Tuesday, November 5, 2019

Rumah Pusaka (2019) Separuh Siap

Pemberitahuan : Ulasan filem ini mungkin mengandungi spoiler bagi sesetengah orang.


Artikel ini disiarkan dengan versi lebih padat di Malaysiakini dengan tajuk "Pusaka yang kurang lemak dan masak" [KLIK]

Dijaja filem ini dari penerbit Dukun (2018), sebuah adikarya seram Malaysia yang hanya masuk pawagam usai 12 tahun terperap. Lalu, kusangkakan berbanding Dukun, Pusaka (2019) lebih cemerlang. Rupa-rupanya cuma lebih baik daripada Munafik 2 (2018).  Tidak lebih, tidak kurang.

Menariknya, takdir seperti sudah siap siaga menyambut Pusaka lantaran subteks kritik sosio-politik filem ini. Berlakunya ketentuan PRK Tanjung Piai hampir-hampir mampu mengentalkan lagi makna tayangan Pusaka dalam sela masa ini. Malangnya, takdir seperti bertepuk sebelah tangan apabila rumah sinema bikinan Pusaka separuh siap rohnya.

Subteks Hampir-Hampir Menjadi

Subteks Pusaka itu diperoleh jika diselarikan naratif dua pasangan kembar. Kembar seiras Balqis – Qistina (tanda kembar balQistina). Kembar tidak seiras Nuar-Nur (tanda kembar Nur tanpa A). Kedua-dua generasi kembar muda ini ditimpakan beban sejarah keluarga masing-masing.

Bagi kembar Balqistina, beban sejarah bermula dengan ambilan saka oleh ayahnya untuk tujuan kekayaan. Tambah syirik, neneknya juga mengambil jin bagi membentengi keluarga. Lalu, kembar Balqistina dimangsakan.

Balqis yang masih hidup memilih jalan sesat sama seperti ayah dan neneknya bagi membalas dendam. Dari sisi ini, seperti generasi sebelumnya yang sudah tercemar, generasi muda digambarkan turut memilih corrupted way bagi menghadapi onar hidup.


Bagi kembar Nu(a)r pula, dikhabarkan ibu mereka bermasalah lalu ‘pusaka tercemar’ itu turun pada Nur penagih ganja. Nuar yang juga detektif polis sebaliknya berbeza. Dia berusaha menjadi insan berguna lalu bergelut dengan kembarnya, Nur yang ketagihan. Nuar menyiasat kes kembar Balqistina lalu Nur terpalit sama dimangsakan.

Di titik alih plot, Opah memaculkan “Semuanya atas kau” pada Nuar. Lalu, naratif bergerak dengan Nuar sebagai pemutus naratif. Sampai di saat klimaks Nur dirasuk, Nuar memutuskan untuk menggerakkan bawah sedar Nur agar kuat bangkit melawan kejahatan.

Kesedaran itu membolehkan Nur melawan ketagihan seraya bersama Nuar di pengakhiran. Dari sisi ini, tidak seperti generasi sebelumnya yang sudah tercemar, generasi muda digambarkan memilih untuk menolak corrupted way lalu membina sebuah hidup baru.

Dengan itu, kita sebagai penonton rata-rata generasi muda mungkin juga peminat Syafiq Kyle, penggondol Aktor TV Paling Popular ABPBH ke-32 seperti diseru dengan laungan “Semuanya atas kau” dari Opah. Kita diajak merenung sama ada mahu memilih jalan jahat seperti pilihan segelintir nenek moyang atau jalan taubat yang lebih terang dan tenang. Semuanya atas generasi kita, generasi muda.


Hal ini jika benar-benar diimani secara istiqamah dalam Pusaka pasti cocok dengan perjalanan politik semasa. Jika naratif Pusaka benar-benar menjadi, dengan bangganya diisytiharkan Pusaka sebagai suara politik generasi muda yang menolak saka pusaka politik perkauman yang berpuaka daripada leluhur kita sejak zaman-berzaman.

Apatah lagi saat ini dalam musim PRK Tanjung Piai, kekotoran siasah begitu bersepah-sepai. Paling ketara, penolakan  terhadap bukan satu tapi dua calon Melayu-Islam oleh ketumbukan politik yang ironinya digemakan sebagai pejuang Melayu-Islam masani.

Jika ada yang cuba berhujah mengia-iakan tindak siasah seperti ini dengan - “fatwa berubah kerana dalam agama ada hal thabat (tetap), ada hal murunah (anjal)”, sambutlah tangannya sembari ucapkan “ma’a as-salamah!” (al-Qur’an, 25:63).

