Artikel Wacana

Friday, May 19, 2017

Secuplik Lagi Dan Lagi Tentang Malam Persembunyian

Pilihan. Setiap saat kita memilih. Untuk diri, sama ada mahu tidur atau jaga. Untuk keluarga, sediakan sarapan atau beli di luar sahaja. Kita memilih dengan berkeputusan. Dari keputusan, kita menjemput kesan. Kesan daripada pilihan inilah menentukan maju mundur, tinggi rendah, naik turun diri kita.


Dalam kalangan ahli sufi, pertimbangan ini disimpulkan dalam kefahaman martabat. Martabat sama ada darajat atau darakat. Darajat menaik. Darakat menurun. Mudah difahami dengan iman menaik, iman menurun. 

Darajat itu sukar, darakat lebih longgar, seperti huruf jim (daraJAt) yang lebih kuat bunyinya (syiddah) berbanding huruf kaf (daraKAt) yang lebih lemah. Darihal itu, memilih untuk meniti jalan darajat menaik jauh lebih sukar berbanding memilih untuk menurun dengan jalan darakat.

Destinasi perjalanan ini ialah pengetahuan, kefahaman seraya pengalaman sempurna dalam kerohanian. Yang dipanggil sebagai ma'rifah. Mengenali seraya menyaksikan punca segalanya dengan sepenuhnya. Itulah Tuhan. Itulah Allah. Jalla wa 'Alaa.

Darihal itu, pilihan yang kita pilih berkadar antara menjulangkan atau menjatuhkan martabat kita dalam perjalanan mencapai kesempurnaan rohani itu tadi. 

Hal ini sulit tetapi tidak mustahil. Misalnya, nilai pilihan antara seorang yang sihat dengan seorang sakit untuk menjamah makanan berkhasiat, nilaiannya berbeda. Lebih besar kesannya kepada yang sakit berbanding yang sihat. 

Begitu juga keputusan untuk seorang budak berkelahi dengan rakan budaknya boleh dipandang remeh akan kesan pilihannya berbanding apabila seorang selebriti berkeputusan untuk menumbuklempangkan selebriti yang lain, boleh dianggap lekeh pula.

Apatah lagi, apabila seorang calon kuasawan yang berkeriskan tarbiyyah berdestarkan dakwah bercapalkan siasah memilih untuk bersandar pada tiang undang-undang berbanding menggunakan logik hujah, seni seruan, akhlak mahmudah dan kedalaman fahaman dalam menyanggah apa yang dilihatnya sebagai dakyah daripada seorang kuasawan berpengaruh yang lain.

Nilai pilihan menunjukkan pencapaian martabat - antara darajat menaik atau darakat menurun seseorang dalam perjalanan kerohaniannya. 

Di sini, puisi Sajak Kepada Pengebom Berani Mati dalam #MalamPersembunyian tulisan Faisal Mat Zawi (Kata-Pilar Books, 2017) menggetarkan kesedaran kita lagi.


Sajak ini terus dan telus pada maknanya, kekuatannya bermula dengan nada sederhana mengikut arus naratif perspektif suara kata ganti diri kedua mempersoalkan gerak-geri persona sang pengebom mati secara emosi dan intelektual. 

Emosi dipersoalkan dengan bahasa bernada berpadanan dengan tujahan makna bagi menggelodarkan logik rasional pilihan-pilihan yang dipersembahkan oleh persona sang pengebom mati terhadap mangsa-mangsa pilihannya yang terkorban dek corak pegangan persona atas pengetahuan, kefahaman dan pengamalan agamanya. 

Hal ini tidak perlu saya panjangkan, sesiapa pun dalam kalangan penikmat puisi hatta yang baru bermula bisa mencicip manis pedasnya jeruk masam juadah enak anak didik alam Bangalore ini.

Bagaimana saudara
naik ke sidratul muntaha
dengan menggenggam
picu bahan letupan
berdiri di depan tuhan
dalam genangan darah
orang-orang tidak bersalah.

"Naik ke sidratul muntaha", "berdiri di depan tuhan" adalah sangkaan persona bahawa telah dibuatnya pilihan darajat namun digelitarkan dengan persoalan pilihan darakat pada diksi "dalam genangan darah / orang-orang tidak bersalah". Menimbulkan bidasan yang tuntas dan jelas.

Tradisi pengetahuan beragama seberapa magis dan aneh sekalipun, bukanlah pokok ajaran agama yang benar kerana mana bisa Tuhan Maha Menciptakan itu menyusun sesebuah ajaran dengan hal-hal di luar keupayaan para hambanya yang berteraskan tunjang akal fikiran dan akar nurani hati yang mampu menaakul bukan sahaja secara emosi malah intelektual sekalipun. 

Hal-hal magis ada, tidak ternafi tetapi bukan hujah utama dan pokok lantaran subjektifnya hal ini untuk dinalarkan; ada diskusi khusus dalam hal ini. Maka, apa perlu gentar saat penganut agama lain mengetengahkan pengalaman magis menurut acuan kepercayaannya?

Darihal itu, adalah sesuatu yang pelik malah jelek, saat kita yang dikatakan intelek memilih jalan singkat seperti senjata dan undang-undang berbanding ilmu di dada dan akhlak wacana terpampang. Apakah beza seorang intelek ini dengan persona sang pengebom mati?

