra
perbatasanpadipagiduapuluhlimatiga
saatmerindukandengankerinduanberganda

Friday, March 21, 2014

Nama Pendek


"Kenapa kita panggil orang rapat dengan kita nama pendek-pendek? 
Kadang-kadang dengan satu perkataan cuma?"

"Macam?"

"Im?"

"Haha!" 
Maybe sebab kalau kita sakit, 
atau kalau kita cuma ada senafas sahaja lagi berbaki,
kita masih boleh sebut nama dia?"

"Haha!"

"Tak habis-habis gelak"

"Nanti bising pulak kata kenapa tak senyum"

 " :') "

" :) "

Hu! Hu! Hu!

2012-2014

Sunday, March 9, 2014

Pungguk & Semilir (II)


Bulan, mahukah kautahu
apa yang berlaku
masa majlis haul
tadi?

Aku si pungguk perang
tunduk tersengguk-sengguk
tiba-tiba terbayangnya datang
si dia, pungguk berjubahan putih
dengan topi ibadah bersih, berdepan
denganku, berhadapan. Bertentangan.

Tersenyum si dia,
pungguk berjubahan putih
semilir senyumannya menjentik jantung
rindu yang sedia membukit, menggunung.

Aku tetap tunduk
kerana malu tersengguk-sengguk
kuhalau si pungguk berjubahan putih, pergi
ke sarang bumi bawah 
semilir senyuman
dia tinggalkan, di
ranting harapan
bukan di sini.

Tetapi, 
di sana.

--

aQIl zahra
ranjangsubangjayamac14
saatberbicaradengansihahahaha.

Monday, March 3, 2014

Ulasan Filem : Snowpiercer (2014) - Weltanschauung Kewujudan & Keniskalaan

“Know your place. 
I am the hat. And you are the shoe. 
Hat is at the head. And shoe is at the toe. 
My place is in the front. And you are at the tail.” 

(Minister Mason by Tilda Swinton)*

*tiru gaya penulisan Abg Fadz jap. Hihi.


Aku benar-benar rindu untuk kembali ke zaman hari-hari naik keretapi jenis LRT dari pejabat ke rumah. Pertemuan dengan banyak watak, dari yang hidup (wujud) dari yang tidak hidup (niskala) benar-benar berlari antara mengujakan dan menginsafkan. Bosan menjadi niskala, makna pula bergentayangan nyata.

Kewujudan dan keniskalaan itu pula berputar antara bergerak dan pegun. Ketika LRT berhenti, aku bergerak. Ketika aku pegun sambil bergayut pada ampaian yang seringkali cuma jari tersangkut, LRT pula bergerak.

Sampai satu saat, LRT berhenti lantas memuntahkan isi-isi insan yang bergerak - mengalir keluar, kejar-mengejar ke sanggar kemodenan masing-masing. Usai remang petang, semua kembali ke sarang bersangkar batu bata. Itupun belum tentu dapat menjamah juadah yang hanya disuap sebulan sekali oleh garuda yang menyeringai.

LRT yang pegun, insan yang bergerak; insan yang pegun dan LRT yang bergerak adalah sebuah plot dan syot normal dalam penggambaran hidup tamadun urban baik di Perancis (dengan TGV-nya), di Korea (dengan KTX-nya) mahupun di Amerika (dengan MTA Subway-nya).

Namun, Jacques Lob, pengarang asal cerita komik Le Transperceneige melihat lebih  jauh daripada itu.

Baginya, kewujudan dan keniskalaan dalam bentuk pegun dan bergerak di dalam lokomotif urban ini telah merembeskan seribu satu renungan ilham yang mengalir dalam salur pembuluh darah kritisnya yang kemudian tertumpah ke tangan pengarahan anak-anak moden Perancis, Korea dan Amerika Syarikat hingga lahir filem Snowpiercer (2014) bagi menyentak bentak hakikat kemanusiaan, mengherdik ejek naik turun kemajuan insan, menyentap senyap atas bawah strata sosial manusia yang alpa - bergerak dari niskala ke wujud ke niskala dan kemudian ke wujud semula.


CERITANYA

Dunia dalam Snowpiercer terbahagi kepada dua. 

Dalam lokomotif milik Mr Wilford yang hidup dengan strata rancu. 

Luar lokomotif yang beku mati dilitupi salju. 

“All dead”, ujar Gilliam dimainkan John Hurt. 

