ULASAN BUKU YANG AMATNYA
MULIA
KERNA MEMERIHAL
TENTANG KEKASIH QALBU
BERJUDUL “PANTUN
KISAH RASUL TERCINTA”
OLEH AYAHANDA KITA
ISMAIL RESTU
(Catatan terkini : Alhamdulillah, ulasan ini memenangi 10 tempat teratas
dalam pertandingan berkenaan. Alhamdulillah)
(Catatan terkini : Alhamdulillah, ulasan ini memenangi 10 tempat teratas
dalam pertandingan berkenaan. Alhamdulillah)
oleh hakir
Muhammad Za’im Bin Mohamad Yusoff
......................................................................................................................................................
*Tuan-Tuan yang dihormati,
Sebelum ulasan ini Tuan-Tuan hadami, elok benar
kiranya penulis mengingatkan bahawa tulisan ini dinukil dalam nada berhikayat
bertujuan mengembalikan cucu cicit nenda sekaliannya ke zaman di mana meluncur
deras di jeram bibir nenda-nenda butiran pantun indah tersusun, untaian syair
indah terukir. Arakian, bacalah ulasan ini dengan gaya berhikayat jualah
hendaknya. Barulah seru itu tiba!
Bermulanya puja puji pada Sang
Hyang,
Selawat dan juga salam pada
yang Sang,
Keluarga yang dekat serta mengikut
-
Sahabat sebahtera hingga
melaut![i]
MUQADDIMAH
Pada mulanya, sahaya ke Pesta Buku Kuala Lumpur
2013 sekadar mengejar beberapa buku bagi memenuhi hajat mereka yang dekat amat
di hati walau jauh terpisah di mata. Mungkin kerana benar-benar ingin memenuhi
hajat orang, Tuhan membalas dengan penemuan karya yang amat sahaya tunggunya
datang - iaitu :
‘Pantun Kisah
Rasul Tercinta’ –
karya Ayahanda Ismail Restu[ii] ḥafiẓahu’Llāhu
taʿālā - semoga Allāh subḥānahu
wa taʿālā senantiasa menjaganya untuk terus berkarya menyebar
tebar cinta dan makna menerusi untaian kata-kata.
Maka di dalam makalah ini, meskipun merasa diri
tidaknya layak - sebagaimana bunyi sebuah pantun di dalam lagu ‘Pandang-Pandang
Jeling-Jeling’ oleh Tan Sri S.M. Salim dan Dato' Siti Nurhaliza yang
terngiang-ngiang di telinga sahaya :
Kereta kuda pedati
lembu,
Singgah mari di tepi kuala;
Tuan sutera sahaya
belacu,
Manakan boleh berganding sama!
Namun, sahaya cuba sedaya upaya memberikan sedikit sebanyak
buah fikiran, meluahkan apa yang sahaya rasa tentang penulisan hebat Ayahanda
ini selaku mewakili suara generasi anak-anak Ayahanda hari ini yang akan
menentukan mundur maju nasib lapangan penulisan pada hari esok.
Moga yang baik dikelek molek. Moga yang salah
ditunjuk ajar.
PUJIAN
Ramai orang tidak memahami peranan dan tujuan
sastera yang diperjuangkan para karyawan melalui pelbagai wadah puisi, prosa
tradisional dan sebagainya. Pada sangkaan mereka, para karyawan hanya
bersuka-sukaan, larut dan hanyut dalam dunia percintaan yang direka-reka.
Sahaya menyangkal kenyataan ini dengan memetik
kata-kata Ayahanda Pak Samad –
“…kita
tulis puisi bukan untuk cinta-cintaan saja!”[iii]
Demikianlah, ciptaan puisi dan apa jua karya seni
itu hakikatnya adalah untuk tujuan pendidikan. Pendidikan zahir mahupun batin,
pendidikan jiwa mahupun raga!
Dalam banyak-banyak cabang ilmu pengetahuan untuk dididik,
ilmu wahyulah yang paling mustahak untuk belajar, diajar dan mengajar. Dalam ilmu
wahyu pula, telaga ilmu yang terpenting untuk mula-mula ditadah ialah ilmu ʿAqīdah.
Sepakat ʿulamaʾ zaman-berzaman menyatakan bahawa ilmu ʿAqīdah
itu terbahagi kepada tiga perkara[iv] -
1. al-Ilahiyāt (Ketuhanan)
2. al-Nubuwwah (Kenabian)
3. al-Samʿiyyāt (Perkara-Perkara
Ghaib)
Inilah perkara pertama yang buat sahaya bangga akan Ayahanda kita. Dengan lahirnya buku Pantun Kisah Rasul Tercinta ini, ia tidak syak lagi membincangkan secara khusus antara perkara yang paling mustahak dalam pengajian ilmu ʿAqīdah iaitu perihal al-Nubuwwah – Kenabian.
Tidak ada nabi lain yang lebih agung dan lebih
terutama saat seseorang membicarakan perihal al-Nubuwwah
ini melainkan al-Ḥabīb al-Rasūl Sayyidunā Habībunā Muḥammad ibn ʿAbd Allāh ṣalla’
Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam!
Keduanya – Ayahanda kita ini juga telah berjaya
menonjolkan peranan sastera sebagai wahana pendidikan ummah.
Hal ini mengingatkan sahaya kepada ketidakputusan
para -ʿulamaʾ ʿārifīn bi’Llāh menulis
berjilid-jilid kitab menyampaikan ilmu-ilmu wahyu menerusi wadah prosa
tradisional dalam rangkap tersusun (manẓūmah)
hingga dikenali sebagai naẓām mengikut kaedah syair berdasarkan ilmu sastera Arab
yang amat mendalam itu.
Misalannya ialah asas-asas ilmu ʿAqīdah
telah diringkaskan dalam 144 rangkap syair oleh al-Shaykh
Ibrahīm al-Laqqānī al-Mālikī raḥimahu’Llāhu taʿālā
(wafat 1041 H) dengan tajuk ‘Jawharah al-Tawhīd’
(Permata Ilmu Tauhid). Sebahagian ʿulamaʾ
menyatakan bahawa al-Syeikh menulisnya hanya dalam masa satu malam.[v]
34 rangkap nazam syair telah disusun bagi
meringkaskan ilmu Ḥadīth dalam ‘al-Manẓūmah
al-Bayqūniyyah’ oleh al-Imām al-Muḥaddith
Ṭāhā b. Muḥammad b. Fattūḥ raḥimahu’Llāhu taʿālā sekitar sebelum
tahun 1080 H.