Tambah memualkan, memilih untuk memancarkan cahaya picu senapang mahupun memilih untuk menyinarkan cahaya paranoid di belakang undang-undang, apakah boleh dikatakan sebagai cahaya Illahi yang ingin ditajallikan?

waktu saudara menjerkah
nama-Nya yang mulia suci
itulah kali pertama barangkali
tukang jaga kaunter di Brussel
atau pelancong yahudi di Taksim 
mendengarnya dengan telinga sendiri
tapi mereka tak sempat bertanya lebih lanjut 
letupan dari tubuh saudara bikin mereka tuli 
silauan cahaya membutakan mata
sebelum mereka mati
tapi saudara, itu bukan cahaya ilahi.

Kemuncak sajak adalah di hujung saat rangkap terakhirnya menyentakkan kita dengan suatu alegori yang sadis, sinis dan punya magis tersendiri dalam menghiris segala pengetahuan, kefahaman seraya pengalaman agama yang songsang lagi ironis yang dipegangtatangkan oleh persona sang pengebom mati yang tragis.

Bagaimanakah saudara
masuk berjumpa tuhan
meninggalkan mereka
menyorokkan kunci dalam saku baju
sedang rumah tuhan tak berpintu.

Persona sang pengebom mati malah sesiapa sahaja yang memilih jalan yang disangkanya darajat tetapi darakat semata-mata ini disimpulkan dengan hakikat apakah tercapainya matlamat "dakwah" yang sebenar. 

Teringat kita kepada dialog hikmah seorang Ahlillah kepada seorang anak muda yang radikal.

"Apakah dibolehkan untuk dibom sebuah kelab malam dalam sebuah negara majoriti penduduknya beragama Islam?"

"Harus, ya Syeikh"

"Ketika mereka bermaksiat lantas mereka dibom, di akhirat nanti di manakah mereka akan ditempatkan?"

"Neraka, ya Syeikh"

"Maka, apa beza kamu dengan syaitan? 
Kedua-kedua kalian menghantar hamba-hambaNya ke neraka?"

Teringat kita, saat seorang jenazah Yahudi ditatang di hadapan Baginda Nabi solla Allahu alaihi wa aalihi wassalam, Baginda Nabi menangis. Ditanyakan perihal tangisan Baginda Nabi. Dijawab Baginda Nabi yang mulia,

"Satu roh telah meninggalkan aku 
dan menuju ke neraka."

Rumah Tuhan tidak pernah berpintu. Syurga Tuhan sememangnya terbuka. Kita yang mengada-adakan cerita, RumahNya ada kunci di mana akulah satu-satunya pemegang kunci. Melalui aku, menerusi aku sambil mulut, tangan dan kaki kalian digari, tanpa perlu sebarang kenyataan lagi.

Meminjam kata-kata Hazman Baharom dalam statusnya :

Sebenarnya dalam isu Kamarul vs Hannah Yeoh, sepatutnya kedua-dua pihak jangan bawa kepada polis atau pihak berkuasa di bawah autoriti kekuasaan (the state). Sepanjang sejarah, dalam hal sebegini, institusi negara - seperti polis, mahkamah, kerajaan, dsb - pasti (nota : saya lebih gemar menyatakan, lebih besar cenderung untuk) akan zalim kerana ia juga punya herotan (bias) tersendiri.

Memetik Deborah Lipstadt dalam filem Denial (2016) ketika buku beliau tentang peristiwa Holocaust diadili di mahkamah di London, "the court of law is a lousy place to judge historical truth," maka begitulah juga "the court of law is a lousy place to judge theological truth."

Bullet Shah rahimahullahutaala, penyair besar Punjabi Sufi Muslim pernah bermadah :

Runtuhkanlah masjid
runtuhkanlah biara
runtuhkanlah segala
yang ditangkap pandangan.

Namun, jangan runtuhkan
hati-hati insan
kerana di situlah tempat
tinggalnya Tuhan.

Jalan yang kita pilih biarlah senantiasa darajat sifatnya, mudah-mudahan - walau betapa sukar. Mohon perlindunganNya daripada memilih denai darakat yang merosakkan walau betapa longgar.

Wallahu'alam

Za'im Yusoff
19 Mei 2017
5.33 pagi

Friday, May 5, 2017

Secuplik Tentang Malam Persembunyian

(Rating Peribadi :10/10)

Dikhabarkan seorang wali Allah, keluar dari rumah sewaktu salju-salju putih mula melayah, ke kiri dan belakangnya. Tiba-tiba, dia pengsan. Sewaktu dirinya sedar, ditanyakan mengapa Tuan sampai boleh pengsan? Balasnya, sungguh aku benar-benar melihat kitab-kitab amalku sedang mengejarku dari kiri dan belakang. 

Begitulah keperihalan mereka yang dianugerahkan pengamatan mata hati yang terang. Hal ini tidak terkecuali dianugerahkan juga kepada para pendendang puisi dengan pengamatan yang begitu menggegarkan hati. Hal inilah antara diketemukan dalam Malam Persembunyian tulisan Faisal Mat Zawi (Kata-Pilar, 2017).

Sajak Kepada Tuhan (20)

Bulan sudah hampir ke purnama
tapi cinta, hai aku di mana

aku seperti dahaga di tengah lautan-Mu
semakin aku minum cinta-Mu
semakin aku dahaga kepada-Mu

ataukah aku seperti ikan di dalamnya
tetaplah hati aku tawar selamanya.

Bangalore, Jun 2015

Benar, rangkap kedua itu rangkap yang acapkali kedengaran misalnya dalam lirik Antara Dua Cinta nukilan Ustaz Pahrol Juoi nyanyian Raihan pada bait - Dunia ibarat air laut / Diminum hanya menambah haus.

Namun, rangkap yang biasa kedengaran ini diapit oleh dua rangkap yang cukup menjerut kekalutan hati, tersentak dengan rentakannya yang ternyata menggenangkan sejumlah keinsafan yang lama membeku. 

