Tuesday, September 27, 2016

Karya Syok Sendiri

Tuan Syed penuh sopan bertanyakan kepada saya :

Tuan Za'im Yusoff, apakah ada perbezaan di antara Konsep Berkarya Kepada Diri dan Untuk Diri, dan konsep berkarya untuk syok sendiri?

Pandangan saya begini :

Pada pandangan saya yang dhaif, Tuan Scriptorium Kitab - antonim bagi syok sendiri ialah sedar diri.

KARYA SEDAR DIRI

Maka, karya yang berlunaskan seni kepada diri dan untuk diri itu bukanlah karya syok sendiri selagi mana tukang seninya itu mempunyai kesedaran akan kedudukan seninya itu sendiri adalah semata-mata untuk dirinya.

Darihal itu, baginya tidak ada langsung perbezaan akan pujian mahupun makian orang terhadap hasil seninya memandangkan seninya itu untuk dirinya. Kalaupun terzahir pada khalayak, soal materi mustahil timbul, perdebatan tentang hasil seninya pula nihil - selain dirinya, niskala. Melainkan, dia seorang bertauhid, maka dia berpegang kepada payungan Allah, itupun bersendikan man arafa nafsahu, faqad arafa rabbah.

Walhasil, hasil seni itu terzahir kembali pada dirinya dengan peningkatan nilai dirinya sendiri melalui renungan & muhasabah diri yang lebih murni mahapun prinsip & pendirian diri yang lebih jelas setelah karya seni itu lahir. Makna baginya penting, kata baginya mustahak.

Lantaran, matlamat penghasilan karya seni itukan untuk dirinya mengapresiasikan gelodak perasaan dan gelojak pemikiran dalaman. Sekaligus setelah karya seni terhasil, maka lebih murni dan lebih jelaslah dapatan luaran yang dapat dia insafi dan nikmati - sendiri.

Begitulah, kesan seninya ialah hakikat.

KARYA SYOK SENDIRI

Sebaliknya, pengkarya syok sendiri, tidak bersandarkan kesedaran, sebaliknya sangkaan yang melampau, melebihi had. Sangkaan terhadap dirinya. Sangkaan terhadap khalayak.

Dia tidak jujur pada dirinya dalam berseni. Di mulut, seni ini kepada dan untuk saya - tetapi awak tidak ada hak untuk menebak saya memandangkan karya ini ialah diri saya - memancung ia seperti memenggal tubuh saya sendiri. Anehnya, saat dipuji sedikit; terus sang tukang seni itu merasakan bahawa adalah menjadi kewajipan untuk khalayak menjulang karyanya.

Tidak memperkatakan tentang karyanya ialah suatu keanehan dan kejanggalan jika tidak sebuah dosa yang haram dimaafkan. Ganjaran tidak setimpal adalah menjadi persoalan besar bagi dirinya bukan sebagai adab dan tanggungjawab masyarakat semata-mata. Pendapatnya bukan setakat fatwa tetapi juga hukum. Makna dan kata seperti alat-alat permainan untuk dia bermain dan mempermainkan. Dia tidak segan silu memakai kata-kata rendah diri untuk menzahirkan kezuhudan dirinya; tetapi hanya Allah sahaja tahu betapa riaknya dalamannya membusuk. Tuhan - hanyalah busana, untuk sesuka hati dia membeli dan menukar ganti.

Akhirnya, menjadilah dirinya itu semacam roh hantu bergentayangan tergantung-gantung antara langit dengan bumi, dan pekikannya terus menghantui - bukan siapa-siapa melainkan menghantui dirinya sendiri.

Begitulah, kesan seninya sekadar persepsi.

Nauzubillah.

Mohon betulkan andai salah, maaf bagi yang khilaf.

Friday, September 23, 2016

Yang Difahami Daripada Makna, Kata Dan Mesej Dalam Seni

Petikan "blurb" pada kulit Dondang Pembukaan (Lutfi Ishak, 2015) amat menarik untuk menjentik kefahaman tentang perihal makna, kata dan mesej dalam seni :
makna dan kata bagai cahaya dan lampu 
kala lampumu kelihatan asing; ayuh cari lampu baru 
keindahan luaran sentiasa berbeza, tiap tukang 
menghasilkan lampu dari pelbagai logam dan kaca 
di tengahnya, pasti dimasukkan sumbu yang serupa; 
sederhana atau luar biasa, mengapa lampu dicipta 
kalau bukan untuk seberkas nyala?

Memahami petikan puisi sebegini memerlukan teknik penggantian perkataan bagi menyerlahkan maksud yang sengaja disembunyikan secara muqaddar (kira-kira kewujudannya disamarkan - ambilan teladan ilmu nahu).

Di awal, penyair meletakkan bandingan makna dan kata adalah seperti cahaya dan lampu. Ini bermaksud bagi tiap perkataan cahaya, yang dimaksudkan ialah makna. Begitu juga, bagi tiap perkataan lampu, yang dimaksudkan ialah kata. Cahaya dan lampu ialah alat untuk memuqaddarkan maksud makna dan kata.

