Monday, February 25, 2013

PANAS KASIH SEJUK SAYANG




:)

Asal :
Hangat tak berapi,
Sejuk tak berair;
Kasih tak bertepi,
Sayang tak berakhir.

Balas :
Panas tak berangin,
Sejuk tak bersalju;
Kasih tak kuingin,
Sayang tak kumahu!

Jawab Balas :
Hangat tak berapi,
Sejuk tak berair;
Kasih kau ketepi?,
Sayang kau meminggir?

Balas Jawab Balas :
Panas tak berangin,
Sejuk tak bersalju;
Kerna hatiku dingin,
Sayang ku membeku!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Saturday, February 23, 2013

Syarah "Hidup Dengan Pengalaman Bukan Kenangan"


Kawan baik karib sahaya pernah menulis :

"Hiduplah dengan pengalaman, bukan dengan kenangan!"

Sahaya terus terpukau saat kata-kata ini dilempiaskan, meski mungkin ada yang akan bertanyakan : 

"Apa beza pengalaman dengan kenangan?"

Adapula yang segera melempiaskan tuduhan :

"...Pandai ar kau duk buat false dichotomy antara pengalaman dengan kenangan. Benda tu inclusive weh..."

Baiklah ini pendapat pandangan sahaya :


Alahai... Lihat kata akar pun sudah tahu beza pengALAMan dan KENANGan 


Pengalaman daripada perkataan ALAM. Pengalaman sebuah kata terbitan. Imbuhan "-ng" adalah sebuah kata yang tercerap serap apabila imbuhan Pe- dimasukkan dengan A-; ia menjadi Pe + ng seperti perkataan Angkut; kata terbitannya menjadi Pe + ng + angkut + an = Pengangkutan. Maka, atas hujah binaan imbuhan ini, Pengalaman, kata akarnya adalah ALAM.

Kenangan - juga kata terbitan. Jelas, meski tiada kata yang tercerap serap lantaran akhiran -ng tidak memerlukannya. Misalan, barang tetap menjadi barang + AN. Jadilah barangan. Semisal Kenang tetap menjadi kenang + AN = Kenangan apabila menyangkut prosesnya menjadi sebuah kata terbitan.

Apa maksud Kata Terbitan? Kata Terbitan yang disebut dalam bahasa Arab sebagai Masdar atau Verbal Noun dalam bahasa Inggeris itu memaksudkan secara konsep sebagai sebuah PROSES akibat sebuah TINDAKAN [baca : kata kerja]. 

Semisal, Pengalaman adalah merupakan sebuah proses seseorang bertindak ke atas alam atau lebih mudah berinteraksi dengan alam. Akan dihurai lagi selepas ini insyaAllah. 

Semisal, Kenangan adalah merupakan sebuah proses seseorang bertindak dengan menjadikan ingatan terhadap sesuatu untuk difikirkan yang punya dua kemungkinan - kenang secara imbasan, spontan, sekejap atau kenang secara serius, tafakkur, dalam. Kerana di sana mahsyur frasa "kenangan yang kuat sebagaimana ingatan yang kuat" menunjukkan di sana adanya kenangan yang lemah, biasa, tidak kuat [huraian lanjut baca : Ilmu Mantik]. 

Berbeza dengan "pengalaman" kerana "pengalaman" dikaitkan dengan sesuatu yang dialami dan diambil secara serius oleh seseorang. Kalau sesuatu kejadian itu tidak serius, maka tidaklah seseorang itu mengangkatnya sebagai "pengalaman" sebaliknya hanyalah "kenangan" semata-mata. 

Di sini, dari sudut binaan linguistik dan diadun dengan kaedah mantik sudah membuktikan beza antara "pengalaman" dan "kenangan" di mana pengalaman sesuatu yang diambil serius sebaliknya kenangan boleh jadi serius boleh jadi hanya sekadar imbasan tak signifikan. 