Mari bayangkan diri ini di tengah lautan kehidupan. Telah diperkenalkan kepada kita oleh Allah Jalla wa ‘Ala melalui sekalian guru tentang hakikat Muhammadiyyah, yang sinarnya begitu cerlang seperti bulan cemerlang di tengah kegelapan langit yang terentang. 

Bukankah semakin mengenali Baginda al-Habib ar-Rasul solla Allahu ‘alaihi wa aalihi wassalam, semakin mata kita dapat melihat hakikat hebatnya wajah Bulan Baginda itu. 

Sebenarnya Bulan itu sudah sedemikian purnama; namun langit hati kita yang terhijab secara berdikit-dikit terselak dengan tarbiyyah para mursyid hingga pada mata singkat kita terpampang pergerakan bulan dari anak kepada sabitnya, kemudian kepada separa hingga menghampiri purnama. 

Namun, begitulah bolak-balik nafsu, jungkir-mungkir hati insan seringkali membuatkan diri tertanya-tanya – dalam keadaan diri dibentangkan hakikat Muhamadiyyah berkenaan, di manakah diri ini sebenar-benarnya.

Bulan sudah hampir ke purnama
tapi cinta, hai aku di mana


Rangkap kedua perihal harapan, begitu hati mahu menjadi seperti sekalian ahli makrifat di mana semakin mereka mencintaiNya, semakin bertambah kecintaannya; seperti perihal dahaga yang bertambah pada kadar lautan rindu yang menyinggahi kerongkong batini. 

Namun, rangkap ketiga benar-benar sesuatu yang menampar dengan begitu segah dan segar.

ataukah aku seperti ikan di dalamnya
tetaplah hati aku tawar selamanya.

Ya, para ahli hikmah pernah berpesan – jadilah seperti ikan, meski lautan sekelilingnya masin, dirinya tidak masin. Moralnya, berpegang teguhlah pada pendirian agar akar aqidah tidak pernah sesekali berubah. Benar, tiada salah pesanan itu. Namun, Faisal memberikan keterbalikan alegori yang baru. 

Lontar Faisal, bagaimana kalau dikatakan lautan yang diibaratkan sebagai kehidupan itu segala-galanya adalah perantaraan alat kita mengecap rasa enak kecintaan padaNya? 

Bukankah kemasinan itu dalam Ahmad Albab (AR Tompel & P. Ramlee, 1968) menjadi punca amarahnya Mashood pada anaknya, Mastura yang sengaja membiarkan persembahan hidangan hari lahir ayahandanya itu tiada enak lantaran tiada garam diletak. 

Itulah tamsilan nikmatnya cinta Mastura kepada ayahandanya Mashood. Seperti garam dalam makanan. Kemasinan itulah yang menjadikan makanan enak dimakan, sedap dinikmati. 

Begitulah andai difahami kemasinan lautan sebagai keenakan di saat segala-gala dalam kehidupan itu tidak lain tidak bukan semata-mata tanda-tanda kebesaranNya; semata-mata jalan menikmati “masin” cintaNya; lantas mengapa diri kita ini tidak terasa kemasinannya? 

Begitukah tawar diri kita seperti ikan dalam lautan yang tidak terkesan langsung dengan enaknya masin laut? 

Begitukah keras hati kita dalam diri ini sekalipun hidup kita dikelilingi lautan tanda-tanda asbab menuju cintaNya?

ataukah KITA seperti ikan di dalamnya
tetaplah hati KITA tawar selamanya.

Jujur, selepas Dondang Pembukaan tulisan Muhammad Lutfi Ishak, Malam Persembunyian adalah antara kumpulan puisi – sampai kapan pun aku tidak akan pernah letih dan lelah membicarakannya.

Alhamdulillah.

*Dapatkan Malam Persembunyian di reruai Kata-Pilar Books, hanya di Tingkat 4, PWTC bersempena #PBAKL2017

Saturday, March 25, 2017

Ngomelan Terhadap Ngomelan Melayu, Kenapa Kau Nak Jadi Arab?

*Artikel ini asalnya disiarkan di Rencana, Malaysian Insider, 27 Julai 2014 kemudian diterbitkan semula di Selangorkini [KLIK]

Air setitik nak jadi laut, beras sekepal nak jadi gunung. Peribahasa nenek moyang ini tengiang-ngiang di cecuping usai membaca sudut pandang di laman sesawang Astro Awani, “Melayu, kenapa kau nak jadi Arab?” [KLIK]

Penulis mempersoalkan mengapa kita, khususnya penutur Bahasa Melayu yang rata-rata bangsa Melayu, tidak menggunakan (atau lebih tepat, mempopularkan) perkataan “Sungkai” bagi memaksudkan sesi berbuka puasa berbanding “Iftar” yang merupakan perkataan (lebih tepat kata serapan) daripada Bahasa Arab.

Beliau tertanya-tanya sampai habis sepurnama bulan puasa, menantikan jawapan bagai pungguk rindukan bulan sehingga dirasakan jawapannya mustahil muncul lagak kucing bertanduk. Walhal, jawapannya sudahkan terang lagi bersuluh.

Iftar juga merupakan kosa kata yang diiktiraf sejak sekian lama di dalam Kamus Dewan Bahasa Pustaka. Adapun sungkai, kosa kata itu meski turut sama wujud dalam kamus itu, ternyata agak langka penggunaannya.

Oleh itu, terima kasih buat saudara penulis, mudah-mudahan dengan ngomelan Tuan, ada juga penganjur majlis berbuka puasa enam nanti akan mengundang anda dan saya ke Majlis Sungkai bersama anak-anak yatim.