1002 rangkap bait syair telah disusun bagi
meringkaskan ilmu Nahw dalam penulisan ‘Alfiyyah ibn
Mālik’ yang ditulis oleh al-Imām Muḥammad
bin ʿAbd Allāh bin Mālik al-Andalusī raḥimahu’Llāhu taʿālā
(wafat 672H) atau lebih dikenal dengan sebutan al-Imam Ibn Mālik.
Malah, karya agung Masnawi
yang mengandungi 4003 bait dalam Buku 1 (Book 1), ‘The Mathnawi of Jalaluddin
Rumi’ oleh Mawlānā Jalāl al-Dīn al-Rūmī raḥimahu’Llāhu taʿālā (wafat sekitar 671H) itu sendiri juga merupakan bukti wadah sastera melalui puisi menjadi
alat yang begitu berkesan di mana ilmu Islam dapat disalur dan disebarluaskan
dari satu zaman ke satu zaman.
Malah, dikatakan beliau mula
tenggelam dalam dunia kesufian setelah Rumi terkesan dengan kitab puisi-puisi
kesufian hasil karangan gurunya, Farīd al-Dīn
al-ʿAṭṭār raḥimahu’Llāhu taʿālā yang berjudul ‘Asrār Nāmeh’ itu![vi]
Hal yang sama turut dapat dikesan dalam tradisi ʿUlamaʾ
Nusantara sebagaimana yang telah dinukil di dalam Sentuhan
Pengantar di dalam buku ini oleh Ayahanda Abdul Halim "R".
Andai kalian ingin mengetahui siapakah ʿUlamaʾ
Nusantara itu, maka bersegeralah kitab indah ini
kalian miliki!
PANDANGAN
Pandangan
ini terbahagi kepada lima bahagian :
1. Memenuhi Asas Pantun
2. Meter Puisi
3. Rima Tengah Canggung
4. Kosa Kata Berulang
5. Kait Pembayang dan Makna
Memenuhi Asas Pantun
Sebanyak 412 rangkap pantun telah berjaya disusun
di dalam buku ini. Pantun-pantun ini dibahagikan dalam lima belas bab. Ia
disusun secara kronologi bermula dengan Bab Kelahiran Muhammad Bin Abdullah
sehingga Bab Kewafatan Nabi Muhammad pada bab ke-empat belas sebelum diakhiri
dengan bab Tambahan di mana Ayahanda kita ini bermelankolik dengan penuh syahdu.
Setelah diteliti, sememangnya benar bahawa kesemua
412 rangkap pantun berkenaan telah berjaya disusun dengan memenuhi dua syarat
asas bentuk pantun[vii]
iaitu :
a) Kewujudan pembayang dan maksud. Kesemua 412 rangkap
pantun ini adalah daripada jenis pantun empat kerat. Oleh hal demikian, baris
pertama dan kedua adalah pembayang manakala baris ketiga dan keempat adalah
maksud. Dalam konteks ini, maksud adalah bingkisan sirah yang ingin
diceritakan.
b) Rima hujung yang mengikut bentuk A-B-A-B
Syabas, sahaya ucapkan kepada Ayahanda!
Adapun sahaya bukanlah ahli dalam bidang
periwayatan sirah.
Arakian, dalam ulasan kali ini, sahaya ingin
melontarkan beberapa pandangan berkaitan bentuk pantun yang disusun tetapi
tidak memfokuskan kesahihan fakta-fakta di dalam rangkaian pantun ini.[viii]
Kendatipun begitu, berbekalkan sedikit ilmu sirah
yang sahaya sempat kutip hasil pengajian Fiqh al-Sīrah
al-Nabawiyyah tulisan al-Shaykh Muḥammad Saʿīd Ramaḍān al-Būṭī raḥimahu’Llāhu
taʿālā, kitab Al-Shamāʾil al-Muḥammadīya wa al-Khaṣāʼil al-Muṣṭafawīya
karangan al-Imām Abī ʿĪsā Muḥammad bin ʿĪsā bin Sawrah al-Salmī al-Tirmidhī raḥimahu’Llāhu
taʿālā dan kitab al-Raḥīq al-Makhtūm oleh al-Shaykh Ṣafī al-Raḥmān
al-Mubārakfūrī raḥimahu’Llāhu taʿālā yang dibimbing
oleh para guru kami ḥafiẓahumu’Llāhu taʿālā – sahaya dapat
menyimpulkan bahawa kesemua perjalanan sirah yang diabadikan di dalam rangkap-rangkap
pantun ini adalah maklum dan diketahui umum.
Harus juga difahami, komentar ini tidak langsung
berniat menafikan lubuk seni yang Ayahanda kita miliki sebaliknya ia adalah
sekadar pandangan dan buah fikiran untuk memperbaik dan lebih mempercantik apa
yang sudah baik menjadi lebih molek sekaligus menjadi teladan kepada para
pemantun tegar di luar sana untuk menyempurnakan pantun seberapa tinggi
kualitinya mungkin, baik daripada sudut bentuk pantun mahupun makna pantun itu
sendiri.
Meter Puisi
Sebelum kita berlayar lebih jauh, ingin sahaya
menarik perhatian para pembaca untuk maklum terlebih dahulu akan bentuk pantun
yang lebih tinggi kualitinya.
Sebenarnya, selain daripada dua syarat asas bentuk
pantun sebagaimana yang dinyatakan di atas – terdapat syarat-syarat khas yang
lain yang perlu dikuasai oleh para penyusun pantun bagi meningkatkan kualiti
pantun yang dihasilkan.
Penguasaan yang sahaya maksudkan ialah penguasaan
meter puisi.[ix]
Dalam konteks pantun, ia adalah kiraan suku rima yang mewakili meter puisi bagi
sesebuah pantun.
Penguasaan rima bagi sesebuah pantun sebenarnya
bukan setakat di hujung, malah rima juga terdapat di tengah. Hal ini turut
dinyatakan oleh Ayahanda Abdul Halim "R" di ruangan Sentuhan
Pengantar dalam buku ini.[x]
Pada pendapat sahaya, sebenarnya ia bukan setakat
rima tengah dan rima hujung yang turut dikenali sebagai sanjak itu sahaja yang perlu
dijaga, malah bilangan suku-suku kata bagi setiap rima itu baik yang tengah
mahupun yang hujung sebaik-baiknya disusun dengan bilangan yang sama dengan
baris pasangan pantun berkenaan.
