Artikel Wacana

Wednesday, November 9, 2016

Kuras Buat Guru Germain Dari Camus

Sebetulnya, saya sedang melakukan dokumentasi karya dan antara petikan yang saya belum ketemui ialah puisi "Kuras Buat Guru Germain Dari Camus" yang diterbitkan dalam Zine Oakheart #5 - REBEL 2014 terbitan Legasi Oakheart. Saya syak zine itu bersembunyi di celah mana-mana timbunan buku saya di rumah yang belum selesai saya kemas. InsyaAllah, kalau ketemu, saya akan muatkan imejnya di blog ini. 

Sementelahan, AdinataGus ada menukilkan kembali perihal surat ini di pautan [INI] hari ini. Darihal itu, ingin saya juga berkongsi aspirasi saya melalui surat yang sungguh sayu tetapi padu ini bersertakan ulasan Karl Agan dalam edisi Zine Oakheart yang seterusnya.

Puisi
KURAS BUAT GURU GERMAIN DARI CAMUS

Guruku Germain,

Kubiarkan kebisingan ini menyurut 
agar yang terbit dari dasar dalamku
adalah bekaan melaut tiba
kepadamu.

Telah terlanjur dunia menganugerah 
sedangkan tak julur aku merintih 
apatah lagi menagih
akannya.

Jujur, ketika berita itu 
menyinggahi cecuping, 
selain ibuku - tiada lain 
selain kamu mendiami
kalbuku.

Tanpamu, 
tanpa tangan yang kauhulur
pada gelandangan Algeria Faransa ini,
tanpa tunjur ajarmu dan sembah bakti
semua ini tak akan terjadi
sekalipun cuma percikan
mimpi.

Aku tidak berbuat banyak 
hingga layak 
dianugerah

Namun, setidaknya ia menyelak 
tetingkap peluang untukku sungguhkan 
kebeningan hatimu telah membenihkan 
para muridmu - meski mereka mengakar 
bertumbuh, membesar dan mengutuh  
namun masa tidak pernah gusar
untuk mengelar hakikat bahawa
muridmu yang ini sebenarnya
terlalu bertuah.

Sebesar apa sanubariku
seluas itulah dakapanku 
untukmu, Guruku.

Gelandangan nan kerdil,
Albert Camus, Nov '57

Oleh : Za’im Yusoff, Pinggiran Subang Jaya

Nota Buat Tuan Editor :


Puisi ini merupakan olahan daripada isi kandungan surat ringkas tetapi padat dan berbekas bertarikh 19 November 1957 yang ditulis oleh Albert Camus yang ditujukan kepada gurunya, Louis Germain setelah beliau memenangi Hadiah Anugerah Novel bagi kategori sastera pada tahun yang sama surat ini ditulis. Louis Germain inilah guru yang telah mendidik Albert Camus, seorang anak gelandangan yang fakir dan miskin pada masa kecilnya lantaran kematian bapa dan kecatatan ibunya yang separa pekak dan tidak tahu membaca. Dalam kesukaran mengharungi kehidupan sebagai gelandangan di daerah Algeria Perancis (dalam puisi ini disebut Algeria Faransa dengan mengambil telor Arab-Perancis), guru inilah yang telah membesarkan pemikiran Albert Camus sehingga beliau menjadi seorang penulis prolifik dan berpengaruh sepanjang zaman dalam sejarah peradaban insan. Puisi ini ditulis sebagai mewakilkan nuansa perasaan seorang anak murid seperti saya, Tuan dan kita semua yang sudah pastinya senantiasa mahu terus menghargai jasa guru-guru kita yang mulia.

ULASAN KARL AGAN :

Ulasan Puisi "Kuras Buat Guru Germain Dari Camus" oleh Za'im Yusoff

Camus menamatkan surat kepada gurunya Germain dengan sebaris kata yang ditulis dengan penuh kerendahan hati, "I embrace you with all my heart." Dalam bahasa lama Perancis, embracer adalah ungkapan yang digubah dari bahasa Latin, in-bracchium, jika diterjemah khusus bahasa Latin ini ia bermakna memeluk dengan kedua-dua tangan.

Seringkali sebuah dakapan yang tulus dipanjangkan kepada seseorang secara sukarela tanpa sesaat pun waktu yang terlintas untuk menangguhkan niat atau perlakuan itu. Seperti itu sikap Camus yang sangat menghargai budi gurunya setelah menerima hadiah Nobel di tahun 1957.

Dalam puisi Za'im Yusoff ini, penulis mengolah nada serta serpihan surat Camus ke dalam bentuk puisi. Mengolah suara atau nada orang lain menjadi puisi adalah sebuah usaha yang tidak mudah tetapi dalam puisi ini, penulis menyampaikan nada itu dengan nada yang sesuai dan santun.

"Kubiarkan kebisingan ini menyurut
agar yang terbit dari dasar dalamku
adalah bekaan melaut tiba
kepadamu."

