Wednesday, November 15, 2017

Secret Superstar (2017) - Menakluk Debar Dengan Tegar

“Pergilah. Ambillah tempatmu di sebelah tingkap”

Cerita yang hebat pasti jatuh martabat kalau penonton tegar yang gemar akannya semata-mata bercerita tentang zat ceritanya. Cerita yang hebat hanya dimartabat saat penonton tegar yang gemar akannya bercerita tentang hakikat cerita yang menceritakan cerita berkenaan.

Seperti Shakti Kumar (lakonan mantap Aamir Khan) tidak perlu bercerita tentang nikmat soda sejuk yang diminum di tepi pantai diranumkan belai angin sepoian sambil bersembang dengan rakan di tepi kereta mewah berwarna merah, tetapi kita - seperti Shakti Kumar pasti tidak tertahan lagi untuk bercerita tentang kepulan-kepulan soda yang muncrat naik dalam minuman seraya mengutarakan - Kawan, itulah dirimu. Bakat muda sepertimu seperti soda itu. Tidak perlu dijulang dalam pertandingan itu ini,  lantaran dirimu sendiri tidak mahu dihalangi lagi untuk mengecapi segala mimpi yang diimpi. 

Untuk apa bercerita tentang cerita yang sah-sah bermula dengan runut Sapna Re (Oh Impian) yang pastinya berakhir dengan impian yang pasti dicapai. Itu tipikal nan cliché.

Namun, seperti kata Insia (lakonan berkesan Zaira Wasim setelah debutnya dalam Dangal yang menggondol National Film Award for Best Supporting Actress ketika berusia hanya 16 tahun!), setiap destinasi telah ditentukan, di tangan kitalah yang menentukan jalan-jalan menujunya; kita mahu menonjolkan perjalanan naratifnya yang penuh hidup di mana tiap saatnya dapat kita merasakan debar hayatnya nan tegar, degup jantung impiannya dengan penuh sedar dan segar. 

Tema utama yang tertonjol adalah garapan konflik gender yang tersembul dalam keluarga nukleus Insia. Yang unik tentang pertentangan gender ini adalah keadilan wacana yang diberikan kepada perbahasannya.

Seringkali kita melihat dalam apa jua karya feminisme, kita menyaksikan watak lelaki patriaki akan dihentam (terkadang dibuli separuh sedar), manakala wanita termangsa secara tidak sengaja bertukar menjadi singa yang menghunusbahamkan mangsanya, sang lelaki dengan penuh rakus hingga tidak tersisa walau sedengus nafas di hujung cerita wacananya.

Namun, dalam Secret Superstar, watak sekecil Guddu (lakonan comel yang amat Kabir Sajid Shaikh) menjadi begitu signifikan menempelak ketidakseimbangan kritik gender ini.

Guddu, seorang bocah yang tidak terpisah dengan fitrah tulus sucinya, meski mendengar rancangan dirinya bakal disingkirkan dari jalan rencana ibu dan kakaknya untuk melepaskan diri dari penjara ayahnya hanya kerana dia lelaki yang dinujumkan bakal menjadi seperti ayahnya (aura garang-getir berkesan lakonan Raj Arjun), telah menjungkirbalikkan persepsi dua orang perempuan dalam keluarga kecilnya itu terhadap lelaki.

Guddu tidak perlu bercakap banyak, dia hanya perlu mengambil serpihan komputer riba kakaknya yang pecah koyak untuk menjadi saksi seraya bukti, aku - bukan lelaki penyangak dan pelanyak seperti ayah. Kalau ada lelaki yang mengecaihancurkan impian perempuan seperti kakak, akulah lelaki yang akan menampalcantumkan kembali perca-perca impian seorang perempuan seperti kakak yang pernah dihancurkan.

Lelaki seperti ayah mungkin penghancur, tetapi lelaki seperti aku, yang setia pada fitrah asli penciptaannya sebagai lelaki, adalah pemberi harapan yang ikhlas.