Contoh terbaik dalam buku ini yang sempat sahaya
teliti ialah pada pantun ke-371 yang berbunyi :
(371) Berkawan
baik si anak kembar,
Tiba di pekan senyum terukir;
Muhammad naik ke
atas mimbar,
Lalu sampaikan khutbah terakhir.
Rima tengahnya dijaga amat baik sebaik rima yang
hujung. Setiap rima, perkataan yang dipilih adalah sama bilangan suku kata
yakni lima bagi tiap-tiap rima yang menjadikan meter puisinya amat sempurna
dengan kesemua bilangan bagi setiap rima adalah lima.
Lihat perkiraan meter puisi ini :
(371) Ber-ka-wan
ba-ik [5 –rima tengah] si a-nak kem-bar, [5 –rima hujung]
Ti-ba di pe-kan [5] se-nyum ter-u-kir; [5]
Mu-ham-mad na-ik
[5] ke a-tas mim-bar, [5]
La-lu sam-pai-kan [5] khut-bah ter-a-khir. [5]
Sebenarnya pengiraan meter puisi sebegini bukanlah benda yang baharu. Malah, ia merupakan perkara yang membezakan antara seorang penyair yang tinggi hasil karyanya dengan seorang penyair yang kurang mahir.
Misalnya, dalam ilmu sastera Arab, pengiraan meter
puisi ini dikenali sebagai ilmu ʿArūḍ. Di dalam sastera Arab, terdapat 16
bentuk meter puisi yang dikenali ramai sebagaimana menurut riwayat Al-Khalīl ibn Ahmad Al-Farahidi (wafat 173H) yang kemudiannya ditambah satu bentuk
lagi oleh Al-Akhfash (wafat 177H) yang merupakan anak muridnya.[xi]
Sahaya
dapat mengesan terdapat lima pantun di dalam buku ini yang suku kata rima
tengah dan rima hujungnya dijaga dengan kiraan yang sempurna. Selain daripada
pantun ke-371; pantun ke-24, pantun ke-49, pantun ke-133 dan pantun ke-344
memenuhi ciri-ciri kesempurnaan meter puisi yang menakjubkan.
Contoh, pantun ke-133 :
(133) Agak
mahal belanja berkelah,
Sewa rumahnya hanya semalam;
Abu Jahal mengaku
bersalah,
Hamzah akhirnya memeluk Islam!
Meter puisinya :
(133) A-gak
ma-hal [4] be-lan-ja ber-ke-lah, [6]
Se-wa ru-mah-nya [5] ha-nya se-ma-lam; [5]
A-bu Ja-hal [4] me-nga-ku
ber-sa-lah, [6]
Ham-zah a-khir-nya [5] me-me-luk Is-lam! [5]
Contoh, pantun ke-344 :
(344) Askar
berkuda orang Punjab,
Nampak gerun berpakaian merah;
Berlaku pada bulan
Rejab,
Pada tahun kesembilan hijrah.
Meter puisinya :
(344) As-kar
ber-ku-da [5] o-rang Pun-jab, [4]
Nam-pak ge-run [4] ber-pa-kai-an me-rah; [6]
Ber-la-ku pa-da
[5] bu-lan Re-jab, [4]
Pa-da ta-hun [4] ke-sem-bi-lan hij-rah. [6]
Atas penghujahan berkenaan meter puisi ini, sahaya
ingin melanjutkan lagi perbincangan berkenaan kenyataan Ayahanda Abdul Halim
"R" yang menyatakan bahawa baris pantun itu seandainya mencukupi 8
hingga 12 suku sebaris sudah dikatakan seseorang penyusun pantun itu telah
mematuhi syarat pembinaan pantun.
Kita maklum bahawa pendapat ini kemungkinan telah dikutip
daripada Za’ba[xii],
namun jika kita perhatikan perbahasan oleh Daillie (1988) dalam Bab VI : Words, Syllables, Rhytm, Music (The ‘Rules’
of Pantun Prosody) dalam ‘Alam Pantun Melayu : Studies on the Malay Pantun’,
hakikatnya kenyataan ini perlu diteliti dan diperhalusi lagi.
Oleh hal yang demikian, sahaya berpendapat, selaku
penyusun pantun yang mahu meningkatkan lagi kualiti pantunnya, kita perlu peka
bahawa pantun itu akannya dialun oleh pembaca pantun mengikut alunan kebiasaan
pantun yang memerlukan pembaca pantun itu mengetahui rima tengah untuk “saktah”
dan rima hujung untuk “waqaf”.
Saktah dan waqaf ini adalah ambilan teladan
daripada ilmu Tajwid. Saktah ialah berhenti tanpa nafas sedangkan waqaf ialah
berhenti dengan memutuskan nafas. Kalau diperhatikan, alunan pantun oleh
pemantun yang membaca pantun itu memiliki kedua-dua elemen ini. Bilangan suku
kata serta bentuk rima tengah menentukan tempat saktah alunan pantun
sebagaimana bilangan suku kata serta bentuk rima hujung menentukan tempat waqaf
alunan pantun.
Oleh itu, sahaya berpendapat, untuk menjaga kualiti
pantun yang tinggi, kita memerlukan para penyusun pantun benar-benar cermat
memerhatikan rima tengah dan rima hujung yang cukup pasangan suku-suku kata
bagi baris sepunya masing-masing. Bukannya semata-mata mengira bilangan suku
kata bagi setiap baris cukup antara 8 sehingga 12 sahaja.
Antara teladan terbaik ialah daripada karya
Ayahanda Pak Samad. Perhatikan madah beliau ini yang disusun seakan-akan bentuk
pantun meskipun tanpa membezakan pembayang dan maksud.
Gatera gempur
budaya kotor,
demi menyubur siasah luhur.[xiii]
Perkiraan meter puisi :
Ga-te-ra gem-pur
[5] bu-da-ya ko-tor, [5]
de-mi me-nyu-bur [5] si-a-sah lu-hur. [5]
Meski bilangan suku kata meter puisi bagi majoriti
koleksi pantun dalam karya ini tidak sempurna, namun keserupaan bunyi rima
tengah dan rima hujungnya tetap dijaga. Ini memudahkan pemantun yang ingin
melantunkan pantun-pantun ini dengan tidak perlu bersusah payah mencari di mana
tempat untuk saktah dan waqaf yang sesuai untuk mengalunkannya.