Jadi, daripada sudut meter kekuatan intensi makna perkataan, pengalaman lebih kuat dari sudut menzahirkan kegentingan perasaan yang akhirnya ditukarkan dalam bentuk penaakulan tafakkur yang akhirnya akan menjadikan seseorang mengambilnya sebagai panduan dalam kehidupan. Hal ini tidak dapat kita dapati daripada perkataan "kenangan".

Huraian lanjut makna pengalaman boleh didapati daripada kata akarnya sebagaimana yang disebutkan di awal tadi sebagai ALAM. 


Falasi argumen pada awalnya - bukankah Alam itu adalah Kata Nama bukan Kata Kerja? 

Ya - anda benar tetapi dalam konteks ini kurang tepat. 

Bukan sedikit dalam kaedah linguistik terutamanya sintaks yang kita temukan kata nama yang diserap menjadi kata terbitan dengan mengambil maknanya sebagai kata kerja. 

Misalnya - computerising dalam bahasa Inggeris. Asalnya, computer. Maka, dalam Bahasa Melayu, kita juga boleh menerima hal itu selagi mana telah digazet rasmi. Contoh lain - alah.. pengkomputeran la juga hehe  Ok. Perkapalan asalnya kapal. Perpaipan asalnya paip. Dan banyak lagi.

Jadi, bagaimana memahami kata nama "alam" yang diserap ke dalam kata terbitan "pengalaman" andai tidak secara terus "alam" itu sendiri berfungsi sebagai kata kerja. 

Caranya ialah - alam itu dijadikan subjek bagi seseorang untuk berinteraksi. Dalam erti kata lain, seseorang menghasilkan "pengalaman" adalah hasil interaksi dia dengan alam itu tadi. Tadabbur alam - meliputi langit, bumi dan segala isi antara keduanya termasuklah perangai manusia, tingkah laku haiwan, proses pertumbuhan tanaman dan sebagainya. Apa makna tadabbur dengan alam yang akhirnya menghasilkan pengalaman untuk dijadikan rujukan? 

Tadabbur sebagaimana menurut guru bahasa kami, al-Fadhilah Saadiqah al-Aljeriyyah hafizahallahuta'ala yang 'alim Bahasa Arab dan Bahasa Perancis menyatakan tadabbur itu adalah mendengar, mengambil pusing, memikir dan kemudian segera sedia bertindak sebagaimana yang disimpulkan dalam pemikiran tanpa perlu menangguh-nangguh. 

Terlalu banyak dalil-dalil wahyu hatta syair-syair Arab misalnya malah Syair-Syair Nusantara Bangsa Jawi kita yang meperihalkan hakikat interaksi alam dan manusia ini secara tersurat dan tersirat, secara lahiriah dan batiniah, secara harfiah dan maknawiyyah.


Maksud, pengalaman menjadikan seseorang itu terus bangkit dan bangun, mengambil makna yang tersurat mahupun tersirat untuk dijadikan panduan dan rujukan. Berbeza dengan kenangan yang lebih kepada romantika yang tiada berkesudahan dan tidak terarah jelas dapatan pengajaran daripadanya untuk bisa dijadikan sebagai panduan dan rujukan - sedangkan manusia hidup dengan panduan bukan dengan romantika yang tiada berkesudahan. Maka, itulah yang dimaksudkan dengan "hidup dengan pengalaman bukan dengan kenangan" sebagaimana yang dinukilkan.

Mudah cerita - "pengalaman" vs "kenangan" seumpama "experience" vs "memory"! 

p/s : Sekadar pandangan peribadi yang banyak lagi perlu dibaiki. Jazakumullahukhairankasira kerna sudi berkongsi rasa!

Friday, February 22, 2013

Syarah Melukut Di Tepi Gantang



"Kekanda, apa maksud Melukut Di Tepi Gantang?"