Dalam rangkap pertama ini, penulis menggambarkan suasana kecoh yang mengelilingi Camus sewaktu baru menerima hadiah Nobel, juga memperlihatkan perlakuan Camus yang masih dalam keadaan terkejut kerana tidak menyimpan harapan untuk memenangi hadiah Nobel, juga bagaimana Camus membiar keadaan serta suasananya tenang sebelum dia menulis surat kepada gurunya. 

"Tanpamu,
tanpa tangan yang kauhulur
pada gelandangan Algeria Faransa ini,
tanpa tunjuk ajarmu dan sembah bakti
semua ini tak akan terjadi
sekalipun cuma percikan
mimpi."

Dalam rangkap keempat dari puisi ini, penulis menggambarkan Camus dalam sikapnya yang amat bersyukur dalam terhutang budi kepada gurunya. Penulis menggambarkan sikap ini dengan pilihan kata-kata yang sesuai dan rangkap ini disudahi dengan baris ayat yang berbunyi "sekalipun cuma percikan mimpi." Sebagai seorang penulis yang sudah tentu dibimbing oleh guru sewaktu alam persekolahannya, penulis tentu dapat menggambarkan perasaan berterima kasih dan terhutang budi terhadap gurunya dan ini disampaikan oleh penulis dalam rangkap keenam dan rangkap terakhir puisi ini.

"Namun, setidaknya ia menyelak
tetingkap peluang untukku sungguhkan
kebeningan hatimu telah membenihkan
para muridmu - meski mereka mengakar
bertumbuh, membesar dan mengutuh
namun masa tidak pernah gusar
untuk menggelar hakikat bahawa
muridmu yang ini sebenarnya
terlalu bertuah.

Sebesar apa sanubariku
seluas itulah dakapanku
untukmu, Guruku."

Kita semua sedar bahawa tanggungjawab guru adalah berat. Sesiapa pun yang pernah dibimbing guru pasti akan mengingati guru yang berjaya menempa didikannya dalam diri muridnya. Sungguhpun jasa guru tidak akan dapat dibayar dengan cara apa sekalipun, menyimpan ingatan dan perasaan berterima kasih adalah sisa-sisa keupayaan kita sebagai orang yang pernah bergelar murid. 

Sungguhpun surat Camus ini ringkas pengucapannya, ia tetap penuh dengan emosi seorang murid yang terhutang budi. Za'im Yusoff mengolah surat ini menjadi puisi, memilih kata-kata yang amat sesuai untuk menandai perasaan Camus.

Camus sewaktu memulaikan suratnya, "I let the commotion around me these days subside a bit before speaking to you from the bottom of my heart.." Barangkali seperti itu juga Za'im menghadapi keterujaannya untuk memperlihatkan sikap Camus kepada pembacanya.

Tuesday, September 27, 2016

Karya Syok Sendiri

Tuan Syed penuh sopan bertanyakan kepada saya :

Tuan Za'im Yusoff, apakah ada perbezaan di antara Konsep Berkarya Kepada Diri dan Untuk Diri, dan konsep berkarya untuk syok sendiri?

Pandangan saya begini :

Pada pandangan saya yang dhaif, Tuan Scriptorium Kitab - antonim bagi syok sendiri ialah sedar diri.

KARYA SEDAR DIRI

Maka, karya yang berlunaskan seni kepada diri dan untuk diri itu bukanlah karya syok sendiri selagi mana tukang seninya itu mempunyai kesedaran akan kedudukan seninya itu sendiri adalah semata-mata untuk dirinya.

Darihal itu, baginya tidak ada langsung perbezaan akan pujian mahupun makian orang terhadap hasil seninya memandangkan seninya itu untuk dirinya. Kalaupun terzahir pada khalayak, soal materi mustahil timbul, perdebatan tentang hasil seninya pula nihil - selain dirinya, niskala. Melainkan, dia seorang bertauhid, maka dia berpegang kepada payungan Allah, itupun bersendikan man arafa nafsahu, faqad arafa rabbah.

Walhasil, hasil seni itu terzahir kembali pada dirinya dengan peningkatan nilai dirinya sendiri melalui renungan & muhasabah diri yang lebih murni mahapun prinsip & pendirian diri yang lebih jelas setelah karya seni itu lahir. Makna baginya penting, kata baginya mustahak.

Lantaran, matlamat penghasilan karya seni itukan untuk dirinya mengapresiasikan gelodak perasaan dan gelojak pemikiran dalaman. Sekaligus setelah karya seni terhasil, maka lebih murni dan lebih jelaslah dapatan luaran yang dapat dia insafi dan nikmati - sendiri.

Begitulah, kesan seninya ialah hakikat.

KARYA SYOK SENDIRI

Sebaliknya, pengkarya syok sendiri, tidak bersandarkan kesedaran, sebaliknya sangkaan yang melampau, melebihi had. Sangkaan terhadap dirinya. Sangkaan terhadap khalayak.