Lokomotif Mr Wilford itu sebagaimana lokomotif biasa, memanjang seperti ular menjalar. Bermula dengan gerabak paling belakang (the tail) yang dihuni golongan murba lagi marhaen yang dicanangkan begitu bertuah kerna diselamatkan daripada petaka di luar sana tanpa perlu membayar sebarang harga. 

Di gerabak yang terkehadapan yang tidak diketahui jumlahnya pula dihuni mereka yang membayar harga yang mahal, penumpang kelas pertama.

Golongan paling belakang itu dilayan semacam pelarian perang – ada askar yang memeriksa dengan “senapang tidak berguna”, ada menteri (Minister Mason) yang mengindoktrinisasi bahawa tanpa “Tuhan” Wilson, kita semua sudah jadi mayat beku sejak 17 tahun yang lalu.


Namun, kata-kata tonik ini tidak berjaya meracuni majoriti golongan murba dikepalai Curtis Everett dimainkan Chris Evans, dinasihati Gilliam, ditopangi Edgar (Jamie Bell, oh aku sukanya!) untuk meneruskan revolusi bagi mendapatkan gerabak terkehadapan bersama Tanya, Egg-head, Grey dan angkatan soldadu kaum gelandangan itu. 

Mereka protes kerana kisah silam yang kejam (dinaratif dengan indah tanpa imejan di selekoh ¾ cerita, sekuat monolog watak Ryan Stone dalam Gravity (2013)), di samping blok protein yang dijamah saban hari, keadaan yang sempit sekohong longkang yang mereka hadap, hirup dan hidup.

Mereka nekad mahu berjuang untuk bergerak ke gerabak hadapan berdepan dengan Mr Wilford. Dengan mengawal enjin suci dan gerabak air, mereka yakin kuasa tawar-menawar bisa menawarkan kehidupan yang lebih baik di dalam lokomotif itu.

Rancangan yang indah. Namun langit tidak selalu cerah. Kejutan demi kejutan berlaku dalam penggembaraan mereka ini hingga membuatkan kita teringat pada teori Alfred Hitchcock.

Alfred Hitchcock, seorang direktor termahsyur dengan karya suspen dan thriller-nya pernah mengemukakan teori perbezaan “suspen” dan “surprise”.

Dalam filem Non-Stop (2014), teknik suspen digunakan begitu konsisten di mana kita tahu bahawa ada orang yang akan mati dalam masa 20 minit, tetapi tidak tahu siapa dan bagaimana. Kita juga tahu bom itu akan meletup dalam 30 minit, tetapi tidak tahu bagaimana nasib para penumpang kapal terbang berkenaan. Kita turut tahu bahawa suspek penjenayah ada dalam kalangan 150 orang penumpang itu tetapi kita tidak pasti siapakah gerangannya.

Sebaliknya surprise ialah teknik di mana kita tidak diberikan petanda langsung, tiba-tiba ia berlaku.

Terjadi tanpa diduga.

Berlaku tanpa disangka.

Inilah teknik yang dimanfaatkan oleh Snowpiercer (2014) dalam melatari gerabak demi gerabak yang dilalui oleh Curtis Everett dan rakan-rakannya hingga sampai ke gerabak terkehadapan yang menelanjangkan hakikat segala-galanya.

Apakah yang diketemukan oleh Curtis?

Indah. Tempelakan yang indah. Kemarahan yang dicairkan oleh penjelasan yang membuatkan Curtis sendiri “flabbergasted”. 

Inilah yang membuatkan para penonton seronok dan segar membaca subteksnya sehingga dapat mencapai maqam zauq “mind-blowing”, di akhir penceritaan.

INTREPRETASINYA

Filem ini filem lambang. Setiap watak ialah lambang. Setiap prop ialah petanda. Setiap ayat dalam skrip ketika pegun mahupun bergerak, mahupun bahasa tubuh watak-watak berbicara dengan lancar dan segar. Tulisan ini sudah semestinya tidak mampu menghuraikan segala apa yang dinikmati, cukup beberapa tafsiran yang bisa dikongsi di sini.

Bagi aku, cerita ini jelas, sebagaimana dipersetujui Dudek, teman sinemaku – filem ini mengangkat kritikan terhadap kewujudan dan keniskalaan. Sebagaimana wujud dan niskala antara pegun dan bergerak dalam lokomotif urban yang dibicarakan di awal tulisan tadi. 