"Adinda, adapun kalam besar nenda-nenda kita ini telah disyarahkan oleh bidalan seterusnya - adapun rangkap empat terakhir, kekanda cuba mensyarahkannya lagi agar adinda dan sesiapa yang adinda ta'birkan akan memahami. 

Begini :

Bagai melukut di tepi gantang,
Masuk tak penuh keluar tak kurang, 

Dibawa ke padang tak dipatuk ayam,
Dibawa ke kolam tak disudu itik,
Tak hidup malam ataupun siang,
Tak mati pagi mahupun petang,
Tak sedar walau sungai direndam,
Tak bangun walau dijentik herdik!"

Hidup tidak mengindah menyusah,
Mati tidak membantu bantut,
Bangun tidak berdiri gagah,
Duduk tidak pula menyahut,
Hidupnya segan alahai lemah,
Kalau pun mati tidak bersambut,
Ibarat lalang tepinya sawah,
Tak ada pendirian dia berpaut!"


"Aduhai! Nauzubillahiminhum!"

Kami minta berlindung daripada (menjadi dan terlibat) dengan mereka!

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

PANTUN UJI CINTA




"Kekanda, apa maksud pantun ini?



Kalau ke laut susur gelombang,
Jangan kemudi patah daunnya,
Kalau bertaut kasih dan sayang,
Jangan diuji dalamnya cinta!"

"Ha...Tau tak kenapa? :)

Sebab hak nak menguji sesebuah hubungan adalah hak Allah Jalla wa 'Alaa semata. 


Jangan sesekali dinda berani benar mendahuluiNya!

Kalau nak cinta - cinta betul-betul.
Kalau nak kasih - tunjuk habis-habis.


.....asalkan halal :)"

^_^

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم

Thursday, February 21, 2013

Ka atau Kum?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ramai bertanya :

Mengapa ada orang memberikan ucapan jazakumullahukhairankasira sekalipun dia sedang bercakap dengan seorang lelaki? Bukankah lafaz -kum itu adalah untuk jamak lelaki?
Saya cuba menjawab insyaAllah :


1. Terlebih dahulu sila baca posting ini [KLIK] dan juga tambahan yang baik daripada seorang akh [KLIK].

2. Secara bahasanya, sememangnya kata nama ganti (ad-dhomir al-mutassil) adalah seperti berikut :

Bagi anta [kamu seorang lelaki] = -ka  
Bagi anti [kamu seorang perempuan] = -ki 
Bagi antuma [kamu berdua lelaki atau kamu berdua perempuan] = kuma 
Bagi antum [kamu semua lelaki/gender bercampur] = kum 
Bagi antunnna [kamu semua perempuan] = kunna

Tambahan selepas kalimah Jaza + (ka / ki / kuma / kum / kunna) + Allahu dan seterusnya hingga akhir.

3. Bagi pendapat sahaya dan sebagaimana yang dinyata syarahkan oleh guru-guru kami hafizahumullahuta'ala [syarah gelaran ini di sini] - kedua-duanya boleh digunakan dan boleh menjadi sunat kerana niat yang tepat.

Pertama - penggunaan kalimah -ka/ki




4. Seorang kawan lelaki kepada seorang kawan lelakinya mungkin lebih gemar menggunakan lafaz "Jakallahuhairankasira" berbanding "Jazakumullahukhairankasira". 

Dalilnya sudah semestinya ialah kerana yang dia sedang berbicara itu sememangnya dengan seorang lelaki secara berhadapan, maka wajarlah -ka didahulukan berbanding -kum.

