Thursday, February 21, 2013

Ka atau Kum?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ramai bertanya :

Mengapa ada orang memberikan ucapan jazakumullahukhairankasira sekalipun dia sedang bercakap dengan seorang lelaki? Bukankah lafaz -kum itu adalah untuk jamak lelaki?
Saya cuba menjawab insyaAllah :


1. Terlebih dahulu sila baca posting ini [KLIK] dan juga tambahan yang baik daripada seorang akh [KLIK].

2. Secara bahasanya, sememangnya kata nama ganti (ad-dhomir al-mutassil) adalah seperti berikut :

Bagi anta [kamu seorang lelaki] = -ka  
Bagi anti [kamu seorang perempuan] = -ki 
Bagi antuma [kamu berdua lelaki atau kamu berdua perempuan] = kuma 
Bagi antum [kamu semua lelaki/gender bercampur] = kum 
Bagi antunnna [kamu semua perempuan] = kunna

Tambahan selepas kalimah Jaza + (ka / ki / kuma / kum / kunna) + Allahu dan seterusnya hingga akhir.

3. Bagi pendapat sahaya dan sebagaimana yang dinyata syarahkan oleh guru-guru kami hafizahumullahuta'ala [syarah gelaran ini di sini] - kedua-duanya boleh digunakan dan boleh menjadi sunat kerana niat yang tepat.

Pertama - penggunaan kalimah -ka/ki




4. Seorang kawan lelaki kepada seorang kawan lelakinya mungkin lebih gemar menggunakan lafaz "Jakallahuhairankasira" berbanding "Jazakumullahukhairankasira". 

Dalilnya sudah semestinya ialah kerana yang dia sedang berbicara itu sememangnya dengan seorang lelaki secara berhadapan, maka wajarlah -ka didahulukan berbanding -kum.

Hujah ini adalah benar. Dan sekiranya ia berbuat demikian atas dasar ilmu dan atas dasar mengamalkan ilmu nahu yang mulia, itu adalah suatu yang amat terpuji dan insyaAllah sunat beroleh pahala. 
Allah Jalla wa 'Alaa juga berfirman:
وَلَوْ أَنَّهُمْ فَعَلُوا مَا يُوعَظُونَ بِهِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ وَأَشَدَّ تَثْبِيتًا
Dan sesungguhnya kalau mereka MENGAMALKAN pelajaran yang diberikan kepada mereka, tentulah hal yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih menguatkan (iman mereka)
(An-Nisa': 66)
Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullahuta'ala seorang daripada kalangan tabi'een yang soleh lagi 'alim terkenal dengan jolokan 'Abidal Haramain pernah berkata : 
“Seorang alim itu masih dianggap jahil (bodoh) apabila dia belum beramal dengan ilmunya. 
Apabila dia sudah mengamalkan ilmunya, maka jadilah dia seorang yang benar-benar alim.”
Ini juga merupakan lafaz yang secara jelas disebut di dalam hadis al-Habib ar-Rasul solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam :


قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

سنن الترمذي - ج 7 / ص 343


The Messenger of Allah (peace and blessings be upon him) said, "If good is done to someone and then they say "Jazak Allahu khayran" to the one who did the good, they have indeed praised them well." 
[Tirmidhi]


Kedua - penggunaan kalimah -kum


5. Justeru, bagaimana pula dengan lafaz "Jazakumullahukhairankasira" dengan menyertakan -kum sekalipun yang sedang diucap itu adalah kepada seorang lelaki?

Di sini, kita menjawab dengan beberapa hujah :

a) Pertamanya, lafaz "Assalamualaikum" juga dibolehkan untuk diberikan hatta kepada seseorang. Berkata guru kami, al-Fadhil al-Ustaz Mutallib Maarof hafizahullahuta'ala ketika mensyarahkan bab memberi salam ketika menafsirkan ayat ke-86 surah ke-empat, Surah an-Nisa' :   
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ۬ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡہَآ أَوۡ رُدُّوهَآ‌ۗ 
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)...” 
(an-Nisa’, ayat 86).
Beliau berkata, adalah afhdal untuk memberikan salam dengan lafaz -kum sekalipun kepada seorang insan. Ini adalah kerana kita bukan sahaja memberikan salam kepada dia sahaja, tetapi juga kepada makhluk-makhluk Allah Jalla wa 'Alaa yang lain semisal malaikat di tepi kiri dan kanan, malaikat rahmat yang mencurahkan rahmat saat kita memberikan salam, dan sekalian yang mendengar akan salam berkenaan.