Kewujudan ini menatijahkan bagaimana manusia bergerak bersendiri kemudian berkumpul, berkomuniti membentuk perjuangan dalam kerangka sistem antara tahu dan jahil. 

Jujur, bagi mereka yang sukar memahami kancah sosialisme dan kapitalisme, filem ini dengan genius meringkaskan apa yang cuba disampaikan oleh tokoh-tokoh falsafah dalam kedua-dua aliran pemikiran ini berkenaan weltanschauung yang melatari kewujudan kehidupan itu sendiri.

Bagiku, salju beku di luar lokomotif itu seakan memberitahu – baiklah, mari kita bicara apa yang terjadi kini (alam dunia); bekukan (hentikan) sebentar persoalan alam sebelum kita wujud (alam roh) dan alam selepas kewujudan (alam akhirat); kita anggap perbincangan itu nihil lagi niskala. Mari nikmati penggembaraan dalam lokomotif ini (realiti alam dunia).


Namun, ini tidak dipersetujui watak Namgoong Minsu lakonan Kang-ho Song yang diangkat Gilliam sebagai “our fate is on this guy”. Aura messiah, prophet, rasul – bukan? 

Dia beriman pada tanda-tanda alam berdasarkan pemerhatian (rujuk timbunan salji kapal terbangnya) dan pengetahuan (rujuk ajaran kenal beza salji oleh wanita pencuci kelas hadapan yang menjadi sebahagian daripada the Frozen Seven). 

Dia mahu kehadapan bukan untuk menghapuskan Mr Wilford bagi mengambil alih lokomotif, kerana dia tahu, destinasi itu adalah satu penipuan. 

Dia mahu keluar dari lokomotif itu menuju ke kewujudan yang sebenar – di luar lokomotif; yang akhirnya berjaya ditemui anaknya, Timmy dan beruang putih yang ditafsirkan Dudek sebagai “masih ada yang mampu hidup di luar, sebenarnya”. 

Namun sayang, saranan Namgoong diketepikan Curtis sehinggalah Curtis sedar bahawa Namgoong benar di saat Wilford membuka hijab kebenaran di penghujung cerita - ketika rasa berseorangan dan bersendirian itu menghenyak hubungan vertikal Curtis dengan hakikat kewujudan spiritual yang sebenar.

Metafora Namgoong yang cuba menyatakan “kita sebenarnya diciptakan untuk wujud di luar lokomotif bukan di dalam lokomotif ini, Curtis”, mengingatkanku kepada kalam hebat al-‘Allamah Habib Umar Ben Hafidz hafizahullahuta’ala yang menyebutkan :

“Kalau kita diciptakan untuk dunia, mengapa kita perlu mati?”

STRATA MASYARAKAT DUNIA


Gerabak demi gerabak kalau kita perhati seumpama penggembaraan dari satu strata masyarakat dunia ke satu strata yang lain. 

Daripada gerabak terkebelakang yang melambangkan tingkat paling bawah di negara dunia ketiga (slump, setinggan – rujuk Slumdog Millionaire (2008), Alangkah Lucunya Negeri Ini (2010)); melata ke gerabak sistem pemakanan dan nutrisi dalam masyarakat berkenaan (ini kritik Genetic Modified Food dan segala teori konspirasi penjajahan negara maju yang menjadikan mereka tikus putih dalam makmal), masuk pula ke gerabak wilayah perang, kemudian gerabak stesyen air (kritik krisis peperangan yang berpunca daripada perebutan sumber; air, minyak, tanah etc) kemudian menerjah ke ruang gerabak pendidikan yang merupakan indoktrinisasi yang dirancang secara terancang – tonik (meminjam kata-kata Minister Mason). 

Kemudian, mereka meneruskan kembara, menerobos gerabak gedung makmal penyelidikan (ini sudah masuk ke daerah negara membangun pada teori pemindahan teknologi dan kepakaran), gerabak konservasi khazanah lautan dan secara pantas ke wilayah gerabak kelab hedonisme (ini sudah masuk ke daerah negara maju); sambil diselangi gerabak sistem teknologi yang beroperasi sebelum sampai ke kemuncak kepala lokomotif pemerintahan – gerabak "Tuan Presiden di Rumah Putih", Mr Wilford.

Filem ini secara ringkas mengkritik empat bahagian asas kehidupan bermasyarakat; PEST – Politik, Ekonomi, Sosial dan Teknologi. 

