Saturday, February 23, 2013

Syarah "Hidup Dengan Pengalaman Bukan Kenangan"


Kawan baik karib sahaya pernah menulis :

"Hiduplah dengan pengalaman, bukan dengan kenangan!"

Sahaya terus terpukau saat kata-kata ini dilempiaskan, meski mungkin ada yang akan bertanyakan : 

"Apa beza pengalaman dengan kenangan?"

Adapula yang segera melempiaskan tuduhan :

"...Pandai ar kau duk buat false dichotomy antara pengalaman dengan kenangan. Benda tu inclusive weh..."

Baiklah ini pendapat pandangan sahaya :


Alahai... Lihat kata akar pun sudah tahu beza pengALAMan dan KENANGan 


Pengalaman daripada perkataan ALAM. Pengalaman sebuah kata terbitan. Imbuhan "-ng" adalah sebuah kata yang tercerap serap apabila imbuhan Pe- dimasukkan dengan A-; ia menjadi Pe + ng seperti perkataan Angkut; kata terbitannya menjadi Pe + ng + angkut + an = Pengangkutan. Maka, atas hujah binaan imbuhan ini, Pengalaman, kata akarnya adalah ALAM.

Kenangan - juga kata terbitan. Jelas, meski tiada kata yang tercerap serap lantaran akhiran -ng tidak memerlukannya. Misalan, barang tetap menjadi barang + AN. Jadilah barangan. Semisal Kenang tetap menjadi kenang + AN = Kenangan apabila menyangkut prosesnya menjadi sebuah kata terbitan.

Apa maksud Kata Terbitan? Kata Terbitan yang disebut dalam bahasa Arab sebagai Masdar atau Verbal Noun dalam bahasa Inggeris itu memaksudkan secara konsep sebagai sebuah PROSES akibat sebuah TINDAKAN [baca : kata kerja]. 

Semisal, Pengalaman adalah merupakan sebuah proses seseorang bertindak ke atas alam atau lebih mudah berinteraksi dengan alam. Akan dihurai lagi selepas ini insyaAllah. 

Semisal, Kenangan adalah merupakan sebuah proses seseorang bertindak dengan menjadikan ingatan terhadap sesuatu untuk difikirkan yang punya dua kemungkinan - kenang secara imbasan, spontan, sekejap atau kenang secara serius, tafakkur, dalam. Kerana di sana mahsyur frasa "kenangan yang kuat sebagaimana ingatan yang kuat" menunjukkan di sana adanya kenangan yang lemah, biasa, tidak kuat [huraian lanjut baca : Ilmu Mantik]. 

Berbeza dengan "pengalaman" kerana "pengalaman" dikaitkan dengan sesuatu yang dialami dan diambil secara serius oleh seseorang. Kalau sesuatu kejadian itu tidak serius, maka tidaklah seseorang itu mengangkatnya sebagai "pengalaman" sebaliknya hanyalah "kenangan" semata-mata. 

Di sini, dari sudut binaan linguistik dan diadun dengan kaedah mantik sudah membuktikan beza antara "pengalaman" dan "kenangan" di mana pengalaman sesuatu yang diambil serius sebaliknya kenangan boleh jadi serius boleh jadi hanya sekadar imbasan tak signifikan. 

Jadi, daripada sudut meter kekuatan intensi makna perkataan, pengalaman lebih kuat dari sudut menzahirkan kegentingan perasaan yang akhirnya ditukarkan dalam bentuk penaakulan tafakkur yang akhirnya akan menjadikan seseorang mengambilnya sebagai panduan dalam kehidupan. Hal ini tidak dapat kita dapati daripada perkataan "kenangan".

Huraian lanjut makna pengalaman boleh didapati daripada kata akarnya sebagaimana yang disebutkan di awal tadi sebagai ALAM. 


Falasi argumen pada awalnya - bukankah Alam itu adalah Kata Nama bukan Kata Kerja? 

Ya - anda benar tetapi dalam konteks ini kurang tepat. 

Bukan sedikit dalam kaedah linguistik terutamanya sintaks yang kita temukan kata nama yang diserap menjadi kata terbitan dengan mengambil maknanya sebagai kata kerja. 

Misalnya - computerising dalam bahasa Inggeris. Asalnya, computer. Maka, dalam Bahasa Melayu, kita juga boleh menerima hal itu selagi mana telah digazet rasmi. Contoh lain - alah.. pengkomputeran la juga hehe  Ok. Perkapalan asalnya kapal. Perpaipan asalnya paip. Dan banyak lagi.

Jadi, bagaimana memahami kata nama "alam" yang diserap ke dalam kata terbitan "pengalaman" andai tidak secara terus "alam" itu sendiri berfungsi sebagai kata kerja. 

Caranya ialah - alam itu dijadikan subjek bagi seseorang untuk berinteraksi. Dalam erti kata lain, seseorang menghasilkan "pengalaman" adalah hasil interaksi dia dengan alam itu tadi. Tadabbur alam - meliputi langit, bumi dan segala isi antara keduanya termasuklah perangai manusia, tingkah laku haiwan, proses pertumbuhan tanaman dan sebagainya. Apa makna tadabbur dengan alam yang akhirnya menghasilkan pengalaman untuk dijadikan rujukan? 

Tadabbur sebagaimana menurut guru bahasa kami, al-Fadhilah Saadiqah al-Aljeriyyah hafizahallahuta'ala yang 'alim Bahasa Arab dan Bahasa Perancis menyatakan tadabbur itu adalah mendengar, mengambil pusing, memikir dan kemudian segera sedia bertindak sebagaimana yang disimpulkan dalam pemikiran tanpa perlu menangguh-nangguh. 

Terlalu banyak dalil-dalil wahyu hatta syair-syair Arab misalnya malah Syair-Syair Nusantara Bangsa Jawi kita yang meperihalkan hakikat interaksi alam dan manusia ini secara tersurat dan tersirat, secara lahiriah dan batiniah, secara harfiah dan maknawiyyah.


Maksud, pengalaman menjadikan seseorang itu terus bangkit dan bangun, mengambil makna yang tersurat mahupun tersirat untuk dijadikan panduan dan rujukan. Berbeza dengan kenangan yang lebih kepada romantika yang tiada berkesudahan dan tidak terarah jelas dapatan pengajaran daripadanya untuk bisa dijadikan sebagai panduan dan rujukan - sedangkan manusia hidup dengan panduan bukan dengan romantika yang tiada berkesudahan. Maka, itulah yang dimaksudkan dengan "hidup dengan pengalaman bukan dengan kenangan" sebagaimana yang dinukilkan.

Mudah cerita - "pengalaman" vs "kenangan" seumpama "experience" vs "memory"! 

p/s : Sekadar pandangan peribadi yang banyak lagi perlu dibaiki. Jazakumullahukhairankasira kerna sudi berkongsi rasa!

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)