Dia tidak jujur pada dirinya dalam berseni. Di mulut, seni ini kepada dan untuk saya - tetapi awak tidak ada hak untuk menebak saya memandangkan karya ini ialah diri saya - memancung ia seperti memenggal tubuh saya sendiri. Anehnya, saat dipuji sedikit; terus sang tukang seni itu merasakan bahawa adalah menjadi kewajipan untuk khalayak menjulang karyanya.

Tidak memperkatakan tentang karyanya ialah suatu keanehan dan kejanggalan jika tidak sebuah dosa yang haram dimaafkan. Ganjaran tidak setimpal adalah menjadi persoalan besar bagi dirinya bukan sebagai adab dan tanggungjawab masyarakat semata-mata. Pendapatnya bukan setakat fatwa tetapi juga hukum. Makna dan kata seperti alat-alat permainan untuk dia bermain dan mempermainkan. Dia tidak segan silu memakai kata-kata rendah diri untuk menzahirkan kezuhudan dirinya; tetapi hanya Allah sahaja tahu betapa riaknya dalamannya membusuk. Tuhan - hanyalah busana, untuk sesuka hati dia membeli dan menukar ganti.

Akhirnya, menjadilah dirinya itu semacam roh hantu bergentayangan tergantung-gantung antara langit dengan bumi, dan pekikannya terus menghantui - bukan siapa-siapa melainkan menghantui dirinya sendiri.

Begitulah, kesan seninya sekadar persepsi.

Nauzubillah.

Mohon betulkan andai salah, maaf bagi yang khilaf.

Friday, September 23, 2016

Yang Difahami Daripada Makna, Kata Dan Mesej Dalam Seni

Petikan "blurb" pada kulit Dondang Pembukaan (Lutfi Ishak, 2015) amat menarik untuk menjentik kefahaman tentang perihal makna, kata dan mesej dalam seni :
makna dan kata bagai cahaya dan lampu 
kala lampumu kelihatan asing; ayuh cari lampu baru 
keindahan luaran sentiasa berbeza, tiap tukang 
menghasilkan lampu dari pelbagai logam dan kaca 
di tengahnya, pasti dimasukkan sumbu yang serupa; 
sederhana atau luar biasa, mengapa lampu dicipta 
kalau bukan untuk seberkas nyala?

Memahami petikan puisi sebegini memerlukan teknik penggantian perkataan bagi menyerlahkan maksud yang sengaja disembunyikan secara muqaddar (kira-kira kewujudannya disamarkan - ambilan teladan ilmu nahu).

Di awal, penyair meletakkan bandingan makna dan kata adalah seperti cahaya dan lampu. Ini bermaksud bagi tiap perkataan cahaya, yang dimaksudkan ialah makna. Begitu juga, bagi tiap perkataan lampu, yang dimaksudkan ialah kata. Cahaya dan lampu ialah alat untuk memuqaddarkan maksud makna dan kata.

Maka, untuk memahami puisi ini, kita gantikan sahaja perkataan cahaya (juga nyala) dengan makna; dan perkataan lampu dengan kata. Maka, akan terhasil sebegini :
makna dan kata bagai cahaya dan lampu 
kala katamu kelihatan asing; ayuh cari kata baru 
keindahan luaran sentiasa berbeza, tiap tukang (penulis) 
menghasilkan kata dari pelbagai logam dan kaca 
di tengahnya, pasti dimasukkan sumbu (tujuan, kehendak) yang serupa; 
sederhana atau luar biasa, mengapa kata dicipta 
kalau bukan untuk seberkas makna?

Lampu ialah alat sebagaimana kata juga merupakan alat, sekaligus boleh dimaksudkan secara lebih umum sebagai medium seni. Ini bermaksud puisi ini ingin menyatakan keluasan medium seni dalam menyerlahkan makna-makna tinggi dan luas yang ingin dipersembahkan.


Sekiranya medium seni (termasuk pemilihan kosa kata/genre dsbnya) itu kelihatan asing, selaku penggiat seni, kita tidak perlu berasa janggal untuk mencari medium seni lain lantaran keindahan setiap seni itu berlainan memandangkan medium-medium seni itu datang daripada sumber yang bermacam.

Yang pasti, makna yang ingin diterapkan adalah serupa selagi mana hakikat kepada penyerlahan makna itu akhirnya sampai untuk dihayati (mencerahkan & menghangatkan) oleh para penikmat seni.

Di sini, kita memahami bahawa dalam mana-mana seni sekali pun, yang paling mustahak ialah makna – “the reality of the thing”, atau dalam kertas kerja Puisi: Suara Diri Atau Masyarakat oleh Lutfi Ishak (2016) disebutkan bahawa makna ialah suatu jelmaan hakikat dalam akal setelah segala fakta-fakta runcitan itu diletakkan pada tempatnya masing-masing.

Makna ialah hakikat sesuatu. Ia diperlihatkan, dipertontonkan mengikut aliran sang tukang seni berkenaan; hal ini boleh sampai kepada khalayak mahupun tidak – mengikut tingkat kefahaman para khalayak terbabit.