Misalnya dalam pantun ke-106 :
(106) Cantik
bulunya si burung merak,
Dengan cermat memagut ubi,
Dengan turunnya
ayat Iqrak,
Bermulalah Muhammad sebagai Nabi.
Pasangan untuk saktah dan waqaf alunan pantun dapat
dipadankan sebagaimana berikut :
Saktah berlaku di : Cantik bulunya = Dengan
turunnya
Waqaf berlaku di : Si burung merak = Ayat Iqrak
Saktah berlaku di : Dengan cermat = Bermulalah
Muhammad
Waqaf berlaku di : Memagut ubi = Sebagai Nabi
Ketidak sempurnaan bilangan suku rima meter puisi
dapat dikenal pasti sebagaimana kiraan berikut :
(106) Can-tik
bu-lu-nya [5] si bu-rung me-rak, [5]
De-ngan cer-mat [4] me-ma-gut u-bi, [5]
Den-gan tu-run-nya
[5] a-yat Iq-rak, [4]
Ber-mu-la-lah Mu-ham-mad [7] se-ba-gai Na-bi. [5]
Untuk mendapatkan suku rima meter puisi yang
sempurna, ada beberapa teknik dicadangkan.
1. Kadangkala imbuhan boleh kita gugurkan. Ini
merupakan teknik hazaf yang juga terdapat dalam tradisi sastera Arab yakni
memotong atau meninggalkan beberapa suku kata yang berlebihan misalnya dalam
imbuhan untuk menyempurnakan kiraan suku rima meter puisi tanpa menghapuskan
makna kosa kata itu sendiri.
Contohnya, Ayahanda Pak Samad pernah menggunakan teknik hazaf
ini dalam puisinya bertajuk Kapal Terbang Datang[xiv]
yang berbunyi :
Datanglah sebanyak kapal terbang,
Curahlah sesebanyak karung wang,
Tapi, usahlah sesekali curang,
Isi neraka ‘kan tetap berang!
Beliau meringkaskan perkataan “akan” kepada ‘kan dengan
membuang huruf –a.
2. Kita juga boleh menambahkan perkataan-perkataan
yang bermakna walau hanya satu suku seperti "si", "sang",
"di", "yang", "nya" untuk menyempurnakan suku rima
meter puisi yang kurang.
3. Juga dengan kreativiti, bisa diulang kosa kata yang
sama andai bersesuaian.
Semua ini untuk mencantikkan dan menyempurnakan
suku rima meter puisi di dalam rangkap pantun yang disusun.
Contoh :
Pantun ke-395 :
(395) Buku dijilid
tahan bertahun,
Dijual di kota untung berganda;
Sambutan Maulid
setiap tahun,
Tanda kita tak lupakan Baginda.
Ketidak sempurnaan suku rima meter puisi di dalam
pantun ini dapat dikenali seperti berikut :
(395) Bu-ku
di-ji-lid [5] ta-han ber-ta-hun, [5]
Di-ju-al di ko-ta [6] un-tung ber-gan-da; [5]
Sam-bu-tan Mau-lid
[5] se-ti-ap ta-hun, [5]
Tan-da ki-ta [4] tak lu-pa-kan Ba-gin-da. [7]
Kita boleh aplikasikan teknik-teknik di atas untuk
menyempurnakan suku rima meter puisi dalam pantun ini :
Buku dijilid tahan
bertahun,
Jual* di kota untungnya' berganda;
Sambutan Maulid
setiap tahun,
Tandanya' kita tak lupa^ Baginda.
* Teknik hazaf - dibuang imbuhan -di. Meskipun
dibuang, ayatnya tetap sempurna.
' Penambahan kosa kata bermakna satu suku iaitu
-nya bagi tujuan mencukupkan suku rima meter puisi.
^ Teknik hazaf - dibuang -kan. Meskipun dibuang,
ayatnya tetap sempurna.
Maka, setelah mengaplikasikan kesemua teknik yang
dicadangkan, alhamdulillah - pantun tersebut beroleh kesempurnaan bagi suku rima
meter puisi.
Bu-ku di-ji-lid
[5] ta-han ber-ta-hun, [5]
Ju-al di ko-ta [5] un-tung-nya ber-gan-da; [6]
Sam-bu-tan Mau-lid
[5] se-ti-ap ta-hun, [5]
Tan-da-nya ki-ta [5] tak lu-pa- Ba-gin-da. [6]
5,5
5,6
5,5
5,6
Begitulah – hujung parang diasah lagikan tajam.
Meter puisi andai cermat diteliti dan rapi ditekuni, insyaAllah hasil mahsul
karya seninya akan menjadi semakin berkualiti.
Rima
Tengah Canggung
Apa yang paling membanggakan ialah Ayahanda kita
yang mulia ini telah berjaya menjaga semua rima tengah dan rima hujung pantun
dengan sempurna melainkan pada penelitian sahaya, hanya empat pantun sahaja yang
mana rima tengahnya canggung yang mana antaranya iaitu :
Pantun ke-142 :
(142) Burung
camar si burung merbah,
Hinggap di dahan pokok nangka;
Iman Ammar tidak
berubah,
Abu Jahal menyeksa mereka.
Kecanggunggannya terdapat pada rima tengah baris
kedua dan rima tengah baris keempat yang tidak serima. Namun, memandangkan asas
pantun yang dua iaitu keberadaan pembayang dan maksud serta kedapatan rima
A-B-A-B di hujung - tetap menjadikan rangkap ke-142 ini sebagai sebuah pantun –
meski tidak sempurna rima tengahnya.
Pantun lain yang canggung rima tengahnya ialah
pantun ke-346 pada rima tengah baris kedua tidak berima dengan rima tengah
baris keempat, pantun ke-360 dan ke-380 di mana dalam kedua-dua pantun, rima
tengah baris pertamanya tidak berima dengan rima tengah baris ketiga.
Adapun bagi pantun ke-361, sahaya menganggap
perkataan “Bandar” itu ada bunyi sepunya dengan perkataan “Widaq” kalau pantun
ini dialun dengan loghat utara.
