Pemberitahuan : Ulasan
filem ini mungkin mengandungi spoiler bagi sesetengah orang.
Artikel ini disiarkan dengan versi lebih padat di Malaysiakini dengan tajuk "Pusaka yang kurang lemak dan masak" [KLIK]
Dijaja filem ini dari penerbit Dukun (2018),
sebuah adikarya seram Malaysia yang hanya masuk pawagam usai 12 tahun terperap.
Lalu, kusangkakan berbanding Dukun, Pusaka (2019) lebih cemerlang. Rupa-rupanya
cuma lebih baik daripada Munafik 2 (2018). Tidak lebih, tidak kurang.
Menariknya, takdir seperti
sudah siap siaga menyambut Pusaka lantaran subteks kritik sosio-politik filem ini.
Berlakunya ketentuan PRK Tanjung Piai hampir-hampir mampu mengentalkan lagi
makna tayangan Pusaka dalam sela masa ini. Malangnya, takdir seperti bertepuk
sebelah tangan apabila rumah sinema bikinan Pusaka separuh siap rohnya.
Subteks Hampir-Hampir
Menjadi
Subteks Pusaka itu
diperoleh jika diselarikan naratif dua pasangan kembar. Kembar seiras Balqis –
Qistina (tanda kembar balQistina). Kembar tidak seiras Nuar-Nur (tanda kembar
Nur tanpa A). Kedua-dua generasi kembar muda ini ditimpakan beban sejarah
keluarga masing-masing.
Bagi kembar Balqistina,
beban sejarah bermula dengan ambilan saka oleh ayahnya untuk tujuan kekayaan.
Tambah syirik, neneknya juga mengambil jin bagi membentengi keluarga. Lalu,
kembar Balqistina dimangsakan.
Balqis yang masih hidup memilih
jalan sesat sama seperti ayah dan neneknya bagi membalas dendam. Dari sisi ini,
seperti generasi sebelumnya yang sudah tercemar, generasi muda digambarkan
turut memilih corrupted way bagi menghadapi onar hidup.
Bagi kembar Nu(a)r pula,
dikhabarkan ibu mereka bermasalah lalu ‘pusaka tercemar’ itu turun pada Nur penagih
ganja. Nuar yang juga detektif polis sebaliknya berbeza. Dia berusaha menjadi insan
berguna lalu bergelut dengan kembarnya, Nur yang ketagihan. Nuar menyiasat kes
kembar Balqistina lalu Nur terpalit sama dimangsakan.
Di titik alih plot, Opah memaculkan
“Semuanya atas kau” pada Nuar. Lalu, naratif bergerak dengan Nuar sebagai
pemutus naratif. Sampai di saat klimaks Nur dirasuk, Nuar memutuskan untuk menggerakkan
bawah sedar Nur agar kuat bangkit melawan kejahatan.
Kesedaran itu membolehkan Nur
melawan ketagihan seraya bersama Nuar di pengakhiran. Dari sisi ini, tidak seperti
generasi sebelumnya yang sudah tercemar, generasi muda digambarkan memilih
untuk menolak corrupted way lalu membina sebuah hidup baru.
Dengan itu, kita sebagai
penonton rata-rata generasi muda mungkin juga peminat Syafiq Kyle, penggondol
Aktor TV Paling Popular ABPBH ke-32 seperti diseru dengan laungan “Semuanya
atas kau” dari Opah. Kita diajak merenung sama ada mahu memilih jalan jahat
seperti pilihan segelintir nenek moyang atau jalan taubat yang lebih terang dan
tenang. Semuanya atas generasi kita, generasi muda.
Hal ini jika benar-benar
diimani secara istiqamah dalam Pusaka pasti cocok dengan perjalanan politik
semasa. Jika naratif Pusaka benar-benar menjadi, dengan bangganya diisytiharkan
Pusaka sebagai suara politik generasi muda yang menolak saka pusaka politik
perkauman yang berpuaka daripada leluhur kita sejak zaman-berzaman.
Apatah lagi saat ini dalam
musim PRK Tanjung Piai, kekotoran siasah begitu bersepah-sepai. Paling ketara,
penolakan terhadap bukan satu tapi dua calon
Melayu-Islam oleh ketumbukan politik yang ironinya digemakan sebagai pejuang
Melayu-Islam masani.
Jika ada yang cuba
berhujah mengia-iakan tindak siasah seperti ini dengan - “fatwa berubah kerana
dalam agama ada hal thabat (tetap), ada hal murunah (anjal)”, sambutlah
tangannya sembari ucapkan “ma’a as-salamah!” (al-Qur’an, 25:63).