Di sinilah, tugas para pengkritik seni. Mereka menulis berdasarkan apresiasi terhadap hal-hal yang dicanai oleh sang tukang seni - warnanya, momentumnya, syot panjang atau tidaknya, ritma muziknya, selain plot, dialog, perwatakan, monolongnya mengambil contoh seni perfileman. Kita sememangnya boleh tidak bersetuju dengan makna yang didakwa sang tukang seni tetapi kita tetap boleh menzahirkan apresiasi kewujudan hal itu dalam seni.

Makna ialah kesatuan seni memandangkan seni berasal dari perkataan "sani" bermaksud "jiwa yang luhur". Apa-apa yang pencanai seni tahu dan faham dilakar dalam karyanya. Dengan kefahaman ini, dia tidak berapa peduli khalayak faham atau tidak kerana di akhir apa yang penting karyanya mempamerkan apa dia rasa, tahu dan faham kemudian hasil itu kembali kepada dirinya (juga kepada khalayak yang telah mencapai tingkat kefahaman tertentu).

Maka, gagasan Berkarya Kepada Diri dan Untuk Diri muncul. Untuk khalayak, karya seninya ialah sebuah perkongsian. Sifat perkongsian, bisa diterima juga ditolak. Sekali lagi, bersandarkan tingkat kefahaman para khalayak tadi.

Sebaliknya, apa yang dikatakan sebagai mesej ialah pesanan pencanai seni kepada khalayak, yang sememangnya sang tukang seni mahu khalayak terima - bersifat didaktik (punya darjah longgar dan ekstrem yang berbeza-beza). Sang tukang seni yang menjulang hal ini lebih berpegang dengan gagasan Seni Untuk Masyarakat. Hal ini mencakupi nilai dan pengajaran yang disejajarkan dengan ritma norma setempat. Bagi mereka, mesej setepatnya perlu sampai kepada khalayak sasaran. Kalau tidak, karya seni itu dianggap gagal.

Darihal itu, yang wajib ada dalam seni ialah makna. Adapun kata sebagai medium. Manakala mesej terkadang boleh ada, terkadang boleh tiada – bersandarkan tujuan sang tukang seni masing-masing.

Hujjatul Islam Al-Ghazali pernah berkata, tidak ada orang mencari emas untuk makan emas. Jadi, begitu juga dengan aktiviti berseni. Secara keseluruhannya seni (puisi, filem dsbnya) itu ialah "surah" yakni gambar atau bentuk, suatu wadah atau wasilah yang bukan menjadi tujuan akhir.

"Maknanya" atau "cahaya"-lah yang utama, yang menjadi tujuan.

Dan setiap cahaya itu ada perbezaan tahap kecerahannya. Yang penting cahaya itu menghilangkan kegelapan, sesuai dengan tahap kecerahannya masing-masing.

Apakah makna tertinggi atau Apakah cahaya paling terang?

Kebenaran.

Dan sebaik-baik rangkap syair yang engkau dondangkan – (ialah) 
Rangkap syair yang mendendangkan semata-mata kebenaran.*

*Petikan The Diwan of Hassan Thabit



Wallahu'alam

Friday, April 29, 2016

Cuplikan Kritikan Puisi bagi "Mantera Ketika Qalam Mula Berhenti"

Kritikan Puisi oleh Prof Rahman Shaari - Dewan Sastera, Mei 2016

Insya Allah, saya akan memperkatakan sedikit tentang keperihalan ini. Terima kasih, Prof lantaran masih mengingati sajak Guruku, Ibuku saat kemunculan sulung atas dada Berita Harian. Syarah Guruku, Ibuku sudah dikomentar oleh rakan-rakan penulis di sini - [KLIK]

Tuesday, March 1, 2016

Kemunafikan Yang Wajar Diraikan - Filem Munafik (2016) Review

Review ringkas awal usai bergegas keluar dari pawagam
"Tak habis-habis sihir. Buat malu bangsa saja"

"Buat malu bangsa ka, buat malu agama (sebenarnya)?"

Saya tidak pernah menonton filem berlatarkan kemunafikan islami sebaik Mengaku Rasul (2008) hasil karya Helfi Kardit dari bioskop seberang. Namun, setelah menonton Munafik (2016) dari Syamsul Yusof Haslam sebentar tadi, ternyata dapatan pengalaman saya ini tercabar. Pembikinan Munafik bukan sekadar menambahkan pengalaman unik dan menarik bagi penontonan filem-filem seram religis namun yang lebih menarik Syamsul ternyata membikin filem dalam genre ini dengan setingkat lebih tinggi berbanding filem-filem tempatan seumpamanya. 

Lihat sahaja seruan suara-suara jin yang memperantarakan Maria (lakonan Nabila yang sangat berkesan) tidak lagi mengutarakan hal-hal biasa seperti - aku suka budak ini - atau - mak dia turunkan aku pada dia - semata-mata, malah Syamsul berani memperkenalkan suatu subjek cerita secara tunggal dan zahir terpisah apabila suara rasukan itu menyeru - jaga-jaga selepas aku, akan datang dari keturunan Iblis yang akan menyesatkan umat Muhammad. Itulah Dajjal! 