Namun yang paling menarik ialah cara agama, kepercayaan dan spiritual dinatijahkan. Di saat filem ini mendedahkan realiti struktur strata masyarakat dunia, mengapa seakan elemen spiritual ditinggalkan?

Pasca tontonan, kami berdua tertanya-tanya, di manakah gerabak gereja, biara, kuil, synagogue, masjid dan seumpamanya?


Tercipta dari tanya itu, jawapan terbit muncul. 

Ia wujud dalam gerak geri soldadu yang dipimpin Minister Mason. Ia wujud pada semangat Gilliam selaku guru kepada kaum gelandangan itu. 

Sutradara filem ini seakan memberitahu kita bahawa kepercayaan dan keimanan itu adalah dalam bentuk perbuatan yang digerakkan oleh kenekadan hati, terzahir melalui kata-kata yang menjadi senjata melemahkan musuh, menguatkan diri – tidak bergantung kepada jenama agama semata-mata.

Antara lain yang sangat menarik juga, kritik kepada nasib seniman. Lihatlah betapa peri pentingnya sasterawan (dalam persuratan mahupun seni catan) meskipun kewujudannya dalam strata masyarakat seakan sebagai eceran, namun kepentingannya - di saat langit hati gugur selain menjadi perakam sejarah yang bergelodak, bersimpang-siur hancur - amat signifikan dalam bentuk yang begitu sinikal sekali. Rujuk watak Painter lakonan Clark Middleton yang wow dalam filem ini.

Ini sebahagian daripada apa yang sempat dikongsi perihal karya hebat ini, sehebat subteks Life of Pi (2012) yang menaratifkan perjalanan sinema dunia. 

Malah, tidak lewah jika dikatakan, temanya lebih hebat daripada itu. 

Snowpiercer menghuraikan yang wujud dari niskala, yang niskala menuju yang wujud; perjalanan kehidupan insan yang kompleks dan penuh - surprise!

9.5/10 – semestinya. :)

TGV KLCC - 5.10 pm, Ahad 2 Mac 2014.

Ulasan Filem: Tika ‘Non-Stop’ Membunuh Paranoid Kita

*Sebagaimana yang tersiar di Malaysian Insider, Sabtu pagi. [KLIK]

