Wednesday, December 5, 2018

Bagaimana Esei "Jentikan Semiotik Sinema One Two Jaga" Terhasil?

Saya menonton One Two Jaga (2018) arahan Nam Ron terbitan Bront Palarae dua kali.

Setelah menonton buat kali pertama, sebelum filem itu berakhir pun, saya telah merasakan tontonan kedua bakal menjadi wajib lantaran imej-imej dalam bingkai juga rupa adegan (mise-en-scene)nya begitu menawan, memandangkan ini tontonan pertama - saya perlu fokus akan naratif untuk benar-benar memahami cerita. Saya masih ingat, saya terkejut seraya menjerit spontan ketika picu pistol si Hussein dilepaskan secara tiba-tiba. Usai tontonan, saya segera mengemaskini Twitter @zaimyusoff67 itu seraya menulis ulasan pertama sebagaimana tertera di sini : [KLIK]

Sebetulnya, tulisan pertama belum upaya memuaskan jiwa. Ingatan saya tidak cukup kuat untuk benar-benar mengimbau secara pasti apa yang tertera di layar One Two Jaga. Malah, saya terpanggil untuk menulis lebih lanjut lagi lantaran kutipan awal One Two Jaga seperti telur di hujung tanduk. Penonton kita yang nenyak harus ditabrak agar mereka jaga dan nampak - One Two Jaga adalah filem mustahak. Arkian, saya berkeputusan tontonan kali kedua adalah perlu.

Supaya saya tidak lupa, dan ini kali pertama saya benar-benar mahu dan serius melakukannya - saya membawa buku nota syarikat dan sebatang pena. Ya, saya akan menuliscatat dalam gelap mendung wayang. Biarlah sesamar apapun catatan, seceloreng catatan jauh lebih baik daripada sekuat-kuat ingatan. Kehadiran khalayak yang tidak memberangsangkan pada malam itu seperti melanyak saya untuk terus fokus sepenuhnya kerana sinema sebaik ini adalah layak untuk diperjuangkan.

Khalayak di belakang saya itu, dalam lima-enam orang budak lelaki seperti menerka-nerka, "Apalah mamat ini buat, ya? Orang datang wayang menonton, bukan menyalin nota" tetapi ternyata saya perlu kerap bertabiat begini lantaran ini amat-amat membantu saya untuk fokus pada tiap apa yang dibingkaikan. Akhirnya, 31 halaman contengan cakar ayam mengikat ingatan saya kuat-kuat. Ternyata, One Two Jaga bukan filem biasa. Bisanya berbisa.

Saya perturunkan 31 halaman contengan cakar ayam berkenaan yang ada sebahagiannya saya sendiri tidak mengerti (kerana pada waktu itu, saya tak dapat rujuk filemnya semula). Jika anda dapat baca cotengan itu, sebenarnya masih banyak lagi hal yang boleh dihuraiulas berkenaan One Two Jaga.

Namun atas kekangan sesebuah esei terbitan, saya wajar menghadkan kepada beberapa hal sahaja seperti mana dimuktamadkan dalam esei Jentikan Semiotik Sinema One Two Jaga yang boleh dibaca di sini : [KLIK]

Saya melengkapkan tulisan yang judul asalnya Jentikan Semiotik Berbisa Sinema One Two Jaga (2018) itu sekitar 3 hari selepas malam tontonan. Saya terus hantar ke sebuah akhbar.

Tetapi tiada rezeki, sebaliknya tulisan penulis lain tentang One Two Jaga tersiar. Saya gembira One Two Jaga tetap mendapat liputan sekalipun bukan tulisan saya yang dikehadapankan. Saya bersabar beberapa minggu kalau-kalau tulisannya diterbitkan sebelum memutuskan untuk menariknya kembali dan hantar ke Selangorkini.

Pada waktu itu, saya sedikit gusar lantaran One Two Jaga sudah berhenti ditayangkan. Namun, saya akhirnya tetap menghantarnya kerana sinema sebagus One Two Jaga harus terus diperkatakan dalam bentuk lebih dalam. Biarlah takdir memutuskan rezeki tulisan ini nanti.