Bagaimana hal ini boleh dihujahkan begitu jika kewujudan harakah mereka sendiri hanyalah ijtihad siasah. Maka sebagai ijtihad, adakah sewenang-wenangnya mereka yang tidak bersetuju dengan bolak-balik siasah itu boleh diperkirakan salah? Ini hal yang begitu paradoksikal.

Hal-Hal Paradoksikal Pusaka

Paradoksikal ini jugalah sifat kegelinciran Pusaka untuk mewajarkan keputusan peleraian naratifnya melalui ‘deus ex machina’. Nuar menyerah diri kepada Maha Kuasa seraya rak jatuh gedebuk menghenyak saka.

Sebagai salah satu peranti plot, deus ex machina tidak bersalah. Yang bersalah adalah apabila pencerita tidak menjalinkan sebab-akibat yang kuat bagi deus ex machina hadir lalu impaknya sekadar angin lalu. Ada tapi tak terkesan.

Adakah Nuar seorang detektif tidak beriman? Lalu, wuduk yang diambilnya dalam babak terdahulu itu apa. Adakah hanya dengan mengentengkan saran bingit Luqman si peratib “ini syirik, itu syirik” cukup membingkaikan ketidakpercayaan Nuar pada hal spiritual?


Ini belum lagi soal pembinaan watak Nuar yang lemah intuisi kedetektifannya, sehinggakan kalau pistol dighaibkan, kita pasti tidak sedar yang Nuar adalah detektif. Inilah hal-hal yang begitu paradoksikal.

Memandangkan penerbit Pusaka adalah mantan penerbit Dukun, kita menjangkakan identiti detektifnya lebih kemas  daripada apa yang dibina dalam filem itu. Jika tidak lebih kemas, maka apa perlu watak detektif wujud dalam Pusaka jika hanya lebih serabut?

Dalam Dukun, watak detektif lakonan Namron dilihat jelas intuisi kedetektifannya lagi-lagi serasi dengan watak pembantunya lakonan Bront Palarae. Tidak seperti gandingan Nur-Nuar yang lebih mirip kekasih daripada adik-beradik. Masih segar ingatan bagaimana kes Diana diselesaikan dengan metafora jaringan gol Zizou. Hal-hal halus (baca : subtle) semacam inilah yang ghaib dalam Pusaka.

‘Jump Scare’ Tanpa Makna

Hampir dua dekad lalu, Monsters, Inc. (2001) sudah menitahkan bahawa cara bikin penonton takut dengan terkejut-kejut sudah ketinggalan zaman. Memang tidak adil untuk kita mengharapkan Pusaka menjadi naskhah seram revolusioner seperti Midsommar (2019), penafi klaustrofobia dan kegelapan yang diacuramu semacam The Wicker Man (1972) juga The Virgin Spring (1960), lantaran tona alam Pusaka itu sudah dibikin suram-suram kelam.

Namun setidak-tidaknya seperti Jaws (1975); Spielberg mengkehendaki makna untuk mencipta 'jump scare'. Pembikin naskhah seram yang baik menakutkan penonton bukan dengan bunyi tiba-tiba tetapi dengan subjek yang sedang bercerita - baik diam imejnya, baik gerak ceritanya sembari suasananya sekali gus menyatu.


Sayangnya naratif Pusaka lebih mahu tunduk pada ‘corrupted way of making horror’, dengan mencampakkan segalanya ke muka, ke telinga malah ke minda penonton yang sepatutnya diaktifkan fikirannya. Semuanya dimuntahkan termasuklah simbol nasi ganja juga diterang-benderangkan meski itu sudah terang lagi bersuluh satu kelewahan ketara.

Sekalipun Pusaka tidak begitu buruk saat bahagian teknikal produksinya yang layak diberikan kredit, namun masih wajar jika ada yang kecewa. Seperti kekecewaan kanak-kanak yang tular dek kekalahan pasukan Kedah dalam Piala Malaysia. Ujar bocah itu, “Main macam main dalam kampung. Main dalam kampung tak pa la. Ni Piala Malaysia.”

Saya bayangkan kalau bocah itu sudah jadi penikmat sinema mungkin setelah menonton filem-filem kita tahun ini di masa depan, dia bakal ujar, “Bikin filem macam orang kita saja wujud dalam dunia. Serupa orang luar tak tengok dan nilai kita!”.

Darihal itu, wajarlah pembikin kita bermuhasabah apa perlu sangat promosi filem sebagai filem pertama Malaysia itu, filem pertama Malaysia ini sedangkan pentas sinema kita lebih luas dari batas geografi.


No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)