Hujah ini adalah benar. Dan sekiranya ia berbuat demikian atas dasar ilmu dan atas dasar mengamalkan ilmu nahu yang mulia, itu adalah suatu yang amat terpuji dan insyaAllah sunat beroleh pahala. 
Allah Jalla wa 'Alaa juga berfirman:
وَلَوْ أَنَّهُمْ فَعَلُوا مَا يُوعَظُونَ بِهِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ وَأَشَدَّ تَثْبِيتًا
Dan sesungguhnya kalau mereka MENGAMALKAN pelajaran yang diberikan kepada mereka, tentulah hal yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih menguatkan (iman mereka)
(An-Nisa': 66)
Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullahuta'ala seorang daripada kalangan tabi'een yang soleh lagi 'alim terkenal dengan jolokan 'Abidal Haramain pernah berkata : 
“Seorang alim itu masih dianggap jahil (bodoh) apabila dia belum beramal dengan ilmunya. 
Apabila dia sudah mengamalkan ilmunya, maka jadilah dia seorang yang benar-benar alim.”
Ini juga merupakan lafaz yang secara jelas disebut di dalam hadis al-Habib ar-Rasul solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam :


قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

سنن الترمذي - ج 7 / ص 343


The Messenger of Allah (peace and blessings be upon him) said, "If good is done to someone and then they say "Jazak Allahu khayran" to the one who did the good, they have indeed praised them well." 
[Tirmidhi]


Kedua - penggunaan kalimah -kum


5. Justeru, bagaimana pula dengan lafaz "Jazakumullahukhairankasira" dengan menyertakan -kum sekalipun yang sedang diucap itu adalah kepada seorang lelaki?

Di sini, kita menjawab dengan beberapa hujah :

a) Pertamanya, lafaz "Assalamualaikum" juga dibolehkan untuk diberikan hatta kepada seseorang. Berkata guru kami, al-Fadhil al-Ustaz Mutallib Maarof hafizahullahuta'ala ketika mensyarahkan bab memberi salam ketika menafsirkan ayat ke-86 surah ke-empat, Surah an-Nisa' :   
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ۬ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡہَآ أَوۡ رُدُّوهَآ‌ۗ 
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)...” 
(an-Nisa’, ayat 86).
Beliau berkata, adalah afhdal untuk memberikan salam dengan lafaz -kum sekalipun kepada seorang insan. Ini adalah kerana kita bukan sahaja memberikan salam kepada dia sahaja, tetapi juga kepada makhluk-makhluk Allah Jalla wa 'Alaa yang lain semisal malaikat di tepi kiri dan kanan, malaikat rahmat yang mencurahkan rahmat saat kita memberikan salam, dan sekalian yang mendengar akan salam berkenaan.

Syarah yang sama saya dapati daripada guru Nahu kami, al-Fadhil as-Syeikh Ad-Duktur Yusoef ar-Remawwi al-Falastini hafizahullahuta'ala.

Lafaz yang sama hakikatnya pernah diucapkan oleh seorang lelaki kepada al-Habib ar-Rasul solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam sebagaimana terjemahan hadis berikut :
Diriwayatkan dari Imran Bin Hushain menceritakan; 
Seorang lelaki datang kepada Nabi –sallalallahu ‘alaihi wasallam- dan memberi salam dengan mengucapkan; Assalamu ‘alaikum (السلام عليكم). 
Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat sepuluh ganjaran”. 
Kemudian datang lelaki yang kedua dan memberi salam dengan berkata; “Assalamu ‘alaikum warahmatullah” (السلام عليكم ورحمة الله). 
Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat 20 ganjaran”. 
Kemudian datang lelaki yang ketiga dan memberi salam; Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wa barakaatuh” (السلام عليكم ورحمة الله وبركاته). Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat 30 ganjaran”  
(HR Imam ad-Darimi, Abu Daud dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan)
Oleh itu, dengan menqiyaskan lafaz ini dengan lafaz "jazakumullahukhairankasira"; maka lafaz yang sama juga boleh terpakai dengan lafaz -kum bagi seorang insan. Lantaran kita juga mendoakan kebaikan buat semua makhluk yang terlibat dalam sesuatu pekerjaan itu sebagaimana lafaz :
"Allahumma bariklanaa" 
dalam sunnah doa makan-minum, sedangkan yang makan itu kita seorang. 