Jujurnya, meskipun tidak mengaitkan secara jelas kedatangan Dajjal dalam filem Munafik, namun itulah tujuan Syamsul untuk menghamburkan sepercik kenyataan akan hakikat akhir zaman Dajjal itu bermula dengan lambakan, bondongan dan kerancuan munafik-munafik sama ada sipi-sipi munafik, separuh munafik apatah lagi sepenuhnya munafik. 


Dajjal - makhluk Tuhan dalam bentuk manusia, keturunan bani Adam yang akan menyesatkan insan dengan begitu halus, sehalus watak antagonis yang muncul dengan twist (yang agak tidak terjangka melainkan para penonton filem twist seram tegar yang cakna akan teknik watak antagonis jadi-jadian di awal yang sebenarnya pratagonis di akhir cerita - teknik agak klise tetapi masih tetap berkesan dalam menimbulkan karekter yang twist).

Saya ingin memuji keseimbangan subjek kemunafikan yang diketengahkan Syamsul apabila menjulang Pekin sebagai suara-suara sumbang masyarakat media sosial kita yang seringkali cepat benar menghukum, ramai saja orang agama yang menggunakan agama untuk kepentingan dirinya - sedangkan kita jelas kedudukan Pekin yang sebenarnya tenggelam dalam kemunafikan yang diciptanya sendiri (lantaran terhasut dengan panggilan rasukan Maria).

Menariknya, dalam masa yang sama, Syamsul juga tidak menafikan  ada benarnya suara-suara sumbang itu apabila mengetengahkan sikap watak orang agama yang antagonis yang zahirnya sangat beribadah dan bermasyarakat. Namun, Syamsul tegaskan agak banyak kali sebenarnya - hanya segelintir!

Ya, hanya segelintir orang agama yang menyalahgunakan agama untuk kepentingan dirinya sebagaimana hanya segelintir orang bukan agama yang menyalahkan orang agama untuk menuduh mereka sebagai menyalahkan agama untuk kepentingan diri mereka. Malah, Ustaz Adam sendiri dalam dia memperelokkan pesakit, dia sendiri tenggelam dalam permasalahannya - keraguan demi keraguan yang digunakan modal oleh juak utama iblis dalam cerita ini untuk menariknya terus ke lembah - apa yang diserukannya sebagai - "jadilah engkau syirik dalam Islam!". 

Tuntasnya, siapapun antara kita - baik antara Ustaz Adam, Imam Ali, watak Pekin, Maria, Zati, Zulaikha apatah lagi Pak Usman - tidak terlepas daripada ujian ditarik juak-juak iblis ke lembah kemunafikan - khususnya di akhir zaman. 

Hal ini mengingatkan kita pada peringatan baginda al-Habib ar-Rasul solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam -

“Bersegeralah beramal 
sebelum datangnya fitnah 
seperti sepenggalan malam 
yang gelap gulita, 
seorang laki-laki 
di waktu pagi 
masih mukmin, dan 
di waktu petang 
telah menjadi kafir, dan 
di waktu petang 
masih beriman, dan 
paginya menjadi kafir, 
ia menjual agamanya 
dengan kesenangan dunia” 

(Riwayat Ahmad - 8493)

Saya boleh maafkan sedikit terencat kesudahan Zati (wah, sudah lama tidak menonton Sabrina Ali di layar perak setelah Khurafat (2011)) juga watak Pekin (dah macam kena rasuk waktu tumbuk mamat tu), tetapi mungkin ini modal Munafik 2 - siapa tahu! Namun, tabik spring adegan bilik mayat Nabila, perghhh memang diva.


Di babak akhir, Ustaz Adam lakonan Syamsul Yusof melutut menginsafi hakikat guliran kejadian yang begitu tragis setelah memperoleh "pencerahan petunjuk" yang membuatkannya tidak lagi menoleh selain bertawakal kepada Allah (akan nasib filem ini?).

Seru Syamsul di akhir, 

Ya Allah Tuhan Yang Maha Hidup lagi Berdiri!

(seakan-akan berbunyi - Sesungguhnya aku telah menyampaikan niat membikin filem ini)

Saya ingin membalasnya, terima kasih, Syamsul! Teruskan berlari tanpa henti mencerahkan kami lagi! Tahniah! Alhamdulillah.

Balaa-syaahidnaa!

*Belajarlah Bahasa Arab, sebab mantera seru iblis tidak disarikatakan (tapi masa rasuk ada pulak sari kata) hehe.

Review Menarik dari di Twitter

Saturday, February 7, 2015

Ulasan / Review Bangunan (2015)

Sejujurnya, menonton “Bangunan” tidak menakutkan aku secara hakikat. Kerana jiwa sedar aku memahami akan keperihalan yang sedang dibersitkan usai apa yang dipertontonkan semasa pratonton minggu lepas. 