Bagaimana hal ini boleh
dihujahkan begitu jika kewujudan harakah mereka sendiri hanyalah ijtihad siasah.
Maka sebagai ijtihad, adakah sewenang-wenangnya mereka yang tidak bersetuju
dengan bolak-balik siasah itu boleh diperkirakan salah? Ini hal yang begitu paradoksikal.
Hal-Hal Paradoksikal
Pusaka
Paradoksikal ini jugalah sifat
kegelinciran Pusaka untuk mewajarkan keputusan peleraian naratifnya melalui ‘deus
ex machina’. Nuar menyerah diri kepada Maha Kuasa seraya rak jatuh gedebuk
menghenyak saka.
Sebagai salah satu peranti
plot, deus ex machina tidak bersalah. Yang bersalah adalah apabila pencerita
tidak menjalinkan sebab-akibat yang kuat bagi deus ex machina hadir lalu
impaknya sekadar angin lalu. Ada tapi tak terkesan.
Adakah Nuar seorang
detektif tidak beriman? Lalu, wuduk yang diambilnya dalam babak terdahulu itu
apa. Adakah hanya dengan mengentengkan saran bingit Luqman si peratib “ini
syirik, itu syirik” cukup membingkaikan ketidakpercayaan Nuar pada hal
spiritual?
Ini belum lagi soal
pembinaan watak Nuar yang lemah intuisi kedetektifannya, sehinggakan kalau
pistol dighaibkan, kita pasti tidak sedar yang Nuar adalah detektif. Inilah hal-hal
yang begitu paradoksikal.
Memandangkan penerbit
Pusaka adalah mantan penerbit Dukun, kita menjangkakan identiti detektifnya
lebih kemas daripada apa yang dibina
dalam filem itu. Jika tidak lebih kemas, maka apa perlu watak detektif wujud
dalam Pusaka jika hanya lebih serabut?
Dalam Dukun, watak
detektif lakonan Namron dilihat jelas intuisi kedetektifannya lagi-lagi serasi dengan
watak pembantunya lakonan Bront Palarae. Tidak seperti gandingan Nur-Nuar yang
lebih mirip kekasih daripada adik-beradik. Masih segar ingatan bagaimana kes
Diana diselesaikan dengan metafora jaringan gol Zizou. Hal-hal halus (baca :
subtle) semacam inilah yang ghaib dalam Pusaka.
‘Jump Scare’ Tanpa Makna
Hampir dua dekad lalu,
Monsters, Inc. (2001) sudah menitahkan bahawa cara bikin penonton takut dengan
terkejut-kejut sudah ketinggalan zaman. Memang tidak adil untuk kita
mengharapkan Pusaka menjadi naskhah seram revolusioner seperti Midsommar
(2019), penafi klaustrofobia dan kegelapan yang diacuramu semacam The Wicker
Man (1972) juga The Virgin Spring (1960), lantaran tona alam Pusaka itu sudah
dibikin suram-suram kelam.
Namun setidak-tidaknya
seperti Jaws (1975); Spielberg mengkehendaki makna untuk mencipta 'jump scare'.
Pembikin naskhah seram yang baik menakutkan penonton bukan dengan bunyi
tiba-tiba tetapi dengan subjek yang sedang bercerita - baik diam imejnya, baik
gerak ceritanya sembari suasananya sekali gus menyatu.
Sayangnya naratif Pusaka
lebih mahu tunduk pada ‘corrupted way of making horror’, dengan
mencampakkan segalanya ke muka, ke telinga malah ke minda penonton yang
sepatutnya diaktifkan fikirannya. Semuanya dimuntahkan termasuklah simbol nasi
ganja juga diterang-benderangkan meski itu sudah terang lagi bersuluh satu
kelewahan ketara.
Sekalipun Pusaka tidak
begitu buruk saat bahagian teknikal produksinya yang layak diberikan kredit, namun
masih wajar jika ada yang kecewa. Seperti kekecewaan kanak-kanak yang tular dek
kekalahan pasukan Kedah dalam Piala Malaysia. Ujar bocah itu, “Main macam main
dalam kampung. Main dalam kampung tak pa la. Ni Piala Malaysia.”
Saya bayangkan kalau bocah
itu sudah jadi penikmat sinema mungkin setelah menonton filem-filem kita tahun
ini di masa depan, dia bakal ujar, “Bikin filem macam orang kita saja wujud dalam
dunia. Serupa orang luar tak tengok dan nilai kita!”.
Darihal itu, wajarlah pembikin
kita bermuhasabah apa perlu sangat promosi filem sebagai filem pertama Malaysia
itu, filem pertama Malaysia ini sedangkan pentas sinema kita lebih luas dari
batas geografi.