Mengidam nak mendengar rangkap pantun yang
dimaksudkan? Makanya, buku ini lekas-lekaslah kalian dapatkan!
Kosa
Kata Berulang
Menulis dan mengarang senaskhah karya sastera dalam bentuk yang berima sebenarnya amat mencabar. Selain daripada penulis wajib memastikan makna yang ingin disampaikan itu jelas tersandar, mereka juga perlu mengelakkan daripada mengalami sindrom kekontangan kosa kata sepunya dalam penghasilan karya mereka.
Kebanyakan pantun dalam buku ini mencerminkan
kehebatan dan keluasan kosa kata Ayahanda kita. Misalannya yang amat
mengangumkan sahaya ialah pada kosa kata sepunya bagi perkataan yang bukan
berasal daripada kosa kata Bahasa Melayu.
Misalnya pantun ke-298 :
(298) Kerusi
roda daripada besi,
Pelbagai saiz serta bentuknya,
Dikirim kepada
Raja Parsi,
Kisra Barwiz nama rajanya.
Sungguh kagum dengan penggantian kosa kata “saiz”
yang diserupakan bunyi rima tengahnya dengan pasangan kosa kata “Barwiz”!
Subhanallah!
Namun, sahaya perhatikan ada beberapa pengulangan
kosa kata yang agak kerap telah dilakukan. Antaranya ketika meletakkan kosa kata
“Muhammad” pada rima tengah atau rima hujung, kosa kata yang diserupakan bunyi
rimanya dan sering diulang ialah kosa kata “cermat” dan “Segamat”.
Pengulangan kosa kata “cermat” ini berlaku di 34
rangkap pantun iaitu pada pantun ke-2, 3, 29, 36, 37, 40, 44, 48, 64, 79, 100,
103, 106, 110, 126, 166, 193, 198, 213, 214, 219, 223, 226, 227, 233, 265, 278,
293, 295, 312, 327, 361, 376 dan 401. Manakala pengulangan kosa kata “Segamat”
pula berlaku di 12 rangkap pantun iaitu pada pantun ke-8, 20, 21, 61, 75, 76, 99,
122, 125, 136, 396 dan 408.
Sedangkan di sana kita mempunyai kosa kata lain yang rimanya berakhir dengan –mad bagi merimakan ia dengan kosa kata “Muhammad” seperti abad, babad, berhad, hasad, irsyad, jasad, jihad, lahad, muktamad, murtad, nekad, nomad, sanad, adat, alamat, amat, azimat, bakat, bejat, berat, cacat, catat, cermat, debat, dekat, erat, hajat, hemat, hikmat, isyarat, kalimat, kerat, kiamat, kumat, lambat, lebat, likat, lumat, minat, pekat, penat, rahmat, sendat, sengat, sesat, tamat, tepat dan banyak lagi.
Begitu juga dengan kosa kata “Talib” yang banyak
diulang rimakan dengan kosa kata “tabib”. Pengulangan ini berlaku sebanyak tiga
kali pada pantun ke-49, 50 dan 64.
Sedangkan di sana, kosa kata yang rimanya berakhir
dengan –lib boleh dirimakan dengan kosa kata yang lain seperti habib, karib,
maghrib, nasib, ratib, salib, tertib dan wajib.
Oleh hal demikian, faedah yang boleh kita ambil daripada ulasan ini ialah kepada mereka yang ingin menukil pantun berangkai-rangkai seperti ini sewajarnya kita menyenaraikan sebanyak mungkin kosa kata berima bagi meluaskan lagi perbendaharaan kata yang dipilih susun bagi menyesuaikan rima tengah dan rima hujung rangkaian pantun.
Oleh hal demikian, faedah yang boleh kita ambil daripada ulasan ini ialah kepada mereka yang ingin menukil pantun berangkai-rangkai seperti ini sewajarnya kita menyenaraikan sebanyak mungkin kosa kata berima bagi meluaskan lagi perbendaharaan kata yang dipilih susun bagi menyesuaikan rima tengah dan rima hujung rangkaian pantun.
Kait
Pembayang dan Makna
Pantun berkualiti tinggi
bukan sahaja pantun yang secara luarannya sempurna dijaga malah pemilihan
pembayangnya yang seboleh-bolehnya membayangkan makna itu juga menjulang
falsafah pemikiran yang mampu diungkap dengan cermat oleh penyusun pantun.
Sebagaimana yang disebut di dalam novel Warisnya Kalbu pada muka surat ke-99[xv]
:
“Pantun adalah lambang kesempurnaan yang terdaya
dicapai oleh manusia Melayu dalam seni berbahasa. Dari segi bentuknya, dari
segi bunyi dan iramanya, dari segi pengertian, dari segi tujuan dan maksudnya”
Sebagai contoh, Saudara Hazman Baharom - seorang aktivis pelajar di United Kingdom yang mengasaskan gerakan intelektualisme maya bergelar “Universiti Terbuka Anak Malaysia” atau lebih dikenali sebagai “UTAM”; dalam sebuah makalah yang bertajuk “Kesusasteraan Sebagai Wahana Pencerahan” pernah membincangkan berkenaan falsafah pantun mahsyur Buah Cempedak itu sebagaimana berikut[xvi] :
“ Buah
cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Sahaya budak baru
belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Dua baris yang pertama merupakan pembayang (yang
membayangkan maksud), dan dua baris di bawah merupakan maksud.
Pertama, mengapa ‘buah cempedak di luar pagar’? Buah
cempedak yang terletak di luar pagar menunjukkan bahawa kita tidak memiliki
buah tersebut. Maka, jika kita ingin akan buah tersebut, perlulah kita
mendapatkan kebenaran tuannya dahulu.
Kedua, mengapa ‘ambil galah tolong jolokkan’?
Setelah kita mengetahui bahawa buah cempedak tersebut bukan milik kita, maka
kita meminta tolong kepada pemilik tersebut untuk mengambilnya untuk kita. Hal
ini disebabkan kita tidak ‘mampu’ untuk mendapatkan buah tersebut dengan daya
kita.