Ulama tasawuf misalnya dalam Kitab Minhajul Qasidin tulisan al-Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi rahimahullahuta'ala yang merupakan syarah ringkas kitab Ihya' Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali rahimahullahuta'ala menerangkan bahawa kita bukan sekadar mendoakan keberkatan untuk kita seorang, tetapi kepada semua yang bekerja sehingga membolehkan makanan itu tersedia daripada petani yang membanting tulang membajai padi, kemudian pekerja yang membajak sawah hingga terhasillah beras, tukang masak yang memasak, tukang hidang yang menghidang hingga akhirnya sampai ke hadrat kita untuk dijamah - kesemua mereka itu kita doakan ke atas mereka dan juga kita akannya limpahan bondongan curahan barakah. Hal ini sebagaimana yang disyarahkan oleh guru kami as-Syeikh Abdul Hafez al-Tilmisani hafizahullahuta'ala.

Berkata guru kami juga, Sidi Murabbi al-Fadhil al-Ustaz Nushi Mahfodz hafizahullahuta'ala, dengan mafhum -
"Adalah suatu yang ghalib (kebiasaan) bagi orang Arab untuk menggunakan lafaz jamak misalnya -kum bagi menzahirkan ihtiram (kemuliaan) dan ta'dzim (keagungan) kepada mereka yang ditujukan ucapan"
Oleh itu, dengan hujah qiyas, hujah makna tasawwuf serta hujah adat penutur asal Bahasa Arab - adalah diperbolehkan dan sekiranya disulam dengan segala adab ini, menjadilah lafaz "jazakumullahukhairankasira" itu sesuatu yang amat bermanfaat, beroleh ganjaran besar  di samping maknanya mendalam amat, dan tersemat kukuh adab yang ampuh - buat hati lembut mencair luluh.

6. Oleh itu, terpulanglah kepada kita untuk mengamalkan yang mana satu, asalkan amalannya disertakan dengan niat yang ikhlas, ilmu yang dalam tiada tuntas dan adab yang berbekas.


Selamat beramal! ^_*

P/S : Syarah "Fiqh Salam" di sini amat menakjubkan. [KLIK]

Wallahu'alam

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Tuesday, February 5, 2013

Sepanjak Pak Samad, Ku Balas Penuh Hormat



Ramai yang kongsi sepanjak* Pak Samad yang berbunyi :

Burung yang terbang saban senja,
Berlegar manja di langit sepi,
Mendorongku untuk bertanya,
Pernahkah ia merasa sunyi ?

Saya yang faqir cuba ingin membalas :

Tidakku sunyi akannya terbang,
Kerna itu ku teruskan tongkah,
Soalan ini ingin kupulang,
Adakah kamu sunyi di bawah?

:)

Ada pula "Pak Samad" membalas - hehe -


Duhai burung meredah tinggi,
Girang menari dilayang angin,
Duhai burung bawalah pergi,
Hati nan sunyi menerbang dingin.

*Sepanjak = SEbuah PANtun dalam bentuk saJAK :D

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Doa Kehendak Pada Yang Berhak!


Bismillah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sebentar tadi, terlanjur membalas sebuah e-mail berantai berkenaan sebuah kisah. Kisah berkenaan kehendak kita yang terbatas. Dengan itu, saya perturunkan apa yang saya belajar daripada para masyaikh hafizahumullahuta'ala seingatan berbaki yang dhaif ini.


Saya teringat dua doa yang diajarkan oleh orang-orang ‘alim, faqih lagi soleh kepada kita :

Doa pertama : 

اللهم إني  أريد أن لا أريد إلا ما تريد
Allahumma inni ureedu an laa ureed illa maa tureed 

اللهم : Ya Allah
إني  : Sesungguhnya aku
أريد : Aku Mengkehendaki
أن : Akan keadaan di mana
لا : Tiada
أريد : Aku mengkehendaki
إلا : Melainkan
ما : Apa yang
تريد : Engkau kehendaki 

Atau maksudnya : Ya Allah! Sesungguhnya aku mengkehendaki akan keadaan di mana aku tidak mengkehendaki sesuatu melainkan apa yang Engkau kehendaki.