Anda juga boleh bertemu dengan kosa kata sedekah, infak, solat dan hijab di dalam kamus autoritatif yang sama tanpa perlu bersusah payah berfikir dan bertanya seperti kodok ditimpa kemarau.

Kalau pun hendak protes, sepatutnya protes ini sudah lama berlaku sebelum hampir dua ke tiga ribu kosa kata serapan berasal daripada Arab itu dimuktamadkan ke dalam kitab perkamusan Melayu.

Malah perkataan solat yang diungkit, hanyalah warisan nenek moyang zaman-berzaman untuk membezakan perbuatan sembah Hyang, yakni dewa-dewa dan roh-roh yang dipuja kaum aminisme nusantara sebaliknya kosa kata solat terus bermakna menyembah Allah Zuljalal yang maha tunggal.

Begitu juga hijab yang lebih luas makna daripada tudung, digunakan orang untuk memastikan tudung bukan dipakai sekadar syarat, tetapi tudung itu benar-benar menghijabkan aurat.

ISU BASI

Sebenarnya isu ngomelan sesetengah daripada warga kita tentang keperihalan kosa kata Arab yang kemudian diheretkan sekali budaya pemakaian seperti jubah dan serban sudah berlarutan sejak zaman putung berasap dan sifatnya tidak habis-habis seperti seruas tebu yang berulat, sebatangnya dibuang.

Seingat ingatan berbaki, Tan Sri Dr. Rais Yatim turut mengungkitkan hal ini sedekad yang lampau dengan seruan hentikan mengarabkan kebudayaan Melayu.

Sedangkan serasa angkatan ini keliru, antara Arab dan Islam yang mana kebanyakan daripada pengamalan yang dikatakan diambil dari budaya Arab adalah berasal daripada ambilan pandangan ulama’ yang menyabitkan jubah dan serban sebagai pakaian Rasulullah sekaligus merupakan sunnah serta berpahala diikuti dengan syarat ia menambahkan kasih dan kepatuhan terhadap ajaran baginda.

Malah, kemunculan bondongan dan pusuan insan berjubah dan berhijab tidak pula mengurangkan jualan baju raya hijau zamrud Aaron Aziz dan biru lapis lazuli Zizan Razak yang terlajak laris amatlah banyak.

Atau sebenarnya mereka ini protes dengan kecelikan budaya beragama yang semakin mendapat tempat dalam kalangan umat Islam Melayu Malaysia marcapada sehinggakan para selebriti juga turut sama mempromosikan bernuansakan Islam? Telunjuk lurus kelingking berkait nampaknya.

Sebenarnya, isu menggunakan kosa kata Arab ke dalam Bahasa Melayu tidaklah sebaru Revolusi Iran dekat 80-an berkenaan, malah ia sudah bermula sejak abad ke-13 lagi sejak penemuan batu bersurat Terengganu, saat Islam berkampung di Tanah Melayu.

Rujuklah buah fikiran sarjana Melayu, Prof YM Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu yang menghuraikan hal ini berbabad-babad lagaknya.

Malah, kalau dikatakan hanya kerana menggunakan kosa kata Arab dalam Bahasa Melayu, kita nak jadi Arab; rasanya Melayu bukan sekadar nak jadi Arab, kita juga mahu sebangsa dengan penutur Sanskrit, Jepun, Portugis, Parsi malah Cina, Tamil dan Hindi kerana jumlah kata serapan daripada mereka boleh tahan tinggi jumlahnya.

Walhasil, jangan jadi seperti kerbau pembulang tali, saudara.

Terkadang terasa lucu saat kita cemburu akan bahasa lain diserapkan dalam bahasa kita semisal orang yang sudah lama berkahwin tiba-tiba mempersoal kenapa perlu menyara si anak. Sedangkan kemunculan konsep kata serapan sebeginilah menjadikan bahasa kita lebih utuh dan teguh, berdiri sama tinggi, menyelam sama dalam dengan lautan makna bahasa-bahasa perbadaban insan yang tinggi mercunya.

Kalau hendak bercakap tentang penghakisan budaya Melayu, seyugianya kita juga harus lemparkan persoalan di mana perabung dan anjung rumah Melayu di taman-taman para pemaju, di mana tulisan jawi di dada-dada media masani hinggakan beras dimakan hari-hari itupun diimport dari seberang? Hakikatnya, tidak ada padi yang bernas setangkai.  

Dengan sinikal sebegini guntur, mungkin saja saudara penulis ini sekadar “troll”. Apapun kalau telahan saya ini tidak betul, rasanya kita perlu memperbanyakkan baca seiring dan seimbang dengan memperbanyakkan tanya.

Jujur, bahasa selamanya alat. Akhirnya, penggunalah yang menentukan takat mudarat dan manfaatnya.

Bahasa Jiwa Bangsa. Selamat Hari Raya!

Mohon ampun luaran dan dalaman.

Muhammad Za’im Mohamad Yusoff
Kampung Pisang, Cherok To’kun Atas

Wednesday, March 22, 2017

Pengkaryaan & Tujuan Kritikan Sosial oleh Pengarangnya


"Sama ada filem atau novel, kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk melakukan kritik sosial"

Kenyataan sebegini sedikit bermasalah. Sewajarnya lebih tepat jika berbunyi, 

"Sama ada filem atau novel, kedua-duanya boleh digunakan sebagai salah satu medium untuk seseorang melakukan kritik sosial."

Apa bezanya? Bezanya terletak pada kefahaman terhadap realiti sesuatu. 