Ketiga, maksud pantun. Setelah kita membaca maksud,
barulah kita mengetahui bahawa pantun ini membawa maksud bahawa seorang yang
tidak mampu mengesan kesilapannya memohon untuk dibetulkan oleh orang yang
lebih mengetahui. Secara keseluruhan, pantun ini menunjukkan bahawa pada
awalnya, ilmu baru yang dikehendaki oleh orang tersebut bukanlah dalam wilayah
pemilikannya (seperti buah cempedak yang berada di luar pagar), dan dengan
sebab itu, dia memerlukan kepada orang lain yang lebih berkemampuan untuk
menolongnya.”
Perkara yang sama juga
boleh didapati di dalam karya Ayahanda kita ini. Antaranya yang sahaya ambil
secara rawak untuk cuba mensyarahkannya ialah pantun ke-193 yang berbunyi :
(193) Menyusun bata hendaklah cermat,
Membina kolah pagarnya
tinggi,
Musa berkata kepada Muhammad,
“Mintalah Allah ringankan
lagi”
Pertama, mengapa
“menyusun bata hendaklah cermat?”. Ini boleh difahami dengan baris seterusnya,
kerana pelaku sedang “membina kolah pagarnya tinggi”.
Pembinaan kolah ini besar
maknanya kerana lazimnya kolah didapati di perkarangan masjid di alam Melayu
sebagai tempat pertama kita singgah sebelum ke beranda atau dewan masjid untuk
menunaikan solat. Tidak lain tidak bukan untuk berwuduk jualah. Tanpa wuduk,
tidak boleh kita bersolat. Tanpa kolah, tidak boleh kita berwuduk. Atas sebab
itulah, ʿulamaʾ fiqh pernah menyimpulkan
satu kaedah mahsyur :
“Selama suatu kewajiban tidak akan sempurna kecuali dengan
adanya sesuatu,
maka sesuatu itu hukumnya menjadi wajib”
ʿUlamaʾ Jawi selalu memberikan
ibarat dalam kitab-kitab kuning dengan menyebut, kerana solat itu wajib, maka
untuk menyempurnakan solat itu perlunya kepada proses penyucian (al-ṭahārah), maka wuduk itu menjadi wajib. Oleh kerana
tanpa telaga atau kolah itu wuduk tidak dapat dilakukan, maka menggali telaga
dan membina kolah itu pun menjadi wajib, kerana wuduk itu telah menjadi wajib
disebabkan solat fardhu itu sendiri adalah kewajiban.
Oleh hal yang demikian,
pembinaan kolah itu amatlah penting hingga menyebabkan penyusunan bata yang
membina kolah itu hendaklah dilakukan dengan cermat kerana tanpa ketelitian
melaksanakan kerja pembinaan, maka menjadilah kolah tidak sempurna. Dikhuatiri
kalau-kalau wuduknya juga akan terkesan sama. Maka, bagaimana mungkin solat itu
dapat dilaksanakan dengan sebaiknya andai wuduk itu tidak sesempurnanya?
Pembayang ini amat
berkait dengan maksud pantun ini yang secara jelas cuba menyimpulkan kata-kata Nabī
Mūsā ʿalayhi al-salām kepada Junjungan Besar Nabi Muḥammad ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi
wa’l-salam di dalam sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh Sayyidinā Anas bin Mālik radhiyaAllahu’anhu yang berbunyi :
قَالَ:ارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ
فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ
“Dan telah berkata dia yakni Nabi Musa ‘alaihissalam
: Kembalilah kepada TuhanMu dan mintalah kepadaNya agar diringankan lagi
(jumlah rakaat solat itu) ke atas umatmu.”[xvii]
Kata-kata mulia ini telah diringkaskan dengan
jayanya oleh Ayahanda pada baris ketiga dan keempat dalam pantun ini yang berbunyi
:
Musa berkata
kepada Muhammad,
“Mintalah Allah ringankan lagi”
Demikianlah kesempurnaan pembayang pantun ini yang
sebenarnya berhubung kait dengan mensyarahkan secara halus maksud pantun ini
dalam menghuraikan sejarah asal usul solat fardhu lima waktu di samping
mengingatkan kita tentang bagaimananya cara ʿulamaʾ
fiqh zaman-berzaman mengeluarkan hukum tentang kewajiban berwuduk itu sendiri
yang asal hukum berwuduk itu sendiri adalah sunat.
SARANAN
Memandangkan karya ini julung-julung seumpamanya
dikenali dalam alam Melayu, maka sahaya dengan ini mengusul cadangkan tiga
“Sin” – Syiar, Silibus dan Syarah.
1. Disyiarkan –
Adalah
amat wajar sebagaimana majlis-majlis pembacaan kitab-kitab Maulid itu semakin
semarak di tanah air kita ini, seperti itu jualah wajar kita membaca kitab
Ayahanda kita ini sama ada dialun pantunkan ataupun dighazalkan.
Sahaya
juga mencadangkan agar pantun-pantun Ayahanda ini disebar luaskan di dalam
mana-mana penulisan – baik penulisan skrip drama, penulisan novel Islami,
penulisan lirik berkaitan kenabian hinggalah penulisan ucapan-ucapan pemimpin
negara ketika berpencak siasah di Dewan Rakyat mahupun di pentas antarabangsa.
Amat
menarik juga seandainya pantun-pantun dalam koleksi Ayahanda ini dizahirkan
dalam bentuk poster-poster dan iklan-iklan sempena sambutan Maulidurrasul
mahupun acara-acara kesusasteraan bagi mengajar khalayak tentang betapa
bersatunya pantun dengan ilmu berkenaan Kekasih Tuhan ini.
2.
Disilibuskan –
Sahaya juga mencadangkan agar karya hebat Ayahanda ini diajar di kelas-kelas pendidikan formal seperti kelas Kesusasteraan Melayu dan KOMSAS Bahasa Melayu malah kelas Pendidikan Islam.
Turut disarankan agar kitab ini ditelaah dan dihadam dalam kelas-kelas pendidikan tidak formal seperti di dalam kelompok-kelompok usrah, sembang-sembang di kedai kopi hinggalah ke kuliah-kuliah agama.
Ini penting – bukan sekadar mendidik mereka tentang nabi, tetapi juga mengajar mereka tentang seni mengekspresi ilmu dengan warisan kita sendiri.
Sahaya juga mencadangkan agar karya hebat Ayahanda ini diajar di kelas-kelas pendidikan formal seperti kelas Kesusasteraan Melayu dan KOMSAS Bahasa Melayu malah kelas Pendidikan Islam.