Kalau kita faham aturan alam, sunnatullah yang disusun Allah – maksud aku, bila kita mengerti dan punya sedikit sebanyak ilmu juga pengalaman bahawa hamba-hamba yang Allah Ta’ala cipta, masing-masing mempunyai wilayah dan cara bagaimana mereka berfungsi dan beroperasi – kalau kita mengerti dan memahami hal-hal ini, kita tidak akan berasa takut. Lantaran ketakutan berlaku saat kita kehilangan kefahaman terhadap sesuatu. 

Hal ini yang melatari filem Bangunan. Kita diseret ke pojok ketidaktahuan dan ketidakfahaman, bagaimana mereka berdua itu boleh hilang? Dari situ perlahan-lahan kita bingung seraya menjadi takut.


Kali ini, aku tidak mahu bicara tentang sinematik atau tidak filem ini. Tontonfilem [KLIK] sudah cukup masak merencahinya. Aku sekadar ingin memberitahu apa yang terjadi pada sesi pratonton. Ketika (Cikgu) Yusran turut sekali berada atas pentas. Ketika ditanya, apakah kejadian itu benar-benar berlaku?

Seraya Yusran menjawab,

“Siapa yang reti scan, tuan-tuan boleh scan. 
Tengok berapa banyak 'mereka' di keliling pagar kawasan tu”

“Kawan saya itu mediator. Memang kalau dalam benda-benda macam ni, dia special sikit. Senang jadi perantara. Dan yang masuk dalam badan dia tu macam scout. Kan kalau kita berperang, yang pertama jumpa musuh bukan jeneral tapi scout dia. Sapa reti scan, boleh tengok dekat situ ada berapa kepala ketua-ketua dia”

“Saya bukan arif sangat. Ramai lagi yang handal. Mereka pun dah cuba dan sampai sekarang masih mencuba untuk keluarkan dua mangsa itu. Kita doakan yang terbaik. Benda macam ni bukan mudah nak settle. Makan masa dan bergantung pada izin Allah Ta’ala juga. Doakan yang terbaik”.

Begitulah beberapa jawapan yang sempat aku perturunkan di sini untuk kalian perhatikan. Kalaupun ia penipuan, ia penipuan yang amat boleh dibanggakan.

Rating : 9/10

Monday, December 29, 2014

Pengajaran Tegar Daripada Bah Besar

*Artikel ini adalah hasil daripada perbincangan dengan rakan-rakan; seorang penuntut tegar usuluddin & syariah al-Azhar, seorang geologis dan seorang penuntut sains politik. Di samping, artikel ini adalah merupakan permintaan rakan rapat kami, seorang doktor yang juga mangsa banjir yang terperangkap di Kuala Krai. Andai artikel ini bermanfaat, sebarkan ia agar suara-suara ini sampai kepada pihak-pihak berkaitan termasuklah kerajaan, pihak pengurusan bencana, media dan orang ramai yang turut terlibat sebagai pemerhati-pemerhati bencana. Wallahu'alam

Diterbitkan di MalaysianInsider di [KLIK]
--

Makan hati berulamkan jantung setiap kali menerima mesej Whatsapp langsung daripada rakan-rakan rapat yang terperangkap seakan-akan terkurung dalam sangkar bah besar, menagih bantuan meminta tolong.

"Saya di Kok Keli. Pusat pemindahan lebih 3,000 orang. Saya beri rawatan kecemasan hanya dengan cahaya daripada lilin. Teruk keadaan di sini."

"Bilik doktor saya ubahsuai menjadi labour room. Kami terputus bekalan air. Mujur kami mempunyai beberapa tong air mineral. Pesakit muda anak pertama. Kini, saya sedang menunggu ibu muda melahirkan anak sulungnya, seorang bayi yang tenat bersama dua pesakit yang disyaki ICB. Saya perlu berehat kerana saya hanya tidur 3 jam sejak semalam. Badan sudah terasa sengal dan mata sudah layu tetapi otak masih memutarkan pengalaman sedih tadi."

“Dekat pusat pemindahan Tendong, tidak ada makanan langsung. Sepupu mama aku baru sampai ke USM dari pusat pemindahan itu untuk dialisis. Tengah bawa makanan semua. Makan macam kebuluran. Macam dekat Somalia, orang bergaduh-gaduh rebut makanan untuk anak-anak kecil.”

Hanya sebahagian mesej mampu dikongsi di sini.


Pengajaran politikus dan media

Adakah terlalu sukar untuk para pemain politik faham saat hujan lebat merintik, yang kita perlukan ialah sekaki payung dan bukannya herdik-mengherdik dan komen-komen ramal dan tenung?

Kita tidak nafikan setiap musibah adalah amaran daripada Allah tetapi kata-kata “pembersihan dosa” yang kita hamburkan seberapa segera tidak mampu membantu mereka yang hampir-hampir kehilangan nyawa!

Setiap perkataan ada tempatnya, wahai YB-YB sekalian. Di waktu bencana sedang berlaku, kita perlukan bantuan bukannya komen dan pandangan.