Di sini, dapat kita simpulkan - bukan salah lelaki, tetapi salah kotor busuknya hati insani. Lelaki sebenar ialah lelaki yang menepati hadis nabawi “sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik bagi keluarganya.” Begitulah Guddu yang kecil menjadi begitu besar dalam peran yang amat mendasar bagi membahaskan tema utama ini.


Penghargaan karyawan Secret Superstar terhadap seni pula terasa amatlah tinggi meskipun dilaksanakan dengan penuh bersahaja dan selamba.

Dalam banyak-banyak subjek diajar di sekolah, hal “Insia, berikan contoh ironi” dalam sebuah kelas yang dipaparkan ketika Insia penuh debar memilih antara dirotan gurunya atau kehilangan nada melodi yang baru diciptanya, memperlihatkan hal-hal sebaris dialog inipun dijadikan tanda yang signifikan membentuk naratif seninya tersendiri.

Sedari pertanyaan gurunya itu, kita dihadapkan dengan ironi demi ironi hingga menjadikan bola tanggung dalam seni soal-jawab (rujuk seni ilmu jidal) antara Insia dengan Najma (lakonan Meher Vij nan menawan, siapa boleh lupa ibu kepada Munni dalam Bajrangi Bhaijaan (2015) ini!), Insia dengan Chintan malah Insia dengan guru tuisyen itu seperti mustahil akan kehabisan modalnya.

Lihat sahaja bidasan Insia terhadap Najma – “Ibu suruh saya tidur dan berhenti mengejar mimpi. Bukankah kalau saya tidur, saya sendiri akan bermimpi?” atau ketika hajat Insia tidak tertunai, Najwa membalas – “Ibu boleh beri apa sahaja dari diri ibu, tetapi tidak dari kehidupan”.

Malah, nenda Insia begitu berseni mengungkapkan kisah tragis itu – “Kegembiraan nenek untuk menceritakan rahsia ini tidak sebesar kegembiraan ibumu saat mempertahankan hak kehidupanmu itu”. Ini tidak termasuk dialog-dialog cinta tanpa bersuara antara Chintan (lakonan asli Tirth Sharma) dengan Insia yang kulitnya sangat moden tetapi isinya sangat konvensional diadunramukan dengan begitu manis dan romantis.

Asas-asas seni khususnya nada puitis dialog dan lirik runut-runutnya diberikan tempat selayaknya. Unsur paradoks dan simile yang menyengat, pengulangan yang hebat, alegori mudah tetapi tetap segah semisal – ibu adalah laisi sejuk yang manis ketika musim panas – begitu meluncur laju seraya menggugah jiwa.

Malah seni lakon yang lari daripada teknik superfisial sebaliknya kembali ke asas-asas lakon yang asal semisal saat Shakti Kumar menelefon peguam bekas isterinya, watak Sheena Sabhawala menjadi bahan jenaka yang mengecutkan seluruh isi perut panggung tanpa perlu pun menghadirkan suara Sheena di sebalik panggilannya – membuktikan begitu berkesannya lakonan (juga teknik lakon yang diputuskan) Aamir sendiri.

Paling mustahak dalam menghargai seni saat para karyawan mengkritik seniman masani agar kembali ke asas-asas seni sebetulnya.

Dalam Secret Superstar, Shakti Kumar, seorang komposer pada awalnya bermula dengan dirinya akhirnya tersasar ditelan pusar kehendak pasar basah pasaran. Dia gagal menemukan dirinya walhasil tidak ditemui melainkan kegagalan demi kegagalan ditambah dengan egonya yang begitu mercu.

Namun, hanya setelah kembali kepada diri asal muassalnya setelah ditempelak Insia, barulah Shakti Kumar pulang ke pangkuan seni daripada hati, bukan lagi seni daripada gerak geri bahasa badan haiwani – barulah kita melihat seninya kembali berpasak di tempat yang selayaknya. Tanpa seks yang ditandai innuendo, tanpa campur aduk yang ditandai remix of few nice songs.

Darihal itu, para komposer, penulis, sasterawan, karyawan, penyanyi, pelukis – siapapun seniman harus bertanya; adakah seni kita kembali ke dasar yakni hati; atau terus tersasar dengan mengutamakan kehendak badani dan tuntutan pasaran bersifat pasar?