Hakikatnya, kita tahu memang ada filem atau novel yang tujuannya hanya untuk bercerita. Kadang-kadang memang tidak ada kritik sosial malah nilai dan pengajaran langsung. Selagi ia memenuhi takrif filem dan novel, maka ia tetap sebuah filem, ia tetap sebuah novel.

Sebaliknya dengan menyatakan tujuan filem dan novel adalah untuk melakukan kritik sosial secara jelasnya menyatakan bahawa filem dan novel yang tidak melakukan kritik sosial bukan sebuah filem, bukan sebuah novel.

Malah dengan menyatakan bahawa filem ini novel itu kritik sosial, menunjukkan bahawa ada filem dan novel yang bukan kritik sosial. Kerana jika wajib filem dan novel itu kritik sosial, apa perlu menggandakan sifat kepada sesuatu yang merupakan dirinya? 

Lantas, kenyataan di atas akan tujuan filem dan novel wajib kritik sosial ialah satu falasi yang terang dan nyata.

Hal sebegini mustahak dalam konteks kita sebagai penulis meletakkan hak sesuatu pada tempatnya, bermula dari menjelaskan takrif sesuatu dengan jelas secara jami' dan mani'; segala erti yang berkaitan selesai dimasukkan, segala erti yang tidak berkaitan selesai dikeluarkan. Takrif menjadi pagar menjelaskan hakikat sesuatu dengan tepat dan tuntas.


Di sini, kecerdikan sahabat semisal Sayyiduna Hassan Ibn Thabit radhiyaAllahu'anhu terserlah ketika beliau bermadah, menerangkan apakah syair (puisi) sebenarnya?

"Sungguh, hanyasanya syair itu persembahan minda seseorang
Dalam majlis-majlis kebijaksanaan mahupun kebodohan
Dan sebaik-baik rangkap syair yang engkau dondangkan (ialah)
Rangkap syair yang mendondangkan semata-mata kebenaran"

Sayyiduna Hassan jelas tidak menafikan bahawa ada syair yang digunakan untuk menyatakan kepalsuan. Malah, syair yang didondangkan untuk mempamerkan kebodohan semisal pengampuan terlampau terhadap tokoh berkasta nilai diri yang rendah tetap dikatakan sebagai sebuah syair kerana asasnya rangkap-rangkap itu tetap memenuhi takrif sebuah syair.

Yang membezakan antara syair-syair itu ialah kedudukan syair itu, sama ada ia bernilai tinggi atau rendah, berdarjat mulia atau hina. Maka, ketinggian atau kerendahan, kemuliaan atau kehinaan sesebuah seni tidak menjadikannya keluar dari takrif subjek seni itu selagi mana ia memenuhi takrif seni berkenaan.

Mudahan kita terus berlaku adil dan cermat dalam menulis. Mohon bimbingan dan teguran semua.

Wallahualam.

Selamat Hari Puisi : Puisi Atas Neraca Amal

*Catatan sempena Hari Puisi Sedunia, 21 Mac*

Penyusun kata-kata
mencari kata 
dalam kamus.

Penyair sejati
mencari kata 
daripada pengalaman.

Pesanan ringkas melalui twitter Abang Muhammad Lutfi Ishak ini seperti das-das tembakan menembak sekaligus menabrak lubuk ketidaksedaran hati yang penuh daki kemahsyuran jadi-jadian hanya kerana mendapat sedikit perhatian dunia atas puisi-puisi picisan yang pernah dihasilkan. Tuntasnya, pesanan ini mengujarkan bahawa hanya mereka yang mengalami sahaja, layak merakamkan pengalaman itu dengan menggunakan kata-kata. 


Hari ini, di mana semua orang mahu bercakap tentang semua benda memandangkan semua tempat menyediakan ruang dan peluang tidak terbatas untuk bercakap tentang apa-apa sahaja, bila-bila sahaja, di mana-mana jua; kita seringkali terhijab tentang satu persoalan. 

Apa kita fikir apa-apa yang kita ucapkan itu tidak akan ditimbang atas neraca amal sekalipun kita tahu, kita tidak betul-betul mengalami pengalaman sampai ke tahap kita layak bercakap?

Ahli-ahli hikmah pernah mengibaratkan mulut itu seharusnya punya tiga penjaga pintu. Sesuatu yang ingin diucapkan harus dinilai dengan tiga persoalan. 

Apakah sesuatu itu benar?
Apakah sesuatu itu baik?
Apakah sesuatu itu perlu?


Jika ia benar, baik dan perlu; ucapkanlah. Kerana itulah penghujahan balas atas nilaian neraca amal nanti. Jika tidak, tahanlah. Kerana dengan menahan diri daripada bercakap tentang sesuatu yang tidak benar, tidak baik dan tidak perlu adalah satu sunnah tersendiri.


إملاء الخير خير من السكوت
والسكوت خير من إملاء الشر

Berkata baik lebih baik daripada diam
Diam pula lebih baik daripada berkata buruk
(Riwayat al-Baihaqi)

Begitu juga dengan puisi.

Apakah puisi kita benar?
Apakah puisi kita baik?
Apakah puisi kita perlu?

Jika ia benar, baik dan perlu; tintakanlah. Jika tidak, bersedialah dengan sebarang penilaian atas neraca amal. Bukankah puisi juga merupakan sejenis kata-kata yang akan dinilai juga akhirnya?

Soalnya, bagaimana kita tahu sesuatu itu benar, baik dan perlu? 

Tidak lain tidak bukan, dengan melalui denai-denai pengalaman yang pasti. Pengalaman menuntut ilmu secara jelas (bukan ringkas dan tuntas). Pengalaman memahami sesuatu dengan kerangka yang betul dan tepat (bukan biul dan jalannya sekerat-sekerat).