Selain politikus, pihak berpengaruh yang lain sudah semestinya pihak media – elektronik mahupun cetak, internet, radio mahupun TV.

Kita berterima kasih atas segala liputan yang diberi dan susah payah para wartawan bergolok-gadai nyawa semata-mata untuk mendapatkan berita-berita daripada kawasan liputan.

Namun, yang kita hairan ada segelintir trend berita yang amat tidak sensitif dengan skala bencana yang begitu destruktif.

Berita berkenaan pasangan mangsa banjir sempat bernikah atas sampan, penduduk harung laut untuk menangkap bondongan kerang yang tiba-tiba datang dan sebagainya amatlah memalukan di saat ramai lagi mangsa banjir jika diteliti, mesej rakan kita yang terperangkap dan tidak menerima bantuan.

Media sewajarnya istiqamah dan sentiasa pastikan berita yang tersiar mempunyai nilai tambah untuk memastikan mangsa-mangsa bah segera dibantu agar semua nyawa dapat diselamatkan tanpa sebarang korban.

Berita-berita wajib betul dan tepat menggambarkan suasana yang terancam dan tenat agar ramai lagi warga Malaysia akan berkesedaran untuk menghulurkan bantuan, bukannya lega – tidak mengapa, kerajaan sudah tolong mereka.

Berita yang betul dan tepat ini amat mustahak kerana ia dapat mengekang penularan berita-berita palsu ketika rakyat sudah muak lantaran media perdana lambat melaporkan keadaan sebenar dan mula beralih ke media-media baru.

Wahai pemain politik juga pemain media, kembalikan suara rakyat dalam suara-suara anda. Tolonglah sensitif dan cakna dalam berbicara.

Pengajaran pengurusan bencana

Pertamanya, menutup ruang-ruang bencana sedaya upaya.

Kita sering mengaitkan musibah yang melanda atas sebab maksiat yang dilakukan.

Kaitan itu betul dan tepat namun kita sering lupa dan malas untuk mengkritik dan benar-benar mendesak sebab-sebab langsung sesuatu musibah itu terjadi bertitik-tolak daripada tangan-tangan manusia sendiri.

Siapa boleh padam fakta dan sorokkan hakikat isu penggodolan hutan di negara kita sudah tidak terkawal.

Dapatan Nasa yang mengesan penggondolan hutan (deforestation) secara besar-besaran berlaku di negara kita pada suku awal tahun ini sahaja di mana Pahang dan Negeri Sembilan mencatatkan kawasan baru penggondolan.

Malah, agensi satelit quarterly Indicator of Cover Change (QUICC) itu menyimpulkan peratus kes penggondolan hutan meningkat sebanyak 150% dalam masa lima tahun sahaja.

Budak sekolah rendah pun boleh menghuraikan kaitan kesan banjir besar dengan penggondolan hutan secara besar-besaran.

Soalnya, bilakah kita akan benar-benar insaf dan segera menghentikan kerja gila pembangunan ini?

Keduanya, isu darurat.

Kita tidak pernah kisah naik turun imej mana-mana politikus. Cukuplah yang berkenaan melakukan muhasabah sendiri. Yang jauh kita lebih risaukan ialah dengan segala kuasa dan kudrat yang kita punya, sejauh manakah bantuan dihulurkan segera?

Dari itu, pengisytiharan darurat yang tidak dilakukan mengundang persoalan ketika daerah Muar dan Ledang tidak sampai sehari dua terus diisytiharkan darurat dengan klausa-klausa tertentu akibat jerebu tahun 2013.

Malah pada saat ini, pihak berkuasa Bandung, Indonesia mengisytiharkan darurat sekalipun angka mangsa banjir mereka cuma mencecah 17,000 orang berbanding Kelantan dan negeri-negeri lain yang berkali-kali ganda jumlah mangsa berbanding mereka.

Alasan yang digonggong di corong media mangsa banjir tidak boleh menuntut pampasan insurans ialah satu alasan yang rapuh dan begitu teknikal sifatnya kerana para pelanggan insurans boleh mengisytiharkan kerosakan sebelum tarikh darurat diisytiharkan.

Jangan sampai rakyat bawahan beranggapan – kalau ikut logik insurans tidak boleh tuntut, makna kata kalau satu Malaysia tenggelam pun – di sisi para politikus, ia adalah hujah yang rapuh dan untuk mengisytiharkan darurat adalah suatu yang mustahil akan berlaku sampai kiamat!

Pokok pangkalnya, mengapa aset negara kelihatan begitu lambat sampai ke kawasan-kawasan “ground zero” sehingga banyak berita daripada rakan-rakan yang kita terima menyatakan bantuan belum sampai, helikopter sekadar berlegar-legar sedangkan sepatutnya sudah diketahui kaedah terbaik menghantar bantuan segera serta pusat penempatan tidak cukup bekalan.