Maka, untuk memahami puisi ini, kita gantikan sahaja perkataan cahaya (juga nyala) dengan makna; dan perkataan lampu dengan kata. Maka, akan terhasil sebegini :
makna dan kata bagai cahaya dan lampu 
kala katamu kelihatan asing; ayuh cari kata baru 
keindahan luaran sentiasa berbeza, tiap tukang (penulis) 
menghasilkan kata dari pelbagai logam dan kaca 
di tengahnya, pasti dimasukkan sumbu (tujuan, kehendak) yang serupa; 
sederhana atau luar biasa, mengapa kata dicipta 
kalau bukan untuk seberkas makna?

Lampu ialah alat sebagaimana kata juga merupakan alat, sekaligus boleh dimaksudkan secara lebih umum sebagai medium seni. Ini bermaksud puisi ini ingin menyatakan keluasan medium seni dalam menyerlahkan makna-makna tinggi dan luas yang ingin dipersembahkan.


Sekiranya medium seni (termasuk pemilihan kosa kata/genre dsbnya) itu kelihatan asing, selaku penggiat seni, kita tidak perlu berasa janggal untuk mencari medium seni lain lantaran keindahan setiap seni itu berlainan memandangkan medium-medium seni itu datang daripada sumber yang bermacam.

Yang pasti, makna yang ingin diterapkan adalah serupa selagi mana hakikat kepada penyerlahan makna itu akhirnya sampai untuk dihayati (mencerahkan & menghangatkan) oleh para penikmat seni.

Di sini, kita memahami bahawa dalam mana-mana seni sekali pun, yang paling mustahak ialah makna – “the reality of the thing”, atau dalam kertas kerja Puisi: Suara Diri Atau Masyarakat oleh Lutfi Ishak (2016) disebutkan bahawa makna ialah suatu jelmaan hakikat dalam akal setelah segala fakta-fakta runcitan itu diletakkan pada tempatnya masing-masing.

Makna ialah hakikat sesuatu. Ia diperlihatkan, dipertontonkan mengikut aliran sang tukang seni berkenaan; hal ini boleh sampai kepada khalayak mahupun tidak – mengikut tingkat kefahaman para khalayak terbabit.

Di sinilah, tugas para pengkritik seni. Mereka menulis berdasarkan apresiasi terhadap hal-hal yang dicanai oleh sang tukang seni - warnanya, momentumnya, syot panjang atau tidaknya, ritma muziknya, selain plot, dialog, perwatakan, monolongnya mengambil contoh seni perfileman. Kita sememangnya boleh tidak bersetuju dengan makna yang didakwa sang tukang seni tetapi kita tetap boleh menzahirkan apresiasi kewujudan hal itu dalam seni.

Makna ialah kesatuan seni memandangkan seni berasal dari perkataan "sani" bermaksud "jiwa yang luhur". Apa-apa yang pencanai seni tahu dan faham dilakar dalam karyanya. Dengan kefahaman ini, dia tidak berapa peduli khalayak faham atau tidak kerana di akhir apa yang penting karyanya mempamerkan apa dia rasa, tahu dan faham kemudian hasil itu kembali kepada dirinya (juga kepada khalayak yang telah mencapai tingkat kefahaman tertentu).

Maka, gagasan Berkarya Kepada Diri dan Untuk Diri muncul. Untuk khalayak, karya seninya ialah sebuah perkongsian. Sifat perkongsian, bisa diterima juga ditolak. Sekali lagi, bersandarkan tingkat kefahaman para khalayak tadi.

Sebaliknya, apa yang dikatakan sebagai mesej ialah pesanan pencanai seni kepada khalayak, yang sememangnya sang tukang seni mahu khalayak terima - bersifat didaktik (punya darjah longgar dan ekstrem yang berbeza-beza). Sang tukang seni yang menjulang hal ini lebih berpegang dengan gagasan Seni Untuk Masyarakat. Hal ini mencakupi nilai dan pengajaran yang disejajarkan dengan ritma norma setempat. Bagi mereka, mesej setepatnya perlu sampai kepada khalayak sasaran. Kalau tidak, karya seni itu dianggap gagal.

Darihal itu, yang wajib ada dalam seni ialah makna. Adapun kata sebagai medium. Manakala mesej terkadang boleh ada, terkadang boleh tiada – bersandarkan tujuan sang tukang seni masing-masing.

Hujjatul Islam Al-Ghazali pernah berkata, tidak ada orang mencari emas untuk makan emas. Jadi, begitu juga dengan aktiviti berseni. Secara keseluruhannya seni (puisi, filem dsbnya) itu ialah "surah" yakni gambar atau bentuk, suatu wadah atau wasilah yang bukan menjadi tujuan akhir.

"Maknanya" atau "cahaya"-lah yang utama, yang menjadi tujuan.

Dan setiap cahaya itu ada perbezaan tahap kecerahannya. Yang penting cahaya itu menghilangkan kegelapan, sesuai dengan tahap kecerahannya masing-masing.

Apakah makna tertinggi atau Apakah cahaya paling terang?

Kebenaran.

Dan sebaik-baik rangkap syair yang engkau dondangkan – (ialah) 
Rangkap syair yang mendendangkan semata-mata kebenaran.*

*Petikan The Diwan of Hassan Thabit



Wallahu'alam

Sebarkan Manfaatnya! :)