Tidak ada yang dapat saya simpulkan sepanjang mata ini terlekat hampir 106 minit di layar perak filem Non-Stop, hasil tunggangan aktor filem suspens terkenal Taken (2008), Liam Nesson bagi watak Bill Marks - melainkan pembunuhan paranoid.
Paranoid. Curiga. Dua perkataan yang berbeza filologi namun sama maksud ini ternyata bukan sahaja menjajah lantas menjarah lurah emosi manusia namun berjaya ditamsilkan oleh sutradara Antoine Fuqua di mana sudah lama sebenarnya paranoid ataupun kecurigaan ini dieksploitasikan oleh agen-agen pengkhianat dalam apa jua bentuk untuk menjayakan kebangsatan jenayah mereka, di mana jua dalam tatanan masyarakat.
Saat lewati trailer filem ini di Youtube, anda mungkin menganggap ia sekadar cerita rampasan kapal terbang semata-mata atau mungkin satu lagi rancangan "Air Crash Investigation", namun bagi saya, ia menjangkaui lebih daripada sekadar pentas kapal terbang itu. Antoine Fuqua sedang mendedahkan apa yang sekian lama membarah lagi menyesakkan dalam masyarakat selama berabad iaitu tidak lain tidak bukan, paranoid.
Hal ini mengingatkan saya kepada cerpen Delusisma 2.0 (Denggi) karya Fahd Razy di Sastera Utusan 16 Februari 2014 yang turut sama menatijahkan perihal yang sama bagaimana buruk dan bobroknya kesan paranoid seorang lelaki yang obses pada teori konspirasi "vaksin itu racun", diagendakan tangan-tangan ghaib hinggakan dia aktif menggerakkan kempen anti-vaksin bagi bayi yang tidak berdosa hinggakan seruan itu membaham dirinya sendiri.Dalam filem ini, satu lagi jenayah dilahirkan di tataran pentas rampasan kapal terbang lantaran  paranoidnya penjenayah tersebut dengan teori konspirasi di mana manusia sebenarnya tidak selamat malah dikawal oleh tangan-tangan ghaib atas nama "sekuriti”.
Sedih. Malangnya, inilah yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Masyarakat Malaysia yang kita sayangi.
Menariknya, hal ini disimbolkan lagi melalui tajuk filem ini "Non-Stop" – tidak berhenti. Seakan menyebutkan hal paranoid ini ialah sebuah kalimah tanpa noktah.
PARANOID INTER AGAMA
Sebelum saya menonton filem ini malam tadi, seorang rakan saya menunjukkan gambar seorang YB daripada PAS sedang mengadakan acara ramah mesra dengan warga India yang rata-rata bukan beragama Islam.
Saya tertanya-tanya, tidakkah warga bukan Islam ini takut dan kecut perut andai YB PAS berkenaan berjaya mempengaruhi pegangan agama mereka? Bukankah semua sudah maklum, PAS ialah sebuah parti Islam yang membawa agenda bernegara mengikut acuan Islam yang menjadikan penyebaran dakwah selain tarbiyyah sebagai darah daging perjuangannya?
Katakan, YB itu seorang yang terkenal dengan ketaatannya kepada agama Kristian, beramah mesra dengan warga Melayu beragama Islam – tidakkah rasa kecurigaan atas dakwaan penyebaran agenda kristianisasi membenihkan paranoid kalau-kalau YB Kristian berkenaan mahu menyebarkan dakyah Kristiannya? Tidakkah provokasi melempar daging khinzir atau itik yang hampir kepatahan leher memalitkan seribu satu kecurigaan terhadap niat halus YB berkenaan?
Jika tidak, apakah yang membolehkan mereka yang berbangsa Melayu beragama Islam boleh mendengar ceramah YB bukan Islam berkenaan?
Dalam kes acara ramah mesra YB PAS tadi pula, apakah yang membunuh paranoid warga bukan Islam berkenaan?
Hal ini dijawab dalam filem suspen ini.
YANG MEMBUNUH CURIGA
Non-Stop menempelak khalayak penumpang yang paranoid dengan imej teroris bagi watak Dr Fahim Nasir (Omar Metwally), seorang doktor pakar Muslim berketayap putih di saat mulutnya terkumat-kamit berzikir seakan bersedia untuk mengebomkan dirinya. 
"Anda sudah periksa beg doktor itu?", seorang penumpang kulit putih merembeskan paranoid islamofobianya seakan tiada bersurutan.
Hinggalah Dr Fahim, yang memeriksa kedua mayat yang terkorban itu, jujur menceritakan apa yang berlaku – barulah terlerai imejan hitam Dr Fahim, digantikan dengan imejan putih bersih. Bertumbuhlah keyakinan dalam hati penumpang-penumpang lain.
Hal sama terjadi bagi watak Julianne Moore, Ratu "watak wanita bermasalah" sejak 90-an, aksi terbarunya dalam Carrie (2013), yang pada awalnya memercikkan emosi separa psikotik beraura antagonis seakan dialah suspek utama yang memberikan mesej tak terkesankan.
Hinggalah saat beliau benar-benar membuka mulut, memberitahu falsafah kematiannya untuk menghuraikan sebab mengapa dirinya duduk berhampiran tingkap di dalam kapal terbang, berdekatan agen Marks itu, barulah beliau terbebas dari sangkar paranoid agen Marks itu sendiri.
Nah – di sinilah formula membunuh paranoid. Resipi yang membunuh curiga.
Melalui sapaan.
Sapaan yang jujur. Dialog.
Dialog bertindak sebagai akar yang membenihkan batang ta'aaruf – kenal mengenal. Yang kemudiannya menyuburkan dahan-dahan tafaahum, faham memahami. Dan akhirnya membungakan takaaful, tolong menolong.