Selaku orang-orang yang dikatakan tidak ketinggalan zaman, sewajarnya kita maklum bahawa berkata-kata tidak mewajibkan kehadiran getaran suara. Kata-kata ialah pengisytiharaan hati melalui apa juga medium termasuk puisi, buku mahupun FB. 

Getaran suara hanyalah salah satu daripada ribuan pengantara. Darihal itu, jika getaran itu sendiri pengantara, bagaimana mungkin getaran bisa menjadi Tuhan. Oh ya, melainkan kalian mempunyai pengertian yang berlainan tentang maksud Tuhan. Justeru, berlainanlah Tuhan kalian dengan Tuhan yang kami sembah. Lantaran Tuhan yang kami sembah dengan penuh pengertian hanyasanya Allah.

Allah yang akan menilai kata-kata itu nanti. 
Allah yang akan menilai puisi-puisi itu nanti. 
Suka atau tidak, hal ini - pasti.

Allahul musta'an 'ala maa yaquulun.
Allahul musta'an 'ala maa yaktubun.
Allahu akbar, sallimnaa fil mahsyar.

Friday, March 17, 2017

Promosi "I Lap U" - RM15 termasuk pos laju

Ada rakan-rakan yang bertanya tentang Kumpulan Puisi pertama saya, I Lap U. Masih ada stok. RM15 sahaja termasuk pos laju. Kepada yang berminat, bolehlah WhatsApp 019 769 7890 atau e-mail zaimyusoff@gmail.com untuk mendapatkannya. Terima kasih atas sokongan!

Diperturunkan ulasan I Lap U oleh Karl Agan

Pautan asal : [KLIK]

Ulasan Buku : "I Lap U" oleh Za'im Yusoff
Beberapa minggu lepas, saudara Za'im Yusoff menghubungi saya bertanyakan alamat agar dia dapat mengirimkan naskah "I Lap U" kepada saya. Agaknya cubaan pertama menghantar buku tersebut tidak ditakdirkan terjadi lalu ia dikembalikan semula oleh pihak pos kepada penulisnya. Seminggu kemudian, buku ini akhirnya saya terima dengan selamat.

Lazimnya, saya menulis ulasan pendek dan bersahaja tentang sebuah buku di laman Goodreads, namun saya terpanggil untuk menulis ulasan yang lebih panjang dan (sedikit) teliti setelah menghabiskan bacaan buku ini dalam tempoh semalaman. Bukanlah bermakna buku-buku yang diulas secara ringkas mahupun yang langsung tidak diulas itu tidak bagus namun ada waktunya, sebuah perjalanan dan pengalaman membaca naskah itu tidak mampu dirakam dengan cara bertulis tetapi hanya mampu dirasakan sebagai getar dalam momen perjalanan membacanya.

Buku I Lap U bermula dengan beberapa catatan yang ditulis oleh beberapa rakan pembaca lain, yang rata-ratanya menulis tentang pengalaman mereka menyusuri denai-denai yang ada dalam buku ini. Saya memilih untuk melangkaui beberapa mukasurat catatan ini kerana pada pendapat saya, membaca review sebelum membaca karya itu sendiri sedikit sebanyak mengganggu perjalanan membaca serta menghadirkan sebuah harapan dan pandangan yang tercipta sebelum waktunya. Ibarat melancong ke sebuah negara dan menerokai tempat-tempatnya hanya dengan berdasarkan saranan Tripadvisor. Ini bukan hal yang utama namun setiap pembaca ada cara tersendiri bila menerokai mukasurat dalam sebuah buku.

Hari ini pembaca disajikan dengan puisi-puisi bersifat "pop" yang ditulis ramai penulis mutakhir. Namun apakah puisi pop bermakna sebuah puisi itu seolah-olah dibebaskan dari kekangan nada, rima, metafora dan elemen-elemen lain yang menjadi asas puisi? Sudah tentu tidak. Puisi pop adalah tentang kreativiti dan idea-idea yang hadir untuk mencabar tradisi puisi.

Membaca tulisan Za'im Yusoff dalam buku ini, sesekali saya tersenyum membaca baris-baris katanya. Betapa penulis ini masih ligat menjalinkan metafora dalam puisi-puisinya yang bersifat kontemporari serta berusaha untuk membebaskan diri dari klise yang sering hadir dalam puisi pop, tidak pula terikat dengan klise yang sering ada dalam puisi-puisi arus perdana.

Dalam buku ini, Za'im mendekati tema-tema yang bersifat melankolik, penuh dengan suasana percintaan. Membaca puisi-puisi bertemakan cinta, lazimnya pembaca akan mengaitkan persoalan-persoalan yang ada dalam karya sebegini sebagai suatu pemerhatian terhadap dua individu lelaki dan perempuan, yang sedang bercinta. Tidak dinafikan kebanyakan puisi dalam buku ini sememangnya melihat ke arah itu namun Za'im masih tidak lupa bahawa cinta bukan sahaja dimiliki oleh sepasang kekasih malah berasal dari pengalaman rohani dan cinta kepada Pencipta. Za'im menggambarkan suasana ini dalam puisi bertajuk Nota Cinta;
Tetapi rasa cinta yang Tuhan beri
ialah jalan untuk kita hargai
kewujudan Tuhan.
Agar kita sedar, Tuhan itu
sebaik-baik pergantungan
dalam apa jua hal.
Malah, hal-hal
yang melangkaui
-cinta. 
Saya setuju dengan kata-kata Hairul Anuar Harun dalam ulasan pendeknya tentang buku ini. Rojak kata yang ditemui dalam sebilangan puisi-puisi Za'im ini barangkali tidak disenangi para sarjana sastera yang mengutamakan tradisi puisi yang lazim. Sungguhpun Za'im menghidangkan beberapa pinggan kecil rojak, ia tetap terasa sedap di lidah pembaca. Za'im menghidangkan rojak kata bukan sebagai alternatif atau gaya/teknik baru dalam penulisannya. Za'im sememangnya berniat dari awal lagi untuk menggauli puisinya dengan rojak kata dengan alasan rojak kata ini hadir bersama makna serta tugasnya yang tersendiri dalam mendirikan puisi-puisinya.