Turut disarankan agar kitab ini ditelaah dan dihadam dalam kelas-kelas pendidikan tidak formal seperti di dalam kelompok-kelompok usrah, sembang-sembang di kedai kopi hinggalah ke kuliah-kuliah agama.
Ini penting – bukan sekadar mendidik mereka tentang nabi, tetapi juga mengajar mereka tentang seni mengekspresi ilmu dengan warisan kita sendiri.
3.
Disyarahkan –
Sahaya juga mengesyorkan untuk sesiapa dalam kalangan kita yang menggemari pantun dalam masa yang sama turut mencintai Nabi, mensyarahjelaskan lagi secara terperinci tentang pembayang dan makna-makna yang terpancar di sela-sela rangkaian pantun ini.
Sahaya juga mengesyorkan untuk sesiapa dalam kalangan kita yang menggemari pantun dalam masa yang sama turut mencintai Nabi, mensyarahjelaskan lagi secara terperinci tentang pembayang dan makna-makna yang terpancar di sela-sela rangkaian pantun ini.
Bagi sahaya, sahaya menganggap kitab Ayahanda kita
ini sebagai kitab yang berstatus Matn yang memerlukan kepada Sharh. Dan mana
tahu, suatu hari nanti, ada pula cucu cicit kita yang berkenan mengeluarkan
pula Ḥashīyah kepada kitab ini.[xviii]
Subhanallah! Ini suatu usaha yang amat murni,
bertali arus tidaknya putus, dari satu zaman ke satu zaman - daripada satu
generasi ke satu generasi.
KHATIMAH
Khulasahnya, usaha penerbitan rangkaian pantun
sebegini amatlah terpuji. Terhimpun di sana paling kurang - dua sebab pujian.
Pertama, kerana ia memuji insan yang terpuji. Dan
orang yang memuji insan yang terpuji itu adalah terpuji.
Sebagaimana kalam guru pondok kami, al-Fadhil
al-Ustaz Hanif Haji Ghazali al-Qadahi ḥafiẓahu’Llāhu
taʿālā ketika ditanyakan apakah pendapat al-Fadhil
tentang mereka yang gemar bermaulid dan berzanji?
Dijawab al-Fadhil – dengan mafhum :
“Pendapat
sahaya, selalunya orang-orang yang memuji ini
kebiasaannya
adalah orang-orang yang terpuji!”[xix]
Kedua, sebab pujian yang harus diberikan kepada
Ayahanda kita ini adalah kerana beliau memartabatkan pusaka alat penyampai ilmu-ilmu
besar yang telah diringkas benar di dalam prosa-prosa tradisional seumpama
pantun ini.
Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam bahagian
"Pujian" - seandainya ʿulamaʾ muʿtabar
dari bangsa lain itu telah berbondong-bondong menulis bait-bait nazam bagi
meringkaskan ilmu-ilmu utama Islam, sebagaimana itulah sahaya melihat Ayahanda
kita ini telah cuba dengan sedaya upaya untuk memartabatkan prosa tradisional
Pantun ke peringkat dan takat yang sepatutnya! Sebagai alat pendidikan ummat
dengan menyampaikan kisah Insan Yang Terpuji dengan menggunakan Prosa Nenek
Warisan kita sendiri!
Buku sehebat ini pastinya tidak akan dilepaskan
untuk dimiliki oleh para pencinta Rasul dan penggemar seni pantun!
Dengan ini, ayuh kita labuhkan sauh
pengembaraan ulasan buku Ayahanda kita dengan serangkap pantun yang sahaya
petik daripada koleksi pantun Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz
Nik Mat ḥafiẓahu’Llāhu taʿālā, mantan
Menteri Besar Kelantan yang berbunyi :
Kalau berladang kurang tekun,
Lesap padi ditelan belukar,
Kalaulah
hilang tukang pantun,
Senyap sunyi bandar yang besar![xx]
Sekian.
Tamat dengan pujian kepadaNya!
Alhamdulillah! Alhamdulillah! Walillahilhamd!
Siap ditulis jam 4.32 petang
Tanggal 13 Rejab 1434H
Bersamaan 23 Mei 2013M
[i] Ini merupakan teladan daripada tradisi ʿulamaʾ zaman berzaman yang memulakan sebarang
nazam mereka dengan didahulukan dengan memuji Allāh subḥānahu
wa taʿālā (Sang Hyang) dan kemudian selawat dan salam
ke atas junjungan besar Nabi Muḥammad ṣalla’ Llāhu ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam (yang Sang) juga keluarga baginda kemudian
para sahabat dan seterusnya generasi yang mengikuti jalan Islam hingga hari
Kiamat.
Contohnya,
di dalam ‘Naẓam Muqaddimah ʿIlm Nahw Ibn Ājurrūmi’ yang disusun oleh al-Syakh Muḥammad
Ābbah al-Qalawī al-Shinqītī raḥimahu’Llāhu
taʿālā, nazam awalnya disusun seperti berikut :
قَـالَ عبيد ربه مُحَمَّـدُ
اللهَ فِـي كُـلِّ الأُمُـورِ أَحْـمَـدُ
مُصَلِّيًا عَلَـى الرَّسُـولِ المُنْتَقَـى
مُصَلِّيًا عَلَـى الرَّسُـولِ المُنْتَقَـى
وَآلِـهِ وَصَحْـبِـهِ ذَوِي التُّـقَـى
Telah berkata hamba kepada Tuhan
yang kerdil bernama Muhammad,
Kepada Tuhan dalam setiapnya urusan
aku memuji-muja,
Dan disampaikannya selawat ke atas
Utusan yang terpilih amat,
Juga ke atas keluarganya dan sahabatnya yang
amat bertaqwa.