Formula inilah yang seringkali dibataskan para Islamis kepada kelompok kecil ahli usrahnya sahaja sehinggakan terlupa bahawa ummah itu bukan sekadar yang telah meyambut seruan (ummah al-ijabah) namun juga ummah yang belum menyambut seruan (ummah ad-dakwah) sebagaimana menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
Al-Qaradhawi kemudiannya menyebutkan kedua-dua ummah ini pula membentuk “Al-Muwatinun”, anak watan, warganegara. Sesuai dengan kepelbagaian agama dan bangsa yang ada di tanah survanabhumi ini.
Sebenarnya, kesimpulan lebih padat, lebih ringkas dapat kita temukan dalam Puisi Pemuda dan Gadis Tionghua, karya Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang, ketika beliau membaitkan:
"Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa?".
Mengapa menyapa? Kerana sapaan melahirkan komunikasi. Komunikasi memunculkan perbincangan. Selain perbincangan kosong, perbincangan selalunya menuntut kepada penggunaan ilmu yang menerbitkan hujah. Hujah inilah yang menenggelamkan kejahilan. Saat kejahilan tenggelam, meskipun hari sudah malam – yang hadir di langit ialah bulan purnama yang mencerahkan perjalanan musafir kehidupan.
Lantaran itu, saya bersetuju dengan kesimpulan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penceramah dan blogger terkenal – bahawa ubat untuk masyarakat ialah ilmu. Jika tidak, masyarakat kita ialah masyarakat isu. Dulu Syiah, sekarang anti hadis. Syiah belum selesai, anti hadis pula muncul di saat Syiah turut terusan berkembang namun keilmuan masyarakat masih di tahap yang membimbangkan.
AGAHAN YANG MEMBUNUH HUJAH
Namun, sayang – di saat sebaik-baik makhluk yang menjadi petunjuk kepada manusia, Nabi Muhammad mengajak Kristian Najran masuk ke Masjid Nabawi untuk berbincang berkenaan isu-isu ketuhanan dan keagamaan, kita yang mengaku umat baginda, menolak untuk menyahut seruan di pentas perbincangan bagi meleraikan kekusutan yang timbul.
Hebat sungguh baginda tidak menolak perbincangan walaupun dengan kumpulan yang terang-terang salah di sisi baginda.
Di sini kita merindukan sosok tubuh semisal Allahyarham Ahmed Deedat mahupun Dr Zakir Naik malah Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri. Bila-bila masa, mereka senntiasa melapangkan diri untuk berbincang, berdiskusi juga berbahas dengan sesiapa pun.
Malah, kita juga turut sama hormat mereka yang kontra dengan tokoh-tokoh ini meskipun berbeza kepercayaan, namun kesudian duduk sepentas adalah suatu yang cukup mahal harganya yang hanya mampu dibeli oleh kerendahan hati dan keinginan yang bersungguh untuk memperjuangan apa yang dipercayai baik untuk manusia yang mendengarnya.
Mereka inilah penjunjung firman:-
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” [Quran - 16:125].
Arakian, saya tidak menemukan alasan lain selain agahan dan keegoan yang tersembunyi bagi mereka yang menolak tangan mereka yang mengajak untuk "mari kita berbincang".
Apabila kita menolak untuk berbincang, sebenarnya kita menutup ruang bagi persoalan. Bilamana ruang itu ditutup, kita membunuh jawapan. Yang hidup ialah persoalan sedang jawapan bungkam dalam keranda penolakan.
Persoalan yang hidup pula memberanakkan lagi soalan-soalan lain. Persoalan demi persoalan itu pula membusutkan kecurigaan yang baru, satu demi satu.
Paranoid yang lama mewujudkan paranoid yang baru. Yang seteru makin seteru. Seakan mustahil menjadi sekutu apatah lagi berpadu untuk bersatu.
Yang buntu pula menjadi dungu. Masalahnya, kedungunan dan kebijaksanaan tidak pernah setuju untuk hidup bersama untuk memajukan manusia – baik dalaman mahupun luaran.
Dari satu segi, tidak salah untuk berasa curiga asalkan ia tidak mematikan langkah proaktif sebagaimana curiganya Agen Marks pada 150 penumpang dalam kapal terbang itu.
Namun, curiga hanya berhenti pada takat berhati-hati yakni bersedia atas segala kemungkinan yang buruk tetapi tidak sampai mezahirkan langkah yang buruk dengan akhlak yang teruk.


BERSAMA BUNUH CURIGA
Di akhir Non-Stop, ternyata di saat paranoid berjaya digugurkan, terhasillah sesuatu yang indah. Malam jadi siang. Hitam jadi putih. Becca, si gadis bocah yang risau akan mengalami trauma dalam penerbangan pertamanya itu akhirnya menjadi gadis yang percaya bahawa perjalanan atas kapal terbang ialah penggembaraan yang menarik.
Ya, menarik. Selagi mana, kita semua boleh diam dari kekecohan sebentar atas "kapal terbang dunia" dengan sama-sama membunuh curiga.
Terutama kecurigaan yang tiada hentinya. Non-Stop.
Oh ya, syarat untuk semua ini berhasil cuma satu.
Saya dan anda sama-sama mahu berlaku jujur dalam mencari damai. – 1 Mac, 2014.

Sebarkan Manfaatnya! :)