Jika saya harus memilih puisi mana yang menjadi personal favourite, saya akan segera memilih puisi bertajuk Piano Hayat. Dalam puisi ini, Za'im memperlihatkan kebolehannya membuat perlambangan dalam puisi dengan cara melambangkan kunci-kunci piano yang berwarna hitam putih itu sebagai suka dan duka dalam sebuah hubungan cinta;
Nota putih itu
kenangan manis,
nota hitam itu
tragedi tragis.
Sememangnya pengalaman bercinta sepasang kekasih tidak terlepas dari emosi dan perasaan bahagia serta gundah. Tidak keterlaluan untuk mengatakan hubungan cinta sememangnya ditakdirkan untuk berlangsung seperti cuaca, cerah di waktu pagi hingga ke waktu petang, di hari lainnya, kadang-kala hujan tiba-tiba di waktu tengahari. Za'im mencatat pengalaman ini dalam rangkap seterusnya;
Lantas, Cinta
pernahkan kau dengar lagu
di mana kedua nota itu
tidak pernah bersatu?
Mengamati gaya serta cara penglihatan Za'im dalam menghasilkan puisi-puisi dalam buku ini, pembaca pasti akan melihat betapa penulisnya seorang yang berusaha untuk mempelbagaikan gaya serta teknik menulis puisi. Puisi Cerita Bawah Bulan dan Mansion De L'Amour misalnya, adalah sebuah usaha merakam pengalaman penulis dalam bentuk kata dan visual. Sungguhpun teknik puisi visual bukanlah sebuah teknik yang baru dalam dunia penulisan puisi, usaha Za'im untuk mencuba teknik ini tetap harus diberi pujian, setelah melihat perkembangan teknik penulisan puisi mutakhir yang kelihatan agak mendatar dan kurang rancak.

Seorang penulis puisi yang baik adalah seorang individu yang sentiasa bekerja keras untuk menerokai segala kemungkinan yang boleh berlaku dalam penulisannya, dan tidak takut serta penat untuk meluangkan masanya menghadapi kata serta makna yang selalu gelisah. Saya senang melihat Za'im begitu tekun mencatat nota kaki yang menerangkan makna kata-kata tertentu yang digunakan dalam sebilangan puisinya. Betapa penulis ini ingin sekali pembacanya menyusuri denai-denai puisinya dengan perasaan aman, tanpa perlu merujuk kamus bahasa sebagai papan tanda.

Buku I Lap U adalah sebuah buku yang dilumuri tekad serta usaha penulisnya untuk terlibat secara serius dalam bidang penulisan. Sebuah usaha yang seharusnya menggelisahkan penulis-penulis mapan, dan pada waktu yang sama, sebagai seruan persaingan kepada penulis-penulis baru bahawa menulis puisi ibarat berada dalam sebuah kota yang tidak pernah tidur malah sentiasa hingar dengan ketikan papan kekunci. Tahniah kepada Za'im Yusoff atas usaha yang baik ini.

Tuesday, March 14, 2017

Ulasan/Review Filem : Adiwiraku (2017) - Raw That Is Pure!

Abioso dalam MLM minggu lepas ada mengemukakan punchline yang menarik,

"Sekarang, cikgu mahu beri kamu semua ujian"
"Cikgu, tidak cukupkah ujian kehidupan yang kami hadapi"

Cia cia cia. 

Dalam Adiwiraku, ia bukan sebuah jenaka. Adiwiraku (2017) ialah perwakilan kisah-kisah ujian benar kelompok sederhana rendah terbanyak yang menghuni kawasan-kawasan separa bandar dan luar bandar negara kita Malaysia tercinta. Yang terkesan bagi Adiwiraku dari lensa saya, tidak lain tidak bukan - diri filem itu yang raw that is pure.

Dari segi pembikinannya, mungkin kita mahukan Laskar Pelangi (2008) atau Entre Les Murs (2008) versi lokal mahupun sekali lagi, Baginda (1997); namun Adiwiraku (2017) seperti juga kedudukan pasukan choral speaking SMK Pinang Tunggal dalam naskhah ini, bukan mahu menjadi filem yang terbagus dan dirujuk sepanjang zaman; namun cukuplah premis ini sejujur-jujurnya mahu bercerita tentang kisah anak-anak yang tidak pernah mendapat tempat dalam masyarakat, malah tempat dalam diri mereka sendiri yang dipalit dengan seribu kegugupan dan rasa rendah diri yang tak bertepi. Wajah tidak dapat menipu, dan saya menyaksikan hal itu terpencar begitu benar pada ranah wajah Aliya dan khususnya, Kemboja. Gadis-gadis sunti desa yang gementar menyembunyikan getar rahsia ketabahan di balik kerudung putih mereka yang malu, segan dan sendu. 