Justeru, pihak pengurusan bencana seharusnya lebih bersedia untuk cepat dan tepat menggunakan “kuasa darurat” agar wang cukai rakyat yang membeli pelbagai aset mahal negara tidak berakhir di perarakan sambutan kemerdekaan saban tahun sahaja.

Ketiganya, isu pengurusan bencana.

Banjir berlaku hampir saban tahun. Ironinya, adakah kehadirannya setiap tahun membuatkan kita terasa imun sehinggakan tindakan pihak berkuasa pada awal bencana memperlihatkan seakan-akan kita tidak bersedia dari segi bekalan, aset bantuan malah keselesaan?

Beberapa hari lalu, rancangan TV Khawater ada menceritakan bagaimana Turki membuat persediaan lebih awal, paling lewat seminggu sebelum jangkaan berlakunya bencana.

Perdana menterinya sendiri turun dan mengarahkan semua agensi kerajaan untuk bersiap sedia dengan bekalan dan persiapan yang rapi supaya rakyatnya terbela.

Disebutkan di sebuah kawasan, Turki berhadapan banjir besar pada tahun 2004. Namun, pada tahun berikutnya, banjir tidak berlaku sedangkan bacaan hujan pada tahun 2005 itu adalah empat kali ganda melebihi tahun 2004. Ini disebabkan pasca banjir 2004, kerajaan Turki mengambil langkah bijak untuk mengatasi masalah berkenaan daripada berulang.

Justeru, adalah menjadi keperluan supaya kedua-dua pihak (negeri dan persekutuan) menyediakan bekalan dan persiapan lebih awal di setiap pusat pemindahan. Pusat pemindahan sementara banjir yang tetap dan lengkap dengan segala peralatan di setiap daerah perlu disediakan bagi kawasan negeri yang berhadapan banjir saban tahun.

Memandangkan aplikasi sosial begitu meluas digunakan khususnya oleh mangsa bencana, adalah amat baik sekiranya pihak berkuasa sebaik sahaja bencana terjadi, segera melancarkan nombor WhatsApp dan ID WeChat bantuan khusus yang boleh dihubungi agar maklumat langsung diperoleh dan bantuan seberapa segera dapat dihulur.

Pengajaran pemerhati bencana

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Selaku rakyat Malaysia, saya teramat bangga dan terharu melihatkan warga kita yang begitu cakna menghulurkan bantuan seberapa segera baik mangsa bencana di luar apatah lagi di dalam negara.

Pusat-pusat pengumpulan bahan bantuan dan saluran-saluran derma tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Berita-berita langsung daripada mangsa-mangsa menerusi media sosial terutamanya WhatsApp and SMS begitu viral.

Hal sebegini wajib diteruskan.

Namun, dalam kemeriahan dan keikhlasan pemberian bantuan, masih wujud dalam kalangan warga kita yang tidak bertanggungjawab.

Mereka-reka nombor bantuan, melaung-laung cerita bohong, mengutuk-ngutuk sukarelawan dan melakukan pelbagai bentuk tafsiran dan tuduhan yang bersifat tidak membantu malah membantutkan perasaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Hal sebegini wajib dihentikan. 

Saya tertarik dengan mesej Usrah Nurani di IKIM.fm Jumaat lepas yang menyimpulkan – ketika kita ditimpa bencana, kita tidak sepatutnya disibukkan menentukan bencana ini bala ataupun ujian.

Yang segera kita perlu lakukan adalah bagi mangsa untuk terus sabar dan redha dan bagi pemerhati untuk segera menghulurkan bantuan berterusan sehingga mangsa bencana kembali seperti sediakala.

Akhirnya, bencana sepatutnya menjadikan kita seseorang yang lebih dekat dengan Tuhan dan semakin berubah ke arah kebaikan.


Penutup

Mulut kita terkadang terlalu lancang dan cepat benar memandang sinis apabila cerita-cerita tragis daripada mangsa bah besar berlegar-legar di media sosial.

Cukuplah petikan catatan FB Dr Afiq Rahim, mangsa bah besar di Klinik Kesihatan Badang, Kelantan mencelikkan kita bagi mangsa bah besar, media sosial adalah satu-satunya talian hayat yang mereka ada.

“Oh ye, ada yang berkata dalam keadaan sibuk masih sempat berkongsi cerita. Saya terpaksa. Jika tidak anda di luar tidak akan tahu situasi kami kerana wartawan pun tidak mampu meredah banjir dan membahayakan nyawa hanya untuk secebis berita biasa.

Juga, jangan lupa untuk kongsikan kisah ini kepada pihak atasan agar keluhan dan rintihan kami mangsa banjir dapat terus didengari. Teruskan menderma.

"Selamat malam dunia bawah air!”

Wahai rakyat Malaysia, bagaimana anda membalas ucapan selamat malam itu? Sekadar memandang atau segera bertindak membantu? – 28 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/pengajaran-tegar-daripada-bah-besar-zaim-yusoff#sthash.V7nqXBrv.dpuf 

Sebarkan Manfaatnya! :)