Simbol yang bergerak dalam Secret Superstar tidak hanya sebagai penggerak cerita malah pelengkap alegori besar sesebuah gagasan tema.

Perihal Insia yang tegar mempertahankan haknya duduk di tempat duduk sebelah tingkap misalnya bukan sekadar alat pengungkap seorang perempuan selagi mana bersuara tetap lebih berkuasa; malah ia menjadi tempat seorang insan berbakat sepertinya melihat tingkap dunia – betapa segala amarah ayahnya, libang-libu dalaman dirinya nan rancu; adalah terlalu hablur di saat dirinya berada di kasur impian.

Demikianlah, ketika di hujung saat Insia diiktiraf, ibunya berseloroh dengan penuh hikmah - “Pergilah. Ambillah tempatmu di sebelah tingkap” seperti mana dua kali Insia diplotkan mempertahankan keberhakkan dirinya terhadap kedudukan di tepi tingkap kapal terbang itu.

Malah, kisah tragis Najma tidak dijadikan modal penarik simpati semata-mata, malah menjadi modal utama di hujung siapakah Secret Superstar sebenarnya.

Di hujung cerita juga, kepada mata yang sedikit kabur – mungkin ada tercuit mengatakan betapa “liberal”nya Aamir menyetujui Insia membuka purdahnya malah menyelak sehingga rambutnya mengurai; saya merasakan pandangan sebegini agak tersasar.

Ini adalah kerana jika kita perhatikan ibunya yang jauh lebih berhak ditonjolkan sebegitu tetap tegar berkerudung penuh. Najma tidak membuka hijabnya sekalipun dirinya dijulang begitu cerlang di hujung sekaligus menjadi alibi hujah bahawa yang dimaksudkan karyawan Secret Superstar dengan penanggalan hijab Insia bukanlah “lambang kebebasan wanita itu ketika hijabnya dibuka” tetapi keberanian Insia untuk akhirnya mempamerkan wajahnya yang sebenar kepada dunia. Tidak lebih daripada itu.

Malah, saya merasakan idea gila Najma untuk mempurdahkan Insia tidak semata-mata untuk menyembunyikan identiti daripada ayahnya (lantaran ayahnya tidak pun menonton Youtube), bahkan sebenarnya hal itu merupakan lambang kerendahan diri Insia sendiri yang libang-libu itu.

Sehinggalah Najma mendengar suara asli dirinya sepertimana Insia menghayati suaranya di dalam studio – suara teriakan orang selain diri mereka seperti suara teriakan Amir Khan dan kawan-kawannya ketika kagum di balik luar studio mahupun suara teriakan ayahnya di lapangan terbang memujuk mereka pulang – pada saat itulah, para perempuan ini memperoleh jati diri nan tinggi untuk mereka terus berdiri hadapi semua ini; meski sendiri namun bebas dalam kelas yang tidak terperi.

Rakan saya, Rasydan Fitri mengungkapkan – 2 jam setengah filemnya, 2 jam juga airmata gugur dari tadahannya. Mungkin saya lebih sedikit. Apapun yang pasti, kami bukan hanya tersentuh tetapi hakikatnya ramuan karya Aamir Khan kali ini begitu kukuh dan ampuh.

Juga yang pasti, Secret Superstar (2017) ini – seperti Dangal (2016), PK (2014), Peepli Live (2010), 3 Idiots (2009), Jaane Tu... Ya Jaane Na (2008), Taare Zameen Par (2007) hinggalah Lagaan (2011) terus-menerus menjadi bukti – apa yang datang daripada seniman ini (terutama apabila Aamir Khan menjadi produsernya saya perhatikan), mempunyai kualiti yang membuatkan para penikmatnya merasakan terlalu bertuah kerana diberikan peluang dalam hayatnya menikmati hasil karya seni senimanya yang jitu lagi indah.

Apa yang boleh saya ceritakan lagi selain – puas!

Rating setakat 15 November 2017 :
8.4/10 (IMDb) 
4/5 (Times of India) 
86% (Rotten Tomatoes)

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)