Malah, Cikgu Cheryl yang pada asalnya mahukan semua pelajarnya mencintai buku seperti dirinya, akhirnya berhadapan dengan hakikat realiti, "menurunkan sasarannya" - ia sudahpun satu kejayaan besar andai para pelajarnya itu dapat lulus dalam peperiksaan. Malah, asalkan para pelajarnya akhirnya dapat bersekolah. Baginya, ini sudahpun merupakan suatu pengisytiharan perang terhadap sistem pendidikan yang telah dikritiknya sejak begitu lama sebelum-sebelum itu. 

Adiwiraku menonjolkan sisi-sisi penting fungsi kegiatan Ko-Kurikulum. Ko-Kurikulum bukan terlalu murah fungsinya, hanya sekadar mengisi tempat-tempat kosong dalam resume seseorang (berapa banyak calon-calon temuduga menulis bagai Adiwira; rupa-rupanya ia sekadar hiperbola); namun yang termahal ialah bagaimana ko-kurikulum sebagai medan realiti untuk menguji sekaligus menyuntik pengalaman tentang pengorbanan, kebertanggungjawaban, usaha mandiri secara berpasukan dan bagaimana kegiatan dan aktiviti berkenaan baik dalam seni mahupun sukan akan memerah bukan sekadar keringat malah nilai keperibadian yang unggul, lagi luhur dan betul dalam diri seseorang. 

Ya, kemenangan ialah soal rezeki. Kegemilangan ialah soal usaha berterusan, bukan berhenti sekerat jalan. Dan benar, sakit itu sementara, kegemilangan itu selamanya.


Cikgu Cheryl Ann Fernando (lakonan cemerlang Sangeeta Krishnasamy), sosok demokratik yang begitu empatik amat konsisten mahukan para pelajarnya belajar membuat pilihan yang betul (sekalipun boleh sahaja diwajibkan ada wakil dari setiap kelas menyertai pasukan choral-speaking itu!); baik pada sisi Kemboja untuk memilih antara pelajaran dengan menyara keluarga; mahupun pada sisi Ajwad memilih antara ego diri dengan melengkapkan pasukan yang tempang. 

Hal seumpama inilah mengempangkan genangan kolam air mata dan sebakan di dada kita saat mengenangkan peranan sesosok guru bukan terhad pada waktu bilik darjah; malah sekali seorang itu menjadi guru, seluruh saat sepanjang hayat perguruannya itu ialah sebuah ibadat yang mustahil berhenti. Ya, persis malaikat yang mustahil berhenti beribadat. Malah, dalam naskhah Adiwiraku ini gurunya ialah tokoh pembebasan yang membebaskan anak-anak muridnya dari belenggu masalah dalam diri mahupun nasib kehidupan luar yang sentiasa mengelar perjalanan pendidikan mereka yang mencabar. 


Terdapat babak-babak yang indah lagi menggugah. Misalnya, adegan tin biskut Kemboja ternyata menepati prinsip "Show, Don't Tell". Dalam KIL! contohnya perubahan pakaian pelakon juga bercerita. Malah, dalam Bunohan dikatakan naik turun suara juga mempunyai naratif tersendiri. Dalam #Adiwiraku adegan tin biskut Kemboja menceritakan perspektif Kemboja sendiri. 

Perhatikan, apabila Kemboja pada pagi-pagi sewaktu awal Subuh (kan Ayah dia baru selesai solat Subuh?), Kemboja mendapati biskut dalam tin tinggal sekeping sahaja sebelum dia hendak keluar ke sekolah. Sebaliknya, apabila adegan dia "berhujah" dengan Teacher Cheryl di stesyen minyak, tin-tin biskut di belakangnya penuh dan pelbagai. Ini menggambarkan perspektif Kemboja; kalau pergi sekolah, tin biskut kering (rezeki hampir tiada) tetapi kalau pergi bekerja, tin biskut penuh (rezeki banyak)! Jadi, tidakkah kita faham gelodak dilema dalam fikiran anak-anak terdesak seperti Kemboja?

Adegan sebeginilah mungkin antara jawapan kenapa dada kita senantiasa sebak menonton kerana jiwa separuh sedar kita memahami hal ini sebelum akal dapat menafsirkannya; kejujuran adegan ini terus menusuk hati!


Menikmati Adiwiraku umpama mencicip jus limau hasil perahan sendiri; ya - ada rasa pahit dan masamnya, tetapi tetap melegakan dan menyegarkan kerana kita tahu perahan itu mentah juga jujur lantaran diperah dari kudrat kita sendiri; raw that is pure. Hanya yang melalui sesuatu jalan, layak menceritakan perihal keadaan. Para pelakonnya mungkin amatur, tetapi antara paling jujur pernah sinema tempatan saksikan (lebih 90 peratus merupakan pelajar sebenar dari cerita asal tersebut dan hanya dua bulan diperlukan untuk penggambaran).

Sebagaimana epitome penyajak lagenda, T Alias Taib dalam Seberkas Kunci (1985), “kerana penulis tak berbakat/mudah mendapat tempat/di hati pembaca/yang tak tau membaca/" begitulah ingin saya katakan, "naskah yang jujur/hanya perlukan pelakon amatur/untuk menghidupkannya".

Adiwiraku - suatu apresiasi pendidikan yang wajar diraikan dan tontonlah, usah tunggu-tunggu!

8/10


*Filem Adiwiraku ini sudah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir di Equality International Film Festival dan juga merupakan finalis Phoenix Film Festival Melbourne 2017.

**A must-read interview : https://cilisos.my/these-kampung-students-won-an-english-competition-now-theyre-stars-in-their-own-movie/

***Juga : http://www.rojakdaily.com/lifestyle/article/1977/kisah-benar-35-pelajar-sekolah-kampung-tunjang-filem-adiwiraku

Sebarkan Manfaatnya! :)