[ii]
Ismail Restu (2012), Pantun Kisah Rasul Tercinta, Institut Terjemahan &
Buku Malaysia, Kuala Lumpur
[iii]
Minit ke 0.55, Guan Eng di mata mereka..... Chapter 1 of 3 "Cinta &
Gelora" di pautan https://www.youtube.com/watch?v=D1Qv0UECMgQ
[iv] al-Syakh Zainul Abidin bin Muhammad
Al-Fathani raḥimahu’Llāhu taʿālā dalam Kitab Yang Ini Yang Bernama : Aqidatun Najin di mana pengalihan
tulisan jawi ke Rumi disempurnakan oleh Ustazah Noraine Abu (2011), al-Hidayah
Publications, Selangor khususnya dalam Bab Wajib Mengenal Allah dan Rasul,
halaman 33-35
[v] Muhammad Mujahid Bin Ir Mohammad Fadzil
(2012), Hakikat Kenabian Rasulullah ṣalla’ Llāhu
ʿalayhi wa Ālihi wa ṣahbihi wa’l-salam dan Kekasih Allāh subḥānahu wa taʿālā Menerusi Kitab Jauharah al-Tauhid, Mawleed Publishing Sdn. Bhd.,
Selangor, halaman xii
[vi]
Darma Mohammad (2013), Jaras Cinta Rumi : Percikan Pemikiran, Apresiasi &
Ekpresi Pujangga, Pelima Media Sdn. Bhd., Selangor, halaman 1 dan 20-21
[vii] Sri
Rahayu Mohd Yusop (2008), Warisnya Kalbu, Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd., halaman 100 khusus pada perenggan :
“..Seperti
yang tuan ketahui, pantun terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian dikenali
sebagai pembayang atau sampiran, dan satu bahagian lagi maksud.
Bahagian
pertama iaitu pembayang diumpamakan sebagai kulit yang menyaluti isi pantun.
Tujuan ia dicipta adalah untuk mempersiapkan orang mendengar isi yang akan
dikatakan.
Bahagian
yang kedua mengandungi maksud, iaitu sebenar-benar isi yang hendak disampaikan.
Baris-baris pantun
terbentuk secara berpasangan. Dalam hal pantun empat kerat misalnya, baris
pertama pantun berpasangan dengan baris ketiga, sementara baris kedua
berpasangan dengan baris keempat”
Menerusi buku ini, Saudari Sri Rahayu dinobatkan
sebagai Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007.
[viii] Rujukan utama dalam penulisan ini ialah
karya François-René Daillie (1988), Alam Pantun Melayu : Studies on the Malay
Pantun, Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor
[ix] Rujuk Bab VI : Words, Syllables, Rhytm, Music (The ‘Rules’ of Pantun
Prosody) halaman 116 – 130 dalam karya François-René Daillie (1988), Alam
Pantun Melayu : Studies on the Malay Pantun, Percetakan Dewan Bahasa dan
Pustaka, Selangor
[x] Petikan ‘Pantun Kisah Rasul Tercinta’
halaman xiii : “Rima tengah dan rima hujung baris satu dengan baris tiga dan
baris dua dengan baris empat begitu sempurna diciptakan”
[xi] Dokumen daripada University of Sorbonne,
Perancis tentang ringkasan kaedah George Bohas dalam menjawab kumpulan
persoalan al-Tibrizî yang boleh diakses di pautan
http://www.concours-arabe.paris4.sorbonne.fr/cours/metrique.pdf
[xii] Petikan dalam Kumpulan Pantun Melayu
(1983), di bawah pantauan Zainal Abidin Bakar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur, di halaman 21 disebut :
“Sukatan bunyi hendaklah sekurang-kurangnya delapan
bunyi dalam tiap-tiap sekerat dan lebih-lebihnya dua belas. Di antara dua
sempadan ini sebaik-baiknya sembilan atau sepuluh pada sekerat”
[xiii] 24 April 2013, Facebook rasmi A.Samad Said di pautan https://www.facebook.com/asamadsaid?fref=ts
[xiv] 3 Mei 2013, Facebook rasmi A.Samad Said di pautan https://www.facebook.com/asamadsaid?fref=ts
[xv] Sri
Rahayu Mohd Yusop (2008), Warisnya Kalbu, Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
[xvi] Saudara Hazman Baharom yang merupakan rakan
rapat sahaya merupakan pelajar jurusan Ekonomi di Manchester tahun kedua yang
merupakan aktivis sosial dan intelektualisme muda yang mengasaskan Universiti
Terbuka Anak Malaysia di alam maya menerusi perkongsian kuliah atas talian oleh
anak-anak muda Malaysia seluruh dunia membincangkan hal-hal falsafah, pemikiran
dan kritikan sosial.
Dalam syarah pantun ini, sahaya memetik artikel beliau
yang bertajuk Kesusasteraan Sebagai Wahana Pencerahan di pautan : http://basilhazmanblog.com/2012/08/26/kesusasteraan-sebagai-wahana-pencerahan/
[xvii] Sahih al-Bukhārī 5.227
[xviii] Ini
merupakan jenis-jenis kitab dalam penulisan karya menurut tradisi keilmuan
Islam. Matn ialah kitab asas kepada sesuatu ilmu. Manakalah, Sharh merupakan
kitab yang menjelaskan lagi kitab M atn
melalui syarahan-syarahan berkaitan. Manakala, Ḥashīyah adalah perbahasan kepada
Sharh. Artikel berkaitan hal ini boleh dirujuk di pautan : http://nountilakad.blogspot.com/2011/12/sumbangan-tradisi-matansyarahhasiyah.html
[xix] Seingat sahaya, pertanyaan ini berlangsung
selepas selesai kuliah al-Fadhil al-Ustaz Hanif Haji Ghazali al-Qadahi ḥafiẓahu’Llāhu
taʿālā di Masjid Batu, Permatang Pauh sekitar
2011 setelah membahaskan kitab Al-Shamāʾil al-Muḥammadīya wa al-Khaṣāʼil al-Muṣṭafawīya
karangan al-Imām Abī ʿĪsā Muḥammad bin ʿĪsā bin Sawrah al-Salmī al-Tirmidhī raḥimahu’Llāhu
taʿālā.
Beliau
merupakan graduan al-Azhar kini berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Zubaidiyah,
Merbok, Sungai Petani, Kedah dan banyak menulis buku-buku terjemahan daripada ʿulamaʾ seperti al-Syeikh Nuruddin Marbu
al-Banjari al-Makki ḥafiẓahu’Llāhu taʿālā dan ramai lagi.
[xx]
Dipetik daripada bab “Sejenak Menghayati Pantun Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul
Aziz bin Nik Mat” halaman 131 karangan Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz (2011),
Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, PTS Millennia Sdn. Bhd., Selangor
Salam.
ReplyDeleteBarokallahu fiik.. banyak nk berguru ngan anta ni akh za'im ;-)
-Aleng aka Amirul Asyraf