Doa ini sangat tinggi sasteranya menonjolkan betapa berseni, penuh beradab dan santun pemohon doa ini kepada Zat Yang Maha Mulia.

Dalam erti kata yang lebih mudah, si pemohon doa memohon akan segala kehendaknya itu adalah bertepatan sebagaimana kehendak Allah Jalla wa ‘Alaa belaka kerana dia tahu bahawa kalau dia bermohon dengan kehendak dirinya, itu bukanlah yang terbaik. Ini kerana kita memohon sesuatu yang kita berkehendak hanya pada barang yang kita sangka, jangka dan tahu.

Sedangkan sangkaan kita terbatas. Jangkaan kita terhad. Pengetahuan kita amatlah tipis, nipis dan sempit.

Sedangkan pada sisi Allah Jalla wa ‘Alaa tiada sangkaan atau jangkaan, kerana apa yang Allah Jalla wa ‘Alaa berkehendak, Dia berkehendak dengan perkara yang pasti. Allah Jalla wa ‘Alaa berkehendak dengan pengetahuan yang tidak terbatas, maha luas. Justeru, doa ini amatlah tinggi nilainya di sisi ahli-ahli ma’na yang amat dekat dengan Allah Jalla wa ‘Alaa.

Adapun begitu, sebagai manusia, Allah Jalla wa ‘Alaa masih memerintahkan dan menginginkan kita mendoakan apa yang kita kehendak berdasarkan apa yang kita mahu dan perlu; sebatas pengetahuan kita – asalkan perkara itu selari dengan syariat, sejalan dengan kebaikan-kebaikan yang diinginkan.

Misalnya, kita memohon rezeki yang halal lagi baik, keturunan yang mulia dan soleh, ilmu yang bermanfaat dan sebagaimanya.

Dalam hal ini, para Ulama’ kita, rahimahumullahuta’ala wa hafizahumullahuta’ala, telah mengajarkan kita satu lagi doa, yang tersisip dalam doa selepas Surah al-Waqiah sebagaimana disebut dalam Kitab Syawaariqul Anwar karangan al-'Allamah Al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad Bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani rahimahutallahuta'ala - di mana antara lafaznya :

اللهم اجعله سبابا لإقامة العبدية 
Allahummaj’alhu sabaaban li iqaamatil ‘ubudiyyah

اللهم : Ya Allah
اجعله : Jadikan permintaan ku itu
سبابا : Sebagai Sebab
لإقامة : Untuk melaksanakan
العبدية : Hak-Hak KetuhanMu

Atau maksudnya : Ya Allah jadikan apa sahaja yang aku minta daripada rezeki, jasad sihat dan sebagainya ini sebagai sebab-sebab atau perkara-perkara yang akan membolehkan aku melaksanakan segala perintahMu dan menjauhi segala laranganMu.

Permintaan sebegini mustahak – kerna saat kita berhamburan meminta pelbagai permintaan kepada Tuhan – takut-takut permintaan itu adalah istidraj – yakni nikmat yang berupa laknat; ataupun fitnah – yakni ujian yang tak tertanggungkan.


Mudah-mudahan Allah Jalla wa ‘Alaa senantiasa membantu kita untuk terus kita bersangka baik dengan segala pemberiannya – baik yang baik mahupun tidak diingini pada padangan mata yang dhaif ini.

Wallahu ta’ala ‘alam

Al-Faqir Ibn Yusoff

 سبحان الله وبحمده, سبحان الله العظيم

Sebarkan Manfaatnya! :)