Ternyata rezeki bukan tiada, tetapi ditangguhkan cuma. Tulisan ini telah diterbitkan pada 16 November 2018 di Selangorkini. Dan kemenangan tulisan ini sebagai Hadiah Utama Kategori Esei, Hadiah Sastera Selangor 2018 (HSS) adalah amat di luar jangkaan!

Alhamdulillah tsumma Alhamdulillah, sarwa puji hanyasanya milikNya, Allah Jalla wa 'Ala, Subhanahu wa Ta'ala.

Darihal itu, bagi meraikan tulisan ini - saya terpanggil untuk berbakti kepada dirinya.

Saya telah mengetip semula imej-imej filem One Two Jaga (2018) yang telah ditayangkan di Netflix untuk dipadankan dengan teks tulisan asal agar kalian, para pembaca seraya penonton sinema tempatan akan dapat menikmati intipati One Two Jaga lebih lagi. Ada 11 slaid kesemuanya di bawah.

Juga saya perturunkan contengan cakar ayam sebanyak 31 halaman - dan jika mata anda tajam, anda boleh dapati perkongsian hal-hal lain yang sempat dimuntahkan tetapi sengaja saya tidak noktahkan.

Lantaran pengalaman sinematik sesuatu yang unik, di tangan kiri bertih jagung, di tangan kanan pena sebatang - kitalah memutuskan untuk merenung atau membiarkan wayang - kosong.

Saya mengucapkan terima kasih banyak kepada semua yang mengucapkan kata-kata baik sempena kemenangan tempoh hari - saya berdoa agar kalian juga memperoleh kebaikan yang jauh lebih banyak daripada saya. Mohon doa kalian agar saya terus istiqamah; menulis hal-hal baik dengan terbaik. Allahumma ameen.

====

Terima kasih banyak atas doa tak tertebus juga sembah bakti tak terbalas barakahnya buat Bonda, Ayahanda, Isteri, Cikgu-Cikgu, Adik-Beradik seraya keluarga saya keseluruhannya.

Terima kasih atas tunjuk ajar tak berkesudahan juga persahabatan tak berpenghujung Fadli Al-Akiti, Muhammad Lutfi Ishak, Nik Abdul Razak, Rasydan Fitri, Norshahkang Shuaib, Fahd Razy, Adibah Abdullah, Khairil Idham Ismail, Syafiq Zulakifli, Faisal Mat Zawi, Hisyam Ahmad, Iwan Reaz, Hannan Rusli, Hans Hanis, Thaaqhib Mohammed dan ramai lagi sahabat seangkatan seperjuangan.

Terima kasih juga buat Sdr Fazallah Pit dan warga kerja Selangorkini yang berjaya menganjurkan anugerah HSS 2018 termasuk para juri yang sudi memilih tulisan saya.

Tidak dilupakan juga, Saudara Daniyal Kadir, pengendali portal KakiSinema atas siaran tulisan ini di portal KS melalui [KLIK]

Terutama juga, terima kasih banyak Sdr Nam Ron dan Bront Palarae serta seluruh team produksi #OneTwoJaga kerana tanpa kalian, tulisan ini juga satu kemustahilan.

Di akhir - sekali lagi, saya mohon doa kalian agar saya terus istiqamah; menulis hal-hal baik dengan terbaik.

Allahumma ameen.

Ikhlas,
Za'im Yusoff
4 Disember 2018
12:53 pagi

---

11 SLAID BAGI ARTIKEL JENTIKAN SEMIOTIK SINEMA ONE TWO JAGA (2018)












31 HALAMAN CONTENGAN CAKAR AYAM DALAM MENGHASILKAN ESEI INI































2 comments:

  1. Salam Zaim.

    Baru berkesempatan baca eseinya di Selangorkini. Justeru, nak ucap tahniah kerana eseinya memang bagus! Salam sinema.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam WBT Karim,

      Terima kasih banyak atas penilaian dan sokongan itu. Doakan saya istiqamah dalam menghasilkan tulisan-tulisan yang bagus, ya.

      Salam sinema, kembali! :)

      Delete

Sebarkan Manfaatnya! :)