Syarah yang sama saya dapati daripada guru Nahu kami, al-Fadhil as-Syeikh Ad-Duktur Yusoef ar-Remawwi al-Falastini hafizahullahuta'ala.

Lafaz yang sama hakikatnya pernah diucapkan oleh seorang lelaki kepada al-Habib ar-Rasul solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam sebagaimana terjemahan hadis berikut :
Diriwayatkan dari Imran Bin Hushain menceritakan; 
Seorang lelaki datang kepada Nabi –sallalallahu ‘alaihi wasallam- dan memberi salam dengan mengucapkan; Assalamu ‘alaikum (السلام عليكم). 
Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat sepuluh ganjaran”. 
Kemudian datang lelaki yang kedua dan memberi salam dengan berkata; “Assalamu ‘alaikum warahmatullah” (السلام عليكم ورحمة الله). 
Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat 20 ganjaran”. 
Kemudian datang lelaki yang ketiga dan memberi salam; Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wa barakaatuh” (السلام عليكم ورحمة الله وبركاته). Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat 30 ganjaran”  
(HR Imam ad-Darimi, Abu Daud dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan)
Oleh itu, dengan menqiyaskan lafaz ini dengan lafaz "jazakumullahukhairankasira"; maka lafaz yang sama juga boleh terpakai dengan lafaz -kum bagi seorang insan. Lantaran kita juga mendoakan kebaikan buat semua makhluk yang terlibat dalam sesuatu pekerjaan itu sebagaimana lafaz :
"Allahumma bariklanaa" 
dalam sunnah doa makan-minum, sedangkan yang makan itu kita seorang. 

Ulama tasawuf misalnya dalam Kitab Minhajul Qasidin tulisan al-Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi rahimahullahuta'ala yang merupakan syarah ringkas kitab Ihya' Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali rahimahullahuta'ala menerangkan bahawa kita bukan sekadar mendoakan keberkatan untuk kita seorang, tetapi kepada semua yang bekerja sehingga membolehkan makanan itu tersedia daripada petani yang membanting tulang membajai padi, kemudian pekerja yang membajak sawah hingga terhasillah beras, tukang masak yang memasak, tukang hidang yang menghidang hingga akhirnya sampai ke hadrat kita untuk dijamah - kesemua mereka itu kita doakan ke atas mereka dan juga kita akannya limpahan bondongan curahan barakah. Hal ini sebagaimana yang disyarahkan oleh guru kami as-Syeikh Abdul Hafez al-Tilmisani hafizahullahuta'ala.

Berkata guru kami juga, Sidi Murabbi al-Fadhil al-Ustaz Nushi Mahfodz hafizahullahuta'ala, dengan mafhum -
"Adalah suatu yang ghalib (kebiasaan) bagi orang Arab untuk menggunakan lafaz jamak misalnya -kum bagi menzahirkan ihtiram (kemuliaan) dan ta'dzim (keagungan) kepada mereka yang ditujukan ucapan"
Oleh itu, dengan hujah qiyas, hujah makna tasawwuf serta hujah adat penutur asal Bahasa Arab - adalah diperbolehkan dan sekiranya disulam dengan segala adab ini, menjadilah lafaz "jazakumullahukhairankasira" itu sesuatu yang amat bermanfaat, beroleh ganjaran besar  di samping maknanya mendalam amat, dan tersemat kukuh adab yang ampuh - buat hati lembut mencair luluh.

6. Oleh itu, terpulanglah kepada kita untuk mengamalkan yang mana satu, asalkan amalannya disertakan dengan niat yang ikhlas, ilmu yang dalam tiada tuntas dan adab yang berbekas.


Selamat beramal! ^_*

P/S : Syarah "Fiqh Salam" di sini amat menakjubkan. [KLIK]

Wallahu'alam

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

4 comments:

  1. Replies
    1. Alhamdulillah. Waiyyak. Moga bermanfaat dan sebar-sebarkan manfaatnya insyaAllah :) Baarakallahufikum!

      Delete
  2. Jazakalahhu khairan kathira atas perkongsian dan penerangannya :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Waiyyak. Moga bermanfaat dan sebar-sebarkan manfaatnya insyaAllah :) Baarakallahufikum!

      Delete

Sebarkan Manfaatnya! :)